Wednesday, May 27, 2009

BICARA: TITIAN PERJALANAN 1

EMPAT PERKARA YANG TIDAK MUNGKIN KEMBALI:
1) KATA YANG DIUCAPKAN
2) ANAK PANAH YANG TERLUNCUR
3) MASA YANG BERLALU
4) PELUANG YANG DIABAIKAN
Peribahasa Arab

Sama-samalah kita renungi...

CERAMAH: KURSUS TATABAHASA GURU-GURU DAERAH PONTIAN

Pada 23 Mei 2009 yang lalu, bertempat di SMK Dato' Penggawa Barat, saya telah diundang oleh pihak DBP Wilayah Selatan dan PPD Pontian untuk mengendalikan Kursus Kebugaran Tatabahasa Guru Bahasa Melayu Bukan Opsyen.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Puan Siti Hajar Elah (Pegawai Perancang Bahasa DBPWS) dan En. Mohammad Hood (Pegawai Bahasa PPD Pontian) atas undangan ini.

Tidak lupa kepada Puan Zulaiha Paikon, urus setia yang bertungkus lumus memastikan program berjalan lancar, kepada Tuan Haji Rosli Bakir yang merencanakan program, dan kepada semua guru yang terlibat pada hari tersebut.

Semoga pengetahuan dan ilmu yang diperoleh akan disebarluaskan kepada rakan-rakan di sekolah.Mudah-mudahan akan mantaplah ilmu tatabahasa dalam kalangan guru di Pontian.

CERAMAH: BENGKEL PENULISAN KREATIF GURU-GURU DAERAH KLUANG

Pada 20 Mei 2009 yang lalu, saya telah diundang oleh pihak DBP Wilayah Selatan dan PPD Kluang untuk menyampaikan ceramah dan mengendalikan Bengkel Penulisan Kreatif untuk Guru-guru Daerah Kluang di SK Kluang Barat.

Saya ingin merakamkan ribuan ucapan penghargaan, khasnya kepada Encik Rusdi Abdul Rahman (RAR), Pegawai Perancang Bahasa DBPWS kerana sentiasa memberikan kepercayaan kepada saya.


Tidak lupa kepada Cikgu Hamzah Hamdan, Pegawai Pendidikan Khas, PPD Kluang yg merealisasikan program ini dengan jayanya. Kepada barisan urus setia dan peserta-peserta, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak atas segala komitmen, kesungguhan, dan gelak ketawa kalian! Terima kasih Cikgu Hamzah kerana menghadiahi saya sehelai baju yang tersulam nama saya.


Daripada kursus ini, saya melihat banyak warga pendidik yang berpotensi besar untuk menjadi penulis hebat dan mapan, jika dibimbing dan diasuh secara berterusan. Malahan, yg amat mengujakan saya ialah daripada kalangan peserta, sudah ada yang memiliki novel sendiri (misalnya Cikgu Amin) dan ada yang pernah memenangi anugerah penulisan (misalnya Cikgu Padilah). Rakan saya, Cikgu Nizar Paiman, juga seorang penulis yang mantap kerana puisi dan cerpennya pernah tersiar dalam Berita Minggu. Peserta kali ini benar-benar mantap dan saya ucapkan tahniah kpd Cikgu Hamzah atas kesungguhannya memilih peserta yang hebat-hebat!


Demikianlah sifat ilmu dan sifat orang yang ingin mencari ilmu. Walaupun mereka sedar bahawa mereka telah memiliki asas yang kukuh untuk menulis karya kreatif, namun mereka menyedari bahawa ilmu Allah ini sangat luas. Mereka tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan pengalaman. Mereka sentiasa ingin dan dahagakan ilmu, tanpa mengira ilmu itu daripada siapa. Saya memang kagum dengan peserta kali ini. Memang kagum dan amat menghormati mereka.


Saya doakan peserta-peserta sekalian akan terus berkarya. Saya menanti karya saudara...

Sunday, May 24, 2009

BICARA: HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK MENJADI ORANG BIASA (BAHAGIAN 2)

MEMAHAMI MAKSUD “SEDERHANA”

1. Bayangkan jika Nabi Muhammad saw bersikap sederhana dalam mengembangkan syiar Islam. Bayangkan dan cuba kita ramalkan apa yang akan terjadi. Adakah Islam akan tersebar ke serata pelosok dunia?
2. Dan, jikalau demikian, mungkinkah kita akan menjadi seorang Islam? Tuan-tuan, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Nabi Muhammad saw diutuskan sebagai Rasul Allah untuk mengembangkan ajaran yang benar ini kepada seluruh umat manusia. Namun, adakah kita menyedari bahawa tindakan dan gerakan penyebaran Islam yang dilakukan oleh baginda tidak bersifat sederhana. Ya, saya ulangi, tidak bersifat sederhana. Baginda bersikap melebihi tahap kesederhanaan. Baginda bertindak ekstrem untuk memastikan syiar Islam diterima melalui pelbagai pendekatan, malahan nyawa baginda sendiri menjadi pertaruhan!
3. Saya bukanlah seorang ustaz untuk bercakap tentang hal ini secara panjang lebar. Saya bukanlah pegawai JAIJ untuk menyampaikan ceramah tentang perkara ini dalam sambutan Maulidur Rasul atau Maal Hijrah di taman perumahan anda! Tetapi, saya hendak berkongsi makna kesederhanaan daripada kaca mata, perspektif atau dimensi seorang yang sedang berusaha untuk tidak mahu dikenali sebagai insan sederhana.
4. Sederhana. Satu perkataan yang sering diucapkan, dilafazkan, dan dipegang oleh majoriti orang. Dan lazimnya, malahan saya percaya perkataan ini sering digunakan tanpa asas yang kukuh. Saya juga percaya, pada satu tahap, perkataan ini sering disalahgunakan, khasnya untuk menutup kelemahan atau kekurangan yang ada.
5. Benarkah kita perlu diajar agar bersikap sederhana dalam semua aspek atau perkara? Benarkah anda mahu bersikap sederhana hingga mengorbankan segala upaya dan kemampuan yang ada. Jika dirujuk hal ini dari segi agama, saya percaya kita tidak boleh bersikap sederhana. Nabi Muhammad saw tidak bersikap sederhana dalam mengembangkan syiar Islam, malahan dalam ibadat, baginda tidak mengamalkan prinsip tersebut. Diriwayatkan bahawa baginda bersembahyang hingga pecah tumit kakinya! Baginda berzikir dan bermunajat kepada Allah hingga tidak tercapai oleh sesiapa pun. Adakah baginda bersederhana?
6. Adakah tuan-tuan, rakan-rakan yang amat saya kasihi percaya bahawa dengan bersikap sederhana, kita akan berjaya mencapai matlamat hidup. Jika anda percaya bahawa hidup ini tidak perlu mengejar yang lebih tinggi daripada apa yang ada sekarang, saya rasa anda meletakkan suatu situasi yang tidak adil, bukan kepada sesiapa, tetapi kepada diri anda sendiri.
7. Dalam mencapai sesuatu yang lebih tinggi, kita tidak boleh sama sekali mengambil pendekatan sederhana. Mahukah anda jika anak anda bercakap jujur dengan anda pada paras sederhana? Mahukan jika isteri/suami anda berlaku setia kepada anda pada tahap sederhana? Mahukah anda jikalau anda anda berhak memperoleh gaji sebanyak RM5,000.00 tetapi, lantaran kesederhanaan yang anda miliki, cukuplah anda dibayar sebanyak RM2,500.00? Mahukah anda mendapat kerjasama daripada rakan sejawat atau sepejabat dengan kerjasama yang sederhana? Jika jawapannya ya, saya ucapkan tahniah kerana anda berhak mengecapi makna kehidupan yang anda tentukan. Tiada sesiapa yang akan menghalang anda daripada mengambil keputusan itu. Selagi anda bahagia, anda berhak membuat keputusan. Ya, apa juga keputusan anda, anda bertanggungjawab ke atasnya.
8. Jika jawapannya tidak atau bukan, anda perlu bertegas untuk mengatakan bahawa kita tidak boleh bersikap sederhana dalam hampir banyak perkara.
9. Kadangkala saya mengemukakan analogi ini kepada peserta yang mengikuti ceramah saya. Jikalau anda diberi 10 biji epal, dan anda seorang yang sederhana, berapakah yang akan anda ambil? Ramai yang menjawab 2, ada yang menjawab 3, dan terlalu banyak yang menjawab 5, kerana itulah konsep sederhana yang mereka fahami. Dalam hal ini tidak ada sesiapa yang betul dan tidak ada sesiapa yang salah. Semua jawapan adalah betul.
10. Jika pertanyaan itu diajukan kepada saya, jumlah bilangan epal yang akan saya ambil ialah 10 biji epal! Eh cikgu, kalau ambil 10 biji epal, bukan namanya sederhana! Jika bukan sederhana, namanya apa? Saya bertanya kembali.
11. Itu namanya tamak! Saya terdengar seorang peserta yang berada di bahagian belakang sebelah kiri dewan berkata dalam hatinya.
12. Ya, itu namanya tamak! Seorang peserta di sebelahnya menyampuk, seperti terdengar kawan di sebelahnya bermonolog!
13. Saya tidak tamak, tuan-tuan. Jikalau saya ambil kurang daripada 10 biji, katakanlah 8 biji, saya telah melepaskan 2 peluang yang sepatutnya saya peroleh, tetapi kerana sentimen sederhana sentiasa berlegar-legar dan mempengaruhi akal fikiran saya, maka saya telah mengalami kerugian. Bukankah itu namanya kerugian! Dan sesiapa yang rela dan suka mendapat kerugian, silalah ambil 1 biji epal sahaja! Tuan-tuan bukan sahaja mendapat kerugian, malahan tuan-tuan tidak mendapat keuntungan. Jikalau tidak menguntungkan, tetapi tidak merugikan, itu masih boleh diterima oleh akal yang sihat.
14. Tamak, menurut pengertian yang saya fahami dan saya pegang, saya cuba untuk mendapatkan 11 biji epal! Mengapa kita perlu melepaskan sesuatu yang mampu kita miliki. Sekali lagi saya terdengar alasan yang sama, iaitu kita mesti bersikap sederhana.
15. Jikalau masih begitu fikiran dan pandangannya, adakah anda akan bersembahyang 3 kali sehari semalam? Adakah anda akan berpuasa 15 hari sahaja dalam bulan Ramadan? Adakah anda akan memberikan separuh wang gaji anda kepada saya kerana anda bersikap sederhana? Mana boleh dibuat perbandingan begitu! Kata seorang pembaca entri ini. Sila berikan contoh yang lain, jikalau saya tersilap. Ya, manusia sering tersilap…mudah-mudahan, pada kali ini saya tidak tersilap.
16. Cuba anda bayangkan David Beckham mula berlatih bermain bola sepak pada usia 20 tahun! Adakah Beckham akan menjadi seperti hari ini? Adakah Lance Armstrong (pelumba basikal yang terkemuka) berlatih 1 jam sehari? Adakah Jackie Chan berlatih kungfu ketika berusia 18 tahun? Jawapannya, tidak! Mereka melakukan tindakan yang sangat ekstrem! Ya, sangat ekstrem. Seperti yang saya nyatakan pada Bahagian 1, maksud ekstrem ialah melakukan sesuatu pada tahap yang melebihi kesederhanaan. Beckham bermain bola ketika berusia kurang 2 tahun, dan Armstrong berlatih lumba basikal pada tahap yang tidak mampu dilakukan oleh orang lain. Suatu hal lagi, ketika semua orang tidak lagi memberikan keyakinan kepadanya selepas menjalani pembedahan membuang “sebiji” testisnya, dia bangkit dengan mengumpulkan segala semangat untuk menjuarai Tour de France untuk kali kelima! Mereka bersikap ekstrem! Iskandar Zulkarnain (Alexander The Great?) menakluk pelosok dunia, bagaimana? Sederhanakah dia? Jackie Chan berlatih kungfu ketika berusia 5 tahun dan latihannya bermula pada jam 5.30 pagi dan berakhir jam 10 malam! Sederhanakah usahanya?
17. Pada pandangan saya, kita perlu bersikap ekstrem. Kita perlu melakukan sesuatu melebihi orang lain. Itu pun jikalau kita hendak berada di atas orang lain, atau sekurang-kurangnya mencapai tahap yang lebih tinggi atau lebih baik pada hari ini. Jikalau anda berharap dengan mengamalkan hidup sederhana, akan membahagiakan anda, teruskan. Ya, teruskan kerana pilihan di tangan masing-masing.
18. Saya percaya ada ketikanya kita perlu bersederhana dalam banyak hal. Kita perlu bersederhana ketika berbelanja di pasar raya, kita perlu bersederhana ketika bercakap agar kelihatan sopan, kita perlu bersederhana ketika … (isi tempat kosong dengan jawapan yang sesuai). Ya, memang benar, ramai atau terlalu ramai manusia yang berjaya di dunia tetapi mereka hidup sederhana. Tuan-tuan, saya tidak menyatakan bahawa kita perlu hidup secara esktrem, tetapi usaha kita mestilah tidak sederhana. Saya tidak menyatakan bahawa kita perlu bermegah-megah dengan kehidupan yang mewah, tetapi kita perlu melihat dunia realitinya. Banyak jutawan atau hartawan atau individu terkemuka hidup secara sederhana, tetapi mereka tidak berusaha secara sederhana. Ada satu perkara yang kita terlupa apabila mengatakan mereka pun bersikap sederhana, iaitu harta, wang, atau pencapaian mereka sangat luar biasa! Tidak sederhana! Mengapa? Bukankah usaha mereka tidak sederhana! Tetapi ingat, janganlah bersederhana ketika memandu kereta. Anda mungkin ditimpa kemalangan! Anda perlu memberikan fokus 100% ketika itu kerana jikalau anda bersederhana ketika memandu, anda berusaha untuk mencari bala! Eh, bukankah 100% itu nilainya sama dengan 10 biji epal!
19. Akhir sekali, saya percaya kita pasti memiliki pandangan yang mungkin tidak sama. Terimalah perbezaan pandangan itu sebagai suatu yang positif. Saya berpendirian sebegini kerana…
20. HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK MENJADI ORANG BIASA…

Sunday, May 17, 2009

BICARA: UJIAN KELAYAKAN PSV AKAN DIKAJI SEMULA KERANA GUNA BAHASA MELAYU

1. Buletin Utama (TV3) malam ini (17 Mei 2009) melaporkan bahawa Ong Tee Keat, Menteri Pengangkutan akan mengkaji semula penggunaan bahasa Melayu dalam ujian PSV untuk pemandu teksi yang berbangsa Cina.
2. Alasannya, pemandu teksi tersebut tidak tahu menjawab soalan dalam bahasa Melayu. Mereka tidak tahu menggunakan bahasa Melayu. Alasan lain ialah mudah berinteraksi dengan pelancong asing.
3. Jadi, penggunaan bahasa Melayu akan digantikan dengan bahasa Inggeris. Dan semua pemandu teksi akan mengikuti kelas bahasa Inggeris selama tiga jam seminggu. Mengada-ngada betul! Kalau dah duduk kat Malaysia berpuluh tahun pun tak reti nak guna bahasa Melayu, ini nak tunjuk lagak belajar bahasa Inggeris seminggu tiga jam! Tetapi, adakah ini rasionalnya. Saya percaya tidak. Adakah ini salah satu cara lagi untuk menghakis penggunaan dan daulat bahasa Melayu? Entahlah, tetapi saya rasa, ya.
4. Nampaknya, “belang” mereka semakin menjadi-jadi. Dan “belang” pemimpin Melayu makin luntur.
5. Sepatutnya, pemandu-pemadu teksi itu belajar bahasa Melayu. Tetapi, patutkah mereka belajar bahasa Melayu kalau sudah besar gajah dan dah beruban atas bawah, duduk kat Malaysia (Tanah Melayu) bukan sehari dua tetapi masih beri alasan tidak tahu berbahasa Melayu?
6. Kalau tak tahu guna bahasa Melayu, wajarkah diterima sebagai rakyat Malaysia?
7. Patutkah diterima sebagai warganegara Malaysia? Adakah lebih baik kerakyatan dan kewarganegaraan itu diberikan kepada Mat Bangla kerana mereka lebih tahu guna bahasa Melayu?
8. Dan nasib mereka dibela pula oleh pemimpin mereka. Dengan angkuh sekali, menafikan hak bahasa Melayu. Nampaknya, satu demi satu hak milik “Hang Tuah” dicabul di tanah sendiri. Kalaulah “Jebat” masih hidup… Ada lagikah “Jebat” dalam kalangan pemimpin Melayu?
9. Inilah akibatnya jikalau tidak pandai berpolitik. Tanah tergadai, bahasa tergadai, dan akhirnya, anak-anak kita tersadai! Kiri kanan kena tibai, terbang melayang kopiah dan lebai, last-last sekali semua kena sidai…
10. Mungkin ada sesiapa yang telah memesan kain kapan dan kapur barus? Jenazah Bahasa bin Melayu akan dikebumikan, bila-bila masa. Tanah telah digali. Ketawa besar pemegang sepanduk PPSMI!
11. Tunggu komen Dr. Rais Yatim pula.

Saturday, May 16, 2009

PUISI: LIDAH BANGSA

LIDAH BANGSA
Lidah bangsa makin berani
memperkatakan maruah dan jati diri
membicarakan ketuanan yang menipis
menyuarakan kepincangan tergaris
menzahirkan rasa yang terhiris
tanpa sebarang bibit prejudis.

Lidah bangsa makin menggertak
dibakar oleh lahar yang memberontak
sesekali ingin berlaku waras
dalam nada tegas dan keras.

Lidah ini lidah pusaka
ingin melihat ketuanannya merdeka
walau getar dan debar ini disanggah
tetap mengalir di urat darah
bangsa ini bangsa bermaruah.

Lidah bangsa ini
ingin berkata benar dan jujur
walau mungkin langkahnya terlanjur
tidak salah andai fikir terundur
kembalikan semangat yang makin luntur
cekangkan semula muafakat yang kendur.

Lidah bangsa ini
berbicaralah dengan hemah
kutiplah gugusan hikmah
setelah kali ini terduga
satukan segera suara pusaka.

Azhar Salleh
PPJ Johor Bahru.
Berita Harian, 16 Mei 2009

CERAMAH: PENULISAN SURAT RASMI (ZON PERMAS JAYA)

Pada hari ini (16 Mei 2009), saya telah diundang oleh SK Permas Jaya 1 untuk menyampaikan ceramah kepada guru-guru di Zon Permas Jaya seramai lebih kurang 130 orang.

Ceramah berkaitan dengan penulisan surat rasmi.
Saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada guru-guru besar sekolah yang terlibat, iaitu SKPJ 1, SKPJ 2, SKPJ 3, SKPJ 4, SKPJ 5, dan SK Senibong.
Tidak lupa kepada Puan Rohani, Encik Asri, dan jawatankuasa urus setia yang bertindak cemerlang dalam pengelolaan kursus.

Diharapkan kursus ini akan mendatangkan manfaat kepada semua guru. Terima kasih atas kerjasama dan layanan yang diberikan.

Friday, May 15, 2009

CERAMAH: SMK TUN HABAB, KOTA TINGGI

Pada 15 Mei 2009 (Khamis), saya telah diundang oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan dan JKD Bahasa Melayu daerah Kota Tinggi untuk menyampaikan ceramah tatabahasa khusus kepada pelajar-pelajar PMR.

Peserta terdiri daripada pelajar-pelajar dari semua sekolah di daerah Kota Tinggi (lapan orang setiap sekolah) dan guru-guru pengiring.

Saya ingin menyampaikan ucapan penghargaan khasnya kepada Puan Siti Hajar Elah (DBPWS) yang sentiasa memberikan kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan bengkel dan ceramah. Tidak lupa juga kepada pegawai dan staf DBPWS yang turut membantu saya.

Tidak lupa kepada rakan dan sifu yang amat dihormati, Cikgu Kassim Mahmud yang memilih saya sebagai penceramah.

Kepada peserta-peserta kursus, manfaatkan ilmu yang dipelajari dan sebarkan kepada rakan-rakan yang tidak berpeluang untuk mengikuti kursus ini. Mudah-mudahan kalian akan cemerlang dalam PMR kelak.

Kepada urus setia dan guru-guru pengiring, saya ucapkan ribuan terima kasih atas sokongan, kerjasama dan layanan yang diberikan. Sampai berjumpa lagi...

Wednesday, May 13, 2009

BICARA: HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK MENJADI ORANG BIASA

HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK MENJADI ORANG BIASA
(Bahagian 1)

1. Pernah suatu ketika, saya ditanya oleh seorang rakan baik, apakah moto atau falsafah hidup saya.
2. Lazimnya, setiap orang ada falsafah hidup yang dipegangnya, walaupun bukan sedikit yang memiliki deretan falsafah yang satu pun tidak diterapkan dalam kehidupannya.
3. Bercakap soal ini, saya sering melihat masyarakat yang berpegang pada falsafah yang tidak relevan, tidak sesuai, atau tidak berpadanan dengan keupayaan dan kemampuannya. Banyak yang suka berfalsafah, tetapi tidak mengamalkan nilai atau semangat falsafahnya itu. Sering terjadi demikian.
4. Saya tertanya-tanya, perlukah setiap orang memiliki falsafah?
5. Antara falsafah yang sering dapat dibaca atau didengar ialah “Aku adalah aku” (ungkapan ini sungguh muak kerana terlalu basi!), “Hidup ini perjuangan”, “Jujur dan ikhlas”, “Usaha tangga kejayaan” (ungkapan ini sesuai untuk budak-budak sekolah yang belum bersunat!). Maaf, jika ada yang tersinggung…
6. Berbalik kepada pertanyaan, perlukah setiap orang memiliki falsafah, jawapan saya ialah “Ya”.
7. Dan berbalik kepada pertanyaan rakan baik saya itu, apakah falsafah hidup saya, judul entri ini akan saya ucapkan.
8. Ya, tuan-tuan dan saudara-saudara, rakan-rakan blog sekalian yang amat saya kasihi dan hormati.
9. HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK MENJADI ORANG BIASA.
10. Saya percaya dalam kehidupan ini, kita tidak mampu untuk menjadi terbaik dalam semua perkara dan semua bidang. Kita tidak mampu untuk memenuhi segala keperluan untuk menjadi yang terbaik dalam segala hal. Kita tidak seharusnya memiliki pandangan sarwa yang pernah dianggap keramat suatu masa masa dahulu, iaitu “berusahalah untuk menjadi orang yang serba boleh”.
11. Saya melihat hal ini dengan pandangan yang agak serius. Saya melihat sekeliling dan masyarakatnya. Oleh sebab saya tidak mempercayai ungkapan “serba boleh” itu, saya percaya kita tidak mampu untuk menjadi juara dalam semua pekerjaan yang kita ingin dan sedang malahan akan dilakukan. Kita tidak dibekalkan dengan kudrat sebegitu hebat.
11. Mungkin ada yang berjaya dalam banyak perkara dalam satu-satu masa, saya tidak begitu meyakini bahawa orang itu menjadi terbaik dalam setiap perkara. Oleh sebab itu, saya tidak boleh memberikan contoh dalam hal ini kerana saya tidak pernah membaca atau melihat situasi ini berlaku. Jikalau ada, kita boleh berkongsi, tuan-tuan.
12. Jika anda melihat dalam diri anda, sedarkah bahawa anda bukan yang terbaik dalam banyak hal, tetapi saya percaya anda mungkin yang terbaik (sekurang-kurangnya tidaklah yang paling lemah) dalam satu perkara. Jikalau demikian, mengapakah perkara yang kita lebih kuasai itu tidak dikuasai lagi. Ya, kita perlu menjadi pakar dalam bidang tersebut. Untuk menjadi pakar, kita perlu bertindak melebihi orang lain bertindak. Cuba anda rujuk catatan biografi individu terkenal dunia dan hayati pengalaman mereka sebelum mereka menjadi terkenal atau terbaik. Mungkin sampai satu peringkat, kita hampir-hampir tidak percaya apa yang telah dilakukan oleh mereka.
13. Secara analoginya, jikalau anda memilih untuk menjadi pemain bola sepak terhandal, terbaik, atau terhebat, anda tidak mungkin mampu menjadi pemain badminton yang terbaik juga. Jikalau ada, sila berikan contohnya…mungkin akan dapat kita contohinya. David Beckham bukanlah pakar dalam bidang golf, tuan-tuan, tetapi tentang bola sepak, jikalau anda tidak mengenalinya, samalah anda tidak mengetahui apa itu bola sepak. Siapakah Tiger Woods? Jikalau anda memberitahu sepupu anda bahawa dia ialah penyanyi, saya percaya anda tidak pernah faham tentang permainan golf. Mungkin hendak eja golf pun anda salah!
14. Itu analogi mudah. Dalam kehidupan kita, kadangkala untuk menjadi yang terbaik atau sekurang-kurangnya yang mantap atau mahir atau terampil (jikalau tidak yang terbaik), ada perkara yang terpaksa dilepaskan. Jikalau anda sudah berumah tangga, dan dalam waktu yang sama, anda ingin menjadi pekerja yang terbaik di organisasi anda, saya lebih cenderung mengatakan bahawa anda bukanlah suami/isteri yang terbaik, dan bukan juga ayah/ibu yang terhebat. Jikalau anda memilih untuk menjadi suami/isteri dan ayah/ibu yang terbaik, saya lebih cenderung untuk mengatakan bahawa anda bukanlah pekerja yang terbaik dalam organisasi anda. Ya, anda boleh bersetuju dan anda boleh tidak bersetuju dengan pandangan ini. Cerminlah diri masing-masing…
15. Ini pandangan peribadi. Oleh itu, berbalik kepada isu yang ingin saya lontarkan, iaitu kita harus berusaha untuk menjadi pakar dalam satu-satu bidang. Jikalau anda seorang guru, untuk menjadi guru yang terbaik, anda perlu melakukan usaha yang melebihi orang lain untuk menjadi yang guru yang terbaik. Jikalau ada guru yang mengetahui selok-belok hal perguruan lengkap dengan ilmu dan pengetahuan pedagoginya yang berjela-jela, anda perlu mengetahui berbukit-bukit. Jikalau ada guru yang membaca buku rujukan sebanyak lima naskhah, anda perlu membaca buku rujukan sebanyak 10 naskhah.
16. Akan ada kos melepas, atau perkara yang perlu dilepaskan. Anda perlu melepaskan banyak masa dan ruang untuk melakukan pekerjaan lain. Tidak mungkin anda berjaya menjadi guru yang terbaik dengan mengharapkan orang lain membaca buku rujukan tiga naskhah, sedangkan ada banyak guru lain yang membaca buku rujukan sebanyak lima naskhah. Oleh itu, pertimbangkan yang manakah yang akan menjadi kos melepas anda. Itu pun jikalau anda ingin menjadi guru yang terbaik. Jikalau anda memilih untuk menjadi guru biasa, anda berhak melakukannya kerana anda ada pilihan.
17. Dalam kehidupan ini, setiap orang wajar mengetahui dengan mendalam satu perkara. Yang lebih baik dan lebih penting, perkara itu boleh mendatangkan manfaat kepada kita, khususnya manfaat dari segi pulangan atau pendapatan.
18. Jikalau anda ingin membeli lampu hiasan, Kedai A menjual pelbagai peralatan rumah termasuk lampu hiasan, dan Kedai B menjual lampu hiasan sahaja, saya percaya Kedai B akan menjadi pilihan kita kerana kita tahu Kedai B merupakan kedai “pakar” dalam bidang lampu hiasan, manakala Kedai A ialah kedai “serba boleh”. Sebab itulah janganlah hairan jika kita melihat banyak kedai yang dibuka di bandar besar, dengan sewa yang amat tinggi, tetapi hanya menjual kunci sahaja, ataupun menjual stoking sahaja, ataupun menjual aksesori wanita sahaja! Ya, kedai itu mampu dan akan terus hidup kerana …mereka pakar dalam bidang itu! Mereka bukan daripada golongan yang serba boleh. Mereka dipercayai. Dan pelanggan mempercayai mereka.
19. Untuk mencapai tahap itu, kita (dibaca: saya dan rakan-rakan yang budiman yang bersetuju dengan pandangan ini), perlu sentiasa berlapang dada untuk terus meningkatkan ilmu dalam bidang yang kita ceburi, kita minati, dan kita telah berada di dalamnya. Tujuannya supaya kita mampu menjadi pakar dan berpengetahuan tinggi dalam bidang itu. Untuk mencapainya, kita perlu bersikap ekstrem. Kita tidak boleh, sama sekali, bersikap sederhana. Orang yang sederhana dari segi usahanya, akan memperoleh pencapaian yang sederhana juga. Jikalau tuan-tuan menabur segenggam benih padi, mustahillah yang akan dituai nanti selori padi!
20. Ekstrem dalam konteks ini ialah “keterlaluan, melampau, melampaui batas kesederhanaan – Kamus Dewan Edisi Keempat). Mengapakah sampai begitu sekali untuk berjaya dalam kehidupan sehingga perlu menjadi ekstrem? Mungkinkah ini persoalan yang sedang atau akan muncul daripada benak saudara? Jawapannya ialah “HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK MENJADI ORANG BIASA”. Dan, dengan izin daripada Allah, akan saya kupas falsafah ini selepas ini…Terus layan!

CERAMAH: SK PERMAS JAYA 1

Hari ini saya telah diundang ke SK Permas Jaya 1 untuk mengendalikan bengkel teknik menjawab soalan Bahasa Melayu UPSR.

Terima kasih kepada semua guru dan murid-murid Tahun 6. Semoga kalian cemerlang dalam UPSR pada tahun ini.

Friday, May 08, 2009

CERAMAH: SK TAMAN DAYA 1

Semalam, 7 Mei 2009, saya telah diundang untuk menyampaikan ceramah dan mengendalikan bengkel menjawab soalan Bahasa Melayu UPSR di SK Taman Daya 1.
Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada guru-guru, khususnya Cikgu Tajudin, Cikgu Sukmawati dan Cikgu Esaruddin kerana sudi mengundang saya.
Moga-moga SK Taman Daya 1 akan terus cemerlang dalam UPSR. Saya doakan...

CERAMAH: SK TAMAN KOTA MASAI 2

Pada 29 April yang lalu, saya telah diundang oleh pihak SK Taman Kota Masai 2 untuk mengendalikan bengkel menjawab soalan Bahasa Melayu UPSR.
Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru dan murid-murid Tahun Enam.
Semoga kalian berjaya dalam UPSR nanti, berkat kesungguhan guru-guru. Saya doakan...

CERAMAH: BENGKEL PEMANTAPAN HAKIM SAHIBBA

1. Alhamdulillah, dengan izin-Nya, Bengkel Pemantapan Hakim Sahibba Negeri Johor telah selamat dianjurkan dan dikendalikan di Hotel Selesa, JB pada 24 - 25 April 2009 yang lalu.
2. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Siti Hajar (DBPWS) kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan bengkel tersebut.
3. Walaupun saya berhadapan dengan dugaan (kereta saya dipecahkan pada petang itu), saya berasa bersyukur kerana mendapat kerjasama padu daripada semua pihak, khususnya Puan Siti Hajar, Encik Shahrul dan Puan Aisyah (Staf DBPWS), pegawai JPNJ, dan pastinya, ucapan penghargaan kepada semua peserta yang begitu bersemangat dan memiliki komitmen yang tinggi.
4. Mudah-mudahan, ilmu dan pengisian yang disampaikan akan dapat dimanfaatkan sebaik-baik mungkin. Mudah-mudahan, Sahibba yang menjadi antara citra DBPWS akan terus bersemarak mengisi persada wilayah selatan dalam usaha menarik khalayak mencintai bahasa Melayu.
5. Kita nantikan Pertandingan Sahibba Negeri Johor yang dijadualkan akan diadakan pada bulan Jun atau Julai nanti. Insya-Allah.

PERISTIWA: TAHNIAH KEPADA RAR

Pertama sekali, syukur ke hadrat Allah kerana saudara Rusdi Abdul Rahman (RAR) telah dikurniai seorang lagi cahaya mata lelaki (nampaknya gen RAR sungguh padu!) pada 6 Mei 2009 yang lalu.
Saya doakan agar isteri RAR dan anak ketiganya itu dalam lindungan Allah dan sihat, tanpa ada apa-apa kerumitan.
Kepada RAR, selamat berpuasa (oppsss...!), selamat menimang cahaya mata dan ucapan tahniah daripada saya dan isteri. Isteri saya berkirim salam kepada orang rumah RAR.
Insya-Allah, anak itu akan membesar dengan "wajah dan suara" bapanya yang kental...

Thursday, May 07, 2009

PERISTIWA: SUATU HARI YANG MALANG DI PEKARANGAN MASJID

1. Pada 24 April yang lalu, suatu kejadian malang menimpa saya.
2. Ketika saya bersembahyang Jumaat di Masjid Taman Pelangi, JB, kereta saya kena pecah. Cermin penumpang sebelah pemandu dipecahkan dan saya kehilangan sebuah beg.
3. Di dalam beg tersebut ada beberapa batang pendrive yang mengandungi pelbagai bahan, khususnya bahan tuisyen, bahan sekolah, dan yang paling penting, bahan ceramah. Turut hilang ialah sebuah modem broadband Celcom.
4. Saya juga kehilangan sebuah buku Azizi Ali, "Jutawan Ekstrem", selain beberapa keping slip gaji, dokumen seperti surat yang berkaitan dengan tugas, dan bahan-bahan yang saya gunakan dalam ceramah.
5. Mujurlah, dengan izin Allah, lap top yang saya tinggalkan di bahagian belakang kereta tidak dikebas juga. Mungkin penjenayah ini melihat beg yang dicurinya itu ada lap top kerana bentuknya seperti sebuah beg lap top.
6. Saya membawa lap top kerana selepas sembahyang Jumaat, saya akan ke tuisyen, dan selepas itu, saya terus ke Hotel Selesa untuk menyampaikan ceramah dan mengendalikan bengkel Sahibba untuk guru-guru negeri Johor.
7. Kehilangan itu menyebabkan saya tidak dapat melayari Internet dan mengemaskinikan blog ini, sehinggalah pada hari ini, setelah saya membeli broadband yang baru dan membuat pendaftaran baru. Saya juga terpaksa melakukan pelbagai perkara ekoran daripada kejadian ini; mencari bahan-bahan ceramah yang masih bersisa dalam lap top lama (lap top yang ada di tangan saya tidak saya muatkan bahan), membuat pendaftaran Internet baru di Celcom (pelbagai masalah timbul akibat modem baru tidak dapat berfungsi), dan pelbagai lagi...
8. Kejadian ini memberikan pengajaran kepada saya agar lebih berwaspada. Mudah-mudahan, saya berdoa, saya dan saudara yang membaca entri ini akan lebih berhati-hati kerana penjenayah seperti itu ada di mana-mana. Jikalau boleh berlaku kepada saya, tidak mustahil akan berlaku juga kepada saudara. Mudahan-mudahan perkara ini dijauhkan oleh Allah daripada menimpa kita.
9. Pengajarannya, belajar daripada kesilapan diri sendiri sangat baik, tetapi saya percaya bahawa belajar daripada kesilapan orang lain jauh lebih baik...fikirkanlah wahai rakan-rakan sekalian...