Saturday, February 26, 2011

PESAN PUTERI

PESAN PUTERI

Aku tidaklah sesetia Tun Tuah
atau segagah Tun Mamad dan Sang Setia
yang mengkhabarkan hajat yang mewarasi lara
bukan juga setinggi puncak ini yang tersasar
dari naluri dan berahi pemilik tuan bangsamu
sekadar ingin menghulurkan pesan agar tidak
terlalu mengikut perasaan dan menisankan fikiran.

Sesetia tuan hamba sesekali terduga
meredah belantara dan samun yang tebal
demi mengejar rerama yang terbang tinggi
dan memburu nafas jeram yang menderu
kadangkala haruslah terpaksa menerima hakiki
tentang amanah yang dijunjung janganlah dikhianati
tentang upaya diri usahlah terlupa adanya zat Ilahi
tentang nafsu yang tidak pernah menang
gelora batin yang resah, daun waras yang terkoyak
adalah syarat yang tersirat untuk disimpan
kejap di lembar sejarah dan tatapan generasi.

Aku telah bersedia untuk memamah murka
aku telah bersangka dalam mematangi usia
dirikanlah sebuah jambatan emas dan perak
merintangi gunung ini ke singgahsana takhta
cucurkanlah air mata dara yang tidak berdarah
merah darahnya pinang, tujuh dulang hati kuman
dan secangkir darah yang pastinya berajalah resah.


Aku tahu
syarat itu tidaklah sulit untukmu
kecuali yang satu itu, kerana tiada upaya
untuk aku melupuskan syarat terakhir itu

Dari batin gelora gunung gelegak resah sejarah
berdenyutlah luka di istana untuk mengagungkan nama
bertingkah hujah dan suara getar tewas menakluki
kabus di gunung akan lenyap dibawa oleh kesilapan
bunyi unggas lebih dahulu menumpaskan keegoan
denai di rimba unggas dan kehijauan menghiris hajat
kerana bukan cantiknya dan berkuasanya kita
dalam menentukan segala mengatur ketentuan-Nya.

Aku berpesan
bangunlah kewarasan di banjaran kesetiaan.

Azhar Salleh
PPJ Johor Bahru.

Antologi "Bingkisan Ledang" 2010