Tuesday, April 24, 2012

PELAYARAN

Dalam pelayaran ini
kita harus menerima hakikat
pasrah impian seksa
kerana dari kaca mata
kita sendiri dalam kembara
itulah janji Ilahi
yang kita sangka grafiti....

Wednesday, April 18, 2012

TELEGRAM PANJANG UNTUK MEREKA YANG MENENTANG

Janganlah kita berbangga dengan penentangan
kerana itulah suatu penderhakaan
sedangkan sekiranya kita berada di situ
belum tentu kita tidak ditentang.

Janganlah mengatakan sesuatu ketidakpuashatian
kerana belum tentu jika kita di situ
mampu memuaskan hati semua pihak
semua rakyat semua jelata.

Fikirlah
dengan mata yang terbuka
dengan rasa yang saksama
kerana kita semua dilahirkan
sebagai manusia.

Saturday, April 14, 2012

MENETAPKAN MATLAMAT

Dalam hidup ini, kita mestilah menetapkan matlamat yang jelas dan mudah untuk dicapai. Kiranya kita meletakkan suatu matlamat yang kabur dan sukar dicapai, akhirnya, percayalah, matlamat tersebut tidak akan tercapai.

Sebagai contoh, jika kita berhasrat hendak membaca sebanyak 50 buah buku setahun, itu matlamat yang jelas. Jikalau kita mengatakan matlamat untuk banyak membaca pada tahun ini, itu kabur.

Contoh lain, jika kita menetapkan matlamat untuk mengumpulkan wang yang banyak pada tahun ini, saya percaya kita tidak akan mencapainya dengan kadar yang membanggakan. Lebih baik kita mengatakan bahawa jumlah terkumpul tabungan atau simpanan kita ialah RM30 ribu pada tahun ini, maka itu matlamat yang jelas. Pastikan matlamat yang disasarkan itu jelas dan mudah untuk dicapai.

Jika tidak, kita akan menjadi Pak Pandir, Mat Jenin, dan Pak Kaduk atau Lebai Malang....

Thursday, April 12, 2012

MUSIBAH DAN IKTIBAR

Alhamdulillah..dengan rahmat dan izin-Nya, satu musibah yang melanda keluarga saya telah selesai hari ini. Ya, semua orang melakukan kesilapan dan kesalahan. Mudah-mudahan segalanya akan menjadi suatu pengajaran yang paling baik.

Iktibarnya di sini ialah:
Langit pada waktu malam tidak begitu dihargai kerana kegelapannya, namun dengan kegelapan itulah, bintang-bintang kelihatan lebih bercahaya dan bersinar...

Jatuh di tempat yang sama atas sebab yang serupa memperlihatkan ketidakbijaksanaan seseorang....

Monday, April 09, 2012

UCAPKANLAH TERIMA KASIH SETIAP HARI

Sekarang saya sedang menelaah buku Make Today Count tulisan John C. Maxwell (antara penulis yang saya kagumi). Beliau menyatakan bahawa Amy Vanderbilt menyarankan kita agar:
Belajar untuk berterima kasih. Apabila kita melakukannya, kita belajar supaya tidak memfokuskan pada perkara-perkara buruk, tetapi perkara-perkara baik dalam kehidupan kita.

Insya-Allah, saranan ini teramat baik untuk saya dan barangkali untuk semua orang. Jadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa hidup dalam diri saya. Terima kasih banyak-banyak.

Friday, April 06, 2012

HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK MENJADI ORANG BIASA

Falsafah hidup saya mudah;
HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK MENJADI ORANG BIASA

Saya percaya, malahan sangat percaya bahawa kita tidak sepatutnya membazirkan masa untuk melakukan hal yang tidak memberikan manfaat. Mungkin kita terfikir bahawa kehidupan ini penuh santai, penuh hiburan, dan kita perlu menikmatinya.

Betul, saya bersetuju, namun hidup ini terlalu singkat untuk menjadi orang biasa; yang melakukan hal yang biasa dilakukan oleh orang biasa, dan seharusnya kita melakukan sesuatu yang menghiburkan, yang santai, tetapi yang mendatangkan manfaat. Sesekali mungkin tidak mengapa, namun sekiranya kita sentiasa percaya bahawa kehidupan dalam zon selesa memberikan kepuasan, teruskan...

Saya tetap berpegang teguh pada manfaat daripada apa-apa yang saya lakukan...

Wednesday, April 04, 2012

...MEREKA AGAMAWAN

Kadang-kadang, saya menjadi hairan dan pelik. Sepatutnya orang yang memiliki agama yang baik dapat menterjemahkan sikap dan sifat yang baik dalam dirinya. Tetapi berdasarkan pengalaman saya, golongan ini lebih condong ke arah sifat yang negatif.

Sebab itulah saya sukar untuk bergaul dengan golongan seperti ini. Tidak salah rasanya...

Monday, April 02, 2012

RAKAN YANG PERASAN...

Ada rakan yang sentiasa percaya bahawa dia perlu menonjolkan dirinya agar orang tahu dirinya siapa; dengan tujuan untuk bersikap riak tanpa kelihatan.

Orang ini sentiasa bercakap tentang dirinya. Bersikap egosentrik tanpa rasional yang kukuh. Saya tidak dapat menerima orang seperti ini sebagai orang yang berilmu.