Friday, December 07, 2012

November Rain...

Bulan November dan Disember 2012 ~ Terlalu banyak peristiwa yang berlaku. Yang memberikan kesan yang sangat mendalam dalam kehidupan ini. Suka duka. Dan yang paling banyak menghimpit, aku terus didesak untuk berfikiran positif dalam kekalutan yang menimpa.

Saturday, November 24, 2012

INSURANS: PERLUKAH SEMUA ORANG MEMILIKINYA

Banyak orang yang bertanya dan berbual-bual dengan saya tentang insurans. Saya mengatakan bahawa tidak semua orang yang memerlukan insurans. Sebagai contoh, saya tidak mencarum dalam insurans pendidikan untuk anak-anak saya kerana pada pandangan saya, insurans itu tidak perlu untuk mereka. Kepada beberapa orang guru di sekolah saya yang masih bujang, saya mengatakan bahawa mereka juga sebenarnya tidak begitu memerlukan insurans. Insurans akan menjadi penting kepada mereka yang sekiranya berlaku sesuatu yang buruk kepada mereka, ada orang yang akan menanggung kesusahan akibat daripada keadaan itu. Saya memerlukan insurans kerana jika berlaku sesuatu kepada saya, apakah yang terjadi kepada isteri dan anak-anak saya?

Tuesday, September 25, 2012


WATIKAH IKHLAS UNTUK BANGSA

       Anak kecil itu tidak betah lagi
untuk bermain api yang makin menyala
dari sumbu kekhilafan yang dimarakkan
jelaga yang mengaburkan kebenaran silam
betapa bangsa ini kabur untuk ditafsirkan
akan pendirian yang tersimpang keberanian
menjunjung mengkhabarkan lembar leluhur
dilayukan oleh sejarah yang akhirnya akan
meninggalkan kita di persemadian yang nyata.

       Bukan detiknya untuk menagih jawapan
hakikat tentang siapakah pemilik tanah ini
air mata itu menginsafi sekujur prasangka
makin menebal dan mengkaratkan jiwa
meski lidah dan telinga yang setia
masih mendengar retorik bicara yang sama.

Telah lama kita menghimpun lara
telah keruh batin resah di sumur sejarah
bagaikan keris yang tersisip di dinding tua
tidak dilangir oleh bara dan semangat iktibar
di gelanggang yang diujakan hujah dan debar
pendekar bangsa masih kejur bungkam tersandar.

Mungkinkah anak kecil itu akan bertanya nanti
tentang makna penyatuan bangsa dan jati diri
dia masih tidak mengerti untuk menyimpul rapi
betapa bangsanya sering rela dan reda memberi
tanpa pernah untuk mempersoalkan kembali
tentang maruah dan sekelumit harga diri.

       Azhar Salleh
PPJ Johor Bahru.

 

Friday, September 21, 2012

MELAYU MASIH TIDAK SEDAR...

Aku perhatikan akhir-akhir ini percakaran sesama bangsa Melayu bagaikan pasti tidak ada kesudahannya. Pemikiran bangsa Melayu masih berada di takuk lama. Mereka lebih mementingkan sesuatu yang tidak penting berbanding dengan perkara lain yang lebih penting. Mereka suka untuk berforum, berseminar, dan akhirnya segala resolusi itu terbiar...dan kemudian meneruskan usaha untuk bercakaran lagi...dan lagi...dan aku sedar bahawa aku juga seorang Melayu..!

Monday, September 17, 2012

DERITA BANGSA

SIAPA YANG TIDAK MAHU KAYA?
OLEH SEBAB ITU, AMBILLAH NASIHAT BELIAU KERANA BELIAU TELAH TERBUKTI BERUSAHA DENGAN GIGIH DAN KINI MENJADI KAYA-RAYA.
KEKAYAANNYA MENYEBABKAN TERLALU AMAT BANYAK GOLONGAN MANUSIA YANG MENDAPAT MANFAATNYA.
INSYA-ALLAH.

DERITA BANGSA

Aku melihat bangsaku makin derita
kerana terlalu mengejar warna pelangi
yang sentiasa berada di atas kepala orang lain.

Wednesday, September 05, 2012

PENGALAMAN GETIR...

Kita harus melalui beberapa banyak pengalaman getir untuk mencapai tahap yang terbaik dalam kehidupan. Kita tidak seharusnya melihat masalah itu sebagai kekangan untuk mencapai kejayaan. Sebaliknya, anggaplah masalah itu sebagai suatu peluang untuk menguji keupayaan diri. Tanpa masalah, kita tidak akan mengetahui sejauh mana kekuatan kita untuk mendepani segala kesulitan. Bintang yang terang di langit disebabkan oleh langit itu berwarna gelap. Jika pada waktu siang, kita tidak mampu melihat bintang walaupun bintang itu tidak berganjak ke mana-mana pun. Bintang itu tetap berada di situ, namun cahayanya pudar kerana tidak dibantu oleh pengalaman getir...

Tuesday, April 24, 2012

PELAYARAN

Dalam pelayaran ini
kita harus menerima hakikat
pasrah impian seksa
kerana dari kaca mata
kita sendiri dalam kembara
itulah janji Ilahi
yang kita sangka grafiti....

Wednesday, April 18, 2012

TELEGRAM PANJANG UNTUK MEREKA YANG MENENTANG

Janganlah kita berbangga dengan penentangan
kerana itulah suatu penderhakaan
sedangkan sekiranya kita berada di situ
belum tentu kita tidak ditentang.

Janganlah mengatakan sesuatu ketidakpuashatian
kerana belum tentu jika kita di situ
mampu memuaskan hati semua pihak
semua rakyat semua jelata.

Fikirlah
dengan mata yang terbuka
dengan rasa yang saksama
kerana kita semua dilahirkan
sebagai manusia.

Saturday, April 14, 2012

MENETAPKAN MATLAMAT

Dalam hidup ini, kita mestilah menetapkan matlamat yang jelas dan mudah untuk dicapai. Kiranya kita meletakkan suatu matlamat yang kabur dan sukar dicapai, akhirnya, percayalah, matlamat tersebut tidak akan tercapai.

Sebagai contoh, jika kita berhasrat hendak membaca sebanyak 50 buah buku setahun, itu matlamat yang jelas. Jikalau kita mengatakan matlamat untuk banyak membaca pada tahun ini, itu kabur.

Contoh lain, jika kita menetapkan matlamat untuk mengumpulkan wang yang banyak pada tahun ini, saya percaya kita tidak akan mencapainya dengan kadar yang membanggakan. Lebih baik kita mengatakan bahawa jumlah terkumpul tabungan atau simpanan kita ialah RM30 ribu pada tahun ini, maka itu matlamat yang jelas. Pastikan matlamat yang disasarkan itu jelas dan mudah untuk dicapai.

Jika tidak, kita akan menjadi Pak Pandir, Mat Jenin, dan Pak Kaduk atau Lebai Malang....

Thursday, April 12, 2012

MUSIBAH DAN IKTIBAR

Alhamdulillah..dengan rahmat dan izin-Nya, satu musibah yang melanda keluarga saya telah selesai hari ini. Ya, semua orang melakukan kesilapan dan kesalahan. Mudah-mudahan segalanya akan menjadi suatu pengajaran yang paling baik.

Iktibarnya di sini ialah:
Langit pada waktu malam tidak begitu dihargai kerana kegelapannya, namun dengan kegelapan itulah, bintang-bintang kelihatan lebih bercahaya dan bersinar...

Jatuh di tempat yang sama atas sebab yang serupa memperlihatkan ketidakbijaksanaan seseorang....

Monday, April 09, 2012

UCAPKANLAH TERIMA KASIH SETIAP HARI

Sekarang saya sedang menelaah buku Make Today Count tulisan John C. Maxwell (antara penulis yang saya kagumi). Beliau menyatakan bahawa Amy Vanderbilt menyarankan kita agar:
Belajar untuk berterima kasih. Apabila kita melakukannya, kita belajar supaya tidak memfokuskan pada perkara-perkara buruk, tetapi perkara-perkara baik dalam kehidupan kita.

Insya-Allah, saranan ini teramat baik untuk saya dan barangkali untuk semua orang. Jadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa hidup dalam diri saya. Terima kasih banyak-banyak.

Friday, April 06, 2012

HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK MENJADI ORANG BIASA

Falsafah hidup saya mudah;
HIDUP INI TERLALU SINGKAT UNTUK MENJADI ORANG BIASA

Saya percaya, malahan sangat percaya bahawa kita tidak sepatutnya membazirkan masa untuk melakukan hal yang tidak memberikan manfaat. Mungkin kita terfikir bahawa kehidupan ini penuh santai, penuh hiburan, dan kita perlu menikmatinya.

Betul, saya bersetuju, namun hidup ini terlalu singkat untuk menjadi orang biasa; yang melakukan hal yang biasa dilakukan oleh orang biasa, dan seharusnya kita melakukan sesuatu yang menghiburkan, yang santai, tetapi yang mendatangkan manfaat. Sesekali mungkin tidak mengapa, namun sekiranya kita sentiasa percaya bahawa kehidupan dalam zon selesa memberikan kepuasan, teruskan...

Saya tetap berpegang teguh pada manfaat daripada apa-apa yang saya lakukan...

Wednesday, April 04, 2012

...MEREKA AGAMAWAN

Kadang-kadang, saya menjadi hairan dan pelik. Sepatutnya orang yang memiliki agama yang baik dapat menterjemahkan sikap dan sifat yang baik dalam dirinya. Tetapi berdasarkan pengalaman saya, golongan ini lebih condong ke arah sifat yang negatif.

Sebab itulah saya sukar untuk bergaul dengan golongan seperti ini. Tidak salah rasanya...

Monday, April 02, 2012

RAKAN YANG PERASAN...

Ada rakan yang sentiasa percaya bahawa dia perlu menonjolkan dirinya agar orang tahu dirinya siapa; dengan tujuan untuk bersikap riak tanpa kelihatan.

Orang ini sentiasa bercakap tentang dirinya. Bersikap egosentrik tanpa rasional yang kukuh. Saya tidak dapat menerima orang seperti ini sebagai orang yang berilmu.

Friday, March 23, 2012

BACALAH BUKU, GALILAH ILMU, DAN UBAHLAH NASIB...

Sekiranya kita tidak ada idea untuk mengubah nasib diri ke arah puncak kejayaan, kekayaan, dan kebahagiaan), saya sarankan kita membaca buku tentang hal ini. Banyak buku yang ditulis tentang motivasi kejayaan dan kekayaan. Sebagai contoh yang paling baik (menurut perkiraan saya, buku tulisan Azizi Ali dan Robert T. Kiyosaki) merupakan buku yang wajib dibaca.

Mengapakah saya menyarankan hal ini?
Sudah pasti mereka menulis buku tersebut berdasarkan pembacaan, pengalaman, dan pengetahuan mereka. Jadi, kita tidak perlu bersusah payah mencipta idea untuk merobah nasib kita. Ambillah sahaja idea mereka. Praktikkan setakat yang terdaya. Azizi Ali, sebagai contohnya, membaca lebih daripada 600 buah buku kewangan sebelum menulis buku pertamanya, Jutawan Dari Planet Jupiter. Beliau membaca 600 buah buku untuk menulis sebuah buku.

Apakah iktibarnya?
Ya, kita mendapat ilmu 600 buah buku dengan membaca sebuah buku...!

Monday, March 05, 2012

...ZON SELESA

Salah satu cara untuk menambahkan pendapatan kita ialah melakukan kerja sampingan yang mendatangkan pulangan yang baik. Kita perlu mengorbankan sedikit/banyak masa untuk melakukannya. Dalam hal ini, mesti ada kos melepas atau sesuatu yang tidak mungkin dapat kita lakukan untuk memenuhi kehendak semua orang. Namun begitu, lebih banyak orang yang memilih untuk hidup dalam lingkungan zon selesa. Hidup ini sebenarnya terlalu singkat untuk menjadi orang biasa...

Saturday, February 25, 2012

BACALAH BUKU KEWANGAN UNTUK HIDUP SENANG

Saya mula membaca buku kewangan peribadi sejak empat atau lima tahun yang lalu. Daripadanya saya memperoleh pelbagai manfaat. Antara yang terpenting ialah saya dapat menguruskan wang saya dengan lebih cekap dan bersistem, berbanding sebelum itu. Saya mula bergiat cergas dan sangat aktif untuk mencari wang tambahan. Wang yang saya peroleh saya gunakan untuk pelbagai tujuan, termasuklah untuk mencari kesenangan dan pelaburan jangka panjang. Saya bersyukur kerana memiliki sedikit pengetahuan tentangnya...dan saya tidak akan berhenti untuk mencari ilmu tentangnya.

Thursday, February 23, 2012

CENDEKIA YANG SYOK SENDIRI

Bahasa Melayu perlu diperjuangkan dengan tindakan. Tidak memadai perjuangan bahasa hanya melalui cakap yang berdegar-degar. Ada orang yang selalu bersikap 'syok sendiri' tetapi apabila diberi peluang untuk melontarkan semangat bahasanya, sentiasa berkias dan berlapik. Golongan ini golongan yang PENGECUT...! Tetapi dalam masa yang sama, sentiasa mengharapkan ada orang yang akan memujinya sebagai PEJUANG BAHASA..! Golongan ini lebih baik digelar PENGECUT BAHASA...!

Sunday, January 29, 2012

ALAHAI BANGSA MELAYU....

...aku melihat bangsa Melayu tidak pernah sedar bahawa mereka semakin tertinggal jauh dalam aspek yang penting seperti ekonomi dan pendidikan...balik2 soal politik murahan yang nak ditunjuklagakkan...berapi-api kalau bercakap ttg anwar ibrahim, tentang rosmah mansor...tentang kebaikan parti A dan keburukan parti B...tapi diri sendiri, haprak pun tak dak...kesian kat bangsa aku...!

Monday, January 16, 2012

PUISI DUA BARIS UNTUK BANGSA

Bangsa ini tidak pernah mahu melangkah
asyik diulit keagungan sejarah...

Monday, January 09, 2012

FALSAFAH....

Salah satu cara untuk menyiapkan banyak kerja ialah menyiapkan satu kerja dalam satu masa...

Wednesday, January 04, 2012

PEPATAH CINA TENTANG BAHASA

PEPATAH CINA
Kalau sesuatu bangsa menghina bahasanya sendiri, tunggulah penghinaan itu dari seluruh dunia...