Tuesday, June 30, 2009

BICARA: MELASTIK KE BINTANG 4

Lelaki yang tidak kacak dalam usianya 20 tahun, tidak kuat dalam usianya 30 tahun, tidak kaya dalam usia 40 tahun, dan tidak arif dalam usia 50 tahun, maka sampai bila-bila pun tidak akan kacak, tidak kuat, tidak kaya, dan tidak akan arif.

PERIBAHASA 4000 ALAM MUTIARA KATA

Monday, June 29, 2009

BAHASA: PEDALAMAN DAN PENDALAMAN

Saya muatkan maksud "pedalaman" dan "pendalaman" yang saya kutip daripada Kamus Dewan, bersempena dengan Kembara Mahkota Johor yang akan bermula 4 Julai 2009 ini. Kembara Mahkota Johor pada kali ini menggunakan tema "Jelajah Pedalaman".


Untuk makluman, ketika saya menghadiri mesyuarat di DBP Wilayah Selatan pada 3 Jun 2009 yang lalu tentang pertandingan Sahibba, saya telah diminta untuk memberikan penjelasan kepada pegawai undang-undang negeri Johor tentang ketepatan penggunaan perkataan "pedalaman" ini. Beliau telah menghubungi DBP Wilayah Selatan melalui telefon dan bertanyakan kemusykilan ini.


Menurut beliau, Tengku Mahkota, asalnya mahu menggunakan perkataan "pendalaman". Setelah saya menghuraikan makna "pedalaman" dan "pendalaman", beliau menyatakan bahawa perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat seterusnya. Dan, alhamdulillah, perkataan "pedalaman" yang digunakan akhirnya. Saya tidak dapat membayangkan sekiranya tema program tersebut ialah "Jelajah Pendalaman" kerana perkataan tersebut salah dari segi makna yang ingin disampaikan.


Usaha beliau untuk mendapatkan kepastian daripada pihak DBP Wilayah Selatan amat disanjung tinggi dan sekiranya sikap ini dicontohi oleh semua kakitangan kerajaan dan swasta, insya-Allah, mutu dan taraf bahasa Melayu akan meningkat dari masa ke masa. Saya percaya bahawa DBP Wilayah Selatan sentiasa bersemangat dan komited untuk membantu semua pihak ke arah penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat. Tahniah kepada pihak DBPWS dan syabas kepada Kerajaan Negeri Johor!

pedalaman
daerah yg jauh dr pantai (yg terletak di ceruk pelosok atau di hulu negeri), hulu:
dia menjadi orang yg paling berpengaruh di daerah pedalaman;
penjahat-penjahat sedang bersembunyi di daerah pedalaman;
pendalaman
perihal mendalamkan, tindakan (proses dll) mendalamkan.
SUMBER: KAMUS DEWAN DBP

PERISTIWA: PERTANDINGAN SAHIBBA PERINGKAT NEGERI JOHOR 2009



Pertandingan Sahibba peringkat negeri Johor telah berjaya dilangsungkan di Hotel Selesa pada 27 Jun 2009. Tahniah kepada pihak DBP Wilayah Selatan dan JPN Johor atas penganjuran ini.
Saya telah diamanahkan untuk bertugas sebagai Juri dalam pertandingan ini. Terima kasih kepasa semua pihak kerana telah menjayakan pertandingan ini. Diharapkan pertandingan Sahibba ini akan terus diadakan pada masa akan datang, sebagai suatu usaha ke arah pemartabatan bahasa Melayu.
(catatan: Foto-foto di atas diambil daripada portal Puan Zanariah Abdol, Juri Sahibba Negeri Johor)

CERAMAH: SK BANDAR BARU UDA 2

Teknik Menjawab Soalan Bahasa Melayu UPSR
Tarikh: 25 Jun 2009
Semoga murid-murid SK Bandar Baru UDA 2 akan terus melakar kegemilangan sebagai sekolah kluster terbaik dalam pencapaian UPSR. Terima kasih kepada pihak guru yang sudi mengundang saya.

Thursday, June 25, 2009

TATABAHASA: MEMBERI DAN MEMBERIKAN

memberi
1. menyampaikan (sesuatu) kpd seseorang (utk disimpan, digunakan atau utk sesuatu keperluan):
kerani itu ~ saya dua helai borang kosong utk diisi; dia ~ adiknya sebuah buku cerita;
2. bp tidak menghalang seseorang melakukan sesuatu, membenarkan, mengizinkan, merelakan: saya tidak diberinya masuk;
3. mengakibatkan, menyebabkan, menjadikan: ~ malu; ~ bercat;
4. menunjukkan, membuka: ~ jalan;
5. = ~ bahagian bp memukul: awas kau, nanti aku beri;
6. kenyal, menganjal: tanah liat yg lembut, ~ dan menganjal;

memberikan
1. menyerahkan sesuatu kpd: ada orang yg sudi ~ sesuap nasi kepadanya;
2. melakukan sesuatu utk (faedah) orang lain: ~ pelajaran; ~ pertolongan; ~ layanan yg istimewa;
3. menyatakan sesuatu kpd orang lain spt yg diperlukan atau dikehendaki: ~ taklimat fatwa;
4. mendatangkan, menghasilkan: makanan yg ~ tenaga; ~ kesan;

Sumber: Kamus Dewan DBP

KEWANGAN: URUS WANG ANDA

PELAN PERBELANJAAN BANTU URUS WANG
AZLI AYOB
(Sumber: BERITA HARIAN)

MELANGKAH ke alam pekerjaan adalah titik permulaan bagi anda untuk mula mendalami aspek pengurusan kewangan. Sebagai individu yang baru bekerja, anda tentunya ingin mengetahui apakah kaedah bayaran alternatif yang menyenangkan yang boleh digunakan untuk pembelian sebagai ganti kepada kaedah membayar secara tunai.


Jika pendapatan tahunan anda melebihi RM18,000, anda boleh memohon kad bayaran termasuk kad kredit. Bandingkan kad yang ditawarkan, dan yang lebih penting, ketahui bagaimana untuk mengurus penggunaan kad itu kerana penggunaan yang tidak terkawal boleh membawa bebanan kewangan. Jika anda ingin membeli rumah atau kereta sendiri pula, terdapat pelbagai pinjaman perumahan dan sewa-beli kenderaan yang boleh membiaya pembelian itu yang ditawarkan oleh pelbagai institusi perbankan. Bagaimanapun, ada baiknya anda membuat perbandingan produk yang ditawarkan itu. Lihat perbezaan harga dan ciri-ciri pinjaman.

Anda juga harus ingat, dengan pembelian rumah atau kenderaan, anda juga perlu mendapatkan perlindungan insurans untuk rumah, kenderaan atau pinjaman anda. Satu lagi aspek yang perlu diambil kira sebagai individu bekerja adalah untuk mengambil tahu perkara mengenai insurans perubatan dan kesihatan serta insurans berkaitan pelaburan supaya anda dilindungi sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku. Ketepikan sejumlah wang untuk kecemasan dan perbelanjaan bermusim seperti membayar cukai jalan, pembaharuan insurans dan lain-lain.

Sekiranya anda tidak mempunyai lebihan wang untuk disimpan, anda mungkin perlu menyemak semula tabiat berbelanja anda dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak diperlukan.Namun, langkah pertama yang perlu dilakukan sebaik mula melangkah ke alam pekerjaan adalah merancang perbelanjaan bulanan. Merancang perbelanjaan adalah langkah pengurusan kewangan yang bijak tidak kira sama ada gaji anda bergaji besar atau kecil bagi tujuan mencapai matlamat kewangan iaitu sama ada bagi membeli kereta, rumah, pergi melancong, mendirikan rumah tangga atau bagi tujuan persaraan.

Antara kesilapan yang sering dilakukan kebanyakan daripada kita adalah terlalu banyak berhutang, lambat membayar bil dan tidak menyimpan wang untuk kegunaan masa depan. Namun, anda sebenarnya boleh mengelak daripada melakukan kesilapan sebegini dengan mengawasi tabiat berbelanja anda.

Selepas anda menentukan matlamat kewangan yang ingin dicapai, mulakan dengan membuat perancangan untuk berbelanja dengan lebih baik supaya matlamat itu mudah dicapai. Ingat bahawa matlamat anda dalam masa yang terdekat ini bukanlah untuk mengurangkan perbelanjaan tetapi mengenal pasti tabiat berbelanja anda.

Tuesday, June 23, 2009

TATABAHASA: BERTEMPAT DI PERSADA

Salam hormat.
Selain persoalan berkaitan dengan tanda sempang (-), saya turut dikemukakan persoalan ini. Lihat bentuk bahasa di bawah.

HADIAH SASTERA DARUL TAKZIM VII AKAN DIADAKAN BERTEMPAT DI PERSADA
Persoalannya, perlukah bentuk atau perkataan "di" selepas perkataan "bertempat"? Ada pandangan yang menyatakan bahawa kata sendi nama "di" tidak perlu diletakkan kerana perkataan "bertempat" sudah merujuk kepada "tempat". Pandangan ini ternyata tidak tepat sama sekali.

Untuk menjawab kemusykilan ini, sila baca ayat di bawah.
HADIAH SASTERA DARUL TAKZIM VII AKAN DIADAKAN BERTEMPAT PERSADA

Selepas bentuk di atas dibaca, tidak berasa janggalkah dengan bentuk tersebut? Oleh itu, jelas sekali bahawa kata sendi nama "di" perlu diletakkan selepas perkataan "bertempat", dan bentuk yang terhasil serta tepat adalah seperti yang di bawah.
HADIAH SASTERA DARUL TAKZIM VII AKAN DIADAKAN BERTEMPAT DI PERSADA


Hukumnya, selepas kata kerja tak transitif, kita mestilah meletakkan kata sendi nama apabila hendak diperluas. Contoh ayat di bawah, sebagai analoginya, dapat dijadikan penegasannya.

1) Saya berkelah di pantai.
2) Kami berbaring di sofa.
3) Dia berada di luar negara.

Sebagai huraian ringkas, bentuk asal ayat (1) ialah:
1 a) Saya berkelah.
Jika hendak diperluas, maka kata sendi nama "di" hendaklah diletakkan. Ayat yang terhasil ialah:
1 b) Saya berkelah di pantai.
Ayat di bawah tentulah tidak tepat sekiranya kata sendi nama "di" tidak diletakkan.
1 c) Saya berkelah pantai.

Oleh itu, bagi menjawab kemusykilan di atas, selepas kata "bertempat", kata sendi nama "di" mestilah diletakkan. Sekiranya tidak diletakkan, bentuk yang terhasil tidak tepat. Harap maklum.

TATABAHASA: TANDA SEMPANG

Salam bahasa kepada rakan-rakan WITRA.
Petang tadi, saya dihubungi oleh seorang kenalan yang amat saya hormati, bertanyakan tentang kedudukan tanda sempang bagi bentuk bahasa di bawah.

HADIAH SASTERA DARUL TAKZIM KE-VII
atau
HADIAH SASTERA DARUL TAKZIM KE VII
atau
HADIAH SASTERA DARUL TAKZIM VII

Yang manakah yang betul? Bagi menjawab persoalan itu, pertama sekali kita haruslah membuat rujukan. Sumber yang saya rujuki ialah Lembar Bahasa Bil. 2/2001 (6) dan Lembar Bahasa Bil. 1/2001 (5).
Tercatat pada Lembar Bahasa yang diterbitkan oleh DBP itu ialah:
Tidak perlu ada tanda sempang (-) sebelum huruf roman. Contoh yang diberikan ialah, Sukan SEA X. Jikalau ditulis Sukan SEA ke-X, maka bentuk tersebut dianggap tidak tepat.
Contoh yang kedua ialah:
ke-V (salah )
V (betul)

Berpandukan lembar tersebut, jelaslah bahawa selepas huruf roman, perkataan "ke" dan tanda sempang (-) tidak perlu digunakan. Berbalik kepada persoalan di atas, bentuk yang betul dan perlu digunakan ialah:

HADIAH SASTERA DARUL TAKZIM VII
atau
HADIAH SASTERA DARUL TAKZIM KE-7
atau
HADIAH SASTERA DARUL TAKZIM KETUJUH


Di samping itu, pada halaman 87-88, Gaya Dewan Edisi Ketiga DBP, diberi contoh bentuk yang berikut:
Sultan Muhamad IV
Bahagian V
Perang Dunia I

Mudah-mudahan, maklumat ini akan dapat dijadikan panduan kepada rakan-rakan dan pengunjung WITRA. Salam hormat.

Monday, June 22, 2009

KEWANGAN: SEBAB PERTAMA MENGAPA KEWANGAN KITA KUCAR-KACIR

KITA TIDAK DIAJAR
1. Pertama sekali, terima kasih kepada semua pengunjung setia WITRA kerana memberikan dan menitipkan komen bagi entri yang saya paparkan, khususnya yang berkaitan dengan soal kewangan. Saya perlu mengakui dan berterus terang bahawa saya bukanlah sesiapa untuk berbicara tentang subjek ini kerana saya bukanlah pakar kewangan, akauntan, atau pegawai bank, insurans, dan siapa-siapa yang terlibat dalam bidang kewangan. Seperti biodata ringkas di sebelah, saya hanyalah seorang guru Bahasa Melayu yang mengajar di sebuah sekolah rendah dan dalam masa yang sama, diizinkan Allah untuk menyumbangkan sepicing ilmu yang ada bidang bahasa dan sastera. Itu pun dengan ihsan DBP Wilayah Selatan, yang menjadi tapak untuk saya menyemai budi. Namun demikian, dengan izin Allah jua, saya amat meminati subjek kewangan. Sejarahnya bermula apabila saya membaca sebuah buku berjudul “Jutawan Senyap” tulisan Chef Li. Buku itu membangkitkan kesedaran kepada saya untuk mendalami bidang kewangan peribadi kerana saya percaya, kedudukan kewangan saya pada masa itu amat tidak mantap dan bercelaru. Meskipun buku “Jutawan Senyap” tidak menjurus kepada pengurusan kewangan, namun membangkitkan semangat saya untuk mendalami dan insya-Allah, saya akan cuba untuk menguasai bidang ini, suatu masa nanti.
2. Selepas itu, saya terus mencari dan menelaah buku pengurusan kewangan, dan saya menjadi “gila” terhadapnya. Saya membeli dan membaca pelbagai buku yang asal tajuknya ada perkataan “jutawan”, “wang” dan “kekayaan”, pasti saya tidak teragak-agak membelinya walaupun harganya kadangkala mahal. Hasil daripada pembacaan, saya mendapat idea untuk menguruskan wang saya secara lebih berhemah dan bijak. Saya teringat kata-kata Azizi Ali, kita tidak perlu mencipta idea-idea baharu untuk menguruskan kewangan kita kerana apa yang kita lalui sekarang telah dilalui oleh ribuan orang lain sebelum ini. Jadi, gunakan sahaja idea dan tindakan mereka untuk mengubah diri dan nasib kita. Itulah pandangan hebat yang saya percaya, boleh dipraktikkan. Dan akhirnya, saya membuat keputusan untuk menyesuaikan idea dan tindakan tersebut, dan dengan izin Allah, saya agak berjaya menguruskan kewangan saya dengan lebih baik.
3. Buku-buku terbaik yang ingin saya cadangkan, antaranya “Jutawan dari Planet Jupiter”, “Lahirnya Seorang Jutawan”, “Bagaimana Menjadi Tuan Rumah Jutawan”, “Bagaimana Menjadi Jutawan Hartanah”, “Jutawan Ekstrem”,”Pesara Jutawan”, dan “Pelita Jutawan”, yang semuanya ditulis oleh Azizi Ali. Selain itu, buku “Rich Dad Poor Dad”, “Guide to Investing”, “Why We Want You To Be Rich”, dan “Cashflow Quadrant” tulisan Guru Jutawan, Robert T. Kiyosaki yang saya percaya amat mengujakan. Berulang-ulang kali saya menelaahnya. Begitu juga dengan buku tulisan Donald Trump, Samsudin Abdul Kadir, Razzi Armansur, dan Napoleon Hill. Sekadar menyebut beberapa nama, kerana hal itu tidak begitu penting, yang penting, ilmu dan kemahiran menguruskan wang perlu dipelajari.
4. Siapakah yang akan mengajar kita tentang subjek ini? Sekolah? Universiti? Atau ibu bapa kita? Isteri atau suami? Rakan-rakan sekerja? Ya, persoalannya, siapakah yang akan mengajar kita tentang dunia kewangan ini? Lantaran itulah, kedudukan kewangan kita tidak stabil dan kucar-kacir kerana tidak ada sesiapa yang mengajar kita selama ini. Mungkin ada yang pernah diajar, namun setakat mana?
5. Sebab inilah juga yang menyebabkan ramai orang tidak dapat menguruskan wang dengan baik kerana beranggapan bahawa perkara ini bersifat peribadi dan tidak perlu dipelajari. Pernah sekali, saya “berceramah” kepada tiga orang pegawai bank yang datang ke sekolah saya untuk mempromosikan akaun kepada pelajar. Saya ditugaskan untuk menemani mereka ketika makan di kantin. Tidak disangka-sangka, subjek kewangan menjadi inti pati perbualan kami. Sesuai benarlah subjek ini dibualkan kerana mereka pegawai bank! Dan kesimpulan daripada perbualan itu, mereka, walaupun pegawai bank (salah seorangnya pegawai atasan tentang pelaburan) tidak memiliki pengetahuan yang baik dalam pengurusan kewangan. Tanpa niat apa-apa (mohon dijauhkan sifat angkuh, Ya Allah!), saya pula yang memberikan “taklimat” kepada mereka hingga kami berbual-bual selama hampir dua jam! Dari situ, saya mendapati bahawa pendidikan dan pengetahuan kewangan tidak wajarlah dilihat daripada perspektif “anda siapa”, “apa kelayakan anda”, dan “anda pandu kereta apa”. Azizi Ali, pakar kewangan terbaik di negara ini pun asalnya bukanlah lahir dan berkecimpung dalam dunia kewangan, melainkan beliau seorang juruterbang! Beliau pun memandu Proton Perdana! Adakah nasihat beliau patut dijauhi? Sebelum berpisah, mereka mengucapkan terima kasih kepada saya kerana memberikan “input” tentang insurans, pelaburan, dan simpanan. Terpancar keikhlasan dan kejujuran daripada ungkapan terima kasih itu. Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana dipertemukan dengan mereka. Saya juga mendapat input daripada mereka tentang pelbagai perkara.
6. Mungkin ada rakan yang memandang atau berfikir skeptikal tentang “saya” yang tidak ada kelayakan apa-apa pun, namun saya percaya bahawa saya telah membaca banyak buku kewangan, telah melalui pengalaman yang berkaitan dengan kewangan yang agak mengujakan, dan saya sedang berusaha untuk mencapai satu sasaran, iaitu “kebebasan kewangan”. Insya-Allah, dan saya tidak akan berkecil hati dengan anda.
7. Rakan-rakan, sebagai guru, saya melihat subjek ini tidak langsung diajarkan di sekolah. Sekolah hanya mengajar pelajar menjadi pekerja. “Kamu belajar rajin-rajin, dapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan, kemudian carilah pekerjaan yang sesuai dengan anda”. Inilah ayat-ayat yang terpacul dari suara seorang guru, dan ditambah pula dengan ayat-ayat daripada ibu bapa, sebegini, “Kamu pergilah ke sekolah, belajar bersungguh-sungguh, dan dapatkan keputusan cemerlang. Selepas itu, kamu boleh bekerja sebagai doktor, akautan, jurutera, guru, dan pegawai bank. Ingat, tanpa pelajaran, kamu tidak akan diterima bekerja di mana-mana”. Maka, belajarlah si anak tentang semua yang terkandung dalam sukatan pelajaran. Dan yang menariknya, tidak ada satu pun yang berkaitan dengan cara-cara untuk “menguruskan wang”!
8. Ya, sekolah telah mendidik pelajar untuk menjadi pekerja! Sekolah tidak mendidik pelajar untuk menjadi majikan, melainkan menjadi pekerja. Makan gaji, dan terimalah gaji pada setiap bulan. Pelajar seperti robot, digerakkan dengan sukatan yang kadangkala tidak relevan dengan dunia realiti. Untuk apa sebenarnya kalau semua pelajar diminta belajar tentang “cara-cara untuk membetulkan loceng basikal”? Lainlah kalau pelajar itu ingin membuka bengkel basikal, dan menunjukkan minat dalam bidang itu. Ini tidak, semua pelajar diminta melakukan pekerjaan yang ramai yang tidak meminatinya, dan markah akan diberikan selepas kerja selesai. Untuk mendapat markah, mereka perlu melakukannya. Suatu kerugian, sebenarnya, pada pandangan saya. Entahlah, saya melihatnya sebagai suatu pembaziran dan keterlaluan. Anda, bagaimana?
9. Jelas sekali, sekolah yang sepatutnya mengajar tentang hal yang relevan (pendidikan kewangan amat relevan!) tidak memanfaatkan hal ini dengan sebaik-baiknya. Ketika saya belajar di Tingkatan Enam dahulu, antara kandungan sukatan pelajaran bagi Sejarah ialah Sejarah Negara Asia. Saya pun sudah tidak ingat isi pelajarannya kerana tidak relevan dengan dunia realiti kalau saya perlu menghafal tarikh Myanmar (Burma) merdeka! Sejarah dalam negara pun masih gelap, apatah lagi perlu menghafal peristiwa penting yang berlaku di Myanmar! Dan jelas sekali lagi, kandungan pelajaran di sekolah tidak boleh diharapkan untuk mengajar pelajar bagi mendepani kehidupan realiti. Teringat sedikit kisah Pemberontakan Taiping di China…Lebih baik belajar kisah Chin Peng supaya senang untuk memahami pergolakan di negara sekarang…
10. Kelemahan saya ialah saya suka terpesong…maafkan saya, rakan-rakan! Saya balik kepada persoalan pokok; mengapa kewangan kita kucar-kacir. Ya, sebab pertamanya kita tidak diajar. Setelah sebab dikenal pasti, maka langkah untuk mengatasinya perlu dilaksanakan. Itu hukum kehidupan. Untuk mengatasi masalah ini, kita perlu belajar. Janganlah mengharapkan orang lain untuk mengajar kita. Kita perlu berdikari. Jika ada yang ingin mengajar kita, bersyukurlah. Antara pengalaman Azizi Ali, beliau tidak pernah mengikuti kursus kewangan pada mulanya. Beliau hanya membaca. Dan sebanyak 600 buah buku kewangan yang dibaca sebelum menulis buku pertamanya! Dan yang menariknya, beliau berjaya. Berjaya memperoleh ilmu dengan bacaan, dan berjaya mendapatkan wang dengan menulis buku. Dalam satu e-mel yang dihantar oleh Azizi, saya difahamkan bahawa buku pertama dan buku keduanya menghasilkan pulangan sebanyak RM1 juta! Nampaknya, beliau bermula seperti kita, dan sedang menjalani kehidupan, yang berbeza daripada kita. Puncanya, beliau belajar tentang subjek wang. Beliau terus belajar sehingga kini. Beliau tidak lokek berkongsi ilmu. Beliau bermula sebagai individu biasa yang sentiasa tidak berkecukupan wang, dan kini wangnya mengalir seperti air yang paling berani di dunia, air terjun!
11. Pengalaman saya, tuan-tuan. Sebelum saya membaca buku kewangan dan mempraktikkannya, saya berasa sedih kerana saya tidak mampu menguruskan wang saya dengan bijaksana, walaupun pendapatan saya agak baik. Wang hanya menjadikan saya tempat persinggahan untuk sementara. Akhir bulan terima gaji, dan tidak sampai seminggu, hampir semuanya bertukar tangan. Simpanan tidak menggalakkan. Simpanan persaraan jauh sekali kerana memikirkan ada pencen. Wang untuk simpanan anak-anak, kadangkala simpan, dan selalunya tidak. Saya tidak tahu bagaimana caranya untuk mengendalikan kewangan saya sendiri. Nasib baiklah saya guru, kalau saya pengurus bank, dengan mesin ATM pun nanti kena lelong, termasuk pengawal keselamatan sekali!
12. Selepas saya dibukakan hati oleh Allah Yang Maha Pengasih, saya mula belajar dengan gigih. Gigih, yang saya maksudkan ialah saya boleh menghabiskan sebuah buku kewangan dalam satu malam. Esoknya saya ke kedai buku lagi, dan membeli lagi. Malamnya saya luangkan masa untuk membaca dan begitulah yang saya lakukan sehingga saya benar-benar mengalami pengalaman yang cukup menarik. Saya mula bergerak. Saya mempraktikkan ilmu setakat yang terdaya. Dan, dalam tempoh tiga tahun belakangan ini, alhamdulillah, saya bersyukur kerana dilapangkan pintu rezeki oleh Allah untuk menikmati kehidupan dengan lebih baik. Nilai aset semakin bertambah. Saya gembira. Isteri saya gembira. Anak-anak saya gembira. Mak ayah saya di kampung tidak terbeban lagi. Adik-beradik dan saudara-mara tumpang gembira dan sama-sama menikmati rezeki Allah. Dan saya percaya, segala-galanya berpunca daripada sedikit ilmu yang ada ini. Saya belajar, tuan-tuan, dan sehingga kini, masih tidak jemu-jemu belajar tentang subjek ini.
13. Kesimpulan yang dapat dibuat ialah, mengapa kewangan kita kucar-kacir, jawabannya kita tidak diajar. Agar tidak kucar-kacir, kita perlu diajar. Jikalau tiada yang ingin mengajar kita, belajarlah untuk berdikari. Dalam masa yang sama, sentiasalah mohon kepada Allah agar dimurahkan rezeki, dicukupkan segala keperluan, dan disihatkan tubuh badan.
14. Peruntukkanlah sedikit waktu untuk hal ini. Kita boleh menonton TV selama satu jam untuk satu program mengapakah kita tidak boleh luangkan lima minit untuk menulis buku atau penyata kira-kira untuk melihat pergerakan kewangan kita. Jikalau kita boleh membaca tiga naskhah akhbar setiap hari, tidak bolehkah kita membaca satu halaman buku tentang hal ini satu hari.
15. Memang soal kewangan bukanlah keutamaan atau minat kita, namun dalam dunia pada hari ini, kita tidak mampu melakukan apa-apa tanpa wang!

Sunday, June 21, 2009

TATABAHASA: MENGHADIAHI DAN MENGHADIAHKAN

menghadiahi
memberikan hadiah kpd:
~ setiap pekerja yg bersara sebuah cenderamata;
Yang Dipertuan ~ Yuzuki sehelai jubah berwarna merah tua;

menghadiahkan
memberikan sesuatu sbg hadiah, menganugerahkan:
mereka ~ sebuah jam tangan kepadanya dlm majlis perpisahan itu;
dlm tahun 1903, Hadiah Nobel telah dihadiahkan kpd pasangan suami isteri Pierre Curie dan Marie Curie.

Kamus Dewan DBP

CERAMAH: LDP SK TAMAN UNIVERSITI 2

PENULISAN SURAT RASMI DAN DASAR BAHASA
Tarikh : 20 Jun 2009 (Sabtu)
Masa: 11.00 - 1.00 tengah hari

Terima kasih kepada pihak sekolah atas undangan ini. Saya mendoakan kejayaan dan kecemerlangan SKTU 2.

CERAMAH: SK TAMAN DESA SKUDAI

Teknik Menjawab Soalan Bahasa Melayu UPSR
Terima kasih kepada pihak sekolah atas undangan, khususnya Cikgu Murshid. Saya mendoakan kejayaan kalian!

Monday, June 15, 2009

TATABAHASA: KATA ADVERBA

KATA ADVERBA
Kata adverba ialah perkataan yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama, dan frasa sendi nama dari segi cara, masa, dan tempat. Kata adverba baru dimasukkan dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga dan tergolong sebagai salah satu kata tugas. Oleh sebab itu, ada kemungkinan kebanyakan pengguna bahasa tidak begitu memahami konsep kata adverba ini dengan baik. Oleh itu, saya muatkan dalam blog ini agar kita beroleh pengetahuan dan manfaatnya.

Bentuk Kata Adverba
a) jati (semalam, kelmarin, sering kali, saling, sekali gus, sentiasa, nanti)
b) asalnya kata adjektif (laju, besar, lesu, panjang, tinggi, hampir, selalu)
c) asalnya kata kerja (berkilat, mengiring, meninggi, menyala, berseri)
d) bentuk gandaan
(gandaan penuh – betul-betul, pura-pura, sedikit-sedikit, cepat-cepat)
(gandaan separa – bermalam-malam, semahu-mahunya, sepandai-pandai)
(gandaan berentak – sedu-sedan, hingar-bingar, susup-sasap)

Ayat contoh:
1) Pelancong itu akan tiba esok dari England.
2) Dia hampir terjatuh ketika menyidai pakaian.
3) Ketam ialah haiwan yang berjalan mengiring.
4) Dia betul-betul gembira dengan kepulangan anaknya.
5) Mereka sesat bermalam-malam di puncak gunung itu.
6) Pahlawan itu akan dikenang selama-lamanya.
7) Hartawan itu berbelanja besar-besaran untuk majlis tersebut.
8) Anak itu menangis sedu-sedan apabila ditinggalkan ibunya.


- perkataan berhuruf condong (italik) merupakan kata adverba.

BICARA: MELASTIK KE BINTANG 3

Sebelum ini, saya menggunakan judul entri bagi mengungkapkan falsafah kehidupan yang saya kutip daripada pandangan tokoh-tokoh dengan nama "Titian Perjalanan". Namun begitu, mulai sekarang, saya menamai entri ini dengan "Melastik ke Bintang", mudah-mudahan dan dengan izin Allah, kita mampu melakukannya!

LEBIH BAIK ANDA BERMUSUH DENGAN SEORANG YANG BIJAK DARIPADA BERSAHABAT DENGAN SERATUS ORANG YANG BODOH

Peribahasa Arab




KEWANGAN: SEPULUH SEBAB MENGAPA KEWANGAN KITA KUCAR-KACIR

Saya perturunkan 10 sebab mengapa kewangan kita kucar-kacir, yang saya kutip secara terus daripada buku Jutawan dari Planet Jupiter (Azizi Ali).

1. Kita tidak diajar

2. Mengharapkan orang lain

3. Bergantung pada nasihat yang tidak sesuai

4. Nasihat yang salah

5. Tamak haloba
6. Pengetahuan yang cetek

7. Tidak sedar akan pentingnya pengurusan kewangan peribadi

8. Enggan belajar

9. Tiada matlamat kewangan yang jelas

10. Ikut orang ramai




Catatan: Insya-Allah, saya akan mengulas 10 sebab ini berdasarkan perspektif dan horizon pemikiran saya, dari masa ke masa. Mudah-mudahan, akan dapat dijadikan pedoman dan iktibar untuk saya dan rakan-rakan sekalian.

Friday, June 05, 2009

KEWANGAN: BELILAH SESUATU KURANG DARIPADA KEMAMPUAN

1. Judul ini seharusnya berbunyi begini “Belilah barangan sekadar yang mampu”. Namun begitu, saya memilih untuk menyatakan sebaliknya, iaitu ”Belilah sesuatu kurang daripada kemampuan”.
2. Tuan-tuan, sebenarnya judul yang saya berikan ini benar, pada firasat saya, kerana saya melihat kebanyakan daripada kita akan dan suka membeli sesuatu pada tahap kemampuan mereka. Dan hal ini tidaklah mengecewakan sangat berbanding dengan membeli sesuatu melebihi kemampuan. Orang yang kedua, pasti akan bergelumang dengan hutang atau mereka jenis yang tidak memiliki kesedaran kewangan yang baik.
3. Sifu, tolong berikan contoh! Saya masih tidak faham judul ini lagi. Kalau judul pun masih tak faham, macam mana saya nak teruskan bacaan. Baiklah, saya akan berikan contoh, wahai anak muridku yang budiman dan kacak!
4. Jikalau anda ada peruntukan sebanyak RM100, 000.00 untuk membeli sebuah rumah, adakah anda akan mencari rumah yang berharga RM100, 000.00 juga? Jawapannya ya, tok guru kerana itulah kemampuan yang saya ada. Baiklah, jikalau demikian, anda akan tidur di lantai! Tidakkah anda terfikir bahawa menghabiskan wang sebanyak itu akan menyebabkan anda tidak akan ada lagi peruntukan untuk membeli katil, perabot, hiasan dalaman, dan yang lebih penting, anda akan meraba-raba dalam kegelapan untuk mencari botol susu anak anda sebab lampu tidak ada!
5. Oh, jikalau itu yang dimaksudkan, tidak payah beritahulah sebab saya sudah tahu! Saya berikan contoh kedua kerana contoh pertama anda sudah tahu!
6. Jikalau had kewangan anda membenarkan anda membeli sebuah kereta Mercedez yang berharga RM300,000.00, adakah anda terus ke kedai jualan dan membuat tempahan? Jikalau wang mengalir keluar daripada telinga anda (meminjam kata-kata sifu Azizi), tidak mengapa kerana anda ada terlalu banyak wang. Jikalau dikaji, kereta Mercedez yang berharga RM200, 000.00 juga tidak kurang hebatnya. Tidak akan ada orang yang akan mengatakan bahawa kereta Mercedez berharga RM200,000.00 itu tidak hebat. Saya sendiri pun, kalau wang mengalir ikut telinga, kereta Mercedez itu sudah cukup memadai.
7. Namun apakan daya, hiduplah di bawah paras kemampuan kerana dengan cara itu, saya akan mempunyai wang lebihan untuk tujuan yang lain.
8. Tuan-tuan, kadangkala kita melihat orang membeli rumah dan kereta melebihi tahap kemampuan hingga mereka terbelenggu dengan hutang lapuk dan akhirnya, mereka tidak ada wang lagi untuk tujuan lain. Sebab itulah, belilah sesuatu pada tahap kurang daripada apa yang kita mampu. Saya percaya bahawa membeli kuranga daripada kemampuan akan lebih menguntungkan kita.
9. Baiklah tuan-tuan, pengalaman saya sendiri, dan tidak ada sebesar biji sawi dalam diri ini untuk menunjuk-nunjuk atau mengharapkan sanjungan. Saya memiliki pendapatan yang agak baik (dengan izin dan rahmat Allah) kerana saya gigih melakukan beberapa pekerjaan untuk menyara kehidupan di bandar raya JB ini. Sekiranya dicongak secara kasar, saya mampu memiliki kereta (atau MPV – saya suka MPV kerana lebih yakin ketika mengendalikan sterengnya) yang berharga ratusan ribu ringgit atau yang ;ebih mahal berbanding kereta yang ada sekarang. Insya-Allah. Tetapi, saya melihatnya sebagai tidak perlu.
10. Dengan MPV Citra saya, saya bergerak ke sini sana tanpa ada masalah. Dan orang tidak mengatakan bahawa saya memandu kereta yang tidak hebat, tidak selesa, dan tidak dapat meluncur dengan baik. Kereta Citra sangat baik dan sangat selesa untuk saya sekeluarga. Kereta itulah yang telah berbakti kepada saya hingga tahap yang maksimum setakat ini. Saya bangga dengan Citra itu. Tidak ada alasan yang benar-benar kukuh untuk saya menggunakan kereta yang jauh lebih mahal.
11. Ketika model kereta terbaharu keluaran Honda dilancarkan akhir tahun 2008, saya benar-benar teruja untuk memilikinya. Harganya RM178,000.00. Saya telah ke pejabat jualan dan memandu uji kereta tersebut, meredah jalan yang sibuk di Jalan Tebrau. Memang saya tidak nafikan, memang selesa dan mewah memandu kereta itu. Saraf saya bergetar ketika memegang stereng dan memijak pedal minyaknya. Apabila balik ke rumah, saya tidak jadi untuk menempahnya kerana saya tidak memerlukannya, walaupun (minta maaf!) saya mampu memilikinya.
12. Jikalau saya inginkan kereta yang bertaraf mewah, insya-Allah saya ada bukti pendapatan yang baik untuk meyakinkan pihak penjual dan pihak bank. Tetapi, oleh sebab saya memilih untuk menggunakan kereta yang lebih murah tetapi masih bermutu, saya tidak menempah kereta yang mahal itu kerana saya mempunyai komitmen lain yang tidak kurang pentingnya. Saya ada tiga orang anak dan isteri yang perlu ditanggung. Saya ada keluarga di kampung yang perlu dibiaya. Dan saya ada komitmen lain yang tidak kurang penting, termasuklah untuk dana pelaburan, dana persaraan, dan dana pendidikan anak-anak. Tidak lupa juga dana kecemasan dan dana pelancongan selain perbelanjaan seharian.
13. Ya, semua itu memerlukan wang yang bukan sedikit. Jika saya menggunakan alasan “saya mampu untuk membeli kereta yang mahal”, saya percaya suatu masa nanti, saya akan terjelepok dan terseliuh seluruh urat sendi kerana saya sudah terperangkap dalam lubang kesempitan yang saya sendiri gali! Ramai orang tersilap ketika membuat keputusan untuk membeli kereta. Kebanyakan mereka menyangka bahawa had kemampuan itulah nilai sebenar harga kereta yang ingin dibeli. Saya tidak mahu menyatakan bahawa mereka tersilap, tetapi jikalau saya yang melakukannya, saya pasti akan menyatakan bahawa saya tersilap!
14. Dalam satu peristiwa lain, pada akhir tahun lalu, ketika saya memutuskan untuk terus menetap di JB, saya dan isteri bersiar-siar di sekitar JB untuk melihat dan meninjau kawasan perumahan yang sedang dibangunkan. Saya ke Bandar Seri Alam, saya ke kawasan Gelang Patah (Nusajaya), saya ke Sierra Perdana, saya ke beberapa tempat lagi untuk mengenal pasti lokasi rumah yang akan dibeli, termasuklah di Permas Jaya, kawasan kediaman saya.
15. Akhirnya, saya membeli sebuah rumah di Bandar Dato’ Onn selepas membuat tinjauan daripada pelbagai perspektif dan selepas saya memikirkan hal ini masak-masak. Sebenarnya, banyak sebab lokasi itu dipilih.
16. Ketika meninjau rumah contoh, saya amat tertarik dengan sebuah rumah contoh yang berharga RM338,000.00 (harga bumiputera). Dan saya dan isteri begitu berkenan dengan rumah itu atas banyak sebab. Jika diikutkan hati, mahu sahaja saya membayar depositnya. Memang menarik rumah tersebut, pada pandangan saya dan isteri.
17. Tetapi, oleh sebab saya berpegang dan percaya pada prinsip “Belilah sesuatu kurang daripada kemampuan”, maka akhirnya bukan rumah itu yang dibeli tetapi rumah lain, yang tidak kurang menariknya dengan harga yang lebih rendah. Sebuah rumah yang terletak di Jalan 10/21 itu akhirnya menjadi milik saya. Saya bukan sahaja dapat menjimatkan wang, malahan saya percaya bahawa itulah rumah yang terbaik pada pembelian kali ini. Mungkin bukan pembelian yang terbaik untuk orang lain, tetapi sekurang-kurangnya terbaik untuk saya kerana saya membelinya pada tahap kurang daripada kemampuan.
18. Saya percaya bahawa sebagai akibat suka membeli sesuatu sehabis-habis yang termampu, ramai orang tidak pernah cukup wang, dan hal ini tidak seharusnya berlaku. Jikalau anda mampu membeli baju kemeja berharga RM100.00, kemeja yang berharga RM80.00 pun masih berkualiti untuk anda. Dan anda ada lebihan wang sebanyak RM20.00 untuk melakukan tujuan-tujuan lain. Saya tidak percaya jika anda mengatakan bahawa anda tidak ada keperluan lain kerana bagi pengurusan kewangan peribadi yang bijak, seharusnya ada beberapa jenis penabungan dan simpanan. Demikianlah analoginya. Tidak ada sesiapa yang berani menyatakan kemeja berharga RM80.00 itu tidak ada kualiti. Selagi kemeja itu selesa dipakai, itulah yang patut menjadi keutamaan.
19. Suatu hal yang perlu diingat ialah “langit tidak selalunya cerah, dan awan tidak selalunya berarak putih”. Sesekali langit yang cerah bertukar gelap dan awan yang berwarna putih bertukar hitam, pada ketika itu kita akan lebih memahami mengapa kita perlu sentiasa menyediakan payung. Biarlah kita hidup di bawah paras kemampuan, tetapi dalam masa yang sama, kita tidak dibelenggu masalah kewangan yang meruncing. Kita boleh tidur di dalam rumah yang selesa dan ditemani anak serta isteri yang bijak dan cantik. Kita ditemani kehidupan yang bahagia. Dan kita tidak menjadi cepat botak kerana tidak ada wang!
20. Walaupun pandangan ini boleh dikongsi, namun akhirnya anda yang tentukan penerimaannya. Saya hanya ingin berkongsi pandangan hasil pengamatan, pembacaan, dan pengalaman yang amat sedikit ini. Mudah-mudahan, dapat dijadikan panduan untuk meneruskan kehidupan dengan lebih bahagia. Jikalau anda menyatakan bahawa tulisan ini tidak sesuai dengan pandangan anda, saya tidak ada hak untuk menyatakan bahawa anda salah, dan saya berharap, anda tidak akan menyatakan bahawa saya salah. Selagi kita boleh bertukar pandangan secara sihat, saya percaya akhirnya, yang akan menang ialah kejujuran dan keikhlasan.

BICARA: TITIAN PERJALANAN 3

Kita melihat bahagia seperti pelangi. Ia tidak pernah berada di atas kepala kita sendiri, tetapi berada di atas kepala orang lain.

THOMAS HARDY

CERAMAH: SK TAMAN MUTIARA RINI 1

Pada 3 Jun 2009, saya telah diundang untuk mengendalikan ceramah dan bengkel Teknik Menjawab Soalan Bahasa Melayu UPSR di SK Taman Mutiara Rini 1.
Terima kasih kepada pihak sekolah atas undangan tersebut. Semoga murid SKTMR 1 akan beroleh kejayaan dalam UPSR kelak.

CERAMAH: SK TAMAN RINTING 2/ SK TAMAN MOLEK

Pada 1 Jun 2009 yang lalu, saya telah diundang untuk mengendalikan dan menyampaikan ceramah tentang Teknik Menjawab Soalan Bahasa Melayu UPSR di SK Taman Rinting 2, dan SK Taman Molek.
Terima kasih kepada pihak sekolah atas undangan tersebut.

Tuesday, June 02, 2009

KEWANGAN: KERETA, PERLUKAH DIUBAH SUAI?

1. Tidak dapat dinafikan bahawa kereta merupakan barang keperluan, bukan barangan mewah lagi.
2. Setiap keluarga pasti dan sebaik-baiknya memiliki sebuah kereta. Pada masa ini, terlalu banyak keluarga yang memiliki lebih daripada sebuah kereta. Keadaan ini bergantung pada keupayaan dan keperluan masing-masing.
3. Yang hendak dibincangkan di sini ialah, perlukah kereta yang kita miliki itu diubah suai? Perlukah kereta kita itu ditambah di sana sini agar dapat digolongkan dalam kategori kereta sport? Perlukah spoiler atau rim sport yang hebat?
4. Jawapannya, bergantung pada cita rasa masing-masing. Jika ditanya soalan ini kepada kebanyakan anak muda yang memiliki kereta, kereta Kancil pun perlu kelihatan seperti kereta sport. Jika ditanya kepada kebanyakan orang dewasa, agak ramai yang memilih untuk menjadikan kereta mereka seperti seadanya.
5. Namun begitu, kalau kita perhatikan ramai juga orang dewasa dan sudah berkeluarga memilih keputusan seperti orang muda. Di tempat tinggal saya, saya melihat ada guru yang gilakan aksesori kereta pada tahap yang keterlaluan. Kereta mereka dipasang spoiler sport, rim sport, dan sistem audio yang mahal dengan sistem bunyi yang berdentum-dentum. Mereka memang hebat!
6. Yang menyedihkan, kesemua pengubahsuaian ini memerlukan kos yang bukan sedikit!
7. Mungkin mereka banyak wang. Mungkin. Tetapi saya melihat mereka tidak ada wang! Sebabnya, mereka sudah membelanjakan wang yang banyak untuk pembelian dan pengubahsuaian aksesori kereta. Sayangnya, mereka tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada tabiat buruk itu.
8. Saya menulis entri ini kerana ketika pergi “mengeteh” dengan beberapa orang rakan, mereka bertanya kenapa kereta saya dan kereta isteri saya seperti seadanya, malahan tidak ada satu stiker pun terpampang, kecuali cukai jalan!
9. Saya bertanya kembali, perlukah semua itu?
10. Kereta saya tidak berubah satu apa pun sejak saya beli lebih empat tahun yang lalu. Kereta isteri saya tidak ada spoiler pun! Saya bukannya kedekut, jauh sekali bersifat kemut! Saya suka berbelanja, tetapi tidak sekali-kali untuk memasang aksesori tambahan pada kereta saya. Kerana saya percaya tindakan itu tidak akan menguntungkan, malahan merugikan saya. Semua itu memerlukan kos yang sangat besar, apatah lagi bagi kita yang berpendapatan tidak besar.
11. Tidak ada sesiapa pun yang akan melihat dan memuji kereta kita jika kelihatan tidak seperti seadanya. Kalau seorang rakan saya menaiki Kancil, dan diubah suai dengan begitu “garang”, saya melihatnya dengan pandangan yang cukup sinis. Nak kata tidak cerdik, maaf, dia seorang guru!
12. Yang penting juga ialah, kereta yang diubah suai itu akan lebih sukar untuk dijual! Ya, siapalah sangat yang hendak membeli kereta yang sukar untuk dijual! Kita boleh memasang aksesori tambahan, jika perlu. Dan ungkapan jika perlu, lazimnya bermaksud tidak perlu.
13. Tidak perlulah menyusahkan diri dan keluarga hanya untuk kelihatan bergaya. Tidak perlulah membazirkan wang hanya untuk menunjukkan kepada orang lain bahawa kita memiliki kereta yang telah diubah suai. Tidak perlulah berfikiran seperti orang muda yang belum penuh ilmu dan pengalaman sekiranya kita hendak dilihat sebagai orang dewasa yang matang dan bijak.
14. Nikmatilah apa yang ada. Manfaatkan keupayaan yang ada. Dalam hal ini, usahlah bersifat ekstrem! Memang sifat ekstrem itu perlu diamalkan dalam banyak perkara, tetapi bagi hal-hal yang negatif, amat malanglah jika kita bertindak keterlaluan hanya untuk merugikan diri sendiri.
15. Percayalah, jikalau anda masih muda dan remaja, tidak ada gadis yang bijak dan cerdik akan melihat anda bijak dan cerdik jika kereta anda seperti kereta filem Back To The Future! Polis trafik pun meluat dengan kereta begitu. Yang sukakannya ialah golongan yang tidak cerdik dan bijak, seperti pemilik kereta itu juga.
16. Belajarlah untuk menghargai apa-apa yang dimiliki. Jikalau kereta Kancil atau Viva, belajarlah untuk menikmati sebuah kereta yang jimat minyak dan mudah dikendalikan. Jikalau kereta Wira atau Waja, nikmatilah kereta itu seperti Wira dan Waja. Jikalau kereta Citra, itulah kereta yang terbaik untuk anda!
17. Usahlah berangan-angan untuk mendaki gunung dengan menaiki Kancil. Usahlah berfantasi bahawa dengan aksesori yang ditambah itu mampu membawa Kancil anda ke Sungai Nil! Ataupun bersaing dengan Schumacher!
18. Belajarlah untuk bersyukur dan menikmati kehidupan. Anda tidak akan berasa gembira sekiranya tertanam dalam hati untuk memiliki segala yang orang lain miliki. Kita tidak mampu untuk melakukan semua perkara dalam dunia ini.
19. Jikalau ada rakan kita yang mengubah suai keretanya dengan keterlaluan, nasihatilah dia. Tidak rugi jika kita saling menasihati dan menegur.
20. Jikalau dia tidak terima nasihat kita, tidak rugi untuk kita membiarkan dia…

Monday, June 01, 2009

BICARA: TITIAN PERJALANAN 2

Kebanyakan orang yang gagal adalah mereka yang tidak menyedari betapa hampirnya mereka dengan kejayaan ketika mereka mengaku kalah!

THOMAS ELVA EDISON

KEWANGAN: BIJAK WANG DI TV3

1. Program pendidikan kewangan "Bijak Wang" telah disiarkan oleh TV3, mulai 23 Mei 2009 yang lalu. Program bermula jam 7.00 malam hingga 7.30 malam.
2. Program bual bicara ini dikendalikan oleh seorang perantara dan tetamu undangan tetap ialah Azizi Ali, yang saya anggap sifu kewangan terbaik di Malaysia.
3. Slot minggu pertama, Azizi menyentuh soal kewangan secara sepintas lalu. Ungkapan menarik yang dilontarkan ialah:
"Sering kali orang menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak dan sebab itulah, mereka gagal merancang kewangan dengan baik".
Ulasan Azizi: Sebab kita tidak memiliki sumber kewangan yang banyaklah, kita mesti belajar pengurusan kewangan! Kalau wang mengalir keluar hingga melalui telinga kerana terlalu banyak, sudah pasti tidak menimbulkan masalah.
4. Slot atau minggu kedua (30 Mei 2009), Azizi menekankan soal tabungan, khususnya tabungan untuk pendidikan anak-anak. Azizi menyarankan semua ibu bapa membuat tabungan untuk pendidikan anak-anak mereka, kalau boleh sejak mereka berusia sebulan. Jika pada masa ini, dianggarkan kos untuk belajar di IPT memakan belanja sebanyak 100, 000, maka bayangkan 10 atau 15 tahun yang akan datang. Itu untuk seorang anak, bagaimanakah pula jika kita ada 4 orang anak!
5. Setakat dua minggu tersebut, saya melihat satu kepincangan dalam program tersebut, iaitu perantara wanita (kalau tidak silap, namanya Nurun) terlalu banyak bercakap dan mengulas. Nampak sangat dia terlalu ingin menonjolkan diri dan "kehebatan"nya hingga terlupa bahawa dia bukanlah siapa-siapa dalam bidang ini. Azizi "kurang bercakap dan mengulas" kerana tidak diberi ruang yang banyak. Meluat betul dengan perantara wanita itu yang "tidak mahu kalah" dengan Azizi. Orang menonton rancangan ini bukan hendak mendengar dia bercakap, tetapi Azizi!
6. Jikalau saudara berkelapangan, tontonlah program "Bijak Wang". Saya percaya inilah program yang perlu dinanti-nantikan. Saya sendiri terpaksa bergegas dengan segera dari pusat tuisyen agar tidak ketinggalan program ini. Kelas tamat jam 6.45 petang, dan saya hanya sempat menontonnya rancangan ini setelah 10 minit disiarkan. Apa-apapun, saya amat menghormati Azizi Ali kerana beliaulah yang mengubah persepsi, pemikiran malahan tindakan saya tentang dunia kewangan. Melalui buku-bukunya, saya semakin memahami dan meminati dunia ini.

"Kawal kewangan anda, biar wang menghasilkan pulangan dan nikmatilah hidup yang lebih bahagia" - Kulit hadapan buku "Jutawan dari Planet Jupiter!"

CERAMAH: SK TAMAN UNIVERSITI 2

Pada 30 Mei yang lalu, saya telah diundang oleh SK Taman Universiti 2 untuk menyampaikan ceramah dan bengkel teknik menjawab soalan UPSR kepada calon-calon UPSR.

Terima kasih kepada pihak pentadbiran sekolah atas undangan ini. Diharapkan calon-calon berjaya dalam UPSR pada tahun ini. Insya-Allah.

CERAMAH: BENGKEL PEMANTAPAN HAKIM SAHIBBA NEGERI MELAKA

Pada 27 - 28 Mei yang lalu, saya telah mengendalikan Bengkel Pemantapan Hakim Sahibba Negeri Melaka. Program berlangsung di D'Village Ayer Keroh, Melaka anjuran DBP Wilayah Selatan dengan kerjasama JPN Melaka.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada DBPWS, khasnya kepada Puan Siti Hajar Elah dan staf DBP, Encik Azri dan Puan Aishah. Terima kasih kepada pegawai JPN Melaka, Encik Roslan.

Kepada peserta-peserta, manfaatkan ilmu yang diterima ke arah kebaikan. Sampai jumpa lagi.