Saturday, January 31, 2009

PPSMI: GERAKAN ANTI-PPSMI JULUNG KALI KE JALAN



Jimadie Shah Othman Jan 31, 09 8:40pm (Sumber: Malaysiakini)



Kempen memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) meningkatkan tahap bantahannya hari ini dengan melangkah ke tahap baru - berhimpun di jalan raya.Perhimpunan julung-julung kali itu dilancarkan petang ini di perkarangan pusat membeli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman - simbol lazim siri bantahan era reformasi 1998.
Bagaimanapun, hasrat penganjurnya Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) untuk mengumpulkan 500 pencinta bahasa tidak tercapai walaupun kelibat beberapa tokoh terkenal bahasa dan sastera dalam program itu menyelamatkan keadaan. Program itu hanya dikerumuni kira-kira seratus orang yang lalu-lalang bagi membeli-belah di kompleks popular itu. Perhimpunan itu bermula dalam keadaan hujan renyai-renyai yang turun sejak jam 1 tengah hari lagi.

Bagaimanapun ia berakhir tanpa sebarang masalah dengan polis, walaupun permohonan permit berhimpun tidak dibuat. Malaysiakini difahamkan penganjur hanya memaklumkan secara bertulis kepada polis berhubung program berkenaan.

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang sebelum ini berteka-teki tentang kehadiran beliau akhirnya muncul buat pertama kali dalam program sebegitu. Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media, sebaliknya hanya bergambar sambil memegang sepanduk kecil bertulis "Jangan bunuh bahasa ibunda".

Beberapa tokoh utama bahasa seperti penyair Dinsman, bekas profesor bahasa Dr Abdullah Hassan dan bekas profesor falsafah sains Dr Shahrir Md Zain serta penulis Ainon Mohd turut serta seperti dijadualkan. Penyair popular Pyanhabib, ahli jawantkuasa Persatuan Penulis Nasional (Pena) Ibrahim Ghaffar dan aktivis popular teater Khalid Salleh turut hadir.

Bercakap kepada Malaysiakini selepas acara pelancaran itu, Khalid berkata hari ini ramai aktivis bahasa yang tidak pernah muncul dalam program seumpama itu tampil buat kali pertama menyatakan bantahan mereka kerana keadaan "sudah terdesak sangat". Tambahnya, bukan sahaja bahasa, tetapi dalam pelbagai segi hak-hak orang Melayu mulai terhakis. Khalid mendakwa selama tujuh tahun apabila PPSMI diperkenalkan, orang tidak turun memprotes kerana "orang tidak ada asas budaya dan bahasa".
Pemimpin politik yang kelihatan termasuklah ketua penerangan PKR Tian Chua, ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin dan ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad. Majlis bermula kira-kira 2.45 petang, kira-kira 15 minit lebih awal daripada yang dijadualkan. Pengerusi jawatankuasa induk GMP Datuk Dr Hassan Ahmad memberikan ucapan ringkas kira-kira lima limit sebelum melancarkan kempen berkenaan. Tindakan itu menyebabkan sebahagian daripada kira-kira 30 yang hadir terlepas sidang akhbar yang diadakan sejurus selepas pelancaran itu.

Program yang kelihatan tidak tersusun itu menyebabkan orang ramai yang hadir terpinga-pinga dan tidak terarah, termasuk wartawan yang berkeliaran mendapat komen daripada beberapa tokoh yang hadir. Dalam masa yang sama, kita-kira 30 polis berpakaian seragam cuba menyuraikan keadaan. Kumpulan tokoh bahasa dan sastera itu kemudiannya hanya duduk di sebuah restoran di hadapan kompleks berkenaan. Orang ramai dan wartawan mula bersurai kira-kira 4.30 petang.
Majlis pelancaran ini diadakan dalam rangka GMP menganjurkan perhimpunan besar-besaran 7 Mac ini - ala demonstrasi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2007 - untuk menyerahkan memorandum isu PPSMI kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Friday, January 30, 2009

A.SAMAD SAID: JIKA DEMO GAGAL, UNDI PROTES PPSMI

Jimadie Shah Othman Jan 30, 09 1:00pm
kemaskini 4:07pm (Sumber Malaysiakini)

(Foto: Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said)

Jika demonstrasi besar membantah dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris Mac ini masih gagal menarik perhatian kerajaan, pilihanraya umum akan datang boleh dijadikan penentuan akhirnya, kata seorang tokoh sasterawan.

"Jika masih gagal, ia perlu diterjemahkan dalam pilihanraya, sebagai kuasa yang terakhir. "Gunalah undi secara bijaksana," kata Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said kepada Malaysiakini hari ini.Beliau diminta mengulas tindakan lanjut yang perlu diambil sekiranya perhimpunan raksasa 100,000 rakyat – ala Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) – anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) masih tidak dihiraukan kerajaan.

GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad merancang mengadakan perhimpunan itu pada 7 Mac bagi menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung isu itu.

Sebuah lagi perkumpulan aktivis bahasa Gabungan Penulis Nasional (Gapena) yang dianggotai 24 persatuan penulis di seluruh negara turut mengancam mengadakan "Perarakan Keranda" – dinamakan Keranda 152 – bagi tujuan yang sama, dijadual pertengahan bulan depan.

Gapena juga tetap dengan pendiriannya mengheret kerajaan ke mahkamah berhubung pelaksanaan dasar itu sejak tujuh tahun lalu yang didakwanya melanggar Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan – yang menggariskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Berhubung rancangan GMP berhimpun besar-besaran, A Samad berkata tindakan generasi muda daripada pelbagai kumpulan bagi tujuan menyatakan bantahan terhadap dasar itu memang wajar."Wajar kerana semua sumber lain telah digunakan, tetapi tidak dihiraukan," katanya, yang lebih mesra dipanggil Pak Samad.

Bekas editor kanan Berita Harian dan pengarang pelbagai genre kreatif itu juga menyangkal tanggapan bahawa tindakan berdemonstrasi seperti GMP atau Gapena sebagai "tidak rasional".Mengulas sama ada aktivis bahasa dan sastera veteran wajar sama-sama turun padang berdemonstrasi, A Samad berkata:"Orang tua berjuang daripada sisi yang lain. Tetapi tidak bererti tidak berjuang. Sekarang giliran angkatan muda."Generasi muda sekarang, tambahnya, daripada pelbagai organisasi dan parti politik termasuk Umno mendukung perjuangan bersama itu.

Selasa lalu, A Samad hadir dalam mesyuarat GMP bagi membincangkan siri bantahan terhadap PPSMI di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor. Turut terlibat dalam perbincangan itu beberapa tokoh sastera dan politik, termasuklah Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa yang menganggotai jawatankuasa induk GMP.

Ditanya sama ada kemunculannya itu boleh menjejaskan imejnya sebagai tokoh sasterawan yang tidak partisan selama ini, A Samad menjelaskan, kehadiran beliau berdasarkan isu, bukan pihak yang mendukung gerakan tersebut."Saya tidak boleh terlepas daripada apa yang bergelora (dasar PPSMI)," jelasnya. "Orang kiri jemput saya pergi (hadir), orang kanan jemput saya pergi." Esok, kira-kira 500 pencinta bahasa dijangka memenuhi ruang depan kompleks membeli-belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman membantah pelaksanaan PPSMI.

Beberapa tokoh utama bahasa seperti penyair Dinsman, bekas profesor bahasa Dr Abdullah Hassan dan penulis Ainon Mohd akan turut serta.Pak Samad diura-urakan akan turut serta buat pertama kali dalam program sebegitu.Sewaktu ditanya penyertaannya esok, sasterawan kelahiran Singapura itu bagaimanapun masih mahu berteka-teki."Awak tengoklah esok," katanya, sambil ketawa kecil.

A Samad menerima gelaran tertinggi dalam dunia kesusasteraan tanah air pada 1986. Selain itu, beliau yang terkenal dengan novel Salina – mengisahkah keperitan hidup seorang pelacur di Singapura akibat perang – turut dianugerahkan SEA Write Award daripada kerajaan Thailand.

Terima kasih saudara RAR atas info ini. Ayat yang digelapkan (bold) merupakan poin penting, pada pandangan saya.

BAHASA KEBANGSAAN: SOROTAN PROGRAM ALLY, TV3

SOROTAN PROGRAM BUAL BICARA (TALK SHOW) ALLY, TV3 TENTANG PEMARTABATAN BAHASA KEBANGSAAN

1) Saya berasa Ally Iskandar telah berjaya mengendalikan program bual bicara (talk show) yang ke udara pada 28 Januari 2009 (Rabu) yang lalu dengan baik melalui pendekatan provokasinya.


2) Isu atau topik yang dikupas adalah yang berkaitan dengan penggunaan dan pemartabatan bahasa kebangsaan.

3) Panel yang diundang ialah mantan Pengarah Bahasa DBP, Puan Hajah Noresah Baharom, pakar sosiolinguistik UKM, Prof. Teo Kok Seong, dan kartunis terkenal, Saudara Ujang.

4) Izinkan saya menyenaraikan rumusan poin atau isi kandungan bual bicara itu secara sepintas lalu (kerana saya tidak mencatatnya, dan hanya ini yang teringat):
a. Ramai masyarakat tidak tahu beza antara bahasa Melayu dengan bahasa Malaysia; sehingga ada makhluk mengatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan bahasa Malaysia ialah bahasa yang mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa lain.
b. Ramai yang tidak tahu apa itu Bulan Bahasa, dan bilakah Bulan Bahasa diadakan.
c. Ramai (ingat, orang Melayu!) yang mengatakan bahasa Melayu ialah bahasa kampung dan tidak penting.
d. Ramai yang ditemu bual tidak dapat menentukan kesalahan ayat yang ditunjukkan.
e. Ramai yang menegaskan bahawa Inggeris jauh lebih penting daripada bahasa Melayu.

5) Ujang, seolah-olah menafikan peranan kartunis untuk memartabatkan bahasa Melayu. Katanya, bukan tugas kartunis untuk mengangkat taraf bahasa Melayu kerana kartunis bertindak untuk mendedahkan dan menggunakan apa-apa yang digunakan oleh masyarakat. Jikalau kartunis perlu menggunakan bahasa Melayu standard, akan hilanglah sifat humornya. Ujang juga mengatakan bahawa perlu diadakan bahasa kartun, sama seperti bahasa sajak, bahasa ilmiah, dan sebagainya. Ujang turut memperlekeh pejuang bahasa sekarang dengan mengatakan perubahan yang berlaku sekarang akan menyebabkan pejuang bahasa dahulu akan menggelakkan pejuang bahasa sekarang!

6) Hajah Noresah lebih memfokuskan penggunaan bahasa Melayu yang betul yang patut digunakan oleh masyarakat. Beliau didapati cenderung untuk mempromosi diri dan konsultannya (akhir bicara) berbanding dengan kelantangan yang perlu ditegakkan kerana beliau pernah berada di DBP. Malah, perkataan “bajet” yang digunakan pun, setelah ditanya atas arahan siapa, yang dijawabnya ialah kerajaan langit! (Tak pasal-pasal Ayah Pin tersangkut sama!) Mungkin masih tidak berani pejuang bahasa kita! Diberi kesempatan, periuk nasi juga yang dijaga!

7) Prof. Teo bersifat lebih terbuka. Jelas kelihatan rasionalnya. Ada satu isu yang dibangkitkan oleh Ujang dijawab dengan penuh hikmah; iaitu jika semua orang tahu membezakan situasi rasmi dengan tidak rasmi, soal penggunaan bahasa tidak akan menjadi masalah besar. Bahasa SMS, bahasa kartun boleh diizinkan tetapi dalam konteksnya sahaja. Sayangnya, Ally tidak banyak memberikan ruang kepada Prof. Teo untuk bersuara.

8) Pendapat audiens yang berada di dalam studio menampakkan emosi mereka yang tidak stabil. Mereka didorong untuk mengatakan bahawa bahasa Inggeris perlu diutamakan dan akan dianggap lebih sofistikated. Jikalau perlu menggunakan bahasa Melayu, tidak mengapa digunakan bahasa rojak. Seorang audiens mempersoalkan perkataan “merbahaya”, kenapa telah ditukar menjadi “berbahaya”. Hajah Noresah menjawab soalan ini dengan baik. Seorang audiens lagi mempersoalkan, mengapa DBP tidak memaklumkan tentang perubahan yang berlaku dalam penggunaan bahasa melalui media. Soalan ini pun dijawab dengan baik oleh Puan Noresah. Yang kelihatan daripada pendapat dan soalan audiens ialah, mereka cuba untuk menunjukkan bahawa bahasa Melayu ada kelemahan, dan sewajarnya dikesampingkan! Nampaknya, mereka tidak sedar lagi bahawa bahasa Inggeris mereka pasti berkecamuk teruk; kerana akal fikiran mereka nampak sangat terpancar akan keangkuhan (sebenarnya saya nak gunakan kebodohan!) mereka.

9) DBP turut dikritik oleh Ally kerana kerenah birokrasi.

10) Ally memberikan tiga cadangan yang baik. Tukarkan nama laman web milik kerajaan kepada bahasa Melayu, syarikat komunikasi menghantar sms “satu hari satu perkataan”, dan satu lagi, saya tak ingat!

11) Saya tidak berhasrat untuk mengulas hal ini. Kita perlu bersikap rasional sesekali. Memang itulah realitinya, jika UMNO dan orang Melayu yang ada kuasa masih menafikan Fasal 152, Perlembagaan Malaysia! Bahasa rojak akan berleluasa, bahasa Melayu akan dipandang hina, dan bahasa Inggeris akan dianggap wira!

12) Anda, bagaimana?

Thursday, January 29, 2009

CATATAN DARMAWISATA: MASJID KRISTAL, SUATU PEMBAZIRAN?

27 JANUARI 2009

1) Saya dan keluarga menjejaki Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu pada waktu malam kerana ingin melihat keindahannya, yang berwarna-warni. Kubahnya disinari cahaya pelbagai warna, mengasyikkan sekali. Saya ke situ sebanyak dua kali, pada 27 Januari (malam) dan 28 Januari (siang).

2) Sampai di situ, saya terus berwuduk dan mendirikan sembahyang Isyak secara berjemaah dengan dua orang yang lain. Ketika berada di dalam masjid, saya melihat binaan dan hiasan dalamannya biasa-biasa sahaja, tidak seindah bahagian luaran dan kubahnya. Mungkin masjid ini tidak mementingkan dalaman, hanya luaran yang perlu difokuskan. Adakah hati pihak yang membinanya pun demikian?

3) Selepas bersembahyang. ketika menikmati keindahannya yang begitu majelis, aku teringat tentang isu Masjid Kristal, yang banyak diperkatakan.

4) Tulisan ini ingin mengajak kita berfikir secara adil, rasional dan tidak bias atau memihak. Secara peribadi, saya beranggapan masjid ini merupakan masjid yang paling cantik pernah saya lihat. Saya bertuah kerana dapat bersembahyang di situ bersama-sama dengan jemaah yang lain.

5) Pihak pembangkang, khususnya (walaupun ada juga golongan marhaen) yang menentang pembinaan masjid ini dari awal sehinggalah ke kemuncaknya, isu masjid ini dijadikan bahan kempen di Kuala Terengganu, yang menyaksikan BN tewas.

6) Saya percaya antara isu atau sentimennya ialah, pembinaan masjid ini menelan belanja yang besar, dan pastinya wang yang digunakan ialah wang rakyat. Susulannya, berlakulah pembaziran. Pembaziran wang rakyat yang digunakan untuk mendirikan masjid ini. Masjid yang didirikan untuk menaikkan nama dan imej pemerintah.

7) Izinkan saya untuk memberikan pendapat. Mungkin pendapat saya tidak selari dengan saudara, saya percaya bahawa perbezaan pendapat akan wujud dalam banyak keadaan. Dan perbezaan ini wajar mematangkan kita.

8) Saya tidak beranggapan pembinaan masjid ini merupakan suatu pembaziran. Memang banyak wang digunakan untuk mendirikannya, namun pada pandangan saya, ini merupakan suatu bentuk pelaburan.

9) Ya, salah satunya pelaburan ekonomi. Kuala Terengganu akan lebih berjaya menarik kedatangan pelancong dari luar atau dalam negeri atau negara untuk melihat masjid ini. Salah satu sebab saya memilih Kuala Terengganu sebagai destinasi pelancongan kali ini tentulah untuk melihat masjid ini. Saya membelanjakan ribuan ringgit ketika berada di sini selama beberapa hari.

10) Hasil kedatangan pesat pelancong, siapa yang turut mendapat untung? Adakah Mohamad Said, Idris Jusuh, atau juak-juaknya sahaja? Ya, mereka telah mendapat untung sebelum itu dan ini soal lain yang perlu dibahaskan, tetapi selepas masjid ini dilawati, banyak pihak yang turut menerima tempiasnya. Peniaga bazar, pengusaha hotel dan tempat pelancongan, peniaga makanan, peniaga batik di Pasar Payang, peniaga pisang goreng, malahan peniaga keropok lekor di Losong akan memperoleh keuntungan yang lebih banyak.

11) Saya tidak ada data tentang penambahan keuntungan mereka, tetapi saya percaya dan yakin, mereka pasti akan berasa lebih gembira selepas masjid ini dibina dan telah boleh dilawati.

12) Kedua, mengapakah isu pembinaan masjid yang mendapat tentang daripada orang Islam sendiri, walhal yang dibina ialah masjid, rumah Allah. Bukan kerajaan membina gereja atau kuil tercantik di Kuala Terengganu! Untuk makluman dan perhatian yang sesungguhnya, pembinaan gereja terbesar di Asia Tenggara ada di negeri Johor, iaitu di Taman Johor Jaya. Siapa yang membinanya? Ya, kerajaan negeri Johor yang pada ketika itu di bawah pimpinan penguasa, Muhyiddin Yassin. Mengapakah isu itu didiamkan? Gereja Kristian terbesar di Asia Tenggara dibina di negeri UMNO? Saya tinggal dan mengajar di Taman Johor Jaya sejak tahun 1995, dan saya melihat isu ini sangat kecil bagi masyarakat setempat! Hairan, pembinaan masjid, lambang keagungan Islam dikritik hebat, tetapi pembinaan gereja, disenyapkan. Inikah negara Islam?

13) Ketiga, oleh sebab yang didirikan ini masjid, sudah pasti di situlah orang Islam dapat beribadat. Katanya, tidak ada sembahyang Jumaat di situ, hanya sembahyang fardu. Apa masalahnya? Jika di luar sana terlalu banyak masjid yang tidak diuruskan dengan baik, tidak menjadi persoalan, Masjid Kristal mendapat tentangan kerana tidak ada sembahyang Jumaat! Saya telah banyak kali mengalami (saya juga percaya saudara juga pernah mengalaminya), masjid-masjid dikunci selepas waktu sembahyang!

14) Sambil melawat ke masjid ini, ramai yang saya perhatikan turut bersembahyang. Mungkinkah ini akan menjadi suatu permulaan bagi mereka yang tidak pernah sembahyang. Atau yang mempermudah urusan solat, kemungkinankah ini menjadi suatu bentuk kesedaran yang akan lahir selepas itu. Siapa tahu, melainkan Yang Maha Kuasa, penentu segala qada dan qadarnya.

15) Keempat, bukan orang Melayu/Islam sahaja yang datang melawatinya, malahan terdapat banyak sekali orang bukan Islam datang berkunjung ke sini. Bukankah ini suatu kebanggaan bagi seluruh umat Islam bahawa Islam itu indah, mementingkan keindahan, dan mampu mendirikan rumah ibadat yang secantik ini. Tidak ada sesiapa pun yang mengatakan Islam itu indah jika masjid yang dilawati atau didirikan berhabuk atau penuh tahi cicak! Kemuliaan Islam dapat ditanggapi oleh orang bukan Islam, salah satu caranya dengan melihat kepada keindahan lahiriahnya atau zahirnya. Umat bukan Islam tidak cenderung untuk menilai batin atau jiwa Islam jika zahirnya tidak memikat. Jarang-jarang atau hampir tiada seorang doktor yang berkuku panjang dan hitam berceramah tentang pentingnya menjaga kesihatan!

16) Umat Islam mampu dan sudah berkeupayaan mendirikan masjid yang mahal dan indah. Itulah persepsi orang bukan Islam, saya percaya demikian. Mereka tidak akan mengatakan bahawa pembinaan masjid ini suatu bentuk pembaziran, walaupun wang yang digunakan turut diambil daripada mereka, melalui cukai-cukai dan sebagainya. Walaupun mereka penyumbang cukai terbesar kerana mereka golongan usahawan dan berpendapatan tinggi, namun saya percaya mereka tidak akan mempertikaikan pembinaannya.

17) Saya terdengar ada orang mengatakan bahawa perlukah dibina masjid yang mahal ini sedangkan banyak lagi rakyat yang hidup miskin! Itu soal lain kerana tugas membasmi kemiskinan perlu dilakukan tanpa menjejaskan soal pembangunan yang perlu dilakukan. Sekiranya hanya tumpuan diberikan kepada usaha membasmi kemiskinan, bagaimanakah pula dengan soal-soal lain? Tidak wajarlah kita membuang kail ke laut kerana kita ingin mencari umpan! Tidak wajarlah kita berehat goyang kaki tanpa mencari lauk kerana nasi sudah ditanak! Kerana kedua-duanya kita perlukan. Membuang salah satu bermakna kita tidak menjadi sempurna. Usaha membasmi kemiskinan perlu dan wajib dilakukan untuk membangunkan ekonomi orang Islam, tetapi hal-hal lain perlu dijadikan pertimbangan juga. Kita sering menyalahkan umpan yang tidak elok jika tidak mendapat tangkapan yang baik sedangkan kita tidak melihat joran kita, sama ada sudah berladung ataupun tidak!

18) Saya percaya bahawa pembinaan masjid ini akan menjadi satu mercu tanda kebanggaan ekonomi umat Islam, khususnya di mata orang bukan Islam. Mereka akan meyakini bahawa Islam tidak mengongkong umatnya dengan soal sembahyang (masjid didirikan untuk sembahyang) dan puasa semata-mata. Islam perlu indah dan kelihatan indah. Masjid yang cantik dan menawan akan memberikan tanggapan yang baik kepada Islam itu sendiri.

19) Akhir sekali, saya percaya bahawa akan wujud perbezaan pendapat dalam hal ini. Untuk mencari kelemahan sesuatu bukanlah suatu perkara yang sulit, dan saya percaya perbezaan pendapat akan mendewasakan kita untuk mencapai kebenaran. Pintu perbincangan sentiasa terbuka. Saya mengalu-alukan pandangan saudara, yang mungkin bersetuju ataupun tidak bersetuju. Dalam hal ini, tidak ada sesiapa pun yang kalah atau menang. Kita berbicara tentang keterbukaan fikiran dan pengamatan.

20) Masjid Kristal merupakan satu lambang keagungan Islam. Islam yang indah dan mementingkan keindahan. Saya percaya kunjungan saya ke situ menjadi suatu pengalaman yang menarik. Saya juga percaya bahawa, sebagai kesimpulannya, Masjid Kristal bukan satu pembaziran!

Monday, January 26, 2009

CATATAN DARMAWISATA: SEMALAM DI KUANTAN

26 JANUARI 2009
1. Saya dan keluarga bertolak dari JB pada pukul 10.00 pagi. Sampai Kota Tinggi, terus ke Restoran Nasi Ayam Baseer, dah lama tak pekena nasi ayam dia. (Kalaulah di JB ada cawangan Nasi Ayam Baseer, saya percaya lagi bertambahlah kekayaan taukenya). Ke klinik juga sebab Harith demam dan batuk.
2. Selepas itu, terus bergerak ke Kuantan. Dalam perjalanan, singgah kat Pekan untuk menikmati cendol pulut dan rojak mamak di tepi sungai. Sedap jugak rojaknya.
3. Kami sampai Kuantan lebih kurang pukul 4 petang. Selepas bertanya beberapa buah hotel, bilik penginapan banyak yang sudah penuh. Maklumlah, cuti raya Cina. Yang ada kosong cuma bilik standard. Bilik untuk famili sudah penuh. Memang saya tak ambil bilik standard, untuk mengelakkan saya tidur di atas karpet!
3. Dipendekkan cerita, ketika menghala ke Teluk Cempedak, ternampak sebuah rumah rehat, iaitu Annexe Rest House Kuantan. Di situlah kami menginap. Walaupun bayarannya tidak mahal dan tidak berbintang, tetapi saya mendapati biliknya agak memuaskan. Bilik famili di situ pun sudah habis, yang ada bilik deluxe. (Satu katil besar, satu katil bujang). Terpaksalah ambil juga, kerana peribahasa Melayu mengingatkan saya, takut-takut yang dikejar tak tak dapat, yang dikendong berciciran.
4. Selepas berehat seketika kerana penat memandu tadi, kami ke Pantai/Rekreasi Gelora. Membiarkan anak-anak bermain permainan di situ. Kemudian, ke sebuah gerai makan di situ. Selepas makan, kami ke bandar Kuantan. Bersiar-siar dan kemudiannya berhenti sebentar di depan masjid yang cantik itu. Tak tahu pula nama masjid tu.
5. Kemudian, ke pantai Teluk Cempedak. Ramai betul manusia di situ!
6. Oleh sebab anak yang kecil, Harith tidak begitu sihat, maka saya membatalkan hasrat untuk menghirup udara nyaman tetapi kencang di pantai. Balik ke bilik penginapan.
7. Tengok TV, baca akhbar Siasah, dan kemudiannya setelah semua tidur, saya menaip catatan ini.
8. Esok, selepas sarapan, rasa-rasanya terus ke Kuala Terengganu. Info daripada RAR amat bermanfaat dan maslahat. Terima kasih banyak-banyak, wahai saudaraku, RAR!
9. Esok, saya akan catatkan perjalanan seterusnya. Rasa-rasanya, tidak ada perkara yang menarik berlaku hari ini...Terus Layan!

BERCUTI KE PANTAI TIMUR

Salam penuh hikmah kepada semua pengunjung blog dan rakan-rakan,
Saya dan keluarga akan bercuti ke Pahang dan Terengganu, mulai esok (Isnin). Saya dijangka akan pulang ke JB pada hari Jumaat. Oleh itu, saya berharap agar pengunjung blog atau rakan-rakan yang dapat memberikan info tentang tempat menarik di Pahang dan Terengganu, silalah catat pada bahagian komen. Info daripada tuan-tuan amat diharapkan kerana saya ke sana tanpa ada apa-apa perancangan lagi. Dan info tuan-tuan diharapkan dapat membantu saya sedikit sebanyak. Lap top ini (berserta kemudahan broadband Internet) akan saya bawa bersama.

Doakan saya dan keluarga selamat selama percutian ini. Semoga Allah melindungi kami sekeluarga. Dan satu lagi, blog WITRA tetap akan beroperasi seperti biasa! Terus Layan!

KEWANGAN: STRATEGI PERTAHANAN # 3

KAD KREDIT LAWAN KAD DEBIT
1) Strategi pertahanan kedua, iaitu yang berkaitan dengan kad kredit, telah saya ulas. Pada akhir bicara itu, saya mencadangkan penggunaan kad debit bagi menggantikan kad kredit.
2) Mengapa kad debit? Saya terdengar saudara bertanya...
3) Sebelum saya menjawab pertanyaan itu, secara ringkas, saya ingin menerangkan latar belakang kad debit. Kad debit masih baru diperkenalkan di negara ini, lebih kurang beberapa tahun belakangan ini.
4) Kad ini sebenarnya ialah kad ATM. Kad ATM digunakan untuk menyimpan wang kita ke dalam akaun simpanan. Dan kita mudah mengeluarkan wang kita melalui mesin ATM. (Itu saya tahulah, tok guru!)
5) Ya, itu memang senang untuk difahami sampai budak sekolah tadika pun tahu! Tapi, sayangnya, bapaknya masih tak tahu apa itu kad debit!
6) Kad debit menjadi keperluan pada masa ini untuk kita lebih bijak merancang perbelanjaan atau pengeluaran. Fungsinya sama seperti kad ATM, tetapi ada satu lagi fungsinya yang tidak ada pada kad ATM iaitu kad debit turut berfungsi sebagai kad kredit.
7) Tok guru, jika kad debit sama macam kad kredit, so, what is the problem? (Amboi, cakap oghang puteh, BI dalam SRP/PMR pun merangkak, nak berlagak cakap oghang puteh! SPM jangan ditanya laa..tauge!)
8) Sabar dulu, anak muridku! Kad kredit, jika digunakan, akan dikenakan caj! Itu yang tidak ada pada kad debit!
9) Kalau begitu, baik guna kad debit daripada guna kad kredit! Anda memang jenis manusia yang tak sabar-sabar...Tok guru cakap tak habis lagi, anda dah menyampuk!
10) Ya, anak muridku! Lebih baik gunakan kad debit kerana fungsinya sama seperti kad kredit, tetapi tidak dikenakan caj apa-apa! Bolehkah saya ulangi, perbelanjaan anda dengan kad debit tidak dikenakan sebarang caj!
11) Caj penggunaan kad kredit lazimnya 18% setahun @ 1.5% sebulan, jika pembayaran tidak dilakukan sebelum bil sampai! Bolehkah saudara beritahu saya, apa lagi pinjaman yang mengenakan caj yang setinggi itu! Sebab itulah, bos Maybank dan CIMB naik Mercedez sebab andalah penanggung bayaran ansurannya!
12) Satu lagi, anda boleh menentukan had perbelanjaan anda pada setiap hari atau setiap bulan atau selama-lamanya. Jika anda ada duit, masukkan duit tersebut ke dalam akaun simpanan. Wang itu akan dijanakan ke dalam akaun simpanan anda, dan anda boleh gunakan wang itu melalui penggunaan kad debit. Yang pasti, anda tidak berhutang dengan bank sebab anda berbelanja dengan wang anda sendiri.
13) Hal ini berbeza dengan kad kredit. Anda berbelanja dengan wang milik bank, yang pastinya anda telah berhutang dengan bank. Dan menyebabkan anda bakal menjadi lebih sengsara apabila anda perlu membayar faedahnya yang tinggi.
14) Tok guru, saya masih kurang jelas dengan kad debit? Bolehkah tok guru ulangi?
15) Baiklah, saya ulangi wahai anak muridku yang lembam! Apasal lah engkau belajar kat sekolah ni? Nanti aku hantar engkau kat kelas pemulihan, baru kau tahu!
16) Seperti yang saya nyatakan, kad debit berfungsi seperti kad kredit. Adakah tok guru bermaksud, kad debit boleh digunakan di seluruh dunia?
17) Jawapannya, ya! Jika anda ingin ke luar negara, anda hanya perlu memberitahu pihak bank agar kad debit anda dapat digunakan dan diaktifkan di mana-mana premis yang tertera logo Mastercard, Visa, dsbnya. Tentulah anda terpaksa berusaha sedikit kerana anda telah diberi kemudahan yang banyak. Saya rasa tidaklah sampai anda perlu memecahkan tabung ayam anak anda untuk menelefon pihak bank!
18) Secara umumnya, penggunaan kad debit ini dapat membantu anda untuk merancang kewangan anda dengan lebih baik, selain mendapat kemudahan sama seperti kad kredit. Jika anda memperuntukkan wang ke dalam akaun simpanan ini, anda tidak perlu risau kerana anda tahu jumlah wang yang boleh dibelanjakan. Apatah lagi, rekod perbelanjaan kad debit telah boleh disemak melalui Internet! (Apa nih, tadi dah nak faham, tiba-tiba je keluar Internet!).
19) Yang saya maksudkan ialah, jika anda menggunakan kad debit Maybank (saya gunakan kad debit ini), anda boleh menyemak rekod perbelanjaan anda melalui Maybank2U. Bukankah ini satu lagi kelebihan yang ditawarkan!
20) Masalahnya, tok guru, bagaimanakah jika saya tidak ada duit di dalam akaun simpanan, dan saya amat memerlukan wang! Pasti keadaan ini menyulitkan saya! Lebih baik saya gunakan kad kredit.
21) Jika demikian fikiran anda, saya percaya ibu bapa anda pasti menangis empat belas malam kerana sedih mempunyai anak yang berfikiran dangkal seperti anda! Eh, mana nenek? Oh...nenek kat ICU sebab cucunya tidak cerdik!
22) Tuan-tuan, jika anda tidak ada duit di dalam akaun simpanan, cuba anda minta daripada pengawal keselamatan kat Maybank tu! Manalah tahu dia boleh pinjamkan anda seringgit dua!
23) Jika anda tidak ada duit, nasihat saya ialah jangan mengada-ngada! Carilah duit kerana duit tak terbang melayang berdesup ke dalam poket anda!
24) Adakah anda fikir wang di dalam kad kredit anda tidak akan habis!
25) Saya ingin tegaskan di sini bahawa jika anda berasa penggunaan kad kredit menyenangkan anda, saya tidak berupaya untuk mengubah pendirian anda. Tetapi, sehingga kini, saya tidak nampak apa sebabnya saya perlu mengelakkan diri daripada menggunakan kad debit!
26) Rumusnya, jika saya perlukan wang tunai, saya boleh keluarkan wang itu dengan kad debit kerana kad debit itu kad ATM. Jika saya perlu membuat bayaran secara kad (tanpa wang tunai), saya gunakan kad debit kerana kad itu berfungsi seperti kad kredit.
27) Jadi, apa masalahnya? Eh, tok guru! Ada masalahnya?
28) Ya, apa masalahnya? Jangan tanya saya siapa perdana menteri Papua New Gunea, memang masalah besar tu!
29) Masalahnya ialah, kad debit tidak mengenakan caj atau faedah, kan?
30) Bijak...bijak...kita minum dulu! Terus Layan!

Friday, January 23, 2009

TATABAHASA: PELAKUAN ATAU PERLAKUAN

AYAT YANG SALAH
1. *Pelakuan pekerja di kilang itu sering diperhatikan oleh majikannya.
2. *Pelakuan para pelajar perlu seiring dengan peraturan yang telah ditetapkan.
Huraian:
Perkataan pelakuan tidak tersenarai dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Sebaliknya, perkataan perlakuan digunakan yang membawa maksud “apa-apa yang dilakukan atau perbuatan”. Oleh sebab itu, perkataan yang sepatutnya dalam ayat di atas ialah perlakuan.

AYAT YANG BETUL
1(a). Perlakuan pekerja di kilang itu sering diperhatikan oleh majikannya.
2(a). Perlakuan para pelajar perlu seiring dengan peraturan yang telah ditetapkan.

Gunakanlah bahasa Melayu dengan betul.

TATABAHASA: DUA SUKU JAM ATAU DUA JAM SUKU

AYAT YANG SALAH
*Pelajar itu menunggu rakannya selama dua suku jam.
*Lelaki itu membeli senaskhah majalah dengan harga lima setengah ringgit.
Huraian:
Dalam ayat di atas, kata bilangan tentu perlu diikuti oleh unit (jam, kilogram, dll.) dan seterusnya kata bilangan pecahan. Kata bilangan tentu dua dan lima tersebut perlu diikuti oleh unit dan diikuti kata bilangan pecahan.


AYAT YANG BETUL
1(a). Pelajar itu menunggu rakannya selama dua jam suku.
2(a). Lelaki itu membeli senaskhah majalah dengan harga lima ringgit setengah.


Diharapkan agar para pengunjung blog WITRA dapat menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan tepat.

Thursday, January 22, 2009

PPSMI: KARTUN PUN FAHAM TENTANG ISU SEBENAR PPSMI

UNTUK PENULIS ARTIKEL DI BAWAH (TUN FAISAL), HANG TIDAK LAYAK UNTUK BERCAKAP TENTANG PPSMI KERANA HANG TIDAK TAHU REALITI SEBENAR. OLEH SEBAB AKU NI CIKGU, AKU TAHU APA YANG BERLAKU DI SEKOLAH. HANG HANYA TAHU NAK BODEK SEBAB HANG DAPAT RUANGAN DALAM AKHBAR (PASTINYA HANG DAPAT DUIT!). TAKKAN HANG NAK CAKAP PPSMI TAK BAGUIH PASAI HANG TULIS DLM RUANGAN AKHBAR KERAJAAN. KALAU HANG NAK TAU, HANG PI LAH TENGOK GURU-GURU PPSMI DI SEKOLAH. MEMANG ADA CIKGU YANG BAGUIH, TAPI YANG TAK BAGUIHNYA BERLAMBAK-LAMBAK! HANYA NAK MAKAN DUIT ELAUN SAJA! NAK BELASAH LAP TOP YANG KERAJAAN BAGI FREE! YANG NI HANG TAK TAU PASAI HANG RASA PENDAPAT HANG DAH CUKUP POWER! AKU TAU BILA HANG TULIH MACAM NI, RAMAI YANG AKAN RESPONS KAT HANG. BARU HANG BOLEH POPULAR! PASAI, SAPA PUN TAK KENAI HANG! CARA HANG TULIH, NAMPAK SANGAT KEBODEKAN HANG. KONON-KONON HANG TERER! LEPAIH NI KALAU KERAJAAN BATALKAN PPSMI, AKU NAK TENGOK HANG NAK KATA APA PULAK! AKU DAH BULEH AGAK, HANG MESTI KATA BAHASA MELAYU PATUT DIDAULATKAN PULAK! YALAH, CARI MAKAN BRO...! OGHANG MACAM HANG BUKAN ADA SORANG DUA, BERLAMBAK-LAMBAK AKU DAH JUMPA. KONON-KONON DGN SOKONG PPSMI, NAMPAK KITA NI EDUCATED, NAMPAK KITA NI OGHANG TOWN, PIIRAHHH...! AKU YG CAKAP DAN TULIH DLM BAHASA MELAYU TAK KEMARUK PUN. AWAT, HANG INGAT HANG MODEN SANGAT. SATU LAGI, AKU NAK TANYA, MAK BAPAK HANG OGHANG PUTIH KA? JANGAN DOK BERLAGAK SANGAT LAH, OGHANG NAIK CEMUIH DAH! DAH LAMA DAH OGHANG LAIN CAKAP MACAM HANG JUGAK. HANG INGAT HANG MACAM CHE DET KA? SUDAHLAH, HANG TULIH BAB LAIN LAGI BAGUIH LAA. KALAU OGHANG NAK USUNG KERANDA KA, NAK USUNG HANG KA, LANTAK LA KAT DEPA. YANG HANG DOK SIBUK PASAI PA. ESOK-ESOK HANG MATI, KERANDA HANG YANG AKAN ANGKAT, AKU RASA OGHANG YANG CAKAP MELAYU JUGAK! OGHANG MACAM HANG JENIS YANG TAK SEDAQ DIRI, YANG BERLAGAK JE LEBIH (KALAU HANG NAK TAU, LIM GOH TONG TAK TAU CAKAP SEPATAH PUN BI DAN DIA JAUH LEBIH KAYA DARIPADA HANG!) - HANG KAYA KA? NEGARA JEPUN, KOREA, PERANCIS, DAN CHINA, KALAU DEPA BACA TULISAN HANG, DEPA GELAK NAK MAMPUIH! KALAU HANG NAK TAU, PRESIDEN PERANCIS YG DULU, APA NAMA DIA, CHIRAC KOT, TAK RETI CAKAP OGHANG PUTEH PUN, TAPI DIA PRESIDEN PERANCIS DAN DIA PUN NAIK MELUAT DGN OGHANG YANG BERLAGAK DGN BI NIH! ITU PRESIDEN, BRO! HANG, TAKAT TULIH DLM RUANGAN AKHBAR SISIPAN JE (AKHBAR TUTOR UTK BUDAK SEKOLAH LA!) PUN BERLAGAK LEBIH DRPD PRESIDEN PERANCIS. HANG BELAJAQ LAGI LAA. LAGI BANYAK HANG TULIH TTG PPSMI, LAGI NAMPAKLAH HANG TU TAK DAK AKAI!

PPSMI: BACALAH PANDANGAN JUAK-JUAK YANG SOMBONG, ANGKUH DAN BIADAP!

PPSMI – Antara yang emosional dan rasional
Oleh TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
(dipetik daripada akhbar sisipan Utusan Malaysia)

Emosional. Itu persepsi sesetengah pihak bila melihat cara dan mendengar hujah pihak tertentu yang menentang program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) semasa Persidangan Meja Bulat PPSMI kelima.

Sebenarnya tidak perlu mengutarakan hujah dengan nada suara yang keras, mengeluarkan kata-kata yang kasar dan ugutan. Saya memuji wakil Parent Action Group For Education (PAGE) yang mengemukakan hujah dengan tenang. Yang penting bukan nada suara yang keras, tetapi hujah yang disokong fakta yang kukuh.

Seperti yang dijelaskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), tujuan siri persidangan meja bulat diadakan adalah untuk menyediakan seluas-luas platform untuk semua pihak mengemukakan pandangan dan bukan untuk membuat sebarang resolusi. Jadi tidak perlu kita membentak-bentak dan memaksa-maksa pandangan kita terhadap peserta lain. Tidak perlu menipu dan tidak perlu menuduh dengan tuduhan yang direka-reka.

Seorang profesor, misalnya, mengatakan bahawa PPSMI tidak memberikan sebarang kesan positif terhadap pencapaian pelajar selepas enam tahun pelaksanaannya sedangkan sewaktu beliau berhujah demikian, tiada sebarang kajian atau data yang dirujuk. Rasionalkah beliau?
Bagi saya, kenyataan itu lahir akibat beliau terbawa-bawa oleh emosi. Dari segi logik dan kebiasaan, semakin terdedah seseorang kepada sesuatu, maka semakin mudah seseorang menguasainya. Tidak mungkin kenyataan ini keluar jika beliau merujuk kepada fakta.

Dari segi fakta, pembentangan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), Datuk Alimuddin Mohd Dom mengenai analisis UPSR menunjukkan bahawa masa dedahan yang lebih terhadap bahasa Inggeris (BI) menyebabkan pertamanya, tahap keyakinan pelajar untuk menjawab soalan dalam BI semakin meningkat; keduanya, pencapaian pelajar dalam mata pelajaran BI juga meningkat.

Seorang bekas pegawai KPM pula menuduh seolah-olah KPM memanipulasi keputusan UPSR dan menurut cerita pihak tertentu beliau juga turut mengatakan bahawa “dahulu kita juga membuat perkara yang sama.” Hakikatnya bukan mudah untuk memanipulasi keputusan peperiksaan awam kerana standardnya turut ditentukan oleh pihak luar dan jika sebarang pengubahan dibuat, ia bukan sekadar menjejaskan keputusan peperiksaan pelajar tahun tersebut, malah beberapa tahun yang akan datang.

Rasionalnya; beliau tahu realiti ini dan beliau tahu tidak mudah melakukannya. Malangnya beliau terperangkap dengan emosi untuk menentang dasar PPSMI sehingga sanggup menuduh yang bukan-bukan.

Bagi saya, jika suatu masa dulu, sebagai pegawai KPM beliau gagal berpegang kepada integriti, kenapa sekarang kita perlu menyakini integriti beliau dalam membentangkan sebarang kajian? Tidakkah ada kemungkinan beliau memanipulasi data semata-mata untuk menyokong pendirian beliau?

Satu lagi tindakan yang boleh dianggap emosional adalah apabila sebuah organisasi yang kononnya mewakili sekitar 350,000 orang guru, mendakwa bahawa guru sebulat suara menolak PPSMI. Kenyataan ini disangkal keesokan harinya oleh kesatuan guru yang lain, termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Lebih memalukan bukan sahaja kenyataan majlis tersebut dipersoalkan malah mandat bahawa ia benar-benar mewakili golongan guru dan statusnya turut dipertikaikan.

Apabila ada pihak berhujah bahawa subjek sains dan matematik perlu diajar dalam bahasa ibunda untuk memastikan anak-anak kita berjaya menguasai subjek tersebut dengan lebih baik, adakah hujah ini rasional?

Sedangkan kita menyedari sebelum adanya PPSMI, di sekolah kebangsaan (SK) ramai anak-anak etnik bumiputera selain Melayu dan kaum bukan Melayu yang mempelajari kedua-dua subjek ini dan subjek-subjek lain di dalam bahasa kebangsaan; bukan bahasa ibunda mereka, tetapi mereka masih dapat menguasainya dengan cemerlang?

Adakah kita lupa bahawa subjek seperti Sejarah, Geografi, Pendidikan Islam, Prinsip Akaun dan Perdagangan diajar dalam bahasa kebangsaan, tetapi masih ada anak-anak kita yang gagal dan gagal menguasai subjek-subjek ini.

Bukankah anak-anak bukan berketurunan Cina yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) juga ada yang cemerlang walaupun dipaksa mempelajari semua subjek kecuali Bahasa Melayu di dalam bahasa Mandarin. Rasionalkah? Sedangkan ada pihak yang berhujah bahawa Mandarin bukan bahasa ibunda orang Cina?

Rasionalkah juga apabila ada yang mahu mengusung keranda bagi memprotes PPSMI. Benarkah bahasa Melayu akan terkubur jika PPSMI diteruskan?
Rasionalnya, masih banyak mata pelajaran diajar dalam bahasa kebangsaan. Ia tidak akan terkubur. Ia mungkin menjejaskan sedikit sebanyak pembangunan bahasa kebangsaan dalam bidang Sains dan Teknologi, tapi itu tidak bermaksud kita tidak boleh mencari jalan untuk mengurangkan kesannya.

Lagi pula komitmen kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu tidak boleh dipersoalkan. Kerajaan tidak mengubah medium di sekolah kebangsaan. Bahasa Melayu masih merupakan subjek yang wajib bukan sahaja di sekolah-sekolah kerajaan, malah sekolah swasta dan antarabangsa. Majlis rasmi dan aktiviti kokurikulum terus dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan. Malah di KPM, usaha untuk memartabatkan kegiatan kebahasaan lebih banyak dilaksana dan dianjurkan berbanding jumlah kegiatan yang dianjurkan oleh pihak-pihak yang mahu mengusung keranda tersebut!

Apa yang dikesalkan, ada pihak, terutama yang masih muda, tidak benar-benar tahu kenapa mereka perlu mengusung keranda. Saya pernah bertemu dan berbincang dengan sekumpulan anak muda yang begitu bersemangat menentang PPSMI atas dasar memperjuangkan bahasa. Malangnya apabila ditanya sama ada mereka tahu apa yang berlaku dalam usaha memperkasa bahasa kebangsaan di sepanjang tempoh 20 tahun ini, mereka hanya terpinga-pinga. Ada yang tidak tahu pun apa Dasar Buku Negara dan tidak pernah membaca mengenainya.

Lebih menghairankan, ada yang beriya-iya berjuang mempertahankan bahasa tetapi tidak pula mengambil endah dan menganggap jijik perjuangan mempertahankan bangsa. Apa guna perjuangan bahasa, jika sudah tiada tempat untuk perjuangan bangsa! Ikhlaskah mereka?

Tun Faisal Ismail Aziz
tunfaisal@yahoo.com

Tuesday, January 20, 2009

TEMU RAMAH DENGAN PROF.DR.AWANG SARIYAN TENTANG PENENTANGAN PPSMI

DIPETIK DARIPADA HARAKAHDAILY.NET
Menyandar harapan pada Pakatan Rakyat hapuskan PPSMI!


Prof. Dr Awang Sariyan, salah seorang tokoh bahasa yang lantang serta tidak putus-putus menyuarakan bantahan mengenai pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris(PPSMI). Sekali lagi Harakah mendapatkan pandangan beliau mengenai isu terkini. Ikuti temubual Wartawan NYZA AYOB bersama beliau yang juga Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia � China, Universiti Pengajian Asing Beijing baru-baru ini. Dr Awang juga bekas Presiden Persatuan Linguistik Malaysia(PLM).

HARAKAH: Menteri Pelajaran Malaysia, Dato' Seri Hishamudin Tun Hussin mengatakan akan meneruskan dasar PPSMI ini walaupun mendapat bantahan daripada pejuang bahasa. Apa respons Prof?
PROF. DR AWANG SARIYAN
: Soal ada ugutan atau tidak, beliau mesti berfikir secara rasional. Bukan ertinya meneruskan pelaksanaan tersebut disebabkan ada ugutan. Jika tidak ada ugutan pun dia harus menghentikan juga pelaksanaan PPSMI itu kerana rasional telah diberikan. Kajian telah dibuat, pandangan telah diberikan baik dari segi falsafah, dari segi dasar negara dan dari segi amalan atau praktiknya PPSMI itu tidak akan membawa kita ke mana-mana.
Bahkan ia akan menjerumuskan kita kepada satu bencana. Jadi, tanpa ugutan pun dia patut berfikir secara rasional dan menghentikan dasar yang tidak betul itu. Dasar itu tidak betul dari segi dasar negara kerana bertentangan dengan Dasar Kebangsaan, Akta Pendidikan 1986 serta akta-akata lain termasuk Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pada pandangan Prof, adakah tindakan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang merancang untuk menghimpunkan 100,000 orang bagi bantahan dasar ini, betul-betul dapat mendesak kerajaan untuk memansuhkan PPSMI ini?
Boleh atau tidak itu soalan kita. Ini kerana kuasa eksekutif itu terletak di tangan kerajaan yang memerintah. Kita ada amanah dan tanggung jawab serta pandangan. Dan ini mesti dilihat secara serius sebagai satu sumbangan pemikiran. Kalau pemikir dan ahli ilmu tidak lagi dihormati, kerajaan mestilah berani menanggung akibat seperti dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud "Apabila ahli ilmu tidak lagi dihormati,tibalah saat kehancuran sesuatu bencana itu".
Itu amaran yang diberikan dalam al-Quran. Kita memang tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan dasar tersebut tetapi kita hanya boleh mendesak atas dasar ilmiah serta atas dasar rasional.
Jadi, mereka mesti membuka pintu hati walaupun hati telah tertutup, tetapi masih ada ruang untuk membuka pintu hati bagi memikirkan rasional PPSMI itu dihentikan.
Saya berharap dengan adanya gerakan seperti ini bagi membentuk perarakan mengadap Yang Di Pertuan Agung dan perarakan keranda 152 oleh Gapena, diharap akan menjadi satu bentuk momentum daripada usaha kita selama ini.
Yang mana usaha kita selama ini dengan pelbagai cara seperti bantahan melalui seminar, melalui memorandum serta pertemuan secara bersemuka dengan pemimpin-pemimpin.

Tidakkah langkah yang diambil ini agak lewat?
Hishamudin pernah menyatakan dahulu, kenapa sekarang kumpulan-kumpulan ini membantah. Gerakan ini tidak boleh dianggap satu gerakan yang lewat kerana sejak dahulu lagi kita berjuang mempertahankan isu ini. Tetapi kita berbudi bahasa.
Kita bercakap secara ilmiah serta berunding secara halus. Tetapi jika itu juga tidak difahami, ada usaha yang lebih dapat membuka mata mereka iaitu dengan gerakan secara lebih agresif, tetapi masih dalam lingkungan undang-undang.
Kita melaksanakan himpunan 'halal' dan diharap akan diberi permit. Ini merupakan perhimpunan suara rakyat bukannya perhimpunan menentang kerajaan. Jika mereka faham, perhimpunan ini sebenarnya menyokong kerajaan kerana mempertahankan dasar negara. Jika kerajaan salah bertindak, kita mesti tegur kerana itulah peranan ahli ilmu atau pemikir.Nanti kita pula dituduh tidak memberi pandangan.

Ada yang berpandangan pihak lain tidak boleh mengubah dasar ini kecuali Umno sendiri...
Kita tidak mengatakan Umno sahaja boleh ubah tetapi kerajaan yang memerintah. Jadi, kerajaan sekarang adalah Barisan Nasional (BN). Sepatutnya semua parti dalam Barisan Nasional bermuhasabah dan meneliti kesilapan yang telah berlaku. Seterusnya mereka harus kembali kepada dasar yang betul. Kuasa di tangan kerajaan.

Harapan Prof terhadap pemimpin Pakatan Rakyat dan BN yang akan menerima memorandum daripada Gerakan Mansuhkan PPSMI ini pada 15 Januari ini di Kuala Terengganu Ketika berlangsungnya kempen Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu?
Harapan saya ialah agar pemimpin ini akan berfikir secara rasional dan menerima kebenaran. Sebenarnya apa yang dikemukakan dalam memorandum ini adalah perkara yang telah bertahun-tahun kami kemukakan sejak PPSMI dijadikan dasar pada 2002.
Memorandum daripada kami ini harus dilihat ikhlas daripada pejuang bahasa, cendikiawan, pemikir dan ahli ilmu. Ia tidak harus dianggap remeh dan tidak menghormati pemikir-pemikir yang sebenarnya dihasilkan oleh negara untuk membantu negara.
Kalau mereka meremehkan ilmu budayawan dan cendikiawan, ertinya negara ini tidak memerlukan golongan cendekiawan dan ahli ilmu. Dan mungkin hanya memerlukan ahli ekonomi sahaja.

Sudah berkali-kali Prof membangkitkan isu PPSMI ini. Mungkin ada lagi yang masih terbuku di hati Prof mengenai isu ini setelah berkali-kali menyuarakan tentangan dan bantahan?
Saya sudah lama dan banyak kali meluahkan mengenai isu ini. Hingga tidak tahu apa lagi yang hendak dinyatakan. Cuma apa yang dapat saya nyatakan lagi, kita jangan melaksanakan sesuatu yang bertentangan dengan dasar yang telah diputuskan sendiri.
Kita yang cipta dasar itu tetapi kita yang menentang. Ini adalah munafik. Kita yang membuat dasar itu, iaitu Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dibuat oleh pemimpin kerajaan sendiri. Kenapa itu pula yang dilanggar?

Harapan Prof?
Saya berharap mereka (BN) jangan menjadi golongan hipokrit, lain yang dibuat lain yang dilaksanakan. - azm _

Monday, January 19, 2009

PUISI: SUMPAH BAHASA

Soal bahasa bukan soal remeh atau yang boleh diperlekeh! Tetapi, hari ini, kita melihat soal ini bukan sahaja tidak diberi ruang untuk bernafas, malahan bahasa Melayu telah diperlekeh oleh bangsanya sendiri! Lihatlah kenyataan demi kenyataan oleh para pemimpin tentang soal bahasa. Kadang-kadang saya terfikir, mengapa tidak dipinda atau dimansuhkan sahaja Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan itu? Habis cerita... Kita telah selalu dimomokkan dengan retorik yang berjela-jela. Kita seperti orang bodoh yang tidak tahu apa-apa. Kita dianggap ketinggalan zaman kalau bercakap dalam bahasa Melayu. Kita dilabelkan sebagai antikemajuan jika menulis dalam bahasa Melayu. Kita dicap sebagai golongan yang ekstrem dan penentang jika mempertahankan bahasa Melayu. Mungkinkah nasib bahasa Melayu akan terbela lagi?

SUMPAH BAHASA
Agak lama suara ini seperti menumpul
bagai bertapa dalam debar mencabar
menanti seorang wira yang akan muncul
melaungkan bicara tentang sumpah bahasa.

Barangkali
bahasa ini sedang meratap
di sebuah perbukitan yang mengharap
kembalikan wibawa di pentas persada
julangkan semula taraf yang dipersenda
janganlah nanti kita berdukacita dan lara
melihat bangsa mengusung keranda bahasa!

Tidak sesekali akan berundur
jiwa bahasa ini pasti tidak akan luntur
demi sebuah bangsa yang merdeka
bahasa ini akan terus bersuara
melaungkan sumpah untuk terus berjasa.

Sejarahnya mengangkat bangsa yang waja
berada di takhta, wajar menjadi petanda
bahasa ini harus berbangga atas sifatnya
santun berbicara, tegar berhujah, batil disanggah
membangunkan nusa, membangkitkan bangsa
menyatukan warga tanpa sekelumit prasangka
mendirikan kota, menyalurkan pengetahuan
menafaskan jati diri mengukuh peribadi
di tanah yang merdeka ini, kita wajar berbangga
dengan bahasa yang menumpahkan andilnya.

PUISI: BARA DI GAZA

Pada minggu lalu, saya menerima sms (sistem mesej singkat) daripada Tuan Haji Rosli Bakir (Setiausaha 1, Persatuan Penulis Johor). Beliau berharap agar para penulis di negeri Johor dapat menyumbangkan sebuah puisi tentang konflik Palestin/Israel untuk diantologikan oleh PPJ. Saya perturunkan puisi yang saya hantar kepada beliau. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada PPJ kerana memberikan peluang kepada saya untuk melontarkan bait bicara penuh dendam amarah kepada bangsa laknat itu.

BARA DI GAZA
Dataran bara telah lama menyala
memanggang kaki dan tangan mentah
menyiat dan menyayat parut sejarah.

Berkajang dusta telah mengelar maruah
mencarik resolusi dan membakar sejadah
mendung yang kelabu melitupi langit biru
dan tanah yang sering membasah pilu
berdebu berabu sumpah yang satu
dengan nafas yang terbujur kaku
tiada upaya untuk bersuara lagi
satu mata dunia menjadi saksi
melihat tragedi menyalakan api.

Bertanyalah kemungkaran
di manakah keadilan
yang telah lama dikuburkan
bersama-sama gencatan
dan ilusi serta sepicing mimpi.

Malam gelisah ini makin membara
pelbagai petanda dan petaka
silih berganti di takhta musykil
nama kebebasan jua kedaulatan
semakin mereput dan bernanah
bergema di gempita api yang murka
di kaki bedilan bangsa yang laknat
yang bakal menghuni api yang mereka
nyalakan kini dengan angkuh.

Tiada lagi bicara hikmah
sumpah juang jihad fisabillah
kerana umat sudah tidak berdaya
semangat telah lelah dan parah
melecur dan kemudian rebah
menunggu masa untuk ditalkinkan
di bawah satu panji kesyahidan
demi sekangkang tanah
yang bermaruah.

Saturday, January 17, 2009

CERAMAH DI SK TAMAN BUKIT MEWAH

Hari Rabu, 14 Januari 2009, saya telah diundang oleh pihak SK Taman Bukit Mewah untuk menyampaikan ceramah tentang tatabahasa dan penulisan surat rasmi kepada guru di sekolah itu seramai 40 orang. Seronok rasanya dapat berjumpa dengan guru-guru di sekolah itu yang mesra dan saya perhatikan kesemua guru aktif semasa program berlangsung.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Guru Besar sekolah itu, Puan Hajah Siti Esah bt. Haji Yaakub, Pn. Salmiah binti Ahmad (GPK 1), Encik Syariat (GPK HEM), dan Encik Anuar (GPK Kokurikulum) yang amat peka dan memberikan sokongan yang padu untuk memastikan program berlangsung dalam keadaan yang baik. Tidak lupa kepada Pn. Jalilawati Hj. Jamian, Pn. Rohayati Abd. Rahman, dan semua guru SKTBM yang begitu komited untuk memastikan program berjalan lancar. Tahniah kepada semua warga SKTBM yang menyedari bahawa ilmu bahasa Melayu amat penting untuk dipelajari dan dikuasai. Atas layanan yang amat memuaskan, saya ucapkan ribuan terima kasih dan jika ada kesempatan, harap-harap kita dapat berjumpa lagi! Mohon maaf jika ada terkasar bahasa semasa berceramah. Manalah tahu, ada yang tersinggung kerana saya tidak pandai untuk menjadi serius waktu berceramah! Saya doakan SKTBM akan terus cemerlang kerana USAHA YAKIN JAYA!

Thursday, January 15, 2009

MALAM GELISAH

Entah mengapa, akhir-akhir ini saya sering mendengar dan menyanyikan lagu "Malam Gelisah" seorang diri. Lagu ini selalu saya dengar semasa memandu kereta. Lagu yang terdapat dalam album "Double Trouble" nyanyian kumpulan Wings ini memang otai! Saya perturunkan lirik lagu ini. Lirik lagu ini ditulis oleh arwah Loloq dan pastinya, jikalau dihayati lirik dan lagu ini, saya percaya ada sesuatu makna yang tersirat. Terus layan!

MALAM GELISAH

Malam ini malam gelisah
terhantuk bendul bagai memberi petanda
aku mesti melangkah pergi mencari
penawar jampi petua pelindung sakti

Semua yang berlaku
aku dah menjangka
akibat melangkah garisan merah
melawan arus putaran dunia yang rakus
seluruh tubuh terasa terbakar (terbakar)

Luar kedinginan dalam bahang menyala
kalaulah ada pilihan
antara hidup dan mati
aku pilih mati
jauh dari bencana hidup

Malam ini malam gelisah
untuk yang berwajah-wajah
dan kalau aku temui penawar dukaku
aku dedikasikan malam ini
untuk manusia seperti aku!

Wednesday, January 14, 2009

TATATABAHASA: MORFOLOGI BAHASA MELAYU

(Saya dedikasikan bahan di bawah kepada sesiapa yang berhasrat untuk mendalami tatabahasa bahasa Melayu. Diharapkan bahan yang ringkas ini dapat memberikan faedah kepada kita untuk menggunakan bahasa Melayu dengan baik agar kesalahan bahasa dapat dielakkan. Sekiranya para pengunjung blog WITRA mempunyai persoalan atau kemusykilan tentang tatabahasa, saya sedia membantu. Kemukakan masalah atau kemusykilan tersebut untuk saya jawab atau ulas melalui blog ini. Terima kasih).
MORFOLOGI
PROSES PEMBENTUKAN KATA

1) Penggandaan
2) Pemajmukan
3) Pengimbuhan
4) Pengakroniman

PENGGANDAAN
Proses penggandaan dalam bahasa Melayu ialah proses yang menggandakan kata dasar. Dalam proses demikian, kata dasar boleh mengalami penggandaan penuh atau penggandaan separa. Kata dasar boleh digandakan secara berentak, iaitu berdasarkan rentak bunyi tertentu.
Tiga Jenis Penggandaan
a) penggandaan penuh
b) penggandaan separa
c) penggandaan berentak

Penggandaan Penuh
Penggandaan penuh ialah proses yang menggandakan keseluruhan kata dasar, sama ada kata dasar itu mengandungi imbuhan ataupun tidak.
Contohnya:
pulau-pulau suku-suku tinggi-tinggi
cantik-cantik buku-buku kura-kura
tiba-tiba mata-mata fail-fail
pemimpin-pemimpin kehendak-kehendak pelatih-pelatih
persatuan-persatuan petugas-petugas pelajar-pelajar

Penggandaan Separa
Penggandaan separa ialah proses yang menggandakan sebahagian daripada kata dasar sahaja. Kata dasar boleh merupakan kata tunggal ataupun kata terbitan. Penggandaan separa boleh berlaku di hadapan atau di belakang kata dasar.
Contohnya:
berlari-lari sepandai-pandai berturut-turut
kejar-mengejar tolong-menolong kasih-mengasihi
lelaki tetamu sesiku

Penggandaan Berentak
Penggandaan berentak ialah proses yang menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Penggandaan ini dibahagikan kepada tiga jenis.
Contohnya:
Pengulangan vokal Pengulangan konsonan Bebas
sayur-mayur gunung-ganang anak-pinak
kuih-muih mundar-mandir saudara-mara
hina-dina bolak-balik titik-bengik
Kata ganda perlu diletakkan tanda sempang (-).

PEMAJMUKAN
Proses pemajmukan ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna tertentu. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain.
Contohnya:
jalan raya tengah hari lebuh raya warga kota
bandar raya atur cara kereta api sari kata
ambil alih urus setia susun atur reka bentuk
maklum balas kemas kini kertas kerja gambar rajah

Kata yang telah mantap dieja sebagai satu perkataan.
antarabangsa
beritahu
bumiputera
jawatankuasa
kakitangan
kerjasama
olahraga
matahari
setiausaha
sukarela
suruhanjaya
tandatangan
tanggungjawab
warganegara
pesuruhjaya
perkataan yang tergolong dalam golongan kata tertentu dieja bercantum juga
peribadi (kn)
peribahasa (kn)
dinihari (kn)
hulubalang (kn)
perikemanusiaan (kn)
sukacita (ka)
dukacita (ka)
kepada (ksn)
daripada (ksn)
apabila (kh)
manakala (kh)
padahal (kh)
darihal (kh)
barangkali (kh)
kadangkala (kh)
apakala (kh)
walhal (kh)
bagaimana (kt)

Pengimbuhan kata majmuk
Kata yang menerima awalan atau akhiran sahaja ditulis sebagai dua perkataan.
Contohnya:
diambil alih menerima pakai kenal pastikan
diguna semula bercampur aduk berurus niaga

Kata yang menerima apitan ditulis sebagai satu perkataan.
Contohnya:
pengambilalihan pengenalpastian mencampuradukkan
pengemaskinian diurusniagakan kedayaserapan
menggarispusatkan menyatupadukan persuratkhabaran
penguatkuasaan penambahbaikan menguatkuasakan

Penggandaan kata majmuk
Kata yang dieja bercantum hendaklah digandakan keseluruhan kata atau unsur.
Contohnya:
tandatangan-tandatangan setiausaha-setiausaha
pesuruhjaya-pesuruhjaya warganegara-warganegara
jawatankuasa-jawatankuasa kakitangan-kakitangan

Kata yang ditulis terpisah digandakan pada unsur atau kata pertama sahaja.
Contohnya:
alat-alat tulis gambar-gambar rajah
balai-balai raya suku-suku kata
garis-garis pusat kapal-kapal terbang
Menteri-Menteri Besar Naib-Naib Canselor
Penolong-Penolong Pendaftar Ketua-Ketua Menteri

PENGIMBUHAN
Pengimbuhan ialah proses yang menggandingkan imbuhan pada kata dasar. Pengimbuhan ini melahirkan bentuk perkataan yang disebut kata terbitan. Imbuhan dapat dibahagikan kepada empat jenis, iaitu:
1) awalan
- awalan kata nama (pelari, pembawa, pendatang, penggali, pengebom, pelajar, perbara, pesara, ketua, juruukur, mahasiswa, tatacara, prasejarah, subsistem, supranasional, ekawarna, dwifungsi)
- awalan kata kerja (melawan, membawa, mendaki, menggali, mengecat, memperhamba, berganti, berupa, belajar, terjebak, diatur, dipercepat)
- awalan kata adjektif (terbesar, terendah, sebaya)
2) akhiran
- akhiran kata nama (pakaian, sasterawan, seniman, olahragawati, nasionalisme, hadirin, hadirat, ustazah)
- akhiran kata kerja (buatkan, turuti)
3) apitan
- apitan kata nama (pelaksanaan, pembuatan, pentakrifan, penggunaan, pengehadan, pesisiran, persalinan, pelajaran, kelainan)
- apitan kata kerja (memainkan, mendermakan, membaharukan, menggunakan, mengepinkan, beralaskan, berlanjutan, dibiarkan, melalui, mencurigai, membohongi, menganggotai, didekati, diperdengarkan, diperingati, memperlihatkan, memperingati, kehujanan)
- apitan kata adjektif (keinggerisan)
4) sisipan
- kata nama (kelengkeng, telunjuk, kelabut, keruping, seruling, serabut)
- kata adjektif (kelebak, selerak, gelembung, gerodak, gemilang, semerbak, gemerlap, sinambung)
- kata kerja (jelajah, gelegak)

BEBERAPA PANDUAN MENENTUKAN IMBUHAN YANG BETUL
1. pelantikan atau perlantikan
kata dasar = lantik kata kerja transitif = melantik
rumus – meN-… akan berpadanan dengan peN-…
rumus – beR-…akan berpadanan dengan peR-…
= melantik – pelantikan
contoh lain = melucut (pelucutan), meletakkan (peletakan), melaksanakan (pelaksanaan)
melanggar (pelanggaran) berlanggar (perlanggaran)

2. memperbesar atau memperbesarkan
kata dasar = besar golongan kata = kata adjektif
rumus – apitan rangkap memper-…-kan digunakan bersama-sama dengan kata nama, kata kerja
rumus – apitan rangkap memper-… digunakan bersama-sama dengan kata adjektif
= memperbesar ( / ) memperbesarkan ( X )
= mempertingkatkan ( / ) mempertingkat ( X )
= mempersembahkan ( / ) mempersembah ( X )
perbezaan antara “membesarkan” dengan memperbesarkan”
- meN-…-kan = menjadikan sesuatu bersifat dengan adjektif itu
- memper-…= menjadikan sesuatu bersifat lebih
= membesarkan – menjadikan sesuatu yang kecil lebih besar
= memperbesar – menjadikan sesuatu yang sedia besar lebih besar

3. p, t, k, dan s
- kata dasar yang bermula dengan konsonan p, t, k, dan s akan diluluhkan apabila diimbuhkan dengan imbuhan meN-… dan peN-…
- pasti - memastikan mempastikan (X)
- tenteram - menenteramkan mententeramkan (X)
- kagum - mengagumkan mengkagumkan (X)
- sejahtera - menyejahterakan mensejahterakan (X)

4. awalan beR-…
- melalui rumus disimilasi, apabila suku kata pertama kata dasar mempunyai -er-, maka imbuhan ber- akan menjadi be-, contohnya kerja akan menjadi bekerja.
- tetapi, yang lain tidak sedemikian, seperti bercermin, berserta, berserban, dan berterbangan
- begitu juga dengan tersergam dan terserlah.

5. “k” atau “kk”
- kata nama terbitan tidak ada yang berakhiran –kan.
- kata kerja terbitan tidak ada yang berakhiran – an.
= Galakan yang diterima daripada gurunya amat dihargai.
= Gurunya menggalakkan dia melibatkan diri dalam kegiatan sukan.

6. “g atau “gg”
- gali – menggali gembleng – menggembleng gembala – menggembala

CONTOH KESALAHAN IMBUHAN DAN PEMBETULANNYA BERDASARKAN RUMUS TATABAHASA

SALAH BETUL
mengenengahkan mengetengahkan
mengenepikan mengetepikan
beserta berserta
memperolehi memperoleh
mempastikan memastikan
mengkagumkan mengagumkan
mengwujudkan mewujudkan
merbahaya berbahaya
mengswastakan menswastakan
nasionalisma nasionalisme
patriotisma patriotisme
pesaraan persaraan
perlaksanaan pelaksanaan
perlantikan pelantikan
perletakan peletakan
mekanisma mekanisme
menakrifkan mentakrifkan
memperuntukan memperuntukkan
peruntukkan peruntukan
perlabelan pelabelan
menakibatkan mengakibatkan
pengwartaan pewartaan
perlesenan pelesenan
pemerosesan pemprosesan
pengembala penggembala
pengemblengan penggemblengan
organisme organisma
berkerjasama bekerjasama
beserban berserban
memperindahkan memperindah
memperluaskan memperluas
memperlebarkan memperlebar
memperhebatkan memperhebat
mempertajamkan mempertajam
memperteguhkan memperteguh
memperjernihkan memperjernih
mempertingkat mempertingkatkan
mempersembah mempersembahkan
memperakui memperakukan
memperhalusi menghalusi
kesesakkan kesesakan
kebanyakkan kebanyakan
menggalakan menggalakkan
persisiran pesisiran
pengkebumian pengebumian
memperbaiki membaiki
memperkuasai menguasai
memperdalami mendalami
mempersetujui menyetujui
keburukkan keburukan
kebaikkan kebaikan
perlancaran pelancaran
mengsabotaj mensabotaj
mengalakkan menggalakkan
menyintai mencintai
memasukan memasukkan

PENGAKRONIMAN
Akronim ialah kata singkatan yang terbentuk dengan menggabungkan huruf awal suku kata atau gabungan kombinasi huruf awal dan suku kata daripada rangkai kata, dan ditulis serta dilafazkan sebagai kata yang wajar.
Contohnya:
Bernama - Berita Nasional Malaysia
Gapena - Gabungan Penulis Nasional
Mara - Majlis Manah Rakyat
ubahsuai - ubah sesuai
kugiran - kumpulan gitar rancak

Kata akronim boleh ditulis dengan tiga cara.
1) Akronim yang terbentuk daripada gabungan beberapa huruf awal rangkai kata yang disingkatkan, keseluruhannya ditulis dengan huruf besar, jika kata nama khas.
Contohnya:
LUTH - Lembaga Urusan dan Tabung Haji
ABIM - Angkatan Belia Islam Malaysia

2) Akronim yang terbentuk daripada gabungan huruf awal dan/atau suku kata ditulis dengan huruf kecil keseluruhannya, jika bukan kata nama khas.
Contohnya:
tabika - taman bimbingan kanak-kanak
purata - pukul rata
jentolak - jentera tolak

3) Akronim yang terbentuk daripada gabungan huruf awal dan/atau suku kata itu menjadi kata nama khas, kata itu ditulis bermula dengan huruf besar.
Contohnya:
Pernas - Perbadanan Nasional
Intan - Institut Tadbiran Awam Negara
Petronas - Petroleum Nasional
Proton - Perusahaan Otomobil Nasional

BEBERAPA KESALAHAN TATABAHASA YANG LAZIM

1 Tidak dapat membezakan antara kata sendi nama di dengan imbuhan di
a) salah - disekolah, dipasar, diJohor, disini, disamping, diutara
- di beri, di ambil, di hantar, di dapati, di anjurkan
b) betul - di sekolah, di pasar, di Johor, di sini, di samping, di utara
- diberi, diambil, dihantar, didapati, dianjurkan

2 Tidak dapat membezakan antara kata sendi nama ke dengan imbuhan ke
a) salah - keMelaka, kepadang, kesana, kehadrat, keselatan
b) betul - ke Melaka, ke padang, ke sana, kehendak, ketua, kekasih

3 Tidak dapat membezakan penggunaan dari dan daripada
a) dari - rumus A (arah), T (tempat), M (masa) = dari
- dari belakang, dari Perak, dari semalam
b) daripada - punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad
- sumber atau asal kejadian sesuatu benda
- perbezaan dan perbandingan
- daripada guru besar, daripada getah, daripada markah

4 Mengulang kata selepas penanda jamak (banyak)
a) salah - semua guru-guru, segala alat-alat, kebanyakan ahli-ahli
b) betul - semua guru, segala alat, kebanyakan ahli

5 Tidak menggandakan kata bilangan himpunan
a) salah - beratus orang, beribu penonton, berguni padi
b) betul - beratus-ratus orang, beribu-ribu orang, berguni-guni padi

6 Kesalahan penggunaan kata darjah penghabisan
a) salah - paling tinggi sekali, terlalu mahal sekali
b) betul - paling tinggi, tinggi sekali, terlalu mahal, mahal sekali

7 Menggandakan kata selepas saling
a) salah - saling hormat-menghormati, saling bermaaf-maafan
b) betul - saling menghormati, hormat-menghormati, saling bermaafan

8 Pembentukan ayat pasif
a) Surat itu telah dihantar oleh kami. (salah)
Surat itu telah kami hantar. (betul)
b) Laporan itu perlu disiapkan oleh anda. (salah)
Laporan itu perlu anda siapkan. (betul)
c) Majalah itu telah mereka edarkan. (salah)
Majalah itu telah diedarkan oleh mereka. (betul)

9 Penggunaan –kan menggantikan akan
a) salah - sayangkan, rindukan, bencikan, cintakan
b) betul - sayang akan, rindu akan, benci akan, cinta akan

10 Menjarakkan imbuhan pinjaman
a) salah - juru taip, ko kurikulum, pasca moden, anti dadah
b) betul - jurutaip, kokurikulum, pascamoden, antidadah

GOLONGAN KATA BAHASA MELAYU

1) Kata nama
2) Kata kerja
3) Kata adjektif
4) Kata tugas

KATA NAMA
Subgolongan kata nama:
a) kata nama am
b) kata nama khas
c) kata ganti nama

Kata Nama Am
a) konkrit (konsep kebendaan – kambing, sungai, jambatan, pekerja)
b) abstrak (konsep mujarad – mimpi, idaman, perpaduan, kemerdekaan)
Kata Nama Khas
a) hidup (manusia – Azhar, Suria, P. Ramlee)
hidup (bukan manusia – Tompok, Sang Rangkak, Vanda Diana)
b) tak hidup (Johor Bahru, Kepala Batas, Gunung Tahan, Naza Citra)
Kata Ganti Nama
a) tunjuk (umum – ini, itu)
tunjuk (tempat – sini, situ, sana)
b) diri (tanya – siapa, apa, mana)
orang (pertama – aku, saya, beta, patik, kami, kita)
orang (kedua – saudara, kamu, engkau, tuanku, anda)
orang (ketiga – ia, dia, beliau, mereka, -nya)

KATA KERJA
Subgolongan kata kerja:
a) kata kerja tak transitif
b) kata kerja transitif

Kata Kerja Tak Transitif
a) tak berpelengkap (bangun, tersenyum, berjalan, melancong, meninggi)
b) berpelengkap (beransur, tinggal, menjadi, berbuat, ada, berbantalkan)
Kata Kerja Transitif
a) aktif (membeli, melihat, memasukkan, mengabaikan, memperisteri)
b) pasif (dibeli, dilihat, dimasukkan, diabaikan, diperisteri)

KATA ADJEKTIF
Subgolongan kata adjektif:
a) sifatan (baik, sihat, segar, layu, tegap, sibuk, tenang)
b) warna (putih, biru, kuning, hijau, merah, ungu, perang)
c) ukuran (panjang, pendek, nipis, cetek, kecil, tohor)
d) bentuk (bulat, bundar, leper, bujur, lonjong)
e) pancaindera
(rasa – sedap, manis, masam, kelat, tawar)
(pandang – cantik, molek, hodoh, ayu, buruk)
(dengar – merdu, mersik, nyaring, bising)
(bau – harum, wangi, busuk, hapak)
(sentuh – halus, licin, keras, kasar, lembut)
f) waktu (cepat, spontan, lewat, lambat, awal)
g) cara (laju, deras, perlahan)
h) perasaan (rindu, geram, asyik, berahi, benci)
i) jarak (jauh, dekat, hampir, nyaris)

KATA TUGAS
Subgolongan kata tugas:
a) kata hubung (dan, atau, kerana)
b) kata seru (wah, amboi, aduh)
c) kata tanya (apa, siapa, bagaimana)
d) kata perintah (sila, tolong, harap)
e) kata pangkal ayat (hatta, maka, syahadan)
f) kata bantu (akan, sudah, pernah)
g) kata penguat (sangat, paling, nian)
h) kata penegas (juga, -lah, -tah, pun)
i) kata nafi (bukan, tidak)
j) kata pemeri (ialah, adalah)
k) kata sendi nama (dari, dengan, di, ke)
l) kata pembenar (ya, benar, betul)
m) kata bilangan (dua, segala, masing-masing)
n) kata arah (atas, bawah, dalam)
o) kata adverba (begini, selalu, diam-diam)
p) kata pembenda (-nya)
q) kata penekan (-nya)

Kata Adverba
Perkataan yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama, dan frasa sendi nama dari segi cara, masa, dan tempat.
Bentuk Kata Adverba
a) jati (semalam, kelmarin, sering kali, saling, sekali gus, sentiasa, nanti, serentak)
b) asalnya kata adjektif (laju, besar, lesu, panjang, tinggi, hampir, selalu)
c) asalnya kata kerja (berkilat, mengiring, meninggi, menyala, berseri)
d) bentuk gandaan
(gandaan penuh – betul-betul, pura-pura, sedikit-sedikit, cepat-cepat)
(gandaan separa – bermalam-malam, semahu-mahunya, sepandai-pandai)
(gandaan berentak – sedu-sedan, hingar-bingar, susup-sasap, mundar-mandir)
Ayat contoh:
1) Pelancong itu akan tiba esok dari England.
2) Dia hampir terjatuh ketika menyidai pakaian.
3) Ketam ialah haiwan yang berjalan mengiring.
4) Dia betul-betul gembira dengan kepulangan anaknya.
5) Mereka sesat bermalam-malam di puncak gunung itu.
6) Pahlawan itu akan dikenang selama-lamanya.
7) Hartawan itu berbelanja besar-besaran untuk majlis tersebut.
8) Anak itu menangis sedu-sedan apabila ditinggalkan ibunya.

Sunday, January 11, 2009

KEWANGAN: STRATEGI PERTAHANAN # 2

KAD KREDIT – ANTARA HUJUNG DUNIA ATAU HUJUNG PEDANG!

1. Tuan-tuan, mari kita memulakan bicara ini sekarang. Mahukah saudara meneruskan bicara ini dengan saya? Jika saya telah menggores hati anda, bumi mana yang tak ditimpa hujan? Saya percaya saya telah melakukan kesalahan kerana membiarkan blog ini tidak terisi dengan apa-apa bahan sejak seminggu yang lalu. Sekali lagi, saya mohon maaf, khususnya kepada pengunjung setia.
2. Di sekeliling kita, terdapat ramai rakan kita yang memiliki kad kredit. Dan tidak mustahil di dalam dompet kita pun terselit sekeping atau dua kad kredit. Tahniah, tuan-tuan kerana tuan berjaya memiliki kad kredit kerana bukannya senang hendak mendapatkan kad kredit. Saudara mestilah mempunyai pendapatan melebihi RM1500.00 sebulan sebelum bank memberi anda kad emas atau platinum!
3. Pertama sekali, jikalau tak silap, sejarah kad kredit bermula apabila seorang lelaki di Amerika Syarikat makan di sebuah restoran dan terlupa membawa wang. Pada ketika itu, dia terfikir bahawa alangkah mudahnya dia jika tidak perlu membawa wang dalam jumlah yang besar dan menyebabkan pelbagai risiko lain seperti hilang atau dicuri. Ideanya, gunakan kad kredit, dan selepas itu berkembanglah industri ini (dipendekkan cerita).
4. Industri yang menyebabkan ramai antara kita yang menjadi muflis…
5. Dan diburu oleh pihak pemungut hutang atas arahan pihak bank…
6. Ataupun, tidak berani menjawab panggilan telefon yang sudah dijangka pemanggilnya dan lebih teruk sekali, tidur malam tidak lelap kerana hidup dikelilingi hutang; hutang kad kredit!
7. Adakah saya menakutkan anda? Janganlah berasa gayat kerana saya tahu saudara bijak menguruskan wang (seperti saya, ehem…) dan saudara tidak ada masalah untuk membayar bil.
8. “Tok guru, saya bayar jumlah minimum je tiap-tiap bulan. Janganlah beritahu orang,” saya terdengar seorang daripada anda berkata.
9. Jangan bimbang, saya tidak akan memberitahu orang! Kita berdua sahaja yang tahu, ok?
10. Tuan-tuan, saya ingin menjawab soalan yang pertama; perlukah kita memiliki kad kredit?
11. Jawapannya, ya dan tidak. Jika anda seorang yang bijak mengawal perbelanjaan, mungkin jawapan yang sesuai ialah ya, dan mungkin, ya, ya, ya, jika anda sering ke luar negara, ke hujung dunia!
12. Jika anda hanya mampu membayar bayaran minimum dan yakin, kad kredit dapat menyelamatkan anda ketika anda sesak, jawapannya pastilah tidak. Mengapakah saya berkata demikian?
13. Baiklah tuan-tuan. Apakah tujuan anda memiliki kad kredit? Jika anda percaya bahawa kad kredit merupakan lambang status yang hebat, anda tersilap. Saya tidak pernah melihat sesiapa pun mengatakan saya berstatus tinggi apabila saya menunjukkan kad kredit saya! Bukankah kita sedang meminjam wang dari bank!
14. Nampaknya, anda sudah terpengaruh dengan iklan!
15. Kad kredit menjadi penting apabila keadaan terdesak (seperti yang sering diuar-uarkan orang) bukan menunjukkan lambang status, tetapi menunjukkan anda tidak bijak berbelanja. Jikalau anda menjadikan kad kredit sebagai alat untuk menyelamatkan anda ketika sesak, jelas sekali bahawa anda tidak merancang kewangan anda dengan baik. Tok guru, langit tidak selalunya cerah!
16. Bijak betul anda berhujah! Ya, langit memang tidak selalunya cerah, sebab itulah anda perlu mewujudkan akaun yang sesuai dinamakan sebagai akaun Langit Tidak Selalunya Cerah! Cuba anda bertanya di kaunter bank, ada tak akaun itu! Jikalau ada, hubungi saya segera di talian 012-7645831!
17. Memang kad kredit boleh menjadi alat yang penting dan banyak gunanya, tetapi alat inilah juga yang begitu senang memerangkap kita dan menyebabkan kita menjadi lebih cepat botak! Mengapa tok guru? Nampaknya, anda tidak sabar-sabar hendak bertanya.
18. Kerana urus niaga atau transaksi kad kredit tidak menggunakan wang tunai. Oleh sebab itu, keadaan ini akan mendorong kita untuk berbelanja dengan lebih banyak berbanding dengan wang tunai. Transaksi begini menyebabkan kita berasa kita tidak mengeluarkan wang, walaupun wang sedang melayang dari poket kita dengan gembiranya menuju ke bank! Selamat tinggal kawanku!
19. Tuan-tuan, jangan ingat bahawa wang yang anda belanjakan itu, katakanlah RM100.00 sahaja yang terbang melayang. Sebab itulah kita melihat bangunan bank tinggi dan hebat kerana kitalah pembiayanya! Mereka mengenakan caj atau kadar faedah, tuan-tuan!
20. Biasanya, faedah atau caj sebanyak 1.5% sebulan atau 18% peratus setahun dikenakan! Percaya atau tidak, mungkin lebih daripada itu! Apa lagi pinjaman (kad kredit itu termasuk dalam kategori pinjaman) yang mengenakan caj yang amat tinggi selain kad kredit! Bank Rakyat pun tidak mengenakan caj setinggi itu! Jangan sebut Ah Long, tuan-tuan kerana saya tidak berhasrat untuk membandingkan hal ini dengan Ah Long!
21. Dan satu lagi, jika anda pemegang kad kredit dan sering cuai untuk membayar bil secara tepat dan hanya bayar jumlah minimum, saya percaya andalah pelanggan bank itu yang paling disayangi! Selamat datang ke dunia hutang, wahai intan payung! Kami amat menyanjungi anda dan percaya andalah pelanggan kami yang setia kerana hutang kad kredit tak habis-habis bayar lagi! Mahukah anda menjadi ahli kelab baru kami, Kelab Hamba Bank! Pengerusinya belum dilantik lagi kerana terlalu banyak pilihan dan calon! Naikkan poster sekarang!
22. Jika anda berada dalam golongan seperti yang saya nyatakan, elok atau baik sahaja anda membatalkan kad atau jika belum ada kad kredit, tidak payahlah memohon. Saya bukannya mendengkikan anda kerana saya tidak mendapat sesen pun daripada pendapat ini!
23. Saya lebih percaya bahawa jika anda belum waras untuk menguruskan wang secara bijak dan berhemah, lebih baik anda gunakan wang tunai. Tok guru, susahlah guna wang tunai! Saya perlu membawa wang yang banyak jika hendak berbelanja. Saya menjadi masalah jika hendak ke Indonesia dan Singapura tanpa kad kredit.
24. Eh, kawan-kawan! Panglima Awang yang mengelilingi dunia pun tak ada kad kredit! Apa yang susahnya sangat!
25. Sebenarnya tuan-tuan, saya tidak mengatakan bahawa tuan-tuan tidak perlu memiliki kad kredit. Saya menegaskan bahawa jika tuan-tuan tidak bijak berbelanja, janganlah terhegeh-hegeh hendak menggunakan kad kredit. Haa…baru saya teringat, bukankah tadi tuan-tuan mengatakan bahawa Langit Tidak Selalunya Cerah! Sekarang, waktu berbelanja memang seronok (sebab itulah isteri saya pantang melihat saya duduk beristirahat di rumah!) tetapi waktu membayar bil kad kredit selepas itu yang tidak seronok! Melilau nak cari duit!
26. Kepada yang telah mempunyai kad kredit atau berhasrat untuk memohon kad kredit, anda haruslah sedar tentang tiga asas ini; (1) membeli seolah-olah kita menggunakan wang tunai. (2) membayar bil sepenuhnya sebelum tarikh matang, dan (3) mengelakkan diri daripada kemudahan pendahuluan tunai (cajnya sangat tinggi, minimum RM50.00!)
27. Jika tiga asas ini diikuti, ditambah pula dengan anda seorang yang bijak dan tampan (seperti saya!), saya percaya bahawa anda boleh menggunakan kad kredit. Tidak ada salahnya memiliki kad kredit. Mengapakah kemudahan itu disalahtafsirkan!
28. Namun begitu, saya sering melihat ramai antara kita memiliki lebih daripada satu kad kredit. Saya tertanta-tanya juga sebabnya. Dan saya percaya tidak ada sebab yang utama selain ingin menunjuk-nunjuk ataupun dia memang kaki hutang yang tak mahu bayar!
29. Eh, tuan-tuan marah apabila saya berkata begitu! Boleh beritahu saya kad kredit bank manakah yang tidak diterima di mana-mana tempat! Selagi ada tanda atau lambang Mastercard atau Visa atau Diners Club atau American Express, saya percaya bahawa di situ kad kita akan berfungsi. Sama juga dengan logo Bankcard untuk ATM. Jikalau tak dapat dilakukan urus niaga, sila hubungi bank dengan segera kerana sudah pasti transaksi anda ditahan sebab belum bayar bil bulan itu lagi!
30. Tuan-tuan, jikalau kad A tidak diterima di suatu tempat, apakah jaminan kad B akan diterima?
31. Oleh sebab itulah, gunakan satu kad kredit sudah cukup. Kalau melebihi satu, saya percaya anda berkemungkinan akan berbelanja lebih daripada yang biasa. Dan saya juga percaya, lagi cepatlah anda dipilih sebagai pengerusi Kelab Hamba Bank!
32. Ada pendapat yang mengatakan bahawa membeli secara kredit (salah satunya dengan cara kad kredit) akan memastikan kita mendapatkan barang yang kita tidak mampu beli secara tunai, dan lebih bermutu tinggi atau barangan yang mahal. Saya tidak bersetuju tentang pendapat ini kerana jikalau anda tidak mampu membelinya secara tunai, mengapakah kita perlu berhutang dengan menggunakan kad kredit? Cara yang mudah ialah jangan membelinya! Tidak ada gunanya membeli dan memiliki sesuatu yang kita tidak mampu. Tuan-tuan, saya mengidamkan kereta Evo sudah lama (terpendam dalam hati), tetapi adakah saya perlu berhutang untuk membelinya? Adakah semua kehendak saya perlu dipenuhi? Ada perkara yang kita ingin miliki, tetapi tidak dapat menjadi tuannya! Itu hakikat dalam kehidupan ini!
33. Berbalik kepada isu kad kredit, saya rasa penerangan malam ini agak panjang. Bukan nak lepas geram, tetapi ada banyak perkara penting yang ingin dikongsi. Mungkin isu selepas ini, jikalau perlu, saya akan mengupas lebih mendalam tentang kad kredit lagi. Akan ada bahagian kedua nanti.
34. Sebelum saya terlupa, saya percaya saya perlu beritahu saudara tentang suatu perkara.
35. Sebelum ini, adakah saudara tertekan kerana tidak memiliki kad kredit? Maksud saya, mungkin selepas habis belajar dan baru bekerja, atau masa-masa lampau, ketika belum memiliki kad kredit lagi, adakah saudara rasa tertekan dengan bebanan kewangan? Saya rasa mungkin tidak begitu tertekan atau tidak sama sekali. Cuba tanya bapak ketua kampung anda!
36. Tetapi, selepas memiliki kad kredit, saya percaya bebanan kewangan semakin bertambah. Salah satu sebabnya ialah kita perlu membayar bil setiap bulan dan kita termasuk dalam golongan penghutang! Mungkin dalam banyak kes, kad kredit banyak membantu, tetapi dalam banyak kes juga, pening kepala datang meronta-ronta kerana bil setiap bulan perlu dijelaskan. Apatah lagi, kita telah menggunakan kesemua had kredit yang ada! Tinggal hutangnya sahaja belum langsai. Sudah pasti, bank akan lebih menyayangi kita!
37. Sebenarnya, selain kad kredit, ada alat lain yang boleh kita manfaatkan, iaitu kad debit. Kad debit sangat berkesan untuk mengawal perbelanjaan. Dan yang lebih menarik, kad debit tidak dikenakan caj atau yuran tahunan!
38. Saya akan berbincang tentang hal ini selepas ini kerana jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi! Saya berharap agar anda faham kenapa saya memilih tajuk ini. Jikalau anda bijak merancang kewangan, kad kredit mampu membawa anda ke hujung dunia tanpa masalah. Dan jika anda tidak bijak mengawal dan menguruskan kad kredit, saya percaya anda sedang diseret ke hujung pedang! Bersedialah untuk dipancung! Ingat, satu-satunya pihak yang tidak banyak memiliki perasaan kasihan ialah bank!
39. Saya menggunakan kad kredit dan saya juga menggunakan kad debit. Oleh sebab itu, saya percaya bahawa ada pro dan kontra bagi kedua-duanya. Namun, kad debit ternyata mampu menyelesaikan masalah ini.
40. Kita jumpa lagi, dan saya menunggu komen daripada rakan-rakan blog. Saya akan menjawab komen itu dalam bahan bicara seterusnya, iaitu tentang KAD KREDIT VS KAD DEBIT. Terus layan!

Tuesday, January 06, 2009

KEWANGAN: STRATEGI PERTAHANAN # 2

KAD KREDIT: ANTARA HUJUNG DUNIA DENGAN HUJUNG PEDANG!

1. Saya perlu mengakui bahawa telah banyak lontaran soalan dan pandangan daripada rakan-rakan kepada saya (khususnya tentang kewangan). Tuan-tuan, saudara menjadi Inspirasi Taming Sari! Ya, saya akan terus memberikan pandangan demi kita bersama. Terus layan!
2. Wah, rockers nampak! Saya terdengar saudara berkata.
3. Maaf tuan-tuan, saya selalu tersasar! Tolong ingatkan saya jika saya tersasul lagi kerana topik kali ini tentang kad kredit. Ada rakan blog bertanyakan hal ini kepada saya. Malam ini saya akan menjawab persoalan tentang kad kredit. Sudah pasti, saya akan mengupasnya dari sudut pro dan kontra. Baiklah, mari kita bermula...
4. Ada juga soalan tentang saham koperasi. Eh, tok guru, anda tersasul lagi ka?
5. Mak aiii, sekali lagi, maaf! Sekejap, saya ingin memahami topik ini dahulu, ok?
6. Kita akan berjumpa sekejap lagi...Cih! Potong stim betul!

Saturday, January 03, 2009

KEKEJAMAN ISRAEL: BERDOALAH KITA...

Petang tadi, saya menerima satu sms daripada seorang rakan. Sms yang dihantar ditulis begini:
tolong bacakan.Lailahaillallah, allahuakbar & surah al-ikhlas 3x, utk masjid Aqsa yg sdg dikepung oleh israel.smskan kpd 10 orang rakan anda. AMANAH.
Oleh itu, marilah kita sama-sama berdoa supaya bangsa laknat Israel diturunkan bala seberat-beratnya daripada Allah. Orang Islam sudah tidak mampu lagi melawan, sudah tidak berdaya lagi...
Akhirnya, doa kita itulah senjata. Ya Allah, Engkau selamatkan rakyat Palestin!
Saya percaya bahawa doa daripada umat Islam di seluruh dunia akan makbul jua...
Dan akhir sekali, apa lagi yang dapat kita lakukan!

Thursday, January 01, 2009

FOTO-FOTO KENANGAN 2008

Kepada pengunjung blog, doakanlah ayah saya yang terlantar ini (akibat strok) agar diberi rahmat dan keredaan Allah agar beliau kembali sembuh...Doa kalian, biarpun sebaris ayat sudah cukup bagi saya sebagai suatu ikhtiar.
Bergambar di rumah ibu bapa saya di Pulau Pinang semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Suria, Layla Witra, Nurwahyu Witra, dan Harith Zarwitra, hidup ini berpaksikan inspirasi daripada kalian!

Memohon maaf daripada insan yang melahirkan saya ke dunia fana. Mak, ampunkanlah dosa anakmu ini dari hujung rambut hingga hujung kaki. Foto dirakamkan semasa Hari Raya Aidilfitri yang lalu di kampung halaman.

Di Kebun Bunga, Pulau Pinang (Dis 08) - Satu keistimewaan yang terdapat di sini, selain beruk, ialah aiskrim yang dijual di pintu masuk. Aiskrim itu disalut kacang tumbuk, yang jarang-jarang dapat saya lihat di tempat lain. Lihatlah betapa berseleranya anak-beranak ini menjamah dan mempamerkannya!

Di Kebun Bunga, Pulau Pinang (Dis 08) - Lokasi ini saya kunjungi sejak saya kecil, seusia anak bongsu saya kerana saya masih ingat, jikalau orang kampung atau sekolah mengadakan lawatan, inilah tempat yang wajib dikunjungi.

Di hotel penginapan, Port Dickson (Isteri dan anak-anak kesayangan hamba memperlihatkan aksi masing-masing)

Di Tasik Melati, Perlis. Sekadar jalan-jalan semasa balik ke kampung isteri di Kedah. Lazimnya, Perlis akan kami kunjungi untuk menikmati ikan bakar di Kuala Perlis (berada di kampung menggemukkan aku!)

Di Teluk Giam, Pulau Pangkor, Perak. (Jika tidak pergi ke teluk ini, saya dapat berasakan bahawa Pulau Pangkor bukanlah destinasi yang menarik!)

Di pekarangan Kellie Castle, Perak (latar belakang imej beruang memeluk pokok)

Layla Witra di sisi pokok bunga di ladang bunga.









Nurwahyu Witra dan adiknya.









Isteri tercinta sedang menikmati secawan teh di ladang Boh. Harith Zarwitra menemani ibunya sambil mengunyah karipap.


Harith Zarwitra di kebun bunga, Cameron Highland