Thursday, October 29, 2009

PELANCARAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN DI MERSING

Pada 23 Oktober 2009 yang lalu, saya telah diundang oleh pihak DBP Wilayah Selatan untuk menyampaikan ceramah tentang dasar dan isu semasa yang berkaitan dengan bahasa. Ceramah ini diadakan untuk mengisi slot pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat daerah Mersing.

Antara tetamu kehormat ialah Exco Agama Negeri Johor, YB Datuk Zainal (ADUN Endau), Pegawai Daerah Mersing, Pengarah DBP Wilayah Selatan, dan ketua-ketua jabatan serta masyarakat setempat.

Ucapan terima kasih atas pelantikan dan kepercayaan, khususnya kepada Pengarah DBP Wilayah Selatan, Puan Hajah Nor Hashimah Ali, pegawai pengelola, Cik Syuhada DBPWS, Encik RAR (sekarang coach RAR!) dan staf-staf DBP Wilayah Selatan.

Tahniah kepada pihak DBP Wilayah Selatan atas penganjuran majlis ini. Hidup Bahasa Melayu, Hidup Bangsa Melayu!

MELASTIK KE BINTANG 18

Apa yang penting adalah bukan dari mana kamu datang, tetapi ke mana kamu hendak pergi.

BERNIE RHODES

Monday, October 26, 2009

KISAH SEEKOR ANJING

1. Satu pertandingan lumba lari antara sekumpulan anjing telah diadakan di tengah padang pasir Gurun Sahara. Oleh sebab jarak yang amat jauh, ditambah pula dengan cuaca yang teramat panas, maka kesemua anjing yang menyertai pertandingan itu tidak mampu sampai ke garisan penamat.
2. Namun demikian, terdapat seekor anjing yang kemudiannya ditemui mati, tidak jauh dari tempat penamat, hanya kira-kira 20 meter sahaja. Yang terlintas dalam fikiran kita tentulah anjing itu mati kerana kehausan ataupun keletihan yang melampau. Tetapi, di sebelah bangkai anjing itu, terdapat tompokan air yang bersih dan boleh diminum. Jadi, mengapakah anjing itu mati?
3. Jawapannya, anjing itu minum air itu terlalu banyak kerana kehausan. Persoalannya, adakah dengan minum air yang terlalu banyak akan menyebabkan anjing itu mati? Bukankah air yang banyak diminum boleh dikumuhkan atau dikeluarkan melalui kencing? Jadi, sekali lagi soalan ini gagal dijawab; mengapakah anjing itu mati?
4. Setelah dipost-mortem, didapati bahawa anjing itu mati kerana menghadapi komplikasi pundi kencing yang serius. Selepas minum air tersebut dengan banyaknya, anjing tersebut sepatutnya membuang air kencingnya. Namun begitu, anjing itu menahan kencingnya dan berusaha untuk tidak kencing.
5. Tahukah saudara mengapa anjing tersebut bertindak demikian?
6. Sifat tabie anjing ialah ketika hendak kencing, anjing itu akan mendekati objek seperti pangkal pokok atau batu besar untuk kencing di tempat itu. Sedangkan di padang pasir itu, tiada objek yang sedemikian, melainkan padang pasir yang luas terbentang. Oleh sebab itu, anjing itu sanggup menahan kencing hingga berasa sakit, dan akhirnya menemui ajalnya di situ.
7. Yang terlintas dalam fikiran saudara, mengapakah anjing itu tidak mahu kencing di tanah yang rata seperti di padang pasir itu? Adakah anjing itu tidak terfikir, begitu mudah untuknya membuang air kencingnya. Hanya melepaskan kencingnya di tanah rata itu, dan anjing itu akan terus hidup, dan pastilah anjing itu akan menang dalam lumba lari itu.
8. Sayangnya, itu jawapan kita. Jikalau seperti itulah yang difikirkan oleh anjing itu, nasibnya akan menjadi lebih baik, dan kemungkinan anjing itu tidak akan menemui ajalnya di situ. Tidak akan wujud masalah di situ. Apakah yang berlegar dalam fikiran anjing itu, sebenarnya?
9. Saudara, telah menjadi amalan “nenek moyang” anjing itu, sejak turun-temurun, zaman-berzaman, daripada generasi kepada generasi yang lain, anjing hanya akan kencing pada atau di atas objek atau benda lain seperti kayu, batu, atau pangkal pokok. Kerana tidak mahu mengubah cara lama, anjing itu akhirnya mati. Kerana tidak mahu melanggar amalan warisannya, biarpun kritikal situasinya dan sangat perlu, anjing itu menemui ajal.
10. Saudara, rasanya tidak perlu dijelaskan moral daripada cerita ini.
11. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya.” (ar-Raad, Ayat 11)

Monday, October 19, 2009

HANTU BERCERITA

Suatu yang menarik ketika menelaah, mengkaji, dan menganalisis majalah sekolah yang dipertandingkan dalam Anugerah Citra Majalah (ACM), anjuran DBP Wilayah Selatan ialah penemuan cerita-cerita yang dipaparkan oleh sidang redaksi majalah. Kadangkala, menarik juga cerita-cerita tersebut...kreatif jugak budak-budak sekarang.

Dua ekor hantu bertemu dan bercerita bagaimana mereka mati.
Hantu 1 : Bagaimana kau boleh mati?
Hantu 2 : Aku mati akibat kesejukan.
Hantu 1 : Macam mana boleh jadi begitu?
Hantu 2 : Sebenarnya aku terkurung di dalam peti ais. Mula-mula aku hanya
menggigil, lepas itu anggota badan aku mula membeku. Kemudian aku rasa dunia ini gelap dan akhirnya…
Hantu 1 : Isyy..kesiannya engkau!
Hantu 2 : Kau pulak, macam mana kau boleh mati?
Hantu 1 : Aku kena serangan sakit jantung.
Hantu 2 : Cuba cerita sikit.
Hantu 1 : Sebenarnya aku dapat tahu isteri aku curang. Suatu hari aku balik
ke rumah secara mengejut. Aku nampak ada kasut lelaki kat depan pintu. Aku tahu mesti isteri aku sedang bermesra dengan jantan lain. Aku berlari masuk ke bilik tidur, cuma ada isteri aku. Aku lari masuk bilik air, tak de jugak! Kemudian aku lari ke tingkat bawah, tengok dalam stor, pun tak ada. Aku lari naik tingkat atas semula,
tengok dalam almari, pun tak nampak kelibat batang hidungnya! Sebab terlalu penat aku berlari la aku kena sakit jantung, akhirnya…
Hantu 2 : Apasal kau tak tengok dalam peti ais? Kalau tak, tentu kita masih
hidup lagi!

Sunday, October 18, 2009

INSPIRASI TAMING SARI

lagu "Inspirasi Taming Sari" ini termuat dalam album pertama kumpulan rock otai Wings, Belenggu Irama. Lagu ini telah dirakamkan semula oleh kumpulan Amuk dalam album Intepretasi dalam nafas yang lebih segar dan lebih metal. Bukan iramanya, bukan pelantunnya yang ingin dikongsi, namun cuba kita hayati sama-sama liriknya. Sarat dengan falsafah. Ya, falsafah perjuangan bangsa!

Ini kisah
keris Taming Sari
lambang setia
seorang laksamana Melaka

Seandainya
Taming Sari tiada
lemah ia
menentang musuhnya
yang derhaka

Tapi kini tiada lagi
Taming Sari sudah hilang dari mata
namun jangan dilupa

Taming Sari tetap di hati
untuk semua yang terus berjuang
Melayu takkan hilang

Hidupkanlah bangsa kita
kekalkan kata-kata laksamana
meskipun tanpa jasadnya
namun Taming Sari masih ada
pada orang kita
bersama Tuhan yang satu
kita tak akan mati
semasa hidup

Bangun semua
tajamkan kerismu
dalam hati
jadikan Hang Tuah
inspirasi

Di manakah tercacaknya Taming Sari sekarang? Di dasar Sungai Melaka? Benarkah Hang Tuah tidak membunuh Hang Jebat/Hang Kasturi dengan Taming Sari? Adakah keris Taming Sari masih wujud? Atau adakah Taming Sari hanyalah suatu cerita mitos?

Saturday, October 17, 2009

KURSUS PENULISAN KERTAS KERJA DAN LAPORAN MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR

HIASAN LATAR KURSUS
BERSAMA-SAMA PENGERUSI MAJLIS, ENCIK SUFFIAN
PESERTA KURSUS YANG TENANG

PESERTA KURSUS YANG BERDISIPLIN

PESERTA KURSUS YANG AKTIF

TARIKH: 14 OKT - 16 OKT 2009
TEMPAT : HOTEL SELESA, PASIR GUDANG

Pada tarikh ini, saya berada di Hotel Selesa, Pasir Gudang untuk memenuhi undangan ceramah daripada pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ). Saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada urus setia program, khususnya Puan Zuraina yang memberikan kepercayaan ini kepada saya, buat kali kedua dalam tahun ini.

Kepada semua peserta, saya berharap agar ilmu yang diterima diaplikasikan dengan sebaik-baiknya. Walaupun kursus ini dipenuhi dengan gelak ketawa, bergurau senda, dan yang seumpamanya, namun yang lebih penting, pengisian dan ilmu diharapkan dapat membantu para peserta. Terus terang saya nyatakan bahawa, saya amat gembira sekali bertemu, berceramah, dan berbengkel dengan semua peserta. Tuan-tuan telah menunjukkan komitmen yang padu dan benar-benar memperlihatkan kesungguhan yang jitu. Sampai jumpa lagi, dan saya mohon maaf jika sepanjang kursus, ada kekurangan dan kesilapan yang saya lakukan. Terima kasih juga kepada pihak DBP Wilayah Selatan (Puan Siti Hajar) atas pelantikan ini.

KURSUS PEMANTAPAN BAHASA MELAYU GURU-GURU SEKOLAH RENDAH NEGERI JOHOR 2009

TARIKH: 14 OKTOBER 2009
TEMPAT : SM SAINS JOHOR, KLUANG

Saya telah diundang oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) untuk menyampaikan ceramah kepada 100 orang guru dari seluruh negeri Johor yang mewakili daerah masing-masing. Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak JPNJ, khususnya Tuan Haji Abu Talib, Penolong Pengarah Bahasa dan Hajah Maimunah, Penyelia Kanan BM, JPNJ atas undangan ini. Kepada peserta kursus, manfaatkan ilmu yang telah saya sampaikan dengan sebaik-baiknya, dan sebarluaskanlah ilmu tersebut demi kepentingan anak didik kita. Sebagai guru, kita seharusnya lebih banyak belajar daripada mengajar...

FOTO-FOTO PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA SEKOLAH MENENGAH PERINGKAT KEBANGSAAN 2009

HIASAN LATAR PENTAS
CIKGU AMIRUDIN SEDANG MENYAMPAIKAN ILMU

BERSAMA-SAMA CIKGU AMIRUDIN DAN PEGAWAI KOKURIKULUM NEGERI SELANGOR DALAM MAJLIS PENUTUPAN

MENERIMA SIJIL PENGHARGAAN DARIPADA PEGAWAI JPNJ, PERASMI MAJLIS PENUTUP

FOTO-FOTO DI ATAS, IHSAN DARIPADA SAUDARA RUSDI ABD. RAHMAN (DBPWS).
TERIMA KASIH, BRO!

PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA SEKOLAH MENENGAH PERINGKAT KEBANGSAAN 2009

Bersama-sama Nazim Subari, Sahrunizam (Penyair Bahasa Senjata), dan Tuan Haji Dzulkarnain Ithnain (Novelis Tragedi Empat Disember)

Zaid Akhtar sedang menyampaikan ceramahnya...


Mungkin agak terlewat entri ini ke alam maya. Perkampungan Penulis Muda Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan telah diadakan di Kukup Golf Resort, Pontian dari 4 Okt - 8 Okt 2009 yang lalu. Program anjuran Kementerian Pelajaran di bawah seliaan Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) dengan kerjasama DBP Wilayah Selatan ini diadakan bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Program ini menghimpunkan pelajar dari seluruh negara untuk diberi input dan pengisian dalam soal kesusasteraan dan penulisan.

Sekalung tahniah kepada semua pihak yang terlibat dan ucapan terima kasih kepada semua fasilitator yang mempamerkan kesungguhan untuk membantu program ini. Atas kepercayaan dan sokongan Encik Razak (JPNJ) dan pastinya, Encik Rusdi Abd. Rahman (DBPWS), yang telah mengamanahkan suatu tugas besar kepada saya selaku Pengerusi Teknikal dan Penceramah, saya ucapkan ribuan terima kasih. Secara keseluruhannya, dapatlah dikatakan bahawa program pada kali ini tidaklah mengecewakan walaupun dibuat pada saat-saat akhir. Pengisian ilmu yang disampaikan oleh penceramah yang dilantik mendapat kredit yang baik daripada kalangan peserta dan guru pembimbing.
Penceramah utama:
1) Azhar Salleh - Puisi
2) Nazim Subari - Puisi
3) Zaid Akhtar - Cerpen
4) Mohd Kassim Mahmud - Cerpen
5) Tuan Haji Dzulkarnain Ithnain - Motivasi Penulisan
6) Tuan Haji Rosli Bakir - Puisi Tradisional
7) Amiruddin Ali - Deklamasi Puisi
...dan dibantu oleh rakan-rakan guru penulis yang hebat, seperti Rohaidah Yon, Md. Nizar Parman, Ruzaini Yahya, Hamzah Rahman Sooriyat, Hamzah Hamdan, Zulaiha Paikon, Pn. Khuzaimah, dll...

Tuesday, October 13, 2009

MELASTIK KE BINTANG 17

Walaupun anda berada di landasan yang betul, anda tetap akan tergelincir jika anda hanya duduk di situ.

WILL ROGERS

Saturday, October 10, 2009

MI UDANG SUNGAI DUA



Lazimnya, jika sesekali dapat pulang ke kampung di Pulau Pinang, saya pasti tidak akan melepaskan peluang ke Sungai Dua. Tarikan di situ ialah mi udang. Rasa-rasanya mi udang di Sungai Dua menjadi sebutan ramai dan pernah masuk dalam TV3. Ketika pulang ke kampung berhari raya baru-baru ini, saya pergi lagi ke situ sebelum bertolak pulang ke JB.

Jikalau saudara hendak ke sana, dari tol Juru, saudara teruskan perjalanan hingga susur keluar Sungai Dua, selepas Seberang Jaya. Kemudian, belok ke kanan dan teruskan pemanduan hingga lampu isyarat yang pertama, saudara teruskan juga. Saudara akan memasuki kawasan perumahan Taman Desa Murni. Saudara akan naik jambatan dan warung/restoran mi udang ini terletak sebelah kiri selepas jambatan.

Mi udang di sini memang sedap sebab udang yang digunakan masih segar. Selalunya, masih hidup lagi udang galahnya. Kita boleh memilih sama ada udang kertas atau udang galah. Udang-udang ini diletakkan di dalam kotak polisterin dan pengunjung perlu memilih dan menentukan kuantiti udang yang hendak dimasak bersama-sama mi atau nasi goreng. Mi boleh dibuat berkuah ataupun digoreng. Yang paling popular tentunya mi berkuah. Selalunya, udang galah hanya mampu “bertahan” di dalam kotak itu hingga petang. Lewat petang dan malam, sukar untuk ditemukan lagi udang galah. Yang tinggal hanyalah udang kertas.

Harganya bergantung pada kuantiti udang yang dipilih. Harga sekilo udang kertas ialah RM80.00, manakala harga sekilo udang galah ialah RM70.00. Mi berharga RM3.00 seorang. Selepas ditimbang dan ditentukan jenis masakan, apa lagi, duduklah kat kerusi, dan bagi yang merokok, misalnya rokok Mild Seven, jangan ditangguhkan lagi kerana menunggu mi dimasak bukannya sekejap, tetapi tidaklah lama sangat. Bergantung pada jumlah pelanggan pada masa itu.

Warung mi udang ini ada dua tempat di kawasan yang sama. Sebelum jambatan dan selepas jambatan. Yang paling sedap selepas jambatan. Sedap sangatkah mi udang di sini? Tepuk dada tanya selera masing-masing. Mi udangnya ringkas sahaja, tidak ada sayur-sayuran atau sampah sarap seperti tomyam. Yang ada hanyalah udang galah/udang kertas, mi, dan telur rebus. Tetapi, saya, isteri dan anak-anak pasti akan singgah di sini sekiranya balik ke kampung, menikmati mi udang Sungai Dua!

Saturday, October 03, 2009

MAJLIS PERKAHWINAN KAKANDA ANUAR

TARIKH MAJLIS PERKAHWINAN: 23 SEPTEMBER 2009 (HARI RAYA AIDILFITRI KEEMPAT)

Semoga berbahagia dan dirahmati Allah swt. Mudah-mudahan, pelayaran kehidupan sebagai suami isteri akan ditempuh dengan kekuatan dan kesabaran. Jadikanlah pengalaman lalu sebagai petunjuk dan pedoman agar kebahagiaan dapat dikecapi dan dinikmati.








"Nasib seorang perantau yang pulang untuk memastikan buah tembikai pencuci mulut tersedia di khemah..."








Bersama-sama ahli keluarga di rumah ipar di Gurun, Kedah semasa hari akad nikah









Ibu menyarungkan cincin pertunangan semasa majlis pertunangan pada bulan Jun.




















Seorang milik adik, seorang milik abang.





Friday, October 02, 2009

KENANGAN AIDILFITRI 2009


MALAM RAYA; PANGGANG AYAM BERSAMA KAUM KERABAT





MOHON AMPUN SEORANG ISTERI, REDA SEORANG SUAMI


LOKASI: KAMPUNG ISTERI DI KUALA NERANG, KEDAH.


Seorang ayah menyambut ungkapan maaf daripada anak-anak.