Tuesday, September 25, 2012


WATIKAH IKHLAS UNTUK BANGSA

       Anak kecil itu tidak betah lagi
untuk bermain api yang makin menyala
dari sumbu kekhilafan yang dimarakkan
jelaga yang mengaburkan kebenaran silam
betapa bangsa ini kabur untuk ditafsirkan
akan pendirian yang tersimpang keberanian
menjunjung mengkhabarkan lembar leluhur
dilayukan oleh sejarah yang akhirnya akan
meninggalkan kita di persemadian yang nyata.

       Bukan detiknya untuk menagih jawapan
hakikat tentang siapakah pemilik tanah ini
air mata itu menginsafi sekujur prasangka
makin menebal dan mengkaratkan jiwa
meski lidah dan telinga yang setia
masih mendengar retorik bicara yang sama.

Telah lama kita menghimpun lara
telah keruh batin resah di sumur sejarah
bagaikan keris yang tersisip di dinding tua
tidak dilangir oleh bara dan semangat iktibar
di gelanggang yang diujakan hujah dan debar
pendekar bangsa masih kejur bungkam tersandar.

Mungkinkah anak kecil itu akan bertanya nanti
tentang makna penyatuan bangsa dan jati diri
dia masih tidak mengerti untuk menyimpul rapi
betapa bangsanya sering rela dan reda memberi
tanpa pernah untuk mempersoalkan kembali
tentang maruah dan sekelumit harga diri.

       Azhar Salleh
PPJ Johor Bahru.

 

2 comments:

ajahare said...

Salam,
Mantap..teruskan berkarya tuan..url blog tuan saya telah pautkan dengan blog terbaharu saya http://azaharjambeak.blogspot.com/
Harap-harap tuan dapat 'ziarah'blog saya tu..terima kasih

Azhar Salleh said...

Terima kasih kerana terus berkunjung ke witra. Insya-Allah, saya akan berkunjung ke blog tuan. Makasih bro...!