Wednesday, July 29, 2009

MELASTIK KE BINTANG 10

Terdapat dua bentuk kegagalan.
1. Yang berfikir tetapi tidak melaksanakannya.
2. Yang melaksanakannya tetapi tidak berfikir.

LAURENCE J. PETER

CERAMAH: SK TAMAN DAYA 2

Pada hari ini (29 Julai 2009), saya telah diundang ke SK Taman Daya 2 untuk menyampaikan ceramah tentang Teknik Menjawab Soalan Bahasa Melayu UPSR kepada murid-murid Tahun 6.

Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada semua guru dan murid, khasnya kepada Cikgu Azmady, Cikgu Hamidah, Cikgu Fauzi, dan pihak pentadbiran sekolah. Saya berdoa agar SKTD2 akan terus cemerlang dalam UPSR pada tahun ini.

Sebelum ke SKTD2, saya telah berada selama 3 hari di Bahagian Teknologi Pendidikan, Skudai untuk menggubal soalan UPPM 4 Negeri Johor.

Sunday, July 26, 2009

MELASTIK KE BINTANG 9

Sabar terbahagi kepada dua, iaitu ketika menjauhkan apa yang engkau tidak suka dan sabar dalam mengejar apa yang engkau suka.

SAYIDINA ALI ABI TALIB

Friday, July 24, 2009

CERAMAH: BENGKEL PENATARAN TATABAHASA UNTUK KETUA-KETUA PANITIA BM NEGERI MELAKA

Tarikh: 23 Julai 2009 (Khamis)
Tempat : Bahagian Teknologi Pendidikan Melaka, Bukit Katil
Anjuran : DBP Wilayah Selatan & JPN Melaka (Unit Bahasa

Saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada pihak DBP Wilayah Selatan, khasnya kepada Puan Siti Hajar Elah atas undangan ini. Kepada Encik Mohd Hasan Abdullah (Penolong Pengarah Bahasa JPN Melaka/Munsyi Dewan), saya ucapkan ribuan terima kasih atas layanan dan kepercayaan yang diberikan.

Kepada urus setia dan staf DBPWS, terima kasih atas sumbangan dan komitmen.
Kepada semua peserta kursus, mudah-mudahan ilmu yang disampaikan akan dapat membantu kalian untuk meningkatkan penguasaan bahasa.

Monday, July 20, 2009

PERISTIWA: PERIHAL JUDUL SEBUAH PUISI

1. Pertama sekali, saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana buat kali ketiga, terpilih sebagai salah seorang penerima Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) Ketujuh. Majlis diadakan di Persada pada 17 Julai 2009 yang lalu.
2. Puisi saya berjudul "Drama Seorang Pencinta" telah diangkat sebagai salah sebuah puisi untuk menerima penghargaan tersebut. Puisi tersebut tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 20 Januari 2008.
3. Selain "Drama Seorang Pencinta", lima buah puisi lain yang turut terpilih ialah:
- Tongkat (Mohd Kasim Mahmud)
- Kasih yang Kutelan (Irwan Abu Bakar)
- Merawat Cinta di Kaki Kaabah (Shamsudin Othman)
- Seorang Pemikir (Amiruddin Md. Ali Hanafiah)
- Warkah Kemerdekaan (Mohd Rosli Bakir)
4. Yang paling membanggakan saya, tentulah pemilihan puisi Cikgu Amiruddin dan puisi Cikgu Kasim, selain puisi Cikgu Rosli kerana merekalah sifu dan merekalah pendorong utama saya. Kepada saudara RAR, terima kasih tidak terhingga atas sokongan dan fotostat puisi yang dihantar untuk diadili.
5. Sebagai suatu catatan, puisi-puisi saya yang pernah terpilih dalam HSDT ialah:
- Gapura Merdeka (HSDT V)
- Pendeta Bangsa (HSDT VI)
- Drama Seorang Pencinta (HSDT VII)
6. Puisi "Gapura Merdeka" turut diangkat menjadi judul antologi pemenang HSDT V.
7. Yang ingin saya kongsi ialah judul puisi "Drama Seorang Pencinta". Sewaktu saya mengarang puisi itu, saya menamainya sebagai "Darma Seorang Pencinta". Judul itulah yang saya hantar kepada editor sastera Mingguan Malaysia. Namun demikian, yang disiarkan pada 20 Januari 2008 itu ialah "Drama Seorang Pencinta". Sebagai catatan, "darma" bermaksud "kewajipan".
8. Apabila tersiar, saya berasa sedikit ralat kerana judul telah ditukar ataupun tertukar, ataupun mungkinkah tersilap dari segi teknikal. Itu di luar upaya saya kerana perkara ini telah menjadi hak editor.
9. Saya berasa sedikit ralat kerana seperti kurang "menangkap" judulnya menggunakan kata "drama".
10. Peristiwa itu, saya biarkan kerana yang paling penting, puisi itu tersiar.
11. Dan, tatkala menjelangnya HSDT VII, saya sedikit terkejut kerana surat daripada YWJ yang memaklumkan bahawa puisi saya terpilih, turut berubah judulnya. Judulnya yang "baharu" ialah "Drama Seorang Perindu".
12. Semasa saya menghantar e-mel kepada urus setia HSDT VII, saya melampirkan sekali lagi puisi tersebut, dan puisi yang die-melkan itu berjudul "Drama Seorang Pencinta".
13. Pada malam penganugerahan, tercatatlah dalam buku atur cara/buku program, dan diumumkan oleh juruacara, dan dipancarkan melalui skrin besar, puisi saya berjudul, "Drama Seorang Perindu".
14. Nampaknya, judul puisi ini meninggalkan kesan yang mendalam dan nostalgia yang tidak akan terpadam betapa puisi ini seperti sukar untuk didekati oleh penciptanya sendiri!
15. Sekalung terima kasih dan setulus penghargaan kepada Yayasan Warisan Johor (YWJ), panel hakim, urus setia, dan rakan-rakan seperjuangan.
16. Kepada pemenang-pemenang HSDT VII yang lain, setinggi-tinggi ucapan tahniah, khususnya, WB Rendra, Tn. Hj. Shapiai, Zulfazlan Jumrah, Shamsudin Othman, Zaid Akhtar, Nazim Subari, dan mantan peserta Perkampungan Penulis Muda Negeri Johor.
17. Akhir bicara, syukur alhamdulillah. Saya sertakan di bawah puisi yang saya pun sudah "keliru" untuk menggunakan judul yang mana...

DARMA SEORANG PENCINTA (terhantar)
DRAMA SEORANG PENCINTA (tersiar)
DRAMA SEORANG PERINDU (terpilih)

Dalam nafas syahdu dan bicara rindu
sepertiga malam bersujud dan bermunajat
berbisik dengan ikhlas mencari ruang
untuk melahirkan sebuah penyataan
betapa kasih ini sangat kerdil dan halus
tidak terbanding tulus cinta-Mu.

Bulan meranum sembah bertafakur
bibir ini sering mengucap syukur
menatap angkasa luas tunduk dan akur
dalam jiwa disapa rahsia terpendam
ingin meresapi dan semakin terendam
suara kalbu dari titis gerimis malam.

Ingin sekali menyatakan rasa
kerana kerdilnya kita di horizon
yang penuh berteka-teki dan rahsia
terpandang kalam-Mu di rehal berdebu
ampunilah segala mungkar dan khilaf
yang pernah tercatat di lembar-Mu
ingin sekali segera kembali
dalam wajah sedar yang hakiki.

Azhar Salleh
Mingguan Malaysia, 20 Januari 2008.

MELASTIK KE BINTANG 8

Cintailah musuhmu kerana mereka menunjukkan kesalahan-kesalahanmu.

BENJAMIN FRANKLIN

Thursday, July 16, 2009

TATABAHASA: SEMOGA ANDA...

1. Sering juga saya melihat orang membaca atau menulis ayat begini:
Semoga anda berjaya dalam UPSR.
Semoga Allah merahmati kalian.
Semoga program ini mencapai kejayaan.
Semoga usaha ini diberkati oleh Allah.
Semoga rohnya dicucuri rahmat.
2. Persoalannya, adakah ayat di atas betul? Untuk menentukannya, kita perlulah sedar bahawa ayat mestilah terbina daripada dua unsur utama, iaitu subjek dan predikat. Tanpa salah satu, sama ada subjek atau predikat, ayat yang terhasil tidak gramatis, atau ringkasnya tidak tepat. Sebagai contoh, perhatikan ayat di bawah:
a. Dia
b. Berlari.
Adakah ayat (a) dan ayat (b) betul? Jikalau betul, yang manakah subjek dan yang manakah predikat?
3. Namun begitu, jikalau digabungkan kedua-duanya, ayat yang terbina tidak ada kesalahan kerana ada subjek (dia) dan ada predikat (berlari).
Dia berlari.
4. Ayat yang diberikan dalam contoh di atas sebenarnya tidak tepat kerana tidak mengandungi subjek dan tidak mengandungi predikat. Yang tercatat hanyalah keterangan predikat. Keterangan predikat tidak boleh berdiri sendiri sebagai binaan yang utuh dalam ayat. Cuba perhatikan ayat di bawah.
Kami berdoa semoga anda cepat sembuh.
5. Subjeknya ialah "kami" dan predikatnya "berdoa". Bentuk "semoga anda cepat sembuh" ialah keterangan bagi predikat. Jadi, lima ayat di atas hanya terdiri daripada bentuk keterangan predikat. Oleh sebab itu, ayat tersebut salah. Perhatikan susunan di bawah:
Subjek - Kami
Predikat - berdoa
Keterangan - semoga anda cepat sembuh

Bentuk "semoga anda cepat sembuh" sama keadaannya dengan lima bentuk di atas.
6. Oleh itu, berhati-hatilah apabila menulis atau mengungkapkan sesuatu agar ayat yang terhasil betul dari segi struktur dan bentuknya. Untuk membetulkannya, kita perlu meletakkan unsur subjek dan predikatnya.

MELASTIK KE BINTANG 7

Orang yang tidak pernah belajar untuk menuruti perintah tidak akan mampu menjadi komandan yang baik.

ARISTOTLE

Tuesday, July 14, 2009

BICARA: FOCUS

1. Salam silaturahim. Suatu masa, ketika sedang melayan sebuah buku Robert Kiyosaki, saya begitu tertarik dan teruja dengan pandangannya untuk mencapai "kebebasan kewangan" dan mencipta kejayaan.
2. Beliau memberikan saranan agar kita mengamalkan satu prinsip hebat.
3. Prinsip tersebut ialah "FOCUS".
4. 'FOCUS" merupakan akronim bagi:
Follow
One
Course
Until
Successful
5. Saya mendapati prinsip ini diterapkan oleh kebanyakan pakar kecemerlangan dan kekayaan.
6. Saya begitu yakin bahawa prinsip ini tepat dan sekiranya kita memahami, mempraktikkan, dan berusaha untuk mengubah paradigma dan tindakan, kehidupan kita, dengan izin Allah swt akan berubah.
7. Lantaran itu, saya juga percaya bahawa prinsip "FOCUS" harus menjadi salah satu pegangan hidup kita.
8. Tidak mustahil untuk mencapai kejayaan dan mencipta kekayaan, sama ada kekayaan jiwa atau kekayaan harta kerana berdasarkan pengalaman peribadi dan pembacaan, jelas sekali, saya selalu memberikan saranan agar diri saya dan saudara sekalian berusaha untuk menjadi 'pakar" dalam sesuatu bidang atau perkara yang kita berada di dalamnya.
9. Zaman ini tidak begitu mengujakan lagi bagi kalangan yang "serba boleh". Mungkin zaman itu sudah berlalu, walaupun suatu ketika dahulu, "orang yang serba boleh" dipandang tinggi. Namun, zaman berubah dan perubahan itu menjadi sangat perlu.
10. Zaman "orang yang pakar" kini mengambil tempat untuk mencipta kejayaan.
11. Dan lazimnya, kejayaan akan disusuli oleh kekayaan.
12. Dan pelbagai perkara baik yang mampu kita lakukan dengan berada di tempat tersebut.
13. Oleh itu, FOCUS!

MELASTIK KE BINTANG 6

Sebahagian besar orang mengalami kesulitan dengan wang kerana di sekolah mereka hanya belajar cara bekerja untuk wang. Jarang sekali mereka belajar cara membuat wang bekerja untuk mereka.

ROBERT KIYOSAKI
Rich Dad Poor Dad

MELASTIK KE BINTANG 5

Temukan lingkungan yang membuatkan anda termotivasi. Kita mungkin tidak akan pernah mendengar tentang Tiger Woods jika tidak ada lapangan golf.

ROBERT KIYOSAKI
Rich Dad Poor Dad

Sunday, July 12, 2009

BICARA: JAMBATAN DAN KEIKHLASAN

1. Sudah lama tidak menulis, lebih dua minggu, rasanya.
2. Dalam tempoh tersebut, agak sibuk dan apabila ada masa senggang, asyik beristirahat, mungkin kerana keletihan dan memerlukan masa untuk mengumpulkan tenaga yang telah hilang.
3. Dalam minggu ini, antara isu perdana yang menarik tentulah isu PPSMI yang akan dimansuhkan pada tahun 2012. Buat masa ini, telah banyak ulasan dan kupasan tentang hal itu. Tentang Dr. Mahathir yang kecewa dan sedih, tentang bantahan sesetengah pihak, tentang kelemahan PPSMI melalui data-data (nampaknya dahulu rakyat dibohongi bulat-bulat!), tentang usaha untuk meningkatkan bahasa Inggeris (hingga ke tahap melampau!), dan lain-lain lagi.
4. Tak perlulah rasanya untuk saya ulas lagi. Kita tunggulah sahaja 2012. Lidah biawak atau lidah manusia! Jika ada kesempatan, insya-Allah, teringin juga nak komen. Tapi, saya nak tunggu komen si Tun Faisal, penulis ruangan kerdil di akhbar sisipan Tutor, Utusan. Bro, apasal lu diam?
5. Isu yang tidak kurang pentingnya pada minggu ini ialah Manek Urai. Buletin Utama TV3 malam ini (12 Julai) melaporkan bahawa penduduk di Manek Urai akan mendapat jambatan baharu, yang akan menghubungkan Manek Urai Lama dengan Manek Urai Baru. Tetapi, Tan Sri Timbalan PM juga berkata, jambatan baru akan dibina SEKIRANYA BN MENANG!
6. Saya ulangi, SEKIRANYA BN MENANG!
7. Jika BN kalah, maka penduduk Manek Urai akan terus menggunakan jambatan lama.
8. Jika menggunakan jambatan lama, bermakna BN kalah kerana penduduk menolak BN. Jikalau penduduk menolak BN hingga kalah, maka tertutupkah peluang untuk penduduk mendapat bantuan? Duit untuk bina jambatan baru akan pergi ke mana? Masuk tabung dan tunggu pilihan raya kecil yang lain pula, kot?
9. Jikalau berdasarkan kenyataan itu, dan pengalaman-pengalaman yang lalu, BN ada harapan untuk kalah. Sepatutnya, BN perlu belajar daripada PRU dan pilihan raya kecil yang lalu, namun BN masih tidak mahu belajar. Buku sejarah macam telah dihapus kira.
10. Jika BN menang, maka penduduk akan mendapat jambatan baru. Jadi, jambatan baru itu merupakan satu bentuk ugutan? Jikalau bukan ugutan, nak namakannya apa?
11. Mungkin nama lainnya ialah rasuah. Tapi, rasuah bukan begitu.
12. Nampaknya, BN masih begitu. Umpan dan umpan. Pembangunan dan pembangunan. Duit tak habis-habis. Nampaknya, mungkinkah Manek Urai akan mengikut jejak Bukit Gantang dan Kuala Terengganu?
13. Tunggulah keputusannya nanti, dan nampak gayanya, begitulah...

CERAMAH: SK KAMPUNG PASIR PUTIH

Tarikh: 11 Julai 2009
Masa: 11.00 - 1.00 tengah hari
Teknik Menjawab Soalan Bahasa Melayu UPSR

Terima kasih kepada pihak sekolah, khususnya Puan Rohayu dan guru-guru SKPP, Pasir Gudang atas undangan ini. Mudah-mudahan, SKPP akan memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam UPSR pada tahun ini. Insya-Allah.

CERAMAH: PENULISAN DOKUMEN RASMI DAN TATABAHASA

Tarikh: 8 Julai - 10 Julai 2009
Tempat : Hotel Selesa, Johor Bahru
Anjuran: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan

Saya telah diundang untuk mengendalikan ceramah dan bengkel tersebut dan alhamdulillah, dengan izin Allah swt jua, majlis ilmu ini dapat dilangsungkan dengan jayanya.
Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada penganjur program, MAIJ, khususnya kepada Puan Hajah Mariam Ahmad, Puan Zuraina, dan semua urus setia serta peserta-peserta kursus yang amat saya hormati. Saya berharap agar semua peserta kursus dapat memanfaatkan segala ilmu dan panduan yang telah dikongsi bersama. Mudah-mudahan, Allah swt akan merahmati kursus ini.

Pastinya, ucapan terima kasih kepada Puan Siti Hajar Elah, pegawai bahawa DBPWS yang sering memberikan kepercayaan kepada saya untuk menyebarluaskan ilmu bahasa kepada khalayak sasaran. Tidak lupa juga kepada Puan Aishah dan Encik Shahrul yang membantu dari mula hingga akhir.