Tuesday, March 31, 2009

TATABAHASA: IALAH DAN ADALAH

1. Teringat komen daripada Encik Rusdi (RAR), DBPWS. Katanya, jika saya ada apa-apa rumus tentang tatabahasa, bolehlah dikongsi dengan rakan-rakan blog.
2. Jika contoh sebelum ini tentang rumus ATM untuk membezakan penggunaan "dari" dan "daripada", pada kali ini, baik juga jika diutarakan rumus tentang kata pemeri "ialah" dan "adalah". Ramai juga pengguna bahasa keliru untuk menggunakan, sama ada "ialah" atau "adalah".
3. Kata "ialah" digunakan di hadapan frasa nama. Contohnya: Bapa saya ialah pegawai di bank itu.
4. Kata "adalah" digunakan di hadapan frasa sendi nama dan frasa adjektif. Contohnya: Keterangan tentang hal itu adalah seperti yang tertera pada borang. Contohnya: Kenyataannya adalah benar.
5. Untuk mengingati atau menguasai rumus ini, agak sukar jikalau kita tidak menguasai golongan kata. Oleh itu, disarankan agar kita menguasai hal ini dengan sebaik-baiknya.
6. Namun begitu, cuba lihat penjelasan di bawah.

ialah - sebelum frasa nama
ialah - nama
= kata "ialah" ada dua huruf "a"
= nama pun ada dua huruf "a"

adalah - sebelum frasa sendi nama
adalah - sendi
= kata "adalah" ada huruf "d"
= sendi pun ada huruf "d" dan ada bunyi "di"

adalah - sebelum frasa adjektif
adalah - adjektif
= dua huruf pertama "adalah" ialah "ad"
= dua huruf pertama "adjektif" pun "ad"

7. Jadi, rumus ini memudahkan kita. Harap-harap saudara memahami penjelasan ini.

KEWANGAN: BELI BARANGAN YANG BERKUALITI

BELI BARANGAN YANG BERKUALITI

1. Pertama sekali, saya perlu memohon maaf daripada pengunjung blog atau rakan-rakan kerana sudah agak lama tidak menulis tentang soal pengurusan kewangan.
2. Keadaan ini berlaku, selain kekangan masa, turut disebabkan oleh masalah ketika saya memuatnaikkan (upload) bahan. Blog saya ada masalah tentang hal itu. Samdol sungguh! Entahlah, mungkin disebabkan saya tidak mahir dalam hal teknologi ini. Namun demikian, saya akan cuba mengatasi masalah yang timbul dengan sedaya upaya.
3. Selepas saya menulis tentang pengurusan kewangan yang berkaitan dengan ASB, kad kredit, kad debit, dan insurans, saya mendapat respons yang baik daripada rakan-rakan. Ternyata, soal kewangan memang menarik untuk diperkatakan. Dan saya sedikit hairan jika, soal ini akan berterusan menjadi tabu, walhal setiap ketika dan detik, kita memerlukan wang untuk terus hidup dengan selesa.
4. Ya, saya terdengar ada yang berkata, wang bukanlah segala-galanya. Percayalah, saya bersetuju dengan pendapat itu. Tetapi, bolehkan wang gaji saudara bulan ini diberikan kepada saya, dan kemudiannya kita akan melihat apa yang akan berlaku. Betul, wang bukan segala-galanya, namun hampir segala-galanya memerlukan wang…setuju?
5. Salah satu strategi untuk menguruskan wang atau memastikan wang yang kita peroleh itu dimanfaatkan dengan sewajarnya adalah dengan membeli barangan yang bermutu.
6. Membeli barangan yang berkualiti ini akan dapat memastikan kita boleh berjimat.
7. Tok guru, bagaimana tu? Pelik juga, ya! Membeli barangan yang berkualiti boleh memastikan kita dapat berjimat! Yang saya tahu, barangan bermutu memerlukan kos atau belanja yang besar. Jadi, bagaimana kita dapat berjimat? Oh, Tok Guru ni memang suka temberang!
8. Amboi, saudara mengatakan bahawa saya temberang!
9. Kalau dilihat kembali penyataan saya di atas, saya mengatakan bahawa “membeli barangan yang bermutu”, dan bukannya membeli barangan yang berjenama!
10. Memang betul, membeli barangan berkualiti bermaksud membeli barangan berjenama dan mahal. Tetapi adakah premis ini benar dalam semua keadaan? Saya percaya tidak, kerana mungkin saudara ada pengalaman sendiri bahawa ada ketikanya barangan berjenama dan mahal ini tidak semestinya berkualiti. Ada ketikanya kita perlu membayar dengan jumlah yang tidak berbaloi dengan kualitinya.
11. Malahan, yang perlu kita sedar ialah kebanyakan barangan berjenama ini hanya gah atau kelihatan hebat pada namanya. Jelaslah bahawa kita terpaksa membayar dengan harga yang lebih untuk memastikan kos iklan produk itu ditanggung oleh pembeli, dan mungkin pembeli itu kita!
12. Apabila soal mutu atau kualiti yang diperkatakan, dalam hal ini, sepatutnya barangan itu boleh tahan lama. Kita boleh memanfaatkan barangan itu sehingga tempoh masa yang panjang.
13. Tetapi, saya tidak boleh menyatakan bahawa barangan bermutu akan bersinonim dengan harganya yang murah. Tidak adil penyataan demikian. Malah, agak jarang-jarang berlaku sebegitu. Saudara bernasib baik jika membeli barangan yang berkualiti dengan harga yang murah. Oleh sebab itu, mungkin kita seharusnya membeli sesuatu barangan yang berkualiti itu dengan melihat soal harga. Untuk mendapatkan barangan yang baik, tentu ada sesuatu yang perlu dikorbankan. Lihatlah, bagaimana agak sukar untuk mendapatkan isteri kita dahulu! Janganlah berkira sangat apabila hendak membeli barangan, khususnya yang memakan belanja yang besar sekiranya barangan itu dapat kita yakini akan mutunya.
14. Bolehkah diberi contoh, wahai Tok Guru yang budiman? Kalau soal kewangan, pening jugak nak faham! Boleh, tak ada masalah, anak muridku. Biarlah saya bercerita tentang sesuatu yang benar-benar berlaku. Nanti saya dituduh temberang lagi! Saya masih menggunakan sebuah peti sejuk yang saya beli ketika masih bujang lagi. Dan sehingga kini, peti sejuk ini masih berfungsi dengan baik. Belum sekalipun, saya menghantarnya ke kedai untuk dibaiki. Kini, saya telah berkahwin dan memiliki 3 orang anak. Yang bagusnya, peti sejuk itu terus berkhidmat untuk saya dan keluarga saya. Isteri saya tidak pernah merungut untuk membeli peti sejuk yang baru. Saya pun gembira. Selamat duit aku! He..he..
15. Harganya? Saya sudah terlupa (sebab sudah lama membelinya!). Tetapi, yang saya pasti harganya tidaklah terlalu mahal. Jelas di sini bahawa bukan jenama yang saya ingin pertahankan, tetapi kualitinya. Dan saudara mungkin dapat mengagak bahawa pembelian peti sejuk itu suatu pembelian yang menguntungkan. Jenamanya National. Saya pun tak pasti jenama itu masih ada atau sudah digantikan dengan Panasonic (?).
16. Oleh sebab saya membeli peti sejuk National itu dengan pertimbangan akan mutunya, saya boleh menggunakan barangan itu sehingga kini. Saya dapat menjimatkan wang yang besar kerana tak perlu menukarnya atau membaikinya. Peti sejuk itu sudah menjalankan tugas dengan cemerlang lebih sepuluh tahun yang lalu. Belum pernah sayur kailan yang saya simpan di dalamnya menjadi layu kerana menggunakan peti sejuk itu. Kalau pun layu, sebab isteri saya tak masak!
17. Dalam jangka masa yang panjang, saya dapat berjimat. Mungkin ketika membelinya, saya perlu mengeluarkan belanja yang tinggi sedikit, tetapi saya tidak mengalami kerugian apa-apa. Dan saya mendapat keuntungan dalam masa yang panjang.
18. Di pasaran sekarang, terdapat banyak jenama peti sejuk yang entah dari mana atau siapa pengeluarnya. Kadangkala, nak mengeja namanya pun susah. Jikalau saudara membelinya, dan harganya mungkin lebih murah, namun saya percaya (tetapi tidak mendoakannya!) saudara akan mengalami kerugian dalam masa yang panjang, meskipun saudara dapat menjimatkan sedikit wang kerana harganya murah. Gembira sekarang, tetapi merana kemudian.
19. Jangka hayat barangan itu seharusnya difikirkan. Jika sebuah seterika berharga RM30.00 dibeli dan dapat bertahan selama setahun, lebih baik saudara memikirkan untuk membeli seterika yang berharga RM60.00 dan dapat digunakan selama 3 tahun. Secara ringkas, begitulah analoginya. Keadaan yang sama juga mungkin bersesuaian dengan pembelian pakaian. Biarlah mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk mendapatkan pakaian yang ada mutunya, daripada pakaian yang murah dan akhirnya boleh digunakan untuk pergi tiga kali kursus.
20. Dah sampai nombor 20, dan lazimnya ini nombor yang terakhir.

Friday, March 27, 2009

CERAMAH: PKG MERSING

26 Mac 2009, saya telah diundang oleh pihak DBP Wilayah Selatan dan PPD Mersing untuk menyampaikan ceramah dan bengkel tatabahasa dan penggunaan Majalah Dalam Kelas (MDK) kepada guru-guru BM sekolah kebangsaan daerah Mersing.
Terima kasih saya ucapkan kepada Puan Siti Hajar (DBPWS), En. Shahrul dan Cik Sheila, En. Wee dan En. Zulfakar, dan seterusnya kepada semua peserta.
Saya berharap agar kursus itu dapat memberikan manfaat kepada kita semua.

CERAMAH: SK KOMPLEKS SULTAN ABU BAKAR, GELANG PATAH

Saya telah diundang sekali lagi oleh pihak SK Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah untuk menyampaikan ceramah kepada guru-guru berkaitan dengan tatabahasa.
Saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada guru-guru, khasnya Guru Besar, Puan Hajah Faridah binti Sukiran yang begitu mengambil berat soal penguasaan bahasa dalam kalangan gurunya.
Terima kasih kepada semua warga SKKSAB. Atas komitmen dan kesungguhan kalian, saya percaya bahawa SKKSAB akan sentiasa dekat di hati saya.

Monday, March 23, 2009

TATABAHASA: KESALAHAN BAHASA YANG LAZIM

BEBERAPA KESALAHAN TATABAHASA YANG LAZIM

1 Tidak dapat membezakan antara kata sendi nama di dengan imbuhan di
a) salah - disekolah, dipasar, diJohor, disini, disamping, diutara
- di beri, di ambil, di hantar, di dapati, di anjurkan
b) betul - di sekolah, di pasar, di Johor, di sini, di samping, di utara
- diberi, diambil, dihantar, didapati, dianjurkan

2 Tidak dapat membezakan antara kata sendi nama ke dengan imbuhan ke
a) salah - keMelaka, kepadang, kesana, kehadrat, keselatan
b) betul - ke Melaka, ke padang, ke sana, kehendak, ketua, kekasih

3 Tidak dapat membezakan penggunaan dari dan daripada
a) dari - rumus A (arah), T (tempat), M (masa) = dari
- dari belakang, dari Perak, dari semalam
b) daripada - punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad
- sumber atau asal kejadian sesuatu benda
- perbezaan dan perbandingan
- daripada guru besar, daripada getah, daripada markah

4 Mengulang kata selepas penanda jamak (banyak)
a) salah - semua guru-guru, segala alat-alat, kebanyakan ahli-ahli
b) betul - semua guru, segala alat, kebanyakan ahli

5 Tidak menggandakan kata bilangan himpunan
a) salah - beratus orang, beribu penonton, berguni padi
b) betul - beratus-ratus orang, beribu-ribu orang, berguni-guni padi

6 Kesalahan penggunaan kata darjah penghabisan
a) salah - paling tinggi sekali, terlalu mahal sekali
b) betul - paling tinggi, tinggi sekali, terlalu mahal, mahal sekali

7 Menggandakan kata selepas saling
a) salah - saling hormat-menghormati, saling bermaaf-maafan
b) betul - saling menghormati, hormat-menghormati, saling bermaafan

8 Pembentukan ayat pasif
a) Surat itu telah dihantar oleh kami. (salah)
Surat itu telah kami hantar. (betul)
b) Laporan itu perlu disiapkan oleh anda. (salah)
Laporan itu perlu anda siapkan. (betul)
c) Majalah itu telah mereka edarkan. (salah)
Majalah itu telah diedarkan oleh mereka. (betul)

9 Penggunaan –kan menggantikan akan
a) salah - sayangkan, rindukan, bencikan, cintakan
b) betul - sayang akan, rindu akan, benci akan, cinta akan

10 Menjarakkan imbuhan pinjaman
a) salah - juru taip, ko kurikulum, pasca moden, anti dadah
b) betul - jurutaip, kokurikulum, pascamoden, antidadah

TATABAHASA: PENGAKRONIMAN

PENGAKRONIMAN
Akronim ialah kata singkatan yang terbentuk dengan menggabungkan huruf awal suku kata atau gabungan kombinasi huruf awal dan suku kata daripada rangkai kata, dan ditulis serta dilafazkan sebagai kata yang wajar.

Contohnya:
Bernama - Berita Nasional Malaysia
Gapena - Gabungan Penulis Nasional
Mara - Majlis Manah Rakyat
ubahsuai - ubah sesuai
kugiran - kumpulan gitar rancak

Kata akronim boleh ditulis dengan tiga cara.
1) Akronim yang terbentuk daripada gabungan beberapa huruf awal rangkai kata yang disingkatkan, keseluruhannya ditulis dengan huruf besar, jika kata nama khas.
Contohnya:
LUTH - Lembaga Urusan dan Tabung Haji
ABIM - Angkatan Belia Islam Malaysia

2) Akronim yang terbentuk daripada gabungan huruf awal dan/atau suku kata ditulis dengan huruf kecil keseluruhannya, jika bukan kata nama khas.
Contohnya:
tabika - taman bimbingan kanak-kanak
purata - pukul rata
jentolak - jentera tolak

3) Akronim yang terbentuk daripada gabungan huruf awal dan/atau suku kata itu menjadi kata nama khas, kata itu ditulis bermula dengan huruf besar.
Contohnya:
Pernas - Perbadanan Nasional
Intan - Institut Tadbiran Awam Negara
Petronas - Petroleum Nasional
Proton - Perusahaan Otomobil Nasional

TATABAHASA: PEMAJMUKAN

PEMAJMUKAN
Proses pemajmukan ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna tertentu. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain.

Contohnya:
jalan raya tengah hari lebuh raya warga kota
bandar raya atur cara kereta api sari kata
ambil alih urus setia susun atur reka bentuk
maklum balas kemas kini kertas kerja gambar rajah

Kata yang telah mantap dieja sebagai satu perkataan.
antarabangsa
beritahu
bumiputera
jawatankuasa
kakitangan
kerjasama
olahraga
matahari
setiausaha
sukarela
suruhanjaya
tandatangan
tanggungjawab
warganegara
pesuruhjaya

Perkataan yang tergolong dalam golongan kata tertentu dieja bercantum juga
peribadi (kn)
peribahasa (kn)
dinihari (kn)
hulubalang (kn)
perikemanusiaan (kn)
sukacita (ka)
dukacita (ka)
kepada (ksn)
daripada (ksn)
apabila (kh)
manakala (kh)
padahal (kh)
darihal (kh)
barangkali (kh)
kadangkala (kh)
apakala (kh)
walhal (kh)
bagaimana (kt)

Pengimbuhan kata majmuk
Kata yang menerima awalan atau akhiran sahaja ditulis sebagai dua perkataan.
Contohnya:
diambil alih menerima pakai kenal pastikan
diguna semula bercampur aduk berurus niaga

Kata yang menerima apitan ditulis sebagai satu perkataan.
Contohnya:
pengambilalihan pengenalpastian mencampuradukkan
pengemaskinian diurusniagakan kedayaserapan
menggarispusatkan menyatupadukan persuratkhabaran
penguatkuasaan penambahbaikan menguatkuasakan

Penggandaan kata majmuk
Kata yang dieja bercantum hendaklah digandakan keseluruhan kata atau unsur.
Contohnya:
tandatangan-tandatangan setiausaha-setiausaha
pesuruhjaya-pesuruhjaya warganegara-warganegara
jawatankuasa-jawatankuasa kakitangan-kakitangan

Kata yang ditulis terpisah digandakan pada unsur atau kata pertama sahaja.
Contohnya:
alat-alat tulis gambar-gambar rajah
balai-balai raya suku-suku kata
garis-garis pusat kapal-kapal terbang
Menteri-Menteri Besar Naib-Naib Canselor
Penolong-Penolong Pendaftar Ketua-Ketua Menteri

TATABAHASA: PENGGANDAAN

PENGGANDAAN
Proses penggandaan dalam bahasa Melayu ialah proses yang menggandakan kata dasar. Dalam proses demikian, kata dasar boleh mengalami penggandaan penuh atau penggandaan separa. Kata dasar boleh digandakan secara berentak, iaitu berdasarkan rentak bunyi tertentu.
Tiga Jenis Penggandaan
a) penggandaan penuh
b) penggandaan separa
c) penggandaan berentak

Penggandaan Penuh
Penggandaan penuh ialah proses yang menggandakan keseluruhan kata dasar, sama ada kata dasar itu mengandungi imbuhan ataupun tidak.
Contohnya:
pulau-pulau suku-suku tinggi-tinggi
cantik-cantik buku-buku kura-kura
tiba-tiba mata-mata fail-fail
pemimpin-pemimpin kehendak-kehendak pelatih-pelatih
persatuan-persatuan petugas-petugas pelajar-pelajar

Penggandaan Separa
Penggandaan separa ialah proses yang menggandakan sebahagian daripada kata dasar sahaja. Kata dasar boleh merupakan kata tunggal ataupun kata terbitan. Penggandaan separa boleh berlaku di hadapan atau di belakang kata dasar.

Contohnya:
berlari-lari sepandai-pandai berturut-turut
kejar-mengejar tolong-menolong kasih-mengasihi
lelaki tetamu sesiku

Penggandaan Berentak
Penggandaan berentak ialah proses yang menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Penggandaan ini dibahagikan kepada tiga jenis.

Contohnya:
Pengulangan vokal Pengulangan konsonan Bebas
sayur-mayur gunung-ganang anak-pinak
kuih-muih mundar-mandir saudara-mara
hina-dina bolak-balik titik-bengik

Kata ganda perlu diletakkan tanda sempang (-).

Sunday, March 22, 2009

CERAMAH: BENGKEL TATABAHASA SMK PERMAS JAYA 3

Saya telah diundang oleh Panitia Bahasa Melayu, SMK Permas Jaya 3 untuk mengendalikan bengkel tatabahasa kepada guru-guru Bahasa Melayu di sekolah itu pada 7 Mac 2009 yang lalu.
Terima kasih saya ucapkan kepada pihak sekolah, khasnya guru-guru Bahasa Melayu yang begitu komited untuk meningkatkan ilmu tentang tatabahasa.
Saya berharap agar guru-guru SMKPJ 3 akan terus menimba ilmu agar pelajar-pelajar akan mendapat pengetahuan yang terbaik tentang Bahasa Melayu.
Jika ada kesempatan, kita akan bertemu lagi pada masa akan datang.

CERAMAH: TEKNIK MENJAWAB SOALAN UPSR

Saya telah mengendalikan bengkel Teknik Menjawab Soalan UPSR 2009 di SK Tebrau Bakar Batu dan SK Taman Bukit Mewah pada 17 Mac 2009 yang lalu.
Terima kasih kepada pihak sekolah yang telah mengundang saya.
Saya berdoa semoga murid-murid Tahun 6 di kedua-dua buah sekolah itu mencapai kejayaan yang cemerlang dalam UPSR nanti.

CERAMAH: PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA SEKOLAH MENENGAH NEGERI MELAKA

Terima kasih kepada DBPSW (khasnya kepada Encik Rusdi) kerana terus memberikan kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan bengkel dan ceramah penulisan kreatif untuk pelajar-pelajar sekolah menengah di negeri Melaka pada 10 hingga 12 Mac yang lalu, bertempat di D'Village Resort, Ayer Keroh, Melaka.
Semoga pengalaman yang kita peroleh akan mendewasakan kita...

Saturday, March 21, 2009

PUISI: Umat Melayu Nazak Olehmu

UMAT MELAYU NAZAK OLEHMU

Umat
Melayu
Nazak
Olehmu

Oleh rasuah
oleh kroni
oleh angkuh
oleh bodoh
oleh bongkak
oleh dayus

Oleh hanyir
oleh kurap
oleh tengik
oleh kusta
oleh busuk
yang terus menjadi bangkai!

Monday, March 16, 2009

AGAK SIBUK BELAKANGAN INI

Entah mengapa, akhir-akhir ini agak sibuk dengan pelbagai tugas. Idea terperap seketika sebelum saya akan kembali menulis...mungkin sehari dua lagi, akan saya catatkan beberapa hal yang menyinggung rasa...

Tuesday, March 10, 2009

TATABAHASA: MENGIKUT ATAU MENGIKUTI

AYAT YANG SALAH
* Ibu mengikut abang keluar secara senyap-senyap untuk mengetahui tempat dia pergi.
* Adik mengikuti ayah ke majlis makan malam tahunan syarikat di sebuah hotel.

Huraian:
Kedua-dua ayat di atas salah kerana mengikut bermaksud pergi bersama-sama sementara mengikuti bermaksud mengekori.


AYAT YANG BETUL
1) Ibu mengikuti abang keluar secara senyap-senyap untuk mengetahui tempat dia pergi.
2) Adik mengikut ayah ke majlis makan malam tahunan syarikat di sebuah hotel.

TATABAHASA: MENGISI DAN MENGISIKAN

AYAT YANG SALAH
* Pelajar-pelajar diminta mengisi maklumat peribadi dalam ruang pada borang.
* Pekerja itu sedang mengisikan botol-botol kosong dengan minyak masak.

Huraian:
Kedua-dua ayat di atas salah kerana mengisi bermaksud menjadikan sesuatu bekas atau ruang berisi sementara mengisikan bermaksud memasukkan sesuatu ke dalam bekas atau ruang.


AYAT YANG BETUL

1) Pelajar-pelajar diminta mengisikan maklumat peribadi dalam ruang pada borang.
2) Pekerja itu sedang mengisi botol-botol kosong dengan minyak masak.

PPSMI: TAK PERLU MENCARI JALAN BERLIKU PERTAHAN PPSMI

Dr Awang Sariyan Mon Mar 09, 09 10:24:34 pm MYT(Harakahdaily)

Saya bersyukur akhirnya pernyataan hati nurani rakyat yang prihatin kepada kedudukan dan peranan dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan dapat disembahkan kepada Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong.

Saya menyertai ucap sembah menjunjung kasih seluruh pejuang bahasa kepada baginda atas keprihatinan baginda terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai salah satu pancang dan tunjang kenegaraan.

Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada penggerak Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang berjaya merakyatkan dan memasyarakatkan perjuangan bahasa kebangsaan sehingga bangkit kesedaran massa tentang peranan bahasa Melayu sebagai salah asas pembinaan negara, sebagaimana yang diputuskan dan dilaksanakan sejak kemerdekaan.

Saya tidak berminat mengulas soal teknis tentang apa-apa yang berlaku dalam cara penyampaian memorandum perjuangan rakyat itu, kerana yang jauh lebih penting ialah memfokuskan perhatian kepada agenda negara dalam soal mempertahankan kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam pembangunan negara.

Asas paling utama bantahan pejuang bahasa dan mereka yang faham serta menghayati peruntukan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu ialah bahawa kuasa eksekutif wajib menghormati keputusan badan Penggubal undang-undang, iaitu Parlimen.

Jelas bahawa pelaksanaan PPSMI bercanggah dan menyeleweng daripada undang-undang tentang bahasa Melayu yang telah dimaktubkan. Atas asas ini sahaja kerajaan tidak perlu mencari jalan panjang lagi berliku-liku untuk mencari kewajaran mempertahankan dan meneruskan PPSMI.

Apa-apa jua alasan dan hujah untuk mempertahankan dan meneruskan PPSMI dan dasar lain yang seumpama itu terbatal dengan sendirinya apabila kita menggunakan premis undang-undang negara tentang dasar bahasa kebangsaan.

Oleh itu, seruan Perdana Menteri supaya disegerakan keputusan yang wajar (pasti yang berdasarkan undang-undang negara) tentang PPSMI perlu dilaksanakan oleh badan eksekutif (jemaah menteri).

Polemik yang bersifat pinggiran seperti pencarian dalang di balik perhimpunan membantah PPSMI tidak memberikan faedah apa-apa pun jua, selain semata-mata menayangkan nafsu menjaga kuasa dan memusuhi golongan yang tidak sekelompok dengan pihak berkenaan.

Dapatkah orang yang sihat akalnya menerima tohmah bahawa tokoh seperti Dato' Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Dato' A Samad Said serta tokoh-tokoh lain yang sepanjang hayatnya tidak hidup atas kurniaan kontrak dan perniagaan sanggup didalangi oleh mana-mana pihak untuk ke hadapan dalam perjuangan menjaga martabat bahasa Melayu?

Yang dapat dibayangkan ialah bahawa kesungguhan hendak mempertahankan dan meneruskan PPSMI itu barangkali ada kaitannya dengan kepentingan agihan kontrak dan habuan yang telah dibuat dalam aspek prasarana pelaksanaan PPSMI. Wallahu a'lam.

Demikian juga, berkali-kali disebut bahawa mengapa sesudah enam tahun pelaksanaannya baru kini timbul penentangan dan hujah bahawa PPSMI menyalahi Perlembagaan dan Akta Pendidikan, seolah-olah pejuang bahasa sengaja menanti saat tertentu dengan niat tertentu untuk menjatuhkan orang yang merasakan dirinya begitu penting. Sahlah bahawa orang yang berhujah demikian sama ada baru bangkit daripada lena yang panjang atau diserang penyakit pelupa yang kronik.

Seawal pengumuman dasar PPSMI pada tahun 2002, individu dan badan-badan bukan kerajaan, dan bahkan parti politik tertentu atau bahagian dalam parti kepemimpinan kerajaan sendiri telah mengadakan seminar, konvensyen, forum, pertemuan dengan pemimpin pelbagai pihak, hatta kedua-dua orang Perdana Menteri, penyerahan memorandum dan hasil kajian empiris, penggunaan media cetak dan media elektronik.

Para pejuang bahasa dengan penuh adab dan kesantunan mencuba menggunakan saluran intelektual dan yang dikatakan "saluran betul" oleh pihak-pihak yang kononnya sangat beradab selama bertahun-tahun, tetapi tidak tampak reaksi yang meyakinkan daripada kerajaan, malah pernyataan demi pernyataan pihak berkuasa cenderung untuk meneruskan dasar yang bercanggah dengan undang-undang negara dan kepentingan negara itu.

Menteri Pelajaran yang ketika itu menjadi Menteri Belia dan Sukan sendiri dan atas kapasitinya sebagai Ketua Pemuda Umno telah dikunjungi oleh pimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia di pejabatnya di Jalan Dato' Onn dan telah memperlihatkan keprihatinan pada waktu itu.

Pada hemat saya, kini bukan masanya untuk kita saling mendakwa tentang cara dan kenapa timbul bantahan, atau ada tidaknya dalang di balik bantahan terhadap PPSMI. Fikirkanlah asas proses pembinaan negara yang telah dirancang sejak awal, malah sebelum kemerdekaan, menurut acuan yang munasabah bagi negara kita. Salah satu asas itu ialah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan.

Marilah kita menjadi bangsa yang tahu menghormati warisan tamadun bangsa yang telah berakar teguh sejak berabad-abad lamanya. Manfaatkanlah apa-apa jua unsur daripada tamadun luar, termasuk penguasaan bahasa-bahasa asing, tetapi usahlah menjadi bangsa yang rakus akan kemajuan kebendaan sehingga kehilangan roh bangsa dan negara.

Bukalah mata kita seluas-luasnya bagaimana negara-negara maju di seluruh dunia yang tetap mengutamakan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai wahana komunikasi dalam bidang-bidang kehidupan bertamadun mereka, meskipun tidak meremehkan bahasa asing yang bermanfaat sebagai alat sokongan kemajuan negara mereka.

Prof Dr Awang Sariyan ialah Penyandang Kursi Pengajian Melayu�China Beijing Foreign Studies University

PPSMI: SIAPA DALANG PPSMI HINGGA HISHAMUDDIN TAKUT MANSUHKANNYA?

WAN NORDIN WAN YAACOB Mon Mar 09, 09 7:39:06 pm MYT(Harakahdaily)

SEREMBAN, 9 Mac (Hrkh)- Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar mempersoalkan keenganan kerajaan Barisan Nasional (BN) memansuhkan Pengajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Siapa sebenarnya dalang dalam mahukan dasar PPSMI ini hingga Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein takut memansuhkannya?," kata Kamaruddin yang mengulas isu berbangkit himpunan 100,000 rakyat mansuhkan PPSMI.

Beliau seterusnya menyokong kenyataan Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Dato' Hassan Ahmad yang menyatakan tiada dalang dalam himpunan aman 100,000 rakyat membantah PPSMI pada sabtu lalu.

Mengulas kenyataan Hishamuddin yang mempersoal mengapabaharu sekarang GMP dan rakyat membantah pelaksanaan PPSMI, Kamarudin menyatakan pihaknya membantah dasar itu sejak enam tahun lalu.

Malah ketika mula-mula ia dicadangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, PAS sememangnya menentang pelaksanaan tersebut,katanya.
Namun, meskipun bertahun lamanya bantahan dilakukan kerajaan Umno/BN masih tidak mengendahkannya,ujar beliau.

"Kini kami terpaksa berhimpun menunjuk perasaan secara aman bagi menyatakan bantahan kami kerana Hishamuddin mahupun kerajaan tidak mendengar rintihan rakyat," ujarnya.

Sabtu lalu, puluhan ribu rakyat turun ke jalan raya di sekitar Kuala Lumpur bermula di Masjid Negara dan Kompleks Sogo untuk berhimpun bagi membantah pelaksanaan PPSMI.

Himpunan itu menmyaksikan lapan ditahan polis,sementara polis bertindak membedil gas pemedih mata ke arah penyokong GMP.

Mereka berhasrat membawa memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda dalam pemansuhan dasar kontroversi itu yang diperkenalkan sejak 2003.

PPSMI: AKHIRNYA, SENIMAN YANG SELALU MENANG

Faisal Tehrani Mon Mar 09, 09 7:32:57 pm MYT (HARAKAHDAILY)

"SAYA kena dekat hidung, mata dan juga kena tolak. Rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa. Ini merupakan kali pertama saya terkena gas pemedih mata dan ia mungkin akan berlaku lagi kerana saya akan terus memperjuangkan misi membantah PPSMI selagi kerajaan tidak memansuhkannya," kata Penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI, Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said.

Semua orang rasanya maklum saya seorang pengarang sastera yang selepas pilihanraya umum lalu berasa tidak senang dengan semua parti politik yang ada. Justeru, secara peribadi saya merasakan; untuk menghubungkan tindakan pejuang bahasa yang membantah PPSMI dengan politik pembangkang seperti yang diusahakan oleh media elektronik dalam Buletin Utama dan Buletin 1:30 (Ahad lalu) memang dangkal.

Manipulasi sedemikian hanya akan menyebabkan pejuang bahasa dan intelektual Melayu semakin menjauhi pemerintah. Sesungguhnya kita tidak boleh menafikan yang isu bahasa adalah isu politik. Isu pendidikan adalah isu politik. Di Korea Selatan, Perancis, dan Jerman isu pendidikan adalah isu yang diketengahkan dalam pilihanraya dan selalu membawa pelajar dan pengajar ke jalan raya.

Lama dahulu sebelum saya menjelajah dunia sastera ini, ketika berguru dengan Pak Samad Said di celah-celah tiang Masjid Negara, sebelum mencicip kopi bersama Az di McGoo Deli, sambil menunggu Kak Shidah pulang dari kerja, Pak Samad memberitahu saya: "Untuk menguasai seni menulis itu mudah saja, bapak akan belikan buku-buku yang baik dan Faisal baca. Tetapi yang paling payah ialah menguasai seni bersikap."

Hari ini kita tahu mengapa Pak Samad menjadi ikon sehingga foto beliau dicetak pada t-shirt anak-anak muda yang turun ke jalan raya pada 7 Mac lalu. Seorang seniman hanya dapat dihormati dan dipercayai kerja-kerjanya apabila dia bersikap. Selagi tidak bersikap, kerja atau karyanya (waima menang hadiah) hanyalah satu karangan indah yang tiada makna.

Hayati sikap Datuk A Samad Said ini:
1. Setiap orang Melayu yang mencintai bahasanya harus membuang undi menyanggah pucuk pimpinan yang tidak melestarikan bahasa ibundanya. Ertinya kalau dimana-mana pun kalau ada calon yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak undi mereka. Kenapa kita mesti pilih orang yang mahu mengucupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan undi kita.

2. Saya juga kecewa dengan kenyataan Menteri Pelajaran yang mengatakan dia malu bila pejuang bahasa pergi ke jalanan dan seharusnya menggunakan lorong-lorong tertentu. Pejuang bahasa memilih jalanan kerana sudah tidak ada lagi lorong-lorong yang boleh dimasuki.

3. Saya fikir pemimpin tertentu sahaja begini. Yang saya dengar kalangan akar umbi Umno juga menolak PPSMI. Tetapi bila yang berkuasa terlalu diberi kuasa maka jadinya pucuk pimpinan sentiasa benar. Pucuk pimpinan tidak bersedia untuk berkompromi. Saya fikir penghakisan pengaruh Umno antara sebabnya saya fikir kerana mereka terlalu bertelinga satu dan mereka terlalu berlidah dua.
Oleh kerana persidangan Agung Umno semakin hampir, setiap pemimpin Umno tidak mahu tersilap. Kalau tersilap mereka akan tersingkir lebih awal. Mereka mahu masuk dalam lingkungan itu hingga Mac. Di situ kita boleh lihat wajah sebenar mereka ini. Beruntunglah kalau benar-benar politik rasuah itu dapat disisihkan. Saya mahu lihat yang bukan RM200 ditangkap tetapi yang berjuta ringgit. Yang tangkap jumlah kecil ini cuma wayang gambar tetapi saya mahu lihat yang besar-besar juga ditangkap.

4. Memang ini penghinaan. Bukan saja penghinaan saya fikir ketidakyakinan dan tidak bersedia memartabatkan bahasa oleh pemimpin Melayu itu sendiri. Kalau orang lain atau bangsa lain tidak berbuat begitu, saya tidak kisah dan saya boleh tidur dengan lena. Tetapi yang mengecewakan saya adalah pemimpin Melayu itu sendiri tidak yakin dengan bahasanya.

5. Jadi memang sesuatu sudah terbuku di hati, sudah tetap mahu dilaksanakan supaya bahasa Inggeris itu dijadikan bahasa pengantar. Kalau Menteri Pelajaran kata ada lorong untuk diusahakan sebenarnya lorong itu sudah lama tiada maka sebab itu kami pergi ke jalanan.

6. Kalau dalam Gapena, saya fikir akhir-akhir agak samar. Saya tidak tahu apakah Gapena benar-benar menyokong perjuangan bahasa ini. Terakhir saya dengar Gapena mahu menyaman kerajaan. Saya tidak pasti sama ada itu satu pengucapan yang serius atau tidak. Memang tidak ternampak tokoh-tokoh Gapena berada di tempat-tempat yang sepatutnya. Contohnya di Sogo, saya tidak nampak, mungkin ada di belakang-belakang, saya tidak tahu tapi sepatutnya mereka ke depan.
Saya fikir penyertaan Gapena yang agak total perlu kerana mereka adalah gabungan penulis-penulis Melayu. Kalau tidak ke depan maka ia semacam ada yang tidak kena kerana mereka adalah induk jadi mereka perlu lebih ke depan.
Saya dengan rasa penuh hormat terhadap Professor Ismail Hussein dan rakan-rakannya menyatakan sikapnya dengan jelas dan total. Mereka mahu melestarikan bahasanya atau tidak.

7. Malah ketika dibawah pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun, beliau tidak cuba melestarikan bahasa. Dan itu tidak dilakukan. Dan saya tidak tahu apakah yang sudah tersusup dalam hati nurani mereka hingga mereka tidak percaya kepada bahasa mereka sendiri. Dikatakanlah bahawa bahasa Melayu itu kuat.
Pertanyaan saya, apakah yang dilakukan oleh elita kuasa Melayu ini untuk menguatkan bahasa Melayu? Apa yang saya nampak mereka semakin menguncupkan bahasa dan menghala kepada penazak bahasa dan akhirnya akan menjadi pengubur bahasa. Yang salah terbukti elita kuasa Melayu ini kerana tidak berusaha melestarikan bahasa Melayu. Yang kita dengar bahasa Melayu ini tidak cukup kuat untuk memberikan rezeki, apa ini? Yang memberikan rezeki itu Tuhan bukan bahasa. Dan ini adalah dosa-dosa bahasa orang-orang yang mengucupkan bahasa ini.
(Begitulah intipati wawancara Harakah dengan A Samad Said.)

Nah, apa hubung kait dengan lelaki berkeris di atas (penulis letakkan gambar Hishamuddin Hussein dalam blognya)? Mengapa Menteri Pelajaran menafikan desas-desus yang peluangnya untuk memenangi Naib Presiden Umno terjejas ekoran bantahan rakyat terhadap PPSMI? Mungkinkah kerana sebetulnya, peluang beliau semakin menipis.

Kata-kata Pak Samad: 'Ertinya kalau dimana-mana pun kalau ada calon yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak undi mereka. Kenapa kita mesti pilih orang yang mahu mengucupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan undi kita' akan menghantui beliau.

Untuk mereka yang tidak hadir sama ke acara tunjuk kasih 7 Mac lalu dengan alasan ia menjadi medan politik, sila baca alasan Pak Samad mengapa beliau ikut sama berarak di jalanraya sehingga sanggup disembur gas pemedih mata.
Ingatlah kata Pak Samad, yang beri rezeki buat kita ialah Tuhan, bukan bahasa. Ini basis keimanan, serlahkan ia terhadap anak-anak.

Mencontohi Pak Samad yang berani menyatakan sikap terhadap teman-temannya dalam GAPENA, saya juga ingin menyatakan sikap terhadap teman-teman pengarang:
Menulis sastera Melayu tanpa menyertai perjuangan mempertahankan bahasa Melayu ,di saat ia memerlukan, adalah bacul. Kerana saat bahasa Melayu ini terkubur kelak, novel yang ditulis pun akan turut terpadam. Membiarkan bahasa Melayu dipertahankan oleh anak-anak muda dari parti politik, sedang kita menyulam pelbagai alasan untuk tidak turun padang, adalah dayus. Ini masanya, bak kata Allahyarham Usman Awang; nama kalian telah diseru, sahutlah sebelum jadi bisu.
Nota Tambahan (saranan Sofwah, terima kasih!):
Bagi sesiapa yang ingin menjawab blog-blog penyokong PPSMI yang semakin bercambah, saya berharap ia dilakukan dengan tenang dan rasional. Saya lihat mereka suka membuat kesimpulan:
1. Ia bermotif politik.
2. Pejuang bahasa pun cakap Bahasa Inggeris, jadi, kenapa nak tentang PPSMI?
3. Pejuang BM anti Bahasa Inggeris.
4. Anak, anak sedara, adik sedara, anak sepupu sepapat, anak dua tiga empat pupu, suka PPSMI, jadi, anak orang lain, anak sedara orang lain, adik sedara orang lain pun akan suka PPSMI.
5. Pakcik makcik sepupu sepapat dua tiga empat pupu papat mengajar Sains dan Matematik dalam BI suka PPSMI, jadi, kenapa pejuang Bahasa tak suka PPSMI?
6. PPSMI akan membantu pengajaran BI.
7. PPSMI tidak akan menganggu-gugat BM; dan banyak lagi persepsi cetek.

Ternyata mereka tidak membaca sebarang kajian. Kita ingin mengingatkan pejuang bahasa bukan bodoh wahai Datuk Seri Hishamuddin, kita bertindak selama enam tahun dengan penuh kesabaran sambil melakukan kajian mendalam. Dan pihak beliau telah menutup jalan rundingan, sehingga Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said yang diketahui bersikap berkecuali dari segi politik telah memilih pentas politik.
Saya ingin menyarankan sesiapa yang bertemu dengan blog-blog penyokong PPSMI untuk memautkan kajian/pandangan alternatif seperti contoh di bawah ini:
1. Kajian Akademik
2. Profesor Shaharir Md. Zain
3. Bahasa Melayu untuk Sains, Matematik tetap realistik
4. Profesor-Profesor Melayu dalam Bidang Sains yang Menentang PPSMI
5. Kosmologi Bahasa
6. Menjawab Gabungan Pro PPSMI; dan meminta mereka berfikir lebih dalam lagi.
Untuk penguasa, saya ingin mengingatkan yang belum ada politikus menang dalam melawan seniman. Di hujung, meski panjang jalannya - seniman selalu akan menang.
* Tulisan ini tidak disunting untuk mengekalkan tulisan asal daripada sumber - WITRA

Friday, March 06, 2009

PPSMI: 7 MAC, BERDOALAH...

1) Marilah kita berdoa semoga Perhimpunan 7 Mac ini akan memberikan kejayaan kepada bangsa dan bahasa Melayu!
2) Itulah senjata yang masih ada...

PPSMI: 7 MAC, INIKAH KLIMAKSNYA?

1) Setelah bertahun-tahun berjuang, inikah klimaksnya?
2) Adakah pihak kerajaan@Kementerian Pelajaran akan mendengar dan melihat perhimpunan dan perarakan ini dengan fikiran yang terbuka.

3) "Kita telah sesat di hujung jalan, marilah kita pulang ke pangkal jalan," kata Sang Penolong Penguasa.

4) "Ya, kita kembalikan semula mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu," kata Sang Mamanda.

5) "Baiklah, kalau begitu, marilah kita memohon maaf kepada seluruh bangsa Melayu. Kita beritahu mereka bahawa kita telah tersilap selama ini. Kita akan mengembalikan kedaulatan bahasa Melayu selepas ini," Sang Penolong Penguasa berkata sambil melihat Sang Mamanda.

6) ...dan saya pun terjatuh dari katil!

7) oh...rupa-rupanya saya bermimpi!

8) Murid-murid, tulis sebuah karangan yang bertajuk "Mimpi yang Pernah Aku Alami". Jikalau murid-murid hendak melihat contoh karangan ini, bacalah petikan dialog di atas! Inilah contoh karangan yang terbaik!

9) Ya, tuan-tuan, saya sangat percaya bahawa perhimpunan ini tidak akan membawa perubahan tentang dasar PPSMI selepas ini. Saya berdoa semoga para pejuang di perhimpunan itu nanti akan diberi rahmat dan kekuatan oleh Allah untuk meneruskan perjuangan ini. Mudah-mudahan mereka akan dirahmati Allah dan diberi semangat yang teguh dan kemudahan untuk memperjuangkan bahasa Melayu. Dan semoga para penggubal dan penentu dasar akan dibukakan pintu hati mereka untuk menerima kenyataan bahawa dasar PPSMI merugikan bangsa Melayu dan bahasa Melayu. Namun begitu, saya tetap percaya bahawa dasar ini terlalu sukar untuk diubah. Jalan ke arahnya bagai tertutup sama sekali. Ini pandangan saya.

10) Bagaimana pandangan saudara?

PPSMI: BAGAIMANA SEJARAH PPSMI INI BERMULA?

H Fansuri Wed Mar 04, 09 3:22:59 pm MYT /Harakahdaily


Saya menulis berdasarkan catatan ingatan. Penulisan ini bukanlah penulisan akademik. Justeru, ia bolehlah dimaafkan kerana saya tidak ingat tarikh-tarikhnya dengan tepat.

Ia adalah sebuah rangkuman kisah tentang bagaimana Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir bin Mohamad telah membuat keputusan berhubung PPSMI.
sebagai mukadimah, biarlah kita sebutkan bahawa semua itu berpunca daripada kemelut ekonomi yang melanda pada suatu ketika dahulu.

Ketika saya menulis ini, harga Emas Dinar Kelantan pada 3 Mac adalah RM495.50 untuk 1 Dinar (4.25g). Hari ini, 4 Mac harganya turun lagi kepada RM486.40 bagi 1 Dinar Emas.
DINAR SELLING BUYING 2 Dinar 959.80 919.80 1 Dinar 486.40 466.40 1/2 Dinar 249.20 239.20 1/4 Dinar 131.10 126.10

Saya bukan pakar ekonomi. Yang saya tahu harga emas ini bersilang atau berlawan dengan kedudukan nilai matawang dollar Amerika dan harga minyak.
Maknanya, berdasarkan turun naik harga emas, kita boleh jangkakan apa yang sedang berlaku di Amerika sekarang.

Tarikhnya saya dah lupa. Bagaimanapun, yang saya ingat, baru-baru ini juga Obama ada menandatangi satu dokumen yang membabitkan kewangan Amerika. Berbilion juga jumlahnya. Eh! Jangan-jangan bertrillion tak?

Tak lama selepas itu, harga emas melambung! Entah ada kaitan dengan dokumen itu atau tidak, wallahu'alam. Sekali lagi, saya minta maaf, kerana saya bukan pakar ekonomi. Apa yang penting, kata orang dalam memahami realiti ekonomi dunia hari ini, kalau Amerika terbersin, demam dan selsemanya menjalar, merebak ke seluruh dunia. Nampaknya daripada suatu segi, hal itu ternyata ada kebenarannya.
Rumah dan hilang pekerjaanKata 'ilmuan ekonomi' yang bersidang di Restoren Haslam di Jalan Pahang Barat baru-baru ini, ekonomi Amerika terjejas teruk akibat masalah perumahan. 'Sidang 'kemuncak ekonomi' yang diadakan di Restoren Rafiyya (juga di Jln Pahang Barat) untuk kali kedua membuat kesimpulan bahawa hal di Amerika itu menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang hilang pekerjaan mutakhir ini.

"Beli rumah, tanah sekarang," kata 'pakar ekonomi' itu. "Lepas Raya Cina ni, harga rumah jatuh, banyak rumah kena lelong, .."

Menurut satu laporan, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menjangkakan 200,000 pekerja di negara ini terpaksa diberhentikan berikutan merudumnya ekonomi global berbanding 85,000 pekerja sewaktu kemelesetan ekonomi 1998.

Sejak 1 Januari lalu, dianggarkan lebih 10,000 rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan, demikian menurut perangkaan rasmi daripada Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF). Namun, tidaklah diketahui adakah perangkaan itu turut membabitkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang dibuat secara kecil-kecilan, besar-besaran dalam kalangan penduduk kampung.

Maka, kesimpulannya.. masalah hilang rumah dan pembinaan rumah yang tidak siap, terbengkalai dan masalah rakyat hilang pekerjaan adalah antara masalah yang sangat dibimbangkan oleh para pemerintah pada hari ini.

Kembali kepada masalah hilang pekerjaan, maka PPSMI ini bermula dengan sebab ramainya mahasiswa yang merungut akibat tidak mendapat pekerjaan sekitar tahun 1998, akibat kemelesetan ekonomi.

Saat itu, 'industri pendidikan' yang laris di USM misalnya adalah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan. Siswa matrikulasi terpengaruh dengan 'kempen rahsia' agar menjadi cikgu sekolah atau pendidik dalam bahasa yang lebih lunak.

"Sekarang ekonomi teruk. Tapi, pendidikan tetap berjalan. Kalau nak cari kerja, baik hang masuk Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, jadi cikgu," kata seorang 'senior' kepada kami ketika itu. Malah, pensyarah matrikulasi turut mendorong kami membuat pilihan demikian. Demikianlah, serba sedikit kisah-kisah yang lalu..
Kemudian, dalam masa yang sama, pada tahun 1998 itu juga terdengar semacam ada rungutan dalam kalangan ratusan graduan kita bahawa ijazah-ijazah mereka sudah tidak laku di pasaran kerjaya.

"Aku hantar 20 resume, CV dekat 20 buah kilang. 19 kilang tu tak panggil pun aku untuk interview, hanya 1 kilang saja yang panggil aku interview," kata seorang rakan yang suka berjenaka.

"Habis tu, yang 1 interview tu hang dapat tak?" tanya saya dan rakan-rakan.
"Huh! Yang satu tu pun tak dapat!" katanya. Kami semua ketawa. Sepatutnya tidak elok ketawakan masalah orang. Tapi dia pandai berjenaka mengenai kisah nasibnya yang terumbang-ambing itu. Sehingga kini tidak dapat dikesan bagaimana nasib rakan saya itu sekarang.

"Apa alasan yang mereka beri?" tanya saya lagi.
"Kata mereka, aku tak fasih bahasa Inggeris," tambah rakan saya itu. "Satu lagi, aku tak pandai Mandarin."
Agak-agaknya, pada ketika itu, sesiapa yang tahu bahasa Inggeris dan boleh sedikit-sedikit berbahasa Mandarin, adalah suatu bonus untuk mendapatkan pekerjaan agaknya. Ramai juga orang yang mempertikai kenapa dengan tiba-tiba Mandarin telah menjadi prasyarat dan bahasa Inggeris tiba-tiba menjadi sebab, prasyarat untuk mendapatkan pekerjaan?

Ucapan Mahathir dan Najib si pengampuPada saat itu juga Najib memegang jawatan sebagai Menteri Pelajaran. Di tangan beliau terletaknya beban tanggungjawab menyusun satu silibus kursus yang dinamakan sebagai Malaysian University English Test (MUET). Ada bantahan awal dari PKPIM yang pada ketika itu saudara Amidi Abdul Manan menjadi Presidennya.

Adakah MUET itu timbul sebagai reaksi dan respon terhadap rungutan mahasiswa yang sukar mendapat pekerjaan pada waktu itu? Wallahu'alam. Kemudian, seperti biasa, walaupun ada bantahan ke atas sijil MUET itu, ia tetaplah berlangsung dan berjalan seperti biasa. Bantahan PKPIM itu tidak seperti bantahan PKPIM dalam isu PPSMI sekarang.

Diriwayatkan juga, pada ketika itu, Perdana Menteri Dr Mahathir dalam satu ucapannya berkata bahawa menjelang 2020 ini Malaysia memerlukan lebih ramai tenaga kerja. Apabila Najib mendengar ucapan Mahathir itu, mungkin didorong perasaan ingin mengampu Perdana Menteri, Najib mengurangkan tahun pengijazahan di universiti.

Maka, semua tahun pengajian di universiti yang mengambil masa empat tahun dikurangkan kepada tiga tahun. Pensyarah pun terpaksa membuat pilihan dengan sebab pemendekan tahun pengajian yang dirancang oleh Najib itu.

Antara pilihan mereka ialah..Pertama, mengurangkan isi kandungan silibus pengajian. Kedua, memadatkan, memampatkan isi kandungan silibus itu. Bagi tujuan ini, pensyarah terpaksa mengajar di kuliah dengan laju. walaupun ada siswa yang tak faham, pensyarah tidak peduli soal itu. Yang penting, isi pengajian mesti dihabiskan dalam tempoh tiga tahun.

Siswa-siswa universiti semakin lesu dengan bebanan, tekanan akadmeik yang bertambah gara-gara kebodohan Najib itu.

Tiada kerja kerana ekonomi meleset atau sebab tak fasih B.I?Sekali peristiwa, Dr Mahathir barangkali terdengar juga desas-desus rakan-rakannya dalam kalangan kapitalis mungkin.. bahawa antara sebab mahasiswa itu tidak mendapat pekerjaan adalah disebabkan pelajar itu kurang lengkap berpengetahuan dalam berbahasa Inggeris.

Hakikatnya, pada waktu itu, memang kilang-kilang dan syarikat-syarikat sedang berusaha keras membuang pekerja seperti mana yang berlaku sekarang ini. Dan, semua itu berlaku kerana kemelesetan ekonomi dunia menjalar secara global kerana ekonomi kita bersandar dalam sektor-sektor tertentu dengan Amerika.
Bagi mengelakkan rasa beban bersalah ini, maka kerajaan telah pun meletakkan beban kesalahan itu di atas bahu pelajar itu sendiri. Kenapakah mahasiswa tidak cekap berbahasa Inggeris? Kerana kamu tak fasih berbahasa Inggeris, maka sebab itulah kamu tidak berhasil mendapatkan pekerjaan.

walhal..nak dapat pekerjaan bagaimana kalau memang pada waktu itu, segala kilang dan syarikat tertentu sedang berusaha keras nak buang tenaga buruh bagi menjimatkan bebanan kos yang terpaksa mereka tanggung selama ini.
Jika dahulu, ekonomi berkembang, syarikat dan kilang memang mahukan ramai pekerja dan tenaga buruh, maka jika kita tak fasih pun berbahasa Inggeris, kita tentu mendapat pekerjaan itu.

Orang nak gunakan khidmat dan tenaga muda mahasiswa. Jadi kalau tak fasih bahasa Inggeris pun, kilang dan syarikat itu akan buat inisiatif bagi memahirkan pekerjanya untuk berbahasa Inggeris jika ada keperluan mendesak untuk tujuan itu.
Bermodalkan penipuan, sikap tidak jujur inilah, maka Mahathir mula menyalahkan pelajar sendiri, menyatakan sikap kita yang tidak peduli bahasa Inggeris telah mengakibatkan barah dalam kehidupan sendiri, sehingga tidak berjaya mendapat pekerjaan, walhal pada ketika itu memang kilang dan syarikat sedang berusaha keras menyingkirkan pekerjanya.

Sedikit demi sedikit, Dr Mahathir membuat ucapan-ucapan seperti itu dan terhasillah apa yang dinamakan sebagai PPSMI yang ada sekarang ini selepas wujudnya idea-idea seperti mahu mewujudkan sekolah beraliran Inggeris yang kemudiannya telah ditentang oleh tokoh-tokoh bahasa dalam negara kita.

Kalau anda perhatikan iklan malam-malam yang menunjukkan bahawa Malaysia sekarang sedang berhempas pulas untuk mengatasi masalah kegawatan, kemelesetan ekonomi sekarang, maka di situlah PPSMI bermula.

Sayangnya, dengan sebab masalah kegawatan ekonomi, anak bangsa menjadi mangsa. Marahkan nyamuk, satu kelambu terbakar hangus!
Hatta, syahadan wal arakian.. demikianlah alkisahnya.. Wallahu'alam..

PPSMI: MENGENANG 3 MAC 1967: APABILA PARLIMEN MEMENGGAL LEHER BAHASA

Ahmad Lutfi Othman Thu Mar 05, 09 6:02:32 pm MYT/Harakahdaily

Seorang wanita yang meminta saya sekadar memanggilnya "makcik" menelefon pagi Isnin lalu, dengan loghat Kedah yang pekat: "Lutfi, jadi tak demonstrasi 7 Mac nanti? Makcik nak bawa anak-anak sekali, biar kena sembur air pun takpa." Saya mencelah pantas: "Mesti jadi makcik, insya-Allah, bagus bawa anak-anak dan kawan rakan sekali. Isu bahasa ini isu semua pihak."

"Tujuan makcik telefon Lutfi ini sebab makcik nak nyanyi lagu berkaitan bahasa kebangsaan, yang selalu kami nyanyi dulu-dulu, tahun 60-an, makcik dan kawan-kawan di Bukit Besar, Kedah. Boleh makcik menyanyi?" Ramah betul makcik itu memperkenalkan diri sambil meminta izin menyanyi.

Selesai menyanyi, makcik bertanya: "Sedap tak Lutfi?" "Memang sedap!" balas saya jujur. Bersemangat sungguh makcik menyanyi walaupun pendengarnya hanya saya seorang. Sayang saya tidak ingat liriknya. "Sedap lagu atau sedap suara makcik?" beliau terus berkelakar gaya orang Kedah. "Dua-dua sedap makcik," sesungguhnya reaksi saya bukan untuk mengambil hatinya kerana memang ia berupaya menyuntik "rasa syahdu" kepada bahasa Melayu.

Saya terkilan kerana tidak sempat menyimpan nombor telefon makcik itu. Apa pun, semoga lebih ramai "audien baru" demonstrasi akan memeriahkan perarakan bersejarah nanti. Kerajaan yang sudah pekak dengan rayuan, memorandum dan resolusi persidangan, sesekali perlu diperingatkan secara lebih lantang hingga pecah gegendang telinganya, tentang nasib malang anak bangsa, atau sekurang-kurangnya mendengar kembali nyanyian lagu patriotik bahasa kebangsaan yang dinyanyikan makcik tadi. Biar gema suara itu memecah tembok, mencecah langit, menghunjam ke laut dalam.

Isu mendaulatkan bahasa Melayu sememangnya tidak terhenti setakat himpunan 7 Mac. Juga tidak akan diberi tanda nokhtah walaupun PPSMI yang hodoh, pelik dan bodoh itu dibatalkan perlaksanaannya, apatah lagi jika ia hanya sekadar diubah-suai wajah kosmetiknya.

Elok juga dihimbau peristiwa "api dan air mata", pada hari Jumaat, 3 Mac 1967, 42 tahun lalu, di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, apabila hampir 2,000 orang daripada 120 NGO berkumpul, "duduk berhimpit-himpit, berdiri berjejal-jejal, di pintu masuk bersesak-sesak, di anak tangga jengah-menjengah, yang di bawah berpusu-pusu".

Tujuan mereka di Balai Budaya itu hampir sama dengan himpunan 7 Mac 2009 bagi menuntut mansuhkan PPSMI. Dahulu, mereka menentang Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan yang sedang diperdebatkan di Parlimen, yang sebenarnya melemahkan lagi kedudukan bahasa Melayu.

Apa yang menarik ialah catatan bagaimana selepas ucapan berapi-api Syed Nasir Ismail, seorang pemuda, Wan Ahmad Nasir melompat naik ke pentas lalu mengambil alat pembesar suara di meja pengerusi dan berteriak: "... dengan ini, saya rampas majlis ini, kami tidak mahu bercakap lagi, semangat kami cukup dibakar, mari berarak ke Parlimen ..."

Usman Awang merakamkan detik-detik bersejarah 3 Mac 1967 itu dalam bait-bait puisinya:

Malam itu di Balai Budaya Api dan Air Mata
Malam itu di Balai BudayaSeorang guru tua berbicara'Berarak ke Parlimen, aku di muka'
Malam itu di Balai BudayaSeorang peguam muda berkata'Bakar Perlembagaan 152'
Malam itu di Balai BudayaSeorang pemuda berteriak'Ayuh, mari kita berarak'
Malam itu di Balai BudayaPara pelajar berikrar'Dada kami sedia dibakar'
Malam itulah jugaParlimen jadi pertandaMemenggal leher BAHASA

* Tulisan ini tidak disunting untuk mengekalkan tulisan daripada sumber asal - WITRA

Tuesday, March 03, 2009

PPSMI: 7 MAC, RUNTUHKAN KEBODOHAN INI!

Ahmad Lutfi Othman Foto Nasir Sudin Mon Mar 02, 09 11:15:14 am MYT

Segala persiapan telah diatur. Kempen penerangan jelajah seluruh negara selesai sudah. Hujah mengapa PPSMI dibantah tidak diragui lagi. Tokoh-tokoh cendekiawan dan budayawan Melayu semakin ramai memberi sokongan dan tampil ke depan. Majoriti rakyat, sejak PPSMI diperkenalkan enam tahun lalu, menolak tanpa sangsi. Dasar yang pelik dan aneh itu sememangnya telah menjahanamkan perkembangan intelektual hampir satu generasi anak-anak yang tidak berdosa. Tarikh 7 Mac bakal menjadi saksi amarah yang membuak-buak itu ditumpahkan melalui satu himpunan raksasa yang bersejarah, insya-Allah.

Tiba-tiba ingatan saya terimbau hampir empat tahun lalu. Saya diundang di saat-saat akhir, untuk menghadiri satu persidangan peringkat kebangsaan, di Kolej New Era, Kajang, anjuran Dong Jiao Zong (DJZ). Saya menjadi bidan terjun mewakili Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) apabila tiada wakil pertubuhan Melayu yang bersedia menjadi ahli panel bagi membantah apa yang hari ini kita kenali sebagai PPSMI. Saya sampai jam 3 petang, ketika hujan panas renyai-renyai. Namun dahi saya berpeluh akibat gementar berdepan lebih 5,000 orang yang datang dari seluruh negara, kebanyakannya masyarakat Tionghua yang mewakili sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.

Cuba bayangkan, keanehan waktu itu, dan saya terasa keseorangan dibelit kesunyian di atas pentas. Tiada wakil NGO Melayu yang mampu meluahkan bicara dan rasa tentang PPSMI yang bersedia untuk memakan korbannya. Sedangkan siapa mangsa yang paling teruk daripada rancangan pelik dan aneh itu, kalau bukan anak Melayu sendiri dibandingkan dengan pelajar Cina dan India? Benar, orang Melayu lebih suka menumbuk dinding melepaskan marah ... tapi awas, jangan sampai mengamuk!
Reaksi awam ketika itu seolah-olah menggambarkan masyarakat Melayu dapat menerima PPSMI walaupun penolakan masyarakat Cina, terutama dari kelompok pendidik mereka, begitu ketara.

Enam tahun masa berlalu. PPSMI jelas "celaka". Kedudukan bahasa Melayu yang sedia lemah makin dihina di bumi sendiri. Usaha gigih pejuang bahasa sejak sekian lama untuk memartabatkannya di persada antarabangsa seperti diterajang ke jurang dalam. Anak-anak Melayu yang diketahui agak lemah dalam matematik, sains dan bahasa Inggeris dijadikan bahan uji kaji dan perkakas untuk mengaut keuntungan melalui dasar yang pelik, aneh dan bodoh itu. Tertebuskah dosa kita membiarkan mereka merana selama enam tahun? Dan bahasa Melayu makin dipandang rendah. Malah, kita sebenarnya melakukan "usaha sia-sia" menghabiskan masa menentang PPSMI ketika kita patut menggembleng tenaga memperkukuhkan bahasa kebangsaan itu dalam setiap sektor. Tanpa PPSMI pun bahasa Melayu perlu diperkasa seutuhnya terutama menempuh badai globalisasi.

Melalui Siasah, kemudiannya Harakah, saya memberi ruang secukupnya untuk berhujah dan berdebat. Di atas pentas teori tiada siapa dapat menyanggahnya. PPSMI wajib dikuburkan,segera! Menteri Pelajaran hanya menyerlahkan kebebalan dalam beberapa reaksinya. Kini masa untuk menghentikan kebodohan yang cukup panjang ini.
Budayawan, cendekiawan, pemimpin politik, aktivis masyarakat dan ibu bapa perlu bersatu tenaga untuk, bukan sahaja meruntuhkan kedunguan dan kebengongan ini, dengan turun beramai-ramai pada 7 Mac nanti, tetapi juga untuk bersama-sama membina kembali peradaban bangsa yang terabai selama ini. Selamat berdemonstrasi!
* Tulisan ini tidak disunting untuk mengekalkan tulisan asal daripada sumber - WITRA

PPSMI: DENGARLAH SUARA HATI NURANI A.SAMAD SAID

Abdul Shukur Haron Foto Nasir Sudin Mon Mar 02, 09 11:02:06 am MYT

"Kalau ada calon (dalam pilihan raya nanti) yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak mengundi mereka."

Sukar untuk digambarkan bagaimanakah rupanya manusia atau kumpulan manusia yang dikatakan 'bertelinga satu, berlidah dua'. Adakah ia manusia atau manusia jadi-jadian? Adakah ia Dinasour yang membaham semua yang ada disekelilingnya?

Yang nyata manusia atau pemimpin yang bertelinga satu dan berlidah dua ini sangat hodoh, menakutkan di samping menjadi bahan tertawaan.

Di kampung dulu, saya sering terserempak dengan pelbagai jenis ular- ular sawa, ular tedung, ular senduk dan pelbagai ular lagi. Jenis biawak dan ularlah yang berlidah dua atau lidah bercabang. Dalam konotasi bahasa Melayu, 'lidah bercabang' ini mempunyai maksud negatif. Ia seorang yang hypokrit atau berpura-pura, dengan kumpulan ini cakap lain, dengan kumpulan itu cakap lain.

Sementara itu, manusia bertelinga satu memang sukar ditemui. Namun bertelinga satupun masih boleh mendengar, kalau telinga yang satu itu benar-benar berfungsi.
Kalau yang satu itupun tidak berfungsi, maka ia tidak akan mendengar apapun suara. Saya terkesan dengan phrasa ini ketika mengikuti pandangan sahabat lama saya, Sasterawan Negara A. Samad Said dalam wawancaranya yang disiarkan dalam Fikrah, sisipan akhbar Harakah baru-baru ini.

Beliau sangat marah dengan pemimpin yang 'bertelinga satu, berlidah dua', ketika merujuk kepada bantahan kerasnya bersama para tokoh bahasa, penulis dan intelektual serta pelbagai NGO terhadap langkah kerajaan meneruskan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris seperti sekarang.

Langkah ini, bagi A. Samad Said, adalah usaha penguncupan bahasa Melayu. Justeru itu dengan nada keras beliau berkata, "Kalau ada calon (dalam pilhian raya nanti) yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak mengundi mereka." Beliau lalu bertanya, "mengapa kita pilih mereka yang mahu menguncupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan tidak mengundi mereka."
Sasterawan Negara itu menyifatkan pemimpin yang mahu meguncupkan bahasa Melayu sebagai 'pemimpin bertelinga satu, berlidah dua'.

Saya mengenali A. Samad A. Samad Said sejak lebih empat puluh tahun lalu semasa di Singapura. Sejak di Singapura lagi hinggalah berpindah ke Kuala Lumpur sebagai wartawan dan pengarang akhbar, saya mendapati Sasterawan Negara ini sangat prihatin teradap Bahasa Melayu.

Beliau bersama rakan-rakan sasterawan/wartawan yang lain, Kris Mas, A. Samad Ismail, Usman Awang, Asraf Haji Abd Wahab, Prof. Muhamad Haji Saleh dan lain-lain begitu gigih memperjuangkan bahasa Melayu. Bahkan, untuk puluhan tahun, melalui akhbar yang dipimpinnya serta melalui cerpen, novel dan puisinya, beliau 'membelai' bahasa Melayu dengan segala kecintaannya. Kepadanya, bahasa Melayu menjadi pentas untuk dia berkarya, menyampaikan pesan hati nuraninya.

Sasterawan Negara itu begitu banyak membaca karya berbahasa Inggeris di samping mentelaah tafsir Al-Quran, Sejarah Nabi s.a.w., membaca karya Ibnu Khaldun, Al-Farabi, menekuni puisi Iqbal dan lain-lain. Dialah yang memperkenalkan dan mendorong saya dan kawan-kawan penulis membaca karya novelis Barat - Ernest Hemmingway, Joseph Conrad, Honor De Balzac, Leo Tolstoy di samping karya William Shakespeare dan lain-lain.

Malah beliau juga banyak membaca karya pengarang China, India, Latin Amerika dan Arab yang telah diterjemahkan ke bahasa Melayu, sementara pendedahannya kepada karya sasterawan Indonesia seperti Pramoedya Ananta Toer, Chairil Anwar, Iwan Simatupang, Idrus, Mochtar Lubis, Goenawan Muhamad, W.S. Rendra, Taufek Ismail dan lain-lain sangat luas.

Perjuangan Keranda 152
Justeru itu tentu sangat istimewa, seorang sasterawan sepertinya yang sangat luas pembacaannya, khususnya dalam bahasa Inggeris, menjadi salah seorang tokoh pejuang bahasa bahasa Melayu. Justru kerana ia tahu bahawa bahasa Melayu adalah pengucapan hati nurani bangsanya.

A. Samad Said sangat sedar akan tanggungjawabnya mempertahankan bahasa ibundanya walau dalam apa keadaanpun. Justru itu tentulah dia sangat kesal akan nasib bahasa Melayu yang semakin menguncup di tangan pemimpin elit politik yang berkuasa, sedangkan para pejuang bahasa dan rakyat prihatin berhempas pulas sejak puluhan tahun, mempertahankan bahasa ibunda.

Saya dapat mengertikan kekecewaan Sasterawan Negara ini dan temannya yang lain berdepan dengan situasi begini, sedangkan Kongres Bahasa Melayu sudah banyak kali diadakan sejak 1952 lagi. Setiap kali Kongres tersebut diadakan, resolusinya, antara lain, usaha memperkukuh bahasa Melayu, malangnya usaha tersebut terhalang oleh tindakan elit politik.

Lebih tiga puluh tahun lalu di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka, di mana saya turut menyaksikan, bagaimana para pejuang bahasa berkumpul untuk mempertahankan marabat bahasa Melayu yang mulai diabaikan. Mereka mengusung 'Keranda 152' sebagai simbolis protes terhadap langkah mminggirkan bahasa Melayu.

Memimpin gerakan ini ialah Tun Syed Nasir Ismail, sementara yang turut hadir di majlis tersebut, antara lain, Kris Mas, Usman Awang, A. Samad Ismail, A. Samad Said, Asraf Abd Wahab, Tan Sri Ismail Hussein, Prof. Zainal Abidin Wahid dan para pejuang bahasa yang lain.

'Keranda 152' ialah simbolis angka dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan kedudukan bahasa Melayu dijamin menurut Peruntukan 152.
Seperti terdengar suara bantahan dan puisi Usman Awang yang dibacakan pada malam bersejarah di Balai Budaya itu. Enam tahun lalu ketika pemimpin yang berkuasa memutuskan pengajaran sains dan matematik hanya dalam bahasa Inggeris bukan bahasa ibunda, konon untuk memahirkan pelajar berbahasa Inggeris, para pejuang bahasa dan rakyat prihatin sekali lagi menyatakan bantahan dengan kerasnya. Namun bantahan itu seperti tidak didengar oleh 'pemimpin bertelinga satu berlidah dua' seperti kata A. Samad Said.

Bagaimanapun perjuangan ini tetap diteruskan. A. Samad Said tidak berseorangan dalam perjuangan ini. Tokoh bahasa dan penulis seperti Dato� Dr. Hassan Ahmad, Prof. Ismail Hussein, Prof. Shahril Muhd Zain, Dinsman, Dr. Nik Safiah Karim, Ainon Muhamad, Dinsman, Bahasa Zain, Hasni Abas, Razali Endon dan ramai lagi maju ke depan bersama meneruskan perjuangan ini.

Yang menariknya, banyak NGO ikut bersimpati dengan perjuangan ini dan berganding bahu dengan GMP (Badan yang menentang pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris). Satu perhimpunan aman GMP akan diadakan Sabtu 7 Mac ini untuk menghantar memorandum ke Istana Negara, memohon memansuhkan pengarajaran sains dan matemathik dalam bahasa Inggeris.
Inilah rangkaian sebuah perjuangan panjang yang disertai oleh Sasterawan Negara, A. Samad Said. Seperti kata ahli falsafah, 'perjuangan tidak pernah sia-sia.' -
* Tulisan ini tidak disunting untuk mengekalkan tulisan yang asal daripada sumber - WITRA

PPSMI: PENGISYTIHARAN ULAMA BANTAH PPSMI

Harakahdaily Mon Mar 02, 09 10:16:08 am MYT

PENDANG, KEDAH, 2 Mac (Hrkh) - 'Pengisytiharan Muafakat Ulama Membela Martabat Melayu' yang diadakan di Madrasah An-Nur, Pendang, dekat sini baru-baru ini membuktikan bahawa golongan ulama juga turut membantah isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilancar sejak tahun 2002.

Berikut adalah teks penuh Pengisytiharan tersebut:-
Segala puji hanya untuk Allah Rabbul 'Alamin, Yang Maha Pengasih, Yang telah mengajar Al-Quran, Dia menciptakan insan, mengajarnya al bayan, Dia cipta semua dengan segala aturannya agar insan tidak merosakkan keseimbangan, supaya ditegakkan kesimbangan itu dengan adil dan tidak mengurangi keseimbangan yang telah disusun dengan peraturanNya.

Selawat dan salam untuk junjungan kekasihNya Rasulullah s.a.w serta ahli keluarga baginda dan seluruh sahabatnya, yang menjadi qudwah hasanah untuk seluruh insan, membawa rahmat untuk sekalian alam, membawa petunjuk dari zulamat kepada nur yang menerangkan, membebaskan perhambaan insan kepada makhluk kepada pengabdiaan hanya kepada Allah, yang mengangkat semua kaum dari Zillah kepada kekecemerlangan 'Izzah Islam.

Memahami bahawa bahasa mempunyai kaitan langsung dengan persoalan falsafah dan pegangan hidup seseorang Muslim,

Memahami bahawa dengan pemisahan agama dari bahasa akan membawa implikasi besar kepada kaum Muslimin dari sudut pandangan hidup Islam yang berasaskan Tauhid,

Menginsafi bahawa kepentingan penggunaan bahasa dalam Islam ada kaitan dengan makna yang boleh memberi kesan kepada nilai dan prinsip asas dalam kehidupan seseorang Muslim,

Meneliti bahawa fungsi bahasa sangat jelas kepentingan dan kedudukannya dalam pengembangan dan penyampaian risalah Islam,

Menginsafi betapa sekularisasi bahasa akan membawa kepada sekularisasi kehidupan kaum Muslimin, lantaran terpisahnya seorang Muslim dari bahasa yang mendidik konsep dan falsafah kehidupan beraqidah akan melunturkan kerangka berfikirnya terhadap tassawur Islam yang benar dan murni,

Menghayati betapa bahasa Melayu telah melalui sejarah Islamisasi yang tersendiri sejak kedatangan Islam di alam Melayu, oleh kerana itu ia telah menjadi bahasa yang terpileh untuk membentuk pegangan hidup Islam dikalangan ratusan juta kaum Melayu di nusantara ini,

Menerima bahawa Bahasa Melayu mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa Kebangsaan Negara ini,

Mengambil perhatian serius bahawa perlaksanaan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) sejak tahun 2002 , telah menjejaskan status dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan Negara,

Menyesali bahawa PPSMI telah dilaksanakan dengan secara tergesa-gesa tanpa penelitian yang lebih terperinci dan tanpa mengambil pandangan balas dari ahli cendekiawan dan ilmuan Islam,

Memandang serius bahawa perlaksanaan PPSMI telah memberi kesan negatif dalam jangka masa pendek mahupun dalam jangka masa panjang kepada tahap prestasi pelajar-pelajar di kawasan luar Bandar,

Memberi perhatian berat kepada perlaksanaan PPSMI yang telah mengenepikan segala usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berkeupayaan tinggi untuk mendidik anak bangsa khasnya dan warga Negara amnya,

Memahami bahawa perlaksanaan PPSMI oleh pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak mengambilkira segala hujah ilmiah berdasarkan undang-undang, sejarah, kesan sosio-budaya, pembinaan jati-diri dan tamadun bangsa, yang telah dibentang oleh pelbagai ahli pakar dan ahli akademik dalam Negara,

Mengesahkan bahawa beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu ada kaitan dengan ta'rif seorang Melayu mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan ini bermakna keserasian Bahasa Melayu dengan KeIslaman bangsa Melayu tidak dapat dipisahkan,

Maka kami sebagai golongan agama yang prihatin terhadap sebarang hal-ehwal yang ada kaitan dengan kedudukan Islam dan kaum Muslimin di Negara ini, berpendirian,
1.MENOLAK perlaksanaan PPSMI dalam sistem pendidikan Negara,

2.MEMBANTAH penerusan perlaksanaan PPSMI kerana ia menjejaskan kedudukan bahasa Melayu yang sudah diangkat martabatnya sebagai bahasa ilmu dan sekaligus bahasa Islam,

3.MENEGASKAN bahawa dalil agama untuk mengembalikan pengajaran sains dan Matematik kepada bahasa Melayu sangat kuat kami sandarkan kepada nas-nas naqli berikut:

-Menggunakan bahasa yang dapat menerangkan dan memahamkan konsep dan falsafah kebenaran adalah matlamat utama kenapa Al-Quran menggunakan bahasa ibunda Arab sebagai pengantar untuk menjelaskan makna dan intisari ajaran Islam kepada bangsa Arab.

"Dan demikianlah Kami wahyukan Al Quran kepadamu dalam bahasa Arab , agar engkau memberi peringatan kepada penduduk ibukota (Mekah) dan penduduk (negeri-negeri) di sekelilingnya serta memberi peringatan tentang Hari berkumpul (Qiamat) yang tidak diragukan adanya . Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka ". (Asy-Syura: 7)

-Bahawa bahasa yang tidak tercemar dengan makna dan faham yang terlepas dari konsep ketauhidan Allah dan membolehkan mesej asas Islam mengenai Ketuhanan disampaikan adalah punca kenapa Al Quran memilih bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Lantaran itu Bahasa Melayu yang telah sarat melalui proses Islamisasi adalah bahasa yang paling wajar dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan Negara untuk menjayakan proses pembinaan tamadun islam dalam masyarakat Malaysia.

"Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Al Quran berbahasa Arab , agar kamu mengerti" (Surah Yusuf: 2)
"Dan demikian Kami menurunkan Al Quran dalam bahasa Arab dan Kami telah menjelaskan berulang-ulang didalamnya sebahagian dari ancaman agar mereka bertaqwa atau agar (Al Quran) itu memberi pengajaran bagi mereka"(Surah Toha: 113)

"Dan sungguh te;lah Kami buatkan dalam Al Quran ini segala macam perumpamaan bagi manusia agar mereka dapat pengajaran, iaitu Al Quran dalam bahasa Arab, tiada ada kebengkokan (di dalamnya) agar mereka bertaqwa" (Surah Az Zumar :27- 28)
"(Al Quran ini) diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pengasih , Maha Penyayang , Kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan bacaan dalam bahasa Arab untuk kaum yang mengetahui" (Surah Fussilat : 2-3)

"Demi kitab (Al quran) yang jelas . Kami jadikan Al Quran dalam bahasa arab agar kamu mengerti� (Surah Al Zukh�ruf :3) Semua ayat-ayat ini menjelaskan betapa bahasa ada kaitan dengan mesej risalah Islam yang disampaikan kepada manusia.
Manakala bahasa Melayu yang sarat dengan konsep Islam dari Al Quran diketepikan penggunaannya dalam pengembangan ilmu ,maka kesan sekularisasi bahasa yang telah berlaku dalam sejarah pengembangan bahasa inggeris yang sangat dipengaruhi oleh sejarah sekularisasi agama Kristian akan mempunyai impak kepada masyarakat Melayu islam di Negara ini.

4.MENDESAK supaya perlaksanaan PPSMI hendaklah diberhentikan dan penggunaan bahasa Melayu kembali digunakan sebagai bahasa pengantar dalam semua matapelajaran kecuali dalam pengajaran bahasa yang lain , di seluruh institusi pendidikan di semua peringkat .

5.MENUNTUT agar kerajaan mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk membentuk tamadun tinggi dalam masyarakat, sementara memberi ruang untuk pelajar mempelajari pelbagai bahasa lain untuk meningkatkan keupayaan menguasai pelbagai ilmu dari sumber bahasa yang lain,

6.MENDESAK agar tulisan jawi kembali diperkasakan dalam sistem pendidikan Negara termasuk mengalakkan urusan rasmi menggunakan tulisan jawi sebagai identiti negara,

7.MENEGASKAN bahawa pengajaran bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan kaedah dan pendekatannya, namun bukan dengan cara mengenepikan bahasa Melayu sebagai pengantar matapelajaran seperti yang dilaksanakan dalam PPSMI masakini,

8.MENGGESA supaya penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar hendaklah diperundangkan dan dikuatkuasakan dalam semua sektor Negara semada awam mahupun swasta.

9.MENEGASKAN bahawa pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak boleh berdaleh dengan alasan pencapaiaan UPSR , PMR mahupun SPM untuk menjadi asas untuk meneruskan atau memberhentikan perlaksanaan PPSMI,

10.MENDESAK supaya pihak kerajaan tidak menggunakan dalil mencapai kemajuan bertaraf dunia sebagai alasan untuk meneruskan PPSMI kerana hujah ini sudah muktamad ditolak oleh perbandingan dan bukti dengan pelbagai Negara lain yang tidak mengutamakan bahasa Inggeris untuk mencapai kemajuan sesuata bangsa dan Negara.

11.MENGESA agar seluruh warga pendidik dan waris pelajar-pelajar disemua institusi pendidikan Negara agar bersama bersatu untuk membantah perlaksanaan PPSMI.
*Tulisan ini tidak disunting untuk mengekalkan tulisan asal daripada sumber. WITRA

Monday, March 02, 2009

CERAMAH: SK TAMAN CENDANA


1. Pada hari Sabtu, 28 Februari yang lalu, saya telah diundang ke SK Taman Cendana, Pasir Gudang untuk berceramah dan mengendalikan bengkel tatabahasa kepada guru-guru BM di sekolah itu.

2. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Guru Besar, Tuan Haji Musa bin Mastor (mantan Guru Besar saya semasa di SKTJJ2 dahulu) kerana sudi mengundang saya pada hari itu.

3. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Yusri (PK 1) dan Ketua Panitia serta AJK Panitia BM yang menguruskan program tersebut hingga dapat dilaksanakan dengan lancar sekali. Tidak lupa juga kepada Puan Raziah yang menguruskan program.

4. Kepada guru-guru BM di SKTC, saya doakan kalian akan terus memantapkan ilmu untuk memastikan anak murid kita mendapat guru yang benar-benar menguasai bidangnya.

5. Jangan lupa, kepada guru-guru yang belum memiliki Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga dan Kamus Dewan Edisi Keempat, sila dapatkannya kerana itu merupakan sumber rujukan terpenting kepada kita.

6. Saya memohon maaf jika sepanjang kursus, saya agak keras dalam berbicara, khususnya yang berkaitan dengan PPSMI. Saya perlu bersuara kerana saya berbangsa Melayu.

7. Saya mendapati bahawa guru-guru BM di SKTC begitu positif dan bersemangat tinggi. Saya percaya tidak mustahil suatu masa nanti, SKTC akan menjadi antara sekolah terbaik di daerah Pasir Gudang.

8. Jika guru-guru ada masalah tentang BM, hubungilah saya. Saya sedia membantu setakat yang terdaya.

9. Sampai bertemu lagi. Salam silaturahim. Berjihad demi bahasa dan bangsa!

PPSMI: AJAR BN-UMNO DI PETI UNDI - SASTERAWAN NEGARA

Harakahdaily Sun Mar 01, 09 1:18:03 pm MYT

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Hrkh) -Rakyat disaran menggunakan 'bahasa undi' untuk mengajar pimpinan Melayu yang 'membunuh' bahasa ibundanya (Melayu) sendiri demi menyelamat bangsa dan bahasa dari kepupusan.

Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said, 76, berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerangan Isu Pengajaran Pembelajaran Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di pekarangan Surau Tuan Guru Zainal Abidin, Sura Gate, Dungun, kelmarin.

Katanya, pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya boleh diajar dengan kuasa undi dalam pilihan raya.

"Saya menyarankan jika kita (rakyat) sayangkan bahasa kita. Jika mahu bahasa (Melayu) kita dilanjutkan dan dilestarikan. Gunakanlah undi anda (kita), gunakan undi anda.
"Sebab, pemimpin-pemimpin jenis ini hanya tahu 'bahasa undi' (pilihan raya). Dia (pemimpin Umno) tidak tahu bahasa Melayu," tegasnya.

Menurutnya, Umno-BN memperkecilkan golongan muda yang bakal menentukan masa depan negara ini.

Oleh itu, kata beliau golongan muda wajar menggunakan kuasa mengundi (pilihan raya) bagi menentukan pemimpin dan masa depan negara ini.

"Dia (Umno) selalu memperkecilkan angkatan (generasi) muda. Angkatan tua biasanya sudah bersikap jika dia Umno tetap akan Umno, jika syahdunya PAS dia akan tetap dengan PAS.
"Kuasa imbangan yang terbesar sekarang adalah ditangan anak-anak muda dan janganlah lupa menggunakan kuasa (pilihan raya) itu untuk menentukan masa depan bangsa dan bahasa," ujarnya.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Samad mendakwa pemimpin Negara ini telah melakukan satu jenayah kerana melanggar Akta Pendidikan dan Perlembagaan.
Katanya, kemajuan yang mahu dinikmati oleh rakyat dan negara ini bukan dengan cara membunuh bahasa dan bangsa sendiri.

"Kenapakah pemimpin (Umno-BN) kita telah melakukan satu jenayah dengan melanggar Akta Pendidikan dan melanggar Perlembagaan yang mensucikan bahasanya.
"Sekarang tahun 2009, perlanggaran itu berterusan. Apakah orang seperti saya yang membantah PPSMI kerana tidak mahu kemajuan.

"Saya telah berusia 76 tahun dan saya telah menulis sepanjang lebih 50 tahun dan menghasilkan 65 buah buku khazanah untuk bangsa saya,"jelasnya.

Katanya, permasalahan isu PPSMI berlarutan sejak enam tahun lalu kerana negara ditadbir oleh pemimpin yang hanya berfikir lima tahun ke hadapan dan bukan 50 tahun ke hadapan.
"Kita (Melayu) sudah kepupusan huruf (jawi) dan kita sudah hilang Utusan Melayu oleh kerana kepupusan huruf.

"Kita (Melayu) hilang kitab-kitab jawi dan tidak lama lagi dalam lima dekad kita akan hilang bahasa kita (Melayu) sendiri," jelasnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Abu Bakar Chik; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Ustaz Wan hassan Ramli dan Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pelaksana Gerakan Memansuhkan PPSMI, Suhaizan Kaiat.