Friday, April 24, 2009

CERAMAH: SK TAMAN TUN AMINAH 1

Pada hari ini, 23 April 2009, saya telah diundang oleh pihak pentadbiran SK Taman Tun Aminah 1, Skudai untuk menyampaikan ceramah dan mengendalikan bengkel Teknik Menjawab Soalan Bahasa Melayu UPSR.
Terima kasih kepada warga SKTTA 1. Semoga SMTTA 1 akan mencapai kejayaan dalam UPSR pada tahun ini. Saya doakan...

Thursday, April 23, 2009

CERAMAH: PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA SEKOLAH MENENGAH NEGERI JOHOR 2009

Sedang asyik melampiaskan pengalaman bersama-sama dengan Pengurus Projek, Encik Rusdi.
Menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta (baru bersara daripada jawatan penjawat awam, dan kini ingin menyertai bidang penulisan setelah gagal mentadbir!)

Menyampaikan sijil penghargaan kepada Cikgu Taufek.






Pada 14 - 16 April yang lalu, saya telah diundang oleh pihak DBP Wilayah Selatan untuk mengendalikan ceramah dan bengkel kepada pelajar-pelajar dari seluruh daerah dalam Perkampungan Penulis Muda Sekolah Menengah Negeri Johor 2009. Lokasi pada kali ini ialah Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang.


Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada pihak DBP Wilayah Selatan yang sentiasa memberikan kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan program tersebut. Khasnya kepada Encik Rusdi Abdul Rahman, kepercayaan saudara amat saya hargai. Sememangnya, saya menganggap kepercayaan saudara kepada saya selama ini tidak dapat dinilai dengan ungkapan atau kata-kata. Kepada staf DBPWS, Encik Shahrul, Encik Rizal dan Cik Syuhada, terima kasih atas kerjasama dan pengurusan yang cekap.

Tidak lupa kepada guru-guru pembimbing yang banyak membantu saya, khasnya Cikgu Yazid (Zaid Akhtar), Cikgu Taufek, Cikgu Rohaidah, Cikgu Hamzah Hamdan, Cikgu Hamzah Sooriyat, Cikgu Ayob, Cikgu Nurani, dan beberapa orang guru lagi yang sentiasa memberikan bantuan dan sokongan. Tidak lupa juga kepada saudara Zulkifli Khair (penulis dan penceramah bebas) yang membantu dalam menjayakan program melalui slot motivasi penulisan pada awal program.

Tahniah kepada para peserta. Sebagai pemudah cara dan pembimbing kalian, cikgu melihat potensi yang amat besar pada kali ini. Tidak mengejutkan sekiranya cikgu ingin menyatakan bahawa perkampungan pada kali ini benar-benar diwakili oleh kalangan peserta yang terbaik! Secara ikhlas, cikgu tidak pandai bermain kata-kata walaupun cikgu bijak (ehm..ehm..) bersastera, namun pada kali ini, semua peserta memang mantap, termasuklah Pak Lah!

Sunday, April 12, 2009

CERAMAH: BENGKEL PENULISAN BULETIN UiTM/DBPWS

Dengan izin Allah, semalam dan hari ini (10 Apr - 11 Aprl 2009), saya telah diundang oleh pihak DBPWS untuk mengendalikan ceramah dan bengkel untuk pensyarah dan staf UiTM Bandaraya Johor Bahru di Hotel Seri Malaysia, Mersing. Selain saya, Encik A. Ghafar Abdullah (DBP) turut menyampaikan ceramah tentang aspek penerbitan majalah/buletin.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Azura (DBPWS) yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan slot bahasa. Terima kasih juga kepada Encik Shahrul dan Encik Izwan (DBPSW) yang memastikan program berjalan lancar.


Terima kasih dan tahniah kepada warga UiTM, khususnya kepada Dr. Haji Ahmad Che Yaakob yang memperlihatkan komitmen yang padu dan jitu sepanjang kursus. Kepada urus setia dan peserta-peserta, saya ucapkan penghargaan atas pelibatan yang aktif, kerjasama yang baik, serta layanan yang cemerlang. Saya tidak akan melupakan kalian yang benar-benar ingin mendalami aspek bahasa. Jikalau ada terkasar bahasa, saya mohon maaf kerana saya sedar, pasti ada kekurangan atau kekhilafan. Mudah-mudahan, ilmu yang disampaikan akan dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baik mungkin.

Sampai bertemu lagi. Insya-Allah.

CERAMAH: SK KANGKA TEBRAU

Pada 9 April 2009 yang lalu, saya telah diundang untuk menyampaikan ceramah dan mengendalikan bengkel teknik menjawab soalan BM UPSR di SK Kangka Tebrau. Terima kasih atas undangan tersebut.
Mudah-mudahan, semua murid Tahun 6 SK Kangka Tebrau akan memperoleh kejayaan dalam UPSR pada tahun ini.

TATABAHASA: PENGGUNAAN TEKNIK TRANSFORMASI UNTUK MENYELESAIKAN MASALAH TATABAHASA

Oleh Abdul Ghalib bin Yunus (Munsyi Dewan DBP)



Sejak akhir-akhir ini, timbul kekeliruan penggunaan ungkapan “salah satu” yang telah digunakan sekian lama. Ada pendapat yang mengatakan bahawa penggunaan ungkapan tersebut tidak tepat kerana wujud perkataan ‘”salah” dalam rangkai kata tersebut. Katanya, rangkai kata yang tepat ialah ”Satu daripada “. Untuk menyelesaikan masalah ini, pengguna bahasa hendaklah menggunakan teknik transformasi. Teknik tranformasi ialah satu teknik yang menukarkan bentuk tatabahasa kepada bentuk yang lain, tetapi masih sama dari segi maksud dan tujuan ayat itu diungkapkan.


Terdapat 5 jenis transformasi yang dapat digunakan oleh pengguna bahasa untuk menyelesaikan masalah tatabahasa ini. Teknik transformasi tersebut ialah :
Tranformasi kata
Tranformasi struktur
Tranformasi makna
Transformasi pengguguran
Tranformasi jenis ayat


Untuk menyelesaikan masalah yang dikemukan tadi, kita hendaklah menggunakan teknik tranformasi makna. Dengan menggunakan teknik tranformasi makna, kita akan mengetahui bahawa aspek sesuatu bahasa itu betul atau salah. Dalam artikel ini, aspek kesalahan bahasa yang ditumpukan ialah aspek kelewahan bahasa. Untuk itu, marilah kita merujuki Kamud Dewan Edisi Keempat pada halaman 1372.


Menurut Kamus Dewan, salah satu (sebuah, seorang) bermaksud satu antara dua atau banyak (orang, buah, dan lain-lain). Lihat penggunaan rangkai kata tersebut dalam ayat yang di bawah ini:
Salah satu punca murid ponteng sekolah ialah mereka malas belajar atau bosan berada di sekolah.
Salah seorang murid sekolah ini telah berjaya melangkah ke peringkat akhir pertandingan itu.
Salah sebuah kereta yang terbabit dalam kemalangan itu telah terbakar.


Dengan berdasarkan maksud yang dikemukakan oleh Kamus Dewan tersebut, ayat 1 hingga 3 di atas, dapat juga ditulis seperti yang berikut:

1a. Satu daripada punca murid ponteng sekolah ialah mereka malas belajar atau bosan berada di sekolah.

2a. Seorang daripada murid sekolah ini telah berjaya melangkah ke peringkat akhir pertandingan itu.

3a. Sebuah daripada kereta yang terbabit dalam kemalangan itu telah terbakar.


Seterusnya, ayat 1 hingga 3 di atas dianggap lewah jika ditulis seperti yang di bawah ini:

1b. *Salah satu daripada punca murid ponteng sekolah ialah mereka malas belajar atau bosan berada di sekolah.

2b. *Salah seorang daripada murid sekolah ini telah berjaya melangkah ke peringkat akhir pertandingan itu.

3b.*Salah sebuah daripada kereta yang terbabit dalam kemalangan itu telah terbakar. Kelewahan bahasa ayat 1a. hingga 1c di atas dapat dilihat apabila transformasi makna dilakukan pada ungkapan salah satu seperti yang di bawah ini:

1c. *Satu daripada daripada punca murid ponteng sekolah ialah mereka malas belajar atau bosan berada di sekolah.

2c. *Seorang daripada daripada murid sekolah ini telah berjaya melangkah ke peringkat akhir pertandingan itu.

3c. *Sebuah daripada daripada kereta yang terbabit dalam kemangan itu telah terbakar.


Teknik tranformasi juga dapat digunakan untuk menyelesaikan masalah kelewahan bahasa yang terdapat dalam ayat-ayat di bawah ini:
Ahli saintis negara kita telah berjaya menghasilkan ubat yang dapat menyembuhkan
penyakit selesema burung.


Ayat 4 di atas tidak tepat kerana rangkai kata ahli saintis ada unsur kelewahan bahasa. Dalam bahasa Melayu, saintis bermaksud ahli sains. Jika makna rangkai kata tersebut ditransformasikan, kita dapat melihat kelewahan bahasa dalam rangkai kata tersebut dengan jelas seperti yang di bawah ini.

4a. Ahli ahli sains negara kita telah berjaya menghasilkan ubat yang dapat menyembuhkanpenyakit selesema burung.

Ayat 4b. di atas sepatutnya seperti yang berikut:

4b. Ahli sains negara kita telah berjaya menghasilkan ubat yang dapat menyembuhkanpenyakit selesema burung, atau;

4c. Saintis negara kita telah berjaya menghasilkan ubat yang dapat menyembuhkanpenyakit selesema burung.


Lihat ayat 5 di bawah ini pula.
*Murid sekolah itu saling tolak-menolak ketika menaiki bas.
Ayat 5a di atas juga mempunyai unsur kelewahan bahasa. Dalam ayat tersebut, kata ganda tolak-menolak membawa maksud saling. Oleh itu, perkataan yang tepat ialah saling menolak atau tolak-menolak. Lihat proses transformasinya di bawah ini:

5a. *Murid sekolah itu saling saling-menolak ketika menaiki bas.
Oleh hal yang demikian, ayat yang betul ialah:
5b. Murid sekolah itu saling-menolak ketika menaiki bas.5c. Murid sekolah itu tolak-menolak ketika menaiki bas.


Penggunaan rangkai kata “pada masa kini” juga memperlihatkan unsur kelewahan bahasa. Lihat penggunaan ungkapan tersebut dalam ayat yang di bawah ini:
Pada masa kini, banyak remaja yang terbabit dalam perlumbaan haram dan penagihan najis dadah.


Dalam bahasa Melayu, kini bermaksud pada masa ini atau sekarang. Apabila makna perkataan kini ditranformasikan kepada pada masa ini, kita dapat melihat unsur kelewahan bahasa dalam rangka kata tersebut.

Lihat ayat 6a di bawah ini:

6a. Pada masa pada masa ini, banyak remaja yang terbabit dalam perlumbaan haram dan penagihan najis dadah.

6b. Sekarang sekarang, banyak remaja yang terbabit dalam perlumbaan haram dan penagihan najis dadah. Oleh hal yang demikian, ayat yang betul ialah:

6c. Pada masa ini, banyak remaja yang terbabit dalam perlumbaan haram dan penagihan najis dadah.

6d. Sekarang, banyak remaja yang terbabit dalam perlumbaan haram dan penagihan najis dadah.

6e. Kini, banyak remaja yang terbabit dalam perlumbaan haram dan penagihan najis dadah.
Seterusnya, lihat penggunaan rangkai kata sejak kebelakangan ini dalam ayat 7 di bawah ini;
*Sejak kebelakangan ini, kejadian banjir kita semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan Shah Alam.


Menurut Dewan Edisi Keempat, rangkai kata kebelakangan ini atau belakangan ini bermaksud sejak akhir-akhir. Oleh hal yang demikian ini, rangkai kata kebelakangan ini atau belakangan ini dapat bertukar ganti dengan rangkai kata sejak akhir-akhir ini. Jadi, penggunaan rangkai kata *sejak kebelakangan ini atau *sejak belakangan ini dianggap lewah. Lihat rangkai kata tersebut di bawah ini apabila ditransformasikan mengikut maksud kamus:

7a. *Sejak sejak akhir-akhir ini, kejadian banjir kita semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan Shah Alam. Ayat yang betul adalah seperti yang di bawah ini:

7b. Kebelakangan ini, kejadian banjir kita semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

7c. Belakangan ini, kejadian banjir kita semakin kerap berlaku di Kuala Lumpur dan Shah Alam.


Bagaimanakah pula ayat yang di bawah ini? Adakah frasa adjektif terkenal sekali dalam ayat 8 di bawah ini betul?
8. Penyanyi yang terkenal sekali di negara kita ialah Siti Nurhaliza.
Frasa adjektif terkenal sekali dalam ayat 8 di atas adalah betul. Hal ini demikian kerana frasa tersebut tidak menunjukkan kelewahan bahasa. Awalan ter- dalam perkataan terkenal tidak membawa maksud paling. Jika kita membuat transformasi makna ter- sebagai paling seperti ayat 8a di bawah ini, ayat tersebut kelihatan janggal.
8a. Penyanyi yang paling kenal sekali di negara kita ialah Siti Nurhaliza.


Lihat ayat 9 yang di bawah ini pula.
9. *Kerajaan telah menyediakan kemudahan infrastruktur yang lengkap di kawasan luar bandar.


Dalam bahasa Melayu, infrastruktur bermaksud kemudahan atau perkhidmatan asas. Oleh itu, jika kita menulis rangkai kata kemudahan infrastruktur, kita telah menggunakan bahasa yang lewah. Oleh hal yang demikian, ayat tersebut mestilah menggunakan rangkai kata “menyediakan infrastruktur” seperti yang di bawah ini:

9a. Kerajaan telah menyediakan infrastruktur yang lengkap di kawasan luar bandar.

Ayat 10 di bawah ini pula kelihatan salah. Sebenarnya, ayat tersebut gramatis. Hal ini demikian kerana penanda –kan dalam ayat tersebut ialah benefaktif, iaitu membuat pekerjaan untuk orang lain.

10. Ibu sedang menjahitkan adik pakaian seragam sekolah.Ayat 10 tersebut dapat dibuktikan betul dengan cara membuat transformasi makna seperti ayat 10a. di bawah ini:
10a. Ibu sedang menjahit pakaian seragam sekolah untuk adik.


Dengan berdasarkan tranformasi di atas, frasa kerja transitif menjahitkan adik pakaian seragam sekolah bermaksud menjahit pakaian seragam sekolah untuk adik.
Kesimpulannya, penggunaan teknik transformasi dapat meningkatkan pemahaman murid tentang aspek kelewahan bahasa dalam bahasa Melayu dan juga kekeliruan yang timbul dalam bahasa Melayu. Cara ini didapati lebih berkesan kerana pengguna bahasa, khususnya murid dapat melihat sebab-sebab kelewahan bahasa tersebut dengan jelas . Oleh hal yang demikian, guru mata pelajaran Bahasa Melayu digalakkan untuk menggunakan teknik ini dalam pengajaran, khususnya untuk menerangkan aspek kelewahan bahasa.

Tuesday, April 07, 2009

PPSMI: FOTO INI SEPATUTNYA MENGINSAFKAN KITA

KEPADA BANGSA MELAYU,
JIKALAU FOTO INI TIDAK MEMBERIKAN APA-APA MAKNA KEPADA SAUDARA, SAYA TIDAK TAHU APA YANG SAUDARA FIKIRKAN TENTANG NASIB BAHASA SAUDARA SENDIRI...

SEHARUSNYA FOTO INI MENGINSAFKAN KITA...

SANTAI SEJENAK 2



SYAMPU SINGA

SANTAI SEJENAK

SANTAI SEJENAK
(Khas kepada anak muridku yang sedang menduduki ujian bulan April)


Sunday, April 05, 2009

PPSMI: MEMORANDUM GMP KEPADA DYMM YANG DI-PERTUAN AGONG

Memorandum GMP kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong
Dipetik daripada Blog Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, 8 Mac 2009.Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik sekalian mohon diampun.Adapun Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ini telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada 31 hari bulan Januari 2009. Alhamdulillah sejak itu sambutannya di seluruh negara sangat memberangsangkan.MENGAPA KAMI SEKALIAN MEMBANTAH PPSMI


Patik sekalian membantah PPSMI dan meminta kerajaan memansuhkannya atas beberapa sebab utama seperti yang kami jelaskan berikut:
1. Dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu (iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia) di sekolah kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak Kemerdekaan berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, kemudian Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya Akta Pendidikan 1996, telah mencapai kejayaan yang luar biasa dan tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius. Banyak pelajar kita, beratus ribu banyaknya, malah lebih 3 juta (dari tahun 1957 hingga tahun 2003) telah berjaya mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa mereka sendiri dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Semua orang tahu akan kejayaan dasar yang asal itu dan banyak bukti tentang kejayaan itu dapat kami tunjukkan tetapi kami tidaklah berhasrat untuk membebankan pembaca dengan datanya yang agak banyak dan panjang.

2. Tidakkah orang yang membuat keputusan yang tidak munasabah itu sedar bahawa hasil daripada dasar pelajaran kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan Malaysia) sebagai bahasa pengantar utama, ratusan ribu pelajar kita (seperti yang tersebut di atas) pandai sains dan matematik dalam bahasa sendiri, dan ribuan daripada mereka berjaya menjadi profesor yang mengajar sains dan matematik di peringkat pengajian tinggi dalam bahasa sendiri, menjadi ahli sains, jurutera, pakar-pakar perubatan, pandai berbincang, mengarang buku sains, menerbitkan hasil-hasil kajian saintifik dalam bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris (kalau perlu)? Tidak mereka tahu bahawa sebelum tahun 2003 jumlah tesis Sarjana Sains (M. Sc.) dalam bidang sains dan matematik yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih 2,000 (dua ribu buah) manakala tesis Doktor Falsafah (Ph. D.) dalam bidang tersebut yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih kurang 400 buah?

3. Maka kami berasa amat hairan dan terperanjat mengapa dasar yang sudah baik dan berjaya itu, dasar yang tidak menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius itu, tiba-tiba dimusnahkan dan digantikan dengan PPSMI?

4. Keputusan PPSMI yang dibuat dalam tahun 2003 itu dibuat dengan mengejut tanpa apa-apa perbincangan, tanpa apa-apa perundingan dengan pakar-pakar pendidikan dan bahasa, tanpa memikirkan baik buruknya terhadap bahasa Melayu dan terhadap pelajar dan guru yang telah cukup biasa mengajar dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (atau dalam bahasa ibunda di Sekolah Jenis-Kebangsaan Cina dan Tamil) selama lebih 37 tahun! Tiba-tiba anak-anak kita yang tidak mengetahui bahasa Inggeris sepatah pun, kebanyakannya dari kawasan luar bandar, dipaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa yang mereka tidak tahu itu. Beberapa orang ahli bahasa di Barat menganggap bahawa ini adalah contoh dasar English linguistic imperialism atau dasar penjajahan bahasa Inggeris yang berlaku di beberapa banyak negara bekas jajahan British, menyebabkan kebanyakan bangsa peribumi atau negara itu tidak maju sains dan teknologi.

5. Antara sebab yang dikemukakan oleh pihak yang cuba mempertahankan PPSMI ialah: Kalau orang Melayu atau pelajar Melayu mahu pandai dan maju dalam bidang sains dan matematik mereka hendaklah mempelajarinya dalam bahasa Inggeris, tidak dalam bahasa sendiri, yakni bahasa Melayu. Mengapakah setelah lebih 37 tahun pendapat yang salah dan karut ini digunakan untuk mengubah dasar asal dan menggantikannya dengan dasar PPSMI? Tidak ada bukti ilmu dan empiris yang kukuh untuk mempertahankan alasan itu. Hampir semua bangsa dan negara yang maju sains dan teknologi mengajar sains di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda mereka masing-masing. Sekadar menyebut beberapa contoh, Negara China, Jepun, Korea, Vietnam, Thailand, Indonesia, semua negara Eropah (termasuk Britain), Rusia dan negara-negara Skandinavia tidak mengajar sains dan teknologi dalam bahasa asing.

6. Kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, baik di peringkat menengah dan peringkat tinggi, mahupun di peringkat sekolah rendah, tidak maju sains dan teknologi. Negara Brunei Darussalam tidak menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di universiti dan kita tahu negara itu tidak maju sains dan teknologi, yakni negara itu tidak sama taraf kemajuan sains dan teknologinya dengan negara seperti Jepun, Korea dan negara China atau Taiwan.Korea Utara adalah negara kuasa nuklear. Negara itu tidak mengajar sains dalam bahasa Inggeris.Begitu juga, di Filipina, negara berbahasa Inggeris yang terbesar di Asia atau Asean, tidak menggunakan bahasa Filipina untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di peringkat pengajian tinggi, dan kita tahun negara itu tidak merupakan negara maju sains dan teknologi. Kebanyakan eksport Filipina, menurut seorang ahli ekonomi Filipina, ialah pembantu rumah dan pekerja biasa; kelebihan mereka ialah, mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris di peringkat rendah.

7. Beberapa banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan dan bahasa di seluruh dunia membuat kesimpulan bahawa manusia, mulai peringkat kanak-kanak, lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri. Hal ini dapat kita lihat berdasarkan hakikat bahawa semua karya besar di dunia, baik dalam bidang sains mahupun sastera, dihasilkan dalam bahasa ibunda atau bahasa asal atau bahasa kebangsaan pengarang itu. Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak datangnya dari golongan berbahasa Inggeris. Yang terbaharu, Hadiah Nobel Fizik tahun 2008 ialah 3 orang ahli sains Jepun yang menghasilkan kajian dan karya mereka dalam bahasa Jepun.Kajian di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa buah negara di Eropah dan Afrika dan Hong Kong menunjukkan bahawa pelajar sains dan matematik dalam bahasa bukan ibunda merosot prestasi mereka dan tidak pula meningkatkan penguasaan atau kemahiran bahasa asing mereka. Pertandingan antarabangsa sains dan matematik yang diadakan tiap-tiap tahun untuk pelajar sekolah dimenangi oleh pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing, tidak dalam bahasa asing.

8. Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak menimbulkan masalah yang kebanyakannya tidak didedahkan kepada umum. Pengumuman Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bukti kegagalan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun dipaksakan kepada pelajar itu.

9. Dalam mata pelajaran matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam BM atau BM/BI. Ini juga bukti kegagalan pengajaran matematik dalam bahasa Inggeris kepada pelajar berbahasa Melayu.

10. Kedua-dua angka yang tersebut pada para 8 dan 9 di atas menunjukkan peratus pelajar atau seramai 352, 641 pelajar tidak faham bahasa Inggeris untuk menjawab soalan dalam bahasa ini, dan seramai 273, 346 murid tidak memahami matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. [Catatan: ini tidak bererti bahawa pelajar itu tidak mempunyai “otak” atau minat untuk belajar atau memahami sains atau matematik; puncanya ialah, mereka tidak memahami soalan yang dibuat dalam bahasa Inggeris, samalah seperti kita cuba mengajar sains dan matematik kepada pelajar Inggeris di England dalam bahasa Melayu atau bahasa Jepun dan bahasa-bahasa lain yang mereka tidak faham satu patah pun].HASIL KAJIAN

11. Hasil kajian sebenar dan bebas yang dilakukan oleh pasukan penyelidik seramai 50 orang pensyarah dari 7 buah Universiti (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) dengan selain Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di 70 buah sekolah menengah (pelajar Tingkatan 4) dan 90 buah Sekolah rendah di seluruh negara (murid darjah 5) membuat kesimpulan bahawa PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar. Di beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar yang gagal (markah D & E) melebihi 50%.Prestasi SPM 2007 jelas menunjukkan bahawa bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dari Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MPRSM) juga menunjukkan kemerosotan yang merudum, terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.

12. Dua kajian lain telah dilakukan, iaitu (a) kajian yang dibuat oleh Profesor Emeritus Dato’ Isahak Haron dari UPSI Januari 2008), terhadap 1703 murid tahun 5 di 28 buah Sekolah rendah dan terhadap 1692 guru, dan (b) kajian yang dibuat oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long (dari UKM) ke atas pelajar Tingkatan 2 di 242 buah Sekolah Menengah di seluruh negara yang meliputi 7,236 pelajar (2004) dan 707 guru matematik dan 701 guru Sains. Hasil dapatan kedua-dua kajian ini hampir sama dengan kajian yang dibuat oleh PEMBINA.APAKAH UKURAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGABSAHKAN PPSMI?

13. Perkara yang sangat merunsingkan kami ialah, dalam percubaannya untuk mempertahankan PPSMI dan membuktikan bahawa dasar PPSMI itu ‘sudah berjaya’ atau ‘akan berjaya’, para pegawai di Kementerian Pelajaran cuba menurunkan markah lulus mata pelajaran sains dan matematik sehinggakan murid yang mendapat markah 30% dianggap sudah boleh lulus (yakni mendapat markah B dan C). Kalau cara yang ‘mengelat’ ini digunakan untuk mengatakan bahawa jumlah pelajar yang lulus dalam sains dan matematik dalam bahasa Inggeris semakin meningkat alamatlah mutu pelajaran pelajar kita dalam bidang ini akan menurun, tidak tinggi. Sebelum tahun 2003 semasa sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu mutu pelajaran dalam mata pelajaran ini tidak direndahkan atau dengan kata lain, markah lulusnya tidak diturunkan.GMP TIDAK FANATIK BM DAN TIDAK ANTI BAHASA INGGERIS

14. Kami tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional atau oleh perasaan anti-bahasa Inggeris. GMP juga bukan ‘gila bahasa Melayu’. Kami cuma mahu mempertahankan dasar yang betul dan baik dan menolak dasar yang salah. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus disokong. Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.

15. Hal yang sangat menghairankan kami dan orang yang berilmu di mana-mana sahaja ialah, ‘pendapat’ atau ‘teori’ yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah pelajar kita belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa itu. Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang tersendiri (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik. Kajian yang disebut para perenggan 7 di atas mengesahkan perkara ini.

16. GMP telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk membaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa asing (‘foreign language’) di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah I hingga Tingkatan V. Selama ini kebanyakan pelajar kita, terutama di Sekolah Kebangsaan di luar bandar, tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah diajarkan kepada mereka selama 11 tahun. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.

17. Terakhir, bangsa Melayu hendaklah sedar bahawa bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta manusia di seluruh dunia, khususnya di kawasan induknya, iaitu kawasan Melayu-Indonesia.Akhir kalam, patik sekalian, dengan penuh takzim, dengan harapan yang tinggi, memohon kepada Ke Bawah Duli Tuanku, Raja Yang Berdaulat dan Ketua Perlembagaan Negara Malaysia, sudi apalah kiranya Duli Tuanku berkenan menerima Warkah Memorandum ini.Atas limpah berkenan Ke Bawah Duli Tuanku menerima perutusan patik sekalian menghadap Tuanku untuk mempersembahkan Memorandum ini ke bawah Duli Tuanku, patik sekalian menjunjung kasih yang tidak terhingga, dan berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Duli Tuanku Dilimpahi rahmat dan hidayah sebagai Ketua kepada Perlembagaan Negara Malaysia.Sekianlah patik sekalian persembahkan. Wa billahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Patik sekalian yang berdatang sembah:10 Rabi’ul Awal 1430 bersamaan 7 Mac 2009.

PUISI: MENENTANG SETERU

MENENTANG SETERU
Di sebuah dewan yang gagah
bersidanglah mereka membuat keputusan
hentikan pengeboman, hentikan tembakan
kami sedang merangka pelan perdamaian
tunggulah undang-undang tentang genjatan
akan kami wartakan tanpa menunggu lagi
simpati melihat seorang lagi terkujur mati.

Dan dunia pun berarak
mengusung patung-patung
membentang kain rentang
kami benci peperangan
kami benci permusuhan
kami benci persengketaan
kita bakar bendera paksi kejahatan!

“Tidakkah kaudengar suara-suara protes
hampir di seluruh pelosok dunia
meminta kita berundur?”

“Ya, aku terdengar suara dunia
tetapi suara tangisan dan raungan itu
lebih mengujakan aku!”

Maka berduyunlah lagi siri
mengoyakkan lembar resolusi
di bumi berdarah itu
tiada siapa lagi yang mampu
kerana sejarah telah mengajari kita
tentang makna bersatu dan berpadu
untuk menentang mungkar seteru!

Azhar Salleh
PPJ Johor Bahru
Berita Harian (4 April 2009)