Tuesday, February 19, 2013

MENCARI DAN MENCIPTA WANG

Orang kaya tidak mencari wang. Orang kaya mencipta wang. Jangan menjadi hamba kepada wang. Jadikan wang itu hamba kita.

Thursday, February 07, 2013

MEMANFAATKAN 8 JAM KETIGA

Semua orang diberi 24 jam setiap hari. Umumnya, 8 jam pertama untuk kita bekerja. 8 jam kedua untuk kita berehat, tidur, dan menguruskan diri. Pernahkah kita terfikir ke manakah perginya 8 jam yang ketiga? Apakah yang kita lakukan pada masa 8 jam ketiga? Kebanyakan individu yang berjaya dalam kehidupan mereka kerana mereka tahu memanfaatkan 8 jam ketiga itu....

Wednesday, February 06, 2013

TABU TENTANG WANG...

Saya masih tertanya-tanya, mengapakah kebanyakan orang kita tidak suka berbual, berbicara, dan berbincang tentang suatu perkara yang sangat mustahak dalam hidup, iaitu WANG. Menjadi tabu atau pantang larang jika hal tentang WANG ditanya...sedangkan kertas bermaruah itu menjadi antara keperluan yang teratas dalam membina kehidupan yang sejahtera...

Monday, January 28, 2013

8 JAM KETIGA...

Setiap orang memiliki 24 jam sehari semalam. 8 Jam pertama untuk bekerja. 8 Jam kedua untuk beristirahat, beribadat, dan menguruskan diri dan keluarga. 8 Jam ketiga dikatakan landasan untuk kita memanfaatkan ruang dan kesempatan yang ada untuk menyejahterakan kehidupan kerana 8 Jam ketiga ini bakal menentukan siapa kita sebenarnya...! Saya terlalu percaya dengan kenyataan ini. Lakukanlah sesuatu untuk memastikan 8 Jam ketiga tidak berlalu dengan sesia....

Thursday, January 24, 2013

JANGAN LUPA UNTUK MENYIMPAN WANG SELEPAS MENERIMA GAJI

Setiap akhir bulan, kita yang bekerja akan menerima gaji. Selepas kita membayar segala hutang-piutang seperti bil, ansuran kereta, insurans, rumah, dll, maka wang bakinya akan digunakan utk perbelanjaan dan simpanan. Simpanan? Berapa ramaikah antara kita yang menyimpan wang secara tetap setiap bulan? Kalau kita tidak dapat menyimpannya sendiri, buatlah potongan gaji. Simpanlah dalam ASB atau Tabung Haji. Yang penting, jangan lupa untuk menyimpan sekurang-kurangnya 10% daripada gaji kita. Jangan tunggu esok...

Wednesday, January 23, 2013

JADILAH PAKAR...

Kita perlu menjadi pakar dalam satu bidang. Janganlah berangan-angan untuk mahir dan pakar dalam banyak perkara kerana kita akan kecewa dan gagal. Cuba kita fikirkan, setelah sekian lama kita hidup di muka bumi ini, tidak mampukah kita menjadi pakar dalam satu bidang sahaja. Orang yang pakar atau sangat pakar dalam satu perkara, lazimnya akan berjaya...Jadilah Pakar...

Wednesday, January 16, 2013

SEMPADAN DAN TELADAN...

Orang Melayu yang telah jauh ketinggalan, maka jadikanlah itu sebagai sempadan.
Yang mara ke hadapan, jadikanlah itu sebagai teladan. Sebaik-baiknya, jadikanlah kedua-duanya sebagai pedoman....

Sunday, January 13, 2013

LIMA PERKARA YANG PERLU DIREBUT...

AZHAR, INGATLAH LIMA PERKARA SEBELUM DATANGNYA LIMA PERKARA....(suatu peringatan untuk diri sendiri...)
Engkau telah diberi masa lapang yang banyak walaupun engkau sentiasa sibuk...
Engkau telah diberi kesihatan yang baik walaupun sesekali engkau sakit...
Engkau telah diberi nikmat kesenangan walaupun engkau tidak sekaya orang lain...
Engkau telah diberi ruang untuk mengecap waktu mudamu walaupun usia semakin meningkat...
Engkau masih hidup, Azhar..! Manfaatkanlah kehidupan ini dan nikmatilah kehidupan ini...!

Friday, December 07, 2012

November Rain...

Bulan November dan Disember 2012 ~ Terlalu banyak peristiwa yang berlaku. Yang memberikan kesan yang sangat mendalam dalam kehidupan ini. Suka duka. Dan yang paling banyak menghimpit, aku terus didesak untuk berfikiran positif dalam kekalutan yang menimpa.

Saturday, November 24, 2012

INSURANS: PERLUKAH SEMUA ORANG MEMILIKINYA

Banyak orang yang bertanya dan berbual-bual dengan saya tentang insurans. Saya mengatakan bahawa tidak semua orang yang memerlukan insurans. Sebagai contoh, saya tidak mencarum dalam insurans pendidikan untuk anak-anak saya kerana pada pandangan saya, insurans itu tidak perlu untuk mereka. Kepada beberapa orang guru di sekolah saya yang masih bujang, saya mengatakan bahawa mereka juga sebenarnya tidak begitu memerlukan insurans. Insurans akan menjadi penting kepada mereka yang sekiranya berlaku sesuatu yang buruk kepada mereka, ada orang yang akan menanggung kesusahan akibat daripada keadaan itu. Saya memerlukan insurans kerana jika berlaku sesuatu kepada saya, apakah yang terjadi kepada isteri dan anak-anak saya?

Tuesday, September 25, 2012


WATIKAH IKHLAS UNTUK BANGSA

       Anak kecil itu tidak betah lagi
untuk bermain api yang makin menyala
dari sumbu kekhilafan yang dimarakkan
jelaga yang mengaburkan kebenaran silam
betapa bangsa ini kabur untuk ditafsirkan
akan pendirian yang tersimpang keberanian
menjunjung mengkhabarkan lembar leluhur
dilayukan oleh sejarah yang akhirnya akan
meninggalkan kita di persemadian yang nyata.

       Bukan detiknya untuk menagih jawapan
hakikat tentang siapakah pemilik tanah ini
air mata itu menginsafi sekujur prasangka
makin menebal dan mengkaratkan jiwa
meski lidah dan telinga yang setia
masih mendengar retorik bicara yang sama.

Telah lama kita menghimpun lara
telah keruh batin resah di sumur sejarah
bagaikan keris yang tersisip di dinding tua
tidak dilangir oleh bara dan semangat iktibar
di gelanggang yang diujakan hujah dan debar
pendekar bangsa masih kejur bungkam tersandar.

Mungkinkah anak kecil itu akan bertanya nanti
tentang makna penyatuan bangsa dan jati diri
dia masih tidak mengerti untuk menyimpul rapi
betapa bangsanya sering rela dan reda memberi
tanpa pernah untuk mempersoalkan kembali
tentang maruah dan sekelumit harga diri.

       Azhar Salleh
PPJ Johor Bahru.

 

Friday, September 21, 2012

MELAYU MASIH TIDAK SEDAR...

Aku perhatikan akhir-akhir ini percakaran sesama bangsa Melayu bagaikan pasti tidak ada kesudahannya. Pemikiran bangsa Melayu masih berada di takuk lama. Mereka lebih mementingkan sesuatu yang tidak penting berbanding dengan perkara lain yang lebih penting. Mereka suka untuk berforum, berseminar, dan akhirnya segala resolusi itu terbiar...dan kemudian meneruskan usaha untuk bercakaran lagi...dan lagi...dan aku sedar bahawa aku juga seorang Melayu..!

Monday, September 17, 2012

DERITA BANGSA

SIAPA YANG TIDAK MAHU KAYA?
OLEH SEBAB ITU, AMBILLAH NASIHAT BELIAU KERANA BELIAU TELAH TERBUKTI BERUSAHA DENGAN GIGIH DAN KINI MENJADI KAYA-RAYA.
KEKAYAANNYA MENYEBABKAN TERLALU AMAT BANYAK GOLONGAN MANUSIA YANG MENDAPAT MANFAATNYA.
INSYA-ALLAH.

DERITA BANGSA

Aku melihat bangsaku makin derita
kerana terlalu mengejar warna pelangi
yang sentiasa berada di atas kepala orang lain.

Wednesday, September 05, 2012

PENGALAMAN GETIR...

Kita harus melalui beberapa banyak pengalaman getir untuk mencapai tahap yang terbaik dalam kehidupan. Kita tidak seharusnya melihat masalah itu sebagai kekangan untuk mencapai kejayaan. Sebaliknya, anggaplah masalah itu sebagai suatu peluang untuk menguji keupayaan diri. Tanpa masalah, kita tidak akan mengetahui sejauh mana kekuatan kita untuk mendepani segala kesulitan. Bintang yang terang di langit disebabkan oleh langit itu berwarna gelap. Jika pada waktu siang, kita tidak mampu melihat bintang walaupun bintang itu tidak berganjak ke mana-mana pun. Bintang itu tetap berada di situ, namun cahayanya pudar kerana tidak dibantu oleh pengalaman getir...

Tuesday, April 24, 2012

PELAYARAN

Dalam pelayaran ini
kita harus menerima hakikat
pasrah impian seksa
kerana dari kaca mata
kita sendiri dalam kembara
itulah janji Ilahi
yang kita sangka grafiti....

Wednesday, April 18, 2012

TELEGRAM PANJANG UNTUK MEREKA YANG MENENTANG

Janganlah kita berbangga dengan penentangan
kerana itulah suatu penderhakaan
sedangkan sekiranya kita berada di situ
belum tentu kita tidak ditentang.

Janganlah mengatakan sesuatu ketidakpuashatian
kerana belum tentu jika kita di situ
mampu memuaskan hati semua pihak
semua rakyat semua jelata.

Fikirlah
dengan mata yang terbuka
dengan rasa yang saksama
kerana kita semua dilahirkan
sebagai manusia.

Saturday, April 14, 2012

MENETAPKAN MATLAMAT

Dalam hidup ini, kita mestilah menetapkan matlamat yang jelas dan mudah untuk dicapai. Kiranya kita meletakkan suatu matlamat yang kabur dan sukar dicapai, akhirnya, percayalah, matlamat tersebut tidak akan tercapai.

Sebagai contoh, jika kita berhasrat hendak membaca sebanyak 50 buah buku setahun, itu matlamat yang jelas. Jikalau kita mengatakan matlamat untuk banyak membaca pada tahun ini, itu kabur.

Contoh lain, jika kita menetapkan matlamat untuk mengumpulkan wang yang banyak pada tahun ini, saya percaya kita tidak akan mencapainya dengan kadar yang membanggakan. Lebih baik kita mengatakan bahawa jumlah terkumpul tabungan atau simpanan kita ialah RM30 ribu pada tahun ini, maka itu matlamat yang jelas. Pastikan matlamat yang disasarkan itu jelas dan mudah untuk dicapai.

Jika tidak, kita akan menjadi Pak Pandir, Mat Jenin, dan Pak Kaduk atau Lebai Malang....

Thursday, April 12, 2012

MUSIBAH DAN IKTIBAR

Alhamdulillah..dengan rahmat dan izin-Nya, satu musibah yang melanda keluarga saya telah selesai hari ini. Ya, semua orang melakukan kesilapan dan kesalahan. Mudah-mudahan segalanya akan menjadi suatu pengajaran yang paling baik.

Iktibarnya di sini ialah:
Langit pada waktu malam tidak begitu dihargai kerana kegelapannya, namun dengan kegelapan itulah, bintang-bintang kelihatan lebih bercahaya dan bersinar...

Jatuh di tempat yang sama atas sebab yang serupa memperlihatkan ketidakbijaksanaan seseorang....

Monday, April 09, 2012

UCAPKANLAH TERIMA KASIH SETIAP HARI

Sekarang saya sedang menelaah buku Make Today Count tulisan John C. Maxwell (antara penulis yang saya kagumi). Beliau menyatakan bahawa Amy Vanderbilt menyarankan kita agar:
Belajar untuk berterima kasih. Apabila kita melakukannya, kita belajar supaya tidak memfokuskan pada perkara-perkara buruk, tetapi perkara-perkara baik dalam kehidupan kita.

Insya-Allah, saranan ini teramat baik untuk saya dan barangkali untuk semua orang. Jadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa hidup dalam diri saya. Terima kasih banyak-banyak.