Wednesday, December 31, 2008

KEWANGAN: STRATEGI PERTAHANAN # 1

UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI
1. Untuk bebas daripada belenggu atau himpitan kewangan, pertama sekali kita haruslah belajar untuk hidup mengikut kemampuan.
2. Hidup mengikut kemampuan tidaklah bermakna kita harus menolak sama sekali keinginan kita. Namun begitu, kita haruslah menyedari bahawa tidak semua barang atau perkara yang dapat kita miliki atau beli walaupun kita ada keinginan untuk memilikinya.
3. Seterusnya, kita hendaklah sedar bahawa wang sebanyak mana pun akan habis dibelanjakan jika kita tidak mengawalnya. Hal ini tidak sulit untuk difahami kerana telah terbukti bahawa terdapat banyak orang yang ada sejarah tentang hal ini. Mereka (mungkin sesekali saya juga!) tidak memikirkan bahawa wang yang diterima setiap bulan itu (jika makan gaji) akan habis jika kita berbelanja tanpa mengira kemampuan yang kita ada.
4. Sepatutnya, kita membeli barang yang kita mampu dan dalam waktu yang sama, kita masih ada lebihan atau baki untuk tujuan yang lain.
5. Saya percaya bahawa ramai antara kita yang bersetuju bahawa pada zaman ini, wang mengalir tanpa henti, malahan panggil Pepaya datang untuk menahannya pun, wang akan terus mengalir. Cuba saudara lihat, pada hari apakah dalam seminggu ini saudara tidak mengeluarkan sesen pun wang dari poket saudara! Saya lihat saudara sudah tergagap-gagap untuk menjawab soalan ini!
6. Mengapa terjadi demikian? Walaupun saya yang bertanya, oleh sebab blog ini saya yang punya, maka saya akan menjawabnya sendiri!
7. Kerana di luar sana, terdapat terlalu banyak tarikan! Cuba kita berkunjung ke Teluk Danga untuk satu malam, saya percaya kalau kita tidak mengajak anak kita balik cepat, alamatnya poket bapaknya akan terkopak!
8. Saya terdengar saudara berkata, "Sesekali, apa salahnya...". Ya, saya sangat bersetuju. Sesekali apa salahnya. Bawalah anak anda berjalan-jalan sambil menghirup udara segar di tepi Pantai Lido itu. Saya sendiri pun selalu pergi ke sana, dan oleh sebab saya bukanlah bapak yang kedekut, banyak juga kertas yang paling berharga itu bertukar pemilik!
9. Nampaknya, saya selalu terpesong daripada idea asal! Tolong jangan potong markah saya, cikgu! Kasihanlah kepada nenek saya di kampung!
10. Hidup mengikut kemampuan bermaksud kita tidak perlu menunjukkan bahawa kita ada kemampuan untuk membeli itu dan ini kerana tidak ada sesiapa yang akan kagum kepada kita jika kita berpakaian mahal atau berkereta mewah. Siapa yang akan membelek baju saudara walaupun saudara membelinya dengan harga yang mahal? Dalam sebuah buku yang saya baca, seorang pereka fesyen yang terkenal (artis-artis sangat kenal dengan dia) pun membeli seluar jeans untuk dipakai di pasar malam! Saya tak dapat bayangkan jika dia terserempak dengan artis yang menjadi pelanggannya itu...
11. Pendek kata, untuk mencapai tahap kebebasan kewangan yang pertama, kita haruslah bersedia untuk hidup mengikut kemampuan. Mungkin saudara perlu tambah hal ini dalam senarai azam tahun baharu 2009!
12. Dalam buku The Millionaire Next Door, kebanyakan jutawan di AS bukan sahaja hidup mengikut kemampuan, malahan hidup di bawah kemampuan! Saya percaya sebab itulah kita tidak menjadi jutawan!
13. Tok guru! Jika hidup mengikut kemampuan, nampaknya tidak berbahagialah kita! Betul tak?
14. Ya, jawapan dan pandangan saudara memang salah! Siapa kata tidak bahagia? Bahagia merupakan suatu hal yang sangat subjektif. Orang yang berpendapat RM100 ribu sebulan, jika dia berbelanja RM110 ribu, saya percaya dia tidak bahagia. Kebahagiaannya akan semakin terhakis jika surat bank dan peguam datang mengucapkan salam! Memang mereka gembira ketika membelanjakan wang itu, tetapi mereka akan menjadi seperti pelakon dalam drama Melayu, akan sengsara akhirnya. Percayalah, ini kisah benar yang berlaku dalam hidup saya. Arwah bapa mentua saya hanya seorang penoreh getah, dan pendapatannya tidaklah seberapa, namun saya melihat bapa mentua dan ibu mentua saya sangat-sangat bahagia! Tidak pernah sekalipun saya melihat siapa-siapa pun antara mereka yang bercakap meninggikan suara! Nah, adakah kebahagiaan diukur dengan jumlah yang perlu kita belanjakan!
15. Walaupun saya sedar, bahawa kebahagiaan adakalanya boleh dibeli dengan wang, namun dalam konteks hidup mengikut kemampuan, kebahagiaan itu merupakan soalan subjektif, kena tulis karangan! Tak ada kertas objektif, ABCD!
16. Seterusnya, dalam konteks ini juga, kita haruslah beringat untuk berbelanja kurang daripada pendapatan. Jika pendapatan saudara sebanyak RM2 ribu sebulan, wajarlah saudara berbelanja untuk semua perkara tidak melebihi RM1800 kerana minimum, 10% daripadanya mestilah disimpan. Jika lebih banyak simpanannya, pasti lebih baik. Hal ini penting kerana dengan berbuat demikian, saudara memiliki wang. Itu sangat jelas! Amat malanglah jika saudara menghabiskan kesemua pendapatan saudara untuk berbelanja. Dan dalam fikiran saya sekarang, saya melihat seorang lelaki sedang berjalan-jalan sambil bercakap seorang diri dan menyelongkar tong sampah! Dia telah berbelanja melebihi pendapatan! Harap-harap lelaki itu bukanlah anda!
17. Sebenarnya, untuk mengamalkan gaya hidup mengikut kemampuan ini, tidaklah sukar sangat kerana saya tidak mencadangkan pun agar saudara makan maggi sebagai sarapan, dan makan roti canai sebagai makan malam. Tidak tuan-tuan! Perlukah saya ulangi bahawa kita tidak diizinkan (malah dalam agama pun) untuk menjadi kedekut! Yang saya tegaskan ialah hidup mengikut kemampuan.
18. Bukankah peribahasa Melayu menyatakan bahawa berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, ...( sambunglah sendiri peribahasa ini, senang je,!) Saudara tidak perlu lagi untuk memperagakan pakaian mahal jika orang tahu bahawa gaji saudara sekian banyak. Tidak akan ada orang bertanya harga baju mahal kita jika mereka tahu jumlah pendapatan kita. Inilah realitinya. Ada seorang saudara saya di kampung yang memakai jam tangan berjenama Rado (harganya ribuan ringgit) tetapi kebanyakan kawannya tidak pernah bertanya harganya. Pada suatu malam, dia kelihatan runsing kerana terlalu ramai yang mengatakan bahawa jamnya itu dibeli di kedai kaki lima Giant Alor Setar! Kasihan, kan...!
19. Saya percaya bahawa hidup mengikut kemampuan merupakan langkah awal dan strategi pertahanan pertama yang berkesan untuk memastikan hidup ini lebih bahagia.
20. Saya akhiri coretan malam ini (untuk hal kewangan, saya tidak lagi meletakkan di bawah entri GRAFITI, saya perkenalkan yang baru, KEWANGAN) dengan satu petikan daripada buku The Pursuit of Happiness, moga-moga kita (saya dan saudara juga) akan lebih insaf...
Ada dua cara untuk menjadi kaya. Yang pertama dengan memiliki harta yang banyak. Yang kedua, tidak mempunyai kehendak yang banyak!
Jumpa lagi...

Wednesday, December 24, 2008

REAKSI: KERJA MAKAN GAJI TETAPI KAYA!

KOMEN/PERTANYAAN:
Apa lagi perkara yang boleh dilaksanakan untuk menjadi jutawan? (Jangan bagi jawapan yang sama...ASB!).Bolehkah kakitangan kerajaan menjadi jutawan? (sebelum bersara wajib dan tidak mencapai tahap JUSA).


ULASAN/JAWAPAN:
1. Saudara, sebenarnya saya sering juga ditanya oleh rakan-rakan cara untuk menjadi jutawan. Saya menyatakan bahawa cara yang agak mudah (tidaklah sukar mana) untuk menjadi jutawan ialah pergi ke Indonesia!
2. Sebenarnya, untuk menjawab persoalan ini, rasa-rasanya pakar kewangan nombor satu di negara ini pun telah menulis berbelas-belas buku tentang panduan untuk menjadi jutawan! Tetapi, berapa ramaikah yang telah bergelar jutawan selepas membaca buku beliau! Yang lebih menarik ialah beliau membaca sebanyak 600 buah buku tentang kewangan sebelum berani menulis sebuah buku tentang kewangan! Tidak lain tidak bukan, beliau yang dimaksudkan ialah Azizi Ali. (maaf, jika saya sering menulis dan menyebut namanya - dia telah berjaya merobah persepsi saya tentang wang!).
3. Tidak mudah untuk menjadi jutawan. Kita perlu ada aset bersih sama ada dalam bentuk wang tunai, hartanah atau saham sebanyak RM1 juta untuk menjadi jutawan. Jumlah RM1 juta bukanlah jumlah yang sedikit. Kerja sampai pencen pun belum tentu dapat kumpulkan jumlah itu. Apatah lagi, jika kita hanya ada satu sumber pendapatan, iaitu gaji yang diterima setiap bulan. Campur gaji laki bini pun rasa-rasanya tak akan tercapai jumlah sejuta itu.
4. Namun, tidaklah bermakna untuk mencapai tahap jutawan suatu misi yang mustahil. Telah banyak orang, malahan yang bekerja makan gaji pun telah menjadi jutawan. Mungkin kita akan tertanya-tanya, apakah strategi kewangan mereka?
5. Ya, salah satu sebab mereka telah menjadi jutawan ialah mereka berjaya menjual tanah pusaka di kampung untuk dibangunkan. Harga tanah melebihi sejuta ringgit dan pastilah mereka menjadi jutawan!
6. Yang kedua, mereka bernasib baik kerana berkahwin dengan jutawan. Betapa untungnya mereka! (Sayangnya, program More Jutaria telah lama tiada, kalau tidak mungkin kita pun boleh menjadi jutawan! (Encik Samerin menjadi jutawan selepas menang program ini).
7. Tetapi, kita tidak menjual tanah pusaka kerana kita anak yang baik! Kita pun tidak berkahwin dengan jutawan kerana suami atau isteri kita orang kebanyakan macam kita juga. Tetapi, kita pasti ingin menjadi jutawan. Siapa yang tidak mahu menjadi jutawan, sila angkat tangan!
8. Alangkah bahagianya jika kita bergelar jutawan. Sekali lagi diulangi bahawa bukan mudah untuk mencapai tahap itu.
9. Tok guru, anda membebel dari tadi, tapi soalan saya tak jawab-jawab lagi nih!
10. Sabar anak muridku, otak tok guru pun dah hampir pecah nak fikir strategi nih! Janganlah kalut sangat! Ingat senang ke? Baiklah, cuba duduk diam-diam dan dengar cakap tok guru nih! Siapa yang nak ke tandas, sila ambil pas keluar!
11. Kawan-kawan, saya akan cuba mengupas hal ini dalam blog saya dari masa ke masa. Saya melihat ramai rakan kita yang sudah teruja untuk memiliki kebebasan kewangan. Jangan kata mereka, saya sendiri pun dah naik meroyan jika bercakap soal ini! Sekarang, kalau tak ada orang nak dengar, dengan kambing pun saya akan bercakap tentang wang!
12. Untuk menjadi senang-lenang dan tidur malam lebih tenteram kerana banyak wang, terdapat beberapa strategi kewangan yang perlu kita laksanakan, tuan-tuan.
13. Kita memerlukan dua strategi utama; iaitu strategi pertahanan dan strategi serangan.
14. Bagi strategi pertahanan, ringkasnya (saya akan jelaskan nanti - malam ini tak sempat dah!) kita hendaklah mengamalkan konsep berjimat dalam kehidupan. Nikmatilah apa yang mampu kerana jika hari ini kita memiliki kereta Proton Persona, tidak mustahil esoknya kita berangan-angan untuk membeli kereta Toyota Wish. Jika Toyota Wish sudah dibeli, saya pasti nafsu kita akan meminta kita beli BMW pula. Akhir sekali, kita tutup muka apabila naik kereta yang pernah menipu sang buaya, apa lagi kalau bukan Sang Kancil! Itu tentang kereta, yang lain pun sama juga. Kita tidak pernah berasa puas dengan apa yang kita miliki. Yang mendukacitakan ialah kemahuan yang terpaksa dituruti ini menelan belanja, dan jalan ke arah kebebasan kewangan semakin mengecil kerana wang sudah habis dibelanjakan untuk membeli kemahuan itu. Sebab itulah, kereta isteri saya sampai hari ini masih tidak ada spoiler belakang walaupun sudah lapan belas kali isteri saya meminta saya memasangnya agar kelihatan lebih anggun! Maaf isteriku, abang telah membaca banyak buku kewangan! Mungkin kali kesembilan belas, abang fikirkan lagi!
15. Bagi strategi serangan, yang menjadi pemacu kekayaan, kita hendaklah mempunyai cara yang berkesan untuk memastikan wang kita bercambah. Jika bulan ini kita simpan RM100.00, harap-harap wang itu akan menjadi RM500.00 atau lebih dalam tempoh setahun lagi. Kita harus bijak memilih tempat untuk melabur atau meletakkan wang kita itu. Jika kita simpan di bawah tilam, wang itu bukan sahaja tidak dilaburkan, malahan mungkin akan dileburkan oleh pencuri!
16. Selain itu, jika ada keupayaan, usahakan agar kita memiliki beberapa sumber kewangan dan punca pendapatan. Lagi banyak lagi cepatlah kita mendaki gunung kekayaan. Secara logik, mustahil kita menjadi jutawan jika menyimpan RM150.00 dalam Tabung Haji setiap bulan! Itupun melalui potongan gaji!
17. Antara lainnya ialah, jika kita mahu kaya, kita hendaklah mengamalkan dua prinsip asas ini; pertama - ingatlah untuk berjimat cermat, dan kedua - jika tidak mampu untuk berjimat cermat, tambahkan pendapatan. Lebih baik kita laksanakan kedua-duanya sekali agar lebih cepat kita berjaya.
18. Insya-Allah, saya akan berkongsi dengan saudara secara lebih terperinci tentang kedua-dua strategi itu selepas ini. Rajin-rajinlah layan blog saya! Dan jangan lupa, tinggalkan komen.
19. Saya akhiri catatan GRAFITI malam ini dengan suatu cerita yang saya kutip daripada buku Jutawan dari Planet Jupiter (Azizi Ali);
Socrates, ahli falsafah Yunani yang terkenal, suka pergi ke pasar di Athens. Beliau suka merayau-rayau dari gerai ke gerai dan singgah sejenak untuk melihat-lihat barangan jualan yang dipamerkan. Walaupun kerap ke sana, beliau tidak pernah membeli apa-apa. Seorang rakan bertanya sebabnya. Jawapan klasik yang diberikan, "Saya sentiasa kagum melihat begitu banyak barang yang tidak saya perlukan."
20. Fikirkan, dan ambillah iktibar daripada anekdot di atas, kerana jika kejadian itu berlaku pada tahun 400 T.M, bayangkan betapa banyaknya barang yang tidak kita perlukan pada zaman ini! Jumpa lagi...

Monday, December 22, 2008

GRAFITI: HARITH ZARWITRA PERMATA HATI MAKAN KFC


Dirakamkan di Restoran Jejantas Sungai Buluh pada 11 Disember 2008 yang lalu sewaktu dalam perjalanan pulang ke JB dari kampung setelah bercuti dua minggu. Mungkinkah wajah kecil ini akan menjadi legasiku nanti. Anakku Harith, Nurwahyu, dan Layla, suatu masa nanti, biarpun setinggi langit ketujuh engkau menggapai kejayaan dan seluas tujuh lautan ilmu yang dimiliki, janganlah sesekali engkau melupakan asal usul dan jati diri bangsamu!

GRAFITI: SELAMAT JALAN ENCIK MOHAMAD IBRAHIM DAN SELAMAT BERTUGAS DI DBPKL

Foto ini dirakamkan sewaktu saya dan Encik Mohamad Ibrahim (pegawai perancang bahasa DBP) mengendalikan Kursus Pemantapan Sahibba Negeri Johor di Hotel Tropical Inn, JB pada 18 hingga 19 April 2008 yang lalu.

Namun begitu, Encik Mohamad telah kembali bertugas di KL, Bahagian Ensiklopedia, DBP setelah bertugas di JB selama hampir dua tahun, kalau tak silap . Saya ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada beliau yang telah memberikan banyak kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan ceramah dan bengkel selama beliau berada di DBPWS. Saya memohon maaf sekiranya ada tersilap kata dan terlanjur tindakan yang mungkin menggores hati. Kalau ada masa dan kesempatan, selalulah jenguk-jenguk rakan-rakan di JB. Jika saya ke KL, pasti saya akan hubungi. Sampai jumpa lagi...
p/s: Hotel yang salah....! saya nampak Encik Rusdi tergelak besar...dengar sampai ke Caltex!

GRAFITI: CERAMAH KHEMAH BAHASA DI MELAKA

Foto ini dirakamkan ketika saya sedang berceramah di Melaka semasa program Khemah Bahasa Pelbagai Kaum, 10 November 2008 yang lalu. Melalui program ini, saya turut menekankan pentingnya bahasa Melayu didaulatkan tanpa rasa gentar, tanpa rasa malu, tanpa rasa bimbang! Sekarang, orang Melayu (khususnya orang yang berpengaruh seperti pemimpin politik) semakin takut untuk bersuara demi menjaga kepentingan bahasa Melayu. Kalau yang ada pengaruh dan kuasa pun sudah begitu, cuba kita fikirkan, apakah nasib bahasa Melayu nanti. Pejuang bahasa hanya mampu untuk melontarkan perasaan dan pandangan, tetapi kuasa akhirnya (mutlak dan veto!) terletak pada kuasa politik orang Melayu. Lihatlah PPSMI, satu dasar yang ternyata mencabul Perlembagaan Malaysia dan segala akta yang ada. Akhbar hari ini (Berita Harian) melaporkan bahawa GAPENA akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan jika PPSMI diteruskan. Kita lihatlah nanti, adakah kenyataan itu akan menjadi satu lagi retorik orang Melayu yang semakin panjang! Saya pasti, ya! Siapa Melayu yang berani untuk mempertahankan bahasa Melayu lagi?

GRAFITI: BERSAMA-SAMA TONGGAK KEKUATAN SASTERA WILAYAH SELATAN

Bersama-sama dengan Encik Rusdi Abd. Rahman, pegawai perancang bahasa DBPWS yang banyak membina dan menyemarakkan kegiatan sastera di wilayah selatan. Foto ini dirakamkan semasa kegiatan Puisi Tradisi di Kulai, 16 April 2008 semasa saya dan Encik Rusdi berada di sana untuk mendengar pengisian daripada pakar puisi tradisi negeri Johor, Tuan Haji Rosli Bakir.

Selamat bercuti di Pulau Pinang, Encik Rusdi. Jangan lupa untuk mengunjungi Pesta Pulau Pinang yang sedang diadakan di Sungai Nibung. Jangan tersesat jalan, sudah! Kalau tersesat, telefon saya. Insya-Allah, mungkin dapat membantu. Di Pulau Pinang, carilah Line Clear, depan sikit dari Chowrasta untuk menikmati nasi kandar di situ! (tak susah untuk makan nasi kandar kerana berlambak-lambak restoran mamak di P.Pinang).
Satu lagi, pandu hati-hati! Semoga selamat ke destinasi dan selamat kembali ke JB.

REAKSI: Pelaburan Forex

KOMEN/PERTANYAAN
Cikgu, apa pendapat cikgu tentang pelaburan FOREX? Ramai kawan-kawan saya yang terlibat dengan FOREX. Saya masih mengkaji lagi dan belum mahir sepenuhnya. Adakah FOREX satu pelaburan yang menguntungkan?


ULASAN/JAWAPAN
1. Terima kasih kerana ingin berkongsi pandangan dengan saya. Tentang pelaburan Forex, saya sebenarnya pun masih meneliti fakta dan keberkesanannya. Sehingga kini, saya belum meyakini pelaburan tersebut walaupun ada rakan yang menyatakan bahawa mereka telah berjaya melaluinya. Yang paling penting, kita mestilah mengetahui bahawa pelaburan seperti Forex ini tidak ada jaminan bahawa kita akan mendapat pulangan yang lumayan.
2. Saya terdengar saudara berbisik bahawa ramai rakan saudara telah berjaya dalam pelaburan ini.
3. Saya tidak menyatakan bahawa pelaburan ini suatu penipuan seperti skim cepat kaya yang lain (sebenarnya skim cepat miskin!). Selagi tidak ada bukti sedemikian, tidak adil untuk kita mengatakan pelaburan ini suatu penipuan.
4. Namun begitu, cuba perhatikan anekdot ini:
Empat orang rakan memberitahu saya dengan yakin bahawa mereka telah berjaya dalam suatu pelaburan di luar negara. Mereka menunjukkan bukti (apa lagi kalau bukan fotostat cek dan fotostat akaun bank yang terpapar sejumlah wang!) bahawa pelaburan mereka menghasilkan pulangan yang besar. Saya pasti teruja, lantas mengeluarkan wang simpanan saya dan memberikan wang itu kepada mereka untuk dilaburkan dalam skim tersebut.
5. Persoalannya ialah:
6. Mungkinkah saya menjadi pelabur kelima dalam skim itu yang akan menjadi pelabur pertama yang akan kehilangan wang?
7. Apakah jaminan bahawa saya akan mendapat keuntungan?
8. Siapakah yang akan membayar ganti rugi kepada saya jika saya kehilangan wang itu?
9. Tiga soalan tersebut sudah cukup untuk dijawab dahulu sebelum kita membuat keputusan melaburkan wang di tempat yang kita tidak pasti, kita tidak berada di situ, dan kita tidak tahu-menahu tentang operasinya. (Saya percaya mungkin rakan saudara pun tidak tahu di mana pejabatnya!)
10. Pelaburan Forex ada persamaan dengan pelaburan skim cepat kaya yang lain seperti Swisscash, skim piramid, skim ala Ponzi, dan yang sedondon dengannya.
11. Itu pandangan atau persepsi awal saya sahaja.
12. Dan pandangan ini akan menjadi benar sekiranya kita tidak tahu apa-apa tentang pelaburan yang kita lakukan.
13. Saya menjadi hairan dengan sikap sesetengah orang kita yang tidak mendalami bentuk pelaburan yang ingin disertainya. Mereka ini golongan tamak, dan anjing pun telah terjatuh ke dalam air kerana sikap tamaknya! Namun, adakalanya mereka bercakap besar! Pernah seorang rakan bercakap tentang pelaburan luar negara, dan saya bertanya sedikit tentang offshore kepadanya, dan dia sendiri pun tidak tahu makna offshore itu!
14. Masih ingatkah lagi kita semasa Swisscash menjadi kegilaan dahulu? Semua orang yang terlibat menegaskan bahawa pelaburan ini halal, dijamin, dan tidak ada unsur penipuan. Malah ada yang menulis surat kepada akhbar dan menegaskan hal ini, seolah-olah Swisscash itu memang tidak tipu!
15. Seorang rakan saya sekarang tidak bercakap lagi tentang wang dengan saya kerana anda tahu, dia salah seorang pelabur Swisscash!
16. Saya bimbang Forex pun ada unsur-unsur seperti itu. (sekadar bimbang, bukan menuduh!).
17. Nasihat saya ialah kaji pelaburan Forex itu betul-betul, fahami operasinya, tahu wang kita dilaburkan di mana, tahu siapa pengendalinya, dan apakah jaminannya? Jika pelaburan itu benar, dan amat menguntungkan, saya agak hairan kerana amat jarang saya mendengar atau melihat orang bercakap tentangnya. Ironi sekali!
18. Oleh sebab saya masih meneliti prospek pelaburan ini, saya tidak berani untuk menyatakan sama ada pelaburan ini menguntungkan ataupun tidak. Saya tidak berani memberikan apa-apa cadangan kepada saudara untuk melabur di dalamnya.
19. Jika saudara ada rakan yang telah berjaya, minta pandangannya dan bersikap skeptikal sedikit dalam hal ini kerana dia mungkin mendapat pulangan, anda belum tentu lagi selagi wang tidak berada di dalam akaun anda!
20. Akhir sekali, bacalah buku Azizi Ali, Mencari Maut untuk mengetahui banyak hal tentang pelaburan, apatah lagi skim cepat kaya! Jangan kita terjerat dan setiap malam menyanyikan lagu "Jerat Percintaan"! (Ubah sikit - Jerat Pelaburan!)

REAKSI: TERIMA KASIH SAUDARA ZAID AKHTAR!

KOMEN/PERTANYAAN
Tuan Azhar,rupanya senyap-senyap tuan juga berblog ya. Tahniah.Tuan, ubahlah template sekali-sekala. Sekadar cadangan. Saiz tulisan pada blog tuan ini adalah lebih baik jika lebih jelas.Jangan lupa, masukkan juga gambar-gambar tuan yang tampan itu tatkala berceramah di sana-sini. Atau ketika mengembara mencari ilham di Tg Piai.salam hormat.

ULASAN/JAWAPAN
Apa lagi yang harus saya katakan melainkan ucapan terima kasih kepada saudara Zaid atas cadangannya itu. Tentang template dan saiz tulisan, insya-Allah, selepas ini akan cuba diubah. Tentang gambar saya yang tampan itu (ewah!), insya-Allah, akan cuba dimasukkan. Satu cadangan yang telah saya fikirkan, cuma belum sempat lagi. Dan tentang kembara mencari ilham, akan saya muatkan dari masa ke masa. Yang penting, saudara Zaid terus melayari blog ini!
Terima kasih banyak-banyak! Semoga pandangan yang sedingin SALJU ini akan memberikan SAKINAH kepada saya seterusnya!

Sunday, December 21, 2008

REAKSI: Insurans Menguntungkan?

Komen/Pertanyaan:
Saya lebih berminat melabur dalam insurans. Saya kira pelaburan dalam insurans lebih menjamin masa depan jika dilihat dari sudut keuntungan-keuntungan lain (bukan dividen dan bonus). Jaminan yang disediakan bukan setakat jaminan kewangan tetapi juga jaminan keselamatan (security). Lagi-lagi kalau kita beli insurans nyawa, pendidikan, kesihatan dan insurans am (untuk aset seperti rumah, kereta, dll).

Ulasan/Jawapan:
1. Insurans sudah bernyawa kira-kira 500 tahun yang lalu. Tidak dinafikan bahawa insurans merupakan alat kewangan yang jika diuruskan dengan betul akan memudahkan hidup kita. Namun begitu, berapa ramaikah antara kita yang benar-benar faham akan insurans? Kebanyakan daripada kita membeli insurans (selain insurans kereta - sebab tak ada pilihan!) seperti insurans pendidikan dan insuran nyawa kerana terpengaruh dengan kata-kata ejen.
2. Tujuan insurans, antara lainnya adalah untuk memindahkan risiko kepada syarikat insurans dengan sejumlah wang (premium). Dengan cara ini, kerugian yang lebih besar (jika berlaku sesuatu) tidak dibebankan kepada kita. Inilah tujuan utama pembelian insurans.
3. Ingat, jangan menginsuranskan perkara-perkara yang kecil dan tidak menelan kos yang besar, misalnya banyak insurans yang menawarkan bayaran harian hospital. (Buat apa hendak menuntut duit tidak banyak mana, tetapi kena tunggu berbulan-bulan!) Oleh sebab itu, insuranskan benda yang penting sahaja dan kosnya tinggi, misalnya kereta, rumah, dan hilang upaya untuk mencari rezeki. Satu hal lagi, jangan peruntukkan terlalu banyak wang anda dalam sebulan untuk membayar premium insurans. Biarlah jumlahnya kecil dan pastikan jumlah simpanan mestilah melebihi bayaran premium insurans.
4. Berdasarkan komen di atas, yang saya ingin tegaskan ialah INSURANS BUKAN SUATU ALAT UNTUK MEMBUAT WANG ! Memang benar insurans memang memberikan jaminan dan sayangnya, tidak memberikan pulangan. Sebab itulah, jarang-jarang (atau hampir tiada!) ejen insurans bercakap tentang peratus keuntungan insurans. Yang banyak diperkatakan ialah jumlah wang terkumpul apabila tempoh matang. Percayalah kawan-kawan yang budiman, ambil kalkulator dan cuba kira peratus keuntungan apabila tempoh matang. Pasti tidak begitu menggembirakan kerana lazimnya, peratusnya tidak sampai angka 5%!
5. Namun begitu, insurans mesti dibeli kerana tujuannya adalah untuk melindungi diri kita, keluarga kita (jika kita sudah tiada!), dan harta benda kita.
6. Sekiranya kita beranggapan bahawa membeli insurans merupakan suatu produksi untuk membuat dan mencetak wang, kita salah!
7. Ada pendapat yang mengatakan bahawa selain menyimpan wang, dengan insurans, kita juga dilindungi. Itu betul!
8. Tetapi, jika ejen insurans asyik bercakap tentang keuntungan selepas tempoh matang, jika anda boleh jauhi dia, jauhilah dengan seberapa segera kerana air liur ejen itu sudah berjejer-jejer melihat poket anda! Mungkin anda perlukan roket!
9. Suatu hal lagi, jika anda masih muda dan belum berbini atau berlaki, tidak perlu beli insurans hayat! Siapa yang bergantung pada anda? Lebih baik wang itu simpan dalam ASB! Helo kawan, insurans hayat bukannya murah!
10. Bagi insurans hayat, lebih baik anda dapatkan insurans hayat sementara, bukannya insurans sepanjang hayat. Mudah hendak difahami, insurans hayat sementara ialah bayar sekali, misalnya RM500 dan dilindungi sepanjang tahun itu, tetapi wang itu akan terkubur selepas tamat tempoh setahun.
11. Insurans sepanjang hayat ialah bayaran premium bulanan, misalnya RM50 sebulan dan anda dilindungi selama 25 tahun, misalnya. Untuk makluman, insurans ini sangat mahal kerana anda perlu membayar, biasanya lebih tiga atau empat kali ganda lebih banyak berbanding insurans sementara dalam setahun.
12. Katakan anda memilih insurans sepanjang hayat, dan premium setahun RM1500. Saya memilih insurans hayat sementara dan premiumnya RM500 setahun. Bukankah anda terlebih bayar daripada saya sebanyak RM1000.00! Wang sebanyak itu bukanlah lebih baik dilaburkan dalam ASB (lagi-lagi ASB!).
13. Dan, biasanya, jumlah perlindungan insurans hayat sementara lebih tinggi!
14. Saya pernah membeli insurans hayat sementara dengan AIA dengan bayaran sebanyak RM132.00 setahun dan perlindungannya sebanyak RM50,000.00 dan meliputi satu keluarga! Wah, bertuahnya saya!
15. Jika anda beranggapan bahawa anda berasa rugi kerana wang anda akan lebur kerana membeli insurans hayat sementara ini, anda tersilap kerana insurans bukanlah alat untuk membuat untung, melainkan untuk membiayai keluarga jika kita sudah tiada. Soal pulangan tidak seharusnya menjadi keutamaan. Jika difikirkan soal pulangan, anda haruslah melabur dalam instrumen pelaburan yang lain. (Perlukah saya nyatakan ASB sekali lagi!)
16. Jika kita bercakap soal jaminan keselamatan dan bukannya jaminan kewangan, memang insuranslah tempatnya. Berbalik kepada komen di atas, memang benar pandangan tersebut.
17. Saya sebenarnya kurang (bukannya tidak!) berminat untuk bercakap tentang insurans pendidikan anak-anak, kerana saya lebih mempercayai bahawa simpanan di tempat yang mendatangkan pulangan yang lebih tinggi lebih wajar untuk pendidikan anak-anak. Bukanlah bermaksud insurans pendidikan itu tidak baik, tetapi ada yang lebih baik daripada itu. Mengapa tidak kita melaburkan wang untuk pendidikan anak-anak di tempat yang lebih baik? Tempat yang turut ada jaminan, misalnya pasaran saham atau saham amanah.
18. Di situ, pulangannya jauh lebih besar! Apatah lagi, kos pendidikan anak-anak semakin tinggi dari tahun ke tahun. Saya bimbang jika anak anda mengambil jurusan perubatan (kosnya sangat tinggi), anda akan menjadi pesakit pertamanya! Bagaimanakah pula dengan kadar inflasi. Misalnya, anda membayar premium keseluruhan sebanyak RM70,000.00 dan mendapat pulangan daripada keuntungannya sebanyak RM30,000.00. Hal ini bermakna anda berjaya mengumpulkan wang sebanyak RM100,000.00 untuk membiayai pendidikan anak-anak. Inflasi (sekarang kadarnya lebih 8%) akan memakan nilai wang itu sehingga kurang daripada RM100,000.00. Dan pasti anda tidak dapat membiayai pelajaran anak anda kerana wangnya masih tidak mencukupi. Kalau saya di tempat itu, maka bertambah cepatlah kepala saya botak!
19. Jika anda menabung atau melabur wang anda di saham amanah, keuntungannya lebih tinggi. Sekurang-kurangnya, instrumen ini lebih baik berbanding dengan insurans pendidikan kerana pulangannya jauh lebih besar. Anda bertanya, bukankah dengan insurans pendidikan, anak anda akan dilindungi dan dalam waktu yang sama, mendapat keuntungan?
20. Saya menjawab, lagi-lagi anda bercakap tentang keuntungan! Bukankah saya telah menyatakan bahawa ada tempat lain yang lebih menguntungkan! Dan saya pun meminta anda mencarum dalam insurans hayat. Anak anda tetap dilindungi (kerana membeli insurans hayat (yang sementara), dan wang untuk pendidikan anak anda lebih banyak terkumpul (kerana anda melabur dalam saham amanah, contohnya).
21. Satu-satunya tujuan insurans dibeli adalah untuk membiayai perbelanjaan dan kewangan kepada keluarga anda apabila anda sudah ditalkinkan. Dan untuk penegasan, itu sahaja yang sepatutnya anda fikirkan dan pertimbangkan sewaktu membeli insurans. Meletakkan harapan yang terlalu tinggi dalam insurans bukanlah tindakan yang bijak. Contoh yang mudah, berapa kalikah anda menggunakan kemudahan insurans untuk menampung kos hospital anda selama ini? Berapa kalikah anda menerima cek daripada syarikat insurans kerana kerosakan kereta anda? Saya belum pernah! Eh, anda salahkah adik anda pula! Janganlah begitu...
22. Namun begitu, untuk menyemai amalan menabung untuk pendidikan haruslah dipuji. Ini suatu amalan yang sungguh mulia. Baiklah murid-murid, keluarkan buku latihan dan jawab soalan objektif ini!
23. Saya akan berbicara lagi tentang hal-hal yang bersangkutan dengannya lagi...insya-Allah, malam esok atau malam seterusnya...doakan umur saya panjang.
24. Sebentar isteriku, sudah sampai ayat terakhir nih!

REAKSI

Saya membuat suatu pecahan lagi untuk blog ini, selepas GRAFITI (pandangan peribadi), BAHASA, BANGSA, DAN PICISAN. Pecahan ini saya namai sebagai REAKSI. REAKSI diwujudkan untuk menjawab atau mengulas komen yang diberikan oleh rakan-rakan blog. Oleh itu, saya mohon agar rakan-rakan blog yang memberikan komen (saya sangat menghargainya) agar terus memberikan komen dan mengizinkan saya untuk mengulas komen itu atau menjawab pertanyaan (jika ada). Dengan cara ini, mudah-mudahan hubungan antara kita menjadi semakin akrab! Terima kasih kerana anda sentiasa bersama-sama dengan saya...

Thursday, December 18, 2008

GRAFITI: Masih tentang ASB

1. Terima kasih kerana memberikan pandangan dan komen, khususnya Encik Rusdi yang menjadikan blog ini sebagai suatu santapan harian! Terima kasih banyak-banyak!
2. Berkenaan dengan ASB yang saya ulas sedikit semalam, Encik Rusdi telah memberikan komennya. Terima kasih.
3. Dalam melakukan pelaburan, sewajarnya kita bermula secara kecil-kecilan. Sebab itulah, saya memberikan contoh RM200 sahaja yang perlu disimpan sebulan (jika anda ingin menjadi jutawan ketika bersara dan ketika ini anda berumur 20 tahun). Dalam pelaburan, konsep compound interest (dengan izin!) merupakan suatu keadaan yang akan mengakibatkan wang yang kita laburkan berkembang hanya dengan penambahan dividen, tanpa perlu kita lakukan apa-apa.
4. Sebab itulah ada ramai kawan saya yang tidak bersetuju dengan angka yang saya berikan, bahawa dengan RM200 sahaja, kita mampu menjadi jutawan ketika bersara pada umur 55 tahun (sekali lagi diulang, anda mestilah berumur 20 tahun ketika ini!).
5. Ambillah kalkulator canggih, bukan yang dibeli di kedai dua ringgit untuk mengira dapatan ini.
6. Untuk makluman saudara, 90% jutawan yang pernah hidup di muka bumi ini menjadi jutawan secara beransur-ansur, dan berdikit-dikit. Jika anda dilahirkan dalam keluarga jutawan, hal itu tidaklah menghairankan. Tetapi, berapa ramai yang bapanya mewariskan wang sejuta ketika dia dilahirkan?
7. Untuk menjadi jutawan dengan mudah, jika anda perempuan, mudah sedikit, kahwinlah dengan jutawan! Itupun, jika bernasib baik dan muka anda lebih cantik daripada Ratu Cantik India!
8. Oppss...saya sudah hilang punca!
9. Tajuknya masih ASB, kawan!
10. Walaupun ASB memberikan pulangan 8.75% pada tahun ini, namun suatu fakta yang perlu kita sedar ialah kadar inflasi ketika ini mencapai tahap 7 % hingga 8%! Di sisi yang lain, jika anda melabur dalam ASB dan mendapat pulangan 8.75% tersebut, wang dividen anda akan hangus dimakan oleh inflasi! Anda seolah-olah tidak mendapat keuntungan! Jikalau demikian, mengapakah saya perlu melabur dalam ASB jika demikian keadaannya? Anda bertanya...
11. Saya menjawabnya dengan soalan juga.
12. Bolehkah anda bayangkan jika anda tidak melabur langsung dalam ASB? Adakah wang anda akan bercambah? Adakah anda menjadi lebih bertuah dan menang dalam isu ini?
13. Mungkin anda menyatakan bahawa ada banyak instrumen lain yang boleh dilaburkan wang anda, yang mungkin mendapat pulangan yang lebih besar daripada ASB.
14. Ya, saya bersetuju dengan pendapat ini, tetapi adakah anda berbuat demikian?
15. Untuk makluman saudara, saya juga melabur dalam saham amanah Public Mutual Fund, namun pulangannya masih rendah jika dibandingkan dengan ASB! Saya ingin mengingatkan saudara bahawa Public Mutual Fund (yang terbaik di Malaysia!) merupakan saham amanah yang hanya akan mendatangkan pulangan besar dalam tempoh masa yang sederhana atau panjang. Mustahil anda boleh membuat keuntungan besar dalam tempoh yang singkat melaluinya.
16. Mengapakah saya berkata demikian? Kerana saya telah mengkaji hal ini, dan turut menjadi pelaburnya.
17. Hei, tolong jangan sebut skim cepat kaya! Saya tidak pernah percaya dengan skim itu semua! Jika anda berjaya menjadi jutawan dengan skim cepat kaya, hubungilah saya. Saya ingin memasukkan semua wang simpanan saya ke dalam skim itu! Beberapa orang rakan saya sekarang sudah malu untuk bercakap tentang skim cepat kaya dengan saya kerana mereka menjadi mangsanya! Bacalah buku Azizi Ali, Mencari Maut untuk memahami skim cepat kaya ini.
18. Selain ASB, seharusnya anda mempelbagaikan pelaburan anda kerana dengan cara ini, anda mengurangkan risiko kerugian yang mungkin akan mengetuk pintu pelaburan anda. Sebagai contoh, jika anda ada sejumlah wang untuk disimpan pada bulan ini, cuba anda laburkan sebahagiannya dalam ASB, dan sebahagiannya dalam Tabung Haji. Saya tidak mencadangkan kepada anda untuk menyimpan dalam akaun semasa di bank, kerana kadar dividennya masih rendah, lebih kurang 3 hingga 4% sahaja. Jangan terkejut jika anda melihat ramai bukan Melayu (khususnya orang Cina) menyimpan wang mereka dalam akaun semasa di bank. Anda perlu tahu bahawa mereka tidak berpeluang untuk melabur dalam ASB!
19. Mulai sekarang, saya menyeru diri saya dan saudara untuk bersama-sama membuat pelaburan dan simpanan dalam ASB kerana sejarah tidak pernah menipu kita. ASB, dari segi sejarahnya tidak pernah mengecewakan. Eh, bukankah bulan ini, kakitangan kerajaan akan mendapat bonus setengah bulan gaji lagi! Anda mungkin boleh mengagak bahawa duit bonus itu akan saya letakkan di mana!
20. Saya percaya bahawa setiap daripada kita harus belajar tentang cara menguruskan wang kerana 24 jam hidup sehari semalam, semuanya memerlukan wang! Jumpa lagi...

Wednesday, December 17, 2008

GRAFITI: Pulangan ASB Tahun Ini 8.75%

1. PNB telah mengumumkan bahawa pulangan (dividen dan bonus) untuk ASB sebanyak 8.75%.
2. Pulangan ini telah dapat dijangkakan walaupun ekonomi negara masih dilanda badai yang menyesakkan. Hal ini terjadi demikian kerana ASB merupakan senjata ekonomi yang utama orang Melayu dan sudah pasti kerajaan akan memastikan kadarnya masih pada tahap yang memuaskan. (Jumlah 8.75% masih memuaskan!).
3. Namun, yang ingin saya singgung ialah masih terlalu banyak orang Melayu tidak sedar bahawa melabur dalam ASB menguntungkan. Menurut Azizi Ali (pakar kewangan), jikalau anda tidak tahu hendak buat apa dengan duit yang ada, melaburlah dalam ASB!
4. Pernahkah kita fikirkan bahawa ASB, jika dibuka untuk orang bukan Melayu, sudah pasti unit yang ditawarkan sudah lama habis!
5. Buktinya, cuba lihat dana atau unit yang ditawarkan kepada bukan Melayu, seperti Amanah Saham Wawasan, tidak sampai dua jam habis dibeli! Malahan, ada yang sanggup beratur berjam-jam lamanya untuk membeli unit yang dijual oleh PNB.
6. Orang kita tidak terfikir bahawa saham amanah yang ditawarkan oleh ASB itu merupakan saham amanah yang menghasilkan pulangan yang paling besar, berbanding saham amanah yang lain yang ditawarkan oleh PNB.
7. Cuba kita fikirkan sejenak, kita hanya perlu memasukkan wang ke dalam ASB, dan kemudian wang kita akan diuruskan oleh pakar kewangan, pakar ekonomi, atau profesional yang dilantik oleh kerajaan untuk memastikan kita mendapat pulangan! Begitu mudah, dan tidak ada yang semudah itu, untuk memastikan wang kita berkembang.
8. Dalam konteks ini, benarlah wang itu bekerja untuk kita, bukan kita bekerja untuk wang!
9. Suatu fakta yang menarik tentang pelaburan dalam ASB ialah, pernah suatu ketika dahulu pulangannya sebanyak 15%! Tidak mustahil suatu masa nanti kadar pulangannya akan mencapai tahap tersebut semula.
10. Cuba anda lihat fakta ini, jika anda berusia 20 tahun, dan menyimpan RM200.00 sebulan dalam ASB, selama 35 tahun, jumlah keseluruhan wang yang terkumpul ialah RM1.3 juta! Fakta atau data ini berasaskan bahawa pulangan ASB sebanyak 12% peratus setahun.
11. Jika anda berusia 30 tahun, dan menyimpan RM200.00 sebulan, juga dalam ASB, dan pulangannya tetap 12% setahun, pulangan terkumpul ialah RM387,000. Apakah yang dapat anda simpulkan? Beberapa orang rakan menyatakan kepada saya bahawa kita perlu membuat pelaburan dalam ASB, sebagai kesimpulannya.
12. Saya ingin menyatakan hal ini dengan tegas, bahawa bukan kesimpulan itu yang saya hendak dengar.
13. Kesimpulannya, kawan-kawan - ANDA RUGI HAMPIR SEJUTA RINGGIT KERANA TERLEWAT 10 TAHUN MENYIMPAN DALAM ASB! Itulah kesimpulannya, saudara...
14. Oleh itu, menyimpanlah mulai sekarang...Jikalau belum ada buku simpanan ASB, segeralah ke pejabat pos atau bank untuk membuka akaun. Bila? Anda bertanya bila! Sekarang!
15. Selain ASB, ada juga saham amanah yang menarik seperti Public Bank Mutual Fund, namun jangan pula lupa untuk melabur dalam ASB kerana anda tidak akan rugi! Tidak akan rugi!
16. Eh, kawan! Anda meminta orang lain menyimpan dalam ASB, anda bagaimana? Sering juga soalan (ini bukan soalan sebenarnya!) ini diajukan kepada saya, dan sudah pasti anda boleh mengagak jawapan saya, bukan...!
17. Terima kasih PNB! Bicara GRAFITI yang lain, akan saya sentuh lagi tentang hal kewangan, misalnya pelaburan hartanah, insya-Allah.

BANGSA: Muhasabah : Rancangan hiburan masakini banyak lahirkan golongan dayus

Ustaz Zainudin Hashim (HarakahDaily.Net)

Islam tidak sama sekali tidak mengaharam atau menghalang manusia untuk berhibur, kerana ia adalah keperluan bagi menenangkan jiwa atau fikiran yang berserabut dengan tugasan harian atau bagi meredakan tekanan akibat terlalu banyak menunaikan tanggungjawab pada diri dan keluarga.
Suami ada tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak dan sebaliknya isteri juga ada tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak, perkara yang boleh menghilangkan seketika tentang kepayahan melaksanakan tanggungjawab masing-masing, begitulah setiap insan di dunia ini akan mengalami keadaan yang serupa.
Maka hiburan adalah ubat atau penawar terbaik bagi mereda, menghilang serta menyisihkan keserabutan ketika menjalankan tanggungjawab, tetapi hiburan itu tidak sama antara seorang individu dengan individu yang lain, kaedah berkesan bagi generasi terawal di kalangan para sahabat dan tabi�in menghilang stress atau apapun namanya, ialah dengan membaca atau menghafaz al-Quran.
Ini kerana bagi mereka al-Quran adalah penawar, penghibur, penghilang rasa duka, kecewa, penat, stress dan sebagainya, ia menunjukkan bahawa generasi awal melihat al-Quran sahajalah satu-satunya ubat berkesan untuk tujuan tersebut.
Tetapi ia tidak kepada segenap generasi hari ini, mungkin terdapat di kalangan muslim hari ini yang menjejaki amalan orang-orang yang terdahulu daripada, itupun yang sentiasa menghubungkan diri dengan program-program masjid atau surau, yang mengikuti panduan dan motivasi penceramah yang mengingatkan mereka untuk berbuat demikian.
Akan tetapi bagi yang tidak menghubungkan diri dengan rumah-rumah Allah, mereka tidak nampak dan tidak ada dalam minda mereka penawar duka ialah al-Quran, tetapi mereka memilih dengan hiburan yang tidak sama sekali mencerminkan kebaikan sama ada untuk agama atau diri mereka sendiri.
Maka bagi penghibur atau selebriti, mereka memilih hiburan yang tidak mencerminkan ciri-ciri tamadun yang telah digaris pansukan oleh al-Quran mahupun Sunnah Nabi Muhammad s.a.w., maka muncullah program-program realiti yang kononnya sifatnya menghiburkan penonton, sama ada di rumah ataupun di studio, apapun ia sedikitpun tidak mencerminkan cara berfikir para peserta dengan ajaran Islam.
Sebagai contoh, pasangan suami isteri yang terlibat dalam rancangan malam �Sehati berdansa� yang menampilkan pasangan suami isteri menari di hadapan khalayak ramai tanpa memakai tudung kepala atau pakaian yang jelas menutup aurat dengan sempurna.
Dalam sesi latihan tangan isteri selebriti tertentu dipegang oleh pakar jurutari lelaki bagi menunjukkan cara yang betul kononnya tarian yang sempurna mengikut rentak muzik, dengan pendedahan aurat dan menampakkan rupa bentuk badan, apakah mereka tidak merasakan bahawa tindakan itu sebahagian daripada ajaran Rasulullah s.a.w.?
Tidakkah sang suami merasakan bahawa tangan isteri dipegang oleh lelaki yang bukan mahramnya, dada dan tubuhnya dilihat oleh mereka yang tidak dibenarkan itu satu kesalahan yang disifatkan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai suami yang dayus?
Sesungguhnya orang-orang yang dayus tidak mendapat tempat di sisi Allah dan Rasul-Nya pada hari kiamat, tidakkah mereka merasa takut akan diheret dan diseret di hadapan mahkamah Allah pada hari di mana segenap manusia sedang menunggu giliran untuk diperhitungkan amalan-amalan mereka?.
Justeru, marilah kita sama-sama melihat dengan pandangan makrifat ketegasan sabda Nabi Muhammad s.a.w. seperti di bawah ini dengan kedudukan hadis yang sohih :
Hadis pertama : Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat : Si penderhaka kepada ibu bapa, wanita yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS� ( Riwayat Ahmad & An-Nasaie: Albani mengesahkannya sahih: Ghayatul Maram, no 278 ). Hadis kedua : Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga : orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya� ( Riwayat Ahmad ).
Malah banyak lagi hadis-hadis yang membawa makna yang hampir dengan dua hadis ini. Secara ringkasnya, apakah dan siapakah lelaki dayus. Dayus telah disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadis yang lain iaitu Sabda Nabi : Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata : � Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu Si DAYUS, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak� lalu sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu DAYUS? , berkata nabi : �Iaitu orang yang tidak memperdulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya) - Riwayat At-Tabrani ; Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat.
Dari hadis di atas, kita dapat memahami bahawa maksud lelaki DAYUS adalah si suami atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh sebarangan lelaki lain.
Pernah juga diriwayatkan dalam hadith lain, soalan yang sama dari sahabat tentang siapakah dayus, lalu jawab Nabi maksudnya : Apakah dayus itu wahai Rasulullah ?. Jawab Nabi : Iaitu seseorang ( lelaki) yang membiarkan kejahatan ( zina, buka aurat, bergaul bebas ) dilakukan oleh ahlinya ( isteri dan keluarganya). Dinukil sebahagian pendapat daripada pandangan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman.
Apapun jika diri kita masing-masing mahukan pertolongan dan bantuan Rasulullah s.a.w. pada hari kiamat, tiada jalan lain yang lebih mujarab melainkan kita akur dan menerima segala apa yang disampaikan oleh baginda Rasulullah s.a.w., kerana ketundukan kita kepada arahan baginda adalah juga menunjukkan kita tunduk kepada arahan Allah SWT sepertiman yang ditegaskan-Nya menerusi ayat 80 surah an-Nisa� yang bermaksud : �Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka Sesungguhnya dia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita Wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).� - lanh _
* Artikel ini tidak diedit untuk mengekalkan keaslian tulisan penulisnya.

BANGSA: ORANG MELAYU MISKIN KERANA SIAPA?

Mahfuz Omar (HarakahDaily.Net)

BRITISH tidak meruntuhkan orang Melayu dengan menjatuhkan Raja-rajanya, tetapi dengan melahirkan pemimpin-pemimpin Melayu yang rakus dan tidak mempunyai jati diri. Maka, selepas Perang Dunia Kedua, lahirlah sekumpulan aristokrat Melayu berpendidikan Barat untuk diserahkan kemerdekaan Tanah Melayu kepada mereka.
Selepas 50 tahun mereka mengambil alih kuasa daripada penjajah, orang Melayu menerima nasib seperti orang India. Yang berbeza hanya orang India dilumpuhkan oleh penjajah, tetapi orang Melayu dibangsatkan oleh anak bangsa sendiri yang menjadi alat kepada penjajah.
Dan memang tidak menghairankan apabila Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati 301,000 keluarga orang Melayu berada pada paras pendapatan kurang daripada RM1,000. Jika satu keluarga mempunyai purata lima orang ahli, maka lebih 1.5 juta orang Melayu menghadapi masalah ini.
Bukankah selepas 13 Mei 1969, telah dibentuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membela kaum Bumiputera, tetapi mengapa ia gagal. Orang Melayu terus mengungguli carta kemiskinan, di samping carta masalah sosial juga. Apakah kita tidak sedar selama ini orang Melayu sendiri yang menguasai politik negara dan mereka mempunyai bidang kuasa untuk membela kepentingan orang Melayu?
Nah! Sekarang orang Melayu sesudah 50 tahun di bawah ketiak Umno mereka terus merempat. Yang membesarkan tembolok hanyalah pemimpin Umno dan anak menantu mereka. Orang Melayu yang lain tidak memperoleh apa-apa. Di kalangan pemimpin Umno sendiri mereka lebih ghairah untuk bercakap soal mahu lawan atau tarik diri dalam pemilihan parti, daripada bercakap soal nasib bangsa dan negara. Tidak adapun sungutan yang benar-benar serius terhadap kedudukan orang Melayu sekarang.
Umno lebih berminat untuk mengagihkan kekayaan negara kepada kroni-kroni mereka, tetapi tidak mahu langsung membantu orang-orang Melayu yang miskin. Kalau nampak seperti hendak ditolong pun, ialah kononnya membela orang yang terbiar di negeri yang dikuasai pembangkang.
Sudah berapa banyak projek-projek raksasa diwujudkan untuk kroni, tetapi tidak memberikan manfaat kepada orang Melayu.
Dalam dunia pendidikan yang dianggap jambatan untuk memisahkan orang Melayu daripada kemiskinan, bukan sahaja bahasa Melayu terpinggir, sekolah-sekolah agama milik orang Melayu juga turut menjadi mangsa. Di universiti-universiti awam, sektor-sektor pendidikan yang strategik di fakulti perubatan, undang-undang, perakaunan, ekonomi, kejuruteraan, teknologi maklumat, perniagaan dan seumpamanya, jumlah pelajar Melayu amat sedikit berbanding bangsa lain. Orang Melayu lebih banyak ditempatkan di fakulti sastera, pengajian Islam, sains sosial dan sebagainya yang dilihat kurang nilai komersialnya.
Maka orang Melayu sukar untuk melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan ini. Di IPTS seperti MMU yang banyak melahirkan tenaga profesional yang laku di pasaran pekerjaan, hanya 20 peratus sahaja tenaga akademiknya orang Melayu, manakala pelajarnya yang berbangsa Melayu pula hanya sekitar 25 peratus.
Amat jelas sekali bahawa Umno tidak mempunyai komitmen dan tidak serius langsung dalam mengangkat martabat orang Melayu, melainkan retorik kosong sahaja. Orang Melayu jangan terkeliru dengan isu-isu perkauman seperti isu Pengurus Besar PKNS, isu sewa Flat PKNS, isu ladang babi moden atau isu orang bukan Melayu di UiTM, kerana ialah adalah isu kulit sahaja. Yang lebih besar ialah apakah pembelaan kerajaan Umno terhadap orang Melayu atau Bumiputera.
Selama ini, Umno hanya membantu menambahkan kekayaan pemimpin mereka, sehingga ada yang membina banglo lebih besar daripada istana. Mereka bercakap seolah-olah Pakatan Rakyat lebih mengutamakan orang bukan Melayu, tetapi Umno yang mempunyai kuasa yang lebih besar, langsung tidak mempedulikan orang Melayu.
Dalam keadaan seperti ini, dengan kegawatan ekonomi global, maka orang Melayu akan terus tersingkir daripada arus perdana. Orang Melayu paling miskin, paling ramai penagih dadah, paling ramai bermasalah sosial, paling tercorot dalam pendidikan dan sebagainya. Bahkan, kuasa politik orang Melayupun turut terjejas kerana permainan politik Umno.
Jika dalam tempoh 50 tahun sahaja, nasib orang Melayu sudah tidak menentu, bagaimana agaknya orang Melayu 50 tahun akan datang jika Umno terus diberikan kepercayaan. Orang Melayu mesti sedar hakikat ini dan data-data Jabatan Perangkaan itu hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada ratusan masalah lain yang dihadapi sekarang.
Ayuh orang Melayu, membebaskan diri dari Umno, atau terus melayu! - tajdid_
* Artikel ini tidak diedit untuk mengekalkan keaslian tulisan penulisnya.

BAHASA: Enstein Malaysia lahir automatik melalui pengajaran Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris?

Muhammad Faisal Abdul Aziz (HarakahDaily.Net)
Dalam meniti perkembangan kemajuan sains dan teknologi, tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris adalah antara bahasa yang terpenting di peringkat antarabangsa. Bahasa Inggeris juga seringkali dianggap sebagai bahasa yang signifikan dalam memastikan kita tidak akan ketinggalan jauh di belakang dalam mengecapi apa yang dikatakan sebagai kemajuan.

Namun, tidak pula yang bercakap tentang bahasa Melayu sebagai bahasa yang menjadi tunjang dalam memperoleh kemajuan. Sedangkan bahasa Melayu telah digunakan begitu meluas sebagai salah satu cabang dari bahasa-bahasa Austronesia oleh sekitar 300 juta penutur dalam gugusan pulau-pulau Melayu-Polinesia.
Dalam membina bangsa yang berjaya dan berdaya saing perlu juga diambil kira relevansi dalam sesuatu tindakan. Penialian tersebut perlu dibuat dalam konteks yang meluas dan bersifat jangka panjang serta tidak sempit kepada matlamat yang terbatas dan hanya bersifat jangka pendek.
Masalah sebenar
Menurut Dato' Dr Hasan Ahmad dalam bukunya Ke Arah Kelahiran Melayu Glokal, orang Melayu yang terlibat dalam membuat dasar dan keputusan yang bersangkutan dengan kepentingan bangsa Melayu seharusnya memahami apakah masalah sebenar yang dihadapi oleh orang Melayu.
Seperti contoh dalam menyelesaikan masalah kelemahan pelajar Melayu dalam menguasai bahasa Inggeris. Ada pihak yang mengaitkannya dengan sikap orang Melayu itu sendiri yang membenci bahasa Inggeris.
Maka dengan dasar yang meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan dalam matapelajaran Sains dan Matematik, pelajar melayu mahu tidak mahu akan belajar bersungguh-sungguh dalam menguasai bahasa Inggeris untuk lulus dalam peperiksaan.
Tetapi, hakikatnya, sebelum merdeka, sejarah telah membuktikan bahawa dasar seperti ini yang menyebabkan anak-anak Melayu tidak mempunyai pendidikan yang lebih tinggi daripada peringkat sekolah rendah.
Beberapa siri peperiksaan diperkenalkan seperti Lower Certificate Education (LCE), Senior Cambridge (SC), dan sebagainya yang menggunakan aliran Inggeris sepenuhnya menyebabkan sebahagian besar pelajar melayu khususnya di luar bandar gagal.
Maka, ekoran itu, peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi tertutup dan akhirnya mereka terpaksa mencari pekerjaan.
Melihat kepada permasalahan tersebut, Allahyarham Tun Abdul Razak telah mengambil inisiatif untuk mengubah dasar pendidikan negara dengan memperkenalkan aliran Melayu di semua sekolah.
Setelah dasar pendidikan negara diubah dan dasar bahasa Kebangsaan diutamakan dalam sistem pendidikan, ratusan ribu pelajar Melayu memperoleh pendidikan yang lebih tinggi hingga ke peringkat pengajian tinggi.
Maka, ramai dari graduan Melayu yang telah berjaya menjadi pakar dan memegang jawatan-jawatan penting dalam bidang pekerjaan mereka masing-masing.
Tambah bebanan
Dalam pada itu, dalam keghairahan kita untuk melahirkan pakar-pakar dalam bidang sains dan teknologi, sebenarnya kita telah menambahkan lagi bebanan kepada mereka yang belajar di luar bandar.
Inilah hakikat yang harus kita terima. Dengan suasana dan kehidupan masyarakat luar bandar yang kurang diberikan pendedahan dalam penggunaan bahasa Inggeris, tiba-tiba mereka dihidangkan dengan mata pelajaran yang sememangnya sukar untuk difahami seperti fizik dan kimia untuk diajar dalam bahasa Inggeris.
Adakah dengan meletakkan sasaran untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam matapelajaran Sains dan Matematik akan berjaya menjadikan mereka saintis yang berjaya secara automatik seperti Albert Enstein?
Profesor Diraja Ungku Aziz pernah memberi reaksi yang agak bercanggah ketika dasar ini dibentangkan dengan menyatakan "sekiranya kita benar-benar ingin memajukan bangsa dalam bidang pendidikan, maka perlengkapkan dahulu kemudahan prasarananya".
Pandangan beliau ini berkait rapat dengan kesukaran yang akan dihadapi oleh pelajar Melayu yang tinggal di luar bandar untuk mempelajari Sains dan Matematik.
Bahasa terpenting
Dalam meniti perkembangan kemajuan sains dan teknologi, tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris adalah antara bahasa yang terpenting di peringkat antarabangsa. Bahasa Inggeris juga seringkali dianggap sebagai bahasa yang signifikan dalam memastikan kita tidak akan ketinggalan jauh di belakang dalam mengecapi apa yang dikatakan sebagai kemajuan.
Dengan masalah kekurangan dari segi kemudahan untuk mendapatkan pendedahan serta kefasihan dalam penggunaan bahasa Inggeris yang masih lemah, sudah tentu pelbagai kesukaran yang akan mereka hadapi untuk belajar matapelajaran-matapelajaran tersebut dalam bahasa Inggeris.
Kesannya, tidak hairanlah mengapa berlaku terlalu banyak keciciran dalam pendidikan yang sebahagian besarnya melibatkan bangsa kita.
Tokoh Dewan Bahasa dan Pustaka DBP Dato' Awang Sariyan ketika membentangkan kertas kerjanya dalam Kenvensyen Bahasa Kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka menyatakan cara terbaik dalam menyelesaikan masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris adalah dengan memperbaiki dan memperkasa sistem pengajaran bahasa Inggeris tersebut tanpa melibatkan matapelajaran lain.
Apabila ia melibatkan matapelajaran lain, ia menunjukkan seolah-olah bahasa Melayu telah hilang wibawanya sebagai bahasa ilmu dalam masyarakat yang membawa kepada corak ketamadunan Melayu-Islam.
Persoalan yang perlu dijawab, adakah adil untuk kita menafikan autoriti bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan hanya disebabkan pelajar melayu lemah dalam perkara-perkara asas dalam bahasa Inggeris seperti penggunaan tatabahasa?
Emperor Puyi sewaktu perang dunia kedua telah bersubahat dengan Jepun untuk menyerang Manchuria dan setelah kemenangan dicapai, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Emperor. Sebelum beliau dinaikkan pangkat, beberapa perjanjian penting telah ditandatangani dalam menentukan polisi untuk membina negara Manchuko (Manchuria).
Dasar pertama dan yang paling besar dalam polisi negara Manchuko adalah pendidikan dalam negara tersebut perlu menggunakan bahasa Jepun sebagai bahasa pengantar di semua peringkat.
Ini jelas menunjukkan akan kepentingan bahasa dalam bidang pendidikan kerana ia akan menentukan generasi bangsa Manchuko itu sendiri pada masa akan datang.
Jatuh bangun bangsa
Menurut teori Ibnu Khaldun dalam kitabnya Muqaddimah, menyatakan "yang menentukan jatuh bangun sesuatu bangsa adalah kekuatan asabiyahnya". Salah satu perkara yang yang menjadi penentu kepada kekuatan asabiyah tersebut adalah bahasa yang menjadi alat komunikasi sesuatu rumpun bangsa.
Lihat saja beberapa bangsa lain di negara Afrika yang telah hilang identiti bangsanya apabila bahasa penjajah seperti Perancis dan British telah diagungkan dan dijadikan bahasa terpenting dalam semua perkara termasuk pendidikan sehingga menenggelamkan bahasa ibunda mereka.
Apa yang perlu disedari adalah kewibawaan sesuatu bahasa itu tidak terletak pada wibawa bahasa itu sendiri akan tetapi kepada kesetiaan pendokong dan penuturnya.. Profesor Dr James T. Collins menegaskan "wibawa sesuatu bahasa tidak terletak pada struktur dan sintaksisnya, kekuatan dan daya tarik bahasa berasaskan faktor politik dan sosial, termasuk kepesatan dan pencapaian ekonominya serta kesedaran dan kesetiaan penuturnya"
Bahasa sememangnya mencerminkan identiti masyarakat kita. Dalam hipoteis yang dibuat oleh ahli sosiologi linguistik Sapir dan Whorf, bahasa sebenarnya menentukan budaya sesuatu masyarakat.
Seperti contoh bahasa Melayu yang penuh dengan nilai-nilai kesopanan dan kemuliaan telah membentuk budaya Melayu itu sendiri yang dipenuhi dengan nilai-nilai positif.
Sekiranya autoriti bahasa itu tidak dipelihara, maka akan terhakislah keutuhan bahasa Melayu yang dahulunya digunakan sebagai bahasa pergaulan yang bersifat perhubungan (lingua franca) di wilayah kepulauan Melayu sejak abad ketujuh pada zaman kerajaan Srivijaya sehinggalah abad ke-14, dan pada zaman-zaman kerajaan berikutnya seperti Empayar Melayu Melaka.
Dengan terhakisnya keutuhan bahasa Melayu, nilai budaya serta identiti bangsa kita sebagai bangsa Melayu juga akan turut lenyap ditelan zaman.
* Muhammad Faisal ialah Naib Presiden Antarabangsa Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) _
* artikel ini tidak diedit untuk mengekalkan keaslian tulisan penulisnya.

Sunday, December 07, 2008

TATABAHASA: MEREKA ATAU MEREKA-MEREKA

AYAT YANG SALAH
1. *Seminar itu dihadiri oleh mereka-mereka yang berpengalaman dalam bidang
bahasa.
2. *Mereka-mereka yang hadir dalam mesyuarat itu terdiri daripada golongan
cendekiawan.

Huraian:
Lazimnya, semua kata ganti nama diri tidak boleh digandakan. Tambahan pula, kata ganti nama diri mereka termasuk dalam golongan kata ganti nama diri orang ketiga dan mendukung maksud jamak. Oleh itu, perkataan mereka tidak boleh digandakan kerana dianggap lewah. Oleh hal yang demikian, ayat di atas perlu dibetulkan seperti yang berikut:
1(a). Seminar itu dihadiri oleh mereka yang berpengalaman dalam bidang bahasa.
2(a). Mereka yang hadir dalam mesyuarat itu terdiri daripada golongan
cendekiawan.

Hapuskan PPSMI demi bahasa Melayu

Oleh Nadzmi Yaakob (Berita Harian, 5 Disember 2008)

Forum khas anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia minta pemimpin beri perhatian FORUM Khas: Selamatkan Bahasa Melayu, Hapuskan PPSMI memberi peringatan kepada pemimpin Melayu agar membatalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sekiranya tidak mahu perkara tidak diingini berlaku. Sekretariat Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) selaku penganjur turut bercadang mengemukakan saman dan membuat laporan polis terhadap pemimpin Melayu yang melanggar Akta Bahasa 1952 dan Perlembagaan serta mereka yang terus mengekalkan PPSMI kerana dianggap tidak mengikut lunas perundangan.

Presiden PKPIM, Mohd Hilmi Ramli, berkata pihaknya tidak lagi mahu berlembut dan berbincang apabila pendapat ilmuwan dan tokoh bahasa yang mewakili suara akar umbi tidak lagi didengari, sehingga mendorong mereka untuk mengambil tindakan tegas menyelamatkan bahasa Melayu selepas mendapati bahasa diplomasi tidak lagi difahami. “PKPIM dan mahasiswa melancarkan Gerakan Anti PPSMI (GAP) ini bertujuan menyelamatkan bahasa Melayu, manakala forum hari ini pula diadakan bagi mengumpul dan menyuntik kekuatan untuk menyatakan bantahan terhadap PPSMI. “PKPIM bertekad akan menyaman dan membuat laporan polis terhadap pemimpin Melayu yang melanggar Akta Bahasa 152 dan Perlembagaan serta secara terus terang menggunakan PPSMI yang tidak mengikut lunas perundangan,” katanya pada forum anjuran PKPIM di Pusat, Kompleks Anjung Rahmat di sini, baru-baru ini.
Tokoh bahasa, Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan, berkata beliau akan menghantar memorandum kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein selepas Aidil Adha agar pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu dikembalikan, sekali gus mengelakkan bahasa itu disisihkan daripada sistem pendidikan secara sistematik.

“Memorandum akan dihantar dalam bentuk buku, Kenapa Kami Bantah PPSMI kerana apabila PPSMI dilakukan sepenuhnya, semua subjek berasaskan Sains dan Matematik akan bertukar ke bahasa Inggeris yang menjadi 96 peratus daripada kurikulum peringkat universiti, manakala subjek yang tidak ada kena-mengena turut beralih ke bahasa itu berikutan fitrah manusia mengikut apa-apa yang menjadi arus perdana. Prof Abdullah memetik surah Ibrahim ayat ke-4 yang terkandung dalam al-Quran, menegaskan keperluan manusia untuk mengajar ilmu dalam bahasa ibundanya dan mengingatkan penyampaian ilmu bukan melalui bahasa ibunda, tidak akan sampai kepada semua lapisan masyarakat, sekali gus tidak dapat mendemokrasi dan meliberalkan pendidikan. “Dasar pendidikan dalam bahasa Melayu itulah yang menjadikan orang Melayu pandai selama ini sehingga berjaya menjawat doktor, jurutera dan jutawan, tetapi sebahagian daripada mereka ini seperti kacang melupakan kulit,” katanya pada forum yang dipengerusikan Naib Presiden Antarabangsa PKPIM, Mohd Faisal Abdul Aziz.

Prof Emeritus Abdullah juga tidak menolak kemungkinan untuk menghantar memorandum kepada Agong dan Sultan dengan menekankan kepentingan bahasa Melayu terhadap institusi Raja Melayu di negara ini, sekiranya tindakan sedia ada tidak membawa kesan positif. Dalam konteks Islam, Koordinator Kampus, Teras Keupayaan Melayu (Teras), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mengingatkan pihak yang beranggapan memperjuangkan bahasa Melayu sebagai asabiah agar menilai sejarah peradaban Melayu yang diangkat dengan kedatangan Islam melalui bahasa Melayu. “Isu bahasa Melayu turut memberi kesan kepada Islam kerana peradaban bangsa Melayu semakin penting selepas kedatangan Islam ke Tanah Melayu, sekali gus menjadi kerugian seandainya orang Islam tidak memahami sejarah yang agung itu,” katanya.

Timbalan Presiden, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani, menolak tanggapan pihak yang mempertikaikan usaha mengembalikan pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu kepada bahasa Melayu sebagai pembaziran beralasan kerajaan sudah menghabiskan jutaan ringgit untuk PPSMI termasuk membekalkan komputer. “Usaha kerajaan membekalkan komputer sebenarnya tidak membazir sekiranya bahasa Melayu dikembalikan sebagai bahasa pengantar bagi kedua-dua subjek terbabit kerana ia masih boleh digunakan dengan menukar perisian saja, selain syarikat pembekal sedia ada juga masih boleh membuat keuntungan tanpa perlu merosakkan bahasa ibunda berkenaan, ujarnya yang menganggarkan lebih 5.5 juta pelajar yang belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu sehingga bergelar profesor dan saintis sejak bahasa itu digunakan pada 1970 hingga 2001.

Pena cabar Gapena, Menteri Pelajaran

Oleh Salbiah Ani (Berita Harian, 5 Disember 2008)

Langkah bagi pertahan kedudukan bahasa Melayu PERSATUAN Penulis Nasional (Pena) tidak teragak-agak untuk menarik diri daripada menjadi anggota Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) ekoran sikapnya yang berdiam diri dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Sikap Gapena yang dingin dan tidak menunjukkan kesungguhan dalam perjuangan menolak PPSMI dari dulu sampai sekarang serta enggan menggunakan kesempatan memperjuangkan PPSMI pada Wacana Gapena - Dilema Melayu tidak dapat diterima.

Timbalan Pengerusi Tetap Pena, Dr Ibrahim Ghaffar, berkata Gapena sepatutnya menggunakan wacana itu sebagai kesempatan untuk menolak PPSMI memandangkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad, bertanggungjawab menyebabkan PPSMI dilaksanakan pada 2003. “Kepimpinan Gapena boleh memanggil ahli gabungan dari seluruh negara untuk membuat ketetapan dan mengemukakan beberapa resolusi berhubung PPSMI untuk disampaikan kepada pihak berkenaan,” katanya ketika menghubungi Sastera. Dr Ibrahim berkata, Pena menyokong cadangan Ketua Eksekutif, Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, agar isu PPSMI dikemukakan kepada Majlis Raja-raja Melayu bagi mengembalikan hak bahasa Melayu di tempatnya.

“Perkara ini tidak boleh dipandang remeh memandangkan kebiadapan semakin berleluasa di kalangan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Pena menyokong pandangan dalam Godam minggu lalu, PPSMI: Surat terbuka kepada Menteri Pelajaran,” katanya. Justeru, Pena mendesak Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein untuk memperjuangkan hak bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan Matematik di samping selaku Ketua Pemuda Umno, buatlah jasa kepada orang Melayu agar dikenang sehingga ke anak cucu. “Pena mencabar kepimpinan Pemuda Umno Malaysia mengemukakan hal ini pada Perhimpunan Agung Umno 2009 dan mengemukakan suara kami kepada barisan kepimpinan Barisan Nasional untuk diberi perhatian,” katanya yang pernah dilantik sebagai Ketua Umno Bahagian Klang dan melalui tiga zaman badan politik terbabit iaitu Umno lama, Umno penaja dan Umno baru dari tempoh 1988 hingga 1992, sebelum mengundurkan diri pada 1993. Baginya pemimpin mesti lebih peka dan mengambil berat isyarat daripada akar umbi, khususnya orang Melayu selain tidak hanya mengambil isyarat politik saja kerana budayawan, penulis, sasterawan dan ahli akademik juga akan menentukan kerajaan bila sampai masa mengundi.

“Jika yang dipilih pada masa ini tidak meyakinkan, pilihan ada di tangan kami dan pengundi. Kami mempunyai pengikut yang ramai dan tidak teragak-agak untuk mengambil langkah yang mengejutkan sekiranya maruah bahasa Melayu tidak dikembalikan,” katanya. Exco Pendidikan dan Penyelidikan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Abu Qassim Nor Azmi, kesal dengan tindakan Kementerian Pelajaran yang masih berteka-teki terhadap pelaksanaan PPSMI. “Selepas enam tahun dan daripada lambakan kajian, Jawatankuasa Pendidikan dan Penyelidikan (JPP), PKPIM berasa sudah tiba masanya PPSMI dimansuhkan. PPSMI bukan cara terbaik meningkatkan penguasaan bahasa pelajar kerana tiada teori yang membuktikan persepsi ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam. Baginya PPSMI suatu kesilapan besar pemerintah khususnya Kementerian Pelajaran kerana secara dasarnya menyalahi peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan dasar pendidikan negara serta perlu segera diperbetulkan.

“PPSMI menafikan hak bahasa kebangsaan untuk menjadi pengantar ilmu di seluruh peringkat institusi pendidikan negara. Ia juga kilang memproses bahasa rojak yang menghakis keunggulan bahasa Melayu sebagai wahana terpenting dalam perhubungan masyarakat Malaysia. JPP- PKPIM yakin bahawa keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 gagal membuktikan dengan jelas bahawa PPSMI tidak mendiskriminasi golongan pelajar kurang upaya dan mereka di kawasan pedalaman. “Perangkaan terperinci dan profil lengkap keputusan terbabit masih gagal dikemukakan kepada umum oleh pihak Kementerian Pelajaran. Sedar atau tidak, PPSMI secara terangan menggagalkan usaha meliberalisasikan pendidikan yang bermatlamat ‘pendidikan untuk semua’,” jelasnya.. Beliau meminta Kementerian Pelajaran membuka ruang kepada mahasiswa khususnya PKPIM pada Persidangan Meja Bulat PPSMI kerana keterbukaan dan pembabitan kelompok tidak berpihak, badan tidak berkepentingan diyakini mampu memberi kesan positif dalam menyelesaikan isu PPSMI. “Pendedahan semua kajian oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan, NGO, swasta dan orang perseorangan tanpa sebarang tapisan perlu demi menjamin ketulenan kajian. Kami menolak tindakan pilih kasih dalam pemilihan kajian yang terpencil yang menyokong pelaksanaan PPSMI,” tegasnya.

Friday, December 05, 2008

TERIMA KASIH ENCIK RUSDI DBPWS

ATAS KESUDIAN MELUNGSURI DAN MEMBERIKAN KOMEN YANG BERNAS, IKHLAS, DAN JUJUR, SAYA UCAPKAN RIBUAN TERIMA KASIH KEPADA ENCIK RUSDI YANG SENTIASA MEMBERIKAN SOKONGAN! SEMOGA USAHA KITA AKAN MENDAPAT KEREDAAN ALLAH DEMI MELIHAT BANGSA DAN BAHASA MELAYU AKAN DAPAT DIPERTAHANKAN. SEMOGA SOKONGAN ANDA AKAN BERTERUSAN...TERIMA KASIH SEKALI LAGI! NAMPAKNYA, MALAM INI TAK BERKESEMPATAN UNTUK MENULIS KERANA TERPAKSA MENGETEH DENGAN MEMBER KAMPUNG...

Thursday, December 04, 2008

GRAFITI: ISU KETUANAN MELAYU

1) Setelah Ketua Wanita Gerakan, kini giliran Chua Soi Lek pula menimbulkan isu ketuanan Melayu. Sebelum itu, Zaid Ibrahim telah membangkitkan soal yang sama. Media melaporkan bahawa Koh Tsu Koon dan Ketua Wanita MCA turut ingin menjadi jaguh dalam hal ini.
2) Apakah motif mereka?
3) Mengapakah hal yang telah diputuskan oleh Perlembagaan diungkitkan?
4) Telah banyak maklum balas dan kritikan daripada orang ramai, khususnya para pemimpin UMNO yang membidas golongan yang mengungkit-ungkit atau cuba mempertikaikan ketuanan Melayu ini.
5) Seperti biasa, pemimpin UMNO ini hanya tahu untuk menempelak dan percayalah, seminggu dua lagi isu ini akan menjadi basi.
6) Selepas itu, akan terdengar pula isu yang bersangkutan dengan hak orang Melayu dicanangkan kembali oleh orang bukan Melayu. Episod ini tidak akan terhenti selagi para pemimpin Melayu (khususnya UMNO - bolehkah diharapkan parti pembangkang!) hanya tahu menempelak dan mengeluarkan ayat-ayat seperti ini;
- mereka tidak faham sejarah
- mereka tidak menghormati hak orang Melayu
- mereka ingin mencari publisiti murahan
- mereka ingin menjadi jaguh dalam kalangan orang Cina/India
- tindakan mereka tidak wajar
- jangan cuba bermain api
- dan lain-lain yang bernada seperti di atas.
7) Orang Melayu (peringkat marhaen dan bawahan - saya sudah muak dengan frasa akar umbi) sebenarnya sedang menunggu tindakan yang sepatutnya diambil terhadap mereka yang bersikap kurang ajar ini. Setakat hendak memberikan komen atau ulasan, lebih baik tak payah kerana golongan marhaen ini bukannya bodoh (Nampaknya UMNO masih tidak belajar daripada sejarah).
8) Apakah tindakan yang sepatutnya diambil? ISA? Akta Hasutan? Lucut kewarganegaraan? Atau apa?
9) Di sisi yang lain, pengajaran yang paling ideal daripada kemelut ini ialah orang Melayu perlu bangkit!
10) Bangkit mempertahankan hak dan maruah. Orang Melayu tidak boleh lagi berbangga dengan sikap bersabar, menghormati kaum lain sehingga tahap keterlaluan, bertolak ansur hingga kepala dipijak, dan menjunjung prinsip perpaduan yang ketinggalan zaman dan berat sebelah.
11) Salah satu cara (ada terlalu banyak cara!) ialah melaksanakan pandangan Mukhriz Mahathir, iaitu mewujudkan sekolah satu aliran. Tidak ada di negara ini sejak dahulu lagi Sekolah Jenis Kebangsaan Melayu, tetapi bercambah-cambah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Sekiranya tidak dapat diwujudkan Sekolah Aliran Kebangsaan, maka orang Melayu (pemimpin Melayu yang memegang kuasa) mestilah mewujudkan Sekolah Jenis Kebangsaan Melayu! Dan jikalau ini pun tidak boleh, apakah lagi yang mampu dilakukan?
12) Dari segi ekonomi, perlu dilaksanakan suatu pendekatan yang lebih drastik dan keras untuk meningkatkan penguasaan ekonomi orang Melayu. Perlukah hanya orang miskin daripada golongan Melayu sahaja dibantu? Perlukah premis perniagaan di bandar besar diwujudkan kuota untuk orang Melayu berniaga? Perlukah cukai perniagaan orang bukan Melayu dinaikkan? Perlukah orang Melayu melaksanakan jihad ekonomi secara terbuka dan besar-besaran; orang Melayu hanya perlu membeli barangan daripada orang Melayu sahaja? Perlukah semua ini dilakukan?
13) Dari segi pendidikan, mengapakah pemimpin Melayu masih ingin mempertahankan dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI)? Sepatutnya, bahasa Melayu diwajibkan untuk digunakan (perlu lebih keras kerana di Indonesia, nama orang Cina pun perlu ditukar kepada nama berunsur Indonesia) dalam semua subjek. Bahasa vernakular yang lain boleh diajarkan tetapi orang Melayu pun mestilah diwajibkan mempelajarinya (Kenapa? Sebab orang Cina dan India wajib belajar bahasa Melayu!) agar orang Melayu tidak mudah tertipu atau ketinggalan. Dalam masa yang sama, pengajaran bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan (khususnya kepada murid Melayu di sekolah kebangsaan). Dalam hal ini, kita perlu lebih rasional dengan melihat kepentingan bahasa-bahasa lain selain bahasa Melayu.
14) Orang Melayu perlu memberikan tekanan kepada golongan yang anti-Melayu ini kerana rakyat marhaen sudah muak dan menyampah dengan kritikan dan bidasan yang akan menyebabkan golongan anti-Melayu ini bertepuk tangan, meraikan kesamdolan pemimpin Melayu!
15) Orang Melayu sudah tidak ada pilihan...
16) Kita semua mestilah belajar daripada peristiwa 13 Mei 1969. Kita mestilah bersatu tanpa mengira bangsa dan agama kerana negara ini tidak memerlukan golongan cauvinis seperti mereka di atas. (baca no.1)
17) Khasnya kepada media massa, tolong hentikanlah rancangan yang melalaikan dan memualkan. Sudak jelak mendengar cerita artis (Melayu!) bercerai-berai, hendak kahwin, malah artis pakai baju apa pun nak dijadikan berita. Belajarlah daripada TV Suria (Singapura) yang banyak memberikan maklumat kepada rakyatnya (TV Suria guna bahasa Melayu baku!).
18) Ketika ini, nasib orang Melayu hampir nazak, dan TV masih terhegeh-hegeh menayangkan kisah artis yang tak habis-habis...Hentikanlah rancangan Melodi! Undanglah pakar motivasi dan pakar ekonomi atau pakar pendidikan yang bersemangat Melayu untuk menaikkan semangat orang Melayu. Mengapa tidak boleh? Bukankah Menteri Penerangan orang Melayu!
19) Sekiranya mendapat tentangan (jika boleh dilaksanakan, pasti golongan bukan Melayu akan menentang), mengapakah orang Melayu mesti gentar? Jikalau hendak pastikan negara aman dan damai, jangan dipersoalkan ketuanan Melayu, jangan mencabar agama Islam dan bahasa Melayu, dan wujudkan sekolah satu aliran!
20) Sayangnya, semua yang tertera pada nombor 1 hingga 19 di atas hanyalah halusinasi!

PICISAN: PENGERTIAN WARNA

DI BAWAH MERUPAKAN PENGERTIAN UMUM TENTANG PILIHAN WARNA BAGI MENGGAMBARKAN KEPERIBADIAN SESEORANG INDIVIDU. APAKAH WARNA KESUKAAN SAUDARA? ADAKAH PENGERTIAN DI BAWAH INI BENAR? WALAUPUN MUNGKIN BENAR ATAUPUN TIDAK, SAYA INGIN MENGATAKAN BAHAWA PERANGAI SESEORANG BERGANTUNG PADA DIRI SENDIRI (Judul sebuah buku karya Za'ba)

putih - kesucian, bersih, sempurna
merah - bertenaga, berani, mewah, penyayang, riang
merah jambu - romantik, berkongsi tenaga, emosi, dan perasaan
kuning - berilmu, diktator (jika terlalu terang), kreatif, jujur
hijau - keremajaan, tenang, sentiasa membaiki diri
coklat/perang - kekayaan, matang, bertangungjawab, merendah diri
biru hijau turquois - tegas, berani, sedih
ungu - falsafah kejayaan, keibuan, kewanitaan
hitam - misteri, sofistikated, tegas, dramatik
biru - jujur, mulia, misteri, perasaan dan emosi lelaki
biru muda - kasih sayang, kelembutan hati wanita
biru tua - rajin, dedikasi
oren - bersemangat, komited

BAHASA: KESANTUNAN BAHASA

PENGENALAN
(1) Kesantunan berbahasa ialah timbang rasa yang kita berikan kepada orang yang mendengar kita bercakap dan merujuk kepada sifat-sifat bahasa yang membolehkan kita menolak permintaan seseorang tanpa menyinggung hatinya.
(2) Kesantunan berbahasa dapat diwujudkan dengan mengelakkan daripada berlakunya bentuk-bentuk kebiadapan berbahasa seperti komunikasi bertulis terlalu ringkas, sindiran, berpura-pura, marah, curiga, menghina, menuduh tanpa bukti, terlampau memuji, melebih-lebihkan pengiktirafan, cakap berbelit-belit.
(3) Orang Melayu menggunakan bahasa sapaan dan kata ganti nama diri ketika berkomunikasi.
(4) Status merupakan faktor penting dalam penggunaan bahasa sapaan dan kata ganti nama diri digunakan terutamanya dalam pergaulan dengan orang berdarjat tinggi, manakala dalam konteks pergaulan biasa, umur dan jarak perhubungan menjadi faktor utama.
(5) Penggunaan nama-nama panggilan kekeluargaan dan bahasa sapaan mencerminkan kedudukan seseorang itu dalam susunan kekeluargaan dan kedudukannya dalam masyarakat.
(6) Bahasa sapaan berdasarkan pangkat atau status seseorang dalam masyarakat merujuk kepada gelaran pergaulan formal, gelaran warisan, gelaran kurniaan kerajaan, gelaran kurniaan ikhtisas, dan gelaran keagamaan.
(7) Dari segi komunikasi, amalan protokol yang mesti dipraktikkan ialah adab berbual, sapaan, penggunaan bahasa di istana, dan panggilan hormat.
(8) Panggilan hormat dikuatkuasakan penggunaannya dalam upacara rasmi ataupun pengacaraan bagi sesuatu majlis yang berasaskan gelaran diraja, gelaran turun-temurun, gelaran kurniaan darjah kebesaran, gelaran kurniaan ikhtisas, dan gelaran keagamaan.
(9) Masyarakat Melayu mempunyai satu aturan atau sistem tertentu berhubung dengan bahasa sapaan dan panggilan hormat dalam majlis rasmi atau upacara rasmi yang dihadiri oleh kenamaan tertentu.

ETIKA SOSIAL
1) Kata etika bermakna prinsip moral atau akhlak dalam hubungan sesama manusia. Prinsip-prinsip ini mempunyai kaitan dengan falsafah hidup yang bersandarkan sistem kepercayaan atau keagamaan.
2) Etika sosial atau etiket ialah tingkah laku dan sopan santun untuk berinteraksi antara individu dengan individu yang lain dalam masyarakat. Etika sosial bertujuan untuk mengeratkan perhubungan di samping menaikkan imej sosial seseorang.
3) Etika sosial turut bermaksud “Satu bentuk, cara, dan upacara yang diwujudkan secara kurang formal tetapi diterima dan diamalkan dalam masyarakat, profesion, dan hubungan rasmi”.
4) Etika sosial merupakan “panduan atau peraturan dalam hubungan sosial dan semua ahli faham akan kelakuan yang sepatutnya diikuti atau diamalkan”.
5) Etika sosial melibatkan tingkah laku yang baik, budi pekerti yang baik, imej sosial yang baik, serta keyakinan diri dan gaya diri yang baik.

PRINSIP KOMUNIKASI ORANG MELAYU
- berhati-hati
- berfikir dahulu
- perkara yang benar
- berkata-kata dengan baik
- jangan menunjuk-nunjuk
- elak berbincang perkara sulit
- jangan bocorkan maklumat sulit
- kritik diri sendiri dahulu
- tanya soalan
- maklumat yang betul