Sunday, December 29, 2013

TIDAK MUDAH SEPERTI YANG DIJANGKA...

Perjalanan hidup bukanlah mudah seperti yang kita jangka dan sangka. Kehidupan ini memerlukan keberanian. Orang yang berani menongkah cabaran dan melalui pelbagai kesulitan lazimnya lebih mudah untuk mencapai kejayaan. Tokoh-tokoh agung yang hebat, yang kaya, dan yang berjaya tidak dilahirkan hebat, kaya dan berjaya. Mereka menempuh pelbagai kesulitan sebelum mencapai tahap yang tertinggi dan terhebat.

David Beckham misalnya, bukanlah dilahirkan sebagai pemain bola sepak yang menjadi ikon dunia tetapi beliau berlatih di padang sejak berusia 2 tahun...! Kita perlu sedar hakikat ini.

BUKU TULISAN SAYA UNTUK 2014...

Insya-Allah, mudah-mudahan pada tahun 2014, saya dapat menghasilkan buku-buku untuk rujukan dan bacaan semua.
BUKU KERJA KBSR/KSSR/UPSR
1) Buku Aktiviti BM KBSR Tahun 6 (Bagus Publisher) - telah berada di pasaran
2) Buku Aktiviti BM KBSR Tahun 5 (Bagus Publisher) - telah berada di pasaran
3) Buku Aktiviti BM KSSR Tahun 4 (Bagus Publisher) - akan berada di pasaran awal Januari 2014
4) Buku Aktiviti BM KSSR Tahun 1 (Bagus Publisher) - telah berada di pasaran
5) Kertas Model BM UPSR (Bagus Publisher) - telah berada di pasaran
6) Modul Teknik Menjawab Soalan BM  UPSR (Pemahaman) Cemerlang Publisher - akan berada di pasaran awal Januari 2014
7) Modul Teknik Menjawab Soalan BM UPSR (Penulisan) Cemerlang Publisher - akan berada di pasaran awal Januari 2014
8) Kertas Model BM UPSR (Permas Publications) - akan berada di pasaran awal Januari 2014

BUKU BAHASA
1) Koleksi Pintar Bahasa (akan terbit)
2) Koleksi Peribahasa Melayu (akan terbit)

KUMPULAN PUISI
1) Bumantara Bahasa (akan terbit)

Semoga usaha kecil ini akan memberikan impak yang besar...insya-Allah.

Monday, December 23, 2013

TIDAK ADA TEMBOK PENGHALANG UNTUK MENCAPAI KEJAYAAN BESAR DALAM KEHIDUPAN...


BLACK AREA...

Percayalah, seorang pelaut yang hebat benar-benar dapat diuji ketika lautan bergelora. Seorang guru yang hebat benar-benar dapat diuji apabila mendidik murid yang lemah. Sebutir permata yang cantik terhasil daripada perbuatan mencanai yang keras. Dan bintang semakin gemerlap ketika langit semakin gelap...! Jangan takut ketika berada di Kawasan Larangan...Jangan gentar apabila memasuki zon Black Area...! Hadapilah segalanya dengan keberanian. Telah hilang satu kelakian sekiranya hilang sifat keberanian...!

SEBAB MELAYU TIDAK KAYA...

Banyak sebab.
Salah satu sebabnya ialah orang kita apabila berada di zon selesa.
Kebanyakan orang Melayu bekerja makan gaji/bekerja dengan kerajaan. Jikalau dikatakan bahawa bekerja makan gaji tidak mampu untuk hidup senang, jawapannya 'ya' dan barangkali 'tidak'. Banyak pekerja yang makan gaji boleh hidup senang. Sebab itulah, saya sering mengingatkan diri saya dan rakan-rakan yang lain untuk melakukan dan mencari sumber pendapatan tambahan. Kita perlu mewujudkan pekerjaan kedua, ketiga, dan jikalau mampu keempat, kelima...dan seterusnya. Dalam masa yang sama, kita perlu bijak menguruskan wang kita. Ada orang (walaupun jumlahnya sangat kecil) yang tidak melakukan kerja tambahan, tetapi mampu untuk hidup senang. Sudah pasti orang tersebut menguruskan wangnya dengan baik dan bijak. Mungkin akan lebih bijak jika dikatakan bahawa orang yang berjaya menguruskan wangnya itu melakukan kerja tambahan, sudah pasti dia akan lebih berjaya untuk hidup senang....

Saturday, December 21, 2013

KENAIKAN HARGA BARANG...

Kita tidak mampu untuk berbuat apa-apa; sekurang-kurangnya pada masa ini untuk menghadapi kenaikan harga barang dan kos perkhidmatan yang semakin menjadi-jadi. Kita bukanlah pemerintah yang menggubal atau melaksanakan dasar kerajaan. Kita hanyalah rakyat biasa yang terpaksa menanggung semua kos dan kenaikan harga itu. Tetapi, kita ada beberapa cara untuk mendepaninya. Jikalau dahulu, pendapatan kita RM1000.00, mengapakah kita tidak tidak berusaha untuk menampung kenaikan harga barangan itu dengan melakukan tugas-tugas lain yang dapat menjanakan pendapatan RM2000.00? Hanya mengeluh tidak menjanjikan apa-apa...

Tuesday, December 17, 2013

SEKOLAH PERLU MENGAJAR MURID TENTANG PENGURUSAN WANG...

Sebagai guru, saya telah menyedari hal ini sejak dahulu lagi. Soal pengurusan wang sangat penting. Alangkah baiknya sekiranya ada topik atau silibus yang memuatkan pelajaran tentang pengurusan wang secara khusus. Melentur buluh biarlah ketika rebungnya. Namun begitu, tidak berlaku hal ini kerana banyak isi pelajaran yang diajarkan di sekolah tidak relevan...!

Monday, December 16, 2013

SEKOLAH TIDAK MENGAJAR MURID TENTANG PENGURUSAN WANG

Agak malang apabila murid-murid diajar tentang pelbagai pengetahuan di sekolah, dan tidak ada satu pun yang mengajar mereka tentang pengurusan wang. Murid-murid diasuh untuk belajar rajin-rajin, dapatkan pekerjaan yang baik, dan akhirnya, pandai-pandailah menguruskan wang sendiri. Agak malang apabila pengetahuan tentang wang kelihatan sifar apabila mereka tamat belajar di sekolah...

Sunday, December 15, 2013

DUA KEGAGALAN...

TERDAPAT DUA BENTUK KEGAGALAN. PERTAMA, YANG BERFIKIR TETAPI TIDAK MELAKSANAKANNYA. KEDUA, YANG MELAKSANAKANNYA TANPA BERFIKIR.

Friday, December 13, 2013

PENDAPATAN PASIF

Salah satu cara untuk memperoleh pendapatan tambahan yang baik ialah mewujudkan pendapatan pasif. Pendapatan pasif ini akan terus kita peroleh tanpa melakukan apa-apa secara berterusan. Pendapatan pasif akan terus menyumbang kepada poket kita walaupun ketika kita sedang tidur atau bercuti di Pulau Pinang...! Contoh yang mudah ialah apabila kita menyewakan rumah kepada orang lain. Kita akan terus menerima sewa tersebut dan yang menariknya, rumah kita dibayar oleh orang lain...!

Thursday, December 12, 2013

KERJA PART TIME

Sebagai kakitangan kerajaan, kerja sampingan (part time) boleh dilakukan jika ada masa senggang. Namun begitu, sekiranya ingin mencapai kebebasan kewangan dengan lebih cepat dan mudah, kerja sampingan ini perlu dilakukan. Buatlah apa-apa sahaja, asalkan halal, tidak mengganggu tugas hakiki, dan yang lebih penting, dapat menjanakan pendapatan yang lumayan. Sebagai contoh, jikalau anda seorang guru, anda boleh mengajar di pusat tuisyen.

Thursday, November 28, 2013

KITA TIDAK MAMPU...

Kita tidak mungkin dapat menjadi yang terbaik untuk semua orang, untuk semua keadaan...
Pasti akan ada sesuatu yang perlu dilepaskan...
Kita tidak mampu untuk memenuhi semua kesempurnaan dalam kehidupan...

Wednesday, November 13, 2013

JADILAH PAKAR...

Jadilah pakar dalam satu bidang untuk dihormati dan disenangi...dan memperoleh pendapatan tambahan yang memberangsangkan...

Tuesday, November 12, 2013

...EKSTREMIS DI LANDASAN YANG BETUL

Kita cukup pantang kalau dianggap atau dilabel ekstremis...tetapi sedarkah kita bahawa itulah antara cara terbaik untuk menjadi orang yang hebat, berjaya, dan berpengaruh. Ekstremis tidak sepatutnya dinilai dari segi negatif. Sepatutnya ekstremis dilihat daripada perspekstif positif. Sama halnya dengan senjata api. Bersifat ekstremis kerana boleh membunuh.
Tetapi senjata itulah yang memberikan perlindungan kepada pihak berkuasa.
Oleh itu, saya percaya orang yang berfikiran dan bertindak ekstrem berada di landasan yang betul...

Monday, November 11, 2013

WANG DAN TABU DALAM MASYARAKAT

Wang sangat penting.
Kita boleh menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk bercakap tentang perkara-perkara lain, yang kebanyakannya tidak penting, tetapi kita sangat pantang kalau diajak berbual-bual tentang subjek wang. Kita berasa seolah-olah kita akan dilihat sebagai 'hamba wang'. Saya sentiasa percaya bahawa subjek yang sangat menarik untuk dibualkan adalah tentang wang.
Wang sangat penting. Saya ulangi, wang sangat penting.

Friday, November 08, 2013

MUTIARA CENDEKIA 1

ORANG YANG INGIN MENGGONCANG DUNIA TERLEBIH DAHULU HARUS MENGGONCANG DIRINYA SENDIRI ~ Socrates

Wednesday, July 03, 2013

MERENUNG MASA HADAPAN...

Perjalanan ini semakin sulit untuk dimengerti
ketika kaki dirantai oleh kesangsian
merenung masa hadapan
yang penuh teka-teki
persoalan silih berganti
dalam kembara ini.

Merenung masa hadapan
meneka dalam ketidaktentuan
yang masih berbalam-balam
seumpama bukau dilitupi gemawan
yang berarak di suatu persimpangan.

Thursday, June 27, 2013

HAMBA WANG DAN WANG HAMBA...

Biarlah kita bekerja keras sedikit dan dilihat seperti menjadi hamba wang...kerana suatu hari nanti, jikalau usaha itu berjaya, kita akan menjadikan wang itu hamba kita...

Wednesday, June 26, 2013

ANTARA KESILAPAN KITA...

Salah satu kesilapan kita ialah mudah putus asa. Kebanyakan daripada kita tidak sedar bahawa ketika kita mengalah, ketika itulah kejayaan sudah menghampiri kita...

Thursday, June 13, 2013

USIA DAN NILAI...

HIDUP SEMAKIN BERNILAI JIKA USIA MAKIN MENANJAK ...

Tuesday, June 11, 2013

MENGEJAR JENAMA DAN GAJET....

Saya melihat golongan remaja khususnya begitu taksub dengan gajet yang berjenama dan terkini, khususnya telefon bimbit.
Saya tidak melihatnya sebagai suatu keperluan.
Maaf, saya melihatnya sebagai suatu pembaziran.
Jikalau itu menjadi keperluan, teruskan. Kita berhak menggunakan wang kita untuk apa-apa tujuan sekali pun.
Namun begitu, saya lebih melihatnya sebagai suatu kehendak yang tidak perlu.
Saya masih selesa dengan Samsung Galaxy Mini yang semakin usang kerana telefon bimbit untuk saya hanyalah untuk SMS dan membuat/menerima panggilan.
Tepuk dada tanya selera.
Wang anda, anda yang tentukan.
Saya sekadar berkongsi pandangan kerana wang bukan mudah untuk dicari tetapi mudah untuk dihabiskan.

Sunday, June 09, 2013

RETRO BEIJING 2012 ~ Antara Pengalaman Berharga

RETRO BEIJING DISEMBER 2012
~ Suatu pengalaman penting dalam kehidupan ini...di sisi sebuah masjid tertua di China...

Tuesday, June 04, 2013

Friday, May 31, 2013

BAHASA BEIJING

BEIJING...SUATU PENGALAMAN YANG MENARIK UNTUK DIPERKATAKAN. SALAH SATUNYA IALAH MAJORITINYA RAKYATNYA TIDAK TAHU BERBAHASA INGGERIS, TETAPI BEIJING MERUPAKAN BANDAR BESAR (SEBESAR MALAYSIA) YANG SANGAT KAYA DAN MAJU....

Friday, May 17, 2013

JANGAN BEKERJA SENDIRIAN...

Ada orang suka bekerja sendirian. Tidak ada kerjasama. Tidak ada pasukan. Tidak suka menyusahkan orang lain. Dalam banyak hal, tindakan sedemikian kurang relevan jika hendak mencapai kebebasan kewangan.

Contohnya, Encik Abu tidak memiliki kepakaran untuk menyampaikan ceramah. Beliau mencari penceramah yang baik. Kemudian, beliau menganjurkan ceramah dengan mengenakan bayaran kepada peserta. Selepas ditolak bayaran penceramah dan kos-kos lain, beliau mampu menjanakan pendapatan yang besar hasil daripada usahanya dan usaha orang lain. Beliau tidak keseorangan untuk meraih pendapatan.

Inilah antara satu strategi untuk mencari sumber pendapatan. Pendapatannya mungkin (atau pasti) melebihi bayaran penceramah tersebut.

Manfaatkan kebolehan yang ada pada diri kita untuk mencari pendapatan dengan memanfaatkan kebolehan yang ada pada orang lain.

Tuesday, May 14, 2013

HUTANG DAN ANDA...

Ada orang menjadi kaya-raya kerana hutang.
Ada orang menjadi papa kedana kerana hutang.
Bangunan Maybank yang tersergam itu barangkali kerana hutang.
Rumah yang senget-benget itu mungkin kerana bahana hutang.
Ada orang suka akan hutang.
Ada orang benci akan hutang.

Monday, May 06, 2013

'MAKE-UP' KERETA

Banyak orang suka 'make-up' kereta mereka. Saya melihatnya sebagai suatu usaha pembaziran. Tidak banyak manfaat dengan melakukannya. Walaupun begitu, tepuk dada tanya selera. Masing-masing mempunyai pandangan. Ini pandangan saya.

Monday, April 29, 2013

MENCAPAI KEBEBASAN KEWANGAN

Banyak cara yang dapat dilakukan untuk memperoleh kebebasan kewangan. Ada dua cara yang sangat praktis untuk mencapainya, iaitu MENAMBAHKAN PENDAPATAN atau MENGURANGKAN PERBELANJAAN dan sebaik-baiknya MELAKUKAN KEDUA-DUA PERKARA ITU. Yang penting, sebahagian daripada pendapatan itu mestilah disimpan secara konsisten. Sekiranya kita berumur 20 tahun dan menyimpan sebanyak RM200.00 secara tetap setiap bulan (dengan andaian dividen sebanyak 12% setahun), maka apabila kita berusia 55 tahun, maka jumlah terkumpul sebanyak RM1.3 JUTA...Insya-Allah, UBAH...!

Monday, March 18, 2013

ASA SIAPA YANG PUTUS....

Kita jarang-jarang terfikir bahawa pada ketika kita telah berputus asa untuk mencapai sesuatu, kejayaan sebenarnya telah berada tidak jauh daripada kita. Sesuatu itu telah hampir untuk dicapai. Dan kita memilih untuk berputus harap.

Thursday, March 07, 2013

PENDAPATAN TAMBAHAN

Sukar untuk mencapai kebebasan kewangan sekiranya kita hanya melakukan satu pekerjaan. Oleh itu, sumber pendapatan tambahan perlu dicari untuk memudahkan pengurusan kewangan agar lebih terancang. Sudah pasti, setiap manusia dibekalkan dengan kelebihan berbanding dengan orang lain. Manfaatkanlah kelebihan itu untuk mencari sumber pendapatan tambahan.

Tuesday, February 19, 2013

MENCARI DAN MENCIPTA WANG

Orang kaya tidak mencari wang. Orang kaya mencipta wang. Jangan menjadi hamba kepada wang. Jadikan wang itu hamba kita.

Thursday, February 07, 2013

MEMANFAATKAN 8 JAM KETIGA

Semua orang diberi 24 jam setiap hari. Umumnya, 8 jam pertama untuk kita bekerja. 8 jam kedua untuk kita berehat, tidur, dan menguruskan diri. Pernahkah kita terfikir ke manakah perginya 8 jam yang ketiga? Apakah yang kita lakukan pada masa 8 jam ketiga? Kebanyakan individu yang berjaya dalam kehidupan mereka kerana mereka tahu memanfaatkan 8 jam ketiga itu....

Wednesday, February 06, 2013

TABU TENTANG WANG...

Saya masih tertanya-tanya, mengapakah kebanyakan orang kita tidak suka berbual, berbicara, dan berbincang tentang suatu perkara yang sangat mustahak dalam hidup, iaitu WANG. Menjadi tabu atau pantang larang jika hal tentang WANG ditanya...sedangkan kertas bermaruah itu menjadi antara keperluan yang teratas dalam membina kehidupan yang sejahtera...

Monday, January 28, 2013

8 JAM KETIGA...

Setiap orang memiliki 24 jam sehari semalam. 8 Jam pertama untuk bekerja. 8 Jam kedua untuk beristirahat, beribadat, dan menguruskan diri dan keluarga. 8 Jam ketiga dikatakan landasan untuk kita memanfaatkan ruang dan kesempatan yang ada untuk menyejahterakan kehidupan kerana 8 Jam ketiga ini bakal menentukan siapa kita sebenarnya...! Saya terlalu percaya dengan kenyataan ini. Lakukanlah sesuatu untuk memastikan 8 Jam ketiga tidak berlalu dengan sesia....

Thursday, January 24, 2013

JANGAN LUPA UNTUK MENYIMPAN WANG SELEPAS MENERIMA GAJI

Setiap akhir bulan, kita yang bekerja akan menerima gaji. Selepas kita membayar segala hutang-piutang seperti bil, ansuran kereta, insurans, rumah, dll, maka wang bakinya akan digunakan utk perbelanjaan dan simpanan. Simpanan? Berapa ramaikah antara kita yang menyimpan wang secara tetap setiap bulan? Kalau kita tidak dapat menyimpannya sendiri, buatlah potongan gaji. Simpanlah dalam ASB atau Tabung Haji. Yang penting, jangan lupa untuk menyimpan sekurang-kurangnya 10% daripada gaji kita. Jangan tunggu esok...

Wednesday, January 23, 2013

JADILAH PAKAR...

Kita perlu menjadi pakar dalam satu bidang. Janganlah berangan-angan untuk mahir dan pakar dalam banyak perkara kerana kita akan kecewa dan gagal. Cuba kita fikirkan, setelah sekian lama kita hidup di muka bumi ini, tidak mampukah kita menjadi pakar dalam satu bidang sahaja. Orang yang pakar atau sangat pakar dalam satu perkara, lazimnya akan berjaya...Jadilah Pakar...

Wednesday, January 16, 2013

SEMPADAN DAN TELADAN...

Orang Melayu yang telah jauh ketinggalan, maka jadikanlah itu sebagai sempadan.
Yang mara ke hadapan, jadikanlah itu sebagai teladan. Sebaik-baiknya, jadikanlah kedua-duanya sebagai pedoman....

Sunday, January 13, 2013

LIMA PERKARA YANG PERLU DIREBUT...

AZHAR, INGATLAH LIMA PERKARA SEBELUM DATANGNYA LIMA PERKARA....(suatu peringatan untuk diri sendiri...)
Engkau telah diberi masa lapang yang banyak walaupun engkau sentiasa sibuk...
Engkau telah diberi kesihatan yang baik walaupun sesekali engkau sakit...
Engkau telah diberi nikmat kesenangan walaupun engkau tidak sekaya orang lain...
Engkau telah diberi ruang untuk mengecap waktu mudamu walaupun usia semakin meningkat...
Engkau masih hidup, Azhar..! Manfaatkanlah kehidupan ini dan nikmatilah kehidupan ini...!