Monday, August 31, 2009

KEWANGAN: USAH BERTANGGUH LAGI; SIMPANLAH WANG!

1. Saya mendapati bahawa entri Kewangan yang saya kongsi bersama-sama dengan pengunjung WITRA dapat memberikan input sedikit sebanyak tentang subjek ini. Ramai yang memberikan respons positif, sama ada melalui komen ataupun Sistem Mesej Singkat (SMS). Saya ucapkan terima kasih.
2. Pada kali ini, saya akan menyentuh soal simpanan wang. Ya, lazimnya kita akan menyimpan wang apabila mendapat gaji ataupun memperoleh sesuatu pendapatan. Saya melihat ramai orang yang akan menyimpan wang secara tetap setiap bulan. Mereka mengambil tindakan dan keputusan yang tepat.
3. Sebab itulah falsafah orang Cina yang dapat dijadikan pegangan ini perlu dipegang dengan sebaik-baiknya. Falsafahnya mudah, iaitu "Jangan melihat berapa banyak pendapatan kita, tetapi lihatlah berapa banyak simpanan kita".
4. Tetapi, janganlah kita berasa pelik sekiranya kita mendapati masih terlalu banyak orang yang tidak menyimpan wang. Mereka beranggapan bahawa simpanan wang pada setiap bulan akan menyebabkan mereka tidak dapat menguruskan kehidupan dengan baik. Memang benar pandangan ini, tetapi lebih banyak yang tidak benar.
5. Mungkin mereka melihat "masa ini", bukannya "masa hadapan". Kita tidak tahu apa yang akan berlaku kepada kita pada masa hadapan. Sediakan payung sebelum hujan, demikian peribahasa Melayu yang sudah sebati dalam hidup kita.
6. Bagi sesetengah golongan, mereka menyimpan wang melalui kaedah potongan gaji, sama ada untuk ASB ataupun Tabung Haji. Tindakan ini merupakan tindakan yang sangat bijak kerana kita tidak perlu memikirkan soal simpanan selepas menerima gaji. Namun begitu, bagi sesiapa yang memiliki disiplin yang tinggi, mereka tidak perlu berbuat demikian. Berapa ramaikah yang memiliki disiplin sebegini?
7. Apa-apapun, entri pada kali ini tidak akan membahaskan soal ini kerana sesiapa pun sudah sedia maklum akan kepentingan menyimpan wang. Di mana perlu disimpan dan berapa banyak simpanan yang perlu disimpan, akan saya huraikan dan bahaskan pada entri yang lain.
8. Entri pada kali ini tampil hanya ingin memberikan peringatan dan nasihat kepada saya sendiri, dan kepada rakan-rakan agar menjadikan budaya menyimpan wang sebagai suatu tabiat yang menyeronokkan. Ya, tuan-tuan, jadikanlah tabiat ini menyeronokkan!
9. Saya berharap agar kita semua tidak bertangguh lagi dalam hal ini kerana data di bawah dapat memberikan penjelasannya. Saya berharap agar kita berfikir sama-sama akan data-data di bawah.

INFO 1 (Umur anda 20 Tahun)
Sekiranya anda berhasrat untuk menjadi JUTAWAN pada ketika anda berusia 55 tahun (tahun persaraan), anda perlu menyimpan sebanyak RM155.00 sebulan dengan kiraan atau pulangan dividen atau faedahnya sebanyak 12 % setahun.

INFO 2 (Umur anda 30 Tahun)
Sekiranya anda berhasrat untuk menjadi JUTAWAN pada ketika anda berusia 55 tahun (tahun persaraan), anda perlu menyimpan sebanyak RM532.00 sebulan dengan kiraan atau pulangan dividen atau faedahnya sebanyak 12 % setahun.


INFO 2 (Umur anda 40 Tahun)
Sekiranya anda berhasrat untuk menjadi JUTAWAN pada ketika anda berusia 55 tahun (tahun persaraan), anda perlu menyimpan sebanyak RM2001.00 sebulan dengan kiraan atau pulangan dividen atau faedahnya sebanyak 12 % setahun.

INFO 2 (Umur anda 50 Tahun)
Sekiranya anda berhasrat untuk menjadi JUTAWAN pada ketika anda berusia 55 tahun (tahun persaraan), anda perlu menyimpan sebanyak RM12, 244.00 sebulan dengan kiraan atau pulangan dividen atau faedahnya sebanyak 12 % setahun.

CATATAN TAMBAHAN
JUTAWAN dalam konteks ini ialah memiliki wang sebanyak RM1 Juta.
Kadar dividen 12 % setahun diandaikan tetap dan tidak berubah.

Jadi, tuan-tuan, saya percaya bahawa judul entri perlu dihalusi sekali lagi, iaitu:
USAH BERTANGGUH LAGI; SIMPANLAH WANG!

Sunday, August 30, 2009

MELASTIK KE BINTANG 13

Sahabat yang sejati adalah orang-orang yang dapat berkata benar denganmu, dan bukan orang-orang yang dapat membenarkan kata-katamu.

AL-HAKIM

CERAMAH: SK TAMAN BUKIT MEWAH/SK KANGKA TEBRAU

Tarikh: 26 Ogos 2009
TEKNIK MENJAWAB SOALAN BAHASA MELAYU UPSR

Saya mendoakan kejayaan murid-murid tahun enam yang akan berjuang di medan peperiksaan UPSR pada 8 September nanti.
Terima kasih kepada pihak sekolah atas undangan ini.

Wednesday, August 26, 2009

KEWANGAN: ANTARA SEBAB KEWANGAN KITA KUCAR-KACIR

TIDAK MAHU BELAJAR TENTANG PENGURUSAN KEWANGAN

1. Rasa-rasanya sudah lama saya tidak mencatat sesuatu tentang subjek ini. Maafkan saya teman-teman yang setia mengikuti tulisan saya. Bukannya apa, sekali lagi alasan yang amat-amat klise akan saya berikan, iaitu kesibukan dan hambatan tugas. Walaupun saya sedar ini merupakan alasan dan ramai yang akan mencebik bibir hingga nampak seperti sumbing, namun apa lagi yang perlu saya nyatakan sebagai alasan?
2. Saya mulakan entri ini dengan ungkapan ini, “ramai orang yang tidak mahu belajar cara menguruskan kewangan mereka dengan baik”. Mereka sentiasa percaya bahawa menguruskan kewangan tidak memerlukan kemahiran dan jauh sekali perlu dipelajari. Apalah yang sukar sangat tentang wang ini. Malahan ada yang beranggapan bahawa jika mereka berbuat demikian, mereka akan kelihatan tidak bijak dan tidak cerdik. Mereka dianggap tidak tahu mengatur hidup sendiri. Lagipun, wang bukanlah sesuatu yang sukar untuk diuruskan. Buktinya, berikan sahaja sejumlah wang kepada mereka, dan sekelip mata wang itu sudah tiada atau bertukar tangan. Kasihan kepada mereka. Wang menjadikan mereka tempat persinggahan yang amat sementara dan fana.
3. Namun demikian, saya melihat ramai orang yang berusaha keras untuk menjadi pandai dalam perkara yang tidak mendatangkan apa-apa pulangan, dalam konteks ini pulangan kebendaan dan pulangan kerohanian (nanti dikatakan saya mata duitan pula!). Lihat sahaja di sekeliling kita, berapa ramai yang gila akan aktiviti memancing ikan, udang, dan termasuk juga memancing undi! Oppsss… PAS menang lagi di Permatang Pasir!
4. Saya percaya bahawa aktiviti memancing yang dilakukan itu merupakan hobi bagi sesetengah daripada mereka, dan sesiapa pun tidak perlu dan tidak wajar untuk menentukan hobi seseorang. Namun, yang manakah yang lebih penting, belajar tentang pengurusan kewangan atau belajar tentang skil memancing? Jawapannya, tentulah belajar tentang skil memancing kerana kita akan lebih cepat pokai dengan memilih aktiviti itu. Ya, kita perlu menyediakan sejumlah wang untuk membeli joran, membayar sejumlah wang untuk memancing di pusat memancing (kalau di laut, bukankah kita perlu menyewa bot?), dan yang paling penting, kita akan kehilangan banyak waktu menunggu ikan makan umpan kita. Harap-harap ikan tidak berpuasa! Kalau tidak, lagi banyak waktu terbuang!
5. Tuan-tuan yang budiman, saya tidak menyatakan bahawa aktiviti memancing itu salah dan perlu dijauhi seperti mana kita menjauhi orang yang bersin ketika demam, tetapi saya ingin menyatakan bahawa kita perlu memilih yang manakah yang lebih penting. Memang benar belajar tentang pengurusan kewangan tidak melibatkan soal hidup atau mati, tetapi aktiviti memancing memancing lagilah tidak melibatkan soal nyawa. Silap-silap hari bulan, bot terbalik buruk padahnya! Dan saya percaya bahawa belajar tentang pengurusan kewangan, dari satu segi, melibatkan masa depan. Tak pastilah saya sama ada kita tidak boleh makan ikan jika tidak pergi memancing! Saya lihat di pasar borong Pandan, pasar Smart, dan Jaya Jusco, banyak ikan yang dijual. Beli sahaja…
6. Eh, tuan munsyi, macam dengki kepada kami, golongan pemancing ni…kenapa? Maaf wahai pemancing, itu hanyalah contoh. Saya akui memang saya tidak pandai memancing, malahan saya tidak tahu macam mana nak sumbat cacing ke mata kail! Tetapi, saya boleh makan ikan juga...
7. Tuan-tuan, sebenarnya, jika kewangan kita tidak diatur dengan baik, kita akan menghadapi masalah. Jangan difikirkan tentang masa depan, kalau sekarang pun kita tidak dapat menguruskan kehidupan kita dengan baik dan tersusun. Saya melihat ramai orang yang berpendapatan agak baik tetapi masih membuat pinjaman peribadi dengan bank hanya sekadar untuk menyambut hari raya! Saya melihat ramai orang berbangga dengan jumlah simpanan yang banyak dalam ASB hasil pinjaman daripada Maybank. Saya melihat ramai orang terpaksa mengikat perut pertengahan bulan kerana tidak memiliki wang yang mencukupi untuk perbelanjaan harian. Mereka mungkin berhadapan dengan masalah ketika itu, dan sewajarnya kita membantu mereka selagi terdaya. Namun demikian, saya melihat keadaan ini tidak bersifat sementara. Keadaan ini berlaku hampir setiap masa dan setiap keadaan. Nampaknya, mereka percaya bahawa menguruskan kewangan dengan baik menjadi tidak begitu penting. Saya bersimpati kepada mereka. Sepatutnya mereka sedar bahawa dalam kehidupan hari ini, wang menjadi sangat penting. Oleh itu, menguruskannya menjadi terlebih penting. Wang akan masuk dan keluar. Wang akan menjadi hamba kita, kiranya kita percaya sedemikian, namun yang banyak terjadi sekarang, kita menjadi hamba wang. Kita bekerja setiap hari hanya untuk membayar bil, membeli makanan, membayar ansuran kereta, dan berbaki sedikit untuk disimpan. Mujurlah kita masih berhasrat untuk menyimpannya. Ramai antara kita menjadi begitu. Pada hari ini, kita tidak dapat melakukan apa-apa pada masa hadapan dengan hanya menyimpan atau melabur sebanyak RM200 sebulan. Memang jika didarabkan, kita akan menyimpan sebanyak RM2400 setahun, namun jumlah itu tidak banyak membantu kita pada masa hadapan. Harus diingat, inflasi akan memakan wang kita secara berhemah!
8. Lainlah jika kita berusia 20 tahun. Jika tuan-tuan menyimpan RM200 setiap bulan secara tetap ketika berusia 20 tahun, tuan-tuan akan memperoleh RM1.3 juta apabila berusia 55 tahun. Perkiraan ini berdasarkan pulangan dividen (misalnya ASB) sebanyak 10% setahun dan anda tidak pernah mengeluarkan wang tersebut. Jika anda berusia 20 tahun, segeralah menyimpan wang anda sebanyak RM200 sebulan. Insya-Allah anda akan menjadi jutawan apabila bersara kelak!
9. Jika anda berusia 30 tahun dan anda menyimpan sebanyak RM200 sebulan secara tetap dan kadar pulangan dividennya juga sebanyak 10% setahun, anda akan memperoleh RM387, 000 (anggaran) ketika anda bersara pada usia 55 tahun. Wah, jumlah ini masih menguntungkan! Jumlah ini masih besar dan banyak perkara yang dapat anda lakukan dengan wang sejumlah itu! Tuan-tuan, daripada perbandingan itu, apakah kesimpulan yang dapat dibuat?
10. Ya, kesimpulannya anda akan rugi hampir RM 1 JUTA kerana terlewat 10 tahun untuk menyimpan wang ! Itulah kesimpulannya, dan saya percaya jumlah itu bukannya sedikit. Kerja tunggang terbalik pun belum tentu dapat mengumpulkan wang RM 1 juta! Oleh itu, pengetahuan sebegini amat penting untuk kita memikirkan secara serius untuk belajar tentang pengurusan kewangan.
11. Ada yang beranggapan bahawa sekiranya kita belajar tentang wang, kita akan dilihat dan digelar sebagai “mata duitan”. Tuan-tuan, untuk menutup mulut orang, bukannya mudah, sama sukarnya seperti menukar tayar kereta yang bocor di tengah jalan. (Dua minggu lepas, tayar kereta saya bocor di parkir Danga City Mall, dan saya membayar sagu hati RM20.00 kepada seorang pekerja Bangladesh yang kebetulan sedang mengutip troli di situ untuk menukar tayar kereta saya). Ada yang khuatir jika mereka belajar tentang kewangan, mereka akan menjadi angkuh, lupa daratan, dan hanya dilihat memikirkan wang semata-mata. Saya percaya dogma sebegini hanya menjadi milik orang yang sentiasa berusaha untuk melihat dirinya dan orang lain menjadi dan berterusan miskin. Jika kita pun demikian, maka wajarlah kita merenung kembali pegangan itu.
12. Mereka atau golongan sebegini tersalah perkiraan. Belajar tentang pengurusan kewangan tidak pernah atau tidak akan membuat kita mengabaikan hal-hal yang penting dalam hidup kita. Kita tidak perlu meminggirkan hal-hal lain yang sama penting atau yang lebih penting sekiranya kita belajar tentang pengurusan kewangan. Kita masih mampu untuk menjadi pekerja yang baik, suami atau isteri yang baik, anak yang baik kepada ibu bapa kita, ayah atau ibu yang baik kepada anak-anak kita, dan sahabat yang baik kepada rakan-rakan kita. Belajar tentang pengurusan kewangan tidak akan menyebakan kita akan dipandang serong oleh masyarakat. Belajar tentang hal ini tidak akan menyebabkan kita perlu mengurangkan amal ibadat kepada Tuhan. Malahan, dalam agama sekali pun, kita disaran agar sentiasa belajar untuk membaiki diri dan keluarga. Kita diwajibkan untuk belajar tentang ilmu yang dapat memberikan manfaat kepada diri dan orang lain. Bukankah belajar tentang kewangan menjadi salah satu daripada keperluan ini?
13. Belajar tentang kewangan akan menjadikan diri kita lebih bertanggungjawab. Kita akan dilihat dan akan menjadi lebih matang. Kehidupan akan menjadi terurus dengan memiliki pengetahuan tentang suatu hal yang sangat penting dalam hidup ini. Janganlah kita terus beranggapan bahawa orang yang dilihat sentiasa berbicara tentang kewangan ini bermata duitan. Mereka sebenarnya bijak, selagi tidak bersikap bakhil dan tamak. Mereka sebenarnya matang selagi menunaikan tanggungjawab kepada negara dengan membayar cukai pendapatan, dan selagi mereka mengeluarkan zakat. Bukankah zakat itu merupakan suatu kewajipan dan kita perlu mengetahui dan belajar tentangnya?
14. Lantaran itu, untuk memastikan kehidupan lebih terurus, salah satu strateginya ialah belajar tentang pengurusan kewangan. Kita tidak akan mengalami apa-apa kerugian, malahan kita akan mendapat banyak keuntungan.
15. Kepada kaki pancing khususnya, maafkan saya kerana saya tidak berniat untuk melukakan atau menyinggung hati anda. Teruskanlah aktiviti itu kerana ada orang boleh membuat wang dengan aktiviti memancing! Harap-harap anda dapat membuka sebuah pusat memancing yang akan menjanakan pendapatan besar kepada anda!

Monday, August 24, 2009

BICARA KARYA NEGERI JOHOR 2009

Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, DBP dengan kerjasama DBP Wilayah Selatan, Persatuan Penulis Johor (PPJ), dan Panitia Bahasa Melayu Daerah Muar telah menganjurkan Bicara Karya Sastera Negeri Johor pada 20 Ogos 2009 yang lalu. Program diadakan di SMK Raja Muda, Parit Jawa, Muar dan disertai oleh kalangan peminat bahasa dan sastera, guru-guru dan para pelajar di sekitar daerah Muar.


Tiga naskhah yang dibicarakan ialah:
1) Keris Sebilah Itu (Kumpulan Puisi) - Shapiai Haji Ramly
Pembentang/Pemakalah - Azhar Salleh (PPJ)


2) Meniti Batas (Novel) - Zulkifli Khair
Pembentang/Pemakalah - Ruzaini Yahya (PPJ)

3) Mazhab Cinta (Kumpulan Cerpen) - W.B. Rendra
Pembentang/Pemakalah - Prof. Arbak Othman (UPM)


Saya telah diamanahkan untuk membicarakan karya Shapiai Mohd Ramly. Judul makalah saya ialah "Kritikan Sosial dalam Keris Sebilah Itu: Suatu Penerapan Teori Konseptual kata Kunci". Secara keseluruhannya, saya mendapati bahawa perjalanan program lancar dan tepat pada masanya. Saya mendapati pihak penganjur melakukan persediaan yang rapi dan sistematik. Mungkin masa program ini diadakan pada waktu bekerja, maka khalayak sastera atau penulis Johor yang lain tidak dapat bersama-sama. Namun begitu, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan khususnya, kepada Encik Jusuh (DBP) dan Encik Rusdi (DBPWS). Kepada rakan pembentang, penulis buku yang dibicarakan, Cikgu Taufek (terima kasih kerana belanja asam pedas Parit Jawa dan pengerusi yang cemerlang), kepada Tuan Haji A. Aziz, dan rakan-rakan yang lain, terima kasih atas sokongan dan dorongan.


Khas kepada Tuan Haji Shapiai, saya masih ingat kata-kata yang saya lafazkan dalam majlis tersebut:

"Jikalau tuan haji ikhlas ketika berkarya, demikian juga saya ketika menelaah dan memberikan pandangan tentang Keris Sebilah Itu".

Thursday, August 13, 2009

PUISI: MUSIBAH BANGSA

Tentang lara bangsa yang diazab
oleh rakus yang menggoyahkan nurani
bersuara hanya dalam kalbu
mohon pertimbangan dan restu
yang gementar dan gemuruh
bangsa makin terjerat di kancah
bangsa kian gawat disekah.

Kita melihat taufan prejudis
dan halilintar menggusari minda
lantas terbukalah pekung di dada
ditelanjangi oleh nafsu dan gelora
ingin berkuasa, menghunjam sengketa
di datar penuh setia dan makmur
bumi yang adil dan luhur subur.

Watikah damai di tangan marhaen
kesegaran wajah santun bangsa kini
di bawah langit yang mendung dan pilu
kita makin sulit untuk bersifat mengalah
kendati bangsa semakin parah dan lelah
kita semakin angkuh bermegah
kuasa dan tanah yang kian terpisah
setelah segugus pulau milik berpindah
kita masih galak untuk bertelagah.

Demi sebuah hati bernama bangsa
yang wajar serasi demi membela nusa
dipayungi oleh daulat utuh mahkota
harus seiring demi kesetiaan bersama.

BAHASA: PETIKAN HIKAYAT ABDULLAH TENTANG BANGSA DAN BAHASA MELAYU

Bermula adalah sebesar-besar hairan dalam hatiku sebab melihatkan adat orang-orang kita Melayu itu, yang tiada diperbuat oleh bangsa yang lain-lain dalam dunia ini diperbuatnya!

Adakah segala manusia dalam dunia ini membuangkan bahasanya sendiri, tiada bertempat belajar bahasanya itu, melainkan yang kulihat orang Melayulah yang tiada mengendahkan…

Bermula adalah yang kudengar beberapa bangsa di dalam dunia ini menjadi besar dan pandai sebab mereka itu pandai membaca surat dan menyurat dan mengerti bahasanya serta memeliharakan bahasanya, iaitu daripada bangsa Arab atau bangsa orang putih, baik daripada Cina atau Hindu, maka sekelian mereka sentiasa memeliharakan dan memuliakan bahasanya.

Maka makin sehari makinlah diluaskannya dan ditambahinya dan dibaikinya dan dihaluskannya sampailah zaman ini, kerana sesungguhnya bahasa itulah menjadikan manusia itu berakal dan menambah kepandaian dan ilmunya dan boleh menjalankan segala pekerjaannya dan boleh membaiki akan dirinya sendiri dan boleh pula mengajar akan orang lain.

Maka dengan dia itulah sahaja dijadikan Allah yang dapat mengeluarkan barang suatu rahsia dalam hati manusia.Syahadan dapat tiada kalau ada suatu bangsa yang besar itu maka bahasanya pun besarlah, kerana sekelian perkara yang ada dalam dunia dan akhirat itu semuanya terbit daripadanyalah, menjalankan pekerjaan dan memberi nama tiap-tiap suatu itu dengan bahasa dan mencari kehidupan itu pun dengan bahasa dan mendatangkan beberapa kekayaan dan kemuliaan.Kebesaran bagi manusia itu pun daripada bahasa datangnya.

Maka bahasa itulah yang besar gunanya bagi manusia ini dunia akhirat. Maka patutkah iaitu tiada engkau endahkan...

CERAMAH: PEJABAT PELAJARAN DAERAH KOTA TINGGI

KURSUS PEMANTAPAN BAHASA MELAYU MELALUI MUNSYI DEWAN
Tarikh: 13 Ogos 2009 (Khamis)
Tempat : Dewan Seri Warisan, PPD Kota Tinggi

Saya bersyukur kerana kursus ini berjaya dilangsungkan. Tahniah kepada pihak penganjur, khususnya Puan Kamidah. Puan Rasyidah, dan Tuan Haji Syed (Guru Besar SK Bandar).
Kepada peserta-peserta kursus, diharapkan kursus ini dapat memberikan input dan maklumat terkini agar mutu pengajaran dan pemelajaran bahasa dapat ditingkatkan.

Saya ingin berterima kasih atas layanan dan sambutan yang diberikan. Kerjasama, komitmen, dan kesungguhan peserta kursus amat saya hargai dan sanjungi.
Sehingga bertemu lagi pada masa akan datang.
Kehadiran Timbalan PPD Kota Tinggi sewajarnya menjadi perangsang kepada kita semua untuk memberikan yang terbaik sebagai pendidik subjek Bahasa Melayu dan saya berharap agar prestasi Kota Tinggi dalam UPSR dapat dipertingkatkan.

CERAMAH: SMK TUN SYED NASIR ISMAIL

BENGKEL TATABAHASA SPM 2009
Tarikh: 12 Ogos 2009 (Rabu)
Terima kasih atas undangan ini. Mudah-mudahan usaha ini diberkati Allah swt. Saya berdoa semoga pelajar berjaya dalam SPM pada tahun ini.

CERAMAH: SK ST. JOSEPH

BENGKEL DAN TEKNIK MENJAWAB SOALAN UPSR 2009
Tarikh: 11 Ogos 2009 (Selasa)
Terima kasih atas undangan ini.

CERAMAH: SK TANJUNG PUTERI RESORT

BENGKEL DAN TEKNIK MENJAWAB SOALAN UPSR 2009
Tarikh: 8 Ogos 2009 (Sabtu)
Terima kasih atas undangan ini.

CERAMAH: SK TAMAN DAYA

BENGKEL DAN TEKNIK MENJAWAB SOALAN UPSR 2009 (FASA 2)
Tarikh: 6 Ogos 2009 (Khamis)
Terima kasih atas undangan ini. Mudah-mudahan murid Tahun 6 akan berjaya dalam UPSR.

CERAMAH: SMK SULTAN ISMAIL

BENGKEL TATABAHASA PMR DAN SPM
Tarikh: 1 Ogos 2009 (Sabtu)
Terima kasih atas undangan ini.

Monday, August 10, 2009

MELASTIK KE BINTANG 12

Pengurus bank ialah orang yang meminjamkan payung kepada anda ketika cuaca baik, dan mengambil balik ketika hujan turun.

ANON

Saturday, August 01, 2009

BAHASA: PIPE ATAU PAIP?

Usaha DBP, khususnya DBP Wilayah Selatan untuk memartabatkan bahasa Melayu pada papan tanda perniagaan merupakan langkah yang amat proaktif. Sewajarnya, usaha ini berterusan, malahan dapat dipertingkatkan dari masa ke masa.

Namun begitu, lihatlah papan tanda perniagaan ini, yang terakam di Kluang.
Hairan, mengapakah PBT di Kluang boleh meluluskan papan tanda perniagaan ini? Wujudkah tumbuk rusuk? Atau kakitangan yang bertanggungjawab terlepas pandang? Adakah mereka tidak mengetahui ejaan "paip" yang betul? Buta hurufkah mereka? Atau makan gaji buta? Saya percaya dan yakin, jawabannya ialah "SEMUA DI ATAS".

KESALAHAN DAN CADANGAN PEMBETULAN
1) MENERIMA KONTRAK MEMASANG PIPE AIR
- KONTRAKTOR PAIP AIR

2) AYERPRO SDN. BHD.
(Wajarlah dasar atau akta di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pendaftar perniagaan dipinda kerana nama ini tidak mencerminkan identiti sebuah negara yang majoritinya bangsa Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, dan tertakluk kepada undang-undang kecil iklan.

MELASTIK KE BINTANG 11

Mereka yang berfikiran pesimistik melihat kepayahan dalam setiap peluang, manakala mereka yang optimis pula melihat peluang dalam setiap kepayahan.

SIR WINSTON CHURCHILL