Friday, January 29, 2010

BICARA KARYA SASTERA NEGERI MELAKA 2010

Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Unit Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru, Kampus Perempuan Melayu Melaka telah menganjurkan Bicara Karya Sastera Negeri Melaka 2010, bersempena dengan Anugerah Sastera Melaka 2010 pada 22 Januari 2010 yang lalu. Program yang dihadiri oleh pensyarah, guru pelatih dan peminat sastera negeri Melaka ini membicarakan tiga naskhah, iaitu "Haruskah Aku Berlari, "Simbiosis" dan "Meranduk Ranjau".

Saya telah diamanahkan untuk membicarakan karya Mohd Kasim Mahmud, penulis prolifik Johor yang berasal dari Merlimau, Melaka, iaitu "Meranduk Ranjau". Judul makalah atau kertas kerja yang saya bentangkan ialah "Unsur Feminisme dan Falsafah Nasionalisme dalam Meranduk Ranjau: Suatu Penerapan Teori Konseptual Kata Kunci".

Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada DBP KL (khasnya Encik Jusoh Majid), DBPWS (khasnya Tuan RAR), dan rakan-rakan pembentang, iaitu Tuan Haji Samsudin Othman (penyair romantis) dan Munsyi Mohamad Mursid (Munsyi Dewan yang tenang).

Saya beranggapan bahawa program pada kali ini telah mencapai tujuannya kerana dilaksanakan dengan begitu lancar. Tahniah kepada DBP dan DBPWS! Mudah-mudahan, karya yang dibicarakan akan dibaca dan dihayati oleh peminat-peminat sastera, khususnya di negeri Melaka.
Encik Ramly Abu, selaku pengerusi program berjaya mengendalikan program dengan baik sekali. Ketiga-tiga orang panel kelihatan bersedia untuk bertempur di gelanggang bicara.
"Cikgu Kasim, segan juga hendak membicarakan karya salah seorang sifu yang mengajar saya menulis cerpen!"
Ini bukan perbarisan lintas hormat Hari Kebangsaan! Saya sedang berbicara tentang kehebatan srikandi Melayu, iaitu Dang Bunga! Nasib baik saya tidak menjelma menjadi "mat bunga" di situ. Rambang mata jugak!

Memandang khalayak di sudut kanan agar penghayatan yang terjelma lebih mendalam!
Sesekali 'mengusik' Tuan Haji Samsudin, best jugak! Bukan mudah hendak 'mengusik' seorang pejuang bahasa yang kental dan cekal...
(p/s: Terima kasih RAR atas kiriman foto-foto di atas)

Monday, January 25, 2010

KEHEBATAN LAUNGAN AZAN

Saya telah menerima e-mel daripada seorang rakan, Cikgu Hamzah Hamdan (PPD Kulaijaya) dan bicara e-mel yang dihantarnya menyentuh jiwa saya. Terima kasih Cikgu Hamzah! Dengan izin daripada Allah SWT dan mudah-mudahan beliau memberikan keizinan, saya muatkan bicara tersebut di bawah untuk renungan dan penghayatan kita bersama-sama. Saya tidak menyunting tulisan ini untuk mengekalkan bentuk tulisannya yang asal. Yang paling penting, mudah-mudahan kita semua mendapat keberkatan apabila membaca tulisan ini, yang berbicara tentang azan. Allah Maha Besar!

ADAB MENDENGAR AZAN
Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui.Cuba kita mati. Mengapa kebanyakan orang yg nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa.. Lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya yang menahan kesakitan ' sakaratul maut' . Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud: 'Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya. '

Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan berkumandang . Sebagai orang beragama Islam kita wajib menghormati azan. Banyak fadhilatnya . Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri. Mengapa ketika azan kita tidak boleh mendiamkan diri? Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak . Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka Kita tidak dapat mengucap kalimah 'Lailahaillallah..' yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut Allah dgn izinNya menjanjikan syurga untuk mereka. Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut. 'Ya Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah 'Lailahaillallah. .'semasa sakaratul maut menghampiri kami.. Amin... amin.. amin Yarobbala'lamin. .'

Sesuatu yang tak pernah terjangkau dek akal fikiranku ini. Subhanallah. .. Ketahuilah bahawa pada setiap waktu, ribuan bilal di merata dunia akan melaungkan azan, mengakui 'Bahawa Allah Sahaja Yang Patut Disembah, dan Nabi Muhammad Adalah Rasul Allah.'Dimulakan dengan Indonesia yang terletak di bahagian timur dengan ratusan kepulauannya dan jumlah penduduknya seramai 180 juta.Sebaik masuk waktu subuh, azan mula berkumandang dari kawasan ini dengan ribuan bilal yang akan melaungkan keagungan Allah S.W.T dan Nabi Muhammad S.A.W.

Proses ini akan bergerak ke arah barat kepulauan Indonesia . Perbezaan masa antara timur dan barat Indonesia adalah 1-1/2 jam. Belum pun laungan azan di merata Indonesia selesai, ianya bermula pula di Malaysia.Berikutnya di Burma dan dalam masa satu jam selepas azan dilaungkan di Jakarta, tiba giliran Dacca di Bangladesh. Berikutnya laungan akan kedengaran di Calcutta dan terus ke Srinagar di barat India. Perbezaan waktu di kota-kota Pakistan adalah 40 minit jadi dalam jangka masa ini, azan akan berkumandang di seluruh Pakistan.Belum berakhir di-Pakistan, azan akan bermula pula di Afghanistan dan Muscat.Perbezaan waktu antara Muscat dan Baghdad adalah satu jam. Dalam jangka masa ini, Azan akan berterusan dilaungkan di UAE, Makkah, Madinah, Yaman , Kuwait dan Iraq. Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik. Jarak masa azan mula dilaungkan di Indonesia sehingga ke pantai timur Atlantik adalah 9-1/2 jam.Belum pun azan subuh berkumandang di pantai Timur Atlantik, Azan Zuhur kini sudah mula dilaungkan di Indonesia. Ini berterusan bagi setiap waktu sembahyang, tidak putus-putus.

Subhanallah, begitu hebat dan agungnya Islam! Kalaulah setiap kawasan boleh memasang pembesar suara (yang power habis!), akan bergegar satu dunia dengan laungan azan tidak putus-putus.Allahu Akhbar!

Kita boleh mengirimkan ribuan 'jokes' dan ' surat berantai' melalui e-mail tetapi bila mengirimkan yang berkaitan dengan ibadah seringkali berfikir 2 atau 3 kali......FIKIRKAN LAH, tepuk dada tanya iman.

Sunday, January 24, 2010

ISTILAH DALAM BAHASA MELAYU (ISTILAH KOMPUTER) - SIRI KEEMPAT


1. access - CAPAIAN
2. bench mark - TANDA ARAS
3. cursor - KURSOR
4. data base - PANGKALAN DATA
5. download - MUAT TURUN
6. end user - PENGGUNA AKHIR
7. font - FON
8. hardware - PERKAKASAN
9. integrated circuit - LITAR BERSEPADU
10. local area network - RANGKAIAN KAWASAN SETEMPAT
11. pause - JEDA
12. portal - PORTAL
13. real time - MASA NYATA
14. software - PERISIAN
15. sort - ISIH

Monday, January 18, 2010

PERANCANGAN KEWANGAN; BENARKAH HANYA ORANG KAYA PERLU MENGETAHUINYA?

Assalamualaikum.
Terima kasih atas sokongan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan, dorongan, dan perangsang kepada saya. Allah SWT jua yang akan membalasnya.

1. Kita sering melihat kehidupan orang kaya; sama ada di dunia realiti, mahupun di alam halusinasi. Alam halusinasi yang realiti ialah di kaca TV apabila menonton drama Melayu.Sebab itulah, saya tidak mahu terus dibayangi halusinasi realiti dengan membuat keputusan untuk tidak menonton drama Melayu!
2. Kehidupan orang kaya secara ringkas begini; menaiki kereta BMW atau Mercedez, tinggal di banglo tiga empat lantai (issyy...lantai pulak, tingkat!- RAR tersenyum nampak). Mereka menguruskan perniagaan bernilai jutaan dan bilion ringgit. Gaya mereka hebat, pakaian mahal dan perabot dari Itali menghiasai rumah. Pakai baju tidur yang berkilat sedangkan kita pakai kain pelekat. Mereka kaya-raya dan wang bertimbun. Kita bertimbun hutang. Hutang kereta yang tak selesai-selesai, hutang rumah sampai pencen baru habis, hutang kad kredit, hutang insurans, bil telefon, bil TNB, bil SAJ, dan sebagainya yang sekiranya diletakkan tempat kosong untuk diisi (fill in the blank), maka cikgu kita kena pakai pembaris kayu yang panjang di kelas untuk buat tempat kosong!
3. Kita terfikir bahawa mereka (orang kaya) ditakdirkan begitu oleh Tuhan untuk mengecap kemewahan dan kesenangan. Bukankah kekayaan tidak dibawa ke kubur, tuan munsyi? Ya, benar. Jadi, saya perlu meletakkan noktah sekiranya ayat sebegitu sering kita ucapkan, untuk menyedapkan hati kita. Benar, kekayaan tidak akan bersama-sama kita ke kubur, tetapi jika David Arumugam pun pernah berkata'andainya aku pergi dulu', apa yang akan terjadi kepada waris kita jika 'aku' dalam lagu itu ialah saya atau anda? Telah banyak kali saya tegaskan bahawa Islam memerlukan umatnya kaya takwa, kaya budi bahasa, kaya kasih sayang, dan kaya sifat zuhud dan tawaduk. Tetapi, Islam tidak pernah menghalang umatnya kaya harta, kaya rumah, kaya wang ringgit, dan kaya kereta. Jikalau demikian, tidak ada sebarang halangan untuk kita mencari kekayaan harta selagi kita terus menjadi kaya takwa dan kaya zuhud. Oleh sebab saya bukan Ismail Kamus atau Ustaz Fauzi, Al'Kulliyah TV3, saya akan berfokus pada kaya harta. Ya, kaya wang ringgit yang menjadi 'nyawa' kehidupan manusia masa ini. Tanpanya, kita tidak dapat bayar bil TNB dan bil SAJ. Ke tempat kerja naik teksi atau tumpang kawan. Ya, tanpa wang, hidup ini telah kita sesiakan kerana kita tidak mampu menjadi ketua keluarga yang baik, suami atau isteri yang baik, anak yang baik, dan kawan yang baik. Mungkin juga bukan umat yang baik, kerana kita telah menafikan suatu nikmat Allah SWT untuk menikmati kehidupan yang lebih bermakna. Saudara boleh bersetuju atau tidak bersetuju dalam hal ini kerana saya tidak pernah menyatakan bahawa sesiapa pun tersalah atau bersalah.
4. Saya mengaitkan kehidupan orang kaya di atas kerana banyak orang (bukan tuan-tuan) yang beranggapan bahawa orang kaya lebih berhak untuk menguasai bidang kewangan dan segalanya tentang pengurusannya. Orang sederhana dan orang miskin tidak perlu bersusah payah untuk mempelajarinyakerana perkataan 'kaya' menggerunkan mereka. Bukankah kita perlu kaya budi bahasa, tuan munsyi? Balik-balik itu juga yang kita jadikan ayat penyedap halwa telinga dan halwa maskat!
5. Orang kaya perlu belajar dan menguasai aspek kewangan kerana mereka perlu mengetahui kaedah, cara dan sistem yang baik untuk menguruskan wang mereka yang bertimbun-timbun itu.Orang sederhana dan orang miskin tidak perlu belajar tentangnya kerana mereka tidak ada wang bertimbun atau harta berlonggok. Terus terang saya katakan bahawa pandangan sebegini akan menyebabkan orang kaya akan bertambah kaya dan orang miskin akan terus-menerus miskin. Jika terjadi begini,orang tidak kaya akan bertambah gulana, menyalahkan orang kaya kerana merebut harta orang lain tanpa memikirkan kehidupan orang tidak kaya. Mungkin betul premis ini, jika dilihat dengan mata kasar, tetapi saya tidak yakin premis ini benar dalam semua keadaan dan lazimnya, tidak begitu terjadi demikian. Melalui Yayasan Gates, Bill Gates merupakan penyumbang terbesar kepada negara yang miskin dan porak-peranda. Mengapa, sebab dia kaya dan dia mampu, malahan mungkin dia bersifat dermawan dan berhati baik.
6. Jadi, saya ingin mengatakan bahawa aspek perancangan kewangan bukan suatu pilihan, melainkan suatu kewajipan yang perlu dipelajari dan dikuasai, lebih-lebih lagi kepada orang yang sederhana dan kurang berkemampuan.
7. Ya, bukan suatu pilihan, membawa maksud aspek ini menjadi sangat penting untuk kita pelajari dan kuasai, bukan untuk sesiapa, melainkan untuk kita dan keluarga kita.
8. Memang benar, aspek ini bukanlah perkara yang paling penting dalam hidup kita. Malah, tidak sepatutnya tidak menjadi yang kedua atau yang ketiga pentingnya. Namun begitu, aspek ini penting kerana pada zaman ini, kewujudan kita bergantung padanya. Ya, sangat bergantung.
9. Untuk terus maju jaya, kita perlu menguruskan aspek perancangan kewangan dengan baik dan wajar.Bukan hanya perlu dibuat apabila kita sudah sampai tahap untuk bersara. Juga bukan pada ketika kita sedang dilanda masalah kewangan, ataupun sedang berkira-kira untuk memiliki kereta baru, rumah baru, atau isteri baru! Kita perlu belajar tentangnya, sekarang. Lebih awal, lebih baik. Lebih lewat, tidak mustahil kita akan semakin jauh ketinggalan daripada orang lain.
10. Ironinya, kita lebih gemar memberikan perhatian yang secukupnya tentang hal yang lain; misalnyapencapaian kita, minat dan hobi kita, dan kesihatan serta ketampanan kita. Ya, tuan-tuan tampan seperti saya juga! He..he..gurau aje. Tak kan tak boleh, kot?
11. Aspek ini dianggap seperti tabu atau pantang larang yang jangan dibicarakan atau dipersoalkan.Tetapi, kita lebih banyak bercakap soal artis, sukan, dan politik. Memang benar, inilah rencah yang akan menggembirakan hati kita bersama-sama rakan sambil 'mengeteh' tetapi saya percaya soal wang jauh lebihpenting daripada itu. Mungkin sesekali berbicara soal yang lain dapat melarikan diri kita daripada permasalahan di tempat kerja atau di rumah, namun berbicara tentang pengurusan wang seperti cara untuk menambahkan pendapatan, saya percaya lebih berfaedah. Dengan memiliki wang yang banyak, perbualan kita tentang artis, sukan, dan politik akan menjadi lebih menarik! Betul tak? Terima kasih kerana tidak bersetuju dengan saya.
12. Banyak orang yang tidak mahu berbicara soal kewangan kerana menurut mereka, hal ini menjadi sangat peribadi dan perbincangan tentangnya akan lebih memperlihatkan kejahilan mereka tentang subjek ini. Sekali lagi, saya tidak bersetuju kerana dengan berbuat demikian, kita telah menolak untuk mempelajari sesuatu yang baru, dan tidak mustahil, sesuatu yang sangat mengujakan! Ya, tuan-tuan, saya boleh diajak berbual tentang hal ini hingga kedai mamak tutup, walaupun kedai mamak tidak akan tutup kerana beroperasi 24 jam. Ada restoran di Parit Jawa yang dibuka 25 jam! Hairan bin ajaib! Mungkin pemiliknya tak lulus Matematik masa SRP dulu. Tak dapat naik Tingkatan 4. Nak return, malu kat member pulak!
13. Akhir sekali, saya ingin menurunkan satu fakta yang benar (ya, fakta memang benar!).Sebanyak 9.8 juta pencarum KWSP yang mewakili 96%, memiliki kurang daripada RM100 000.00 dalam akaun mereka apabila mereka bersara kelak. (Dapatan pada Disember 2002). Persoalannya, cukupkah wang sebanyak itu untuk menyara mereka dan keluarga mereka selepas mereka bersara nanti? Jika mereka berbelanja sebanyak RM1000.00 sebulan, maka wang sebanyak itu akan lesap dan ghaib selepas 4 tahun sahaja. Maka, jika dia bersara pada umur 58 tahun, pada umur 62 tahun, dia terpaksa bekerja semula! Ada yang bekerja semula kerana minat dan bosan tinggal dengan tidak berbuat apa-apa di rumah, tetapi banyak yang bekerja semula kerana bosan tidak ada wang!
14. Yang terakhir, eh belum habis lagi! Tuan-tuan, mudah-mudahan saya dan tuan-tuan dapat mempelajari sesuatu daripada entri ini. Jika terdapat kesalahan fakta dan pandangan, izinkan saya memohon maaf kerana saya masih belajar tentang subjek ini. (p/s: Tuan Samsudin @ MyBabah jauh lebih arif dan berpengalaman, saya percaya!). Hidup hanya bergantung pada kasih sayang dan kerukunan rumah tangga sahaja, pada masa ini, tidak menjanjikan kebahagiaan lagi! Data daripada pejabat agama mungkin boleh membuktikan hakikat ini kerana peningkatan jumlah suami isteri yang bercerai banyak disebabkan soal kewangan! Oleh itu, kita haruslah sedar bahawa, akhirnya, wang juga diambil kira! Tak percaya,cuba berhenti kerja dan pastikan anda tidak memperoleh sebarang pendapatan selama lima bulan, saya tidak menolak kemungkinan bahawa anda sedang memilih jalan yang sengsara! Allah Maha Kaya. Kepada-Nya, kita memohon kekayaan dunia dan kekayaan akhirat.

Saturday, January 16, 2010

KEMBALI

1. Salam sejahtera kepada semua rakan seperjuangan dan rakan di alam maya ini. Saya perlu berterima kasih kepada rakan-rakan yang menghantar sistem mesej singkat (SMS) yang bertanyakan blog WITRA ini telah agak lama tidak dimuatkan sebarang entri terkini. Saya perlu memohon maaf atas keadaan ini.
2. Entah mengapa, saya tidak ada 'perasaan' dan keinginan untuk mencatat biarpun hanya sebaris ayat sejak dua minggu yang lalu. Ujian Allah SWT saya reda, malah amat berterima kasih kepada Allah SWT kerana mengizinkan saya bermuhasabah ketika berhadapan dengan hati rusuh dan jiwa tanpa tenteram akhir-akhir ini.
3. Saya tidak mampu mendalami rahsia Allah SWT yang Maha Luas dan Maha Kaya itu. Fikiran saya terganggu dengan pelbagai celaru, keliru, dan kemelut yang menghentak ketibaan tahun 2010 ini. Rasa-rasanya, saya tidak wajar untuk menyenaraikan kekusutan ini kerana saya tidak begitu pasti secara jelas dan nyata sebab kecelaruan ini menghukum.
4. Namun, dengan secebis kekuatan yang dikumpulkan secara naluri, saya harus bersikap rasional untuk terus mendepani hari mendatang dengan kekuatan dan semangat yang makin menumpul.
5. Setiap yang berlaku itu tersirat hikmahnya, dan pastinya saya akan cuba untuk mendepaninya dengan kekuatan yang mudah-mudahan akan muncul dari pelbagai arah dan sumber. Kerana, 'HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK MENJADI ORANG BIASA".
6. Terima kasih Tuhan!

Wednesday, January 06, 2010

ISTILAH DALAM BAHASA MELAYU: SIRI KETIGA

Salah satu persoalan yang sering ditimbulkan oleh pengguna bahasa ialah kesukaran untuk memperoleh terjemahan yang betul (seperti yang digariskan oleh DBP) bagi istilah/perkataan dalam bahasa Inggeris. Oleh sebab persoalan tersebut wajar diberi perhatian, maka WITRA akan cuba membantu setakat yang terdaya atas kesedaran untuk membantu DBP untuk mengembangkan bahasa Melayu. Apatah lagi, siri sebelumnya turut mendapat perhatian dalam ruangan Mewah Bahasa, Berita Harian. Kita mulakan dengan serangkap pantun...

Besi waja dikimpal dipateri,
Patah pula di bahagian hujung;
Siri Ketiga pengisi entri;
Moga bermanfaat untuk pengunjung.
Jikalau dalam bahasa Inggeris, PENTHOUSE, dalam bahasa Melayu cukup indah, iaitu MEGAPURI.

BAHASA INGGERIS - BAHASA MELAYU
1 Fitting room - Bilik acu
2 Facial scrub - Penyental muka
3 Flat - Rumah pangsa
4 Front office - Pejabat depan
5 Hillside mansions - Puri lereng bukit
6 Home education - Didikan rumah
7 Home entertainment - Hiburan rumah
8 Homepage - Laman
9 Home theatre set - Set pawagam rumah
10 Homestay - Pelancongan desa
11 Homestead - Teratak desa
12 Hypermarket - Pasar raya besar
13 Information literacy - Celik maklumat
14 Intelligent building - Bangunan pintar
15 Kiosk - Kios;pondok
16 Lounge - Peristirahatan
17 Motorcross - Lumba kereta lasak
18 Net addict - Gila Internet
19 Nugget - Nuget
20 Paperless government - Kerajaan tanpa kertas
21 Park and ride - Letak dan naik
22 Parkview - Hadap taman;hala taman
23 Penthouse - Megapuri
24 Pre-paid ticket - Tiket prabayar
25 Resort - Peranginan;persantaian
26 Resort apartment - Pangsapuri peranginan
27 Risk management - Pengurusan risiko
28 Roadshow - Jerayawara
29 Server - Pelayan
30 Shop and pay - Beli dan bayar

SUFFERCATION: SUATU PENYEKSAAN II

Selamat Tahun Baharu 2010!
Pertama sekali, saya mohon maaf kerana sudah seminggu tidak memuatkan sebarang entri lantaran masalah modem jalur lebar yang dikebas orang (RAR ada memuatkan hal ini dalam blognya). Insya-Allah, saya reda dan percaya, itulah salah satu dugaan Allah kepada hamba-Nya. Dengan kembalinya entri ini, bermakna modem baru telah dimiliki dan blog WITRA akan kembali mencatatkan 'sesuatu' untuk pengunjung yang budiman.
Malam ini, tidak ada bahan yang ilmiah untuk dikongsi. Hanya ada beberapa keping foto yang berkaitan dengan band Suffercation, band death metal yang mantap. Sengaja dimuatkan untuk 'try' keupayaan modem baru ni. Santai aje...bro! Antara keratan akhbar yang berkaitan dengan Suffercation.
Keratan akhbar lagi!

Konsert Suffercation ketika acara pembukaan pelancaran album Cromok.
Keratan akhbar yang 'otai'...
Salah seorang peminat tersendiri Suffercation ialah Azhar Salleh. Mohon maaf jikalau ada yang tidak gemar akan entri sebegini. Hanya untuk santai...itu sahaja. Jikalau diperhatikan lirik lagu Suffercation, banyak yang berkisar tentang kehidupan selepas kematian dan yang agak ketara, tentang 'kepincangan dan kejahatan manusia di muka bumi'. Semoga 2010 menjanjikan kebahagian dan ketenangan kepada kita semua.