Sunday, February 28, 2010

IBU BAPA SEKARANG

1. Pada hari ini, sekolah saya mengadakan Mesyuarat Agung PIBG kali ke-10. Di samping mesyuarat agung tersebut, turut diadakan ialah majlis penyampaian anugerah murid terbaik UPSR 2009 dan motivasi keibubapaan. Tetamu kehormat ialah YB Encik Tan Cher Puk, ADUN Johor Jaya.
2. Keseluruhan murid di sekolah saya ialah lebih kurang 450 orang. Kehadiran ibu bapa lebih kurang 50 orang. Ada yang datang sendiri (sama ada suami atau isteri) dan ada yang datang berdua (suami isteri). Hal ini bermakna tidak sampai 50 keluarga yang hadir berbanding dengan 400 keluarga yang berdaftar di sekolah saya.
3. Keadaan ini ditegur oleh YB dalam ucapannya. Beliau berasa hairan kerana sekolah saya telah terkelompok sebagai antara sekolah kebangsaan yang mencapai prestasi yang memberangsangkan di daerah Pasir Gudang, baik dari segi pengurusan ataupun akademik, namun keadaan yang berlaku memperlihatkan suatu yang bertentangan.
4. Saya diamanahkan untuk menjadi pengerusi majlis (tugas yang sentiasa menjadi tradisi!) bersama-sama dengan kaunselor sekolah. Sepatutnya majlis bermula pada pukul 7.45 pagi, namun kerana dewan sekolah masih kosong di sana sini, majlis hanya bermula pukul 8.45 pagi. Demikianlah kesilapan yang sering berlaku. Tetamu yang datang awal terpaksa menerima hukuman, sedangkan yang sepatutnya dihukum ialah mereka yang datang lewat ataupun yang tidak datang langsung! (Naib YDP PIBG mencadangkan denda sebanyak RM10.00 kepada ibu bapa yang tidak hadir sebagai ganti diri). Cadangan yang akan dipertimbangkan.
5. Nampaknya, ibu bapa sekarang terlalu sibuk.
6. Ya, sibuk mencari kelemahan pihak sekolah. Sibuk menghentam guru-guru sekiranya berlaku apa-apa kepada anak mereka. Sibuk mencari kesalahan guru tanpa pernah mengakui kesalahan mereka. Guru-guru menjadi mangsa dan sasaran sekiranya ada yang tidak kena. Pantang guru tersilap sedikit, dengan segera, SMS, surat layang, dan aduan sampai ke PPD.
7. Ataupun, mereka terlalu sibuk mencari wang sehingga terlupa untuk hadir.
8. Ataupun, mereka terlalu sibuk menonton televisyen atau DVD hingga kepentingan pelajaran anak-anak terpaksa diabaikan. Yang pasti, mereka terlalu sibuk. Mungkin juga sedang sibuk mencari alasan sebab tidak hadir.
9. Guru-guru akan terus melaksanakan tanggungjawab ini; mendidik anak bangsa tanpa perlu memikirkan kesibukan ibu bapa anak-anak didik mereka. Jiwa guru tidak rapuh.
10. Walaupun golongan sebegini tidak ramai (hanya 400 keluarga berbanding 450 kesemuanya!), dan mungkin hanya berlaku di sesetengah sekolah ataupun pada waktu-waktu tertentu sahaja, namun kesannya cukup ketara.
11. PIBG dan sekolah membelanjakan wang yang besar untuk menganjurkan majlis ini. Masa dan tenaga guru-guru seakan-akan terbazir dan tidak berbaloi-baloi (macam iklan Celcom pulak!), dan yang paling meninggalkan dampaknya ialah, mungkinkah semangat guru-guru sedikit sebanyak akan terhakis dek kerana ‘tinggi’nya kesedaran ibu bapa sekarang.
12. Pihak sekolah akan mengadakan post-mortem selepas ini.
13. Ibu bapa, tak tahulah pula, adakah post-mortem perlu untuk mereka. Mereka golongan bijak dan terpelajar. Tak perlulah post-mortem ataupun tak perlulah berasa sesal kerana tidak hadir. Ramai lagi yang tidak hadir. Nampaknya, ramai yang akan mengikut rakan-rakan mereka terjun ke lombong tinggal!
14. Anak-anak mereka, tinggalkan sahaja kepada guru-guru. Bukankah guru-guru di sekolah itu seperti pengasuh? Orang gaji? Tukang cuci? Tukang kebun? Tukang kayu? Pembantu perubatan? Kerani cabuk? Jangan jadi hamba abdi, sudahlah!
15. Mesyuarat agung tahun hadapan, mungkin boleh diadakan pada Hari Raya Aidilfitri pula! Bukan apa, ada alasan yang kuat untuk ibu bapa yang ‘prihatin, penyayang, dan bertanggungjawab’ ini untuk tidak hadir!
16. Mudah-mudahan anak mereka cemerlang! Ya, cemerlang dan mengikut jejak warisnya!
17. Azhar, sudahlah tu!

Sunday, February 21, 2010

MELAYU PULAU PINANG (SIRI 1)

1. Saya dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Pinang (PP).
2. PP cukup terkenal dengan beberapa hal; antaranya nasi kandar, pasembur, destinasi pelancongan, feri, dan jambatan. Satu hal lagi ialah pulau itu dikuasai oleh orang-orang Cina. Orang-orang Cina menguasai ekonomi dan politik PP. Selepas PRU ke-12, PP dikuasai oleh pembangkang, yang diketuai oleh DAP, satu lagi yang menjadi kelainan yang wujud di PP. Tidak ada negeri lain di negara ini dikuasai oleh DAP kecuali Pulau Pinang.
3. Oleh sebab PP dikuasai oleh pembangkang, maka sudah pasti negeri ini menjadi sasaran untuk dicungkil segala kelemahan yang wujud. Sejak mula memerintah, PP tidak sunyi daripada bahan berita sensasi oleh media agar kepincangan yang wujud didedahkan, dicungkil, dan disebarluaskan kepada umum. Lim Guan Eng masih kelihatan tenang walaupun diasak dengan begitu hebat. Isu demi isu berbangkit sehingga Lim pernah berdebat secara terbuka dengan Dr. Koh Tsu Koon. Terbaharu, isu sambutan dan perarakan Maulidur Rasul yang telah dibatalkan acaranya yang dikuatkuasakan melalui pekeliling dan kemudiannya tidak dibatalkan pula, melalui kata-kata Lim. Saling menuduh berlagu kembali. Muncullah beberapa orang politik Melayu PP menghentam Lim dan kerajaan negeri PP. Sehingga hari ini, isu itu masih dimainkan. Rakyat menjadi semakin arif untuk membuat pengadilan dan pertimbangan. Siapa yang betul, dan siapa yang salah. Jika ditanya kepada orang BN, yang salah ialah Lim, DAP, dan kerajaan negeri PP. Jika ditanya kepada penyokong pembangkang, BN dan media arus perdana yang salah. Kesimpulannya, kedua-duanya tidak pernah mengaku salah. Rakyat terus menjadi hakim. PRU ke-13, hakim akan menterjemahkan keputusannya. Tunggulah nanti. Jika DAP masih memerintah, ada kemungkinan BN yang salah, dan begitulah sebaliknya. Ini rumus mudah.
4. Tinggalkan isu ini sebentar kerana isu lain akan muncul pula selepas ini.
5. Melayu PP terlalu mundur jika dibandingkan dengan bukan Melayu di pulau itu. Saya tidak melihat Melayu PP mundur dan miskin kerana Melayu di negeri-negeri lain, banyak yang jauh lebih miskin dan mundur. Tetapi Melayu PP jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan bangsa asing, khususnya orang Cina yang tinggal di PP. Melayu PP, kebanyakannya hidup di atas paras kemiskinan. Melayu PP biarpun tinggal di kawasan terpencil di Balik Pulau, namun kebanyakan daripada mereka mampu mendepani kehidupan jika dikaitkan dengan soal sosioekonomi, kalau tidak pun menjadi kaya-raya. Mereka hidup sederhana, dan ada yang kaya. Bukan tidak ada yang miskin, tetapi saya rasa, banyak lagi Melayu yang fakir di luar PP.
6. Yang seharusnya diperjuangkan oleh Melayu PP ialah keazaman politik yang kuat untuk memastikan tanah di pulau itu tidak semuanya dibolot oleh hanya bangsa itu. Oleh sebab orang Cina menguasai ekonomi PP, maka kuasa beli dan kekayaan mereka hasil perniagaan yang dijalankan mampu menyebabkan tanah di PP menjadi milik mereka dengan mudah.
7. Banyak strategi yang diamalkan melalui pendekatan politik untuk ‘mengusir’ Melayu PP keluar dari pulau yang bernilai tinggi itu. Rumah dan premis perniagaan dijual dengan harga yang cukup tinggi di kawasan pulau, khasnya di kawasan bandar. Sudah pasti, Melayu PP tidak ada kemampuan untuk membelinya. Bukan kerana Melayu PP terlalu mundur tetapi cubalah bertanya, harga rumah di Georgetown, Gelugor, Air Itam, dan Bayan Baru, berapakah harganya. Di luar kemampuan Melayu PP untuk membelinya. Terlalu amat mahal. Dan dalam waktu yang sama, harga rumah dan premis perniagaan di Seberang Perai, Kulim dan Sungai Petani tidak banyak berubah ataupun tidak terlalu mahal. Ini suatu usaha terancang dan licik untuk memastikan Melayu PP berhijrah keluar. Mujurlah di kawasan Teluk Kumbar atau Balik Pulau, masih banyak terdapat perkampungan Melayu. Tetapi, kawasan tersebut tidak memiliki nilai hartanah yang tinggi.
8. Kalau dilihat daripada kaca mata sejarah, perkara ini sudah lama berlaku. Sejak Gerakan memerintah PP, keadaan ini telah berlaku. Gerakan/BN memerintah PP sejak sekian lama, dan Melayu PP tetap begitu. Salah siapa?
9. Walaupun Gerakan memerintah PP, Melayu PP masih tidak mampu bersaing dengan bangsa asing dalam soal pemilikan ekuiti, hartanah, dan juga soal politik. Sekarang PP diperintah oleh DAP. Gerakan dan DAP, kedua-duanya mewakili orang Cina dan Melayu PP tetap menerima keadaan yang sama. Adakah sewaktu Gerakan memegang tampuk kuasa di PP, Melayu PP maju, mampu bersaing, dan kaya-raya? Adakah sewaktu PP diambil alih oleh DAP, Melayu PP menjadi semakin mundur? Saya rasa jawapannya ialah tidak. Orang Cina, dalam konteks ini tidak salah, pada pertimbangan saya. Mengapakah mereka harus disalahkan jikalau mereka menjadi kaya-raya dan kini menguasai politik PP? Mereka menjadi kaya sebab mereka golongan peniaga yang gigih. Mereka menguasai politik PP kerana kemungkinan besar, Melayu PP tidak bijak berpolitik. Kerana Melayu PP tidak kaya, adakah puncanya orang Cina? Kerana PP dikuasai oleh DAP, adakah mereka yang salah? Akhirnya, kita lebih suka menyatakan malah menegaskan bahawa Melayu PP tidak pernah bersalah! Tidak pandai menari, lantainya dikatakan terjungkit!
10. Seharusnya, perjuangan politik orang Melayu PP bukan sekadar berdemonstrasi dan mengibarkan kain rentang mengutuk mereka yang kaya dan bijak berpolitik. Tindakan ini tidaklah salah jika dilakukan. Ironinya, yang mesti dilakukan tidak pula bersemangat seperti itu. Kesedaran untuk menguatkan Melayu PP dalam semua segi lebih banyak menjadi retorik dan bahan kempen pilihan raya. Melayu PP perlu bangkit! Melayu PP perlu mengubah sikap! Melayu PP perlu itu dan perlu ini. Semuanya menjadi ungkapan. Mungkin suatu hari nanti akan dijadikan peribahasa pula!
11. Perjuangan yang sebenar belum pun bermula. Memang semuanya berakar daripada sikap dan mentaliti, namun akhirnya, pertimbangan politik juga memainkan peranan dan penentu nasibnya. Seperti juga soal bahasa Melayu, memang kita boleh mendirikan seratus lagi badan seperti DBP, namun pertimbangan apakah yang mengubah dasar pendidikan sebelum ini? Undang-undang dan akta di tangan orang politik.
12. Melayu PP tidak boleh merampas kekayaan dan kekuasaan bangsa asing. Mereka pun tidak pernah merampas kekayaan dan kekuasaan Melayu PP. Mereka menjadi maju dan kuat kerana semangat kesatuan yang kental. Mereka menjadi berkuasa kerana kebijaksanaan mereka. Kekuatan mereka daripada semua aspek mewajarkan perkara ini berlaku. Dan dalam waktu yang sama, orang-orang kita sentiasa melihat soal kecil seolah-olah tersangat penting. “Hero” sentiasa menunggu masa dan peluang untuk diangkat menjadi wira bangsa! Sentiasa menangguk di air keruh untuk mempamerkan kehandalan dan kepetahan berbicara dan berpidato.
13. Akhirnya, feri meninggalkan pulau menuju ke Tanah Besar!

Wednesday, February 10, 2010

AKHLAK DAN ETIKA KEWANGAN ISLAM

Sumber: Utusan Malaysia - 10 Februari 2010.

AKHLAK menurut istilah ialah sifat yang tertanam di dalam diri yang dapat mengeluarkan sesuatu perbuatan dengan senang dan mudah tanpa pemikiran, penelitian dan paksaan.

Ibnu Miskawaih, ahli falsafah Islam yang terkenal mentakrifkan akhlak itu sebagai keadaan jiwa yang mendorong ke arah melahirkan perbuatan tanpa pemikiran dan penelitian. Menurut Imam Ghazali akhlak itu ialah suatu keadaan yang tertanam didalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syarak dan akal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk.

Akhlak adalah antara intipati utama dakwah para nabi dan Rasul. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "Hendaklah kamu memiliki akhlak yang mulia sesungguhnya Allah membangkitkan aku dengannya" dan sabda Baginda SAW juga "Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak." Kesempurnaan seseorang itu dapat dicapai menerusi akhlak yang mulia.

Akhlak yang mulia mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam dan amat besar pengaruhnya dalam kehidupan. Akhlak adalah asas untuk membina ummah ke tahap yang lebih tinggi dan berkualiti selari dengan Islam kerana "Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya." Islam meletakkan akhlak sebagai matlamat perutusan Rasulullah SAW dan mengiktiraf bahawa orang yang paling mulia ialah mereka yang memiliki akhlak yang mulia. Rasulullah SAW menjelaskan menerusi banyak hadis baginda bahawa mukmin yang paling afdal imannya, ialah yang paling baik akhlaknya. Malah di akhirat nanti akhlak yang mulia merupakan amalan yang utama dapat memberatkan neraca amal sebagaimana sabda Rasulullah: "Perkara yang lebih berat diletakkan dalam neraca hari akhirat ialah takwa kepada Allah dan akhlak yang baik."

Rasulullah walaupun seorang yang ma'sum (terpelihara daripada melakukan dosa) sentiasa berdoa kepada Allah supaya memperbaiki akhlak Baginda sebagaimana doa yang sering dibacakan oleh baginda: "Tuhanku, tunjukilah aku akhlak yang paling baik". Etika pula merujuk kepada prinsip-prinsip yang dibina atas dasar kebenaran yang menjadi pegangan seseorang individu atau kumpulan. Dari perspektif Islam, ia merupakan puncak dalam kehidupan Islam dan perhiasannya. Etika juga dirujuk sebagai satu peraturan atau persetujuan atau kod yang menjadi panduan tata kelakuan seorang sebagai anggota organisasi atau masyarakat. Malah, ia juga dianggap sebagai satu sistem moral yang universal yang mengikat ahli-ahlinya dan menggariskan perlakuan-perlakuan yang dibenarkan (the Do's) dan perlakuan-perlakuan yang dilarang (the Don't's).

Etika perlakuan-perlakuan yang baik adalah berasaskan nilai-nilai murni. Dalam Islam, etika diasaskan kepada merasa sifat kehambaan selaras tujuan kejadian manusia, mentaati Allah dan Rasul-Nya, menjaga hubungan sesama makhluk dan sebagai panduan dalam bekerja dan kehidupan seharian.

Ekonomi Islam bersumberkan wahyu yang menjamin kesejahteraan kepada manusia duniawi dan ukhrawi. Berbeza dengan sistem ekonomi ciptaan, ekonomi Islam bersumberkan kepada Islam itu sendiri yang meliputi tiga asas pokok iaitu asas akidah, akhlak, dan asas hukum (muamalah) yang mengatur keseluruhan teori dan praktis ekonomi dalam Islam.

Ekonomi Islam matlamat utamanya ialah untuk memberikan kebahagiaan dan kesejahteraan kepada manusia sama ada Islam atau bukan Islam. Maka pelaksanaan ekonomi Islam mesti mengambil kira maslahah semua pihak, dan bukannya individu tertentu. Ini jelas dipaparkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu). (Saba': 28)

Secara umumnya, terdapat empat nilai utama sistem ekonomi Islam iaitu Rabbaniyyah (ketuhanan), Akhlaqiah (Akhlak), Insaniyah (Kemanusiaan), dan Wasatiyah (Pertengahan). Nilai-nilai ini menggambarkan keunikan yang utama bagi ekonomi Islam dan ia sangat nyata perbezaannya dengan sistem ekonomi yang lain.

Rabbaniyyah bermakna ekonomi Islam tidak berlandaskan kepentingan material semata-mata. Namun, sebenarnya ia berkait rapat dengan ketuhanan atau ilahiah. Justeru, dalam menggerakkan ekonomi Islam, individu-individu yang terlibat mesti mengambil kira batasan-batasan Syariah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Ini adalah kerana, sebagaimana sembahyang dan puasa, sistem ekonomi Islam juga ada kaitannya dengan dosa pahala, syurga dan neraka.

Harta
Islam mempunyai cara, pemahaman dan nilai-nilai ekonomi yang berbeza dengan ekonomi ciptaan manusia. Ekonomi ciptaan manusia menganggap bahawa harta adalah merupakan hak milik peribadi. Justeru, pemilik harta boleh menggunakan harta tersebut mengikut kehendak hatinya. Sebaliknya, Islam mengajar umatnya bahawa harta adalah merupakan hak milik Allah SWT yang dipinjamkan untuk manusia menggunakannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. (al-Hadid: 7). Seorang Muslim tunduk serta patuh kepada peraturan Allah, tidak akan melakukan sesuatu yang haram seperti riba, judi, pelacuran, ihtikar (sembunyi barang), monopoli dan sebagainya.

Akhlaqiyah bermaksud tidak adanya pemisahan antara kegiatan ekonomi dengan akhlak. Seorang Muslim terikat oleh iman dan akhlak pada setiap aktiviti ekonomi yang dilakukannya. Islam melarang unsur-unsur penipuan, penyelewengan, salah laku dan pecah amanah dalam aktiviti ekonomi kerana ia bercanggah dengan akhlak Islam.

Manakala Insaniyyah bermakna kegiatan ekonomi yang bertujuan untuk merealisasikan kehidupan yang baik bagi umat manusia. Ekonomi Islam sejajar dengan fitrah manusia dengan mengiktiraf naluri pemilikan, kecenderungan mengejar kekayaan dan cintakan perhiasan bagi tujuan memperkasakan ummah. Nilai kemanusiaan terhimpun dalam ekonomi Islam seperti nilai kemerdekaan dan kemuliaan, keadilan, persaudaraan, saling tolong-menolong di antara sesama manusia.
Wasatiyyah bermaksud nilai pertengahan atau nilai keseimbangan. Berbanding dengan sistem ekonomi kapitalis, ia jelas menunjukkan bahawa sistem ekonomi tersebut mementingkan peribadi dan hak individu. Kebebasannya kelihatan mutlak dan tiada batasan-batasan agama melainkan batasan moral sahaja yang selalu bertukar.

Sistem ekonomi Islam datang dalam keadaan adil dan saksama. Meraikan kepentingan individu dan masyarakat. Dalam perbelanjaan, seorang Muslim tidak dibenarkan terlalu kedekut dan terlalu boros. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (hamba-hamba itu) apabila berbelanja tidak boros dan tidak kedekut, dan adalah perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian. (al-Furqan: 67)

Friday, February 05, 2010

PISANG DAN HATI

Saya telah menyimpan satu e-mel daripada seorang rakan. E-mel yang dihantarnya, saya paparkan di bawah, tanpa sebarang suntingan. Mudah-mudahan kita memperoleh manfaat daripada paparan ini.
Mariam, guru kelas tadika menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci.

Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastik berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan paling banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci."Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya", beritahu Cikgu Mariam.

Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg.Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk. Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan.

Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Mariam sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa."Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?", tanya Cikgu Mariam. Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk.

"Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu", beritahu Cikgu Mariam.Mariam mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik daripada membenci..

Monday, February 01, 2010

HUTANG BAIK, HUTANG BURUK

1. Hutang; rasa-rasanya bagi orang kebanyakan seperti kita, merupakan satu perkataan yang langsung tidak menggembirakan. Kalau boleh, kita ingin berlari atau menyorok daripada terdengar atau menyebut perkataan hutang. Hutang bolehlah didefinisikan sebagai salah satu elemen yang mengaibkan, pada tafsiran mudahnya.
2. Namun, terlalu amat banyak orang yang menjadi kaya dengannya. Bangunan bank yang tersergam bertingkat-tingkat membuktikan bahawa hutang telah menyebabkan ketika sesetengah orang tidak dapat tidur lena, sesetengah yang lain tidur ternganga-nganga. Ketika banyak kes rumah tangga porak-peranda atau kehidupan seseorang menjadi haru-biru kerana hutang, banyak yang lain pula bergembira dengan hutang yang menjadikan mereka kaya-raya. Aneh, bukan?
3. Jadi, tidaklah benar seratus peratus bahawa hutang sesuatu yang menjelikkan. Saya terdengar ada pembaca yang yang bermonolog; bergantung pada seseorang untuk menentukan status hutang itu; buruk atau baik. Saya memang bersetuju dengan pandangan klise sebegitu. Bergantung pada seseorang, rasa-rasanya tidak akan mengubah apa-apa.
4. Jadi, bagaimanakah caranya wahai tuan munsyi? Saya sudah tidak sabar-sabar untuk membacanya kerana saya salah seorang penghutang yang mapan! Tak percaya? Cuba tanya Maybank, CIMB, Public Bank, EON Bank, dan rakan-rakan mereka! Itu belum lagi tanya pusat perabot bergajah, beli TV dua ribu, bayar empat ribu! Memang budiman pusat tersebut! Saya sayang kepada mereka.
5. Berdasarkan bacaan dan pengalaman saya, untuk menguruskan kewangan dengan baik, pertama sekali, kita wajarlah menganalisis kedudukan hutang kita. Hutang ada dua jenis. Yang pertama, hutang baik. Jikalau ada siang, tentulah ada malam. Jika ada Adam, tentulah ada Hawa (dan Misya Omar!). Jika ada kenyang, tentu ada lapar. Begitu juga dengan hutang. Jika ada hutang baik, yang paling serasi dengan kebanyakan kita tentulah hutang buruk. Betul, tak? Ya, saya melihat tuan-tuan mengangguk-angguk, bererti betullah tu.
6. Hutang baik, secara asasnya ialah hutang yang diambil untuk membeli aset dan harta yang nilainya bertambah, misalnya hutang rumah dan hutang tanah. Hutang baik termasuk juga hutang yang diambil untuk membiayai pendidikan. Memang mudah untuk bercakap tentang hutang baik ini, namun memang sukar juga untuk melakukannya. Perlu ada sedikit sebanyak ilmu. Kalau lebih banyak ilmu, lebih baik. Jikalau tuan-tuan membeli rumah di lokasi yang strategik dan bernilai tinggi seperti di Georgetown, KL, JB (misalnya di Bandar Dato’ Onn) atau di petempatan yang padat penduduk, dan kita berhutang untuk membelinya (terlalu amat sukar untuk membeli rumah dengan tunai!), maka itu dinamakan hutang baik. Hutang ini boleh menjadi buruk jikalau tersalah langkah. Ada orang yang menanggung kerugian kerana membeli rumah. Saya cadangkan buku “Menjadi Jutawan Hartanah” – Azizi Ali dijadikan rujukan sebelum sesiapa bercadang untuk membeli rumah. Biarlah habis RM39.90 daripada rugi RM39,000.90!
7. Baiklah, tuan munsyi! Saya sudah faham maksud hutang baik. Hutang buruk pula, bagaimana? Mudah sekali untuk memahami hutang buruk. Selain hutang baik, hutang yang lain ialah hutang buruk. Mudah untuk memahaminya, dan lebih mudah untuk melakukannya. Pergi ke kedai perabot, beli katil dua tingkat untuk anak-anak secara sewa beli, dan anda salah seorang penghutang yang amat dikasihi oleh mereka! Atau anda beli TV 42 inci, bayar cengkeram RM200.00, dan kemudiannya bersedialah untuk mengayakan tauke kedai itu! Hutang buruk ialah pinjaman yang dibuat untuk membeli barang yang tidak akan bertambah nilainya. Dan yang lebih buruk, nilainya akan turun! Misalnya, pembelian kereta secara hutang ialah hutang buruk, atau dikenal juga sebagai hutang lapuk. Namun begitu, agak-agak siapa yang membeli kereta secara tunai? Memang sukar untuk dicari, tetapi mungkin ada strategi yang berkesan tentang hal ini, untuk memastikan kita tidak terus dihambat hutang lapuk yang tidak selesai-selesai.
8. Sebelum saya terlupa, sementara masih teringat, lawatilah blog mybabah (Tuan Samsudin Jirin) kerana saya telah membaca pautan entri di situ tentang kaedah menguruskan hutang. Menarik kaedah tersebut kerana praktikal.
9. Saya pernah terdengar ada rakan yang mengatakan bahawa hutang ialah lumrah kehidupan. Siapa yang tidak berhutang, wahai munsyi yang tampan!(ehm..ehm..). Tuan mungkin berhutang, betul tak? Ya, saya juga berhutang, wahai rakan yang ganteng juga (he..he..Tuan RAR tersenyum nampak!). Saya sedang berusaha untuk menguruskan hutang saya. Saya membaca banyak artikel dan buku tentang subjek ini, hanya untuk memastikan saya tidak berada dalam perkampungan warga hutang lapuk, selama-lamanya. Tidak mungkin seseorang itu dapat hidup dengan selesa tanpa hutang, katanya lagi. Ya, sekali lagi saya bersetuju dengan penyataan tersebut, secara dasarnya. Tetapi, saya hidup dan bekerja bukan hanya untuk melangsaikan hutang!
10. Hidup dengan berhutang (hutang buruk) bukan penyelesaiannya. Malahan, keadaan ini bukanlah suatu kehidupan yang menggembirakan. Lebih buruk lagi jika sudah sampai melilit pinggang yang banyak lemak itu. Dan hutang yang baik pun, bukanlah bermakna kita boleh memilikinya dengan bebas. Agak sulit untuk kita menguruskan hutang rumah jikalau kita ada rumah berbelas-belas buah! Makin cepatlah kepala kita botak!
11. Jikalau hutang baik pun perlu terkawal, apatah lagi hutang buruk!
12. Kehidupan tanpa hutang merupakan sesuatu yang amat sempurna jikalau dapat dilakukan. Tetapi saya yakin berapa ramai sangat yang boleh melakukannya. Jadi, penyelesaian mudahnya ialah berhutanglah. Pastikan hutang tersebut ialah hutang baik. Elakkan diri daripada terus menambah hutang lapuk. Hutang lapuk yang sedia ada perlu dilangsaikan, dan dalam waktu yang sama, usahlah menambah lagi hutang buruk itu. Andainya kita berhutang untuk membeli rumah atau tanah, maka kita telah memilih landasan yang betul. Andainya kita memilih untuk membeli set sofa di rumah dengan cara berhutang, saya percaya anda patut berjumpa dengan tauke pusat perabot bergajah, mudah-mudahan anda boleh menjadi wakil jualannya!
13. Menguruskan hutang, membawa maksud:
a. berhutang hanya untuk membiayai aset yang akan bertambah nilainya
b. berhutang hanya setakat yang mampu
c. menjelaskan semua hutang yang ada
d. mengelakkan semua hutang lapuk.
(Petikan daripada buku Jutawan dari Planet Jupiter – Azizi Ali)
14. Sekali lagi, ingin saya nyatakan bahawa ada orang menjadi kaya-raya kerana berhutang. Harap-haraplah, antara mereka ialah saya dan tuan-tuan. Uruskanlah hutang kita dengan baik. Jangan terlewat membuat bayaran ansuran kereta dan rumah. Lebih-lebih lagi kad kredit. Salah satu cara untuk menguruskan hutang adalah dengan membuat bayaran lebihan bagi hutang yang kadar faedahnya tinggi.
Contoh ringkas:
Kad kredit – bayaran minimum RM200.00 sebulan
Ansuran kereta – ansuran bulanan RM500.00 sebulan.
Dicadangkan agar bayaran kad kredit dinaikkan menjadi RM250.00 sebulan kerana kadar feadah kad kredit memang menyakitkan hati. Carilah sumber tambahan untuk mendapatkan RM50.00 itu atau kurangkan perbelanjaan sebanyak RM50.00. Ansuran kereta tetap dibayar RM500.00 sebulan. Dengan cara ini, kita dapat melangsaikan hutang kad kredit dengan lebih cepat tanpa dikenakan faedah yang banyak. Selepas selesai bayaran hutang kad kredit, sudah tentu dan sepatutnya kita ada lebihan RM250.00 sebulan untuk melunaskan hutang kereta pula. Ansuran kereta sepatutnya boleh dibayar sebanyak RM750.00 sebulan selepas hutang kad kredit langsai. Dan dengan cara ini, kita dapat menjimatkan banyak wang dan tempoh pembayaran balik pun dapat dikurangkan. Proses ini akan berterusan untuk menyelesaikan hutang-hutang yang lain pula. Kitaran ini boleh membantu kita menguruskan hutang.
15. Contoh di atas merupakan contoh yang mudah. Saya akan mengupasnya nanti. Tanpa dibebani hutang setiap saat, saya percaya kehidupan kita akan lebih bahagia dan dalam masa yang sama, gunakanlah segala sumber yang ada pada diri kita untuk menikmati hidup ini.
Allah Maha Besar. Allah Maha Kaya. Allah Maha Pengasih.