Thursday, February 26, 2009

CERAMAH: KURSUS TATABAHASA DAN MDK DI KLUANG

1. Hari ini saya telah diundang ke Kluang untuk bersama-sama dengan guru Bahasa Melayu daerah Kluang. Program anjuran DBPWS dan JKD BM daerah Kluang ini diadakan di Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Kandungan kursus pada hari ini ialah Tatabahasa dan Majalah Dalam Kelas (MDK).
2. Sebelum saya meneruskan bicara, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Puan Siti Hajar (DBPWS) yang memberikan kepercayaan kepada saya dan staf DBPWS (Shahrul, Ezwan, dan Sheila) yang membantu saya sepanjang kursus.

3. Kepada Tuan Haji Musa, Tuan Haji Azmi, dan AJK program, terima kasih kerana memberikan sokongan dan menunjukkan komitmen yang sungguh tinggi untuk menjayakan program.

4. Kepada rakan-rakan lama, Cikgu Ululazmi dan Cikgu Nizar, terima kasih kerana menjadi peserta saya.

5. Kepada Encik Bahri (pengedar majalah DBP), terima kasih kerana membekalkan nota MDK kepada peserta. Kepada peserta, saya percaya dan yakin bahawa kalian merupakan peserta yang cukup bersemangat dan berdisiplin tinggi! Tahniah!

6. Sepanjang kursus, saya mengemukakan dan membincangkan pelbagai perkara tentang tatabahasa yang mutakhir.

7. Antara yang dibincangkan termasuklah:

a. ejaan yang betul

b. imbuhan yang tepat

c. ayat yang lengkap

d. kesalahan ayat dan pembetulannya

e. penggunaan majalah Dewan Pelajar di dalam kelas

9. Daripada kursus pada hari ini, saya berharap agar peserta dapat menggunakan dan mengaplikasikan kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh untuk membantu anak-anak murid di sekolah.

10. Saya berharap agar guru-guru BM yang masih tidak ada buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga dan Kamus Dewan Edisi Keempat supaya segera mendapatkannya kerana tanpa rujukan daripada kedua-dua sumber itu, kita akan gagal menjadi guru BM yang baik.

11. Saya menegaskan bahawa guru-guru yang tidak berhasrat untuk membeli dan menelaah naskhah tersebut bersegeralah untuk menukar opsyen kerana itulah kitab atau pegangan kita sewaktu mengajarkan BM. Tanpanya, kita bagaikan sebuah perahu yang kehilangan arah.

12. Mungkin agak keras pandangan tersebut, tetapi itulah realitinya. Tanpa TD dan KD, tidak mungkin kita akan menjadi guru BM yang cemerlang! Ya, tidak mungkin! Berdasarkan pengalaman saya, saya tidak pernah bertemu dengan guru yang cemerlang dalam BM yang tidak menggunakan sumber rujukan tersebut.

13. Saya percaya bahawa guru-guru memahami maksud saya. Dengan nama Allah, saya tidak berhasrat untuk memperkecil sumbangan dan pengetahuan guru-guru, namun saya perlu menyatakan hal yang sebenarnya bahawa sebagai guru, kita perlu menguasai bidang kita dengan baik dan sentiasa belajar. Sebab itulah, saya yakin bahawa guru yang baik perlu lebih banyak belajar daripada mengajar!

14. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk memohon maaf jikalau saya melakukan kesilapan sepanjang kursus.

15. Namun begitu, saya pasti guru-guru telah memperoleh banyak dan pelbagai maklumat baharu!

16. Saya percaya bahawa guru-guru membawa pulang pengalaman dan pengetahuan yang sangat berguna dan mampu mendorong guru-guru untuk terus belajar dan berusaha untuk menguasai BM dengan sebaik-baiknya.

17. Sekiranya ada kemusyiklan atau keraguan tentang BM, khususnya tentang tatabahasa, hubungilah saya, Insya-Allah, saya sedia membantu guru-guru kerana ilmu yang saya sampaikan itu merupakan sedekah kepada anak-anak murid kita. Itulah amal jariah yang akan menolong kita suatu ketika nanti.

18. Akhir sekali, saya berasa sangat berbangga dan gembira dapat bertemu dengan guru-guru BM seluruh daerah Kluang pada hari ini.

19. Sampai kita berjumpa lagi pada masa yang akan datang. Saya berdoa dan berharap agar kita dapat bersemuka lagi dalam siri ceramah yang lain. Tuan-tuan merupakan guru BM yang sungguh hebat dan mantap!

20. Terima kasih kerana menjadi peserta saya pada hari ini. Tuan-tuan sumber inspirasi saya. Marilah kita bersama-sama untuk mengangkat martabat BM. Marilah kita berusaha untuk mempertahankan BM. Kepada siapakah yang dapat kita harapkan lagi?
nota: Jika guru-guru/pihak sekolah ingin melanggan majalah terbitan DBP, hubungi Encik Bahri (Pengurus Pentas Ilmu Sdn. Bhd.)
Telefon - 012-7119030

PPSMI: PIBG SELURUH NEGARA BANTAH PPSMI

Jimadie Shah Othman Feb 26, 09 1:57pm (Malaysiakini)

Gerakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima lonjakan sokongan apabila Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pula menyokongnya.Gabungan nasional PIBG tidak rasmi kira-kira 8,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara pertama kali hadir ke mesyuarat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) di ibu negara, Isnin lalu.
Pengerusi PIBGN Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, sokongan majlis tersebut terhadap GMP bagi mendesak pemansuhan PPSMI, termasuklah sedia terlibat dalam perhimpunan raksasa 100,000 orang di Istana Negara pada 7 Mac."Kita minta kerajaan membuat keputusan segera. Jangan sampai ibu bapa turun buat demonstrasi, termasuklah di jalanan secara haram.


"Sekarang ini trend penduduk tidak lagi khuatir (berdemonstrasi), seperti juga amalan bangsa-bangsa lain (di seluruh dunia). "Kita mahukan keadaan aman, (kerajaan perlu) buat keputusan segera. Jangan tunggu selepas perhimpunan Umno (24 – 28 Mac ini) atau tahun depan baru hendak buat keputusan," katanya.


GMP menganjurkan perhimpunan besar minggu depan bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung dasar itu.Mohamad Ali turut mengkritik persidangan meja bulat anjuran Kementerian Pelajaran bagi membincangkan pelaksanaan PPSMI yang didakwanya “tidak begitu bebas”."Kita perlukan kajian yang benar-benar bebas. Mungkin sudah tiba masanya kita menubuhkan suruhanjaya bebas bagi mengkaji pelaksanaan PPSMI. "(Sidang) meja bulat ini kita lihat tidak begitu bebas. Tidak ada laluan yang luas," kata Mohd Ali.


Katanya, PIBGN hadir kesemua lima kali persidangan meja bulat kementerian dan membantah PPSMI dalam pertemuan itu tetapi ia tidak memberikan sebarang kesan apabila dasar itu terus diamalkan sejak enam tahun lalu.Mengulas pelaksanaan dasar kontroversi itu, beliau menyifatkan PPSMI gagal kerana dikendalikan oleh guru yang kebanyakannya "tidak berdaya" dan "tidak cukup latihan"."Insentif 10 peratus kenaikan gaji yang diberikan kepada mereka yang terlibat dalam PPSMI tidak nampak setimpal dengan kenaikan tersebut. Prestasi mereka sepatutnya lebih daripada 10 peratus," katanya.


Selain itu, Mohd Ali menambah, PPSMI mengakibatkan banyak pembaziran apabila guru-guru terlibat yang dibekalkan komputer riba bagi membantu pengajaran tetapi gagal memanfaatkan sepenuhnya."Begitu juga dengan perisian-perisian yang tidak dimanfaatkan. Hanya 1/3 perisian pengajaran (daripada kira-kira 25 jenis) yang dicadangkan oleh kementerian digunakan," katanya.GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad dianggotai kumpulan NGO dan sayap-sayap Pemuda PKR dan PAS.

Monday, February 23, 2009

SUATU KEHILANGAN: TOK YANG KEMBALI KE RAHMATULLAH

1. Hari ini, jam 2.45 petang, saya menerima panggilan telefon daripada seorang saudara, Mak Su Shun.
2. Selepas memberikan salam, dan saya menyambut salamnya, dia berkata
"Ard, Tok Asa tak dak dah".
3. Innalillah...itulah sebaris ayat yang mampu saya katakan.
4. Tok yang saya kasihi telah kembali ke rahmatullah. Tok yang amat mengasihi saya telah kembali menemui Allah s.w.t. Pukul 2.30 petang tadi.
5. Terus terbayang di kelopak mata saya, wajah seorang tua yang bersinar. Selama saya hidup, tidak pernah walau sekalipun saya melihat wajahnya berkerut atau rusuh.
6. Minggu lepas, ketika dia masih terlantar di hospital saya menghubungi Mak Su Shun, dan saya sempat berbicara dengan Tok.
7. Saya menyatakan bahawa saya tidak dapat pulang menjengahnya kerana jarak yang jauh. Dia faham keadaan saya. Dia berkata bahawa dia semakin baik. Esok dia akan keluar dari hospital. Saya bersyukur kerana kesihatannya makin pulih. Dia mengalami masalah jantung.
8. Yang mengharukan saya ialah ketika bercakap dengannya, dia berkata begini;
"Tok ingat kat Ard. Tok ingat kat Ard". (Ard ialah nama timangan saya di kampung)
9. Saya tidak dapat menafikan bahawa Tok sangat mengasihi saya. Apabila saya berada di kampung, dia akan menunggu saya datang ke rumahnya. Terpancar kegembiraan apabila saya menziarahinya. Saya akan memeluk Tok dan mencium pipi Tok. Bergenang air mata Tok setiap kali saya memeluknya.
"Ard, jangan lupa mai ghumah Tok bila balik"
"Hangpa dulu Tok yang jaga."
10. Tapi, Tok sudah tiada...
11. Tok akan dikebumikan pukul 10 pagi esok.
12. Ard tahu Tok sangat sayang kepada Ard. Tok selalu beritahu orang bahawa Ard mengambil berat tentangnya. Ard sentiasa teringat Tok. Ard tak dapat memeluk Tok lagi. Dua hari lepas Ard bercerita kepada Sue bahawa gulai Tok sedap kerana Tok guna rempah giling. Sejak kecil Ard makan gulai Tok walaupun gulai itu sudah dua hari dimasak tetapi tidak basi.
13. Ard sedih kerana tak dapat memberikan sedikit wang belanja kepada Tok lagi. Tok mengalirkan air mata apabila Ard bersalam dan menghulurkan sedikit wang apabila Ard balik.
14. Kali terakhir Ard jumpa Tok ketika cuti penggal dulu, bulan 11 dan 12.
15. Ard bawa Tok ke rumah sepupu Ard di Permatang Indah, pergi ke rumah Mak Tih di Permatang Kerai. Tok tak pernah naik kereta Ard. Itulah kali pertama, dan itulah kali terakhir.
16. Ard sedih kerana tak dapat melihat wajah Tok untuk kali terakhir. Ard sangat sedih, Tok!
17. Maafkan kesalahan Ard, Tok. Semoga Tok tenang di sisi Allah. Semoga Tok dikumpulkan dengan orang beriman dan bertakwa. Semoga dosa Tok akan diampunkan Allah. Semoga amal ibadat Tok akan diterima Allah. Semoga Tok akan menjadi kekasih Allah.
18. Ard tidak dapat menulis lagi...Ard menangis, Tok. Ya, Allah, Engkau rahmatilah Tok yang aku kasihi...

Friday, February 20, 2009

TATABAHASA: INI KERANA?

Salam hormat,
1. Sering saya ditanya oleh kalangan pelajar dan guru tentang terjemahan dalam bahasa Melayu bagi frasa "that is because".
2. Pertama sekali, yang perlu kita sedari ialah penggunaan "ini kerana" merupakan terjemahannya yang sering digunakan, oleh hampir kebanyakan masyarakat dan media.
3. Saya ingin menyatakan bahawa frasa "ini kerana" tidak tepat, dan kesilapan ini telah lama dibetulkan. Saya percaya banyak guru dan pelajar telah mengetahui hal ini.
4. Maka, oleh sebab itu, bentuk yang baharu digunakan untuk menggantikan frasa "ini kerana", iaitu "hal ini demikian kerana".
5. Namun begitu, persoalannya, adakah bentuk "hal ini demikian kerana" itu betul?
6. Mari kita kaji hal ini secara ringkas.
7. Ayat mestilah terdiri daripada subjek dan predikat. Subjek terdiri daripada frasa nama manakala predikat boleh terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama.
8. Bagi bentuk "hal ini demikian kerana", yang manakah yang menjadi subjeknya?
9. Ya, subjeknya ialah "hal ini". Bagaimanakah pula dengan predikatnya?
10. Adakah predikatnya, "demikian kerana"?
11. Jikalau bukan, adakah "demikian"?
12. Banyak orang beranggapan bahawa "demikian" ialah predikatnya, dan "kerana" merupakan keterangan predikat.
13. Ya, itulah pegangan kebanyakan orang. Tetapi, jikalau kita menyatakan bahawa "demikian" itu menjadi predekikatnya, apakah golongan katanya.
14. Saya telah menyatakan bahawa predikat hanya terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama.
15. Jelas sekali, perkataan "demikian" tidak tergolong dalam mana-mana golongan kata yang boleh dijadikan konstituen predikat. Perkataan "demikian" merupakan golongan kata adverba. Untuk makluman, golongan kata adverba merupakan jenis kata baharu yang disenaraikan dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008).
16. Dan, kata adverba tidak boleh dijadikan konstituen predikat kerana kata adverba merupakan kata tugas.
17. Oleh sebab itu, bentuk "hal ini demikian kerana" tidak tepat kerana bentuk tersebut tidak mempunyai predikat.
18. Untuk membetulkannya, kita perlu memasukkan unsur predikat agar bentuk yang terbina betul.
19. Unsur predikat yang dicadangkan adalah seperti "berlaku" dan "terjadi". Bentuk yang terbina akan menjadi "hal ini berlaku demikian kerana" ataupun "hal ini terjadi demikian kerana".
20. Subjeknya ialah "hal ini"; predikatnya "berlaku/terjadi"; dan "demikian" merupakan adverba atau keterangan bagi kata kerja "berlaku/terjadi". Perkataan "kerana" tetap menjadi keterangan predikat.
21. Oleh sebab itu, elakkanlah penggunaan bentuk "ini kerana" atau "hal ini demikian kerana" agar mutu tatabahasa kita terpelihara dan kesilapan dapat dielakkan. Mulai sekarang, gunakanlah bentuk "hal ini berlaku demikian kerana...".

* Jika pengunjung memerlukan khidmat nasihat tentang tatabahasa, saya sedia membantu saudara kerana saya percaya bahawa bantu-membantu akan menjadikan kita lebih dewasa dan berfikiran terbuka, luas, dan inilah salah satu cara untuk mengangkat martabat bahasa Melayu.

Tuesday, February 17, 2009

KEWANGAN: TEMU BUAL DENGAN IRFAN KHAIRI (JUTAWAN INTERNET)

PELUANG PERNIAGAAN MELALUI INTERNET

Bilakah IK berjinak-jinak dalam perniagaan ini, dan mengapakah ia menjadi pilihan IK?

Ok, perniagaan Internet saya telah mulakan pada tahun 1999. Ketika itu saya masih belajar lagi di universiti iaitu Staffordshire University,United Kingdom. Saya mengambil jurusan Multimedia ketika itu dan ketika belajar saya banyak surf Internet, baca-baca tentang kejayaan usahawan-usahawan Internet jadi dekat situ
saya mula menceburkan diri dalam perniagaan Internet. Mengapa jadi pilihan, sebab ia adalah bidang yang saya belajar, Multimedia. Dari sekolah lagi saya minat dalam bidang rekacipta. Kemudian di ITM, saya mengambil jurusan advertising/pengiklanan. Kemudian saya melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam bidang Multimedia, semuanya berkaitan dengan kreativiti, komputer dan rekacipta, jadi Internet memang menjadi pilihan saya. Juga, semasa muda dulu saya minat dengan perniagaan. Jadi memang dari sekolah lagi, saya nak jadi usahawan dan saya tahu 9/10 rezeki datang dari perniagaan. Jadi apabila di universiti saya
belajar mengenai perniagaan Internet, ia seperti gabungan PERNIAGAAN dan minat saya, bidang MULTIMEDIA.

Saya difahamkan IK memperolehi RM1 juta pada umur 25 tahun. Bagaimana IK memotivasikan diri untuk mencapai matlamat tersebut?

Pada umur 25 tahun, Alhamdullilah, saya memperoleh RM1 juta melalui perniagaan Internet saya, tetapi apa yang saya nak tekankan adalah matlamat saya nak jadi jutawan saya sudah mula pada umur 18 tahun iaitu sejurus selepas tingkatan 5.
Selepas SPM, saya sudah setkan matlamat, saya ingin menjadi jutawan sebelum umur 30 tahun. Jadi, saya rasa kejayaan saya dalam perniagaan Internet bukanlah ’overnight’ tetapi usaha sejak saya berumur 18 tahun lagi. Sejak umur 18 tahun, saya banyak membaca buku-buku motivasi, menghadiri ceramah, mendengar kaset motivasi. Pertama sekali untuk mencapai tahap jutawan pada saya adalah
kita perlu memotivasikan diri kita dahulu. Jadi usaha saya dari umur 18 hingga 21 adalah melengkapkan diri dari segi ketahanan motivasi kita. Berumur 22 tahun baru saya mula serius dengan perniagaan Internet, sebelum itu saya hanya belajar-belajar sahaja. Selepas kita tahu cara nak memotivasikan diri kita dari situ ia menjadi semakin mudah, Alhamdulillah, dari umur 22 tahun hingga 25 tahun, saya berjaya memperolehi RM1 juta tersebut.


Siapakah yang mengajar IK tentang selok-belok perniagaan Internet ini?

Pada asalnya, perniagaan Internet ini saya tidak mempunyai guru, tetapi saya banyak membaca. Membaca bagaimana nak memulakan perniagaan di Internet. Tetapi perniagaan di Internet ini tidak mempunyai banyak buku. Sebab itu, saya sendiri menulis buku Rahsia Jutawan-Jutawan Internet Terbongkar, boleh didapati di kedai-kedai buku sebagai usaha untuk mempertengahkan perniagaan Internet. Kalau tak,
memang kita kena belajar dari Internet bagaimana untuk memulakan perniagaan di Internet. Selepas tamat pengajian di United Kingdom saya bekerja dengan sebuah syarikat, Netmedia Ltd. Di situ saya bekerja sebagai konsultant dan bos saya pun telah menjalankan perniagaan Internet pada ketika itu. Di situ, bos saya juga ada mengajar saya tentang perniagaan Internet. Selain itu juga, saya banyak menghadiri kursus-kursus Internet untuk melengkapkan diri tentang perniagaan Internet. Memang ilmu amat penting untuk mencapai apa jua kejayaan.


Sekiranya saya ingin memulakan perniagaan Internet, di manakah patut saya mula?

Untuk memudahkan penjelasan, perniagaan Internet ini terbahagi kepada 4. Bahagian pertama kena ada produk dan perkhidmatan. Kedua kita kena ada laman web. Ketiga kita kena ada kebolehan menerima bayaran daripada pelanggan kita. Dan keempat adalah promosi. Saya rumuskan, pertama anda kena ada produk contohnya buku atau barang kecantikan. Bila dah ada produk, akan ke langkah kedua. Langkah kedua, anda perlu ada laman web untuk paparkan produk anda. Tak semestinya anda membina sendiri laman web tersebut. Anda juga boleh mengupah seseorang untuk binakan untuk anda. Langkah ketiga adalah kebolehan menerima bayaran. Contohnya apabila seseorang ingin membeli daripada laman web anda, pelanggan boleh menggunakan kad kredit dan bayaran boleh disalurkan ke bank anda. Kebolehan ini dipanggil sebagai ’merchant account’. ’Merchant account’ bertindak seperti orang tengah yang menerima bayaran dalam bentuk kad kredit bagi pihak anda dan menyalurkan kepada bank. Ia seperti pelanggan anda bayar kepada anda tetapi melalui ’merchant account’ terlebih dahulu. Jadi nombor satu kita kena ada produk,nombor dua laman web untuk menjual, ketiga kebolehan menerima bayaran. Apa yang saya sebutkan tadi ’merchant account’ menerima bayaran dari segi kad kredit. Kalau tidak ada ’merchant account’ masih boleh menjalankan perniagaan Internet iaitu pelanggan boleh bank-in straight ke akaun anda. Sekarang banyak perbankan online yang ditawarkan seperti maybank2u, cimb clicks dan sebagainya. Jadi pelanggan hanya perlu transfer wang ke akaun anda, dan anda boleh hantarkan produk. Selain itu, mereka juga boleh membuat bayaran melalui check, wang pos dan banyak lagi. Dan yang keempat adalah promosi. Promosi ini adalah amat
penting kerana promosi ini adalah kita perlu dedahkan kepada orang ramai. Sebab kalau kita tak dedahkan kepada orang ramai, orang pun tak tahu laman web kita di mana. Contohnya laman web saya www.rahsiaInternet.com dan ww.irfankhairi.com
orang tak akan tahu kalau saya tak hebahkan. Jadi kena hebahkan, iaitu langkah keempat promosi. Cara nak hebahkan ada banyak cara. Kalau tak silap saya, nanti ada soalan cara nak promosi laman web. Itu saya akan jawab nanti.

Bolehkah saya sebagai seorang pelajar memulakan perniagaan Internet ketika masih menuntut?

Kalau dulu-dulu saya cakap baik fokus dalam belajar. Tapi sekarang tak bolehlah sebab saya juga mula pada peringkat universiti. Jadi nasihat saya ialah, boleh kita mulakan sebab perniagaan Internet ini kita boleh buat secara part-time. Jadi, pelajar juga boleh mulakan perniagaan Internet seperti saya, cuma saya nak tekankan jangan abaikan pendidikan. Pendidikan amat-amat penting.

Untuk perniagaan Internet, perlukah kita mempunyai produk kita sendiri?

Sebenarnya tidak, perniagaan Internet anda tidak perlu ada produk sendiri. Anda boleh beli katakan buku dari penerbit kemudian jual semula di Internet. Ataupun anda boleh beli barang dari pemborong dan kemudian jual balik di Internet, tak
semestinya produk itu, produk milik anda, anda yang buat sendiri atau cipta sendiri.
Contoh katakan di Nilai, Negeri Sembilan ada banyak pasar borong dan tiba-tiba kita ternampak ukiran ayat Al-Quran. Anda boleh beli ukiran tersebut pada harga yang ditetapkan ataupun borong dengan banyak dan kemudian jual semula di Internet di
laman web. Dan untuk jawab soalan tadi, tak semestinya kita sendiri buat ukiran itu baru jual. Kita boleh jadi seperti orang tengah, kemudian kita jual pada pihak lain.

Adakah sebagai suri rumah, kita boleh meniagakan perniagaan di Internet?

Perniagaan adalah amat-amat sesuai bagi golongan suri rumah terutamanya bagi mereka yang nak bekerja di rumah contohnya SOHO, small office, home office.
Sebab dengan kemudahan Internet, memang mudah ada Streamyx, Digi, Celcom, Maxis dan jalur lebar yang memudahkan kita melayari Internet. Mesin faks dan telefon juga murah sekarang. Scanner, printer dan semua peralatan ini murah
sekarang. Dan kita boleh mula home office kurang dari RM500. Jadi sebagai seorang suri rumah, oleh kerana perniagaan Internet kita bebas buat pada bila-bila waktu memang ianya amat sesuai.Malam atau pagi kita boleh jalankan perniagaan Internet.

Berapakah kos untuk memulakan perniagaan Internet ini?

Untuk perniagaan Internet, kita lihat dari kos pengendalian. Tadi yang saya sebut RM500 adalah kos membeli peralatan contohnya akses Internet dan sebagainya. Tetapi mungkin saya tak masukkan kos komputer kerana saya assume semua ada komputer sekarang ini. Untuk perniagaan Internet kita kena bayar sewa bulanan sama seperti kalau kita ada perniagaan bukan Internet, kita kena ada sewa bulanan untuk sewakan kedai kita. Katakanlah di luar sewa sebuah kedai RM1000 setiap bulan untuk menjalankan perniagaan kita. Perniagaan Internet berbeza sikit, tetapi yang sama ialah kita masih lagi mempunyai sewa. Sewa dalam bentuk web hosting maknanya kita kena ada tapak di Internet dan sewa di Internet. Cuma yang menarik adalah untuk menyewa tapak di Internet atau web hosting ini kosnya hanya RM10 - RM15 setiap bulan. Itu sudah cukup untuk menjalankan perniagaan Internet.
So dari segi kos, sebulan RM10 - RM15 sudah cukup untuk menjalankan perniagaan Internet cuma mungkin sebagai tambahan mungkin kita mahu laman web kita lebih canggih,seperti boleh menerima bayaran jadi mungkin di situ memerlukan tambahan bayaran. Kemudian mungkin memerlukan perkhidmatan seperti email, autoresponder ada sedikit lagi kos. Tetapi rata-rata, kos boleh katakan kurang RM300 setahun. Kalau anda tengok laman web saya www.rahsiaInternet.com atau
www.irfankhairi.com , kosnya hanya RM200 - RM300 setahun dan walaupun kos yang rendah, kita boleh mendapat pelanggan satu Malaysia yang sekarang ini 14 juta pengguna Internet Malaysia ataupun kalau laman web kita Inggeris kita boleh mendapat pelanggan satu dunia iaitu 1. 2 billion pengguna Internet di dunia.
Jadi kalau kita bezakan harga, memang amat rendah, kurang dari RM300 setahun kita dapat mencapai berjuta-juta pengguna Internet ini.


Apakah perbezaan perniagaan Internet dengan pelaburan Internet?

Bagi perniagaan Internet, kita ada produk atau perkhidmatan dan kita niagakan produk dan perkhidmatan tersebut. Jika ada pertukaran wang, kita balas balik dengan pertukaran produk atau perkhidmatan kita. Jadi itu adalah perniagaan Internet. Ia adalah lebih kurang sahaja seperti kedai-kedai di luar sana, kedai runcit,
kedai baju dan sebagainya. Pelaburan Internet pula tiada produk atau perkhidmatan bertukar tangan. Hanya orang yang laburkan wang dan kemudian tunggu
pulangan wang itu datang. Cuma ramai yang keliru, bukan semua pelaburan Internet itu haram, jika untuk meyakinkan yang mana betul, anda perlu ke institusi kewangan yang dikenali seperti CIMB, Public Bank, Maybank dan sebagainya. Mereka juga berkebolehan membuat pelaburan melalui Internet. Sebenarnya apa yang menjadi isu dulu adalah kerana terdapat syarikat-syarikat daripada luar yang tidak tahu latar belakangnya menjalankan pelaburan Internet dan membuatkan beribu-ribu orang tertipu. Jadi jauhkan dari pelaburan Internet yang sebegitu.
Tapi saya galakan buat pelaburan Internet melalui institusi-institusi kewangan yang disahkan.


Apa yang dapat kita lihat, terlalu banyak persaingan dalam perniagaan Internet ini. Apa pandangan IK?

Persaingan dalam perniagaan Internet memang tinggi, tapi kalau kita tengok dalam perniagaan bukan Internet, persaingan tetap juga tinggi, sama juga seperti MLM, insurans, hartanah, takaful dan lain lain. Dalam apa saja perniagaan, persaingan memang tinggi. Apa yang bezakan Internet adalah ia satu perniagaan tanpa batas kerana boleh mencapai satu dunia. Bila mencapai satu dunia, persaingan juga satu dunia. Bila pencapaian kita amat besar seperti ini, kalau nak dibandingkan dengan 1. 3 billion pengguna, akan membuatkan pesaing-pesaing amatlah rendah. Bahkan sekarang, permintaan produk adalah lebih tinggi daripada pengeluaran yang dibuat jadi sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk memulakan perniagaan Internet kerana walau pesaing ramai tetapi looking at the bigger picture pengguna Internet adalah terlalu ramai.

Apakah tahap kepercayaan rakyat Malaysia terhadap perniagaan Internet ini?

Secara jujurnya kepercayaan rakyat Malaysia agak kurang tapi bukan sangat kurang kalau dibandingkan pada mula saya mulakan perniagaan Internet di Malaysia iaitu waktu saya keluarkan buku pertama saya Rahsia Jutawan Internet Terbongkar pada tiga tahun lepas. Ketika itu, kepercayaan adalah agak kurang kerana perniagaan
Internet agak baru di Malaysia tetapi selepas tiga tahun, sekarang ini makin ramai percaya dan membuatkan rasa mudah untuk menjual dan membeli. Dan lebih-lebih lagi dengan ada perkhidmatan seperti online banking, pembayaran saman online, banyak perkhidmatan online yang ditawarkan oleh kerajaan dan pihak-pihak swasta. Jadi kepercayaan semakin meningkat dan saya percaya akan terus meningkat tahun depan, 2, 3 tahun lagi jauh lebih ramai lagi. Kalau di Malaysia masih baru lagi penerimaan Internet, jika semasa saya belajar di United Kingdom, kalau saya ingin membeli barang-barang makanan seperti beras, buah-buahan dan sebagainya, saya hanya buka komputer dan masuk URL kedai yang berhampiran dan kemudian 2, 3 jam selepas itu, ada orang yang akan menghantar barang-barang tersebut di rumah saya. Boleh dikatakan di Barat sudah lama menerima Internet ini sebagai satu gaya hidup oleh kerana perniagaan Internet sudah mula kira-kira 15 tahun dahulu. Tetapi di sini masih lagi baru dan masyarakat masih mengambil masa untuk menerima.
Tetapi sekarang, Alhamdulillah sekarang saya tengok orang sudah mula membeli dari Internet jadi boleh kata kepercayaan semakin meningkat.

Saya tidak mempunyai produk sendiri untuk dijual di Internet, bagaimana perniagaan Internet dapat membantu saya?

Kalau kita tidak ada produk sendiri, kita boleh menjadi seperti orang tengah, tak semestinya produk yang kita jual itu produk sendiri, contohnya kita boleh beli buku dari penerbit. Katakan satu buku itu RM40, tetapi jika kita beli dari penerbit terus mungkin dalam RM20 sebuah. Dari dari situ kita dah dpt margin untung dah dan kita boleh jual kembali buku itu di Internet pada harga RM40, keuntungan satu RM20.

Apakah produk yang terbaik untuk dijual di Internet?

Produk yang boleh dikatakan produk terbaik untuk dijual saya boleh kata produk-produk informasi. Daripada penyelidikan yang dilakukan, kebanyakan pengguna Internet menggunakan Internet mencari informasi. Sekarang pun kita panggil zaman informasi kan, jadi informasi adalah paling banyak orang mencari di Internet. Jadi dari situ kita boleh tahu produk yang terbaik dijual di Internet adalah produk
informasi. Tetapi tidak bermakna kita tidak boleh menjual produk lain, tetapi
itu boleh dikatakan produk terhangat di Internet. Jadi yang terhangat di pasaran adalah seperti buku, cd motivasi, manual dan sebagainya. Produk-produk informasi adalah produk yang terhangat di pasaran pada zaman ini


Bagaimanakah perniagaan Internet dapat membantu perniagaan insurans?

Perkhidmatan juga boleh dijual di Internet seperti ejen insurans, ejen hartanah dan juga ejen kewangan. Semua ini perkhidmatan tetapi perkhidmatan ini adalah produk anda. Jadi jika ejen insurans, bayangkan anda ejen insurans, berapa pelanggan anda dapat berjumpa sehari? Mungkin jumpa 3 atau 4 prospek sehari. Tetapi bayangkan anda ada laman web. Anda akan target satu Malaysia iaitu 14 juta pengguna Malaysia. Bayangkan beratus orang boleh masuk ke web anda dalam sehari dan mendapat maklumat daripada anda. Kos anda pula hanya RM10 atau RM15 sehari, berbanding sehari anda boleh mencapai lebih ramai prospek jadi walaupun anda tidak ada produk, karier anda dalam bidang perkhidmatan seperti ejen insurans, penasihat kewangan, motivator, anda perlu mempunyai laman web. Bila anda ada laman web, anda akan mencapai lebih ramai pelanggan. Jika dilihat semasa saya belajar dahulu di di luar negara, semua ajen hartanah mempunyai laman web mereka sendiri. Jika anda search di Google berkenaan ajen hartanah di USA atau UK, anda akan dapati beribu-ribu ajen hartanah di sana telah mempunyai laman web mereka sendiri.
Tapi kita di sini masih tak nampak keberkesanan itu jadi walaupun kita ada perkhidmatan ejen hartanah, ejen insurans jika kita ada laman web, kita boleh capai lagi ramai pelanggan


Adakah semua jenis produk boleh dijual di Internet?

Produk yang besar, berat, mudah pecah tidak boleh dijual di Internet. Produk yang cepat busuk contohnya makanan sukar dijual dalam Internet. Tetapi jangan lupa ada juga produk-produk di mana pelanggan perlu sentuh, perlu hidu, perlu pakai baru orang akan beli. Contoh katakan kasut, kasut walaupun tidak besar dan boleh dihantar dan boleh diniagakan dalam Internet tetapi boleh dikatakan kurang
efektif kerana bila kasut orang selalunya nak cuba. Katakan walaupun saiz sudah tahu, tetapi mereka masih nak cuba untuk tahu selesa atau tidak kasut tersebut.
Jadi contoh-contoh produk yang kita perlu cuba dahulu sebelum membeli sukar sedikit untuk dijual di Internet. Bukan tak boleh tetapi kurang efektif. Lagi satu ialah baju, kadang-kadang kita perlu tengok dahulu materialnya, perlu tahu muat atau tak

Katakan saya tidak mahir dalam bidang IT, bagaimana saya nak memulakan perniagaan Internet ini?

Saya kenal ramai orang yang tidak mempunyai latar belakang IT yang boleh memulakan perniagaan Internet dengan sempurna. Sebabnya, anda tidak perlu pengetahuan IT yang mendalam untuk menjalankan perniagaan Internet. Bagi saya cukup jika anda tahu menggunakan Microsoft Word atau anda selalu check email, anda tahu sedikit tentang online banking. Perkara-perkara asas seperti itu sudah cukup untuk anda mulakan perniagaan di Internet. Ramai yang takut, tidak tahu membina laman web. Tak tahu membina laman web tidak mengapa kerana kita boleh mengupah orang membina laman web untuk kita. Tak semestinya kita bina sendiri. Sama juga jika kita hendak jual burger, tak semestinya kita bina gerai burger itu, kita beli gerai burger yang dah siap atau kita upah orang membina gerai burger sama juga macam Internet, benda yang kita tidak tahu dalam bidang IT contohnya membina
laman web, kita upah sahaja kepada orang lain.


Bagaimanakah hendak mempromosikan perniagaan Internet kita supaya dapat menarik pelanggan?

Salah satu cara kita boleh membuat promosi adalah dengan pertukaran link. Di mana kita mencari usahawan yang menjual produk similar dengan kita, bukan serupa tapi similar ataupun dari industri yang sama dan kita bertukar link. Contoh saya nak jual batik online, dan ada seorang lagi menjual kain tenun online. Jadi kita bertukar link, di laman web saya, saya mempromosikan laman web dia iaitu kain tenun, dan di laman web dia, dia mempromosikan kain batik saya. Jadi itulah antara cara-cara promosi di mana pelawat-pelawat dia yang nak beli kain tenun ternampak iklan kain batik. Jadi dia akan datang ke laman web kita dan beli daripada kita. Sama juga kita
mempromosikan kain tenun, jadi pelawat laman web kita akan berkunjung ke laman web kain tenun.


Apakah kebaikan perniagaan Internet?

Kos permulaannya yang rendah! Contohnya jika kita membuat perniagaan offline, kita sudah tentu perlu membayar sewa bulanan kedai RM1000. Tetapi jika perniagaan Internet, anda hanya perlu membayar sewa RM10-RM15 sahaja sebulan. Kos bulanan yang amat rendah. Ini adalah kerana kita berniaga dari rumah.
Kebaikan yang kedua adalah pencapaian pelanggan Internet adalah satu dunia. Jika kita melakukan perniagaan offline. Kedai kita mungkin mampu mencapai pelanggan di sekitar itu sahaja. Tetapi jika Internet, kita dapat target 1 Malaysia iaitu 14 juta
pengguna Internet. Kita juga boleh target pasaran dunia iaitu 1. 2 billion pengguna Internet dan semua ini pada kos yang rendah. Satu lagi kebaikan adalah oleh kerana perniagaan Internet boleh dijalankan di rumah, jadi kita dapat menentukan masa bekerja selain daripada elak dari traffic jam jika bekerja di luar


Apakah peluang kita sebagai rakyat Malaysia membuat perniagaan Internet ke seluruh dunia?

Oleh kerana Malaysia adalah lokasi yang strategik, maka terdapat peluang adalah baik dan lebih-lebih lagi, pengguna Internet yang paling ramai adalah terletak di Asia. Kajian juga menunjukkan dalam 5 pengguna Internet, 3 adalah daripada Asia. Jadi, oleh kerana Malaysia terletak di tengah-tengah Asia,jadi kos penghantaran adalah amat rendah berbanding dengan usahawanusahawan di Amerika Syarikat katakan, ataupun di Eropah

Bagaimana meningkatkan jenama perniagaan Internet kita?

Pertama sekali memasuki pemikiran pengguna! Jangan fikir ia adalah sukar untuk menjadi yang pertama di pasaran. Di Malaysia contohnya banyak lagi ruang-ruang perniagaan yang kosong. Contohnya anda menjual baju renang untuk muslimah, anda sudah tentu menjadi yang pertama. Pelbagai perniagaan Internet, yang anda boleh mulakan sekarang, tanpa pesaing. Coca-cola contohnya kita tahu menjadi yang pertama sebagai minuman berkarbonat, oleh sebab itu ia menjadi pilihan ramai. Jadi ianya adalah amat penting untuk menjadi yang pertama di pasaran supaya kita dapat membina jenama yang kukuh dalam minda pelanggan kita.

Perlukah kita mempunyai logo untuk perniagaan Internet kita?

Anda memang perlu mempunyai logo untuk perniagaan Internet kita. ”A picture paints a thousand words” adalah kata yang bermaksud imej memberi bermacam-macam tanggapan dan mencerminkan berbagai-bagai keunikan produk kita. Logo juga adalah sebahagian daripada membina jenama. Logo juga merupakan first contact antara pelanggan anda dan laman web anda dan membuatkan mereka juga lebih mudah mengenali anda.

Bagaimana logo yang terbaik?

Boleh dikatakan logo yang memanjang sedikit, atau bukan seperti segitiga, kerana segitiga dikatakan mempunyai banyak kelemahan dari segi visual. Warna yang dipilih juga perlu warna yang kuat seperti merah, biru, hijau antara warna-warna yang kuat.
Logo ini juga perlu ada logo dan teks ataupun teks sahaja sudah cukup. Terbaik adalah teks sahaja. Contohnya Dell dan Microsoft, hanya teks, tetapi oleh kerana keunikan dalam rekaan teks tersebut, orang ramai mudah ingat.

Apakah cara untuk memberi keyakinan orang ramai untuk membeli produk kita?

Caranya adalah tunjukkan kepakaran anda. Sebaiknya jika memulakan perniagaan Internet, mulakan perniagaan yang anda minat. Sebagai contoh, jika anda minat menjahit, maka perniagaan Internet anda juga adalah berkaitan dengan jahitan.
Kalau anda minat sukan bola sepak, anda boleh meniagakan yang berkaitan dengan bola sepak contohnya jersi bola sepak dan peralatan permainannya. Jika anda membuat perniagaan tentang apa yang anda minat, anda boleh menceritakan lebih banyak tentang perniagaan anda. Katakan perkhidmatan, dan anda adalah seorang agen hartanah, buat satu laman web dan cerita tentang hartanah, di mana kawasan hartanah yang baik, apa yang perlu ada di satu-satu lokasi untuk membuat harga tanah tinggi dan sebagainya. Tunjukkan anda pakar dalam sesuatu bidang. Secara automatik, orang akan yakin dengan produk dan perkhidmatan anda

Bagaimana hendak memulakan perniagaan Internet sekiranya kita tidak mempunyai produk sendiri?

Caranya adalah dengan menyertai program affiliate. Affiliate adalah di mana kita tidak mempunyai produk, tetapi kita memasarkan produk usahawan lain, dan kemudian kita menerima bayaran dari usahawan tersebut. Sebagai contoh syarikat DELL dan amazon. com yang menjalankan program affiliate. Contohnya jika kita menyertai program affiliate amazon dan seseorang membeli sesuatu di amazon melalui laman web kita, kita akan menerima bayaran. Sebaiknya jika kita menyertai program affiliate, sertai program yang berkaitan dengan minat atau industri kita

Bagaimana membuat laman web kita muncul di muka surat pertama di enjin pencari?

Cara mudah adalah pay per click. Contohnya di google, akan muncul di tepi dan bertajuk sponsored advertisement. Setiap kali, orang klik iklan tersebut, kita perlu bayar enjin pencari tersebut. Bayaran yang enjin pencari itu kenakan adalah bergantung kepada produk atau perkhidmatan yang kita niagakan dan juga persaingan yang sedia ada. Jadi satu tip jika menggunakan pay per click adalah beritahu harga dan apakah sebenarnya produk anda supaya orang ramai tidak hanya klik.

Apakah yang dimaksudkan dengan back end product?

Contohnya bila kita pergi ke restoran makanan segera, apabila kita pesan makanan, penjaga kaunter tersebut akan menawarkan produk tambahan, iaitu produk susulan.
Contohnya jika kita ingin memulakan perniagaan Internet, dan kita pergi pasar borong dan membeli ukiran Al-Quran, di samping itu juga kita membeli petunjuk Al-Quran. Jadi apabila kita menjual ukiran tersebut di laman web. Tidak lama kemudian, kita membuat email susulan bertanyakan jika berminat dengan
petunjuk Al-Quran. Jadi di situ, kita bukan sahaja dapat menjual produk utama kita, malah produk yang lain. Jadi inilah yang dinamakan produk susulan atau back end product. Contoh lagi jika kita menjual laptop, back end product kita mungkin adalah mouse dan sebagainya.

Bagaimana menerima kad kredit daripada pelanggan?

Kita memerlukan akaun yang dinamakan merchant akaun. Merchant Account adalah seperti orang tengah di mana antara kita dan pelanggan. Jadi pelanggan akan memberikan maklumat kad kredit kepada Merchant Account, dan kemudian Merchant Account yang menguruskan pembayaran antara pelanggan. Kemudian, baru lah Merchant Account menyalurkan bayaran kepada kita. Namun, perlu diingat bahawa jangan kita hanya menawarkan kad kredit sebagai bayaran. Sebaiknya laman kita haruslah menawarkan dengan cara lain seperti bank in, online banking, wang pos dan sebagainya

Bagaimana nak memotivasikan diri untuk menceburi perniagaan Internet?

Seperti kita tahu, 9 daripada 10 rezeki datangnya dari perniagaan. Kajian juga menunjukkan 74% jutawan dunia datangnya dari perniagaan. Ini adalah jutawan generasi pertama, bukan jutawan dari harta yang diwarisi atau sebagainya. Pakar ekonomi juga mengatakan, dalam masa 5-10 tahun lagi, untuk menampung kos
hidup yang semakin tinggi, setiap keluarga memerlukan perniagaan. Jadi perniagaan Internet adalah salah satu pilihan perniagaan yang baik kerana kita boleh menjalankan perniagaan ini di rumah


Saya berminat dengan perniagaan Internet, bagaimana saya hendak mendalami lagi dengan lebih lanjut?

Kita tidak perlu untuk membuat sesuatu yang menakjubkan, kita hanya perlu mengikut apa langkah-langkah jutawan Internet yang telah berjaya. Baca buku kisah-kisah usahawan Internet dan juga buku-buku motivasi.

* Bahan ini tidak disunting untuk mengekalkan bentuknya yang asal - WITRA

KEWANGAN: APA YANG ANDA PERLU BUAT UNTUK MENJADI JUTAWAN?

Oleh: Irfan Khairi

Pastinya anda ingat rancangan game show yang sangat popular satu masa dahulu. So, Who Wants To Be A Millionaire? Anda ingin menjadi jutawan? Sekiranya YA, maka, berikut ada beberapa checklist untuk melihat sama ada anda layak untuk jadi Jutawan!

**Jutawan kerja > 70 seminggu. Dan bila sebut kerja, ianya betul-betul maksud kerja. Tidak membuang masa bersembang dan melakukan aktiviti-aktiviti yang membuang masa. Sering kali, merekalah yang awal sampai pejabat, dan paling lewat tinggalkan pejabat.Minda dan jiwa fokus pada kerja yang perlu dilakukan.
Sekiranyaanda bekerja <40> maka anda perlu lipat kali gandakan usaha anda!

**Jutawan tahu secara jelas dan terperinci apa yang diinginkan.Matlamat mereka adalah jelas dan jitu. Matlamat mereka adalah besardan sukar untuk dicapai tetapi, tidak mustahil. Mereka yakin bahawa tidak kira besar mana pun matlamat yang di letakkan,pastinya ia akan tercapai.

Keyakinan dan kejituan diri sendiri mengejar matlamat inilah mendahulukan mereka berbanding orang-orang lain. Sekiranya anda tidak mempunyai matlamat yang jelas danterperinci, jangan teruskan bacaan anda. Berhenti dan tetapkan matlamat terlebih dahulu!

**Jutawan tahu untuk berjaya, mereka perlu bantuan orang lain.Bantuan dari segi ilmu, bantuan dari segi kewangan, bantuan dari segi sokongan, bantuan dari segi tenaga, bantuan dari segi idea dan sebagainya. 84% kejayaan seseorang bergantung kepada mereka yang di kelilingnya. Untuk berjaya, perlu sering bersama orang-orang yang berjaya. Sekiranya anda fikirkan anda "one man show" dan tidak mempunyai kenalan-kenalan yang berjaya, maka, GET OUT THERE! Kenali mereka mereka yang berjaya dan pelajari daripada mereka.

**Jutawan banyak membaca. Leaders are readers. Ilmu adalah senjata yang paling penting bagi jutawan. Sekiranya hilang satu juta ringgit, jutawan akan tahu cara untuk menjana dua juta ringgit lagi kerana aset yang paling penting bagi seseorang jutawan adalah aset ilmu di dada. Ilmu diperolehi daripada bacaan. Sekiranya anda tidak suka membaca, ketahui bahawa anda akan ditinggalkan oleh merekayang banyak membaca.

**Tidak seperti sangkaan ramai, kebanyakan jutawan tidak suka berbelanja sesuka hati. Mereka tahu betapa sukarnya untuk memperolehi harta dan mereka sayangkan harta. Wang ringgit tidak digunakan secara membazir. Sering kali golongan jutawan menggunakan wang untuk membina lagi aset-aset seperti rumah, tanah dan pelaburan. Sekiranya anda fikirkan jutawan adalah seperti yangsering dipaparkan di kaca TV,suka membazir, maka, perbetulkan perspektif anda dahulu. Golongan ini mungkin ada, tetapi, teramat kecil. Mulakan langkah anda dengan tidak membazir.

**Jutawan banyak memberi. Menurut buku Dr Thomas Stanley, "TheMillionaire's Mind" antara sikap-sikap jutawan adalah suka memberi.Hadis juga ada mengatakan bahawa sekiranya kita memberi satu dengan ikhlas, 10 akan kembali kepada kita. Jadi, sekiranya anda jeniskedekut dan tidak suka memberi, maka maaf, kelab jutawan bukanlah untuk anda!

**Walaupun bukan satu kemestian, kebanyakan jutawan lahirnya dalam bidang perniagaan. Malah, 74% Jutawan adalah hasil daripada perniagaan. Jadi, di sini adalah klu paling besar bagaimana hendak menjadi juatwan- mulakan perniagaan!

Sekiranya anda tidak berminat dalam perniagaan dan anda lebih suka kerja di bawah orang, maka ianya menjadi semakin sukar untuk mencapai jutawan. Tidak mustahil,tetapi, lebih sukar... dan mengambil masa yang lebih lama!

**Jutawan tahu bahawa ianya tiada jalan pintas untuk menjadi kaya.Ianya perlu ilmu dan usaha keras siang dan malam. Maaf, no shortcuts here! Sekiranya anda fikir bahawa ada caranya untuk buat duit banyak dengan cepat, duduk rumah goyang kaki boleh dapat duit berjuta, dan tanpa usaha yang setimpal, wang akan jatuh ke riba anda, maka anda silap, silap dan silap!

Memikirkan bahawa terdapat cara mudah menjana wanglah terjadinya ramai "Mat jenin jutawan"terperangkap dengan penipuan-penipuan scam dan skim-skim cepat kaya.Sekiranya anda setuju dengan checklist di atas, maka, selamat datang ke kelab jutawan! Anda telah melalui langkah pertama dan besedia untuk "bertanding" dalam "Who Wants To Be A Millionaire"edisi realiti. Tetapi, perlu berpijak di bumi yang nyata.

Membaca segalanya di atas dan memahaminya adalah satu perkara.Mempraktikkan apa yang di baca dan mengaplikasikannya setiap hari dan setiap masa, adalah perkara yang lain. Kata-kata berbunyi"Knowledge is power" sebenarnya salah. Ilmu bukanlah satu kekuatan dan kehebatan. Ilmu yang DIAPLIKASIKAN adalah kekuatan yang sebenar.

TATABAHASA: KETAKSAAN AYAT


Muhammed Salehudin Aman (Munsyi Dewan DBP)
Sumber: Akhbar Sisipan Tutor

Sepotong ayat dapat menerbitkan beberapa maksud yang tertentu. Hal ini demikian bergantung pada lagu bahasa atau intonasi ayat itu diucapkan. Ayat yang dapat menghasilkan pelbagai maksud dikatakan ayat yang mempunyai unsur ketaksaan (ambiguity). Dengan kata lain, ketaksaan ditakrifkan sebagai sifat binaan atau konstruksi yang dapat diberi lebih daripada satu tafsiran. Telitilah ayat yang berikut:
1. Ibu bapa Mustafa telah meninggal dunia.

Ayat ini mengandungi unsur ketaksaan kerana dapat diertikan sebagai ibu kepada bapa (iaitu nenek) Mustafa telah meninggal dunia, atau kedua-dua ibu bapa Mustafa telah meninggal dunia. Untuk dapat mengenal pasti perbezaan erti ini, kita perlu, secara intuisi, menyedari kewujudan dua jenis binaan ayat yang berbeza. Kita begitu mudah memahami maksud yang terkandung dalam ayat ini jika diucapkan dengan lagu bahasa (intonasi) yang berbeza bersesuaian dengan maksud yang hendak disampaikan.

Dalam ayat 1 di atas, jika kita meletakkan tekanan pada kata ibu, kemudian diikuti dengan jeda (hentian sebentar), pastilah ayat ini menyatakan bahawa ibu kepada bapa Mustafa (nenek Mustafa) telah meninggal dunia.

Sebaliknya, jika tiada tekanan pada perkataan ibu dan tanpa jeda dalam mengucapkan ayat tersebut, maka maksud yang terkandung menyatakan bahawa kedua-dua ibu bapa Mustafa yang meninggal dunia, bukan neneknya.

Jelas bahawa dalam ujaran, intonasi dan jeda memainkan peranan sebagai penentu kepada maksud yang didukung oleh sesuatu ayat. Dalam bentuk tulisan, hal ini dapat dijelaskan dengan penggunaan tanda baca untuk menentukan ketaksaan ayat berkenaan. Marilah kita teliti ketaksaan ayat-ayat yang berikut ini:
2. Orang itu dibunuh jangan dibebaskan.
3. Saya makan nasi ayam.
4. Beri saya rantai beruk.
5. Saya makan roti John di bawah pokok.


Ada dua maksud yang tersirat dalam ayat 2. Pertama, orang itu jangan dibunuh, tetapi hendaklah dibebaskan. Maksud yang pertama ini dapat ditentukan dengan membubuh tanda koma bertitik (;) selepas perkataan jangan, menghasilkan ayat pasif Orang itu jangan dibunuh; dibebaskan. Koma bertitik wajar diletakkan di situ sebagai pemisah klausa/ayat yang dimulai dengan kata hubung “tetapi”. Koma bertitik itu juga meletakkan jeda berada di situ. Ayat asalnya ialah Orang itu jangan dibunuh tetapi (orang itu) dibebaskan, dengan frasa nama kedua orang itu digugurkan dalam klausa/ayat kedua kerana frasa nama ini merupakan frasa nama yang sama dalam klausa/ayat yang pertama.

Maksud yang kedua ayat kedua ini ialah bahawa orang itu dibunuh, dan jangan dibebaskan. Maksud ini ditentukan apabila tanda baca dibubuhkan selepas perkataan dibunuh.
2. (a) Orang itu dibunuh; jangan dibebaskan. atau
2. (b) Orang itu dibunuh! Jangan dibebaskan.


Ayat 3 menunjukkan satu penyataan saya beri kepada seseorang, bagi menerangkan perbuatan saya, iaitu saya sedang makan nasi; dan nasi yang saya makan itu ialah nasi ayam. Tidak ada sebarang tanda baca atau tekanan dalam ayat tersebut. Ayat ini diucapkan secara bersahaja menurut lagu bahasa ayat penyata bahasa Melayu menurut tingkat nada 2-4-2-3 sebagai lambang turun naik nada suara. Kedudukan tingkat nada ini ditunjukkan seperti yang berikut:
2 4 2 3
Saya ma kan nasi a yam

Jika tingkat nada terhenti sebentar selepas kata nasi: Saya makan nasi, ayam!, maka maksudnya berlainan daripada maksud yang pertama. Kali ini saya memberitahu ayam (bukan lagi manusia yang bertanya) yang saya makan nasi. Perhatikan betapa luas jurang perbezaan makna oleh ketaksaan unsur ayat tersebut.

Ketaksaan ayat ketiga hampir sama dengan ayat yang kedua, iaitu seseorang meminta ia diberikan rantai beruk (rantai untuk mengikat beruk) untuk maksud yang pertama; dan maksud yang kedua pula menyatakan bahawa ia (seseorang) memberukkan orang yang diminta menyerahkan rantai kepadanya.

Ayat 4 juga membawa maksud yang berbeza. Ayat ini menyatakan bahawa saya makan roti John di bawah pokok. Roti John ialah nama sejenis roti yang sangat digemari oleh anak muda kini. Sebaliknya, Jika dalam ucapan berlaku hentian selepas perkataan roti, kemudian disambungkan ujaran dengan ayat John di bawah pokok, maka ayat 4 ini menghasilkan dua ayat yang berbeza ceritanya. Cerita pertama mengisahkan saya makan roti, dan roti itu ialah roti John; dan kisah yang kedua pula menyatakan John berada di bawah pokok.

Demikian wajah ayat yang mengandungi unsur ketaksaan, kerana satu pola ayat tidak semestinya mempunyai satu makna. Satu pola ayat yang sama dapat diertikan dengan lebih daripada satu pengertian. Jadi, untuk dapat mengenali perbezaan erti ini kita perlulah menyedari kewujudan dua erti yang terkandung dalam satu ayat yang sama itu. Hanya intuisi berbahasa kita yang dapat menentukannya.

TATABAHASA: REFLEKSIF, BENEFAKTIF, LOKATIF DAN KAUSATIF


oleh Muhammed Salehudin Aman (Munsyi Dewan DBP)
(Sumber: Akhbar Sisipan Tutor)

Dalam tatabahasa bahasa Melayu terdapat beberapa banyak istilah khusus yang dikaitkan dengan makna sesuatu kata terbitan. Istilah tersebut bertujuan bagi menggambarkan konsep atau makna yang terkandung dalam kata tersebut.

Kebanyakan istilah ini diserap daripada kata bahasa Inggeris yang dimelayukan ejaannya, yakni diubahsuaikan ejaannya secara minimum daripada ejaan bentuk asalnya. Antara istilah tersebut termasuklah istilah refleksif, benefaktif, lokatif, dan kausatif. Kesemua istilah yang tersebut itu berkait rapat dengan kata kerja, iaitu salah satu golongan kata utama bahasa Melayu.

Refleksif (reflexive) ialah makna tatabahasa yang dikaitkan dengan imbuhan dalam sebarang ayat bagi menandakan perbuatan yang melibatkan diri sendiri, ataupun perbuatan yang mengenai diri sendiri. Dengan bahasa yang mudah hasil kerja atau akibat kerja yang dilakukan oleh seseorang pembuat akan mengenai dirinya sendiri, tidak mengenai orang atau benda lain. Contohnya; bercukur, berhias, berjemur, berbedak, berdandan, bersandar, bersembunyi, dan lain-lain sebagainya.

Jika kita mengatakan “Abang sedang bercukur, dan kakak masih berhias”, maksudnya abang melakukan perbuatan bercukur; maka yang kena cukur ialah (misai) abang. Demikian pula kakak kena oleh perbuatan hias yang dilakukan olehnya sendiri. Kedua-dua kata kerja bercukur dan berhias ialah kata kerja tak transitif berawalan “ber-”, yang menunjukkan hasil perbuatan yang mengenai diri sendiri.

Kausatif mendukung maksud makna tatabahasa yang dikaitkan dengan imbuhan dalam ayat. Kaitan ini bagi tujuan menandakan perbuatan yang menyebabkan sesuatu keadaan atau kejadian yang berlaku. Imbuhan yang dimaksudkan ialah akhiran “-kan” dan “-i”, apitan “me-...-kan” dan “me-...-i”. Contohnya:
1. Raju menghadiahkan sehelai kain sari kepada Kamaladevi.
2. Raju menghadiahi Kamaladevi sehelai kain sari.
3. Akan saya baiki kerosakan ini.
4. Sambungkan tali ini.

Ayat 1 dan 2 ialah ayat penyata yang mengandungi kata kerja transitif menghadiahkan dan menghadiahi. Ayat 3 pula ialah ayat pasif pelaku pertama yang mengandungi kata kerja pasif berimbuhan akhiran “-i”, sementara ayat 4 merupakan ayat arahan yang mengandungi kata kerja transitif berakhiran “-kan”.

Kesemua ayat 1 – 4 tersebut mendukung makna kausatif, kerana wujudnya keadaan suatu pihak melakukan sesuatu perbuatan. Dalam ayat 1 dan 2, Raju melakukan perbuatan (menghadiahkan), dan wujud juga perbuatan penerimaan oleh Kamaladevi. Maksud yang dibawa keadaan ini ditandai oleh imbuhan “me-...-kan”, dan “me-...-i”.

Ayat 3 dan 4 mempunyai kata kerja kata baiki dan sambungkan. Akhiran “-i” dan “-kan” pada kata kerja transitif itu menunjukkan maksud kausatif. Maksud tersebut digambarkan oleh fungsi akhiran “-i” dan “kan-”.

Maksud benefaktif atau manfaat ditandai oleh imbuhan “-kan”, “me-...-kan” dan “me-...-i”. Pengertian manfaat merujuk sesuatu perbuatan yang dilaksanakan untuk faedah pihak lain, bukan pihak yang melakukan perbuatan itu. Contohnya:
5. Abang membelikan adik kasut roda.
6. Adik membacakan ayahnya surat.
7. Gorengkan ikan ini untuk suamimu.

Ayat 5 menyatakan bahawa abang melakukan perbuatan (membeli) untuk faedah adiknya. Adik, dalam ayat 6, melakukan perbuatan (membacakan) surat untuk faedah atau manfaat ayahnya. Dalam ayat perintah 7, seseorang melaksanakan perbuatan (menggoreng) untuk manfaat atau faedah suaminya. Begitu pula dengan maksud imbuhan dalam kata membacakan dan gorengkan.

Istilah lokatif bermaksud makna tatabahasa yang berkaitan dengan imbuhan dalam ayat yang menandakan tempat berlakunya sesuatu perbuatan. Imbuhan yang mendukung maksud ini ialah “meN- ...-i” atau akhiran “-...i”. Misalnya dalam ayat:
8. Kami menaiki bas setiap hari.
9. Ali menghampiri lembaga itu.
10. Hendaklah kami dampingi orang yang berilmu.

Secara perbandingan, apitan “me-...-kan” dan “me-...-i”, mempunyai persamaan dan perbezaan maksud. Yang ketara ialah kedua-duanya membentuk kata kerja transitif dengan maksud kausatif. Kelainannya pula bahawa “me-...-i” memberi pengertian lokatif, iaitu menyatakan unsur tempat; manakala akhiran “-kan” mengandungi unsur benefaktif.

Demikian maksud beberapa istilah yang dikaitkan fungsinya dengan kata kerja terbitan berimbuhan.

Monday, February 16, 2009

OTAI: ILUSI SEBUAH MIMPI


(BLOODSHED)

Berterbangan ke kota-kota
Terhenti di tapak keriangan
Berhambur permata jingga
Bermandikan keindahan

Gelincir dunia di pandangan
Redup panas berubah keadaan
Bersilangan tangan menggapai
Sendi kaku kebujuran

Suasana berganti
Bergemuruh di hati
Keriangan bertukar ngeri
Bumi luruh sendiri menyepi

Ku capai awan berlarian
Bayu bertiup sepi
Aku tinggal sendiri
Bagai tiada matahari
Lenyap dari pandangan gelisah

Ku menangis tiada teman
Kedinginan lemas berpeluhan
Tersedar ku kesiangan…wooo
Ku merenung jiwa menyendiri
Illusi sebuah mimpi..wooo

Saturday, February 14, 2009

KEWANGAN: RAHSIA MENAMBAHKAN PENDAPATAN MELALUI PEMASARAN INFORMASI

Ketahui Rahsia Bagaimana Anda Boleh Menambahkan Pendapatan Dengan Mudah Melalui Pemasaran Informasi
(Azizi Ali Penulis kewangan, penceramah dan jurulatih jutawan #1 Malaysia)

Anda mahu menjadi seorang usahawan?
Anda mahu menjana wang tambahan?
Anda mahu membina aliran pendapatan sampingan yang baru?
Anda mahu menikmati kehidupan yang lebih lumayan?
Anda mahu melakukan semua ini dengan cepat, mudah dan dengan modal yang rendah?

Sekarang bayangkan hidup anda jika anda terlibat di dalam perniagaan yang mempunyai potensi pertumbuhan yang hebat. Perniagaan yang boleh dimulakan dengan cepat, dengan kos permulaan yang rendah dan pada masa yang sama memiliki marjin yang tinggi. Perniagaan di dalam industri yang berkembang pesat setiap hari. Perniagaan di mana anda mempunyai kawalan yang penuh ke atas hidup dan nasib anda. Perniagaan yang boleh anda lakukan secara separuh masa tetapi berupaya membawa masuk pendapatan seperti pekerjaan sepenuh masa. Perniagaan di mana kebanyakan kerjanya diautomasikan, dan perniagaan yang kalis kemelesetan ekonomi.


Terlalu hebat untuk dipercayai? Tidak, sebenarnya perniagaan seperti itu wujud pada hari ini. Ia dipanggil Pemasaran Informasi (Information Marketing). Walaupun terdapat beberapa definisi kepada perniagaan tersebut, saya mendefinisikannya sebagai sebuah perniagaan di mana usahawan – digelar sebagai pemasar informasi – seperti anda, mengumpul informasi, mempakejkannya di dalam pelbagai format dan menjual produk dan perkhidmatan ini kepada orang ramai – dari dalam dan luar negara – yang dahagakannya. Produk seperti ini adalah mudah dicipta, memerlukan kos produksi yang rendah, namun begitu memiliki marjin keuntungan yang tinggi

Sebelum saya bercerita dengan lebih lanjut, saya ingin menasihatkan anda untuk membaca setiap perkataan di dalam halaman ini dengan teliti kerana saya akan mendedahkan bagaimana saya membuat pendapatan tujuh angka daripadanya dan bagaimana anda juga boleh menjana wang yang banyak daripada Pemasaran Informasi dan juga menikmati setiap saat ketika melakukannya.


Pertama sekali, perniagaan ini telah wujud sejak sekian lama, cuma ia tidak dikenali seperti ia dikenali sekarang. Malah mereka yang terlibat di dalamnya juga tidak menganggap diri mereka pemasar informasi. Mereka menganggap diri mereka sebagai penulis, penceramah, jurulatih, konsultan dan sebagainya.


Walau bagaimanapun, sejak beberapa tahun yang lalu, usahawan-usahawan ini mula menganggap diri mereka sebagai pemasar informasi apabila mereka mengeluarkan lebih banyak produk dan perkhidmatan untuk memasarkan informasi yang sama yang telah mereka lakukan sejak sekian lama.


"Jadi apakah informasi-informasi ini?" anda mungkin bertanya. “Dan mengapakah ia begitu berharga?” Jawapan kepada soalan pertama ialah, apa-apa sahaja! Berikut adalah satu senarai (yang pendek) informasi tersebut:

* Bagaimana menjaga kesihatan
* Bagaimana menurunkan berat badan
* Bagaimana menjadi ibu bapa yang lebih baik
* Bagaimana membimbing anak menjadi lebih bijak
* Bagaimana memikat lelaki/wanita
* Bagaimana untuk berpakaian lebih segak
* Bagaimana membuat lebih banyak wang
* Bagaimana memulakan perniagaan
* Bagaimana mengembangkan perniagaan
* Bagaimana meningkatkan jualan
* Bagaimana mendapatkan lebih ramai pelanggan
* Bagaimana mengasah daya ingatan anda
* Bagaimana memulakan perkhidmatan janji temu Internet
* Bagaimana melabur dalam saham
* Bagaimana melabur dalam hartanah


Seperti yang dapat anda lihat, potensinya adalah begitu luas. Senarai tersebut hanyalah sebahagian kecil daripada informasi yang dipasarkan oleh pemasar informasi. Ia datang dalam pelbagai format: buku, manual, tip, risalah, pelajaran tersusun, video, program latihan, software, seminar, malah produk digital.

Sebab mengapa ia begitu berharga adalah kerana (1) orang ramai telah menyedari nilai informasi; dan (2) mereka sanggup membayar untuk informasi tersebut. Ia adalah logik: jika anda boleh belajar sesuatu daripada orang yang arif mengenainya, mengapa perlu anda terkapai-kapai di dalam kegelapan untuk mendapatkan jawapan itu? Jika anda boleh mendapatkan penyelesaian kepada masalah anda dalam masa dua hari, mengapa perlu anda menderita untuk bertahun-tahun? Ini bukanlah satu teori tetapi ia benar-benar berlaku di dunia realiti.


Sebagai contoh, baru-baru ini saya menghadiri satu seminar mengenai membuat duit melalui hartanah komersial. Informasi yang dikongsi oleh rakan saya di dalam ceramah selama tiga jam tersebut adalah amat bernilai. Para peserta di sana mungkin mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk mempelajarinya sendiri, selain melalui kesusahan dan kesakitan di dalam proses tersebut. Lebih penting lagi, ia telah menjimatkan mereka puluhan ribu ringgit yang mereka mungkin akan bazirkan di dalam pelaburan yang salah. Jadi harga untuk menghadiri seminar tersebut adalah amat murah sebenarnya.


Seperti itu juga, semakin ramai orang yang mula menyedari nilai informasi. Dan keadaan tersebut memang masuk akal. Dengan membayar satu nilai yang kecil, anda dapat menyelesaikan masalah anda, menjimatkan banyak wang dan menjalani kehidupan yang lebih baik. Jadi kenapa tidak melakukannya?


Berbalik kepada aspek perniagaan, kebanyakan daripada kita sudah pun memiliki kebanyakan informasi yang diinginkan oleh para pelanggan. Kebanyakan daripada kita sudah pun mempunyai pengetahuan yang dianggap begitu berharga oleh orang lain. Apa yang kita perlu tahu hanyalah bagaimana untuk mempakejkan informasi tersebut di dalam format yang memenuhi keperluan mereka. Di dalam kes rakan saya tadi, beliau merupakan seorang pelabur berpengalaman (20 tahun) dan merupakan seorang pengamal di dalam bidang hartanah. Malah, bidang hartanah merupakan kerja beliau setiap hari. Jadi apa yang beliau lakukan ialah mempakejkan informasi tersebut di dalam format yang dikehendaki oleh pelanggan beliau. Dan walla, beliau kini mempunyai sumber pendapatan baru menerusi pengetahuan yang memang sudah berada di dalam kepala beliau.


Selain itu, dengan berkongsi informasi tersebut, beliau telah membuat lebih ramai kawan baru. Di dalam kes saya sendiri, saya berbakat di dalam membuat duit dan menguruskan kewangan peribadi. Apa yang perlu saya lakukan hanyalah mempakejkan informasi tersebut di dalam format yang diinginkan oleh pelanggan saya, dan itulah yang telah saya lakukan. Dan apa yang berlaku seterusnya telah pun menempa sejarah.


Tetapi jika anda bukan seorang pakar di dalam apa-apa bidang, jangan risau. Perniagaan ini begitu hebat kerana orang baru juga boleh berjaya. Apa yang dimahukan oleh pasaran ialah informasi. Jika anda tidak mempunyai informasi tersebut, dapatkan orang atau beberapa orang yang memiliki informasi tersebut, dapatkan informasinya, pakejkannya dengan baik dan walla, anda kini sudah pun menyertai perniagaan ini! Secara jujurnya, masyarakat tidak peduli siapa yang menjual informasi tersebut. Jika informasi tersebut dapat memberi faedah kepada mereka, dan anda yang dapat memberikan informasi tersebut kepada mereka, mereka tidak akan peduli bahawa anda hanya bekerja secara separuh masa, mereka tidak peduli jika anda seorang suri rumah dengan lima orang anak, mereka tidak peduli mengenai warna kulit anda, dan ya, mereka tidak peduli jika anda tidak pernah tamat persekolahan.


Lebih-lebih lagi, tidak banyak yang diperlukan untuk menjadi seorang pakar di dalam sesetengah bidang pada hari ini. Banyak industri masih lagi berada di tahap “bayi” – industri mobil (SMS), pemasaran Internet, latihan – sekadar menyebut tiga bidang. Dengan sedikit kajian, pemasaran dan publisiti, anda boleh menjadi pakar pertama di dalam bidang ini di seluruh Lembah Klang. Itu sudah lebih daripada cukup untuk menjadikan anda kaya-raya di dalam perniagaan ini.

Faedah perniagaan Pemasaran Informasi

Mudah dan cepat untuk dimulakan
Tidak seperti perniagaan lain, anda boleh memulakan perniagaan Pemasaran Informasi dalam masa beberapa minggu, malah dalam masa beberapa hari sahaja. Ia mudah dimulakan kerana anda sudah memiliki apa yang diperlukan untuk beroperasi – pengetahuan. Apa yang anda perlu tahu hanyalah bagaimana mempakejkan informasi tersebut di dalam format yang mesra pengguna. Ia juga boleh dimulakan dengan pantas kerana ia tidak memerlukan permit, lesen atau kebenaran daripada sesiapa, tidak perlu menyewa ruang pejabat atau gudang atau meminta pinjaman daripada bank. Mulakan dalam keadaan sepertimana anda sekarang – ia tidak mungkin lebih mudah daripada itu.

Kos operasi yang rendah
Sekali lagi, tidak seperti perniagaan lain, adalah murah untuk menjalankan perniagaan Pemasaran Informasi. Kebiasaannya, apa yang diperlukan hanyalah telefon dan kad panggilan. Sudah tentu, mempunyai laman web akan lebih membantu. Selain itu, kebanyakan produk boleh dibuat berdasarkan pesanan, contohnya anda boleh mengeluarkan produk hanya apabila anda mendapat pesanan. Ini akan mengurangkan kos inventori dan menggudang dengan banyak. Ringkasnya, kos operasinya adalah jauh lebih rendah berbanding perniagaan konvensional.

Marjin yang tinggi
Walaupun kos produksinya rendah, marjin keuntungannya adalah tinggi. Sebuah Laporan Khas mungkin memerlukan kurang daripada RM1 untuk dihasilkan ataupun mungkin lebih murah jika ia dihantar secara elektronik, tetapi harganya boleh menjadi sehingga RM10 – 10 kali ganda kos produksinya. Dan terdapat juga produk yang boleh anda jual pada 15 atau 20 kali ganda kos produksinya. Pelanggan tidak akan kisah kerana mereka membeli informasinya; bukannya membeli bungkusannya.

Pasaran yang luas dan semakin berkembang
Sudah tentu mempunyai produk dan perkhidmatan yang hebat tidak akan berguna jika ia tidak mempunyai permintaan. Keindahan perniagaan ini ialah pasarannya luas dan lebih penting lagi, semakin berkembang setiap hari. Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, semakin ramai orang yang menyedari faedah informasi dan mereka sanggup membayar wang yang banyak untuk informasi tersebut. Ia memang masuk akal: kenapa perlu tunggu (dan menderita) selama 20 tahun jika anda dapat mempelajari rahsia kejayaan dalam masa sehari?

Anda mempunyai kawalan penuh
Perniagaan ini adalah sepenuhnya di dalam kawalan anda. Anda membuat keputusan untuk segalanya – daripada jenis produk dan perkhidmatan, harganya, jumlah kerja yang diperlukan, dan juga pelanggan yang ingin disasarkan. Anda boleh berkembang secepat yang anda mahu dan sebesar yang anda mahu. Alternatifnya, anda boleh menjadikannya sebuah pekerjaan separuh masa yang dijalankan pada hujung minggu. Anda juga boleh menetapkan tahap interaksi bersama pelanggan: anda boleh berjumpa dengan mereka secara peribadi atau tetapkannya di dalam satu format di mana anda tidak perlu berinteraksi secara peribadi bersama mereka langsung. Pilihannya di tangan anda.

Pendapatan pasif
Hampir keseluruhan pendapatan ini adalah berbentuk pasif. Anda menghasilkan produk tersebut sekali tetapi dapat menjualnya berulang-ulang kali. Apa yang lebih baik lagi, anda boleh memperolehi keuntungan daripada informasi yang sama berulang-ulang kali apabila anda mempakejkannya di dalam format yang berbeza. Contohnya, informasi yang sama boleh dipakejkan di dalam bentuk Laporan Khas, eBook, manual, buku kerja, buku, audio dan juga video. Kesemuanya membawa keuntungan kepada poket anda.

Kalis kemelesetan ekonomi
Apabila anda sudah mula beroperasi dan membina pengkalan data, perniagaan tersebut boleh dikatakan sebagai kalis kemelesetan ekonomi. Orang ramai tidak akan berhenti memerlukan informasi yang dapat membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih produktif, kaya dan bahagia. Malah, anda mungkin berupaya menjana lebih banyak wang di masa-masa yang sukar apabila orang ramai mencari cara untuk memperbaiki keadaan kehidupan mereka dan keluarga mereka.

Boleh dijalankan secara separuh masa dan dari rumah
Inilah satu faedah yang amat menarik mengenai perniagaan ini. Jika anda mahu, anda boleh menjalankannya secara separuh masa dan ya, malah dari rumah anda sendiri. Memandangkan anda dapat menjual produk secara terus kepada pelanggan menerusi Internet, ini bermaksud ia boleh beroperasi dari mana sahaja.

Kebanyakan kerjanya boleh diautomasikan dan diupah kepada orang lain
Satu lagi faedah yang hebat. Kebanyakan kerjanya boleh diupah kepada orang lain atau diautomasikan dengan menggunakan auto-responder. Ini akan memberikan anda kebebasan untuk melakukan kerja-kerja lain, termasuk mencipta lebih banyak produk yang boleh meningkatkan jualan anda. Ini juga bermaksud anda tidak perlu menggajikan ramai kakitangan. Anda boleh beroperasi bersendirian atau dengan seorang pembantu sahaja. Oh ya, tugas paling mencabar di dalam Pemasaran Informasi (dan juga mana-mana perniagaan lain) ialah mendapatkan pekerja yang baik yang setia bersama anda.

Ia adalah perniagaan yang menyeronokkan
Tidak seperti perniagaan dan karier lain, menjalankan perniagaan Pemasaran Informasi adalah amat menyeronokkan. Pertama sekali, anda menjana wang, yang merupakan satu perkara yang amat baik. Selain itu, anda menggunakan bakat, kemahiran dan pengetahuan anda sendiri, yang menjadikan ianya satu pengalaman yang menyeronokkan. Sebagai contoh, saya gemar menulis mengenai wang, kewangan peribadi dan membina perniagaan. Dan itulah yang saya lakukan di dalam perniagaan Pemasaran Informasi saya. Ia bukan satu pekerjaan untuk saya – ianya menyeronokkan. Jadi saya boleh melakukannya 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Akhir sekali, ia merupakan suatu perkara yang amat membahagiakan apabila anda melihat kehidupan pelanggan anda menjadi lebih baik disebabkan oleh sumbangan anda. Anda tahu bahawa anda telah membuat kebaikan di dalam proses tersebut.

Kisah saya
Saya perlu akui bahawa saya terjumpa perniagaan ini secara tidak sengaja. Seperti kebanyakan daripada anda ketahui, saya telah menulis sebuah buku mengenai kewangan peribadi bertajuk Jutawan Dari Planet Jupiter. Buku ini merupakan raja segala buku berkenaan kewangan peribadi di Malaysia dan telah memulakan sebuah industri baru – buku dan seminar berkaitan kewangan. Secara peribadinya, saya amat gembira dengan sambutan yang diberikan kerana ia bermakna bakat penulisan saya dan pengetahuan saya dalam kewangan peribadi adalah dihargai oleh pasaran. Jadi saya menulis lebih banyak buku berkaitan kewangan termasuk Lahirnya Seorang Jutawan, Bagaimana Hendak Menjadi Seorang Jutawan Hartanah dan Pesara Jutawan. Kesemua buku tersebut begitu laris dijual dan telah menjana sejumlah wang ke dalam akaun bank saya.


Selepas buku pertama saya diterbitkan, saya menerima banyak jemputan untuk mengadakan ceramah. Sesetengah pembaca ingin mengetahui lebih lanjut lagi mengenai kewangan peribadi jadi mereka meminta saya memberikan ceramah mengenai kewangan peribadi. Jadi saya pun melakukannya. Beberapa bulan kemudian baru saya menyedari bahawa saya telah menemui sesuatu yang hebat – saya telah menemui satu pasaran yang begitu dahagakan pengetahuan kewangan kerana terdapat ratusan ribu orang yang ingin mendengar saya berucap kerana saya dapat membantu mereka untuk mengawal kewangan mereka dan ya, menjana lebih banyak wang.


Begitulah bagaimana saya terjebak di dalam bidang penceramahan.
Selain memenuhi permintaan untuk mengadakan ceramah berkaitan kewangan untuk pelbagai syarikat, institusi dan organisasi, saya telah mengadakan ceramah satu hari berkaitan pelaburan hartanah. Ia telah berlangsung selama tujuh tahun. Memandangkan saya sudah berjaya mengumpulkan orang ramai di dalam satu bilik, saya menjual seminar susulan 3-hari – Millionaires School. Beberapa tahun lalu, atas permintaan ramai, saya telah mengadakan woksyop How To Write A Bestseller in 88 Days. Saya boleh mendedahkan bahawa jumlah kutipan daripada tiga seminar awam ini sahaja adalah lebih daripada RM2 juta. Dan ini hanyalah daripada seminar sahaja, belum lagi mengambil kira jualan buku.


Selain wangnya yang hebat, saya perlu menekankan bahawa saya telah melalui masa yang menyeronokkan ketika mengadakan ceramah dan seminar tersebut. Lebih penting lagi, para peserta telah mendapat banyak manfaat kerana mendapat pengetahuan yang tidak ternilai untuk membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih baik dan ya, membuat lebih banyak wang.


Hanya baru-baru ini sahaja saya menyedari bahawa saya bukanlah seorang penulis atau penceramah: Saya sebenarnya seorang Pemasar Informasi kerana saya mencipta produk dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan klien-klien saya. Apa yang lebih menarik ialah pada dasarnya saya menjual informasi yang sama – cuma di dalam format yang berbeza. Sesetengah orang membeli buku saya, dan kemudian mereka datang ke seminar saya untuk mendapatkan pengetahuan yang lebih mendalam. Sudah tentu, segelintir daripadanya turut mendaftar untuk program Inner Circle saya kerana mereka mahukan tunjuk ajaran dan perhatian peribadi daripada saya.


Sejak menyedari perkara ini, saya telah menganalisa perniagaan saya semula serta perniagaan beberapa rakan usaha sama saya. Sungguh mengejutkan apabila saya melihat bahawa selama ini saya tidak menggunakan potensi sepenuhnya perniagaan saya! Hakikatnya, saya boleh melakukan lebih lagi. Sejak itu saya telah mencipta produk dan perkhidmatan baru dengan hasil yang memberangsangkan. Apa yang saya maksudkan dengan memberangsangkan? Baru-baru ini saya telah menjual satu produk bernilai RM120,000 dalam masa kurang daripada 30 hari. Bayangkanlah – satu produk baru dan saya menjualnya pada harga RM120,000 dalam masa 30 hari! Lebih menarik lagi, ini baru permulaannya. Saya pasti akan mencipta lebih banyak produk dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan klien saya di dalam masa terdekat ini.


Dalam masa yang sama, saya ingin berkongsi kegembiraan ini bersama anda. Saya ingin mendedahkan rahsia kejayaan di dalam perniagaan Pemasaran Informasi supaya anda juga boleh menyertainya, membuat lebih banyak wang dan menjalani kehidupan yang lebih bahagia. Ingat, ini merupakan peluang yang hebat untuk anda memulakan sebuah perniagaan yang menakjubkan, dan lebih menarik lagi, kemungkinannya adalah tidak terhad. Sudah tentu saya tahu: walaupun saya telah menjana jutaan ringgit daripadanya, saya masih lagi belum mengeksploitasi potensi yang sepenuhnya. Jadi bolehkah anda bayangkan jumlah wang yang akan masuk apabila saya telah menggunakan keseluruhan potensi perniagaan saya? Bolehkah anda bayangkan jumlah wang yang akan ANDA jana jika anda di dalam perniagaan ini?


Jadi jika anda sudah lama mencari peluang membuat lebih banyak wang, inilah perniagaan untuk anda. Jika anda ingin mencari jalan mendapatkan wang sampingan untuk menyara keluarga anda, inilah peluang anda. Jika anda telah mencari di merata tempat, menghadapi kesusahan dan kehilangan wang di dalam proses tersebut, inilah peluang perniagaan yang anda cari-cari selama ini. Fikirkanlah: kos permulaan yang rendah, marjin keuntungan yang tinggi, pasaran yang luas dan tanpa had. Apakah yang lebih baik daripada ini?


Seperti yang dapat anda lihat, perniagaan Pemasaran Informasi ini adalah sebuah lombong emas yang praktikal. Faedahnya begitu banyak, ia adalah satu tragedi jika anda tidak turut serta di dalam perniagaan ini. Saya sendiri secara peribadi, bersyukur setiap hari kerana berada di dalam perniagaan ini. Kekesalan saya hanyalah satu, iaitu saya tidak bermula lebih awal! Jadi satu-satunya soalan yang patut ditanya bukanlah sama ada anda patut menyertai perniagaan ini, tetapi bila anda boleh bermula?


Dalam masa yang sama, saya juga tahu mengenai soalan-soalan yang terbuku di fikiran anda:
Bagaimana saya boleh bermula?
Bagaimana untuk mendapatkan pelanggan?
Bagaimana untuk mengetahui produk dan perkhidmatan yang diperlukan oleh pelanggan saya?
Bagaimana untuk saya mencipta produk tersebut?
Bagaimana untuk memasarkan produk dan perkhidmatan saya?
Bagaimana untuk menerima pembayaran?
Berapa banyak modalkah yang diperlukan?
Apakah kepakaran yang saya perlukan?
Bagaimana untuk mengelak daripada melakukan kesilapan yang berkos tinggi kerana saya tidak mampu untuk kehilangan wang lagi?


“Untuk setiap daripada kita yang berjaya, ia adalah kerana terdapat seseorang di luar sana yang menunjukkan jalannya.”Oprah WinfreyPengacara TV ternama.

Thursday, February 12, 2009

SIASAH: LAPORAN SPRM TERHADAP MB BARU

Syed Jaymal Zahiid Feb 12, 09 12:58pm
(Sumber: Malaysiakini)


Satu laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zamby Abd Kadir hari ini.Laporan tersebut dibuat di Ipoh pada jam 11 pagi tadi, oleh pemimpin DAP yang menuduh menteri besar itu menyalahguna kuasanya dengan melantik tiga orang penasihat yang bertaraf exco.


Menurut Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, setiap penasihat tersebut akan menerima gaji sebanyak RM240,000 setahun.Jumlah tersebut termasuk gaji bulanan RM15,000, elauan percutian (RM20,000), sebuah kereta berserta pemandu, elaun bayaran bil bulanan (RM1,000), elaun pakaian bulanan (RM3,500) dan lesen untuk memiliki senjatapi.


Bagi jumlah keseluruhannya, kerajaan negeri akan berbelanja sebanyak RM720,000 setiap tahun untuk membayar gaji dan elaun tiga penasihat tersebut."Tidak terdapat sebarang peruntukan dalam perlembagaan negeri Perak yang membenarkan pelantikan seumpama itu dibuat dan ia adalah wang rakyat," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan tersebut.


Turut hadir ialah Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan kira-kira 20 orang penyokong parti tersebut.Semalam, Dr Zambry melantik tiga orang penasihat dan seorang ketua penerangan kerajaan negeri. Keempat-empat mereka akan mendapat imbuhan sama seperti ahli exco kerajaan negeri yang lain.


Mereka terdiri daripada Datuk Mohd Najumuddin Elias yang dilantik sebagai penasihat Hal Ehwal Agama Islam; Datuk Chang Ko Youn (penasihat Hal Ehwal Kaum Cina), dan Datuk S Veerasingam (penasihat Hal Ehwal Kaum India) manakala Datuk Hamdi AbuBakar dilantik Ketua Penerangan Kerajaan Negeri.Chang merupakan timbalan pengerusi Gerakan peringkat nasional manakala Veerasingam adalah naib presiden MIC.


Dalam pilihanraya umum lalu, Chang tewas di Parlimen Beruas manakala Veerasingam pula kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungkai.Mohd Najumuddin pula menang di DUN Batu Kurau, manakala Hamdi menang di DUN Pengkalan Baru.

PPSMI: GMP BIDAS MEDIA PERKECIL KEMPEN MANSUH PPSMI

Jimadie Shah Othman Feb 12, 09 2:41pm
(Sumber: Malaysiakini)

Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) menempelak "media massa tertentu" kerana didakwanya menggambarkan pejuang bahasa yang menentang dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) "seolah-olah bodoh dan fanatik".

Pengerusi jawatankuasa induk gabungan NGO dan parti politik pembangkang itu, Datuk Dr Hassan Ahmad berkata, sejak mereka melancarkan kempen mansuhkan PPSMI di ibunegara hujung bulan lalu, terdapat usaha di media "memunasabahkan perkara (PPSMI) yang salah".

Beliau yang juga bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka berkata, media-media itu hanya mengambil pandangan dari tepi-tepi jalan "tetapi tidak bertanya langsung kepada tokoh dan pejuang bahasa".

Dr Hassan juga mendakwa terdapat media yang mengadakan tinjauan pendapat umum "tetapi hanya berdasarkan responden yang terhad antara 500 hingga 1,000 orang sahaja".

"Bagaimanakah kita hendak tentukan nasib bangsa (berdasarkan jumlah responden itu) sedangkan ratusan ribu pelajar mengalami masalah dengan dasar itu? "Kita mahukan media tertentu menggunakan data untuk mempertahankan dasar itu," katanya dalam sidang media di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) di Kuala Lumpur pagi tadi.

"TV3 misalnya, patut bincangkan perkara ini. Cuba pergi ke Sarawak, duduk dalam kelas, tengok sendiri apa yang berlaku. Janganlah tanya makcik yang tengah goreng pisang, duduk di warung-warung," tambahnya.

Ditanya apakah tujuan media memberikan laporan negatif terhadap GMP, Dr Hassan berkata: "Itu kena tanya dia (media terbabit). Mungkin suara orang atas. Kalau cakap banyak kena buang."

Serah memo pada MP

Dr Hassan bagaimanapun berkata, tidak semua media yang mengamalkan sikap tersebut.Akhbar berbahasa Cina, tambahnya, konsisten menyiarkan fakta-fakta yang betul sehingga menimbulkan kesedaran di kalangan NGO dan ahli parti politik kaum itu - MCA.

Beliau yang juga pengarah Yayasan Karyawan bagaimanapun tidak berniat memboikot media terbabit."Tidak perlu boikot, kalau boikot tidak masuk terus," katanya berseloroh.

Beliau juga berkata, pihaknya akan menghantar memorandum kepada semua ahli Parlimen pada 17 Februari depan, untuk meminta mereka menyuarakan perkara itu di Dewan Rakyat.Parlimen akan menyambung sidangnya Isnin depan.

Turut serta dalam sidang media itu ialah Sasterawan Negara A Samad Said, Prof Sains Dr Shahrir Md Zain dan ketua penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kait.GMP dalam sidang media selama kira-kira sejam itu turut mengedarkan kenyataan akhbar setebal 13 halaman yang menyenaraikan fakta-fakta kegagalan PPSMI, berdasarkan kajian ilmiah dan bebas yang dibuat oleh sarjana tempatan.'

Dr M penguncup bahasa'

Sementara itu, A Samad pula berkata, walaupun beliau sendiri seorang sasterawan negara, tetapi pandangannya ada yang tidak disiar atau kurang diberi keutamaan oleh media arus perdana.

Bagaimanapun, penulis pelbagai genre kreatif itu berkata, belum ada karya-karyanya yang digam di media-media."Kalau gam, gamlah. Setakat ini tidak ada. Saya hanya cakap apa yang benar. Saya katakan apa yang benar," katanya.A Samad juga menempelak "sekumpulan kecil elitis kuasa yang sombong" dan tidak mahu mendengar bantahan ahli bahasa dan sastera berhubung gesaan pemansuhan dasar itu.

Katanya, jika perkara itu berterusan, tidak mustahil suatu hari nanti akhbar-akhbar utama berbahasa Melayu yang lama seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian, akan berkubur.

Beliau turut menempelak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memulakan dasar itu sebagai "penguncup bahasa".Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pelajaran, Hishamuddin Hussein pula disifatkan beliau sebagai "pelanjut penguncup bahasa".

Hujung minggu ini, GMP akan memberikan sokongan kepada sebuah lagi badan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) yang akan membuat laporan polis ekoran pelaksanaan PPSMI yang didakwanya melanggar perlembagaan pada Ahad ini.

* Artikel ini tidak disunting untuk mengekalkan bentuknya yang asal - WITRA

Wednesday, February 11, 2009

PPSMI : TEMU RAMAH DENGAN PAKAR FIZIK UKM, PROF. DATUK DR. MOHD YUSOF OTHMAN

Siaran : Berita @ Bernama (Rangkaian 502 Astro BERNAMA TV).
Tarikh / Masa : 10 Februari 2009 / 1.45 tengah hari.
Tajuk : Bahagian 2 Laporan PPSMI.
Jumlah Masa Rakaman : 4 minit 26 saat.
(Catatan: Di bawah ini disertakan sedikit transkripsi hasil daripada rakaman dalam temu bual tersebut. Hampir 80% rakaman sebenar dapat ditranskripsikan.)
_____________________________________________________________ v/o: (Dalam laporan kedua ini, wartawan BERNAMA TV, Rohana Nasrah mendapatkan pandangan pakar sains dan matematik untuk mengetahui tentang pengajaran sains dan matematik. Menurut pakar fizik UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd Yusof Othman; jika pengajaran sains dan matematik menggunakan bahasa yang tidak difahami, ilmu sains itu tidak akan berkembang, dan ia boleh dianggap salah.)

Kalau kita ingin nak tahu sains, kita mesti fahami apa itu teori ilmu dalam sains, jadi dalam teori ilmu sains ini, mengajar ilmu sains dalam bahasa yang tak difahami oleh seseorang itu adalah salah, salah 100%! salah sungguh! salah yang amat sangat! Ini tak bererti bahawa kita menolak bahasa Inggeris, tak! Bahasa Inggeris itu penting, tapi bahasa Inggeris perlu diajar dalam epistemologi bahasa Inggeris, teori ilmu bahasa Inggeris.

v/o: (Katanya, bukan ingin menolak kepentingan bahasa Inggeris, tetapi bahasa kebangsaan itu sudah mempunyai peranan yang besar bagi memastikan negara mencapai kemajuan berteraskan jati diri bangsa.)

Berapa ramai orang-orang termasuk diri saya sendiri yang buat PHD, yang jadi medical doctor, menjadi ahli cermin mata, ahli farmasi yang berjaya melalui bahasa Melayu. Saya tak kata bahasa Inggeris tak penting ia penting, tapi bukan di peringkat rendah di peringkat sekolahpun, ia penting terutama di universiti.

v/o: (Mohd. Yusof berkata, mata pelajaran sains itu mempunyai bahasa istilahnya sendiri, dan jika tidak menggunakan bahasa Inggeris, pelajar masih boleh memahami proses sains tersebut, tetapi pemahaman menyeluruh terhadap proses sains tercapai jika diterangkan dalam bahasa yang difahami pelajar.)

Kita ambil 3 tabung uji, letak 3 kapas, letak air, letak baja urea, 3 kacang sama, letak tabung uji di tempat panas, gelap, dan di tingkap, yang mana tumbuh segar? Yang tengah panas, pokok perlu cahaya matahari tak perlu pergi ke fotosintesis tak perlu, perlu bahasa Inggeris tak? Di sekolah-sekolah cikgu kelam kabut mengajar! sebab budak tak faham bahasa Inggeris.

v/o: (Menurutnya, negara Jepun jauh lebih maju daripada Malaysia, mereka menggunakan bahasa Jepun dalam sistem pendidikannya. Katanya, negara Jepun dibentuk berdasarkan peradaban negara itu bertunjangkan peradaban berdasarkan bahasa dan budayanya.)

v/o: (Mohd. Yusof menegaskan, akta yang termaktub dalam perlembagaan dan menjadi asas kepada rukun negara perlu sentiasa dihormati, beliau bimbang jika bahasa Melayu tidak lagi digunakan. Jelasnya, statistik pencapaian bukannya justifikasi untuk mengajar dalam bahasa orang lain.)

Statistik bukan justifikasi untuk kita ajar dalam bahasa orang lain, apatah lagi di Malaysia ini, bahasa Melayu itu ada dalam perlembagaan, lagi salah! maka ini salah konteks dalam perlembagaan, rukun negara, keluhuran perlembagaan, kita tak bangunkan rukun negara itu.

v/o: (Ilmu terbangun dalam tuntutan berbudaya, Ilmu matematik dan proses sains akan terbangun apabila komunikasi dua hala dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami antara tenaga pengajar dan pelajar, ilmu itu pasti berjaya.)
________________________________________________________________ v/o - suara ulasan wartawan dalam laporan tersebut.


* Bahan ini tidak disunting untuk mengekalkan bentuk asal yang telah dihantar oleh Saudara RAR. Terima kasih atas sumbangan ini. - WITRA