Monday, September 28, 2009

UMNO TIDAK BELAJAR DARI PENGALAMAN - DR M

(Sumber: Petikan daripada Malaysiakini)

KUALA LUMPUR, 25 Sept: Umno menunjukkan kepada dunia bahawa ahli-ahlinya tidak belajar dari pengalaman apabila terus mendesak supaya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dicalonkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

1. Memang benar UMNO tidak pernah dan tidak mahu untuk belajar daripada sejarah.
2. UMNO sentiasa percaya dan mengamalkan sistem yang sudah lapuk, sedangkan rakyat bukan lagi seperti zaman 70-an atau 80-an, yang boleh ditakut-takutkan dengan klausa “hanya BN@UMNO yang mampu membawa pembangunan”. Memang pembangunan itu penting, namun UMNO terlupa bahawa orang Melayu yang dipimpinnya masih gagal. Lihat sahaja di bandar besar, siapa pemilik tanah dan bangunan?
3. Tanpa menidakkan sumbangan BN@UMNO selama ini, tetapi rakyat sudak muak dan jelak dengan kebanyakan pemimpinnya yang rasuah, dan Isa Samad sudah terbukti salah seorang daripadanya.
4. Isa Samad pasti menjadi liabliti kepada BN@UMNO jika dicalonkan, sama hal dan tarafnya dengan Akta ISA yang sudah lama menjadi liabiliti kepada BN@UMNO. Isa dan ISA hanya berbeza sebab satu ejaan huruf kecil, manakala satu ejaan lagi huruf besar.
5. Dalam hal ini, saya bersetuju dengan pandangan Dr. M. (jangan lupa, beliau juga pencetus PPSMI!)

Kritikan Dr Mahathir yang semakin lantang menjadikan laluan Isa semakin sukar untuk menjadi calon BN di Bagan Pinang walaupun percubaan demi percubaan dibuat untuk mencalonkan bekas Naib Presiden Umno itu dalam pilihan raya kecil tersebut yang akan diadakan 11 Oktober ini. "Kita tak banyak belajar, sebelum ini kita meletakkan seorang pembohong menjadi calon, yang dipecat oleh Majlis Peguam, yang menggunakan duit pelanggannya. "Jika kita meletakkan calon seperti itu, sudah pasti kita akan kalah," Malaysian Insider memetik bekas Presiden Umno itu berkata.

1. Siapa PM sekarang? Pekan atau bekas peniaga di Pekan Rabu? Pekan juga…
2. Kritikan Dr. M yang semakin lantang hanya memperlihatkan kelemahan 1 Malaysia. Nasib baiklah Hadhari tidak bersuara lagi. Kalau tidak, Tingkat 4 akan membuat pilihan calon pilihan raya.
3. Kalau dilihat kata-kata Dr. M di atas, betullah pilihan pengundi di Permatang Pasir. Bukan calonnya sahaja pembohong, bagaimana pula dengan partinya? Calon dahulu lesapkan duit pelanggan, Isa gunakan duit nak menang jawatan, sekarang pula bagaimana? Adakah duit rakyat masih selamat? Sebab itulah Ops Sikap 20 gagal lagi. Eh, ke situ pulak!
4. Jika Isa diletakkan sebagai calon, saya bersetuju dengan Dr. M, BN@UMNO akan kalah. Kalau menang juga, UMNO tidak belajar daripada sejarah. Maka, pemimpin yang dipilih rakyat di situ menerima budaya rasuah. Di mana-mana ada rasuah. Rasuah kecil, rasuah besar. Dosanya tetap sama, tak ada kecil besar. Kalau kalah, bertambahlah satu lagi jaringan gol dalam pilihan raya kecil, dah nak dekat sedozen! Tapi, kalau Sungai Siput diadakan pilihan raya kecil pula, manalah tahu, silap-silap hari bulan, Dr. M jadi calon PR pulak!
5. Apa-apapun, tengoklah nanti.

Sunday, September 27, 2009

MELASTIK KE BINTANG 16

KALAU ANDA TIDAK SIBUKKAN DIRI ANDA DENGAN SESUATU YANG POSITIF, MAKA ANDA AKAN DISIBUKKAN DENGAN SESUATU YANG NEGATIF.

IMAM SYAFIE

Sunday, September 20, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

MAAF ZAHIR DAN BATIN

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri" kepada semua rakan, sahabat, dan teman-teman seperjuangan. Saya memohon maaf sekiranya sepanjang saudara sekalian mengenali saya, saya ada terkasar bahasa dan tersilap bicara. Maaf dipinta agar kehidupan kita akan terus diberkati Allah swt.

Saya beraya di kampung halaman di Pulau Pinang dan Kedah. Saya akan kembali ke JB pada hari Khamis nanti.

Saturday, September 12, 2009

MELASTIK KE BINTANG 15














Jangan disampaikan dan dipertaruhkan rahsia kepada orang yang belum benar-benar dapat dipercayai . Kerana mempertaruhkan rahsia kepada mereka bererti membuka rahsia itu.

MAKSUD HADIS

Thursday, September 10, 2009

PUISI: MENENTANG SETERU

MENENTANG SETERU
Di sebuah dewan yang gagah
bersidanglah mereka membuat keputusan
hentikan pengeboman, hentikan tembakan
kami sedang merangka pelan pendamaian
tunggulah undang-undang tentang genjatan
akan kami wartakan tanpa menunggu lagi
simpati melihat seorang lagi terkujur mati.

Dan dunia pun berarak
mengusung patung-patung
membentang kain rentang
kami benci peperangan
kami benci permusuhan
kami benci persengketaan
kita bakar bendera paksi kejahatan!

“Tidakkah kaudengar suara-suara protes
hampir di seluruh pelosok dunia
meminta kita berundur?”

“Ya, aku terdengar suara dunia
tetapi suara tangisan dan raungan itu
lebih mengujakan aku!”

Maka berduyunlah lagi siri
mengoyakkan lembar resolusi
di bumi berdarah itu
tiada siapa lagi yang mampu
kerana sejarah telah mengajari kita
tentang makna bersatu dan berpadu
untuk menentang mungkar seteru!

Azhar Salleh
PPJ Johor Bahru
Berita Harian (4 April 2009)

Sunday, September 06, 2009

MELASTIK KE BINTANG 14

Kekayaan bukanlah satu dosa dan kecantikan bukanlah satu kesalahan. Oleh itu jika anda memiliki kedua-duanya janganlah anda lupa pada Yang Maha Berkuasa.

PERIBAHASA ARAB

Friday, September 04, 2009

BERITA HARIAN - SASTERA (Khamis, 3 September 2009)

NOVELIS SELATAN TETAP KREATIF
Oleh Rusdi Abd Rahman

BICARA Karya Sastera Johor 2009 memperakukan usaha pengarang negeri itu dalam memartabatkan dunia sastera tanah air dengan memaparkan ketajaman pemikiran dan pengamatan, berusaha membentuk akal budi masyarakat Melayu dan memaparkan realiti masyarakat melalui karya. Tiga panel pada program tahunan anjuran DBP Wilayah Selatan dan Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP dengan kerjasama Panitia Kesusasteraan Melayu Daerah Muar dan Persatuan Penulis Johor (PPJ), di SMK Raja Muda, Parit Jawa, Muar, baru-baru ini, memberi tumpuan kepada karya penulis kelahiran negeri itu.

Munsyi Dewan yang juga penulis bidang bahasa dan karya kreatif, Azhar Salleh, mengiktiraf Keris Sebilah Itu memaparkan ketajaman fikiran dan pengamatan pengarang dalam meninjau persoalan masyarakat, ketika merincikan Kritikan Sosial dalam Keris Sebilah Itu - Suatu Penerapan Teori Konseptual Kata Kunci

“Pengarang banyak melontarkan pandangan jujur, ikhlas dan bernas melalui konsep yang terpadu dalam pemikirannya. Salah satu falsafah Teori Konseptual Kata Kunci ialah seseorang pengarang itu dapat dikatakan mempunyai konsep tersendiri mengenai sesuatu isu, hal, perkara, atau objek,” katanya.

Azhar menegaskan bahawa tujuan utama karya adalah untuk memberi pendidikan dan membantu pembangunan minda serta sikap, lalu dalam naskhah itu, pengarang melihat persekitarannya sambil mencungkil permasalahan mahupun kemelut yang berlaku.

“Pengarang Keris Sebilah Itu, Shapiai Mohd Ramly yang berpengalaman dalam bidang pendidikan melihat kepincangan dalam masyarakat perlu disuara dan diketengahkan,” katanya dengan menghujahkan tiga perkara utama yang berkaitan dengan teori yang dipilih iaitu prinsip kepengaruhan, prinsip pemilihan kata dan prinsip kesan.

Pensyarah Bahasa, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Arbak Othman ketika melapah Rujukan dan Tafsiran Estetik dalam Cerpen WB Rendra: Suatu Pendekatan Semiotik, memperakukan WB Rendra melalui Antologi Cerpen Mazhab Cinta berusaha membentuk akal budi dalam usaha memastikan karya kreatifnya itu bermutu.

“Rata-rata cerpen WB Rendra dalam antologi ini berkisar pada permasalahan percintaan anak-anak muda dalam proses mendewasakan perasaan, tetapi tidak sepenuhnya. Walaupun beberapa cerpen berkisar pada persoalan percintaan antara muda-mudi, kebijaksanaan pengolahan cerita terserlah,” ujarnya.

Ditambah pula, apabila persoalan cinta berhasil dikaitkan dengan perjuangan ideologi, mahupun persoalan yang berat, tetapi bukan berfungsi pada tema, tanpa menafikan mutu karya sesuai untuk golongan remaja yang tidak dapat diangkat untuk dipersoal dan diperdebat oleh perhitungan orang dewasa.

Guru Kanan SMK (P) Sultan Abu Bakar, Muar, Ruzaini Yahya yang juga penulis prolifik Johor, meletakkan Meniti Batas sebagai karya yang membawa pendekatan realiti masyarakat, ketika memperincikan Meniti Batas: Potret Realiti Masyarakat.

”Meniti Batas karya Zulkifli Khair, memiliki mutu sebuah novel relevan sekali untuk dinilai berdasarkan pendekatan sosiologi kerana ia menampilkan kisah masyarakat. Sesuai dengan kedudukan karya sastera sebagai dokumen sosial. Pengarang secara tidak langsung didorong masyarakatnya untuk merakam sesuatu mengenai mereka,” katanya.

Ruzaini Yahya berpendapat bahawa novel dewasa sulung Zulkifli itu akan mendapat kedudukan istimewa sekiranya saranan progresifnya dapat diterima serta dijadikan landasan khususnya dalam menjana ekonomi masyarakat dalam bidang perniagaan.

Program yang dihadiri 130 peserta daripada kalangan guru dan pelajar tingkatan enam dalam daerah Muar, AJK PPJ, penulis dan penggiat sastera negeri Johor itu, turut dihadiri ketiga-tiga pengarang yang dibicarakan.

Wednesday, September 02, 2009

"ULTRAMAN" KESAYANGAN HAMBA











NAMPAKNYA SETIAP HARI SAYA TERPAKSA MENGHADAP DVD DAN YOUTUBE RANCANGAN ULTRAMAN. BALIK SAHAJA KE RUMAH, INILAH "ULTRAMAN" YANG SETIA MENANTI... MORALNYA: Kita memerlukan kuasa luar biasa untuk menumpaskan musuh kerana kuasa biasa yang dimiliki tidak mampu untuk menumbangkan musuh atau menghadapi rintangan!

FOTO-FOTO BICARA KARYA SASTERA NEGERI JOHOR 2009

FOTO-FOTO MERUPAKAN IHSAN SAUDARA RUSDI ABDUL RAHMAN (DBPWS).

BERSAMA-SAMA PENGERUSI, CIKGU TAUFEK DAN PANEL PEMBENTANG, PUAN RUZAINI DAN PROF. ARBAK.