Sunday, November 30, 2008

GRAFITI: SESEKALI APABILA BERADA DI KAMPUNG...

1. Sekarang aku berada di kampung isteri di Nai Teh, Kuala Nerang selepas tiga hari berada di kampung sendiri, Pajak Song dengan keluarga.
2. Melihat ayah yang masih terlantar akibat angin ahmar (strok), melihat emak yang tetap gigih menjaga ayah dan cucu-cucunya, berbual dengan Boy (member rapat di kampung), dan berkaraoke dengan adik-beradik yang lain di Sunway Seberang Jaya, merupakan peristiwa yang meninggalkan kesan.
3. Mereka amat berharap supaya aku segera kembali mengajar di Pulau Pinang, namun apakan daya, rezeki aku masih di JB. Aku sedar bahawa berada di rantau orang memberikan banyak cabaran, namun aku tidak pasti sama ada aku mampu meneruskan kehidupan yang lebih menarik apabila aku pulang ke kampung halaman.
4. Bertugas di JB dan memberikan komitmen kepada sekolah, DBPWS, Pusat Tuisyen Omega, dan Pusat Pendidikan Luar (UPM) menjadikan aku semakin matang meneruskan kehidupan. Aku mendoakan kesejahteraan emak dan ayah (semoga kembali sihat seperti dahulu) dan kebahagiaan adik-beradik yang lain.
5. Selama beberapa hari ini, aku telah berkesempatan mengunjungi mak saudara di Tikam Batu, menikmati nasi panas di Lahar Kepar, menikmati cucur udang di Shahul Hameed Kepala Batas, dan pastinya menjamah nasi kandar di depan Public Bank, Kepala Batas. Lazimnya, apabila balik ke kampung, antara yang menjadi fokus ialah makan, makan, makan...
6. Esok, akan melawat mak saudara di Jitra yang sakit batuk kering...
7. Lusa, akan ke Perlis, menghabiskan masa dan membawa keluarga berjalan-jalan...
8. Sesekali, apabila berada di kampung...

TATABAHASA: HURUF BESAR ATAU HURUF KECIL

PENGGUNAAN TANDA BACAAN YANG SALAH
*Guru itu mengajarkan subjek bahasa Melayu .
*Rakyat di negara ini sepatutnya menguasai Bahasa Melayu dengan baik.
Huraian:
Kekeliruan sering timbul apabila pengguna bahasa tidak dapat menentukan huruf kecil atau huruf besar secara tepat. Dalam ayat (1), Bahasa Melayu merupakan kata nama khas kerana menjadi satu subjek yang khusus, manakala dalam ayat (2), bahasa Melayu lebih bersifat umum. Oleh sebab itu, huruf b pada frasa bahasa Melayu perlu ditulis dengan huruf kecil. Begitu juga bagi penggunaan frasa bahasa Inggeris yang menggunakan peraturan yang sama. Ayat di atas perlu dibetulkan seperti ayat di bawah:
1. Guru itu mengajarkan subjek Bahasa Melayu .
2. Rakyat di negara ini sepatutnya menguasai bahasa Melayu dengan baik.

ARTIKEL IRFAN KHAIRI (JUTAWAN INTERNET): HARGA MELEWATKAN MASA

1. Tulisan saya kali ini adalah mengenai penyakit "procrastinate" atau
melewat-lewatkan masa. Saya sendiri sejak dulu lagi berbagai kerja
suka ditangguhkan, sehingga adakalanya ia merugikan diri saya-
sehingga saya dapat menangani tabiat buruk ini. Mudahan artikel di
bawah dapat manfaatkan anda.

2. Sekiranya ada satu sahaja MUSUH untuk membuatkan kita
tidak berjaya & mengeluarkan segala potensi diri, ianya adalah
procrastinate. Atau melewatkan-lewatkan masa kerja.

3. Bayangkan ini. Apabila anda membaca sesuatu info yang amat berguna
yang anda sendiri tahu ianya boleh membantu anda- tidak kira dari
www.irfankhairi.com, atau dari buku, atau dari majalah... adakah anda
terus lakukannya, atau anda menangguhkan? (walaupun tahu ianya
boleh membantu anda mencapai kejayaan)

Sebagai contoh, 2 tahun lepas saya menulis tip ini:

"Sekiranya anda membaca 1 jam sehari, secara purata, anda akan
menghabis satu buku setiap minggu. Sekiranya anda membaca 1 buku
seminggu, anda akan dapat menghabiskan 4 buku sebulan. Ini bererti
dalam masa setahun anda akan menghabiskan 48 buah buku. Sekiranya
anda meneruskan selama 3 tahun, anda akan membaca 144 buah buku.

4. Tahukah anda bahawa kebanyakan pakar-pakar industri yang berjaya
dan mencapai tahap jutawan telah membaca >100 buah buku yang
berkenaan bidang masing-masing?

5. Semuanya bermula dengan hanya membaca 1 jam sehari, dan anda akan
menjadi pakar industri anda dalam masa 3 tahun dari sekarang!"

(Rujukan: September 2006- "Baca Jangan Tak Baca"
http://www.irfankhairi.com/blog/motivasi/baca-jangan-tak-baca/)

6. Tip itu saya tulis kira-kira 640 hari lepas. Sekiranya anda
mengimpimentasikannya, anda telah meluangkan 640 jam membaca buku
sejak membaca tip tersebut sehingga kini. Ia juga secara purata
bermakna anda telah membaca 90 buah buku berkaitan dengan bidang
anda.

7. Berapa ramai agaknya yang telah membaca 90 buah buku sejak 2 tahun
lepas? Insyaallah saya sendiri telah membaca 90 buah buku sejak 2
tahun lepas kerana saya amalkan kaedah membaca 1 jam sehari ini.

8. Jadi, apakah harga melewatkan sesuatu? Dalam kes ini, membaca 90
buah buku anda telah kerugian. Dalam tip atas saya juga ada
menyebut, untuk menjadi pakar industri anda perlu membaca >100 buah
buku. Bererti, by now anda perlu lagi 10 buku sahaja lagi.

9. Tetapi, sekiranya anda melewatkan masa/kerja dan tidak
melakukannya, jauh lagi perjalanan... 100 buku lagi!

10. Sekiranya anda memulakan perniagaan Internet 3 tahun lepas ketika
buku RJJIT mula keluar. Tidakkah anda rasa by now anda sudah
berpengalaman 3 tahun menjalankan perniagaan Internet? Adakah
mustahil, dengan 3 tahun pengalaman anda boleh menjana
sekurang-kurangnya RM2,000-RM5,000 atau lebih! extra income online
secara part time melalui perniagaan Internet (side income)? Saya
rasa tidak.

11. Dengan extra RM2,000-RM5,000 setiap bulan, tidakkah ia membantu
dalam keadaan harga minyak & barangan semakin naik ini? Saya rasa
ya.

12. Procrastination adalah musuh utama dalam mencapai kejayaan. Pakar
motivasi Anthony Robbins menggelarkannya "the silent killer".

Fikir sejenak. 3 tahun lepas... 2 tahun lepas... 1 tahun lepas... atau
tahun ini. Ada tak sesuatu yang anda tahu anda perlu ubahkan diri
anda kearah kebaikan membina diri anda sendiri, tetapi anda
terpedaya dengan "the silent killer" ini dan tidak melakukan
apa-apa?

13. Bayangkan 3 tahun akan datang. Atau 5 tahun akan datang. Atau 10
tahun akan datang. Bagaimanakah keadaan kita sekiranya kita terus
melewat-lewatkan kerja dimana kita sendiri tahu ia adalah untuk
kebaikan diri kita sendiri.*

14. Mungkin bagi anda ianya bukan membaca buku atau memulakan
perniagaan Internet seperti contoh di atas. Tetapi, mungkin anda
pernah terfikir satu masa dulu untuk menulis buku? atau untuk mula
menjimat sekurang-kurangnya RM300 sebulan? atau hendak mencuba
sesuatu pertandingan? atau hendak memulakan perniagaan part time
lain? atau hendak berjumpa lebih ramai prospek sekiranya anda sudah
memulakan perniagaan? atau hendak membawa keluarga pergi bercuti
luar negara? atau hendak buat 'surprise' pada orang yang tersayang?
atau apa sahaja... (tak semestinya berkaitan dengan wang je)

15. Untuk mengetahui harga melewatkan kerja (procrastinate), Bayangkan
3 tahun akan datang. Atau 5 tahun akan datang. Atau 10 tahun akan
datang. Think about it ;)

p/s: Tulisan ini tidak disunting walaupun terdapat kesalahan bahasa untuk mengekalkan tulisan asal penulisnya.

ARTIKEL IRFAN KHAIRI (JUTAWAN INTERNET) : TIP PILIHAN MENTOR JUTAWAN

Mentor Jutawan #1: Dato' Dr. Fadzilah Kamsah (Motivator)
*Mengenai rahsia kejayaan perniagaan!

1. Untuk berjaya dalam apa perniagaan pun, kita mesti ada niche atau
bidang yang kita pakar. Sebenarnya Irfan Khairi berjaya kerana
pakar dalam bidang yang orang lain tidak nampak sebelum ini.
Motivasi pula saya adalah antara kalangan yang tertua. Jadi kita
jadi yang pioneer.

2. Satu lagi kita mesti ada satu bidang yang luar biasa dan orang lain
perlukan. Ertinya kalau kita nak berniaga, kita perlu berniaga yang
orang lain tak boleh nak beri. Jadi orang mendapatkan khidmat
daripada kita.

Mentor Jutawan #2: Azizi Ali (Jurulatih Jutawan)
*Cara yang lebih bijak menjadi jutawan

1. Untuk menjadi seorang jutawan dengan cara yang lebih bijak adalah
dengan adanya 'multiple streams of income'. Ini bermakna wang kita
yang masuk ke dalam kita punya akaun biar datang dari banyak aliran
pendapatan.

2. Sebagai contoh saya sendiri di mana saya masih seorang juruterbang
saya mendapat gaji saya setiap bulan tetapi saya juga mendapat
royalti daripada hasil penulisan buku saya serta saya juga mendapat
hasil daripada sewaan rumah saya. Saya juga mendapat dividen
daripada beberapa pelaburan saya yang lain.

3. Saya juga tahu yang kebanyakan kenalan jutawan saya punyai MSI ini
iaitu 'Multiple sources of Income'. Dan untuk mendapatkan multiple
inilah di mana kita perlu buat 'after burner income' di mana kerja
itu sekali dan mendapat pulangannya datang berkali-kali.

Mentor Jutawan #3: Dato Dr Azman Ching (Jutawan Jualan Langsung)
*Mengenai matlamat

1. Hari ini kita hidup dalam dunia ni beberapa puluh tahun sahaja dan
akhirnya kita akan meninggalkan dunia ini, tetapi manusia meninggal
dengan meninggalkan nama. Tapi nama kita boleh ditinggalkan atau
diingati oleh keluarga kita. Tetapi yang paling penting adalah
apakah matlamat yang kita capai.

2. Tak kisahlah matlamat kita apa pun samada nak mejadi seorang peguam
ataupun doktor, tapi yang paling penting adalah matlamat kita
tercapai. Kita boleh tengok yang baru-baru ini, matlamat seorang
angkasawan yang telah tercapai untuk sampai ke angkasa. Kita nampak
apabila matlamat kita tercapai, itu akan menjadikan kita sebagai
manusia menjadi lebih positif dan akan meneruskan perjuangannya
dalam kehidupannya.

3. Bila kita punyai matlamat kecil maka kecillah hasilnya, dan
sekiranya kita punyai matlamat yang besar maka besarlah hasilnya.

Mentor Jutawan #4: Chef Li (Jutawan Senyap)
*Mengenai perlunya idola/mentor

1. Kita memerlukan idola dalam bidang yang kita nak kerjakan. Sebab,
bisnes ini bukan suatu yang mudah buat terus menjadi, selalunya
lari jauh daripada apa yang kita rancang. Jadi apabila kita jumpa
dengan idola yang tepat, kita akan mendapat nasihat-nasihat yang
positif. Jadi maknanya, dalam berkawan pun kena pilih juga dah jadi
usahawan-usahawan ini. Tak sesuai lagi kita dah jadi usahawan ini
kita berkawan dengan orang yang minat memancing, minat burung dan
sebagainya.

2. Bila kita meluahkan susah payah kita pada beliau, dia akan kata
'dah kata dulu dah, bisnes memang macam tu, susah', tapi kalau kita
jumpa satu rakan ataupun seorang idola, ataupun seorang mentor yang
memang seorang usahawan yang tulen, bila kita mengadu padanya 'aku
berniaga ni dah dua minggu, merosotlah, tak mencapai sasaran'. Dia
akan tanya 'Berapa jualan engkau sekarang?'. 'Dulu-dulu selalu lima
ratus, sekarang cuma empat ratus'. 'Empat ratus bagus lagi, aku
dulu pernah lima puluh saja'.

Mentor Jutawan #5: Billi Lim (Jutawan berani gagal)
*Mengenai kegagalan

1. Pada saya 'When you lose, don't lose the lesson'. Maksudnya bila
anda gagal, jangan lupakan pelajarannya. Setiap yang kita buat
adalah pelajaran. Mungkin bukan hasil apa yang kita nak, tapi apa
sahaja yang terjadi, anda akan belajar dari kesilapan dan tugas
anda adalah tidak mengulangi kesilapan yang sama.

2. Sebagai contoh, dalam satu temuduga dengan Bill Gates 'What type of
people you would like to employ?. Bill Gates jawab 'I would employ
a person, who have failed before, the reason I want to employ is
because I don't want him to fail in my company, so he must fail in
other people's first!

3. Boleh katakan sekiranya seseorang itu diberi peluang ke dua,
kesetiaan dan tenaga akan bertambah. Memang betul, daripada
pengalaman saya, sesiapa yang pernah gagal, akan menjadi lebih baik
kemudian. Tiada sebarang inovasi akan terjadi sekiranya seseorang
itu takut gagal!

Mentor Jutawan #6: Abang Abu (motivator)
*Mengenai strategi mencapai matlamat semudah A-B-C-D

1. A itu adalah Aim. Ada orang yang tiada aim, ada juga yang banyak
sangat aim. Kita kena tanya diri kita, apa matlamat kita buat
sesuatu perkara. Matlamat kena satu, kerana ramai selalunya
mempunyai banyak sangat matlamat.

2. B pula adalah believe, iaitu percaya akan matlamat kita. Ramai
mempunyai impian besar tetapi tidak mencapainya, kerana kita mesti
percaya akan impian tersebut. Contohnya Edison, ramai yang
mengatakan beliau gila kerana cuba mencipta lampu beratus kali.
Tetapi beliau percaya dalam matlamat beliau.

3. C adalah courage. Berani untuk apa? Mungkin berani untuk gagal.
Misalannya kita tidak perlu takut jika kita membuat sesuatu itu
gagal atau tidak menjadi Keberanian menerima kegagalan sendiri dan
berubah!

4. D pula Do it, kalau nak duit kena do it. Kalau kita nak sesuatu,
kita kena lakukan sesuatu untuk mencapainya. Jangan berhenti
sehingga kita mencapai apa yang kita nak.

Mentor Jutawan #7: Dato' Hussamuddin (Pengasas Kumupan Karangkraf!)
*Mengenai mengendalikan kakitangan

1. Di Karangkraf sekarang kita ada 1100 karyawan. Tetapi saya tak rasa
susah handle mereka, kerana saya memberi ruang kepada setiap insan
yang ada di Karangkraf untuk berkembang dengan pace mereka sendiri.

2. Saya percaya, kalau kita beri seseorang kepercayaan, dia akan boleh
berkembang. Jadi di Karangkraf, saya percaya kepada memberi
peluang. Saya beri mereka tanggungjawab, dan biar mereka
berkembang. Setiap team diberi autonomi untuk mengendalikan majalah
mereka sendiri.

3. Saya bagi peluang, saya bagi ruang, saya bagi guideline dan saya
delegate kuasa dan authority kepada setiap orang untuk berkembang.
Ia ibarat anak, kalau kita kongkong sangat, anak itu akan jadi
memberontak. Tapi kalau kita bagi galakan, garis panduan, anak
tersebut boleh berjaya. Itulah prinsip yang kami amalkan.

Mentor Jutawan #8: IK- Saya sendiri!
*Mengenai pengorbanan dalam menuntut ilmu

1. Kerja yang saya lakukan sebagai tukang cuci memberikan pengalaman
kepada saya, setiap pagi selama dua tahun, sebelum memasuki kelas
ataupun kuliah di universiti, saya akan bekerja sebagai tukang cuci
pasaraya dan tandas untuk mendapatkan wang tambahan. Saya lakukan
ini selama 2 tahun.

2. Dengan wang tambahan tersebut saya akan ke kedai buku pada hujung
minggu untuk membeli buku-buku kejayaan untuk melengkapkan lagi
diri saya tentang ilmu-ilmu kejayaan. Jadi di situ, saya dapat
mempelajari bahawa kita perlu mempunyai satu disiplin yang kuat
untuk berjaya dalam bidang apa sahaja yang kita masuki.

3. Kemudian barulah saya memulakan perniagaan dan mempelajari tentang
ilmu perniagaan ini iaitu perniagaan Internet. Di situ rezeki mula
berpihak kepada saya.

p/s: Untuk makluman, artikel ini tidak diedit walaupun terdapat banyak kesalahan bahasa untuk mengekalkan keaslian tulisan daripada penulisnya.

Friday, November 28, 2008

SAJAK TENTANG BAHASA YANG TENAT

Sajak ini tentang bahasa Melayu
yang penat dan sekarang tenat
yang letih dan sekarang pedih
yang pahit dan sekarang sakit
yang hitam dan sekarang legam
yang malang dan sekarang hilang
yang malap dan sekarang gelap
yang sayu dan sekarang layu
yang kering dan sekarang gering
yang makin terhapus
tunggulah masanya bahasa ini
akan pupus!

BAHASA: ADA GURU PPSMI YANG MENDAPAT GRED 9 BAHASA INGGERIS SPM!

JIKALAU GURU YANG MENGAJAR DAN MENYOKONG PPSMI (kerana dapat elaun 10% dan laptop) PUN MENDAPAT GRED 9 DALAM BAHASA INGGERIS SEMASA SPM, BOLEHKAH KITA BAYANGKAN BAGAIMANA PENGUASAANNYA DAN KEMAMPUANNYA UNTUK MENGAJARKAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS! SETUJUKAH SAUDARA JIKA SAYA KATAKAN BAHAWA HAMPIR KESELURUHAN GURU, KHUSUSNYA GURU MELAYU TIDAK MAMPU MENGGUNAKAN BAHASA INGGERIS DENGAN BAIK? LINGKUP ANAK BANGSA! LINGKUP BAHASA MELAYU! LINGKUP SISTEM PENDIDIKAN JIKA DASAR INI MASIH TERUS DIAMALKAN! TAK PERCAYA, CUBA TENGOK KEPUTUSAN UJIAN BAHASA INGGERIS TERHADAP GURU PPSMI. ALASAN BAHAWA GURU-GURU INI DIHANTAR BERKURSUS TIDAK RELEVAN KERANA KURSUS YANG DIJALANKAN SELAMA BEBERAPA HARI TIDAK MAMPU UNTUK MEMBANTU GURU-GURU INI MENGUASAI BAHASA INGGERIS. MEMANG ADA GURU YANG BAIK DALAM HAL INI, NAMUN YANG TIDAK BAIKNYA TERLALU BANYAK! SAYA NAIK MELUAT JIKA ADA GURU (KHUSUSNYA GURU MELAYU) YANG MENYOKONG DASAR INI KERANA SAYA TAHU MEREKA TAK BOLEH BERCAKAP DALAM BAHASA INGGERIS PUN! TUNGGANG-LANGGANG! LAPTOP YANG DIBERI PERCUMA ITU DIGUNAKAN HANYA UNTUK MENGISI GAMBAR PERCUTIAN KE LANGKAWI, GAMBAR ADIK KAHWIN, GAMBAR ANAK SEDANG BERGAMBAR DI TEPI PANTAI! LEPAS GUNA LAPTOP GILA-GILA, BUAT LAPORAN LAPTOP ROSAK, KEMUDIAN DATANG BEKALAN BARU, DAPAT YANG LAIN PULAK! HOI, AKU BAYAR CUKAI PENDAPATAN! BUKAN CEMBURU, KERANA AKU SUDAH ADA TIGA LAPTOP! TAK HARAP LAPTOP DUIT RAKYAT! KEPADA GURU-GURU YANG BERKENAAN, BETUL TAK APA YANG AKU CAKAP NI? KALAU TAK BETUL, HUBUNGI AKU...AKU BERANI BERDEBAT UNTUK MEMPERTAHANKAN PENDAPAT INI DEMI MARUAH BANGSA DAN BAHASAKU!
PPSMI era kematian bahasa Melayu
Oleh Salbiah Ani - Berita Harian, 27 November 2008

PENGAJARAN dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) akan mengakibatkan bahasa Melayu mati di negara yang mendaulatkannya sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara meskipun ia dilindungi oleh pelbagai akta dalam Perlembagaan Persekutuan. Timbalan Presiden, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani, demi masa depan bahasa Melayu yang sudah digunakan sejak 1972 hingga 2002 di sekolah rendah sehingga ke universiti pada semua peringkat, ia perlu diselamatkan segera. “Bila semua mata pelajaran yang berkaitan dengan sains dan teknologi diajar dalam bahasa Inggeris, maka ia adalah saat kematian pada bahasa Melayu dan pemimpin perlu tengok bahaya daripada dasar PPSMI. Pemimpin Melayu perlu ingat perkara ini kerana bukan pelajar saja yang teraniaya.
“Justeru PLM menyokong keputusan Pena agar PPSMI dirujuk kepada Sultan dan cadangan Yayasan Karyawan agar isu itu dibawa pada Perhimpunan Agung Umno Mac 2009, malahan pada Majlis Raja-raja Melayu,” katanya ketika menghubungi Sastera. Beliau yakin bahawa langkah terbabit perlu kerana hampir semua pemimpin Melayu tidak peduli pada kematian bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi sedangkan penggunaannya sudah terbukti tidak menyekat sesetengah kursus di universiti awam mendapat pengiktirafan antarabangsa. “Saya masih ingat lagi Ijazah Pergigian di Universiti Malaya (UM) mendapat pengiktirafan badan antarabangsa di United Kingdom pada zaman UM diterajui Prof Datuk Dr Hashim Yaacob dan ini adalah pengiktirafan kepada bahasa Melayu juga,” katanya.
Kementerian Pelajaran diingatkan agar tidak tenggelam dalam hasil ‘kajian’ ala pembesar lewat cerita Maharaja dengan Baju Baru yang memberi kata-kata muluk bagi menyedapkan hati pemimpin sehingga sanggup membiarkan orang atasan mereka berbogel di khalayak ramai. Apa juga keputusan UPSR 2008, hakikatnya dua bahasa iaitu Melayu dan Inggeris digunakan untuk PPSMI oleh sesetengah guru khususnya di sekolah kawasan pinggir dan luar bandar kerana mereka sendiri tidak mampu mengajar dalam bahasa Inggeris. PLM berharap pemimpin peka dengan kematian bahasa Melayu kerana hakikatnya bahasa terbabit sudah digunakan sejak 30 tahun lalu dan ia seiring dengan usaha penciptaan istilah baru dalam pelbagai bidang ilmu yang diamanahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Malah, penciptaan istilah baru ini perlu ditingkatkan lagi dan jika tidak digunakan dalam pengajaran, maka tiada keperluan untuk badan berkanun terbabit untuk mencipta dan menerbitkan buku sains dan teknologi dalam bahasa Melayu seperti ditangani DBP dan Penerbit Universiti “Untuk benar-benar memperkasakan bahasa Melayu, kita perlu guna bahasa ini dalam semua bidang ilmu. Rujuk kepada teras satu, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan di institut pengajian tinggi dalam usaha membina negara bangsa iaitu bangsa Malaysia dan negara Malaysia. “Ia mesti berteraskan bahasa kebangsaan sebagai jati diri negara dan tiada bahasa lain yang boleh mengambil alih teras kepada bangsa di Malaysia. PLM tidak menolak pembelajaran bahasa asing dan berasa kesal serta sedih dengan sikap pemimpin Melayu berdolak-dalik,” tegasnya. PLM kesal banyak pemimpin Melayu yang tidak bersedia memenuhi permintaan majoriti berhubung perkara ini demi menyelamatkan kedudukan politik peribadi dan bukan bangsa demi bangsa mahupun bahasa Melayu. “Ini bukan soal emosi. Ini soal jati diri, teras dan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam konteks lebih luas. PPSMI akan mengakibatkan bahasa itu terus digunakan di IPT dan ini mengakibatkan bahas Melayu akan terpinggir,” katanya. Pandangan Tun Dr Mahathir berhubung PPSMI selepas Wacana Dilema Melayu Sabtu lalu, disifatkan Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia, Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), Prof Dr Awang Sariyan, sebagai hujah yang tergelincir daripada hakikat. “Ketika Tun Mahathir membuat keputusan untuk melaksanakan PPSMI, tiada kajian yang dibuat bagi menunjukkan bahawa kelemahan penguasaan Sains dan Matematik di kalangan pelajar Melayu disebabkan oleh pengajarannya dalam bahasa Melayu,” katanya yang mengulas perkara itu melalui kiriman e-mel kepada Sastera. Prof Awang mengingatkan Tun Mahathir bahawa negara sebenarnya sudah melahirkan ribuan sarjana berwibawa dalam bidang sains dan teknologi selain bertaraf antarabangsa melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu. “Adakah Tun Mahathir bermaksud Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan sejak merdeka adalah dasar negara yang silap? Jika benar, adakah kesilapan itu patut diatasi dengan keputusan bersifat ad hoc?” soalnya. Prof Awang berkata, bahasa Inggeris asalnya hanya bahasa vernakular, bukan diturunkan dari langit sedia sempurna dan sebelum menjadi bahasa besar, orang Eropah bergantung pada bahasa Latin serta Perancis dalam bidang ilmu, pentadbiran, undang-undang mahupun ekonomi. “Demikianlah maka bahasa Melayu perlu diberi waktu untuk menjadi mantap semula sebagai bahasa ilmu, termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Amat malang apabila kita sendiri tidak mempunyai perancangan dan kesediaan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi. “Kita sekadar berpuas hati menyaksikan bahasa Melayu menjadi bahasa percakapan, seperti yang dibanggakan oleh Tun Mahathir mengenai kebolehannya menggunakan bahasa Melayu walaupun belajar di sekolah Inggeris,” ujarnya.

SURAT PROF. DR. AWANG SARIYAN DALAM BERITA HARIAN, 26 NOVEMBER 2008

Martabatkan bahasa Melayu dalam Sains dan Matematik

PANDANGAN Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Wacana Dilema Melayu anjuran Gapena di Kuala Lumpur baru-baru ini bahawa dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) patut diteruskan tidaklah memeranjatkan kerana beliaulah pencetus, pemutus dan pelaksananya. Beliau masih dengan sikap biasanya yang tidak sesekali berubah atau berpatah balik apabila membuat keputusan. Dalam laporan Bernama, Tun mengatakan bahawa PPSMI penting agar anak Melayu menguasai Sains dan Matematik dan sekali gus meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Ketika Tun membuat keputusan untuk melaksanakan PPSMI, tiada kajian dibuat menunjukkan bahawa kelemahan penguasaan Sains dan Matematik dalam kalangan pelajar Melayu (jika benar anak Melayu begitu lemah dalam kedua-dua subjek itu) disebabkan oleh pengajarannya dalam bahasa Melayu. Kita sebenarnya melahirkan ribuan sarjana dalam bidang sains dan teknologi yang berwibawa dan bertaraf antarabangsa melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu.

Tun menekankan bahawa bahasa Inggeris patut dijadikan bahasa penghantar Sains dan Matematik kerana bahan ilmu kedua-dua bidang itu banyak ditulis atau terbit dalam bahasa Inggeris. Fakta itu tidak cukup kuat untuk kerajaan mengetepikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar Sains dan Matematik kerana bahasa Inggeris itu sendiri asalnya hanya bahasa vernakular, bukan bahasa yang diturunkan dari langit sedia sempurna. Sebelum bahasa Inggeris menjadi bahasa besar, orang Eropah bergantung pada bahasa Latin dan Perancis dalam bidang ilmu, pentadbiran, undang-undang dan ekonomi. Demikianlah maka bahasa Melayu perlu diberi waktu untuk menjadi mantap sebagai bahasa ilmu, termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Amat malang halnya apabila kita sendiri tidak mempunyai perancangan dan kesediaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi, dan cukup sekadar puas hati menyaksikan bahasa Melayu menjadi bahasa percakapan, seperti yang dibanggakan Tun mengenai kebolehannya menggunakan bahasa Melayu walaupun belajar di sekolah Inggeris. Kita perlu membezakan taraf bahasa ilmu daripada bahasa perhubungan sehari-hari jika kita mengimpikan bahasa Melayu menjadi bahasa besar pada masa depan. Tentulah aib bagi bangsa Melayu yang berhasrat menjadi bangsa besar di dunia tetapi hanya memiliki bahasa perhubungan sehari-hari dan untuk hal ehwal ilmu dan budaya tinggi terpaksa menggunakan bahasa asing.
Hujah Tun bahawa bangsa Arab menjadi maju kerana mempelajari bahasa Greek untuk menguasai sains dan teknologi juga ternyata meleset. Mempelajari bahasa asing dan menggunakan bahasa asing untuk mengembangkan ilmu kepada masyarakat atau bangsa adalah dua hal yang sama sekali berbeza. Maka itu tidak ada pejuang bahasa manapun yang menolak hakikat pentingnya kita mempelajari dan menguasai bahasa asing sebagai jambatan ilmu dan tamadun. Namun, PPSMI bukan program pembelajaran bahasa asing, sebaliknya program pengembangan ilmu kepada bangsa kita dalam bahasa asing! Pada hakikatnya, orang Arab yang mempelajari dan menguasai bahasa Greek ialah sarjananya, sementara ilmu kepada masyarakat dan bangsanya dikembangkan dalam bahasa Arab. Hal yang sama dilakukan oleh Barat yang memperoleh pelbagai disiplin ilmu daripada sarjana Arab. Mereka mempelajari dan menguasai bahasa Arab untuk memindahkan ilmu dalam bahasa Arab ke dalam bahasa mereka sendiri. Oleh itu, Barat tidak menggunakan bahasa Arab untuk mengembangkan ilmu kepada bangsa mereka, tetapi sebaliknya menggunakan bahasa mereka sendiri. Itulah hakikat jalan sejarah perkembangan tamadun di dunia. Seluruh bangsa dan negara yang besar dan maju di dunia sekarang ini pun masih tetap memajukan bangsa dan negara mereka dalam bahasa masing-masing. Angkasawan kita yang ditumpangkan dalam Soyuz Russia pun terpaksa beberapa bulan mempelajari bahasa Rusia untuk mengikuti misi ke angkasa perlepas. Kekuatan bahasa Inggerisnya rupa-rupanya belum cukup melayakkan dia untuk diterima mengikuti misi itu!
Tun turut menggunakan contoh silap apabila mengatakan bahawa buku panduan atau manual telefon bersel yang dicetak dalam bahasa Inggeris oleh pengeluar menyebabkan ilmu Sains yang diajarkan dalam bahasa Melayu menjadi tidak berguna. Bukankah buku panduan itu dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu atau pelajar kita yang diajar dengan baik bahasa Inggerisnya dapat memahami buku panduan dalam bahasa Inggeris itu. Mungkin Tun belum pernah melihat telefon bersel yang panduannya ditulis dalam bahasa Melayu pada perisian telefon itu sendiri! Sebagaimana pendukung PPSMI yang lain, Tun mengulang lagu lama bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik bukan langkah meminggirkan bahasa Melayu. Namun, dengan terang di hadapan mata kita bahawa apabila bahasa Melayu akan hanya berfungsi pada sekitar 40 peratus atau kurang di sekolah dan sekitar 30 peratus atau kurang di IPT, maka amat jelas bahawa bahasa Melayu memang terpinggir dan tidak berperanan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, sebagaimana yang ditetapkan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Usahlah kita mengalami nasib 'Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'. Ingatlah juga kata orang tua-tua 'Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya'. PROF. DR. AWANG SARIYAN, Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia - China, Universiti Pengajian Asing Beijing.

Thursday, November 27, 2008

MOTIVASI: KATA-KATA PUJANGGA

DI BAWAH IALAH PETIKAN KATA-KATA YANG MENARIK UTK DIKONGSI...SEMOGA KITA BEROLEH MANFAAT. PETIKAN INI SAYA PEROLEH DAN KUMPULKAN DARIPADA SEBUAH BUKU TULISAN RAZZI AR-MANSUR, SEORANG PENULIS BUKU MOTIVASI YANG BAIK.
1 Boleh dikatakan bahawa semua orang tahu ramuan yang perlu untuk kejayaan. Hanya satu masalahnya, iaitu mereka tidak bersedia untuk membayar harganya. (Rich Port)
2 Cara manusia bertindak bergantung pada sikapnya. Cara dia bersikap bergantung pada kesimpulannya. Cara dia mengambil kesimpulan bergantung pada cara dia berfikir. Dan cara dia berfikir bergantung pada pengetahuan dan pengalamannya. (Anonim)
3 Insan yang tidak takut itu berjaya dalam apa-apa saja yang dia lakukan. (Napoleon Hill)
4 Manusia itu adalah banduan kepada segala perkara yang tidak dimilikinya. (Anwar Sadat)
5 Apa sahaja yang anda beri akan datang semula kepada anda. (Estee Lauder)
6 Wang itu seperti baja. Anad perlu taburkan ia di merata tempat. Jika tidak ia akan berbau busuk. (Jean Paul Getty)
7 Saya pernah kaya. Saya pernah miskin. Percayalah, kaya itu lebih baik. (Sophie Tucker)
8 Setiap orang cemerlang dalam sesuatu yang mana orang lain gagal. (Publilius Syrus)
9 Pilihlah kerja yang anda suka, dan anda tidak perlu bekerja walaupun sehari dalam hidup anda. (Confucius)
10 Manusia biasanya hanya mengambil kira keperluan mereka, tidak kebolehan mereka. (Napoleon Bonaparte)
11 Dengki terhadap kejayaan orang lain hanya akan merugikan anda. Jangan terlalu fokus kepada orang lain, fokus kepada diri anda.
12 Luangkan masa untuk bekerja, ia adalah hadiah kejayaan. Luangkan masa untuk bercinta, ia hidup yang suci. Luangkan masa untuk bermain, ia rahsia awet muda. Luangkan masa untuk membaca, ia asas pengetahuan. Luangkan masa untuk membantu kawan, ia sumber kegembiraan. Luangkan masa untuk impian, ia menghidupkan harapan. Luangkan masa untuk ketawa, ia rempah kehidupan. Luangkan masa untuk iman, ia jalan ketakwaan. Luangkan masa untuk solat, ia menghampirkan dirimu kepada Tuhan dan membersihkan debu bumi dari matamu. (Anonim)
13 Jangan lupa bahawa tenaga yang paling kuat di atas bumi ini ialah kasih sayang. (Nelson Rockefeller)
14 Satu impian lebih baik daripada seribu mimpi. Satu kesedaran lebih baik dari seribu impian. Satu tindakan lebih baik dari seribu kesedaran. Satu matlamat lebih baik dari seribu tindakan. Satu keikhlasan lebih baik dari seribu matlamat.
15 Sebilangan besar idea-idea yang hebat memancar kisah pada perkara-perkara yang mudah, hinggakan setiap orang hairan mengapa tidak seorang pun pernah melakukannya sebelum ini. (Estee Lauder)
16 Imaginasi lebih penting daripada ilmu pengetahuan. (Einstein)
17 Jangan hiraukan apa yang orang lain lakukan. Buatlah lebih baik daripada apa yang anda lakukan, kalahkan rekod anda dari hari ke hari, anda adalah seorang yang berjaya. (William J. H. Boetcker)
18 Jika kita mahu mencapai kecemerlangan kita mesti mencari peluang dalam setiap kerumitan, bukan mencari kerumitan dalam setiap peluang. (Walter E. Cole)
19 Minda yang agung mempunyai tujuan, minda lainnya hanya mempunyai hasrat. (Washington Irving)
20 Insan yang perlukan banyak daripada dirinya dan sedikit sekali daripada orang lain akan menjadi seorang yang teguh keadaan dirinya. (Confucius)
21 Hanya halangan mental sajalah yang membantutkan usaha ke arah kejayaan. (Clarence Blasier)
22 Melencong seinci, rugi seribu tahun. (Bidalan Cina)
23 Mengetahui apakah matlamat anda dan ingin mencapainya, tidak akan membawa anda hampir kepadanya. Tindakan yang mampu berbuat demikian. (George Eld)
24 Dengan usaha, api mampu terbit dari batu. (Bidalan Denmark)
25 Kegagalan bukan bererti jatuh, ia bererti tetap di situ bila anda sudah jatuh. (Anonim)
26 Jika anda tidak memecahkan kulitnya, anda tidak akan dapat memakan kacangnya. (Bidalan Rusia)
27 Manusia patut menjadi tuan kepada jam dan harinya, bukan sebagai hamba sahaya. (William Frederick Book)
28 Ke mana digunakan kekayaan (untuk kebaikan) adalah lebih baik daripada memilikinya. (Fernando de Rojas)
29 Keinginan untuk bekerja adalah terlalu jarang dijumpai hinggakan ia patut digalakkan di mana sahaja ia dijumpai. (Abraham Lincoln)
30 Berfikir adalah kerja yang paling sukar, dan mungkin sebab mengapa sedikit sekali manusia yang melibatkan diri dengannya. (Henry Ford)
31 Tiga rahsia mencari banyak wang; berjimat cermat, mengurangkan perbelanjaan, dan menambahkan pendapatan.
32 Tidak ada yang lebih buruk dan lebih berbahaya dalam hidup ini selain rasa takut untuk melakukan sesuatu yang positif. (Nehru)
33 Wang tidak pernah melahirkan idea, tetapi idealah yang melahirkan wang. (William J. Cameron)
34 Waktu sangat berharga, maka janganlah engkau habiskan kecuali untuk sesuatu yang berharga.
35 Jika anda tidak sanggup berkorban apa yang anda telah ada, tipislah harapan untuk anda memperoleh apa yang anda belum ada.
36 Dengan wang, anda hanya boleh membeli tilam yang empuk, bukan nyenyak tidur. Anda hanya boleh membei bku, bukan kebijaksanaan. Anda hanya boleh membeli makanan, bukan kepuasan selera. Anda hanya boleh membeli ubat, bukan kesihatan. Anda hanya boleh membeli rumah, bukan kekeluargaan. Anda hanya boleh tubuh badan, bukan cinta. Anda hanya boleh membeli perhiasan, bukan kecantikan. Anda hanya boleh membeli pangkat, bukan kehormatan. Anda hanya boleh hiburan, bukan kegembiraan. Anda hanya boleh membeli harta, bukan kebahagiaan. Anda hanya boleh populariti, bukan kaliber. Anda hanya boleh kekuasaaan, bukan kebenaran. Anda hanya boleh membeli agama, bukan keimanan. (Anonim)

TERIMA KASIH AZURA DAN CIKGU ABU NAIM!

Terima kasih kerana kalian berdua menjadi orang pertama dan kedua yang respons blog saya! Insya-Allah, blog ini akan memaparkan perjalanan hidup, luahan perasaan, cetusan pandangan, lontaran kehidupan seorang manusia yang cinta akan bangsa, bahasa, dan budayanya! Saya sekarang di kampung halaman - Pulau Pinang setelah bercuti selama beberapa hari di Cameron Highland, Lumut, Pulau Pangkor, dan Taiping. Saya akan berada di kampung selama 2 minggu dan akan kembali semula ke JB 10 hb. Disember 2008. Kepada Azura dan Cikgu Abu Naim, saya telah layari blog anda, dan akan terus lestari untuk mengunjunginya...teruskan usaha dan sama-samalah kita berkongsi pandangan tentang kehidupan. Hidup Bangsa Melayu! Hidup Bahasa Melayu! Hidup DBP!

Tuesday, November 25, 2008

TATABAHASA: SEJARAH RINGKAS SISTEM EJAAN RUMI

Rancangan Pembakuan
Rancangan pembakuan Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu bermula pada tahun 1904 dan disempurnakan pada tahun 1972.

Sistem ejaan rumi yang pernah wujud:
a) Sistem Ejaan Wilkinson (1904) – ejaan sekolah Melayu di Malaya
b) Ejaan Za’ba (1949) – ejaan sekolah hingga 1972
c) Sistem Ejaan Fajar Asia (1945 – 1954) – ejaan majalah Fajar Asia
d) Ejaan Rumi Kongres 1956 – ejaan Asas 50 (Angkatan Sasterawan ’50)
e) Kaedah Ejaan PBMUM (Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya) – ejaan majalah
Bahasa

Penyelarasan dan Pelaksanaan
Penyatuan ejaan rumi antara bahasa Melayu di Malaysia dengan yang di Indonesia bermula pada tahun 1959. Walau bagaimanapun, ejaan yang disetujui bersama-sama, iaitu Ejaan Malindo pada tahun 1959 ini tidak dapat dilaksanakan. Persetujuan tentang Sistem Ejaan Rumi Bersama yang ditandatangani pada 27 Jun 1967 telah diisytiharkan penggunaannya serentak di Malaysia dan Indonesia pada 16 Ogos 1972. Di Malaysia, sistem ini dikenal sebagai Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu.

WITRA: DI LUMUT...

SAYA SEKARANG MENGINAP DI HOTEL WATER HILL, LUMUT SELEPAS BERCUTI DUA HARI DI CAMERON HIGHLAND. ESOK BERCADANG HENDAK KE PULAU PANGKOR. SAJA BAWA KELUARGA BERCUTI. REHATKAN FIKIRAN SAMBIL MENIKMATI ALAM TUHAN SETELAH PENAT BEKERJA SIANG DAN MALAM, MEMERAH OTAK DAN TENAGA MENCARI REZEKI DI HUJUNG TANAH...TETAPI, BLOG TETAP DIKEMASKINIKAN...UNTUK TATAPAN RAKAN-RAKAN DAN TEMAN SEPERJUANGAN.
p/s: Untuk Encik Rusdi (DBPWS) - Jadikan peristiwa di Singapura sebagai pengajaran. Insya-Allah, selepas saya kembali ke JB, kita aturkan rencana...

Monday, November 24, 2008

FIKIRKAN SEJENAK


TENTANG ISU PAPAN TANDA PELBAGAI BAHASA DI PULAU PINANG, RASA-RASANYA, FASAL 152 PERLEMBAGAAN MALAYSIA PERLU DIKUATKUASAKAN DENGAN SANGAT-SANGAT TEGAS KERANA KUASANYA DENGAN MUDAH DIATASI OLEH AKTA KECIL YANG HANYA DILULUSKAN DI DUN! MANA PEMIMPIN MELAYU? MANA UMNO? MANA PAS? MANA ORANG MELAYU YANG KONONNYA ADA KETUANAN DI TANAH AIR INI? MANA! MANA! MANA! BAHASA MELAYU BENAR-BENAR DIINJAK, DIPIJAK, DAN DIPERLEKEH! SAMPAI BILA KITA HENDAK MELIHAT SATU DEMI SATU ISU BAHASA DIPERMAIN-MAINKAN! JANGANLAH NANTI, KITA MENYESAL...TIDAK KASIHANKAH KITA KEPADA ANAK CUCU KITA NANTI! WAHAI PEMIMPIN MELAYU, TOLONG BACA FASAL 152 BETUL-BETUL...........!

Sunday, November 23, 2008

CERPEN: SUATU PEMERGIAN

Cerpen ini dikarang oleh seorang pelajar tuisyen aku, Ooi Dai Jing. Pelajar yang baru tingkatan satu (2008) ini belajar di Sekolah Seri Omega, Johor Bahru. Cerpen ini merupakan cerpen pertamanya yang dihantar kepada aku untuk dimurnikan. Tahniah kepada Ooi Dai Jing! Cikgu berharap agar kamu akan terus berkarya kerana kamu mamou menjadi penulis yang baik.

SUATU PEMERGIAN

“Nama saya Andy, kamu?”
“Raja,” kata seorang remaja sambil menyarung jaketnya. Dia menghampiri motosikalnya lalu menghidupkan enjinnya. Tanpa menoleh ke arah Andy, dia memecut laju. Andy melihat kelibatnya pergi sambil tersenyum tawar. Raja merupakan jiran baharunya yang baru berpindah dan Andy berasa mereka sebaya. Tubuhnya tinggi lampai dan rambut sedikit keriting. Andy berasa mungkin dia akan bersekolah di sekolahnya juga. Daripada gayanya, Andy mengagak Raja pasti akan ditemuinya lagi di sekolah nanti. Mungkinkah mereka akan berada di kelas yang sama? Harap-harap tidak, getus hati kecilnya.
Keesokan harinya, Andy terkesima tatkala melihat kelibat Raja di kelasnya. Kelas 5 Dedikasi agak berubah pada hari itu kerana kemasukan Raja. Walaupun baru pertama kali menjejakkan kaki ke kelas itu, kelihatan Raja tidak canggung. Dia mudah mendapat kawan kerana pandai bergurau dan sungguh ramah. Banyak juga hal yang dibincangkan mereka. Walaupun baru hari pertama di sini, Raja seolah-olah sudah ingin menunjukkan belangnya. Andy percaya memang itu kerenahnya kerana walaupun mereka berjiran, Raja bukan sahaja telah memperlihatkan belang, namun taringnya. Andy hanya memperhatikan gelagat Raja dari jauh sambil terfikir-fikir tentang sesuatu. Sebenarnya, dia dan keluarganya tidak begitu menyukai Raja dan keluarganya, Encik Muthu dan Puan Devi. Walaupun baru berpindah, namun mereka kelihatan sombong. Andy paling benci orang yang bersikap bongkak sebegitu. Sekurang-kurangnya, ada sekelumit perasaan ingin menghormati jiran tetangga. Apatah lagi, mereka yang baru berpindah. Hairan juga Andy dan keluarganya dengan perangai yang ditunjukkan oleh Raja sekeluarga.
Daripada gelagat Raja, sudah dapat melihat keburukannya dengan jelas, bisik Andy dalam hatinya. Raja seorang murid yang tidak memiliki sahsiah yang baik dan suka berpelesiran. Setelah dua minggu bersekolah, belang Raja sudah kelihatan. Tidak hairanlah sudah beberapa kali dia dipanggil oleh guru disiplin. Melanggar peraturan sekolah seperti menjadi hobinya. Raja menjadi amat terkenal di sekolahnya disebabkan oleh sikapnya itu. Andy sebagai pengawas di sekolah sering menegur Raja untuk mengubah sikapnya tetapi Andy selalu dikecewakannya. Kadangkala, Andy pula diketawakan oleh rakan karib Raja kerana dia selalu dianggap gemar mencampuri urusan orang lain. Andy pernah berfikir, bolehkah dia berhenti menegurnya? Mesti boleh, tetapi dia ingin mengubah sikap Raja yang buruk itu. Namun begitu, jawapan yang diterimanya selalu menghampakan. Dia mesti menolong Raja! Raja merupakan jirannya dan kawannya, mestilah dia perlu berbuat sesuatu. Tetapi, untuk apa jika yang ingin dibantu itu bersikap keras kepala. Andy mengeluh kecil. Hei Andy, tak usahlah pening-peningkan kepala kamu itu! Andy sering terdengar bisikan kecil yang melintas di cecuping telinganya.
“Eh, siapakah pengawas yang asyik menegur dan menasihatiku ini? Celopar betullah pengawas yang ini! Kau ingat kau wira, ya? Mentang-mentanglah pengawas!” sindir Raja sambil membelalak matanya. Tangannya digenggam-genggam. Dia semakin menghampiri Andy dan cuba untuk melepaskan tumbukan. Andy sempat mengelak. Dia tak menyangka bahawa peristiwa Raja cuba membelasah seorang pelajar di belakang kantin beberapa hari yang lalu menerbitkan perasaan dendam dalam hati Raja setelah kejadian itu dimaklumkan oleh seorang pengawas kepada guru disiplin.
“Raja, selagi kamu bersikap begini, kamu tidak akan berjaya. Bukankah peperiksaan SPM semakin menjelang? Saya mahu kamu menjadi pelajar yang baik dan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan itu. Kamu bukan sahaja rakan sekelas saya malah kita berjiran!” nasihat Andy kepada Raja. Dia masih cuba untuk meyakinkan Raja bahawa masih ada cahaya untuk berubah, jika itu yang dimahukannya.
“Sudahlah Andy! Jangan menjaga tepi kain orang. Dunia kita berbeza bagai langit dengan bumi. Aku lebih mementingkan keseronokan dan kegembiraan. Engkau? Cuma belajar saja. Jadi, pergi belajar hingga kau letih! Aku tidak mencampuri urusan kau, kau pun tidak perlu campuri urusanku! Hati kau bengkakkah jika aku tidak ingin menjadi baik seperti malaikat seperti kau? Tak perlu kau hendak berlagak baik. Ibu bapaku tak pernah menegurku selama ini. Sekarang kamu pula hendak menyibuk! Jangan mencabar aku!” gertak Raja. Andy terdiam membisu. Dia membungkam lalu pergi dari situ dengan penuh kesalan yang membukit.
Langit perhubungan mereka semakin gelap. Mendung yang selama ini menaungi ikatan hubungan mereka tidak ada tanda-tanda akan kembali cerah. Harapan perhubungan yang erat semakin dilupakan. Beberapa hari kemudian Raja dipanggil oleh guru disiplin untuk berjumpa dengannya.
“Raja, semalam ada pengawas mendapati kamu telah merokok di dalam tandas sekolah. Kamu tidak habis-habis menimbulkan masalah. Sejak kamu berpindah ke sini, macam-macam kes kamu timbulkan.”
“Err…minta maaf, cikgu” kata Raja sambil berpura-pura menggigil ketakutan dan matanya bergerak-gerak, agaknya hendak berfikir sesuatu.
Tanpa apa-apa amaran lagi, guru disiplin itu memimpin tangan Raja dan membawanya ke bilik pengetua. Raja ditegur oleh pengetua dan Raja berpura-pura menangis. Seperti yang sering diterimanya, Raja yang gemar merokok tersebut dirotan oleh pengetua. Dia mengerang kesakitan tetapi dalam ruang otaknya, dia menyimpan dendam kepada Andy. Mestilah Andy yang laporkan hal ini kepada guru disipin, fikir Raja sambil memandang ke depan selepas menerima hukuman pengetua. Dia berjalan dengan perlahan balik ke kelasnya. Tiba-tiba, dia terjumpa Andy yang sedang berjalan menuju ke kelas.
“Kamu kena berhati-hati sikit, Andy! Jangan kamu aku lakukan seperti bola!” herdik Raja tanpa dapat menahan rasa amarah yang meluap-luap. Andy terpisat-pisat mendengar laungan ancaman Raja. Andy terdiam sejenak kerana dia memang tidak mengetahui bahawa sebentar tadi, Raja dirotan.
Selepas sesi persekolahan, Raja pun menunggu Andy di luar pagar sekolah. Dendamnya tidak dapat dibendung lagi. Andy mesti dikerjakannya. Dia sudah terlupa bahawa Andy jirannya yang baik. Fikirannya tidak rasional lagi. Kewarasannya hilang. Apabila dia ternampak Andy, satu tumbukan melayang dan singgah di pipi Andy. Andy terlentang dan mengerang kesakitan.
“Ingat, Andy! Jangan kamu campuri urusanku lagi! Aku tahu kamu yang melaporkan hal ini kepada guru disiplin. Walaupun kita berjiran, tetapi sekarang kita bermusuhan. Ibu bapaku pun tidak suka dengan keluarga kamu. Menyesal kami menjadi jiran kamu!” laung Raja tanpa berselindung lagi lalu pergi. Andy bangun perlahan-lahan dan berjalan balik ke rumahnya. Apakah salah diriku, hati kecilnya bersuara. Darah mengalir membasahi bibirnya dek tumbukan kencang Raja itu. Andy tidak mahu melawan kerana dia bimbang, Raja akan memanggil kawan-kawannya untuk turut berperanan. Apabila tiba di rumah, dengan segera Andy melaporkan hal tersebut kepada ibu bapanya. Encik Gan pun bergegas ke rumah Encik Muthu yang terletak bersebelahan mereka.
“Encik Muthu, anak awak telah menumbuk anak saya. Apalah dosa dan salahnya? Bukankah kita boleh berbincang jika menghadapi apa-apa masalah?” kata Encik Gan dengan suara lembut.
“Tidak mungkin! Anakku baik dan sopan! Macam mana dia akan menumbuk anak engkau? Janganlah serkap jarang, Encik Gan. Tak ada gunanya menuduh anakku secara sesuka hati! Aku tidak berminat untuk melayan cakap-cakap begini!” jerkah Encik Muthu sambil menjeling Encik Gan. Encik Gan tidak dapat bercakap apa-apa. Dia menundukkan kepala lalu pergi dari situ. Dia tidak mahu memanjangkan hal itu. Esok, dia akan melaporkan hal itu kepada pihak sekolah. Dia benar-benar tidak dapat menerima perbuatan anak Encik Muthu. Memang salah Encik Muthu membela anak tunggalnya itu dengan menyebelahinya, fikir Encik Gan dengan sedalamnya.
Kecewa dan sedih timbul di dalam kalbu Andy. Harapannya untuk mengubah sikap Raja itu telah dianggap mimpi-mimpi abstrak sahaja. Ada apa maksudnya untuk membantu Raja yang degil itu? Tentulah seperti mencurah air ke daun keladi. Hati Andy umpama bunga kelayuan. Penyakitnya telah menginap di badan Andy sejak kecil lagi. Dia pernah terdengar doktor telah memberitahu ayahnya bahawa dia tidak dapat hidup dengan lebih lama kerana kanser peparu yang dihidapinya sukar diubati. Manik-manik jernih mengalir keluar membasahi pipi Andy.
Bulan purnama yang penuh kesuraman telah keluar dari litupan awam. Cahayanya kelam. Raja membawa motosikalnya meluncur laju di jalan raya yang bengkang-bengkok seperti ular kena palu. Dia tidak pernah berfikir bahawa malang tidak berbau. Apabila tiba di satu selekoh berbahaya, Raja yang digelar “Jaguh Rempit” pun membelok motosikalnya. Satu dentuman yang kuat dapat didengari. Raja terbuang dari motosikalnya dan terjatuh. Kepalanya berdarah. Darah membuak-buak tertumpah di atas jalan raya. Dia mengerang kesakitan dalam titisan merah tersebut. Penglihatannya mulai menjadi kabur.
“Ayah! Mak! Tolong, tolong!” jerit Raja sekuat-kuatnya lalu pengsan di atas jalan raya. Kesakitan tersebut yang begitu menusuk hingga tidak dapat ditahan lagi oleh Raja. Pada saat yang penuh kekeliruan, pengguna jalan raya yang melalui selekoh tersebut ternampak kemalangan tragis itu dan segera mengelilingi Raja. Mereka terhendap-hendap untuk menjenguk apa yang telah berlaku. Suasana menjadi cemas.
Keadaan Raja tidak stabil kerana mengalami kecederaan parah. Encik Muthu dan Puan Devi tercengang-cengang mendengar kata-kata doktor yang mengatakan bahawa buah pinggang Raja juga telah rosak. Andy yang kedengaran hal itu daripada ayahnya terkejut. Apa telah terjadi kepada Raja, hati Andy bersuara kecil. Dia pun bersiap-siap untuk melawat Raja. Tatkala dia baru hendak keluar dari rumah, tiba-tiba Andy terjatuh dan dihantar ke hospital. Situasi pada saat itu sangat mencemaskan. Kali ini, Andy telah tidak dapat diselamatkan. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia sempat menulis suatu catatan.
“Raja,
Aku akan betul-betul pergi kali ini. Biarkanlah perpisahan kita ini berpanjangan. Aku telah memikirkan hal ini setelah aku mendengar peristiwa kemalangan itu. Aku akan mendermakan buah pinggang kepadamu. Semoga dengan buah pinggang ini, nyawamu akan dapat diselamatkan dan kamu akan menjadi anak yang baik kepada ibu bapamu, pelajar yang baik kepada gurumu, dan warga yang baik kepada bangsa dan negaramu. Jika ada kesalahamu terhadapku, telah lamu aku maafkan. Selamat berjumpa di syurga, kawan dan juga jiranku yang baik.”
Yang selalu dirindui,
Andy
Andy kembali ke pangkuan Tuhan. Terdapat titisan air mata di pipinya ketika dia dijemput pulang. Encik Gan dan isterinya berpelukan dan menangis tersedu-sedan. Andy telah pergi untuk bersendirian.
Raja beransur pulih. Dia pun meneruskan kehidupannya dengan penuh keseronokan. Hingga satu hari, Raja diberitahu bahawa buah pinggangnya yang berada di dalam tubuhnya itu merupakan milik Andy. Dia terkejut. Sejak kejadian itu, Encik Muthu dan isterinya begitu terhutang budi kepada Andy dan keluarganya. Mereka telah jauh tersimpang dari landasan yang benar.
Hari telah larut malam. Bintang berkelip-kelipan. Raja masih termenung di mejanya. Dia teringat akan Andy. Air mata melingkungi ruang matanya. Andy memang baik kepadanya. Penyesalan singgah di laman nuraninya. Demi menyatakan terima kasih tidak terhingga kepada Andy, Raja telah mencatat nukilan untuk Andy ketika bintang yang tersembunyi bagaikan ingin memunculkan dirinya. Terasa seperti dia ingin menjejaki Andy dan menghulurkan nukilan itu kerana itulah catatan yang penuh bermakna dalam sejarah hidupnya.
Akan kukenang
Segala jasa dan baktimu
Setinggi langit membiru di angkasa
Sedalam samudera yang luas terbentang
Kerana tanpa pengorbananmu yang tulus
Jiwamu yang halus dan kudus
Aku tidak akan mengenal
Erti penyesalan dan makna kesilapan.
Meskipun kini engkau tiada lagi
Yang tinggal hanya secalit memori
Namun dirimu akan terus bermukim
Dan bertakhta di hati ini
Selagi hayat ini dikandung badan
Selagi kaki ini memijak akar bumi
Akan kukenang dan kupahatkan
Nama dan tulus ikhlasmu
Di puncak pengabdian yang paling suci.
Jika suatu masa nanti
Kita ditakdirkan bertemu semula
Biarlah aku menitis air mata kesyukuran
Kerana bertemu engkau di syurga!

TATABAHASA: BEBERAPA KESALAHAN TATABAHASA YANG LAZIM

1 Tidak dapat membezakan antara kata sendi nama di dengan imbuhan di
a) salah - disekolah, dipasar, diJohor, disini, disamping, diutara
- di beri, di ambil, di hantar, di dapati, di anjurkan
b) betul - di sekolah, di pasar, di Johor, di sini, di samping, di utara
- diberi, diambil, dihantar, didapati, dianjurkan

2 Tidak dapat membezakan antara kata sendi nama ke dengan imbuhan ke
a) salah - keMelaka, kepadang, kesana, kehadrat, keselatan
b) betul - ke Melaka, ke padang, ke sana, kehendak, ketua, kekasih

3 Tidak dapat membezakan penggunaan dari dan daripada
a) dari - rumus A (arah), T (tempat), M (masa) = dari
- dari belakang, dari Perak, dari semalam
b) daripada - punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad
- sumber atau asal kejadian sesuatu benda
- perbezaan dan perbandingan
- daripada guru besar, daripada getah, daripada markah

4 Mengulang kata selepas penanda jamak (banyak)
a) salah - semua guru-guru, segala alat-alat, kebanyakan ahli-ahli
b) betul - semua guru, segala alat, kebanyakan ahli

5 Tidak menggandakan kata bilangan himpunan
a) salah - beratus orang, beribu penonton, berguni padi
b) betul - beratus-ratus orang, beribu-ribu orang, berguni-guni padi

6 Kesalahan penggunaan kata darjah penghabisan
a) salah - paling tinggi sekali, terlalu mahal sekali
b) betul - paling tinggi, tinggi sekali, terlalu mahal, mahal sekali

7 Menggandakan kata selepas saling
a) salah - saling hormat-menghormati, saling bermaaf-maafan
b) betul - saling menghormati, hormat-menghormati, saling bermaafan

8 Pembentukan ayat pasif
a) Surat itu telah dihantar oleh kami. (salah)
Surat itu telah kami hantar. (betul)
b) Laporan itu perlu disiapkan oleh anda. (salah)
Laporan itu perlu anda siapkan. (betul)
c) Majalah itu telah mereka edarkan. (salah)
Majalah itu telah diedarkan oleh mereka. (betul)

9 Penggunaan –kan menggantikan akan
a) salah - sayangkan, rindukan, bencikan, cintakan
b) betul - sayang akan, rindu akan, benci akan, cinta akan

10 Menjarakkan imbuhan pinjaman
a) salah - juru taip, ko kurikulum, pasca moden, anti dadah
b) betul - jurutaip, kokurikulum, pascamoden, antidadah

BUKU KEWANGAN TERBAIK YANG PERLU DIBACA




Bahan ini ditulis ketika aku dan keluarga berada di puncak Cameron Highlands. Sedap betul makan strawberi disalut coklat! Aku ingin berkongsi dengan rakan-rakan tentang buku ini. Rasanya buku ini sangat perlu dibaca oleh rakan-rakan yang ingin membaiki aspek kewangan peribadi. Aku dah baca buku ini berulang-ulang kali. Memang penulis buku kewangan terbaik di negara ini ialah Azizi Ali. Foto di bawah ialah kulit buku pertama dan keduanya yang banyak mengubah pandangan aku tentang dunia kewangan peribadi. Aku sarankan kepada rakan-rakan agar mencari dan membaca buku ini.






Friday, November 21, 2008

SUMPAH BAHASA

SUMPAH BAHASA
Agak lama suara ini seperti menumpul
bagai bertapa dalam debar mencabar
menanti seorang wira yang akan muncul
melaungkan bicara tentang sumpah bahasa.

Barangkali
bahasa ini sedang meratap
di sebuah perbukitan yang mengharap
kembalikan wibawa di pentas persada
julangkan semula taraf yang dipersenda
janganlah nanti kita berdukacita dan lara
melihat bangsa mengusung keranda bahasa!

Tidak sesekali akan berundur
jiwa bahasa ini pasti tidak akan luntur
demi sebuah bangsa yang merdeka
bahasa ini akan terus bersuara
melaungkan sumpah untuk terus berjasa.

Sejarahnya mengangkat bangsa yang waja
berada di takhta, wajar menjadi petanda
bahasa ini harus berbangga atas sifatnya
santun berbicara, tegar berhujah, batil disanggah
membangunkan nusa, membangkitkan bangsa
menyatukan warga tanpa sekelumit prasangka
mendirikan kota, menyalurkan pengetahuan
menafaskan jati diri mengukuh peribadi
di tanah yang merdeka ini, kita wajar berbangga
dengan bahasa yang menumpahkan andilnya.

Monday, November 17, 2008

PETUALANG

Ketika aku menelusuri rimba bahasa
terlihatlah seekor singa yang mengaum
akulah penjaga rimba ini,
jangan cuba menentang,
kerana aku amat garang!

Ya, engkau memang garang
mengoyakkan bahasa dengan taring tumpul
takut kuasamu akan hancur
engkau berlagak di depan bangsa
dengan retorik yang berjela-jela
tetapi, musuhmu bertepuk ria
melihat rimbamu makin terhakis
di pentas ini, bahasamu menangis!

Siapakah petualang di rimba ini?

MERENUNG NASIB BAHASA MELAYU

PENDAHULUAN
* sejak abad ke-7, BM menjadi bahasa kerajaan, bahasa perdagangan, bahasa pengajian agama, dan lingua franca bagi Kepulauan Melayu di bawah kerajaan Sriwijaya
* BM mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun Melayu baharu pada zaman Kesultanan Melaka sekitar abad ke-13 hingga abad ke-19

Francois Valentijn menyatakan bahawa:~ BM dituturkan oleh seluruh kepulauan Melayu dan di segala negeri Timur~ bahasa yang difahami oleh setiap orang ~ setaraf dengan bahasa Perancis, Latin, bahasa lingua franca di Itali, dan Levant~ tidak mungkin akan kehilangan jejak jika memahaminya~ difahami di Parsi sehingga Filipina

KELUNTURAN MARTABAT BAHASA MELAYU
- dilunturkan oleh penjajah- menjadi bahasa vernakular- dasar pecah belah dan perintah- sistem pentadbiran disekularkan- BM menjadi bahasa pengantar yang terbatas bidang ilmu- perencanaan Inggeris untuk menyekat kewibawaan anak watan

- Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960 menetapkan dasar pendidikan kebangsaan dengan berteraskan penggunaan BM sebagai bahasa pengantar utama

BM telah menjadi asas pembinaan negara yang penting melalui tiga fungsi utama:
a) bahasa kebangsaan
b) bahasa rasmi
c) bahasa ilmu

PERMASALAHAN DAN SENARIO SEMASA
- mengalami kemerosotan dalam dua aspek
a) aspek taraf
b) aspek mutu bahasa

Kemerosotan dalam aspek taraf
~ penyempitan penggunaan BM dalam bidang yang telah ditetapkan penggunaannya oleh undang-undang~ BM akan kehilangan nlai ilmu, khususnya dalam bidang sains dan teknologi

Kemerosotan dalam aspek mutu bahasa
~ kurang peka terhadap bentuk BM yang baku dan rasmi dalam konteks bidang yang rasmi~ penularan bahasa rojak, bahasa sms, bahasa sembang internet menjadikan BM kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi~ mengutamakan bahasa asing dalam penamaan kawasan awam

Senario yang membimbangkan
1) penghayatan penjawat awam kurang memuaskan dalam situasi rasmi seperti mesyuarat, pekeliling, majlis rasmi
2) penguatkuasaan yang tidak tegas dalam sektor tertentu seperti di tempat awam dan media penyiaran
3) peranan BM semakin mengecil dalam pendidikan melalui dasar pengajaran subjek berteraskan sains dan matematik
4) keghairahan yang berlebihan akibat gelombang globalisasi dalam penggunaan bahasa asing
5) budaya berbahasa Melayu tidak mantap akibat persepsi yang rendah terhadap BM yang dianggap tidak berkolerasi dengan taraf sosial dan tidak memiliki nilai ekonomi yang tinggi
6) kenyataan yang merendahkan taraf BM dan menghakis keyakinan masyarakat

LANGKAH MENINGKATKAN MARTABAT BAHASA MELAYU
1) Penegasan dasar bahasa dan penguatkuasaan dasar bahasa secara bersepadu
2) Pindaan dan peluasan peruntukan akta yang berkaitan
3) Pengayaan khazanah ilmu dan persuratan dalam BM
4) Pembudayaan BM melalui sistem pendidikan
5) Komponen bahasa dan persuratan dalam pelbagai program negara
6) Modul bahasa dan persuratan dalam program latihan jabatan
7) Pemantauan berterusan dalam bidang penyiaran dan media massa
8) Program pemasyarakatan bahasa kebangsaan bertaraf kebangsaan

PENUTUP
~ pembangunan negara yang hakiki dan bersepadu hanya tercapai apabila semua bidang yang penting diberi perhatian yang saksama, termasuk dalam bidang bahasa dan budaya~ kerjasama semua pihak amat diperlukan

KESIMPULANNYA, BAHASA MELAYU MAMPU MENJADI BAHASA YANG BERWIBAWA DAN DIYAKINI SEKIRANYA DASAR BAHASA DIPERTEGAS, DIPERKUKUH, DAN DIPERKEMBANG!

PPSMI - MENTALKINKAN BAHASA MELAYU!

- Pada tahun 2002, diumumkan pengajaran sains dan matematik akan menggunakan BI pada tahun 2003- kali pertama dalam sejarah apabila satu dasar baharu dirombak dalam masa setahun untuk menggantikan dasar yang berusia puluhan tahun

DASAR YANG MENIMBULKAN TANDA TANYA
- adakah dasar dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan telah gagal setelah 30 tahun BM digunakan sebagai bahasa pengantar utama dan 5.4 juta lepasan SPM yang kebanyakannya melanjutkan pengajian tinggi menjadi tenaga penggerak pembangunan negara?

- tiada kajian yang dilakukan untuk melaksanakan PPSMI- tiada rundingan dengan pakar pendidikan dan ahli bahasa- tiada projek rintis dilakukan- bantahan tidak diendahkan- pandangan ahli bahasa dikesampingkan

- pihak yang bangkit bersuara dianggap jumud, fanatik, dan ekstrem- TIADA PEJUANG BAHASA YANG MENAFIKAN PENTINGNYA PENGUASAAN BAHASA ASING- isu yang dibangkitkan ialah peminggiran BM sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa ilmu

IMPLIKASI KEPADA BANGSA DAN NEGARA
- gangguan dalam penguasaan ilmu sains dan matematik, khususnya kepada pelajar di luar bandar dan berbangsa Melayu- kajian menunjukkan bahawa pelajar tidak bersedia untuk belajar sains dan matematik dalam BI

75 % pelajar tidak bersetuju* 77 % pelajar bersetuju BM mampu menyampaikan ilmu sains dan matematik* 71 % meminati sains dan matematik diajarkan dalam BM* 70 % yakin akan cemerlang dalam sains dan matematik jika diajarkan dalam BM
54.7 % guru sains dan 62.2 % guru matematik yang mampu menerangkan konsep dalam BI* 81 % guru mahu sains dan matematik diajarkan dalam BM* 72 % guru berpendapat pencapaian pelajar akan meningkat jika diajarkan dalam BM* 79 % guru berpendapat pelajar lebih menumpukan perhatian jika diajarkan dalam BM

Keputusan peperiksaan umum bukan gambaran sebenarnya tentang prestasi pelajar kerana asas yang digunakan ialah pencapaian berasaskan norma, bukan berasaskan kriteria- soalan masih diberikan dalam bentuk dwibahasa dan banyak pelajar menjawab dalam BM- PIHAK YANG MENENTANG DIANGGAP TERSASAR!

AKIBAT KEPADA B. MELAYU
- BM akan menjadi bahasa pasar dan berada di tempat ketiga- istilah tidak akan digubal dan terkubur- buku dalam bidang sains dan teknologi tidak akan menggunakan BM lagi
AKIBAT KEPADA PELAJAR MELAYU
- kecekapan berbahasa akan semakin luntur
AKIBAT KEPADA AKHBAR MELAYU
- kemerosotan jualan akhbar berbahasa Melayu
AKIBAT POLITIK- media tidak mampu lagi berperanan untuk menjadi suara perjuangan bangsa
“Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran”BERDOALAH KEPADA ALLAH SEMOGA PERJUANGAN INI DIBERKATI DAN DIREDAI, AMIN

Saturday, November 15, 2008

Friday, November 14, 2008

BICARA TENTANG BAHASA

Merekalah petualang
yang sedang meratah tubuh bangsa
aku sangat jelik dan pelik
mendengar resolusi di persidangan
membaca perkataan pertama
berita di akhbar neraka
"terbuktilah..."
"keberkesanannya..."
"ternyata tidak gagal...!"
ayat-ayat yang ada api menyala
merentungkan wibawa bahasa!

PPSMI TIDAK GAGAL!

Keputusan UPSR diumumkan semalam, 13 Nov 2008. Hanya satu sahaja ungkapan yang ingin saya kongsi (insya-Allah, akan saya ulas nanti) - PPSMI TIDAK GAGAL - TV3.
PADA KESEMPATAN INI, CIKGU INGIN MENGUCAPKAN TAHNIAH DAN SYABAS KEPADA MURID-MURID CIKGU YANG MENDAPAT 5A DALAM UPSR 2008. TAHNIAH KEPADA M.HAZIQ, SYAIRAZI, SARMAD, HADIRAH, AMIROH, INDERPREET, PRISCILLA, SYAHIRAH, DAN FARAHANANIES. TAHNIAH JUGA KEPADA YANG MEMPEROLEH 4A1B; KOH BEE YUNG, M. FAREEZ, ZULFAQAR, DAN NOR ALYA AMIRA. CIKGU MENDOAKAN KEJAYAAN KALIAN APABILA BERADA DI SEKOLAH MENENGAH NANTI. KEPADA MURID-MURID CIKGU YANG LAIN, JANGAN BERPUTUS ASA, BERUSAHALAH KERANA PERJALANAN KAMU MASIH JAUH...


SARAT DENGAN PEMIKIRAN YANG INGIN DIKONGSI BERSAMA-SAMA DENGAN SAUDARA!
SEKIAN LAMA TIDAK MENGEMASKINIKAN BLOG INI!
SELAMAT BERTEMU KEMBALI!