Wednesday, September 21, 2005

ADEGAN, BESTARI, DEBAT, PEKA

PELITA BAHASA (NOVEMBER 2003)
Dewan Bahasa dan Pustaka

Definisi bahasa menurut Nelson Francis ialah satu sistem bunyi yang dihasilkan oleh alat tutur dan digunakan oleh sekelompok manusia sebagai wahana atau cara untuk menjalankan apa-apa sahaja aktiviti sesuatu masyarakat. John P. Huges pula mentakrifkan bahasa sebagai satu sistem lambang pertuturan yang arbitrari. Kedua-dua definisi tersebut menjelaskan bahawa bahasa ialah alat komunikasi yang menggunakan mulut , iaitu secara lisan untuk membentuk dan menyampaikan fikiran dan perasaan, seperti yang dinyatakan oleh Samsuri (1978). Dalam buku “Language”, Bloomfield dengan tegas menyatakan bahawa bahasa yang sebetulnya ialah pertuturan, bukannya tulisan dan bahasa tulisan hanyalah merupakan satu cara untuk merakam bahasa dengan menggunakan tanda atau lambang.

Berdasarkan definisi dan keterangan tersebut, jelaslah bahawa aspek yang amat penting dan tidak seharusnya diremehkan ialah aspek sebutan. Dalam konteks bahasa Melayu, kadangkala wujud kecelaruan dan kerancuan bahasa yang disebabkan kurangnya pengetahuan dan kesedaran untuk membunyikan sesuatu perkataan dengan betul, tepat, dan menepati pola penyebutan yang standard. Antara masalah yang seringkali dihadapi oleh pengguna bahasa ialah penyebutan perkataan yang mempunyai huruf e. Huruf e mempunyai dua sebutan yang berbeza, iaitu e pepet dan e taling. Sebutan e pepet berperanan dalam perkataan seperti emak, resah, kejam, dan pecah, manakala e taling berfungsi dalam perkataan seperti enak, aneka, leceh, dan gelek.

Antara cara yang dapat digunakan untuk menentukan sebutan e yang betul ialah dengan merujuk kepada kamus, misalnya Kamus Dewan. Kamus Dewan edisi ketiga pada bahagian “Panduan Penggunaan Kamus Dewan Edisi Ketiga” memberikan sedikit penerangan tentang penyebutan yang betul untuk membezakan bunyi antara e pepet dengan e taling. Perkataan yang mempunyai sebutan e pepet ( ) tidak diberikan keterangan sebutan sedangkan sebutan bagi e taling ditandai dengan lambang e. Contoh yang dikemukakan ialah perbezaan sebutan antara bela dengan bela dan semak dengan semak. Daripada contoh tersebut, bukan sahaja cara sebutannya yang berbeza walaupun ejaannya sama, malah makna bagi kedua-dua perkataan itu juga berbeza. Banyak contoh gejala homograf seperti ini dalam bahasa Melayu, misalnya perang dan sepak.

Penulisan ini akan menyentuh beberapa perkataan yang sering disalah sebut kerana kegagalan penuturnya membezakan antara e pepet dengan e taling. Berkemungkinan faktor terjadinya masalah ini ialah penutur tidak menyedari bahawa kesalahan telah dilakukan akibat kebiasaan dan tidak ada sesiapa yang menegurnya sehingga kesilapan itu berterusan dan menjadi kelaziman. Cuba lihat ayat contoh di bawah :
1. Dia tidak sanggup melakonkan adegan itu.
2. Kerajaan memperuntukkan wang yang banyak untuk membina sekolah bestari.
3. Dia tidak berani berdebat dengan ahli politik itu.
4. Kita haruslah peka dengan isu-isu yang melanda masyarakat masa kini.

Jika dirujuki Kamus Dewan, perkataan adegan dan bestari perlulah diucapkan dengan sebutan e pepet, seperti sebutan bagi emak dan bukannya e taling. Jika diteliti, kebanyakan pengguna bahasa akan menyebut kedua-dua perkataan tersebut dengan menggunakan bunyi e taling. Hal ini tidak bertepatan dengan sebutan yang betul dan standard. Begitu juga dengan perkataan debat dan peka yang apabila dituturkan, para pengguna bahasa cenderung menggunakan sebutan e pepet sedangkan e dalam perkataan tersebut sepatutnya menggunakan sebutan e taling seperti sebutan bagi enak. Keadaan ini jika tidak diatasi pasti akan mencacatkan sebutan bahasa Melayu. Oleh itu, disarankan agar para pengguna bahasa sentiasa merujuk kepada kamus yang bermutu seperti Kamus Dewan agar kesilapan dapat dielakkan.

Selain itu, banyak perkataan lain yang sering disalah sebut juga, misalnya novel, model, dan geledah. Demi memastikan bahasa kita terus terpelihara, ucapkanlah bahasa kita dengan sempurna.

No comments: