Wednesday, December 29, 2010

RANTAI

Telah lama kita dibelenggu
oleh serantai kejumudan yang khilaf
dan kita seolah hilang kewarasan fikiran
untuk menentukan kebenaran dan kebatilan
yang bermaharajalela di pelosok jiwa kosong
tanpa pegangan hingga sukar menebak tindakan
satu demi satu bangsa yang merdeka ini kehilangan.

Kita pernah kehilangan sebuah pulau merdeka
kita telah kehilangan keutuhan sebuah peradaban
dan kita hampir kehilangan suara berjiwa bangsa
kerana terlalu mengikut telunjuk mereka yang haloba
kita nyaris kehilangan takhta dan kuasa sebuah bangsa
bertelagah dan bertelingkah, beretorik dan bermadah
tentang segala falsafah yang seringkali disanggah.

Atas sebuah fahaman yang mengelirukan jelata
atas nama satu dukungan yang menyerlahkan celaru
kita rela memperhamba segala luka lara dan suara
marhaen yang tertanya-tanya dan masih berteka-teki
tentang nasib anak-anak yang masih tidak mengerti
perpaduan dan integrasi, suatu momokan yang berseni
diikat seuntai rantai yang bebas berkompang di sana sini.

Rantai ini
akan terus membelenggu
dan menjadi duri di dalam daging
bangsa yang masih terumbang-ambing.

Azhar Salleh
PPJ Johor Bahru.
Antologi Suara 1Malaysia (Persatuan Penulis Johor)

Tuesday, December 21, 2010

HANYA MEREKA YANG BERANI MENGHADAPI KEGAGALAN YANG BESAR SAHAJA YANG BOLEH MENCAPAI KEJAYAAN YANG BESAR

1) Kalau anda memberitahu semua orang bahawa anda tidak pernah gagal dalam melakukan apa-apa sahaja tindakan, maka anda seharusnya menangis kerana berasa malu.
2) Sekiranya anda berharap agar akan ada manusia yang akan memuji anda kerana anda tidak pernah gagal, maka anda tersilap memilih kawan. Kawan yang memuji anda sudah menunjukkan bahawa dia tidak ikhlas berkawan dengan anda.
3) Kita dinasihati agar mencari kawan yang boleh bercakap benar dengan kita, tetapi kawan yang sentiasa membenarkan kata-kata kita bukanlah kawan yang baik. Mungkin dia boleh menjadi musuh dalam selimut.
4) Mengapakah kita perlu mengalami kegagalan sedangkan semua orang melakukan sesuatu tindakan atau pekerjaan adalah untuk mencapai kejayaan? Tuan-tuan yang budiman, jangan salah faham. Jangan tutup blog ini dan kemudian pergi melepak dengan kawan-kawan di kedai mamak 24 jam kerana tindakan itu tidak merugikan saya.

5) Kegagalan tidak seharusnya dipandang daripada kaca mata yang negatif semata-mata. Kebanyakan manusia terhebat yang pernah dilahirkan di dunia ini pernah mengalami kegagalan, malahan kegagalan yang dialami mereka bukannya kegagalan biasa.
6) Rintangan dan ujian hebat serta getir melanda mereka, dan mereka tidak selalunya berjaya mengatasi semua yang datang itu dengan tepukan kejayaan dan kemudiannya mendabik dada. Banyak antara mereka yang kecundang, bolos, dan tumbang.
7) Ada antara mereka yang sukar untuk bangun semula, tetapi yang menariknya, banyak antara mereka yang bukan sekadar mampu untuk bangun semula, malahan dinobatkan sebagai manusia terhebat, terunggul, dan terkemuka! Mereka mampu menggapai awan kegemilangan selepas pernah tersungkur di lalang penghinaan!

Monday, December 20, 2010

RETROSPEKTIF 1

1. Sebagai manusia, kita pasti akan melakukan pelbagai kesilapan dan kesalahan. Kesalahan kecil dan besar. Sukar sekali untuk kita elakkan diri daripada membuat keputusan dan tindakan yang salah.
2. Walaupun seharusnya kesalahan atau kesilapan yang kita lakukan itu boleh dielakkan kalau itu dan kalau ini...tetapi sesekali kita harus terjebak dalam kesilapan. Ya, kita memperoleh banyak kerugian dengan melakukan kesilapan itu, tetapi tidak adakah sepicing keuntungan dengan melakukan kesilapan itu?
3. Saya percaya, kesilapan adakalanya menghadirkan pemikiran yang lebih baik dalam mendepani sesuatu situasi yang sama pada kali yang seterusnya. Usahlah terlalu sesal dan kesal jikalau sesuatu yang dilakukan itu tersilap langkah.
4. Dalam dunia ini, kesilapan mengajar kita agar lebih menjadi matang, sekiranya kita menganggap kita telah melakukan kesilapan.
5. Renungkanlah kesilapan dan kesalahan yang pernah kita lakukan, dan saya percaya kita akan lebih terdorong untuk menghindarkan kesilapan itu lagi.
6. Salah satu cara untuk mengelakkan kesilapan dalam pemikiran dan tindakan ialah bertanya kepada diri kita sebelum bertindak. Tanyalah diri kita "Adakah perkara seperti ini dilakukan oleh orang yang hebat dan berjaya?".
7. Dan, sudah pasti akan ada dua jawapan, sama ada 'ya' ataupun 'tidak'.

Tuesday, December 14, 2010

SALAM MAAL HIJRAH

KITA TIDAK PERNAH BERHIJRAH

Siapa kata ini suatu penghijrahan
sentiasa berdendam dan bermusuhan
iri hati dan hasad berputar-putaran
bangsa Melayu yang mengaku Islam
ada yang lebih jahil daripada gerombolan kafir
yang bijak menangguk di air keruh
dan kemudian mereka bertepuk gemuruh

Siapa kata ini suatu penghijrahan
jikalau yang miskin tanpa mahu berusaha
dikatakan takdir penentu segala-galanya
siapa kata ini suatu penghijrahan
kalau sejak dulu rancangan tari-menari
hingga kini masih rancak bersiaran di kaca TV

Kita tidak pernah berubah
menari ikut rentak agenda Yahudi
pemimpin pula rasuah di sana dan di sini
kenyangkan perut sendiri dan semua kroni
rakyat yang terbeban petrol naik harga lagi

Kita tidak pernah berubah
di surau dan masjid yang lengang
hanya penuh ketika Jumaat menjelang
itupun ada yang mengira supaya berselang
takut tiga kali bimbang hatinya bertitik hitam

Siapa kata ini suatu penghijrahan
rumah urut dan pusat judi tumbuh bagai cendawan
negara majmuk sentiasa dijadikan alasan
untuk menghalalkan maksiat dan kemungkaran
tetapi yang banyak bertandang Ali dan Sulaiman
relaks la bro, sebelum malaikat datang, gua balik ke pangkal jalan

Siapa kata ini suatu penghijrahan
kalau Melayu Islam sentiasa bergerak ke belakang
bukannya melangkah ke hadapan tetapi asyik gostan
dan jika nyawa masih panjang tahun hadapan
kita menyambut lagi awal Muharam
dengan satu lagi slogan…

Salam Maal Hijrah.

Monday, November 22, 2010

INTI PATI THE MAGIC OF THINKING BIG - FASA 1

THE MAGIC OF THINKING BIG - DAVID J. SCHWARTZ

1. Dalam hidup ini, tiada cabaran yang lebih besar daripada memaksimumkan potensi diri.
2. Kita akan mendapati yang semakin berjaya seseorang itu, maka semakin kurang dia mereka-reka alasan.
3. Tindakan merungut mengenai penyakit yang dihadapi adalah umpama menabur baja pada lalang.
4. Kesedihan yang saya alami disebabkan kasut saya yang buruk terus lenyap apabila saya terserempak dengan orang yang tidak mempunyai kaki.
5. Adalah lebih baik menjadi usang kerana digunakan daripada diam dalam kekaratan.
6. Pemikiran yang memandu kepintaran adalah lebih penting daripada tahap kepintaran itu sendiri.
7. Meneruskan usaha dalam melakukan sesuatu sehingga diselesaikan dengan baik adalah lebih menguntungkan daripada kepintaran yang disia-siakan, sekalipun kepintaran itu luar biasa.
8. Memang sukar kalau mahu menukar kebolehan semula jadi, tetapi tidak susah bagi mengubah cara kita memanfaatkan kebolehan itu.
9. Duit diperoleh daripada idea yang baik, dan bukannya daripada fakta.
10. Sikap yang saya tonjolkan lebih penting daripada kepintaran yang saya miliki.
11. Apabila nasib yang menentukan siapa yang berjaya dan siapa yang gagal, maka rosak segala-galanya.

Friday, November 19, 2010

MALAS DAN BOSAN

Ada ketikanya rasa malas dan bosan menjadi teman. Pil vitamin dan air teh misai kucing yang ditelan tidak memberikan kesan. Katanya 100 Plus dapat memberikan kesegaran. Setelah difikirkan, rupa-rupanya jikalau tidak begitu banyak tugas yang perlu dilakukan, lebih kuat mendatang rasa malas dan bosan. Dan akhirnya di sofa itu 'hilang dalam terang'!

Saturday, November 06, 2010

SUFFERCATION: KELAHIRAN SEMULA DAY OF DARKNESS

1. Minta maaf banyak-banyak kepada sesiapa yang membaca entri terbaru ini kiranya tidak menarik dan di luar lingkaran bahasa dan kewangan. Sesekali ingin meluahkan sesuatu yang tidak penting, sekadar catatan...rasanya tiada salahnya.
2. Gua terbaca dalam FB band Suffercation malam tadi tentang suatu perkara; Album "Day of Darkness" akan diterbitkan semula (re-released). Album pertama band Suffercation di arus perdana terbitan VSS. Album ini mula berada di pasaran pada tahun 1992. Ketika itu, gua bekerja di kilang Fujisash, Perai, PP.
3. Album ini dianggap sebagai album pertama aliran death metal di Malaysia. Ketika itu, belum terdapat band yang merakamkan album death metal kerana aliran muzik yang sangat keras itu masih tidak dapat diterima lantaran persepsi masyarakat yang negatif terhadap aliran death metal.
4. Tanpa prejudis, gua terus mendapatkan album ini yang original. Kulit kasetnya masih dalam simpanan sehingga kini, tetapi kasetnya sudah lesap ditelan zaman. Sebelum mendengarnya, gua sudah terbiasa dengan death metal dari Barat seperti Soffocation, Carcass, Death, dan Deicide. Namun, selepas mendengarnya kali pertama, hati gua terus tertarik dengan Suffercation. Walaupun mutu rakamannya kurang baik, tetapi rentak muziknya sangat hebat. Ya, gua percaya bahawa Suffercation lebih hebat daripada band dari Barat!
5. Gua layan habis dengan Suffercation. Suara garau Jeff Ilias, gitar dan drum Rob dan Ly Razak memang memukau. Gua lihat berlaku suatu fenomena death metal ketika itu dan Day Of Darkness mencipta pengaruh dalam kalangan rockers yang sudah biasa dengan aliran rock kapak daripada Search, Wings, May, SYJ, dan Rahim Maarof dan Whitesteel. Walaupun masih ramai otai rock kapak tidak mengenali band ini pada ketika kelahirannya, namun peminat death metal yang tegar tahu tentangnya. Ulasan dalam akhbar dan majalah tentang album ini memberikan kredit untuk band ini. Gua pernah melampirkan dan mencatat hal ini dalam entri terdahulu.
6. Selepas Day Of Darkness, muncul pula Cryptic Existense (album kedua). Dan album ini pun masih menyengat, namun tidak dapat mengatasi Day of Darkness. Dan band ini terus menggila dengan album seterusnya tetapi sudah tidak berapi lagi selepas pengunduran Jeff Ilias. Gua paling 'boring' apabila Suffercation merakamkan lagu Melayu dan dibarisi oleh 'line-up' baru. Dan gua lihat, itulah zaman kemerosotan Suffercation. Apatah lagi, telah muncul band2 lain seperti Sil Khannaz, Tormentor, Nebiras, Infectious Maggots, Silent Death yang turut membawa elemen death metal, black metal, dan grindcore.
7. Itu cerita dulu. Dan tidak beberapa lama lagi, Day of Darkness akan muncul semula. Dan gua tersenyum gembira...ya, selepas sekian lama, gua mencarinya di semua kedai muzik di JB, memang tidak ada lagi stok. Kalau ada, gua sanggup bayar harganya 5 kali ganda!
8. Mungkin ada yang tertanya, hebat sangatkah band Suffercation? Atau menarikkah aliran muzik death metal?
9. Entahlah...tetapi pada gua, band Suffercation tidak seperti band death metal yang lain. Gua pun tidak tahu untuk menghuraikan kehebatan band ini dengan perkataan. Kerana Suffercation hidup bukan kerana perkataan, tetapi muziknya...!
10. Suffercation. Penyeksaan.

Tuesday, November 02, 2010

FASAL 152

Bismillahirahmanirahim.
1. Saya masih keliru tentang kedudukan bahasa Melayu di negara ini. Kedudukannya dikatakan terjamin dan tidak boleh digugat lagi kerana termaktub dalam undang-undang tertinggi negara. Fasal/Perkara 152.
2. BM sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di negara yang bernama Malaysia.
3. BM sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara.
4. BM sebagai bahasa rasmi bermaksud BM perlu digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan.
5. BM sebagai bahasa kebangsaan bermaksud BM perlu dihormati sebagai bahasa yang perlu dikuasai dengan baik oleh semua rakyat Malaysia. Tanpa mengira kaum, bangsa, dan agama. Masih terlalu banyak rakyat Malaysia yang tidak boleh berbahasa Melayu. Perlu dibuat apa kepada mereka? Biarkan sahaja?
6. Bagaimanakah pula dengan penggunaan bahasa Melayu yang tidak tepat di premis awam? Yang dilakukan oleh pihak swasta. Dan yang lebih teruk dilakukan oleh pihak kerajaan sendiri.
7. Bagaimanakah pula dengan nama syarikat dan nama tempat awam yang tidak membantu BM untuk berkembang dan didaulatkan? Sekali lagi kita biarkan sahaja. Baik budi Emak Si Randang, dagang lalu ditanakkan, anak mati kebuluran. Kayu api habis, diruntuhkan rumah...
8. Nampaknya terlalu amat sukar untuk memartabatkan BM. Dasar MBMMBI yang menggantikan PPSMI nampaknya jauh menyebelahi MBI dan meminggirkan MBM. Lihat sahaja peruntukan untuk MBI. Kata menteri, MBM telah baik dan tidak perlu difokuskan sangat kerana MBI lebih penting. Terima kasih.
9. Akta yang digubal dan katanya telah diluluskan di Parlimen untuk menghukum pesalah bahasa khabarnya terpaksa dikebumikan lagi, untuk kali yang seterusnya...dan seterusnya...dan lagi...lapan lagi! IMalaysia!
10. BM; mengapakah nasibmu begitu malang...aduhai....

Thursday, October 28, 2010

BICARA BAHASA SEORANG LELAKI

1. Semalam (27 Oktober 2010), semasa berada di Pintu 03, KLIA, menunggu pesawat MH 1057 untuk ke JB, tangan kanan menyalami seorang lelaki berkot hitam, susuk tubuhnya masih cergas walaupun sudah berusia, dan mengheret dua buah beg di atas troli. Lelaki itu duduk bersebelahan dan terus menepuk paha dan terus berbual mesra.
2. Berbicara tentang pengalaman beliau yang baru pulang dari Istanbul, Turki. Tentang daging kambing muda, tentang ribuan arked, budi bahasa orang Turki, cuaca di sana, dan pakaian gadis2 Turki yang masih sopan, biarpun ada yang tidak bertudung.
3. Jam menunjukkan pukul 5 petang. Penerbangan jam 5.25 petang. Masih banyak persoalan diajukan dan dikongsi bersama beliau.
4. Tanpa disangka, beliau menyinggung soal bahasa (tanpa mengetahui bahawa lawan bicaranya peminat bahasa!). Katanya, di Turki, rakyatnya tidak begitu tahu dan tidak mahu berbahasa asing, khususnya bahasa Inggeris. Rakyatnya tidak suka pula orang asing berbahasa Inggeris. Mereka begitu kuat dengan semangat bahasa. Dan kemajuan di Turki, tak perlu sesiapa menafikannya.
5. Beliau menyatakan bahawa di sana, tulisan Ruminya dieja seperti bahasa Melayu. Tulisan dan bahasa Turki/Arab memang digunakan di mana-mana. Kekaguman beliau ialah rakyat Turki sentiasa percaya bahawa kemajuan yang dicapai dengan bahasa sendiri lebih utama.
6. Mendepani situasi di Turki, beliau berkata bahawa beliau berasa 'kecil', kerdil' dan beranggapan bahawa jauh bezanya dgn negaranya sendiri. Saya tidak memberikan komen apa-apa, melainkan mendengar dengan penuh minat bicaranya. Bukan mudah untuk berbicara dengannya.
7. Saya mendapati perbualan kami didengari atau cuba didengari oleh beberapa orang di sekeliling. Saya membiarkan bicaranya memenuhi ruang menunggu kerana bicaranya sangat 'mahal' bagi saya. Bicara saya mungkin 'bicara orang kecil' dan tidak seharusnya dipentingkan. Saya berfikir demikian.
8. Selepas pengumuman dibuat untuk menaiki pesawat, saya meminta diri untuk beredar. Beliau bertanyakan umur saya. 38 tahun. Ohhh...masih muda, sampuknya. (saya berasa berada di awang-awangan ketika itu walaupun belum menaiki pesawat!).
9. Beliau sempat menitipkan pesan: Masih muda, banyakkan amal ibadat dan mudah-mudahan dapat bertemu kembali.
10. Saya menyalaminya sekali lagi dan beliau melafazkan salam. Saya bergerak ke pintu masuk. Pengalaman hebat untuk saya...!
11. Lelaki itu mantan Mufti Negeri Johor, Dato' Nooh Gadut. Beliau kini Penasihat Agama Sultan Johor.
12. Pesawat yang membawa kami bergerak dari landasan menuju ke selatan dan apabila berada di angkasa, pecutannya ialah 800 km/sejam.

Wednesday, October 20, 2010

PUISI PERIBADI SEMPENA BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2010

SALASILAH BAHASA

Pohon bahasa yang sekian lama tumbuh
menunaskan akal budi bangsa yang teguh
merantingkan wibawa bicara yang ampuh
dahannya terlalu kukuh untuk dirempuh
dedaun bestari hijau mewarnai peribumi
mekarlah puspa mengaroma datar buana
bertunjang akarnya yang berjiwa cekal
di belantara sejarah yang bernafas kental

Sungai bahasa telah bersilam menyaring
kelodak hitam dan penjarah yang gering
yang ingin melunturkan jernih bahasa
namun nadi arusnya sukar ditongkah
ini bahasa sarwa milik merdeka
terhimpun khazanah bangsa di dasarnya
merakam luka dan derita yang terseksa
dalam kitab riwayat yang paling sejahtera
menguntum kasih merentasi sempadan
bahasa ini tegak setia mengkhabarkan salam
menjalinkan peradaban yang marak dijulang

Asal usul bahasa
bermukim pada akal budi para pewaris
yang begitu mesra menyantuni warga
keras pula menyanggah sengketa
dari sejarah yang mengharukan bangsa
dari puncak bukit yang mencatan warnanya
perjuangan rakyat membuka gerbang dewan
di sebuah wad usang menggelegaklah bahasa
untuk diseratakan di segenap ruang kota
demi menafaskan nadi pejuang dari desa
yang ingin menancap bahasanya bersatu
mengisi merdeka dengan bahasa yang sama
bahasa yang berjiwa bangsa

Azhar Salleh
PPJ Johor Bahru

Tuesday, September 07, 2010

Kesalahan Bahasa pada Bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri

Banyak sekali kesalahan bahasa yang dapat kita temukan sepanjang bulan Ramadan (yang tinggal beberapa hari lagi) dan ketika kita menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Sebagai contoh:

SALAH - BETUL
a. Ramadhan – Ramadan
b. di bulan puasa – pada bulan puasa
c. murtabak – martabak
d. hadiah percuma – hadiah
e. bazaar – bazar
f. satey/satay – sate
g. nasi baryani – nasi beriani
h. nasi campor – nasi campur
i. di hari raya – pada hari raya
j. balik kampung – balik ke kampung
k. Aidil Fitri – Aidilfitri
l. saling bermaaf-maafan – saling bermaafan/bermaaf-maafan
m. saling bersalam-salaman – saling bersalaman/bersalam-salaman
n. saling berkunjung-kunjungan – saling berkunjungan/berkunjung-kunjungan
o. buffet – bufet
p. bubur lambok – bubur lambuk
q. selamat hariraya – selamat hari raya
r. bahulu – baulu

SELAMAT HARI RAYA. MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Sunday, August 22, 2010

LEBIH KURANG 20 TAHUN YANG LALU...AKU

MEMORI BERSAMA-SAMA RAKAN AKRAB (BOY DAN SYAMRI) SEMASA MASIH DI TINGKATAN 5 DAHULU (TAHUN 1989) DI BELAKANG RUMAH. SEGAN JUGAK NAK KONGSI GAMBAR NI. BUKAN PASAI APA, AURAT TUH! SUATU MEMORI YANG TIDAK MUNGKIN AKAN TERPADAM...SAHABAT, HARAP TIDAK SUKAR UNTUK MENGECAM OTAI METAL NIH!Bersama-sama rakan semasa Tingkatan 6 (Tahun 1990 - 1991), SMK Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas, P. Pinang.

Monday, August 16, 2010

SUATU CATATAN KECIL UNTUK BANGSA

Aku melihat bangsaku Melayu
bagai sebuah perahu di tengah lautan bergelombang
dihanyutkan dan menunggu masa untuk karam
ditenggelamkan oleh wajah kepuraan dan tidak sedar diri
oleh dua tiga bangsa yang berwajah 1Malaysia
menuntut tanah ini seperti merekalah peribumi
kononnya yang memugar tanah ini.

Aku melihat bangsaku Melayu
diserang dan diterjah dari segenap segi
'kecerdikan' mereka menumbangkan 'kedunguan' bangsa
yang lelah dan makin parah dengan segala gejala
ketika mereka sedang mengatur strategi dan rencana
kita masih dialun oleh muzik daripada program realiti
kita masih dibuai dengan gosip artis dan retorik tentang 'ketuanan'
mereka menguasai pengetahuan dan ekonomi tanpa kasihan lagi.

Sebenarnya
siapakah tuan?

Mereka tidak akan dan tidak mahu berfikir
sejarah silam bungkuskan sahaja kerana tidak ada makna
perjuangan sebelum dan semasa merdeka bukan Melayu semata-mata
jadi, mengapakah masih ada kuota dan istilah 'bumiputera'?

Kita masih jauh tertinggal
ketika mereka bertepuk tangan memperoleh hajat
mungkinkah kesilapan dahulu akan berulang kembali
dan bangsa ini akan merempat di tanah sendiri.

Nampaknya
kita sudah tidak ada lagi pergantungan
kerana dahannya telah reput dimakan anai-anai
yang berkeliaran di segenap suara dan media
kita masih mencari-cari
ketika mereka sedang gembira menari
menyanyikan lagu Anak Kecil Main Api.

Haruskah
kita masih ingin berdiam diri
jikalau suara berani dipenjarakan oleh pemimpin sendiri!

Perjiranan 10
Bandar Dato' Onn.

Friday, August 06, 2010

1BAHASA?

1. Entah mengapa, saya tidak begitu tertarik dengan gagasan 1M.
2. Malah, saya tidak dapat menerima gagasan ini secara menyeluruh.
3. Ya, penyatuan antara bangsa menjadi terlalu amat penting dan vital, namun gagasan ini sehingga kini dilihat condong sebelah. Dan saya yakin mungkin di luar sana, khususnya golongan marhaen yang turut berfikiran demikian.
4. Entri ini tidak berhasrat untuk membahaskan sebab, punca, atau faktornya. Mungkin pada masa yang lain. Seperti biasa, saya ingin melihatnya daripada perspektif bahasa.
5. Sehingga kini, gagasan ini hanya menzahirkan dan mewara-warakan semangat satu bangsa; iaitu bangsa Malaysia. Di manakah letaknya soal bahasa dalam perkara ini? Saya membaca akhbar setiap hari. Belum pernah sekali pun saya melihat dan membaca gagasan 1M ini dijalinkan dengan gagasan bahasa. Bahasa Melayu tidak ada tempatkah dalam gagasan ini?
6. Atau pemimpin kita menjadi takut untuk bersuara tentang perlunya satu bahasa untuk satu bangsa, iaitu bangsa Malaysia? Tetapi berani pula menukarkan nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia. Dalam banyak perkara, bahasa Melayu sering terabai, malahan dilihat secara lebih terbuka, bahasa Melayu seolah-olah cuba 'dibunuhkan' oleh golongan yang sentiasa menangguk di air keruh.
7. Sukar sangatkah untuk menguatkuasakan 'peraturan' perlunya satu bahasa yang sudah pasti dapat menyatukan semua bangsa? Jikalau tidak ada usaha ke arah itu, itu pun sudah dikira khianat, apatah lagi jika bersekongkol untuk 'membunuh'nya! Apakah label yang paling sesuai?
8. Ya, anda membebel dan terus mengkritik! Tetapi anda tidak memberikan cadangan. Anda hanya tahu menyalahkan orang lain, tetapi apakah sumbangan anda?
9. Saya yakin akan ada orang yang bernada begitu. Saya ucapkan terima kasih kerana memikirkan apa yang saya fikirkan. Saya tidak dapat memberikan sumbangan apa-apa kerana di negara ini, yang akan menentukan semuanya (hampir segalanya!) ialah golongan pemimpin/politik. Nampaknya saya perlu bertanding dalam pilihan raya!
10. Sebenarnya, banyak cadangan dan saranan yang telah dikemukakan. Jikalau bertanya kepada Profesor Awang Sariyan atau DBP, saya pasti tidak sukar untuk mendapatkan sepuluh helai kertas cadangan yang sangat praktikal.
11. Satu cadangan yang sangat mudah dilaksanakan ialah: Ubahlah dahulu papan tanda keselamatan di tepi jalan raya, iaitu "Awas Selekoh Merbahaya" kerana saya sakit hati melihatnya!

Wednesday, July 28, 2010

KALI PERTAMA

Ketika entri ini dicatatkan, saya sedang menunggu ketibaan pesawat di Senai untuk ke Pulau Pinang. Undangan daripada pihak DBP Wilayah Utara amat mengujakan kerana inilah kali pertama dapat berbakti di negeri kelahiran sendiri, selepas hampir lapan tahun bergiat dalam lapangan ceramah bahasa dan sastera ini.
Mudah-mudahan penampilan julung-julung kali di sana akan mencatatkan kejayaan dan meninggalkan dampak kepada warga Pulau Pinang.
Saya akan berlepas sebentar lagi...

Friday, July 09, 2010

KESILAPAN...

KESILAPAN ORANG MUDA IALAH MENYANGKA PENGETAHUAN LEBIH PENTING DARIPADA PENGALAMAN.
KESILAPAN ORANG TUA IALAH MENYANGKA PENGALAMAN LEBIH PENTING DARIPADA PENGETAHUAN.

BETULKAH?

Friday, June 25, 2010

MAHARAJA TIDAK BERBAJU!

NOKIA berasal dari negara Finland yang bahasa rasmi dan bahasa utamanya ialah bahasa Finnish.

Saya mohon maaf banyak-banyak kerana 'bermeditasi' daripada tampil begitu lama. Saya kini kembali untuk terus mencatatkan sesuatu buat tatapan. Oleh sebab kemuculan semula tanpa curahan rasa dan fikir, saya muatkan dahulu kutipan yang dipetik daripada buku "Mengapa Kami Bantah PPSMI". Mungkin isu ini telah 'basi', namun masih ada pengajarannya daripada petikan ini. Bacalah.


1. Tidak ada negara di dunia ini yang maju dengan bahasa orang lain. Semuanya telah maju dan tetap maju dengan bahasa sendiri.


2. Sekadar beberapa contoh dipaparkan di bawah ini:
~ Denmark maju dengan bahasa Denmarknya.
~ Sweden maju dengan bahasa Swedishnya (siapa tak kenal kereta
Volvo..Saab..dll.)
~ Finland maju dengan bahasa Finnishnya (siapa tak kenal “mercedes”
telefon – iaitu Nokia
~ Jerman maju dengan Jermannya (siapa tak kenal kereta mewah
Mercedes dan BMW..)
~ Perancis maju dengan Perancisnya (siapa tak kenal Peugeot..
Renault, ..tren lajunya..”bullet train”.. dll)
~ Itali dengan bahasa Italinya (…siapa tak kenal kereta sport mewah
Porsche.., Lamborghini… Masserati, ..di samping Alfa Romeo,.. Fiat..
Lancia dll.)
~ Belanda dengan Belandanya
~ Korea dengan bahasa Koreanya (siapa tak kenal Hyundai, Kia,
Samsung dll..)
~ Akhirnya..Jepun dengan Nihongonya (siapa yang tak kenal Toyota,
Honda, Sony, Mitsubishi..dll..)

3. Semua negara tersebut maju dan terus maju walaupun menggunakan
bahasa sendiri…dan ini juga membuktikan kenyataan (sempit) bahawa
kemajuan hanya boleh dicapai melalui bahasa Inggeris sahaja ADALAH DONGENG SEMATA-MATA (oleh mereka yang “sangat taksub” terhadap bahasa Inggeris, sehingga tidak terbuka minda lagi untuk melihat kenyataan bahawa bahasa negara sendiri, bahasa Melayu sememangnya terhakis daripada sains dan teknologi.


4. Mungkin ada agenda pihak tertentu yang sememangnya mahu bahasa Melayu berkubur sebagai bahasa ilmu sains dan teknologi..hanya bahasa Inggeris sahaja yang dikehendaki.. kerana secara langsung dan tidak langsung..pupus bahasa pupuslah bangsa..hilang bahasa..tiadalah berjiwa bangsa itu.


5. Malah walaupun sebelum maju, sedang maju, akan maju, telah maju, terus maju, dan rakyat di semua negara tersebut di atas mempelajari serta menguasai bahasa Inggeris, bangsa Sweden, Norway, Denmark, Finland, Belanda, Jerman, Perancis, Itali, Korea, Jepun, China dan lain-lain SEKALI-KALI TIDAK AKAN MENUKAR bahasa penghantar sains dan matematik mereka kepada bahasa Inggeris..seperti “kesilapan” yang telah kita (pemimpin terdahulu..) lakukan.

6. Negara lain yang telah menggunakan bahasa Inggeris, Perancis,
Sepanyol dll….iaitu bukan bahasa asal penduduk negara tersebut tidak
boleh pun dibanggakan (seperti Filipina, negara-negara di benua Afrika, Amerika Selatan, India) malah banyak yang tertinggal jauh…jika betul bahasa Inggeris sahaja bahasa kemajuan..semaju manakah Filipina itu?

7. TETAPI..kemajuan negara kita selama ini tidak dapat dinafikan bahawa antara faktor yang turut berperanan penting ialah bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) yang digunakan dalam pendidikan negara
ini (termasuk untuk pelajaran sains dan matematik) selama kira-kira 30
tahun kepada lebih 5.5 juta pelajar, sejak 1970-an lagi sehingga tahun-tahun 2000.


8. Ini telah membolehkan maklumat yang diperoleh dan ilmu yang dipelajari dapat tersebar luas merentas ke seluruh tanah air…tanpa mengira bangsa, darjat keturunan (status ekonomi dan sosial), tempat
tinggal (desa, bandar dan kota)…sebab bahasa kebangsaan/bahasa
Melayu difahami dengan lebih meluas dan merata serta dengan lebih
mudah oleh semua yang tersebut, jika dibandingkan dengan bahasa
Inggeris.


9. Daripada jumlah lebih 5.5 juta pelajar tersebutlah lahirnya ribuan
pensyarah/profesor (yang kemudiannya turut melahirkan ribuan
pensyarah/profesor, pakar, saintis, teknokrat, pengurus, pemimpin
lain..seterusnya…. dll.

10. Walaupun kita masih boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik
dan maju tanpa “membuang” bahasa Melayu…dan kita juga boleh
menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan maju dengan “MEMBUANG” bahasa Melayu…TETAPI MENGAPA kita memilih untuk maju dengan membuang bahasa Melayu…….bahasa kebangsaan negara kita???

11. Mengapa semangat Malaysia boleh tidak dibawa ke dalam persoalan bahasa..?..mengapa pula Malaysia tidak boleh maju dengan bahasanya…dan perlu maju melalui bahasa “orang” lain???

12. Teringat sekali akan cerita rakyat, iaitu kisah “Maharaja dengan Baju Barunya”. Kisah ringkasnya lebih kurang begini.


13. Seorang raja ingin menempah baju yang paling cantik fesyennya untuk dipakai semasa hari perayaan keputeraannya. Lalu menteri istananya pun mencarilah tukang jahit yang terbaik di negara tersebut. Setelah bertemu maka ditempahlah baju tersebut. Setelah siap dan tiba harinya lalu datanglah tukang jahit ke istana memakaikan maharaja akan baju baru itu. Setelah siap maka beraraklah maharaja sekeliling kota untuk memperlihatkan rekaan baju yang tiada tolok bandingnya itu. Maka sambil berarak itu, memuji-mujilah segala pembesar dan para menteri akan kecantikan baju baru maharaja tersebut. Tiada seorang pun yang mencela atau berani mengkritik akan baju baru maharaja tersebut yang ”benang jahitannya dikatakan terlalu indah sehingga langsung tidak terlihat oleh mata kasar mereka”.


14. Akhirnya perarakan maharaja tiba di hadapan sekumpulan kanak-kanak. Lalu menjeritlah kanak-kanak tersebut mengatakan maharaja tidak berbaju. Para pembesar yang turut bersama dalam perarakan membantah dan memarahi serta menengking kanak-kanak tersebut dan tetap mengatakan baju maharaja sangat cantik lagi indah. Tetapi hal itu tidak dipedulikan oleh kumpulan kanak-kanak yang banyak itu.


15. Mereka terus menjerit mengatakan maharaja tidak berbaju. Riuh- rendah dibuatnya. Jeritan kanak-kanak tersebut disahut oleh kumpulan rakyat yang berhampiran dan akhirnya seluruh perhimpunan pada hari itu.


16. Akhirnya para pembesar pun tidak tertahan lagi dan mengakui bahawa maharaja sebenarnya tidak berbaju langsung dan larilah maharaja bersama para pembesar ke istana akibat tersangat malunya.

17. Setiap sejarah dan cerita rakyat sekalipun berupa dongengan, tetap
ada nilai, moral dan pengajarannya. Semoga sejarah Hang Nadim tidak
berulang akibat saranan ikhlas ini - demi agama, bangsa dan negara
tercinta.

Thursday, May 06, 2010

TATABAHASA: APABILA GURU BESAR DIGANDAKAN...

Beberapa hari yang lalu, saya telah dihubungi oleh seorang guru, dan beliau bertanya tentang penggandaan kata majmuk, guru besar. Menurut guru tersebut, ada rakannya yang menyatakan bahawa kata majmuk "guru besar", apabila digandakan akan menghasilkan "guru besar-guru besar".

Saya menyatakan bahawa penggandaan demikian tidak tepat. Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (hlm. 74 - 75), contoh yang diberikan ialah:
alat-alat tulis/gambar-gambar rajah/balai-balai raya/kapal-kapal terbang/suku-suku kata/garis-garis pusat/jirim-jirim organik/model-model linear/Menteri-Menteri Besar/Naib-Naib Canselor/Penolong-Penolong Pendaftar/Ketua-Ketua Menteri.

Rumusnya: Penggandaan kata majmuk melibatkan penggandaan unsur pertama kata sahaja.

Kecualian: Penggandaan melibatkan keseluruhan unsur apabila melibatkan kata majmuk yang telah mantap. Contoh:
pesuruhjaya-pesuruhjaya
warganegara-warganegara
tandatangan-tandatangan
jawatankuasa-jawatankuasa
setiausaha-setiausaha

Penyelesaian: Masalah guru tersebut dapat diselesaikan sekiranya kita berpegang pada rumus, seperti yang ditentukan oleh Tatabahasa Dewan.
Salah: guru besar-guru besar
Betul: guru-guru besar

Monday, May 03, 2010

TATABAHASA: MEMBERI DAN MEMBERIKAN

AYAT YANG SALAH
1. Saya memberi susu kepada kucing itu.
2. Mereka memberi pandangan tentang perkara tersebut.
3. Dia memberi sepotong kek kepada saya.
4. Saya diberikan sehelai kertas.
5. Mereka diberikan peringatan yang terakhir.

AYAT YANG BETUL
1. Saya memberikan susu kepada kucing itu.
2. Mereka memberikan pandangan tentang perkara tersebut.
3. Dia memberikan sepotong kek kepada saya.
4. Saya diberi sehelai kertas.
5. Mereka diberi peringatan yang terakhir.

KEGIATAN BULAN APRIL 2010

Terima kasih kepada semua pihak yang mengundang saya sebagai penceramah dan pembimbing dalam kursus bahasa yang diadakan sepanjang bulan April 2010 yang lalu.
1. 5 - 7 April 2010 - Perkampungan Penulis Muda Negeri Johor (Gunung Pulai) - DBPWS/JPNJ
2. 17 April 2010 - Teknik Menjawab Soalan BM UPSR (SK Mount Austin/SK Kangkar Tebrau)
3. 19 April 2010 - Kursus Tatabahasa (Hospital Permai JB)
4. 27 April 2010 - Kursus Penulisan Tesis kepada Buku (Hotel Suria City, JB) - DBPWS

Saturday, April 24, 2010

SATU LAGI PERTARUNGAN

1. Parlimen Hulu Selangor akan dipertaruhkan untuk melihat dua perkembangan.
2. Adakah orang Melayu akan kembali memberikan kepercayaan kepada BN/UMNO walaupun calonnya daripada MIC?
3. Adakah bukan Melayu akan kembali semula menyokong BN atau terus memberikan undi kepada pembangkang?
4. Berdasarkan perkembangan semasa, saya secara peribadi melihat BN akan merampas kerusi itu semula. BN, jika menang bukan kerana BN semakin kuat tetapi kerana pembangkang (khususnya PKR) semakin lemah. PKR lemah kerana terlalu hebat diasak dan diperangi habis-habisan di semua arah dan di segenap sudut.
5. Ya, kredibiliti Anwar setakat ini tidak terserlah untuk membangkitkan sentimen kepada rakyat untuk terus menyokong kepimpinan dan partinya. Anwar dilihat sentiasa mengkritik BN dalam usahanya untuk mempertahankan kedudukannya. Anwar tidak lagi dilihat sebagai pemimpin golongan marhaen yang mampu mempertahankan bangsanya sendiri. Label sebegini telah kerap diwara-warakan oleh BN dan semakin dipercayai rakyat bahawa Anwar tidak lagi perlu diangkat sebagai wira. Kes mahkamah yang dihadapinya, walaupun mampu mengumpil simpati, namun sehingga kini, rakyat melihat Anwar seperti bersalah. Sama ada bersalah ataupun tidak, tidak ada sesiapa yang perlu mengeyakan ataupun tidak kerana kejadian sebenar masih samar. Sehingga kini, tidak ada bukti yang benar-benar sahih dan dapat diperakukan bahawa Anwar bersalah ataupun tidak. Sesiapa pun boleh mengatakan itu dan ini, namun semuanya masih kabur dan terlalu banyak persepsi, konspirasi, dan rakyat dihidangi dengan cerita yang sama sejak dahulu.
6. Zaid Ibrahim tidak sesuai bertanding di Hulu Selangor. Orang Melayu dilihat lebih menyokong calon tempatan. Orang luar boleh menang jika ada kekuatan dan kepercayaan. Jika diletakkan Dato’ Haron Din, misalnya, mungkin mampu memberikan tentangan sengit kepada BN. Zaid Ibrahim telah ‘ditelanjangi’ dengan pelbagai kisah negatif seperti arak dan judi oleh media, dan rakyat rasa-rasanya tidaklah terlalu ‘bodoh’ untuk mempercayai semua cerita jajan sebegitu. Tetapi, Zaid Ibrahim bukanlah pilihan yang tepat, setidak-tidaknya untuk pilihan raya ini. Jika Zaid menang, bermakna pembangkang/PKR masih diterima rakyat. Bukan faktor calon. Bukan juga faktor partinya kuat, tetapi kerana strategi BN yang tidak pernah berubah-ubah sejak dahulu dalam pilihan raya kecil.
7. BN masih mengekalkan corak kempen yang sama. Menabur pelbagai janji dan sumbangan. Peruntukan di sana sini. Bantuan dan pembangunan material dilimpahruahkan. Rasa-rasanya strategi sebeginilah yang menyebabkan banyak pilihan raya kecil, BN tumbang. Rakyat tidak menolak pembangunan, tetapi pembangunan bukanlah keutamaan lagi kepada rakyat. Rakyat di negara ini semakin senang dan hal ini tidak sama seperti era 70-an atau 80-an, pada ketika rakyat masih mengharapkan kerajaan untuk menyalurkan pembangunan.
8. Zaman ini pembangunan dan peruntukan bukanlah keutamaan bagi sebahagian besar pengundi yang akan menentukan siapa pemenangnya. Rakyat ingin mengundi pemimpin dan parti yang bersih. Bersih daripada gejala rasuah, kroni, dan bebas daripada pelbagai skandal. Orang Melayu telah membuktikan hal ini dalam PRU yang lalu, yang menyaksikan tumbangnya beberapa kerajaan negeri BN. Mungkin negeri Kelantan menjadi rujukan betapa pembangunan bukanlah lagi menjadi keutamaan.
9. Orang Melayu akan menyokong parti dan kerajaan yang dapat mempertahankan bangsa, bahasa, kedudukan, dan agama mereka. Bukan parti yang sentiasa membuka ruang untuk segala jenis perdebatan tentang hak dan kedudukan mereka. Siapa pemerintah, sama ada kerajaan BN atau pembangkang bukanlah soal pokok, tetapi siapa yang dapat mempertahankan nasib bangsa Melayu, parti itulah yang akan diundi dan disokong. Adakah BN/UMNO memenuhi syarat ini?
10. Banyak isu yang belum ditangani secara bijak oleh BN. Orang Melayu terasa seperti ‘anak yang kelaparan sedangkan kera disusui dengan pelbagai jenis susu’. Banyak kepentingan orang Melayu seperti makin tergugat, misalnya isu agama, ekonomi, pendidikan, dan bahasa Melayu yang tampak makin goyah akhir-akhir ini. Namun begitu, jika dibandingkan dengan pembangkang, BN masih dilihat lebih baik. Tetapi, yang dilihat lebih baik itu tidak mampu untuk menjamin kepercayaan akan terus berkekalan kerana yang diperlukan, bukan ‘lebih baik daripada pembangkang’ tetapi ‘lebih baik dari dahulu’. Namun begitu, ‘yang lebih baik dari dahulu’ tidak menjelma. Oleh sebab kecewa, marah, dan kesal, tidak mustahil undi akan terus memihak kepada pembangkang.
11. Hal ini yang perlu dihalusi.
12. Janganlah kerana hendak mendapatkan sokongan minoriti, yang majoriti terabai. Orang Melayu melihat hal ini dengan serius. Jika sudah berlaku demikian, yang dikendong berciciran, dan yang dikejar sudah pasti tidak akan diperoleh. Sejarah PRU yang lalu membuktikan hakikat ini, bahawa orang Melayu sudah berani melakukan ‘reformasi’ dan bukan Melayu tidak gentar untuk memberikan sokongan kepada pihak yang dapat menjaga kepentingan mereka. Jika kita taburkan intan berlian di hadapan mereka, belum tentu kita akan disokongnya. Dari satu segi, keberanian mereka menyebabkan mereka terus ‘terpelihara’ dan tidak tergugat. Ini kekuatan mereka, dan sayangnya, keberanian sebegini masih belum menyerlah dalam kalangan orang Melayu, walaupun telah berlaku belakangan ini.
13. Diharapkan agar BN/UMNO mengubah strategi dan dasar yang menyebabkan rakyat semakin jauh untuk memberikan sokongan. Tidak perlulah diuar-uarkan tentang sumbangan dan peruntukan kerana rakyat tidak teruja lagi dengan pendekatan begitu. Rakyat memerlukan pemimpin yang bersih, berani, dan benar-benar menegakkan yang hak. Wakil rakyat memilih artis sebagai isteri kedua pun dilihat sebagai ‘kurang bermoral’, apatah lagi hal yang lebih besar.
14. Kelemahan sedemikian akan menyebabkan pihak lain akan merebut ruang dan kesempatan itu. Menangguk di air keruh telah menjadi budaya politik sekarang. Dan pihak yang berjaya menangguk, akan menang.
15. Akhir sekali, tunggulah keputusan pilihan raya Hulu Selangor nanti. Walaupun saya secara peribadi berharap dan menjangkakan BN akan menang, namun atas prinsip demokrasi, sesiapa pun yang menang, perlu disokong kerana rakyat di Hulu Selangor telah membuat pertimbangan yang sebaik-baiknya sebelum memangkah kertas undi. Kuasa rakyat.

Wednesday, April 14, 2010

SEKITAR PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA SEKOLAH MENENGAH NEGERI JOHOR 2010

TARIKH: 5 APRIL - 7 APRIL 2010
TEMPAT: KEM BINA NEGARA, GUNUNG PULAI, KULAI.
ANJURAN: DBP WILAYAH SELATAN DAN JPN JOHOR
SISI SUATU ASPIRASI UNTUK MENABUR BUDI
SISI BELAKANG YANG MENGHARAPKAN TUNAS DI HADAPAN SENTIASA MENGORAK LANGKAH MELANGKAUI BATAS SEMPADAN

BERDIRI SEORANG HAMBA PENULISAN YANG INGIN MELIHAT BANGSANYA MEMANFAATKAN TINTA UNTUK MEROBAH SESUATU

KATA-KATA YANG TERCATAT DI LEMBAR KERTAS ITU AKAN MENJADI SUATU PERMULAAN UNTUK SATU PERJALANAN YANG AKAN MENDATANG

...DAN DUNIA PUN BERARAK
MENGUSUNG PATUNG-PATUNG
Catatan: Terima kasih Tuan RAR atas kiriman foto, dan yang paling penting, kepercayaan yang sentiasa mendahului...

SEKITAR PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA SEKOLAH MENENGAH NEGERI MELAKA 2010

TARIKH: 23 MAC - 25 MAC 2010
TEMPAT: INAP DESA SUNGAI RAMBAI, MELAKA
ANJURAN: DBP WILAYAH SELATAN DAN JPN MELAKA
MERENUNG MASA DEPAN PENULISAN PENULIS MUDA NEGERI MELAKA. SIAPAKAH ANTARA MEREKA YANG AKAN MENERUSKAN LEGASI A.SAMAD SAID, HAJI MOKHTAR YASSIN, FAISAL TEHRANI, ZAEN KASTURI, A. RANI EMBI, DLL?
SESEKALI TERASA SEPERTI BANDI, SESEKALI TERASA SEPERTI MUS, SESEKALI TERASA SEPERTI M. DAUD KILAU PUN ADA! LENGUH JUGAK!

BRO, JANGAN EMOSI SANGAT!

AUTOGRAF YANG TIDAK TERNILAI ATAU TIDAK BERNILAI?

PENGGANTI DSAI? ATAU GUAN ENG? HARAP-HARAP BUKAN PAK LAH! TENTU ISU YG SEDANG DIPERKATAKAN TENTANG NASIB BAHASA MELAYU, KALAU TANGAN NAIK MACAM NI!
Catatan: Terima kasih Tuan RAR atas kiriman foto di atas. Jasamu dikenang. Jasa Senapang Patah!

Thursday, April 08, 2010

TABIAT JUTAWAN YANG KESEMBILAN

HORMATI DAN SAYANGI WANG

1. Sebenarnya, entri kali ini seharusnya memaparkan tabiat jutawan yang pertama, iaitu “sentiasa lakukan yang lebih baik daripada apa yang diharapkan”. Namun begitu, sebagai menghormati seorang yang sangat saya hormati dan segani, Tuan Haji Shapiai yang telah melontarkan pertanyaan melalui entri terdahulu, saya akan mengupasnya tabiat yang kesembilan dahulu. Terima kasih tuan haji kerana sentiasa mendorong saya untuk mengupas sesuatu dengan lebih telus, rinci, dan mendalam. Dan yang lebih penting, ‘tidak sering membenarkan’ apa-apa yang saya fikirkan, dan dengannya, mudah-mudahan saya menjadi lebih matang dalam menghujahkan sesuatu.
2. Apabila saya menelaah buku tulisan Adam Khoo tersebut, dan apabila beliau menyatakan bahawa jutawan memiliki tabiat ini, iaitu ‘hormati dan sayangi wang’, saya pun bersikap skeptikal. Namun, selepas membaca kandungan subtajuk tersebut, saya mendapati ada justifikasi yang dapat mengajak kita berfikir tentangnya.
3. Dalam konteks ini, kita tidak seharusnya menyangka bahawa dengan menghormati dan menyayangi wang, kita akan dianggap sebagai hamba wang. Menghormati dan menyayangi wang lebih menjurus kepada usaha kita untuk memastikan wang yang kita gunakan dan belanjakan itu berbaloi dan sebaik-baiknya mendatangkan manfaat yang besar. Bukan mudah untuk mendapatkan wang pada hari ini.
4. Ya, kita bertungkus-lumus untuk mendapatkan wang pada setiap hari. Saya sendiri bekerja tujuh hari seminggu, siang dan malam untuk mendapatkan wang dan menjejak rezeki. Lazimnya, setiap orang akan berehat pada hari minggu (Ahad) dan bersama-sama keluarga pada hari itu. Tetapi, saya terpaksa mengorbankan suasana tersebut. Kadangkala saya berasa agak sedih kerana bekerja setiap hari. Hari cuti saya hanyalah ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina. Pada bulan Disember, saya berehat selama dua minggu. Dan keadaan ini berlaku sejak tujuh tahun yang lalu hingga sekarang. Memandangkan saya bekerja agak keras, (isteri saya akan membenarkan penyataan ini, jika ditanya kepadanya), maka saya perlu menggunakan wang yang saya peroleh dengan sebaik-baiknya. Sebab yang pertama tentulah kerana saya berasa ‘sayang’ akan wang tersebut kerana kudrat yang saya gunakan untuk mendapatkannya memaksa saya untuk melepaskan sesuatu yang berharga, antaranya masa dengan keluarga.
5. Menghormati dan menyayangi wang bukanlah bermakna kita perlu menjadi hamba kepada wang. Wang bukanlah segala-galanya tidak menjadi falsafah yang saya pegang. Saya berani menyatakan bahawa itu bukanlah saya. Tetapi, saya semakin percaya bahawa hampir segalanya berkaitan dengan wang. Saya tidak pernah menganggap saya menjadi hamba wang. Walaupun demikian, yang saya perhatikan, kita sering mengatakan bahawa kita tidak menjadi hamba wang, tetapi saya melihat kebanyakan orang sering bersikap tidak seperti kata-katanya. Ramai orang telah menjadi hamba wang. Zaman ini, zaman yang hanya mengutamakan kejujuran, baik hati, kerukunan dan kasih sayang semata-mata tidak menjanjikan kebahagiaan yang diharap-harapkan. Ya, saya tahu ramai yang bersetuju dengan saya dalam hal ini, dan dalam masa yang sama, lebih ramai yang tidak bersetuju. Tetapi, perbezaan pandangan dan persepsi tidak harus dilihat sebagai suatu masalah besar. Saya amat menyukai asam pedas ikan merah, dan isteri saya sendiri lebih menyukai asam pedam ikan pari. Kedua-duanya tidak salah dan kedua-duanya betul.
6. Baiklah, sekiranya saya tidak melakukan kerja-kerja tambahan atau sambilan seperti mengajar di pusat tuisyen, berceramah di sana sini, dan mengajar di Pusat Pendidikan Luar UPM, rasa-rasanya saya masih boleh menjalani kehidupan dengan agak selesa kerana isteri saya juga bekerja. Pendapatan saya dan isteri dengan bekerja sebagai guru lebih kurang RM7000.00 sebulan. Jumlah ini, sekurang-kurangnya, kalau tidak dilabelkan sebagai kaya, saya tidaklah berada dalam zon orang yang susah. Insya-Allah, kami sekeluarga dapat makan minum, pakaian, dan kenderaan yang agak selesa dengan pendapatan sebanyak itu. Namun demikian, saya tidak mahu (mudah-mudahan begini dalam tempoh yang lama) berada dalam zon selesa. Saya melakukan banyak pekerjaan sambilan untuk memastikan angan-angan saya untuk mencapai kebebasan kewangan akan lebih pantas tercapai. Untuk itu, saya bekerja lebih masa. Ya, pada hari Ahad, saya bekerja lapan jam di sebuah pusat tuisyen, dan bayaran yang saya terima pada hari Ahad itu, memang mengujakan. Empat angka untuk bekerja satu hari!
7. Selepas saya penat (memang penat!) bekerja untuk mencari wang, adakah saya perlu membelanjakan wang itu sesuka hati kerana saya telah penat bekerja? Adakah perlu saya menjadi boros semata-mata untuk ‘membalas dendam’ kerana saya telah memperuntukkan masa yang banyak serta mengorbankan masa yang panjang untuk mendapatkan wang tersebut? Saya percaya tindakan itu bukanlah tindakan yang bijak. Oleh sebab itulah, saya menghormati wang yang saya dapat. Saya menyayangi wang tersebut kerana saya mendapatkannya bukan melalui warisan harta pusaka atau menang loteri!
8. Memang ramai yang mahu menjadi kaya. Saya akui saya salah seorang daripadanya. Keinginan tersebut telah lama saya pendamkan dan sekarang, saya berusaha keras (seperti yang saya ceritakan atau seperti yang rakan-rakan karib saya lihat) untuk mencapainya. Kenapa?
9. Walaupun soalan di atas saya yang bertanya, tetapi biarlah saya juga yang menjawabnya. Ya, kerana saya sedar wang adalah penting dalam kehidupan saya. Janganlah ada yang memandang sinis atau tersenyum kambing (saya memang suka beriani kambing!) dan berkata, “Dunia, dunia! Akhirat, bagaimana?”. Nampaknya, kalau semua perkara perlu saya perkatakan, blog ini akan ditutup akhirnya kerana saya tidak mampu untuk bercakap semuanya. Mungkin tuan-tuan boleh mengunjungi blog Raihan atau Rabbani. Maaf, saya bukan tidak berminat tentang soal-soal agama, malahan saya sedang menelaah buku “Manhaj Fiqh As-Shafie” yang harganya ratusan ringgit sebelum saya menulis entri ini. Biarlah soal yang cenderung ke arah ini dikupas oleh orang yang lebih ahli. Saya tidak ahli dalam bidang ini. Selagi saya masih di landasan yang diredai Allah SWT, saya tidak melakukan kesalahan. Allah menyayangi hamba-Nya yang kaya di dunia dan kaya untuk bekalan di akhirat.
10. Sebenarnya, saya telah banyak tersasul! Maafkan saya, tuan! Kita ingin menjadi kaya, tetapi dalam masa yang sama kita tidak menyedari bahawa minda separa sedar kita terlalu banyak pemikiran negatif terhadap wang dan hal-hal yang bersangkutan dengannya. Pemikiran negatif ini akhirnya akan membuatkan mereka menolak wang dan menghalang mereka daripada menjadi kaya tanpa disedari. Jikalau kita ada wang banyak, kita cenderung untuk membelanjakannya dengan lebih bebas, dan apabila wang kita semakin berkurangan, kita akan kembali bekerja keras. Kitaran ini akan menjejaskan peluang kita untuk mencapai kebebasan kewangan. Orang yang sebegini tidak menyayangi dan menghormati wang mereka. Buktinya, cuba lihat apabila seorang kakitangan awam atau swasta yang mendapat bonus, kebanyakan mereka cenderung untuk membelanjakannya lebih daripada kebiasaan. Memang sesekali kita boleh berbelanja lebih daripada kebiasaannya, namun sikap ini memperlihatkan sikap negatif kita terhadap wang. Mereka beranggapan wang tidak begitu berharga. (Jika berharga, mereka akan memastikan wang bonus tersebut dimanfaatkan dengan lebih baik). Sikap untuk menghormati dan menyayangi wang tidak begitu mendesak pemikiran mereka. Kekallah dengan cara demikian, dan kedudukan kewangan kita pun akan kekal sebegitu.
11. Pemikiran negatif tentang wang menyebabkan kita tidak melihat wang sebagai anugerah Allah SWT yang penting. Ya, ketakwaan jauh lebih penting. Saya amat sedar tentang hal itu. Mungkin sejak kecil kita telah ditanam dengan suatu tanggapan yang salah tentang wang. Antaranya, orang kaya itu sombong dan jahat. Orang yang banyak wang tidak banyak kawan. Orang kaya bermata duitan. Orang kaya tidak sembahyang. Orang kaya banyak menipu. Orang banyak duit selalu disisihkan oleh masyarakat. Duit punca atau paksi kemungkaran. Wang menjadikan kita materialistik. Orang kaya bersikap tamak dan mementingkan diri sendiri. Orang kaya kedekut. Wang tidak menjanjikan kebahagiaan. Wang tidak penting kepada saya.Wang dan orang berada selalu diberi label negatif. Lihatlah drama atau filem kita. Rasa-rasanya jarang-jarang kita dapat lihat orang kaya diberi perwatakan yang baik dalam filem, lebih-lebih lagi drama Melayu. Tetapi, kalau orang kaya itu jahat, saya hairan juga kerana yang banyak meringkuk dalam penjara ialah orang miskin!
12. Ya, minda separa sedar kita akan mengaitkan wang dengan unsur-unsur negatif jika kita diasuh begitu. Minda ini tidak akan mengizinkan kita untuk menjadi kaya kerana kekayaan akan mendatangkan masalah kepada kita. Ataupun, kita akan menjadi sangat buruk kelakuan dengan menjadi kaya. Saya percaya persepsi begini tidak selalunya benar kerana Tan Sri Mokhtar al-Bukhary telah membuktikan bahawa kekayaan yang dimilikinya menyebabkan beliau menjadi seorang dermawan yang unggul. Banyak masjid telah didirikan olehnya. Ribuan pelajar telah mendapat manfaat daripada kekayaannya. Kalaulah Bill Gates seorang Islam, mungkin beliau mendapat banyak pahala kerana sumbangannya sangat besar kepada masyarakat dunia, termasuklah kepada penduduk di negara Islam!
13. Banyak mitos tentang wang yang perlu dikupas. Ya, dengan izin Allah SWT, saya akan mengupasnya, sama ada tuan-tuan bersetuju ataupun tidak dengan pandangan saya ini. Jikalau kita mengatakan wang bukan segala-galanya, saya percaya bahawa segala-galanya memerlukan wang. Keselesaan, kebahagiaan, kesenangan, dan memiliki kesihatan yang baik juga memerlukan wang.
14. Oleh sebab itu, kita perlu menghormati dan menyayangi wang. Kita bekerja keras untuk mendapatkannya, maka kita perlu menghormatinya. Hormat, dalam konteks ini, bukan menjadi hambanya, melainkan kita menyedari bahawa banyak perkara yang dapat kita lakukan dengan wang. Kita perlu sedar bahawa wang memberikan banyak keuntungan dan kelebihan kepada mereka yang memilikinya. Janganlah kita berpura-pura. Jikalau tuan berasakan wang tidak penting, saya tahu ungkapan itu hanya untuk menyedapkan hati semata-mata. Dengan wang, kita boleh melakukan pelbagai perkara yang tidak dapat dilakukan oleh orang yang tidak berwang. Saya teringat suatu ungkapan menarik tentang hal ini, iaitu, orang kaya tidak dipandang rendah jika membeli sesuatu yang murah. Mungkin ada kaitan dengan hal yang dinyatakan ini.
15. Menyayangi wang bererti menggunakan wang dengan penuh perasaan ‘sayang’. Sayang di sini membawa dua maksud; satu, sayang yang bermakna kasih dan cinta; kedua, sayang yang bermaksud berhati-hati untuk membelanjakannya. Kedua-duanya relevan dengan subjek ini. Hendaklah kita menyayangi wang kerana kita telah berusaha untuk mendapatkannya. Hendaklah kita menyayangi wang kerana wang akan menjamin masa hadapan kita. Kalaulah kita tidak sempat untuk menggunakan wang yang kita kumpulkan dan laburkan itu, percayalah, tidak akan ada sesiapa yang akan rugi kerana anak isteri kita pasti akan mewarisinya. Saya tidak mahu keluarga saya dirundung kesempitan jika saya tiada di dunia ini lagi. Oleh sebab itu, saya menghormati dan menyayangi wang. Wahai intan payung, ke marilah kepadaku!

Monday, April 05, 2010

SEMBILAN TABIAT JUTAWAN

Sekarang, saya sedang menelaah pemikiran dan menggali pengetahuan daripada sebuah buku yang bertajuk "Bagaimana Saya Boleh Menjadi Jutawan", tulisan seorang jutawan muda dari Singapura, Adam Khoo.

Pada Bab 3, penulis menghuraikan sembilan tabiat jutawan. Tabiat yang menyebabkan golongan ini menjadi kaya-raya dan sangat berjaya. Saya perturunkan sembilan tabiat tersebut di bawah.
1) Sentiasa lakukan yang lebih baik daripada apa yang diharapkan
2) Bersikap proaktif
3) Bertanggungjawab 100%
4) Memperlambat kepuasan
5) Lakukan apa yang kita minati
6) Memiliki integriti
7) Memberi 100% kesungguhan
8) Keupayaan mengubah kegagalan menjadi kejayaan
9) Hormati dan sayangi wang

Mudah-mudahan, sembilan langkah dan tabiat ini dapat kita jadikan panduan ke arah mencapai kejayaan dan menikmati kekayaan. Insya-Allah, saya akan menghuraikan sembilan tabiat ini mengikut perspektif dan pandangan saya nanti.

UNDANGAN CERAMAH: MAC 2010

Saya, dengan rasa rendah diri dan syukur, merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak yang mengundang saya (khususnya DBP) untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman, dalam usaha memartabatkan bahasa dan sastera Melayu, sepanjang bulan Mac 2010.
1) 10/3/10 - SM TEKNIK MELAKA TENGAH (Kursus MDK)
2) 11/3/10 - SK TAMAN DESA CEMERLANG (Bengkel Tatabahasa untuk Guru Zon Tiram)
3) 16/3/10 - SK TAMAN TUN AMINAH(UPSR)
4) 16/3/10 - SK BAKAR BATU(UPSR)
5) 17/3/10 - SM FOON YEW (Tatabahasa dan Pedagogi)
6) 24-25/3/10 - SUNGAI RAMBAI,JASIN (Perkampungan Penulis Muda Negeri Melaka)
7) 27/3/10 - SK BANDAR BARU UDA 2 (UPSR)
8) 27/3/10 - SK ST. JOSEPH (UPSR)

Thursday, April 01, 2010

PUISI: BERTEDUH DI BUMANTARA BAHASA

Api yang marak dari satu zaman yang menyalakan
sumbu perjuangan menongkah segala arus dengan bara
dan lara bangsa yang tidak pernah memadamkan resah
bangsa yang menuntut suara pusaka dikembalikan haknya
sering terluka menatap layarnya rabak dan gelap jelaga
mengiringi peta perjalanan yang makin rentung terbakar
di taman pustaka yang masih bernadi dan bersuara tegar.

Api yang membakar bicara tanpa sepicing walang
merentungi bersama maruah dan harga diri warganya
bagai dalam irama warisan yang menggelegak sukma
namun yang terjelma hanyalah retorik yang amat perit
dimamah dan diteguk dengan penawar bisa luka bangsa
mencari hentian bagi suatu teka-teki yang ragu dan debar
bahasa bonda ingin dijulang tanpa segaris luka dan calar.

Jelata ini masih memegang sumbu
api dari suatu zaman tidak akan terpadam lagi
kerana pustaka yang kita bina dengan tekad iltizam
makin marak baranya dihembus prahara sumpah setia
usahlah sesiapa ingin cuba berdusta tentang liku laranya
tentang agung cintanya, prakasanya mengangkat martabat
hingga menjulang ke bumantara mencipta segedung hikayat.

Janganlah dibiarkan bahasa ini terluka dan tergores lagi
pusaka bangsa ini suara marhaen yang sulit untuk dimengerti
semakin tajam dipersendakan semakin bangkit untuk menikam
menghunus keris bahasa yang dilangir dengan titisan maruah
tidak akan berundur mempertahankan wasilah dan watikah
kerana bahasa ini akan terus hidup selagi warganya masih setia
memancangkan sumpah dan ikrar teguh bahasa yang melata
di bawah lembayung bumantara yang meneduhi nusa sejahtera.

Azhar Salleh
Antologi Puisi Hari Pejuang Bahasa "Sumpah 152"
Gapena 2010

Saturday, March 27, 2010

MINAT DAN WANG

JIKALAU ADA MANFAAT UNTUK TUAN, RENUNGKANLAH BICARA INI.

Kebanyakan jutawan melakukan sesuatu tugas atau bekerja bukan kerana wang ringgit, tetapi kerana minat mereka yang mendalam dalam bidang yang diceburi oleh mereka. Jikalau mereka tidak dibayar pun atas pekerjaan yang dilakukan, mereka tetap akan melakukannya. Kadang-kadang, terfikir juga tentang kehidupan golongan ini. Mereka boleh berehat dan bersantai 24 jam kerana mereka memiliki wang yang banyak, namun lazimnya, merekalah yang paling kuat bekerja, berbanding dengan orang yang tidak memiliki wang yang banyak.

Oleh itu, wajarlah kita melakukan sesuatu dengan penuh minat, penuh komitmen, dan menumpukan fokus 100% pada pekerjaan yang dilakukan kerana demikianlah sifat yang ada pada seseorang yang memiliki wang yang banyak.

Tanpa minat, kita kehilangan suatu nikmat...

Tuesday, March 23, 2010

SANTAI SEJENAK: E-MEL DARIPADA RAKAN

Saya telah menerima e-mel daripada rakan yang bertajuk "Cerita Lawak". Sengaja saya muatkan dalam blog ini sekadar untuk bersantai. Janganlah asyik fikir hal yang serius je...!

Cium Isteri
Pada suatu pagi, bertanya si isteri pada si suami:
Isteri :Abang tengok jiran kita yg baru pindah tu?
Suami :Kenapa? Isteri :Tiap pagi sebelum pergi kerja, suami dia akan cium isterinya. Bila pulang kerja, dia akan berikan isterinya sekuntum bunga mawar. Loving betullah mereka. Kenapa abang tak buat macam tu? Suami :Nak mampus... Mana abang kenal isteri dia?'


Mamak dapat anak
Suatu hari sedang Ali minum teh di gerai Mamak yang biasa dikunjunginya,tiba-tiba Mamak gerai tersebut bersorak gembira dan terus datang kepadanya

Ali: Apa yang suka sangat Mamak ni?
Mamak: Saya bini juga surat India mari.
Ali: Apa dia cakap? Tentu good news....
Mamak: Dalam dia punya surat ada cakap sudah beranak. New baby!Ayo..... saya banyak suka hati la... Saya belanja awak free minum jugak!
Ali:Tahniah! Mamak. Ini kena balik India cepat ni?
Mamak:Ya la, saya sudah tiga tahun tarak balik.
Ali: Lerrrrrr.??? ??...kalau 3 tahun tarak balik tu anak siapa? Hahahaha…

Kisah 2 ekor burung.
Di sebuah kedai menjual burung, terdapat 2 ekor burung kakak tua. Kedua burung itu berbeza, yang satu suka bernyanyi dan yang satunya lagi hanya diam saja, datang seorang lelaki ingin membeli burung kakak tua.Ia berkata kepada si penjual burung.
Pembeli :Berapa harga burung kakak tua ini....??
Penjual: Kalau yang suka menyanyi itu $500, sedangkan yang diam itu $1000.
Pembeli: Ahhh...?? Kenapa yang suka menyanyi lebih murah dari yang diam.
Penjual: Yaa...memang berbeza, yang berharga $1000 itu ialah pencipta lagunya.

Belajar bahasa English
Seorang gadis yang Bahasa Ingerisnya kacau-bilau. ... suatu hari terlanggar seorang pelancong US ketika berjalan2 di The mall
Gadis:' I'm sorry '
Pelancong:' I'm sorry, too '
Si gadis kelihatan bingung kerana tidak faham apa yang diperkatakan oleh pelancong itu.. dia meneka2 dan terus menjawab..
Gadis:' I'm sorry. three '
Pelancong: ' What are you sorry for? '
Gadis:'I'm sorry, five '

Anak siapa??
Suzy menyampaikan hasrat hatinya kepada bapanya untuk berkahwin dengan Robert, Jejaka pilihannya yang juga adalah jiran dan teman sepermainannya sejak kecil lagi.
Suzy :Ayah, Robert melamar saya.. Kami mahu berkahwin.
Ayah :Apa? Tidak boleh! Kamu boleh berkahwin dengan sesiapa saja kecuali Robert.
Suzy:Tapi mengapa?
Ayah :(Separuh berbisik) Kerana Robert sebenarnya adalah abangmu.Tapi, jangan beritahu ibumu ye!
Terkejut dengan jawapan itu, Suzy pergi pula kepada ibunya.
Suzy :Ibu, Ayah melarang saya berkahwin dengan Robert.
Ibu :Tak usah dengar cakap ayah kamu tu. Kamu boleh kahwin dengan sesiapa yang kamu suka termasuk Robert.
Suzi :Tapi kata ayah, Robert itu abang saya.Adik beradik kan tak boleh kahwin..
Ibu :(Separuh berbisik) Hmmm....Ayah kamu pun tak tahu kamu bukan anaknya.
Suzy :Ha!!??!!

Sunday, March 21, 2010

PUISI: SEMARAKKAN KEMBALI

Aksara bertuah memugar liku kembara
menafaskan inspirasi menuntut merdeka
menjalin bahasa yang bermaruah
laungkan segala gema yang tulen
agar padulah bangsa seintim mungkin.

Makin didewasakan oleh kemajuan
bangsa terlupa sesuatu yang ditinggalkan
terkhilaf seketika kembalikan semula
maruah bangsa yang setia mencatat
perjalanan semarak bangsa yang teguh
membina jati diri yang ampuh
tidak rela martabatnya diruntuh.

Aksara yang menjadi inti sejarah
telah dikembalikan jernih pusaka
setelah taman nurani itu lengang
untuk menguji di mana peribadi
terkadang berani terkadang sembunyi
usahlah dikocakkan aksara waris
dengan segala uji kaji lagi!

Azhar Salleh

Antologi 'Bicara Hujung Benua" - Persatuan Penulis Johor (PPJ)

Monday, March 15, 2010

ORANG KITA AGAK BERKIRA SOAL PENDIDIKAN

1. Sewajarnya soal atau perkara tentang pendidikan, misalnya pendidikan anak-anak perlulah menjadi keutamaan dan diletakkan pada tempat yang teratas.
2. Walaupun saranan dan pegangan ini terlalu amat banyak diperkatakan dan dipertegas dalam al-Quran dan hadis-hadis sahih, namun orang kita (Melayu Islam Malaysia) masih tidak menterjemahkan hal ini dengan sebaik-baiknya. Memang premis ini tidak melibatkan semua, namun sekurang-kurangnya melibatkan banyak orang. Agak berbeza dengan bangsa asing, khususnya orang-orang Cina yang begitu mementingkan pendidikan anak-anak. Buktinya, di sebuah pusat tuisyen yang paling terkemuka di JB, 80% pelajarnya bukan Melayu.
3. Saya ingin memberikan contoh yang lebih khusus; Sejak beberapa tahun yang lepas, saya telah berusaha untuk menggunakan majalah Dewan Pelajar untuk dimanfaatkan oleh guru dan murid semasa sesi pengajaran dan pemelajaran melalui program Majalah Dalam Kelas (MDK).
4. Penggunaan majalah Dewan Pelajar dirasakan telah banyak membantu guru dan murid sehingga keputusan Bahasa Melayu dalam UPSR di sekolah saya meningkat dan pernah mencapai keputusan 100%. (Insya-Allah, saya akan lebih tekun untuk mencapainya lagi tahun 2010).
5. Tetapi, selepas majalah dan surat makluman diedarkan, agak banyak murid yang datang berjumpa dengan saya dan memaklumkan bahawa ibu bapa mereka tidak bersetuju dengan penggunaan majalah tersebut. Saya tidak bertanyakan alasannya, tetapi saya amat yakin bahawa alasannya ialah setiap murid perlu membayar harga majalah sebanyak RM2.70 sebulan/senaskhah. Harga asalnya ialah RM3.00. Kalau diberi percuma, tidak ada masalah yang akan timbul. Ada yang terus terang memberitahu saya bahawa ibu bapa mereka tidak mahu membazirkan wang membelinya kerana banyak perkara lagi yang perlu difikirkan dan dibayar. Saya tidak menyalahkan murid-murid itu, malah majalah yang telah saya berikan itu tidak pun saya minta dikembalikan.
6. Ada ibu bapa yang menelefon saya dan mempersoalkan penggunaan majalah itu. Kononnya guru tidak memanfaatkannya dan katanya, ada guru yang langsung tidak menggunakannya. Saya menyatakan bahawa sekiranya tidak digunakan oleh guru sekali pun, setidak-tidaknya majalah itu dapat dibaca oleh anak-anak mereka. Oleh sebab saya tidak mahu mendengar seribu satu alasan ataupun komen yang berpanjangan, saya terus mengatakan bahawa pembelian atau langganan majalah itu tidak diwajibkan. Terpulang kepada ibu bapa untuk membuat pertimbangan.
7. Nampaknya, RM2.70 sebulan menjadi masalah kepada mereka. Ya, masalah yang agak besar. Yang lebih pelik, ada yang datangnya daripada golongan berkemampuan.
8. Dengan wang sebanyak itu, kita tidak mampu pun membeli sebiji burger di McDonalds atau seketul ayam goreng di KFC. Mungkinkah nilai ilmu yang terkandung dalam majalah itu lebih murah daripada nilai sebiji burger? Saya berulang-ulang kali memikirkannya. Dan hati saya dijentik untuk berasa sayu, apatah lagi terbayang sepasang mata anak-anak didik saya di sekolah. Kasihan mereka. Mereka hanya menurut perintah. Mereka anak-anak yang baik.
9. Memang masih banyak ibu bapa yang menyokong langganan majalah ini, tetapi sayangnya keadaan ini tidak menyeluruh. Guru di kelas akan berhadapan dengan masalah untuk menggunakan majalah ini kerana ada murid yang tidak memilikinya. Pengajaran tidak akan berjalan lancar. Ibu bapa yang menyokong langganan majalah ini perlulah dihargai dan mudah-mudahan, mereka akan terus memberikan kepercayaan kepada saya dan guru-guru untuk mengangkat majalah terbitan DBP sebagai sumber bahan pengajaran di kelas.
10. Apabila Guru Besar bertanya kepada saya tentang hal ini, saya menyatakan bahawa program MDK ini akan tetap dijalankan walaupun saya berhadapan dengan situasi ini. Bayaran kepada pembekal akan saya uruskan dan Guru Besar tidak perlu berasa bimbang kerana selama ini, dengan izin Allah SWT, bayaran kepada pembekal berjalan dengan baik.
11. Saya boleh membatalkan langganan majalah ini dan program MDK, tetapi dengan izin Allah SWT, saya masih diberi kekuatan untuk memberikan galakan kepada murid saya untuk membaca, biarpun saya terpaksa membayar harga selebihnya yang berjumlah ratusan ringgit sebulan. Saya percaya bahawa untuk mencapai matlamat yang baik, lazimnya tidaklah semudah yang diharapkan.
12. RM2.70 sangat besar kepada orang kita.
13. Mudah-mudahan, Allah SWT melapangkan rezeki gurunya untuk membayar harga langganan majalah, asalkan anak-anak di sekolah memperoleh manfaat dengan penggunaan majalah itu tanpa mengira bangsa dan agama.
14. Akhir kalam, saya sentiasa memegang suatu kepercayaan bahawa pendidikan merupakan suatu bentuk pelaburan yang paling menguntungkan.

Saturday, March 13, 2010

PUISI: BERPENCAK BAHASA

Telah ranum hujah bersuara dalam debar
di atas sekajang tikar bersulam kejujuran
bahasa tegar berpencak tanpa tagak
di pusar lidahnya terangkum gugus sejarah
yang acap diradak dengan tusukan maruah
namun bahasa masih kukuh masih gagah
lestarikan sebuah arca kemanusiaan
dengan serapah zaman-berzaman.

Bahasa telah berpencak di persada
tangkas berwibawa menangkis senjata
keris yang dilangir tanpa gentar menduga
tersisip di pinggang pendekar bangsa
sedia terhunus menembus petualang
yang retak berhati resah dan walang
yang berani melancungkan kata
yang keras mencurangkan salasilah.

Usahlah lagi berbelit sanggah
nafas bahasa telah meruap bahang
membara di segenap pelosok dan ruang
untuk berjasa dan mempertahankan wangsa
dengan satu bahasa, satu bangsa.

Azhar Salleh
PPJ Johor Bahru.

Berita Harian, 13 Mac 2010.

UNDANGAN CEAMAH: FEBRUARI 2010

Terima kasih kepada pihak-pihak yang mengundang saya dan terus memberikan kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan kursus dan bengkel di bawah.

1) 4 Feb 2010 - Institut Pengajian Islam Johor - Kursus Penulisan Minit Mesyuarat
2) 13 Feb 2010 - INSTEDT - Kursus Penulisan Dokumen Rasmi

UNDANGAN CERAMAH: JANUARI 2010

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setingg-tinggi penghargaan kepada pihak-pihak yang telah mengundang saya sebagai penceramah dan pembimbing kursus yang diadakan sepanjang bulan Januari 2010 yang lalu.

1) 9 Jan 2010 - SJKC Kua Kuang, Johor Bahru - Kursus Pemantapan Tatabahasa untuk Guru-guru BM
2) 22 Jan 2010 - IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka - Bicara Karya Negeri Melaka
3) 27 Jan 2010 - Institut Pengajian Islam Johor - Kursus Penulisan Surat Rasmi

Sunday, March 07, 2010

BUMANTARA ILMU: SIFAT IRI HATI

1. Minggu ini, saya menelaah buku “365 Tip Sihat Gaya Rasulullah” tulisan Dr. Mohammad Ali Toha. Buku ini berharga RM10.90 dan diterbitkan oleh PTS Millenia, yang saya beli di Plaza Angsana minggu lalu.
2. Antara kandungan menarik yang terkandung dalam buku itu, yang ingin saya kongsi bersama-sama dengan saudara ialah:
“Sifat iri hati itu memakan kebaikan seperti api memakan sekam”. (Riwayat Bukhari)
Kebaikan di sini bermaksud kebaikan yang dikehendaki oleh manusia termasuklah kesihatan. Orang yang memiliki sifat iri hati mudah diserang penyakit kencing manis, penyakit jantung, hyperthyroid, penyakit hati, sakit buah pinggang, dan ulser kronik. Keadaan ini berlaku kerana sifat iri hati menyebabkan penghasilan hormon kortisol dan adrenalin. Kedua-dua hormon ini menyebabkan glukoneogenesis atau pembentukan gula di dalam darah meningkat dan mengganggu degupan jantung.
3. Perenggan di atas (yang diitalikkan) merupakan kutipan langsung yang saya petik pada muka surat 17 buku tersebut. Saya tertarik pada dua perkara.
4. Perkara pertama ialah penggunaan bahasa dalam hadis tersebut. Hadis tersebut memanfaatkan unsur bahasa yang cukup indah. Terdapat penggunaan unsur personifikasi dan peribahasa yang terkandung kiasan yang amat mengesankan. Walaupun maksudnya tidak terlalu sukar untuk difahami, namun memerlukan penelitian serta penghayatan yang mendalam untuk menterjemahkan maknanya. Dua unsur bahasa kiasan tersebut ialah iri hati dan seperti api memakan sekam. Iri hati ditafsirkan sebagai “berasa (perasaan) tidak senang dengan kelebihan orang lain, cemburu, dan dengki”, seperti yang dirakamkan dalam Kamus Dewan DBP. Perumpamaan seperti api memakan sekam pula membawa maksud “sesuatu yang berlaku dengan diam-diam”, dan sering dikaitkan dengan sesuatu yang berkecenderungan negatif atau tidak baik.
5. Unsur gaya bahasa personifikasi ialah “sifat iri hati itu memakan…” yang merujuki sifat manusia diberikan kepada bukan manusia. Penggunaan perkataan memakan, sering dikatakan tidak menepati bentuk kata kerja transitif kerana imbuhan me- tidak diperlukan bagi perkataan makan. Jika dirujuki Kamus Dewan, memakan membawa maksud 1. makan (dengan lebih aktif); 2. memerlukan atau menghabiskan; 3. merosakkan, membinasakan, memusnahkan; 4. mematikan dalam permainan catur dll). Jelaslah bahawa bentuk memakan tidak salah, walaupun banyak pihak yang menyatakan sebaliknya.
6. Demikianlah betapa hebatnya ungkapan yang tertulis dan teratur dalam hadis Junjungan Besar kita, jika ditaakul dari segi bahasa secara harfiah.
7. Perkara yang kedua, semestinya maksud yang terkandung dalam hadis tersebut. Sifat iri hati merupakan sifat yang ada pada semua bangsa di dunia ini. Dalam konteks yang lebih kecil, sifat ini sering dikaitkan dengan bangsa Melayu (yang beragama Islam!). Iri hati, dengki, dan hasad berlaku apabila seseorang itu berasa tidak selesa, tidak senang, dan tidak gembira dengan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Saya rasa tidak setakat itu sahaja. Kalaulah hanya setakat itu, rasa-rasanya tidaklah mendatangkan musibah atau kecelakaan yang besar kepada orang yang didengkinya. Yang lebih parah, pendengki itu terlalu ingin untuk melihat kelebihan orang yang didengkinya itu ghaib, lesap, dan ditarik balik oleh Tuhan! Dan yang terlalu amat parah, pendengki ingin melihat orang yang didengkinya itu dilanda musibah, kecelakaan, dan malapetaka, dan bencana.
8. Saya percaya bahawa kita semua pernah berhadapan dengan situasi tersebut. Pendengki ada di mana-mana. Bermanis muka di hadapan kita dan menikam kita dari segala arah. Ini yang banyak sekali wujud. Mereka sering beranggapan bahawa kita (orang yang menjadi sasarannya) tidak akan mengetahui sifat mereka itu. Allah Maha Kaya. Lazimnya, dengan izin Allah SWT, kita mengetahui sifat mereka itu. Kita dapat mengesannya walaupun muka mereka begitu manis di hadapan kita. Kalau muka mereka masam di hadapan kita, lagilah kita tahu! Tapi, awas, janganlah sampai tersalah sangka dan membuat tuduhan tanpa usul periksa. Kita yang menanggung dosa.
9. Jika diteliti semula kesan buruk akibat sifat iri hati, maka banyak penyakit yang akan menimpa seorang pendengki. Mungkin ada yang beranggapan bahawa penyakit-penyakit ini boleh disembuhkan melalui kaedah rawatan moden, tetapi yang perlu diingat ialah mencegah lebih baik daripada mengubatinya.
10. Lantaran itu, untuk mengelakkan diri kita daripada ditimpa penyakit-penyakit itu, kita seharusnya ingat untuk tidak memiliki sifat iri hati.
11. Saya terdengar ada orang yang sambil merokok berkata, bukankah ada sifat iri hati yang baik? Ya, saya bersetuju. Kita diizinkan untuk beriri hati untuk mendapatkan ilmu daripada orang yang cendekia, dan kita diizinkan untuk beriri hati untuk mendapatkan kelebihan seperti kekayaan daripada orang yang berharta.
12. Jikalau itulah sifat iri hati yang kita miliki, syukurlah. Itupun, jikalau…

Sunday, February 28, 2010

IBU BAPA SEKARANG

1. Pada hari ini, sekolah saya mengadakan Mesyuarat Agung PIBG kali ke-10. Di samping mesyuarat agung tersebut, turut diadakan ialah majlis penyampaian anugerah murid terbaik UPSR 2009 dan motivasi keibubapaan. Tetamu kehormat ialah YB Encik Tan Cher Puk, ADUN Johor Jaya.
2. Keseluruhan murid di sekolah saya ialah lebih kurang 450 orang. Kehadiran ibu bapa lebih kurang 50 orang. Ada yang datang sendiri (sama ada suami atau isteri) dan ada yang datang berdua (suami isteri). Hal ini bermakna tidak sampai 50 keluarga yang hadir berbanding dengan 400 keluarga yang berdaftar di sekolah saya.
3. Keadaan ini ditegur oleh YB dalam ucapannya. Beliau berasa hairan kerana sekolah saya telah terkelompok sebagai antara sekolah kebangsaan yang mencapai prestasi yang memberangsangkan di daerah Pasir Gudang, baik dari segi pengurusan ataupun akademik, namun keadaan yang berlaku memperlihatkan suatu yang bertentangan.
4. Saya diamanahkan untuk menjadi pengerusi majlis (tugas yang sentiasa menjadi tradisi!) bersama-sama dengan kaunselor sekolah. Sepatutnya majlis bermula pada pukul 7.45 pagi, namun kerana dewan sekolah masih kosong di sana sini, majlis hanya bermula pukul 8.45 pagi. Demikianlah kesilapan yang sering berlaku. Tetamu yang datang awal terpaksa menerima hukuman, sedangkan yang sepatutnya dihukum ialah mereka yang datang lewat ataupun yang tidak datang langsung! (Naib YDP PIBG mencadangkan denda sebanyak RM10.00 kepada ibu bapa yang tidak hadir sebagai ganti diri). Cadangan yang akan dipertimbangkan.
5. Nampaknya, ibu bapa sekarang terlalu sibuk.
6. Ya, sibuk mencari kelemahan pihak sekolah. Sibuk menghentam guru-guru sekiranya berlaku apa-apa kepada anak mereka. Sibuk mencari kesalahan guru tanpa pernah mengakui kesalahan mereka. Guru-guru menjadi mangsa dan sasaran sekiranya ada yang tidak kena. Pantang guru tersilap sedikit, dengan segera, SMS, surat layang, dan aduan sampai ke PPD.
7. Ataupun, mereka terlalu sibuk mencari wang sehingga terlupa untuk hadir.
8. Ataupun, mereka terlalu sibuk menonton televisyen atau DVD hingga kepentingan pelajaran anak-anak terpaksa diabaikan. Yang pasti, mereka terlalu sibuk. Mungkin juga sedang sibuk mencari alasan sebab tidak hadir.
9. Guru-guru akan terus melaksanakan tanggungjawab ini; mendidik anak bangsa tanpa perlu memikirkan kesibukan ibu bapa anak-anak didik mereka. Jiwa guru tidak rapuh.
10. Walaupun golongan sebegini tidak ramai (hanya 400 keluarga berbanding 450 kesemuanya!), dan mungkin hanya berlaku di sesetengah sekolah ataupun pada waktu-waktu tertentu sahaja, namun kesannya cukup ketara.
11. PIBG dan sekolah membelanjakan wang yang besar untuk menganjurkan majlis ini. Masa dan tenaga guru-guru seakan-akan terbazir dan tidak berbaloi-baloi (macam iklan Celcom pulak!), dan yang paling meninggalkan dampaknya ialah, mungkinkah semangat guru-guru sedikit sebanyak akan terhakis dek kerana ‘tinggi’nya kesedaran ibu bapa sekarang.
12. Pihak sekolah akan mengadakan post-mortem selepas ini.
13. Ibu bapa, tak tahulah pula, adakah post-mortem perlu untuk mereka. Mereka golongan bijak dan terpelajar. Tak perlulah post-mortem ataupun tak perlulah berasa sesal kerana tidak hadir. Ramai lagi yang tidak hadir. Nampaknya, ramai yang akan mengikut rakan-rakan mereka terjun ke lombong tinggal!
14. Anak-anak mereka, tinggalkan sahaja kepada guru-guru. Bukankah guru-guru di sekolah itu seperti pengasuh? Orang gaji? Tukang cuci? Tukang kebun? Tukang kayu? Pembantu perubatan? Kerani cabuk? Jangan jadi hamba abdi, sudahlah!
15. Mesyuarat agung tahun hadapan, mungkin boleh diadakan pada Hari Raya Aidilfitri pula! Bukan apa, ada alasan yang kuat untuk ibu bapa yang ‘prihatin, penyayang, dan bertanggungjawab’ ini untuk tidak hadir!
16. Mudah-mudahan anak mereka cemerlang! Ya, cemerlang dan mengikut jejak warisnya!
17. Azhar, sudahlah tu!