Wednesday, December 30, 2009

MEWAH BAHASA: PISANG SEJOLI

Salam hormat, pengunjung WITRA.
Ketika sedang mesyuarat di sekolah pagi tadi, lebih kurang pukul 10.30, Saudara Armin (Editor Pelita Bahasa) menghantar Sistem Mesej Singkat (SMS) kepada saya. SMS beliau menyatakan bahawa dalam Berita Harian hari ini, nama saya disebut dalam kolum Mewah Bahasa. Selepas itu, Puan Azura@Maria menghantar SMS yang sama, dengan maksud yang sama. (Azura, jangan tak hapus pulak SMS saya tu!). Terima kasih kepada Saudara Armin dan Puan Azura.
Dalam perjalanan ke Kempas untuk mengambil isteri, terdengar Abby Fana berbicara dan berceloteh tentang perkataan "Pisang Sejoli" ketika mengendalikan segmennya melalui radio Sinar FM. Beliau meminta pendengar memberikan makna perkataan tersebut. Wah, nampaknya perkataan "Pisang Sejoli" mencetuskan sedikit 'fenomena kecil' hari ini. Jadi, di sini saya perturunkan artikel tersebut sebagai suatu dokumentasi. Terima kasih kepada Prof. Madya Dr. Nor Hisham Osman (kolumnis Mewah Bahasa) kerana memberikan kredit kepada saya dan blog WITRA ini dalam artikel tersebut. Mudah-mudahan, pengguna bahasa dan masyarakat yang peka akan bersama-sama untuk menggunakan bahasa Melayu dan berbangga akan penggunaan bahasa yang amat kita sayangi ini.BERITA HARIAN – 30 DISEMBER 2009
Mewah Bahasa: 'Pisang sejoli'
Bersama Prof Madya Dr Nor Hisham Osman


USUP dan Azli menjamu selera di sebuah restoran ....
Pelayan: Selamat petang encik, ini menunya. Encik boleh pesan minuman dulu sementara memilih makanan.
Usup: Haa, Li .... kau nak minum apa? Kau pesan aje, hari ni aku belanja.
Azli: Hai! Mimpi apa pulak ni, tiba-tiba nak belanja? Kalau kau nak belanja, mari menu tu, aku nak order yang sedap-sedap dan mahal-mahal.
Usup: Bonoslah! Aku kerja swasta, hujung tahun ni dapat le bonos sikit. Nah! Tengoklah dalam menu tu, macam-macam ada. Kita pesan minuman dulu, karang makanan pulak. Azli: Aku tak mau minum, tapi aku nak aiskrim yang macam dalam gambar ni.
Usup: Ok, cik! Bagi saya apungan satu dan untuk kawan saya ni bagi pisang sejoli. Pelayan: Maaf encik, di sini jual minuman dan makanan masak sahaja. Kami tidak jual pelampung dan pisang. Kalau encik hendak pisang, encik boleh beli kat kedai buah di seberang jalan sana. Usup: Macam mana boleh tak ada? Yang saya pesan tu semua ada dalam menu.
Azli: Haa la, Usup! Kau order apa dengan cik adik ni? Aku dah tunjuk dah kat kau apa yang aku hendak. Kau order yang bukan-bukan pulak. Kau betul ikhlas ke, nak belanja ni?
Usup: Ikhlaslah! Aku pesan ikut apa yang ada dalam menu, untuk kau aku pesan apa yang kau tunjuk tadi.
Azli: Aku tak mau pelampung, aku nak aiskrim!
Usup: Bukan pelampunglah, apungan! Aku yang nak apungan, kau pulak pesan pisang sejoli, itulah aiskrim yang kau tunjuk tadi.
Pelayan: Maaf encik, apungan dan pisang sejoli tak ada dalam menu ni. Usup: Siapa kata tak ada?! Ni ha, siap dengan gambar lagi.
Pelayan: Ini float dan banana split, encik.
Usup: Ha tau pun! Itulah yang saya nak pesan, dalam menu tu cakap orang putih, cakap Melayunya apungan dan pisang sejoli. Bagi kami yang itu dulu, karang saya pesan makanan pulak.
Azli: Ha! Ha! Ha! Kelakarlah kau ni Usup, kesian aku tengok pelayan comel tu tadi, terkebil-kebil dia bila kau guna istilah yang tak pernah orang pakai. Kau ni pandai-pandai aje bagi nama macam tu, aku pun tak pernah dengar! Kau tengok kat dapur tu, pekerja kat belakang tu pakat ketawa ramai-ramai sambil jeling kat kau. Siap tekan perut lagi. Mana kau dapat nama-nama pelik ni? Aku rasa dalam Kamus Dewan pun tak ada.
Usup: Itulah kau! Tak mau guna bahasa sendiri, semua orang kat Malaysia ni ada sikap macam kau ni, tak sayang bahasa kebangsaan sendiri! Gunalah perkataan dalam bahasa Melayu, tak perlulah guna bahasa Inggeris bila cakap dalam bahasa Melayu. Banggalah dengan bahasa kebangsaan kita! Kalau kita bercakap dalam bahasa Inggeris, kita gunalah perkataan dan istilah dalam bahasa Inggeris. Bila kita bercakap dalam bahasa Melayu, kita gunakanlah perkataan dan istilah dalam bahasa Melayu. Jangan dirojakkan!
Azli: Betul ke istilah yang kaugunakan tu? Mana kau dapat? Entah-entah kaupakai hentam aje kut?!
Usup: Li! Bahasa ni dinamis tau, sentiasa berkembang dan berubah. Bila ada benda baru dan konsep baru, kena adalah perkataan untuk konsep tu. Bila perkataan baru diperkenalkan, mula-mula memanglah rasa janggal dan lucu, tapi bila kita dah guna hari-hari, kita biasalah dengan perkataan tu. Perkataan yang aku guna tadi aku dapat dari Witra, blog Azhar Salleh. Kita kena gunalah, bila semua orang guna, nanti bila Dewan mengemas kini kamus, perkataan ini boleh dimasukkan.
Azli: Rasa macam dengar ceramah motivasi pulak dah. Tu ... pesanan kita dah nak sampai!

Nota Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan adanya beberapa cara untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi. Dialog menggunakan dialek dan bahasa pertuturan yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku. Prof Madya Dr Nor Hisham Osman adalah Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM).

Sunday, December 27, 2009

SUFFERCATIONS: SUATU PENYEKSAAN

Malam ni, gua relaks je kat rumah sebab dari pukul 8.30 pagi hingga 5.45 petang, gua ada tuisyen. Biasanya, hari Ahad malam Isnin, gua tak buat apa-apa. Duduk relaks sambil baca paper, dan layan anak-anak gua. Bukan apa, penat sungguh hari Ahad. Mungkin orang lain seronok hari Ahad, boleh relaks-relaks, tapi gua, biasalah...bro, cari duit!
Minggu ini, gua dok selongkar barang-barang gua untuk dikemaskan sikit. Sambil dok selongkar barang-barang tu, ternampak ada sebuah kotak yang gua simpan di dalam almari baju. Kotak tu terisi kaset-kaset lama gua waktu zaman rock otai dulu. Semua kaset lama gua lagu daripada band metal. Gua dari dulu (sampai sekarang!) minat habis dgn band metal. Gua memang layan thrash metal macam Metallica, Megadeth, Sepultura, Sadus, Bolt Thrower, dan band black metal seperti Carcass dan Entombed. Gua layan jugak band heavy metal Dio, Iron Maiden dan Morbid Angel.
Tapi, dalam banyak-banyak genre metal, yang paling gua layan ialah muzik death metal. Banyak band luar negara yang gua layan. Tetapi, gua paling layan band dari Kelantan iaitu Suffercations. Band Suffercations, bagi gua, band death metal terbaik pernah dilahirkan di Malaysia. Band ini, asalnya bergerak secara bawah tanah sebelum berhijrah ke arus perdana. Dalam sejarah metal Malaysia, band Suffercations merupakan band pertama aliran death metal merakamkan album (bukan demo). Album pertama death metal mereka ialah "Day of Darkness". Bagi gua, inilah album death metal terbaik! Betul, bro!
Album ini gua beli waktu mula-mula dilancarkan tahun 1992. Masa tu, tak ada CD lagi. Pakai kaset je. Sayangnya, kaset tu dah tak boleh didengar lagi sebab dah rosak. Gua memang tension habis! Kalau ada siapa-siapa yang ada CD Suffercations, bagitaulah gua. Gua sanggup beli dgn harga tiga kali ganda! Gua dah ushar banyak kali di kedai kaset, tak pernah jumpa-jumpa album ini. Tauke kedai pun dah boring nampak muka gua, asyik tanya CD Suffercations sahaja!
Bro, band Suffercations ni, terkenal di luar negara sampai di Hungary dan Norway. Muzik band ni memang keras. Liriknya bersifat ketuhanan dan spiritual, tapi tidak menyimpang. Banyak liriknya mengingatkan kita tentang kematian dan kehidupan selepas mati. Sebab itu, gua tak begitu gemar kalau ada pandangan yang mengatakan lirik lagu metal semuanya menyimpang dan memesongkan. Bukan semua, ya!
Album "Day of Darkness", misalnya, menceritakan kehidupan selepas kematian. Walaupun diberi ulasan oleh akhbar dan majalah sebagai album yang 'ganas dan tidak sesuai', album ini mendapat sambutan hangat daripada peminat. Kemudian, lahirlah album kedua yang lebih keras, "Crypic Existense", diikuti oleh "In Sufferance". Album Melayu mereka, "Karisma Realiti Abadi" dikatakan punca kemerosotan pengaruh Suffercations. Untuk menebusnya, lahirlah pada tahun 2007, "As We Breath" yang menampilkan line up asal, Jeff Ilias, Rob dan Ly Razak.
Pada gua, album pertama dan kedua sahaja yang power. Yang lain, kurang menangkap kerana unsur death metal sudah terkikis sedikit.
Pada masa kehangatan death metal yang dicetuskan oleh Suffercations ini, muncullah band death metal yang lain seperti Silent Death, Brain Dead, Tormentor, dan elemen-elemen black metal pun turut ditonjolkan seperti yang ditampilkan oleh band Nebiras dan siri Dark Live Collection. Gua pun tak tau ke mana perginya band-band ini semua sekarang...Mungkin aliran death metal tidak begitu menonjol di sini hingga banyak band yang setanding dengan band luar negara terkubur. Yang tinggal kaset-kaset mereka sahaja di dalam kotak itu.
Kepada pengunjung blog gua, mohon maaflah kalau entri kali ini tidak berbicara soal bahasa, tatabahasa, puisi, darmawisata atau kewangan.
Gua akan terus menjelajah ke kedai-kedai muzik untuk mencari CD band Suffercations ini. Gua tak akan penat. Kalau bro ada cadangan, bagitaulah gua macam mana nak dapatkan CD ini. Ya, gua ulangi, gua sanggup bayar dgn harga yang tinggi untuk mendapatkan kesemua CD Suffercations ini. Gua juga turut mencari CD Silent Death dan Dark Live Collections.
Pada gua, biarpun minat tidak sama, tetapi perjuangannya satu!
Kalau ada siapa-siapa yang tidak sealiran dengan gua setelah masuk ke blog gua, gua mohon maaf banyak-banyak.
Entri selepas ini, mungkin bertajuk "Suffercations vs Rabbani".

Buku rasmi Suffercations yang diterima untuk pembelian kaset pertama "Day of Darkness".
Konsert yang menampilkan Suffercations. Layan bro!
Antara keratan akhbar dan majalah tentang Suffercations.

Ya, gua antara peminat Suffercations yang tegar!

Suffercations, band death metal yang paling mantap pernah gua dengar!

Friday, December 25, 2009

PUISI: SEMARAKKAN KEMBALI

Aksara bertuah memugar liku kembara
menafaskan inspirasi menuntut merdeka
menjalin bahasa yang bermaruah
laungkan segala gema yang tulen
agar padulah bangsa seintim mungkin.

Makin didewasakan oleh kemajuan
bangsa terlupa sesuatu yang ditinggalkan
terkhilaf seketika kembalikan semula
maruah bangsa yang setia mencatat
perjalanan semarak bangsa yang teguh
membina jati diri yang ampuh
tidak rela martabatnya diruntuh.

Aksara yang menjadi inti sejarah
telah dikembalikan jernih pusaka
setelah taman nurani itu lengang
untuk menguji di mana peribadi
terkadang berani terkadang sembunyi
usahlah dikocakkan aksara waris
dengan segala uji kaji lagi!

Tuesday, December 22, 2009

XPDC - TANGIS DARAH

XPDC, nama yang tidak perlu diperkenalkan dalam arena rock kapak tanah air. Baru melancarkan album terbaharu Rasopariso dengan vokalis asal, Mael. Gua rasa album baru ini, walaupun telah diulang dengar banyak kali, tapi belum 'menangkap' lagi. Dari dulu, gua lebih minat kalau vokalisnya Ali. Bukan Mael tak bagus, tapi gua rasa Ali lebih BRUTAL.

Salah satu lagu XPDC yang termuat dalam album V6 ialah "Tangis Darah", lagu slow XPDC yang paling gua minat. Paling gua suka ialah liriknya. Cuba hayati lirik lagu ini yang ditulis oleh Allahyarham Loloq. Memang menangkap, bro!

TANGIS DARAH
Datang musim bercinta
Entah asal mana
Hadir satu daya
Mencipta seri maya
Untuk melamar hati sang pemuja
Menjelma rindu
bagai lalang-lalang
Kau pun ditusuk hilang pertimbangan
Mula menyimpan dendam
Mencari ilham
Lepaskan geram
Kau tiraikan kaca diri
Kau lenyapkan erti suci

Di pintu gua kau tenunkan sarang yang sempurna
Menggoda mangsa yang leka seketika
Aku yang bosan kesepian
Mengintai ngintai persinggahan
Mana tahu jadi kawan

Ku telan saja luahanmu
Tak periksa lintasan ku
Yang berkata kemungkinan kau berdusta
Kau ikut buta perasaan
Biar jiwa ku dah kesan
Senyumanmu ternampakku permainan
Ku yang dahaga
Dah tak kira akibatnya
Apa saja
Esok lusa
Luka parah
Tanggis darah

Friday, December 18, 2009

CATATAN DARMAWISATA: MAKAN HINGGA BOROI!

Lazimnya, apabila gua pulang ke kampung di Pulau Pinang dan Kedah, gua pasti gila makan. Bukan kerana kat JB tak cukup makan atau makan tak best, tapi biasalah, gua membesar dengan makanan utara. Jadi, gua paparkan beberapa foto yang sempat dirakamkan (walaupun banyak sungguh tempat makan yang gua kunjungi) yang ada 'nilai sentimental' kepada gua dan famili gua. Foto ini dirakamkan ketika gua bersiar-siar di sekitar Pulau Pinang. Gua singgah sekejap di Pantai Shamrock. Pantai ini terletak di antara Tanjung Bungah dengan Batu Feringgi. Pantai ini taklah popular sangat, sebab itu mungkin anda tidak perasan. Kalau ke Batu Feringgi, sebelum jumpa Pantai Miami, jumpa pantai ini dulu. Kat sini, gua pekena laksa Penang dan bihun sup. Cuba tengok di atas meja, sebelah kotak rokok Mild Seven tu, mangkuk laksa tu dah settle. Itu mangkuk laksa gua! Gua belasah dua mangkuk, bro! Anak-anak gua pun suka laksa kat sini. Laksanya boleh dikatakan sedap jugak walaupun laksa mak gua buat jauh lagi sedap! Bihun supnya pun power tahap Ultraman Gaia! Kat sebelah utara, bihun supnya tak sama dengan bihun sup selatan, timur, atau tengah.
Mungkin anda tertanya-tanya, gua buat apa tu? Kalau perhatikan betul-betul, gua sedang pekena rojak kat Bagan (Butterworth). Rojak di sini digelar 'rojak tonggek'. Pasai apa digelar macam tu. Sapa-sapa yang pekena rojak ini, dia kena tonggek sikit. Takut kuah rojak terkena baju atau kasut. Rojak tonggek ni tak sama dengan rojak buah yang lain. Buah yang dipotong seperti timun, epal hijau, kedondong, tomato, nanas, dll dicucuk dengan lidi dan dipamerkan di gerai motor. Gua akan pilih buah yang dicucuk itu dan kemudiannya mencelup atau mencecahnya di dalam kuah rojak yang dimasukkan di dalam mangkuk. Ada kuah pedas dan ada kuah manis yang ditabur kacang tumbuk. Lepas gua makan, pekena air cincau. Kemudian, bayar. Secucuk 30 sen ( 3 kupang). Mana pi isteri dan anak-anak gua. Depa kat dalam kereta pasai malu nak pekena rojak tonggek!

Dalam perjalanan pulang dari JB, gua singgah di Taiping. Kemudian gua pi Kuala Sepetang yang popular dengan mi udang banjir. Kenapa mi udang banjir? Cuba tengok mangkuk mi udang di bawah, dah tak nampak mi sebab udangnya banjir. Lebih kurang 10-12 ekor udang kertas memenuhi mangkuk mi hingga tenggelam mi. Rasanya boleh tahan walaupun gua rasa mi udang Sungai Dua, P. Pinang lagi sedap (biasalah...sapa lagi yang nak naikkan tempat sendiri!). Yang bestnya, udang kat sini segar, banyak, dan harganya tidak mahal. Semangkuk mi berharga RM11.00. Kalau udang kecil sedikit, harganya RM9.00.
Betul tak, udangnya "banjir"! Meleleh ayaq liuq gua! Bro pun macam tu jugak ka!

Nasi kandaq! Gua, kalau kat kampung, nasi kandaq belasah gila! Kari ayam, teloq sotong, dan bendi rebus memang menu gua. Gua paling suka kari ayam kampungnya. Hairan jugak, ayam kampung kedai mamak besaq gila! Tengoklah paha ayam di atas. Ayam kampung mamak ni makan burger ke apa! Teloq sotong, rasa-rasanya kat Penang je ada tak. Pekena nasi kandaq hari-hari, perut gua terus boroi tahap Gaban! Kat Penang, nak cari kedai nasi kandaq senang sangat. Berlambak-lambak! Yang famous, Line Clear, Subaidah, Kassim Mustaffa, dan Pelita. Tapi, gua paling suka nasi kandaq kat pekan gua, nasi kandar Khaleel, sebelah Public Bank, Kepala Batas. Karinya terangkat sampai balik rumah, tangan masih bau kari ayam! Mamak, kasi kuah campurrr....!

Thursday, December 17, 2009

CATATAN DARMAWISATA: PULAU LEGENDA, LANGKAWI

Assalamualaikum, kawan-kawan! Nampaknya, siri darmawisata masih belum berakhir. Semasa cuti yang lepas, gua ada pergi ke Pulau Langkawi. Gua pergi semasa pameran LIMA 09. Pada hari kedua, gua ada ambil trip menaiki bot ke beberapa lokasi di sekitar Pulau Langkawi, serta melawati beberapa tempat yang sinonim dengannya. Gua perturunkan beberapa foto dan kisahnya. Foto dirakamkan di Tasik Dayang Bunting. Perjalanannya amat mendebarkan kerana menaiki bot kecil yang menentang arus dan ombak kuat. Hairan jugak gua apabila melihat tasik ini yang dikelilingi oleh pulau dan laut. Ini kali pertama gua ke sini. Air tasiknya tenang dan sejuk. Pengunjung yang nak mandi pun boleh. Di sini ada kolam yang apabila direndamkan kaki, ikan keli akan menggelikan kaki kita.
Jet yang dipamerkan semasa pameran LIMA. Tapi, waktu gua di situ, orang awam tak boleh masuk lagi. Hanya VIP sahaja. Gua masuk jugak ke situ. Nasib baik tak kena halau. Orang awam boleh masuk ke pameran pada hari terakhir pameran. Itu yang lecehnya pameran LIMA ni. Lain kali buat kat Parlimen lagi bagus!
Foto dirakamkan ketika berada di dalam bot. Bot yang gua maksudkan seperti bot yang terakam dalam gambar ini. Gua dan famili naik bot lain. Bayaran untuk menaiki bot ini RM35 seorang. Pengunjung akan dibawa selama 4 jam menaiki bot ke Tasik Dayang Bunting, Pulau Beras Basah, dan Pulau Singa.

Di Pulau Singa, pengunjung boleh melihat banyak burung helang terbang sambil menyambar makanan yang dilemparkan oleh pemandu bot. Memang mengujakan apabila menyaksikan detik helang menyambar makanan.

Di Pulau Beras Basah, yang dikatakan oleh ejen pelancong, sebagai antara 99 buah pulau tercantik di dunia (entahlah, betul ke tidak), gua hanya beristirahat sambil menyaksikan pemandangan yang indah. Ramai pengunjung bermandi-manda di sini. Pulaunya bersih dan airnya hijau kebiruan. Awas sedikit kerana ramai mat saleh dan minah saleh mandi dengan pakaian yang 'teramat sopan' di sini. Nasib baik bukan Azhar Salleh!

Gua dan anak-anak tak lupa ke Telaga Mahsuri. Inilah telaganya. Di sebelah telaga itu, dijual air dari telaga yang telah disuling dengan harga RM1 sebotol. Gua beli 5 botol. Air telaganya sejuk (ada ke air telaga hangat!). Basuh muka dgn air telaga tu rasa segar sikit. Betul ke ini Telaga Mahsuri punya? Entahlah...gua pua malas nak fikir. Semua yang jumpa nak kena fikir, letih juga gua.

Gaya otai! Di hadapan rumah Mahsuri. Kepala telah dipangkas sebelum ke Langkawi. Amacam bro, ada stail rock otai 80-an...tak? Nasib baik gua tak ada baju gambaq matahari, kalau tidak, dah macam Loudness! He...he...

Gua dan anak-anak di hadapan Makam Mahsuri. Di makam ini, Mahsuri dikebumikan. Gua pun tak pasti pulak, betul ke tidak yang dalam makam tu jenazah Mahsuri. Mungkin replika makam sahaja. Gua pun tanya petugas di situ. Depa pun tak tau. Kalau depa pun tak tau, apatah lagi gua! Kalau bro nak tahu jugak, tanya orang lain. Kalau tanya gua, gua suruh bro bawa cangkul sekali waktu naik feri!

Isteri gua dan anak-anak di dalam bilik hotel. Gua menginap di Hotel Grand Continental. Oleh sebab masa gua pergi, pameran LIMA diadakan, jadi bilik hotel dan calet di Langkawi boleh dikatakan hampir semuanya telah ditempah. Kerana tidak mahu menghampakan anak-anak, gua pergi juga. Nasiblah kalau ada hotel atau calet lagi. Ambil feri dan gua melilau cari hotel. Akhirnya, dapat hotel ni kat pekan Kuah. Kat pekan Chenang, bukan setakat calet atau hotel dah habis, rumah Mak Cik Senah pun ada pelancong menumpang. (jangan tanya gua lak sapa Mak Cik Senah!). Harga semalam, RM430. Perghh...! Kalau hari biasa (bukan masa LIMA), bilik ni harganya RM205. Gua tinggal dua malam. RM860 terbanggg....! Perghh dan perghh! Satu lagi, kalau bro nak ke Langkawi, nasihat gua, jangan tinggal kat hotel ni. Dia punya staf berlagak tahap Power Rangers! Dan kalau bro tak minat kapal laut dan kapal terbang, jangan pi Langkawi waktu LIMA. Bukan apa, takut nanti balik Langkawi, tinggal LIMA ringgit!

Di Beras Terbakar, dikatakan bahawa dahulu, ketika Siam menyerang Langkawi selepas Mahsuri dibunuh, penduduk Langkawi diarahkan untuk membakar beras yang disimpan supaya Siam tidak dapat merampasnya. (gua pun tak tau betul ke tak?). Kini, serpihan dan baki beras tersebut masih wujud (walaupun penat juga gua nak cari beras tu kat mana). Menurut jurujual di kawasan ini, jikalau hari hujan, kesan beras terbakar boleh dilihat. Hujan pulak tak turun masa tu. Kat Beras Terbakar, kebanyakan pelancong hanya datang nak ambil gambar sahaja kat situ. Aktiviti sampingan yang terkenal di sini ialah menghabiskan wang ringgit anda untuk membeli kain batik dan minyak gamat. Paling tidak pun, baju T warna putih yang harganya sehelai RM5.00, yang ada gambar burung lang dan tulisan "Langkawi". Sebab tu kalau datang Beras Terbakar, dengan duit gua pun terbakar! Dah..dah...jangan nangis...

Wednesday, December 16, 2009

CATATAN DARMAWISATA: ANTARA DESTINASI YANG MENJADI PILIHAN

Cuti persekolahan, dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang, singgah di beberapa lokasi untuk melihat alam dan manusia. Pelbagai pengalaman yang menarik sepanjang sesi wisata tersebut. Paparan di bawah dimuatkan untuk berkongsi rasa.
Bergaya di pelantar jeti, Taman Tema Bukit Merah, Perak.
Pertama kali 'memanjat' Gunung Jerai, Kedah dengan menggunakan kereta. Suatu pengalaman yang agak menarik. Jalannya memang curam dan agak membahayakan. Perjalanan dari kaki gunung ke puncak mengambil masa selama lebih kurang 30 minit.

Apa nih...? Bapa borek (dan boroi!), anak rintik. Tiga beranak memperagakan gaya 'rock otai'! Bro, foto ini dirakamkan di puncak Gunung Jerai. Di belakang pokok, kelihatan kabus yang melitupi pergunungan. Di puncak, terdapat sebuah persantaian, iaitu Regency Resort yang sungguh cantik dan menarik. Foto dirakamkan di belakang dewan persantaian.

Dalam perjalanan pulang, sempat menyinggah di Bukit Larut, Perak. Dinyatakan pada papan kenyataan, Bukit Larut ialah tempat percutian tertua di Malaysia. Di puncaknya, terdapat beberapa buah calet/banglo yang boleh disewa dengan kadar antara RM100 - RM400 semalam.

Lokasinya, di Air Panas Ulu Lenggong/Legong di Baling, Kedah. Hajat nak bermandi-manda dengan riang dan gembira tidak kesampaian kerana air panas di situ tak sejuk-sejuk sampai nak mandi pun tak boleh! Tunggu dari petang sampai malam, tak sejuk-sejuk jugak. Memang panas air kolam ini. Foto dirakamkan di kolam kanak-kanak (yang kurang darjah kepanasannya). Di sini terdapat empat kolam yang disediakan mengikut darjah kepanasan yang berbeza.

Tuesday, December 15, 2009

CATATAN DARMAWISATA: CAMERON HIGHLAND

Akhir cuti persekolahan bulan November yang lalu, terus bergerak ke Cameron Highland (Tanah Tinggi Cameron) dari JB. Pergi ke sana dengan keluarga kakak ipar yang tinggal di Kuala Kangsar. Terpapar di bawah antara foto yang dirakamkan. Teh Lipton satuuuu.....
Isteri dan keluarga kakak ipar menikmati teh di Hentian Teh Lembah Cameron. Di sini, sekeping karipap RM2.00...Teh 0 perisa strawberi seteko (dalam gambar) harganya RM18.00. Perghhh...

Turut tumpang sekaki berfoto bersama-sama isteri dan anak-anak, serta keluarga ipar.

"Ultraman" sedang menembak sasaran di hadapan pokok tomato!

Di dalam bilik penginapan, Parkland, Brinchang. Harga semalam apartmen tiga bilik ini RM460.00. Mahal jugak tuuu...tapi puas hati jugak la.

Mendakap isteri dalam kedinginan ketika "Ultraman" sedang nyenyak dilitari mimpi. Romantik jugak aku nih...he...he..he...

Strawberi segar dinikmati bersama-sama biras.

Biras yang saling memahami...

Sepanjang di perkebunan, asyik kena dukung 'Ultraman" saja! Penat jugak aku! Tapi, tak apa, kalau raksasa datang, akan aku arahkan "Ultraman" kesayangan hamba ini mem'fire' raksasa itu!

Sunday, December 13, 2009

SUARA AKHIR TAHUN

Sesekali pengalaman mendampingi
kita meresahkan iktibar diri
sedang denyut nurani sentiasa dewasa
mendegupkan rentetan kisah
untuk menjadikan diri bermaruah.

Gelita dan terang pengalaman
dingin dan panas perasaan
gentar dan berani tindakan
cangkat dan dalam pengetahuan
sejernih jiwa bersih
atau sekeruh nafsu meranum
membajai perjalanan
tumbuh segar dalam ingatan
siang dan malam mendewasakan.

Di depanmu terdiri jambatan
berkerlip cahaya di hadapan
tinggalkan suara semalam
dalam kantung kemanusiaan
atau di kepuk pengajaran.

Mingguan Malaysia, 10 Disember 2006

Tuesday, December 08, 2009

BICARA TENTANG KEGAGALAN

1. Sudah lama tidak mencatatkan sesuatu dalam blog ini. Sebenarnya, saya masih berada di kampung di Pulau Pinang. Dua tiga hari lagi baru balik ke JB, meneruskan tugas.
2. Namun begitu, saya berasa perlu untuk terus mencatat sesuatu. 3. Tuan-tuan mungkin pernah membaca buku "Dare To Fail" atau "Berani Gagal", tulisan Billi P.S. Lim? Saya percaya saudara pernah atau sudah khatam membacanya, ataupun setidak-tidaknya saudara tahu tentangnya. Saya sudah berulang-ulang kali membacanya kerana buku ini diterbitkan sudah lama, lebih sedekad yang lalu.
4. Saya berasa perlu untuk saya "bangkit" daripada suatu lena selepas menelaah pemikiran penulisnya. Buku ini ditulis khusus untuk orang yang berasa dirinya gagal dan ingin bangkit . Penulisnya terus mendapat gelaran "Guru Kegagalan". Buku ini tidak ditulis untuk orang yang berputus asa atau sentiasa berkeluh kesah.
5. Saya mencadangkan, sekiranya sesiapa yang belum membacanya, silalah berbuat demikian kerana saya percaya (pandangan peribadi), buku ini seharusnya menjadi bahan bacaan wajib untuk dibaca! Ya, bacaan wajib, bagi sesiapa yang percaya akan perlunya kejayaan dalam kehidupan.
6. Ringkas cerita, seusai membacanya buku ini sedekad yang lalu, saya mengalami beberapa perubahan dari segi pemikiran dan langkah, dengan izin Allah SWT, kerana saya sedaya upaya menyerap falsafahnya setakat termampu. Mungkin pada masa lain, akan saya kongsi cerita dan langkah tersebut.
7. Entri ini, hanya untuk menjentik sekali imbas tentang beberapa falsafah yang terkandung dalam naskhah tersebut. Mudah-mudahan, dapat dijadikan renungan kita bersama. Dan semoga saya diberi kelapangan dan keizinan Allah SWT untuk meneruskan catatan tentang hal ini.

MEREKA MERUPAKAN TOKOH AGUNG YANG CACAT!
Shakespeare – Lumpuh
Beethoven – Pekak
Alexander the Great – Bongkok
Edison – Pekak
Stephen William Hawking - Lumpuh

KEBANYAKAN TOKOH AGUNG DI DUNIA INI BERJAYA KERANA MEREKA PERNAH MENGALAMI KEGAGALAN
SETIAP KEGAGALAN MERUPAKAN SESUATU PENGAJARAN YANG MENDORONG SESEORANG SUPAYA MENCUBA SUATU PENDEKATAN YANG BELUM PERNAH DICUBANYA DAHULU

KITA TIDAK MUNGKIN MENEMUKAN LAUTAN BARU JIKA KITA TIDAK BERANI BELAYAR JAUH DARI PANTAI

ADA SATU CARA PASTI UNTUK MENGELAKKAN KRITIKAN: JANGAN MENJADI APA-APA, JANGAN BERFIKIR APA-APA, DAN JANGAN BERBUAT APA-APA. BEREHAT DAN MENGELAMUN SAHAJA SEPANJANG MASA DAN BUNUH SEGALA CITA-CITA.

SEMAKIN GELAP LANGIT DI ANGKASA, SEMAKIN BERSINAR BINTANG-BINTANGNYA

MANUSIA MEMERLUKAN PENGALAMAN GETIR UNTUK MENJADI HEBAT DAN CEMERLANG

JIKA KAMU TERUS MELAKUKAN APA YANG TELAH SENTIASA KAMU LAKUKAN, KAMU AKAN MENDAPAT APA YANG TELAH SENTIASA KAMU PEROLEH

YANG PENTING, BUKAN SEDALAM MANA ANDA TERJATUH, TETAPI SETINGGI MANA ANDA BANGKIT KEMBALI!

APA YANG ORANG NAMPAK PADA KEJAYAAN SAYA HANYALAH SATU PERATUS DARIPADANYA, TETAPI APA YANG MEREKA TIDAK NAMPAK IALAH 99 PERATUS, IAITU KEGAGALAN-KEGAGALAN SAYA - Soichiro Honda

TAKDIR DAN NASIB TIDAK PERNAH MENENTUKAN KEGAGALAN KITA. SEBENARNYA, KITA YANG MENENTUKAN KEGAGALAN KITA SEBAGAIMANA ORANG YANG BERJAYA MENENTUKAN KEJAYAAN MEREKA