Saturday, April 24, 2010

SATU LAGI PERTARUNGAN

1. Parlimen Hulu Selangor akan dipertaruhkan untuk melihat dua perkembangan.
2. Adakah orang Melayu akan kembali memberikan kepercayaan kepada BN/UMNO walaupun calonnya daripada MIC?
3. Adakah bukan Melayu akan kembali semula menyokong BN atau terus memberikan undi kepada pembangkang?
4. Berdasarkan perkembangan semasa, saya secara peribadi melihat BN akan merampas kerusi itu semula. BN, jika menang bukan kerana BN semakin kuat tetapi kerana pembangkang (khususnya PKR) semakin lemah. PKR lemah kerana terlalu hebat diasak dan diperangi habis-habisan di semua arah dan di segenap sudut.
5. Ya, kredibiliti Anwar setakat ini tidak terserlah untuk membangkitkan sentimen kepada rakyat untuk terus menyokong kepimpinan dan partinya. Anwar dilihat sentiasa mengkritik BN dalam usahanya untuk mempertahankan kedudukannya. Anwar tidak lagi dilihat sebagai pemimpin golongan marhaen yang mampu mempertahankan bangsanya sendiri. Label sebegini telah kerap diwara-warakan oleh BN dan semakin dipercayai rakyat bahawa Anwar tidak lagi perlu diangkat sebagai wira. Kes mahkamah yang dihadapinya, walaupun mampu mengumpil simpati, namun sehingga kini, rakyat melihat Anwar seperti bersalah. Sama ada bersalah ataupun tidak, tidak ada sesiapa yang perlu mengeyakan ataupun tidak kerana kejadian sebenar masih samar. Sehingga kini, tidak ada bukti yang benar-benar sahih dan dapat diperakukan bahawa Anwar bersalah ataupun tidak. Sesiapa pun boleh mengatakan itu dan ini, namun semuanya masih kabur dan terlalu banyak persepsi, konspirasi, dan rakyat dihidangi dengan cerita yang sama sejak dahulu.
6. Zaid Ibrahim tidak sesuai bertanding di Hulu Selangor. Orang Melayu dilihat lebih menyokong calon tempatan. Orang luar boleh menang jika ada kekuatan dan kepercayaan. Jika diletakkan Dato’ Haron Din, misalnya, mungkin mampu memberikan tentangan sengit kepada BN. Zaid Ibrahim telah ‘ditelanjangi’ dengan pelbagai kisah negatif seperti arak dan judi oleh media, dan rakyat rasa-rasanya tidaklah terlalu ‘bodoh’ untuk mempercayai semua cerita jajan sebegitu. Tetapi, Zaid Ibrahim bukanlah pilihan yang tepat, setidak-tidaknya untuk pilihan raya ini. Jika Zaid menang, bermakna pembangkang/PKR masih diterima rakyat. Bukan faktor calon. Bukan juga faktor partinya kuat, tetapi kerana strategi BN yang tidak pernah berubah-ubah sejak dahulu dalam pilihan raya kecil.
7. BN masih mengekalkan corak kempen yang sama. Menabur pelbagai janji dan sumbangan. Peruntukan di sana sini. Bantuan dan pembangunan material dilimpahruahkan. Rasa-rasanya strategi sebeginilah yang menyebabkan banyak pilihan raya kecil, BN tumbang. Rakyat tidak menolak pembangunan, tetapi pembangunan bukanlah keutamaan lagi kepada rakyat. Rakyat di negara ini semakin senang dan hal ini tidak sama seperti era 70-an atau 80-an, pada ketika rakyat masih mengharapkan kerajaan untuk menyalurkan pembangunan.
8. Zaman ini pembangunan dan peruntukan bukanlah keutamaan bagi sebahagian besar pengundi yang akan menentukan siapa pemenangnya. Rakyat ingin mengundi pemimpin dan parti yang bersih. Bersih daripada gejala rasuah, kroni, dan bebas daripada pelbagai skandal. Orang Melayu telah membuktikan hal ini dalam PRU yang lalu, yang menyaksikan tumbangnya beberapa kerajaan negeri BN. Mungkin negeri Kelantan menjadi rujukan betapa pembangunan bukanlah lagi menjadi keutamaan.
9. Orang Melayu akan menyokong parti dan kerajaan yang dapat mempertahankan bangsa, bahasa, kedudukan, dan agama mereka. Bukan parti yang sentiasa membuka ruang untuk segala jenis perdebatan tentang hak dan kedudukan mereka. Siapa pemerintah, sama ada kerajaan BN atau pembangkang bukanlah soal pokok, tetapi siapa yang dapat mempertahankan nasib bangsa Melayu, parti itulah yang akan diundi dan disokong. Adakah BN/UMNO memenuhi syarat ini?
10. Banyak isu yang belum ditangani secara bijak oleh BN. Orang Melayu terasa seperti ‘anak yang kelaparan sedangkan kera disusui dengan pelbagai jenis susu’. Banyak kepentingan orang Melayu seperti makin tergugat, misalnya isu agama, ekonomi, pendidikan, dan bahasa Melayu yang tampak makin goyah akhir-akhir ini. Namun begitu, jika dibandingkan dengan pembangkang, BN masih dilihat lebih baik. Tetapi, yang dilihat lebih baik itu tidak mampu untuk menjamin kepercayaan akan terus berkekalan kerana yang diperlukan, bukan ‘lebih baik daripada pembangkang’ tetapi ‘lebih baik dari dahulu’. Namun begitu, ‘yang lebih baik dari dahulu’ tidak menjelma. Oleh sebab kecewa, marah, dan kesal, tidak mustahil undi akan terus memihak kepada pembangkang.
11. Hal ini yang perlu dihalusi.
12. Janganlah kerana hendak mendapatkan sokongan minoriti, yang majoriti terabai. Orang Melayu melihat hal ini dengan serius. Jika sudah berlaku demikian, yang dikendong berciciran, dan yang dikejar sudah pasti tidak akan diperoleh. Sejarah PRU yang lalu membuktikan hakikat ini, bahawa orang Melayu sudah berani melakukan ‘reformasi’ dan bukan Melayu tidak gentar untuk memberikan sokongan kepada pihak yang dapat menjaga kepentingan mereka. Jika kita taburkan intan berlian di hadapan mereka, belum tentu kita akan disokongnya. Dari satu segi, keberanian mereka menyebabkan mereka terus ‘terpelihara’ dan tidak tergugat. Ini kekuatan mereka, dan sayangnya, keberanian sebegini masih belum menyerlah dalam kalangan orang Melayu, walaupun telah berlaku belakangan ini.
13. Diharapkan agar BN/UMNO mengubah strategi dan dasar yang menyebabkan rakyat semakin jauh untuk memberikan sokongan. Tidak perlulah diuar-uarkan tentang sumbangan dan peruntukan kerana rakyat tidak teruja lagi dengan pendekatan begitu. Rakyat memerlukan pemimpin yang bersih, berani, dan benar-benar menegakkan yang hak. Wakil rakyat memilih artis sebagai isteri kedua pun dilihat sebagai ‘kurang bermoral’, apatah lagi hal yang lebih besar.
14. Kelemahan sedemikian akan menyebabkan pihak lain akan merebut ruang dan kesempatan itu. Menangguk di air keruh telah menjadi budaya politik sekarang. Dan pihak yang berjaya menangguk, akan menang.
15. Akhir sekali, tunggulah keputusan pilihan raya Hulu Selangor nanti. Walaupun saya secara peribadi berharap dan menjangkakan BN akan menang, namun atas prinsip demokrasi, sesiapa pun yang menang, perlu disokong kerana rakyat di Hulu Selangor telah membuat pertimbangan yang sebaik-baiknya sebelum memangkah kertas undi. Kuasa rakyat.

Wednesday, April 14, 2010

SEKITAR PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA SEKOLAH MENENGAH NEGERI JOHOR 2010

TARIKH: 5 APRIL - 7 APRIL 2010
TEMPAT: KEM BINA NEGARA, GUNUNG PULAI, KULAI.
ANJURAN: DBP WILAYAH SELATAN DAN JPN JOHOR
SISI SUATU ASPIRASI UNTUK MENABUR BUDI
SISI BELAKANG YANG MENGHARAPKAN TUNAS DI HADAPAN SENTIASA MENGORAK LANGKAH MELANGKAUI BATAS SEMPADAN

BERDIRI SEORANG HAMBA PENULISAN YANG INGIN MELIHAT BANGSANYA MEMANFAATKAN TINTA UNTUK MEROBAH SESUATU

KATA-KATA YANG TERCATAT DI LEMBAR KERTAS ITU AKAN MENJADI SUATU PERMULAAN UNTUK SATU PERJALANAN YANG AKAN MENDATANG

...DAN DUNIA PUN BERARAK
MENGUSUNG PATUNG-PATUNG
Catatan: Terima kasih Tuan RAR atas kiriman foto, dan yang paling penting, kepercayaan yang sentiasa mendahului...

SEKITAR PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA SEKOLAH MENENGAH NEGERI MELAKA 2010

TARIKH: 23 MAC - 25 MAC 2010
TEMPAT: INAP DESA SUNGAI RAMBAI, MELAKA
ANJURAN: DBP WILAYAH SELATAN DAN JPN MELAKA
MERENUNG MASA DEPAN PENULISAN PENULIS MUDA NEGERI MELAKA. SIAPAKAH ANTARA MEREKA YANG AKAN MENERUSKAN LEGASI A.SAMAD SAID, HAJI MOKHTAR YASSIN, FAISAL TEHRANI, ZAEN KASTURI, A. RANI EMBI, DLL?
SESEKALI TERASA SEPERTI BANDI, SESEKALI TERASA SEPERTI MUS, SESEKALI TERASA SEPERTI M. DAUD KILAU PUN ADA! LENGUH JUGAK!

BRO, JANGAN EMOSI SANGAT!

AUTOGRAF YANG TIDAK TERNILAI ATAU TIDAK BERNILAI?

PENGGANTI DSAI? ATAU GUAN ENG? HARAP-HARAP BUKAN PAK LAH! TENTU ISU YG SEDANG DIPERKATAKAN TENTANG NASIB BAHASA MELAYU, KALAU TANGAN NAIK MACAM NI!
Catatan: Terima kasih Tuan RAR atas kiriman foto di atas. Jasamu dikenang. Jasa Senapang Patah!

Thursday, April 08, 2010

TABIAT JUTAWAN YANG KESEMBILAN

HORMATI DAN SAYANGI WANG

1. Sebenarnya, entri kali ini seharusnya memaparkan tabiat jutawan yang pertama, iaitu “sentiasa lakukan yang lebih baik daripada apa yang diharapkan”. Namun begitu, sebagai menghormati seorang yang sangat saya hormati dan segani, Tuan Haji Shapiai yang telah melontarkan pertanyaan melalui entri terdahulu, saya akan mengupasnya tabiat yang kesembilan dahulu. Terima kasih tuan haji kerana sentiasa mendorong saya untuk mengupas sesuatu dengan lebih telus, rinci, dan mendalam. Dan yang lebih penting, ‘tidak sering membenarkan’ apa-apa yang saya fikirkan, dan dengannya, mudah-mudahan saya menjadi lebih matang dalam menghujahkan sesuatu.
2. Apabila saya menelaah buku tulisan Adam Khoo tersebut, dan apabila beliau menyatakan bahawa jutawan memiliki tabiat ini, iaitu ‘hormati dan sayangi wang’, saya pun bersikap skeptikal. Namun, selepas membaca kandungan subtajuk tersebut, saya mendapati ada justifikasi yang dapat mengajak kita berfikir tentangnya.
3. Dalam konteks ini, kita tidak seharusnya menyangka bahawa dengan menghormati dan menyayangi wang, kita akan dianggap sebagai hamba wang. Menghormati dan menyayangi wang lebih menjurus kepada usaha kita untuk memastikan wang yang kita gunakan dan belanjakan itu berbaloi dan sebaik-baiknya mendatangkan manfaat yang besar. Bukan mudah untuk mendapatkan wang pada hari ini.
4. Ya, kita bertungkus-lumus untuk mendapatkan wang pada setiap hari. Saya sendiri bekerja tujuh hari seminggu, siang dan malam untuk mendapatkan wang dan menjejak rezeki. Lazimnya, setiap orang akan berehat pada hari minggu (Ahad) dan bersama-sama keluarga pada hari itu. Tetapi, saya terpaksa mengorbankan suasana tersebut. Kadangkala saya berasa agak sedih kerana bekerja setiap hari. Hari cuti saya hanyalah ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina. Pada bulan Disember, saya berehat selama dua minggu. Dan keadaan ini berlaku sejak tujuh tahun yang lalu hingga sekarang. Memandangkan saya bekerja agak keras, (isteri saya akan membenarkan penyataan ini, jika ditanya kepadanya), maka saya perlu menggunakan wang yang saya peroleh dengan sebaik-baiknya. Sebab yang pertama tentulah kerana saya berasa ‘sayang’ akan wang tersebut kerana kudrat yang saya gunakan untuk mendapatkannya memaksa saya untuk melepaskan sesuatu yang berharga, antaranya masa dengan keluarga.
5. Menghormati dan menyayangi wang bukanlah bermakna kita perlu menjadi hamba kepada wang. Wang bukanlah segala-galanya tidak menjadi falsafah yang saya pegang. Saya berani menyatakan bahawa itu bukanlah saya. Tetapi, saya semakin percaya bahawa hampir segalanya berkaitan dengan wang. Saya tidak pernah menganggap saya menjadi hamba wang. Walaupun demikian, yang saya perhatikan, kita sering mengatakan bahawa kita tidak menjadi hamba wang, tetapi saya melihat kebanyakan orang sering bersikap tidak seperti kata-katanya. Ramai orang telah menjadi hamba wang. Zaman ini, zaman yang hanya mengutamakan kejujuran, baik hati, kerukunan dan kasih sayang semata-mata tidak menjanjikan kebahagiaan yang diharap-harapkan. Ya, saya tahu ramai yang bersetuju dengan saya dalam hal ini, dan dalam masa yang sama, lebih ramai yang tidak bersetuju. Tetapi, perbezaan pandangan dan persepsi tidak harus dilihat sebagai suatu masalah besar. Saya amat menyukai asam pedas ikan merah, dan isteri saya sendiri lebih menyukai asam pedam ikan pari. Kedua-duanya tidak salah dan kedua-duanya betul.
6. Baiklah, sekiranya saya tidak melakukan kerja-kerja tambahan atau sambilan seperti mengajar di pusat tuisyen, berceramah di sana sini, dan mengajar di Pusat Pendidikan Luar UPM, rasa-rasanya saya masih boleh menjalani kehidupan dengan agak selesa kerana isteri saya juga bekerja. Pendapatan saya dan isteri dengan bekerja sebagai guru lebih kurang RM7000.00 sebulan. Jumlah ini, sekurang-kurangnya, kalau tidak dilabelkan sebagai kaya, saya tidaklah berada dalam zon orang yang susah. Insya-Allah, kami sekeluarga dapat makan minum, pakaian, dan kenderaan yang agak selesa dengan pendapatan sebanyak itu. Namun demikian, saya tidak mahu (mudah-mudahan begini dalam tempoh yang lama) berada dalam zon selesa. Saya melakukan banyak pekerjaan sambilan untuk memastikan angan-angan saya untuk mencapai kebebasan kewangan akan lebih pantas tercapai. Untuk itu, saya bekerja lebih masa. Ya, pada hari Ahad, saya bekerja lapan jam di sebuah pusat tuisyen, dan bayaran yang saya terima pada hari Ahad itu, memang mengujakan. Empat angka untuk bekerja satu hari!
7. Selepas saya penat (memang penat!) bekerja untuk mencari wang, adakah saya perlu membelanjakan wang itu sesuka hati kerana saya telah penat bekerja? Adakah perlu saya menjadi boros semata-mata untuk ‘membalas dendam’ kerana saya telah memperuntukkan masa yang banyak serta mengorbankan masa yang panjang untuk mendapatkan wang tersebut? Saya percaya tindakan itu bukanlah tindakan yang bijak. Oleh sebab itulah, saya menghormati wang yang saya dapat. Saya menyayangi wang tersebut kerana saya mendapatkannya bukan melalui warisan harta pusaka atau menang loteri!
8. Memang ramai yang mahu menjadi kaya. Saya akui saya salah seorang daripadanya. Keinginan tersebut telah lama saya pendamkan dan sekarang, saya berusaha keras (seperti yang saya ceritakan atau seperti yang rakan-rakan karib saya lihat) untuk mencapainya. Kenapa?
9. Walaupun soalan di atas saya yang bertanya, tetapi biarlah saya juga yang menjawabnya. Ya, kerana saya sedar wang adalah penting dalam kehidupan saya. Janganlah ada yang memandang sinis atau tersenyum kambing (saya memang suka beriani kambing!) dan berkata, “Dunia, dunia! Akhirat, bagaimana?”. Nampaknya, kalau semua perkara perlu saya perkatakan, blog ini akan ditutup akhirnya kerana saya tidak mampu untuk bercakap semuanya. Mungkin tuan-tuan boleh mengunjungi blog Raihan atau Rabbani. Maaf, saya bukan tidak berminat tentang soal-soal agama, malahan saya sedang menelaah buku “Manhaj Fiqh As-Shafie” yang harganya ratusan ringgit sebelum saya menulis entri ini. Biarlah soal yang cenderung ke arah ini dikupas oleh orang yang lebih ahli. Saya tidak ahli dalam bidang ini. Selagi saya masih di landasan yang diredai Allah SWT, saya tidak melakukan kesalahan. Allah menyayangi hamba-Nya yang kaya di dunia dan kaya untuk bekalan di akhirat.
10. Sebenarnya, saya telah banyak tersasul! Maafkan saya, tuan! Kita ingin menjadi kaya, tetapi dalam masa yang sama kita tidak menyedari bahawa minda separa sedar kita terlalu banyak pemikiran negatif terhadap wang dan hal-hal yang bersangkutan dengannya. Pemikiran negatif ini akhirnya akan membuatkan mereka menolak wang dan menghalang mereka daripada menjadi kaya tanpa disedari. Jikalau kita ada wang banyak, kita cenderung untuk membelanjakannya dengan lebih bebas, dan apabila wang kita semakin berkurangan, kita akan kembali bekerja keras. Kitaran ini akan menjejaskan peluang kita untuk mencapai kebebasan kewangan. Orang yang sebegini tidak menyayangi dan menghormati wang mereka. Buktinya, cuba lihat apabila seorang kakitangan awam atau swasta yang mendapat bonus, kebanyakan mereka cenderung untuk membelanjakannya lebih daripada kebiasaan. Memang sesekali kita boleh berbelanja lebih daripada kebiasaannya, namun sikap ini memperlihatkan sikap negatif kita terhadap wang. Mereka beranggapan wang tidak begitu berharga. (Jika berharga, mereka akan memastikan wang bonus tersebut dimanfaatkan dengan lebih baik). Sikap untuk menghormati dan menyayangi wang tidak begitu mendesak pemikiran mereka. Kekallah dengan cara demikian, dan kedudukan kewangan kita pun akan kekal sebegitu.
11. Pemikiran negatif tentang wang menyebabkan kita tidak melihat wang sebagai anugerah Allah SWT yang penting. Ya, ketakwaan jauh lebih penting. Saya amat sedar tentang hal itu. Mungkin sejak kecil kita telah ditanam dengan suatu tanggapan yang salah tentang wang. Antaranya, orang kaya itu sombong dan jahat. Orang yang banyak wang tidak banyak kawan. Orang kaya bermata duitan. Orang kaya tidak sembahyang. Orang kaya banyak menipu. Orang banyak duit selalu disisihkan oleh masyarakat. Duit punca atau paksi kemungkaran. Wang menjadikan kita materialistik. Orang kaya bersikap tamak dan mementingkan diri sendiri. Orang kaya kedekut. Wang tidak menjanjikan kebahagiaan. Wang tidak penting kepada saya.Wang dan orang berada selalu diberi label negatif. Lihatlah drama atau filem kita. Rasa-rasanya jarang-jarang kita dapat lihat orang kaya diberi perwatakan yang baik dalam filem, lebih-lebih lagi drama Melayu. Tetapi, kalau orang kaya itu jahat, saya hairan juga kerana yang banyak meringkuk dalam penjara ialah orang miskin!
12. Ya, minda separa sedar kita akan mengaitkan wang dengan unsur-unsur negatif jika kita diasuh begitu. Minda ini tidak akan mengizinkan kita untuk menjadi kaya kerana kekayaan akan mendatangkan masalah kepada kita. Ataupun, kita akan menjadi sangat buruk kelakuan dengan menjadi kaya. Saya percaya persepsi begini tidak selalunya benar kerana Tan Sri Mokhtar al-Bukhary telah membuktikan bahawa kekayaan yang dimilikinya menyebabkan beliau menjadi seorang dermawan yang unggul. Banyak masjid telah didirikan olehnya. Ribuan pelajar telah mendapat manfaat daripada kekayaannya. Kalaulah Bill Gates seorang Islam, mungkin beliau mendapat banyak pahala kerana sumbangannya sangat besar kepada masyarakat dunia, termasuklah kepada penduduk di negara Islam!
13. Banyak mitos tentang wang yang perlu dikupas. Ya, dengan izin Allah SWT, saya akan mengupasnya, sama ada tuan-tuan bersetuju ataupun tidak dengan pandangan saya ini. Jikalau kita mengatakan wang bukan segala-galanya, saya percaya bahawa segala-galanya memerlukan wang. Keselesaan, kebahagiaan, kesenangan, dan memiliki kesihatan yang baik juga memerlukan wang.
14. Oleh sebab itu, kita perlu menghormati dan menyayangi wang. Kita bekerja keras untuk mendapatkannya, maka kita perlu menghormatinya. Hormat, dalam konteks ini, bukan menjadi hambanya, melainkan kita menyedari bahawa banyak perkara yang dapat kita lakukan dengan wang. Kita perlu sedar bahawa wang memberikan banyak keuntungan dan kelebihan kepada mereka yang memilikinya. Janganlah kita berpura-pura. Jikalau tuan berasakan wang tidak penting, saya tahu ungkapan itu hanya untuk menyedapkan hati semata-mata. Dengan wang, kita boleh melakukan pelbagai perkara yang tidak dapat dilakukan oleh orang yang tidak berwang. Saya teringat suatu ungkapan menarik tentang hal ini, iaitu, orang kaya tidak dipandang rendah jika membeli sesuatu yang murah. Mungkin ada kaitan dengan hal yang dinyatakan ini.
15. Menyayangi wang bererti menggunakan wang dengan penuh perasaan ‘sayang’. Sayang di sini membawa dua maksud; satu, sayang yang bermakna kasih dan cinta; kedua, sayang yang bermaksud berhati-hati untuk membelanjakannya. Kedua-duanya relevan dengan subjek ini. Hendaklah kita menyayangi wang kerana kita telah berusaha untuk mendapatkannya. Hendaklah kita menyayangi wang kerana wang akan menjamin masa hadapan kita. Kalaulah kita tidak sempat untuk menggunakan wang yang kita kumpulkan dan laburkan itu, percayalah, tidak akan ada sesiapa yang akan rugi kerana anak isteri kita pasti akan mewarisinya. Saya tidak mahu keluarga saya dirundung kesempitan jika saya tiada di dunia ini lagi. Oleh sebab itu, saya menghormati dan menyayangi wang. Wahai intan payung, ke marilah kepadaku!

Monday, April 05, 2010

SEMBILAN TABIAT JUTAWAN

Sekarang, saya sedang menelaah pemikiran dan menggali pengetahuan daripada sebuah buku yang bertajuk "Bagaimana Saya Boleh Menjadi Jutawan", tulisan seorang jutawan muda dari Singapura, Adam Khoo.

Pada Bab 3, penulis menghuraikan sembilan tabiat jutawan. Tabiat yang menyebabkan golongan ini menjadi kaya-raya dan sangat berjaya. Saya perturunkan sembilan tabiat tersebut di bawah.
1) Sentiasa lakukan yang lebih baik daripada apa yang diharapkan
2) Bersikap proaktif
3) Bertanggungjawab 100%
4) Memperlambat kepuasan
5) Lakukan apa yang kita minati
6) Memiliki integriti
7) Memberi 100% kesungguhan
8) Keupayaan mengubah kegagalan menjadi kejayaan
9) Hormati dan sayangi wang

Mudah-mudahan, sembilan langkah dan tabiat ini dapat kita jadikan panduan ke arah mencapai kejayaan dan menikmati kekayaan. Insya-Allah, saya akan menghuraikan sembilan tabiat ini mengikut perspektif dan pandangan saya nanti.

UNDANGAN CERAMAH: MAC 2010

Saya, dengan rasa rendah diri dan syukur, merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak yang mengundang saya (khususnya DBP) untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman, dalam usaha memartabatkan bahasa dan sastera Melayu, sepanjang bulan Mac 2010.
1) 10/3/10 - SM TEKNIK MELAKA TENGAH (Kursus MDK)
2) 11/3/10 - SK TAMAN DESA CEMERLANG (Bengkel Tatabahasa untuk Guru Zon Tiram)
3) 16/3/10 - SK TAMAN TUN AMINAH(UPSR)
4) 16/3/10 - SK BAKAR BATU(UPSR)
5) 17/3/10 - SM FOON YEW (Tatabahasa dan Pedagogi)
6) 24-25/3/10 - SUNGAI RAMBAI,JASIN (Perkampungan Penulis Muda Negeri Melaka)
7) 27/3/10 - SK BANDAR BARU UDA 2 (UPSR)
8) 27/3/10 - SK ST. JOSEPH (UPSR)

Thursday, April 01, 2010

PUISI: BERTEDUH DI BUMANTARA BAHASA

Api yang marak dari satu zaman yang menyalakan
sumbu perjuangan menongkah segala arus dengan bara
dan lara bangsa yang tidak pernah memadamkan resah
bangsa yang menuntut suara pusaka dikembalikan haknya
sering terluka menatap layarnya rabak dan gelap jelaga
mengiringi peta perjalanan yang makin rentung terbakar
di taman pustaka yang masih bernadi dan bersuara tegar.

Api yang membakar bicara tanpa sepicing walang
merentungi bersama maruah dan harga diri warganya
bagai dalam irama warisan yang menggelegak sukma
namun yang terjelma hanyalah retorik yang amat perit
dimamah dan diteguk dengan penawar bisa luka bangsa
mencari hentian bagi suatu teka-teki yang ragu dan debar
bahasa bonda ingin dijulang tanpa segaris luka dan calar.

Jelata ini masih memegang sumbu
api dari suatu zaman tidak akan terpadam lagi
kerana pustaka yang kita bina dengan tekad iltizam
makin marak baranya dihembus prahara sumpah setia
usahlah sesiapa ingin cuba berdusta tentang liku laranya
tentang agung cintanya, prakasanya mengangkat martabat
hingga menjulang ke bumantara mencipta segedung hikayat.

Janganlah dibiarkan bahasa ini terluka dan tergores lagi
pusaka bangsa ini suara marhaen yang sulit untuk dimengerti
semakin tajam dipersendakan semakin bangkit untuk menikam
menghunus keris bahasa yang dilangir dengan titisan maruah
tidak akan berundur mempertahankan wasilah dan watikah
kerana bahasa ini akan terus hidup selagi warganya masih setia
memancangkan sumpah dan ikrar teguh bahasa yang melata
di bawah lembayung bumantara yang meneduhi nusa sejahtera.

Azhar Salleh
Antologi Puisi Hari Pejuang Bahasa "Sumpah 152"
Gapena 2010