TIDAK MAHU BELAJAR TENTANG PENGURUSAN KEWANGAN
1. Rasa-rasanya sudah lama saya tidak mencatat sesuatu tentang subjek ini. Maafkan saya teman-teman yang setia mengikuti tulisan saya. Bukannya apa, sekali lagi alasan yang amat-amat klise akan saya berikan, iaitu kesibukan dan hambatan tugas. Walaupun saya sedar ini merupakan alasan dan ramai yang akan mencebik bibir hingga nampak seperti sumbing, namun apa lagi yang perlu saya nyatakan sebagai alasan?
2. Saya mulakan entri ini dengan ungkapan ini, “ramai orang yang tidak mahu belajar cara menguruskan kewangan mereka dengan baik”. Mereka sentiasa percaya bahawa menguruskan kewangan tidak memerlukan kemahiran dan jauh sekali perlu dipelajari. Apalah yang sukar sangat tentang wang ini. Malahan ada yang beranggapan bahawa jika mereka berbuat demikian, mereka akan kelihatan tidak bijak dan tidak cerdik. Mereka dianggap tidak tahu mengatur hidup sendiri. Lagipun, wang bukanlah sesuatu yang sukar untuk diuruskan. Buktinya, berikan sahaja sejumlah wang kepada mereka, dan sekelip mata wang itu sudah tiada atau bertukar tangan. Kasihan kepada mereka. Wang menjadikan mereka tempat persinggahan yang amat sementara dan fana.
3. Namun demikian, saya melihat ramai orang yang berusaha keras untuk menjadi pandai dalam perkara yang tidak mendatangkan apa-apa pulangan, dalam konteks ini pulangan kebendaan dan pulangan kerohanian (nanti dikatakan saya mata duitan pula!). Lihat sahaja di sekeliling kita, berapa ramai yang gila akan aktiviti memancing ikan, udang, dan termasuk juga memancing undi! Oppsss… PAS menang lagi di Permatang Pasir!
4. Saya percaya bahawa aktiviti memancing yang dilakukan itu merupakan hobi bagi sesetengah daripada mereka, dan sesiapa pun tidak perlu dan tidak wajar untuk menentukan hobi seseorang. Namun, yang manakah yang lebih penting, belajar tentang pengurusan kewangan atau belajar tentang skil memancing? Jawapannya, tentulah belajar tentang skil memancing kerana kita akan lebih cepat pokai dengan memilih aktiviti itu. Ya, kita perlu menyediakan sejumlah wang untuk membeli joran, membayar sejumlah wang untuk memancing di pusat memancing (kalau di laut, bukankah kita perlu menyewa bot?), dan yang paling penting, kita akan kehilangan banyak waktu menunggu ikan makan umpan kita. Harap-harap ikan tidak berpuasa! Kalau tidak, lagi banyak waktu terbuang!
5. Tuan-tuan yang budiman, saya tidak menyatakan bahawa aktiviti memancing itu salah dan perlu dijauhi seperti mana kita menjauhi orang yang bersin ketika demam, tetapi saya ingin menyatakan bahawa kita perlu memilih yang manakah yang lebih penting. Memang benar belajar tentang pengurusan kewangan tidak melibatkan soal hidup atau mati, tetapi aktiviti memancing memancing lagilah tidak melibatkan soal nyawa. Silap-silap hari bulan, bot terbalik buruk padahnya! Dan saya percaya bahawa belajar tentang pengurusan kewangan, dari satu segi, melibatkan masa depan. Tak pastilah saya sama ada kita tidak boleh makan ikan jika tidak pergi memancing! Saya lihat di pasar borong Pandan, pasar Smart, dan Jaya Jusco, banyak ikan yang dijual. Beli sahaja…
6. Eh, tuan munsyi, macam dengki kepada kami, golongan pemancing ni…kenapa? Maaf wahai pemancing, itu hanyalah contoh. Saya akui memang saya tidak pandai memancing, malahan saya tidak tahu macam mana nak sumbat cacing ke mata kail! Tetapi, saya boleh makan ikan juga...
7. Tuan-tuan, sebenarnya, jika kewangan kita tidak diatur dengan baik, kita akan menghadapi masalah. Jangan difikirkan tentang masa depan, kalau sekarang pun kita tidak dapat menguruskan kehidupan kita dengan baik dan tersusun. Saya melihat ramai orang yang berpendapatan agak baik tetapi masih membuat pinjaman peribadi dengan bank hanya sekadar untuk menyambut hari raya! Saya melihat ramai orang berbangga dengan jumlah simpanan yang banyak dalam ASB hasil pinjaman daripada Maybank. Saya melihat ramai orang terpaksa mengikat perut pertengahan bulan kerana tidak memiliki wang yang mencukupi untuk perbelanjaan harian. Mereka mungkin berhadapan dengan masalah ketika itu, dan sewajarnya kita membantu mereka selagi terdaya. Namun demikian, saya melihat keadaan ini tidak bersifat sementara. Keadaan ini berlaku hampir setiap masa dan setiap keadaan. Nampaknya, mereka percaya bahawa menguruskan kewangan dengan baik menjadi tidak begitu penting. Saya bersimpati kepada mereka. Sepatutnya mereka sedar bahawa dalam kehidupan hari ini, wang menjadi sangat penting. Oleh itu, menguruskannya menjadi terlebih penting. Wang akan masuk dan keluar. Wang akan menjadi hamba kita, kiranya kita percaya sedemikian, namun yang banyak terjadi sekarang, kita menjadi hamba wang. Kita bekerja setiap hari hanya untuk membayar bil, membeli makanan, membayar ansuran kereta, dan berbaki sedikit untuk disimpan. Mujurlah kita masih berhasrat untuk menyimpannya. Ramai antara kita menjadi begitu. Pada hari ini, kita tidak dapat melakukan apa-apa pada masa hadapan dengan hanya menyimpan atau melabur sebanyak RM200 sebulan. Memang jika didarabkan, kita akan menyimpan sebanyak RM2400 setahun, namun jumlah itu tidak banyak membantu kita pada masa hadapan. Harus diingat, inflasi akan memakan wang kita secara berhemah!
8. Lainlah jika kita berusia 20 tahun. Jika tuan-tuan menyimpan RM200 setiap bulan secara tetap ketika berusia 20 tahun, tuan-tuan akan memperoleh RM1.3 juta apabila berusia 55 tahun. Perkiraan ini berdasarkan pulangan dividen (misalnya ASB) sebanyak 10% setahun dan anda tidak pernah mengeluarkan wang tersebut. Jika anda berusia 20 tahun, segeralah menyimpan wang anda sebanyak RM200 sebulan. Insya-Allah anda akan menjadi jutawan apabila bersara kelak!
9. Jika anda berusia 30 tahun dan anda menyimpan sebanyak RM200 sebulan secara tetap dan kadar pulangan dividennya juga sebanyak 10% setahun, anda akan memperoleh RM387, 000 (anggaran) ketika anda bersara pada usia 55 tahun. Wah, jumlah ini masih menguntungkan! Jumlah ini masih besar dan banyak perkara yang dapat anda lakukan dengan wang sejumlah itu! Tuan-tuan, daripada perbandingan itu, apakah kesimpulan yang dapat dibuat?
10. Ya, kesimpulannya anda akan rugi hampir RM 1 JUTA kerana terlewat 10 tahun untuk menyimpan wang ! Itulah kesimpulannya, dan saya percaya jumlah itu bukannya sedikit. Kerja tunggang terbalik pun belum tentu dapat mengumpulkan wang RM 1 juta! Oleh itu, pengetahuan sebegini amat penting untuk kita memikirkan secara serius untuk belajar tentang pengurusan kewangan.
11. Ada yang beranggapan bahawa sekiranya kita belajar tentang wang, kita akan dilihat dan digelar sebagai “mata duitan”. Tuan-tuan, untuk menutup mulut orang, bukannya mudah, sama sukarnya seperti menukar tayar kereta yang bocor di tengah jalan. (Dua minggu lepas, tayar kereta saya bocor di parkir Danga City Mall, dan saya membayar sagu hati RM20.00 kepada seorang pekerja Bangladesh yang kebetulan sedang mengutip troli di situ untuk menukar tayar kereta saya). Ada yang khuatir jika mereka belajar tentang kewangan, mereka akan menjadi angkuh, lupa daratan, dan hanya dilihat memikirkan wang semata-mata. Saya percaya dogma sebegini hanya menjadi milik orang yang sentiasa berusaha untuk melihat dirinya dan orang lain menjadi dan berterusan miskin. Jika kita pun demikian, maka wajarlah kita merenung kembali pegangan itu.
12. Mereka atau golongan sebegini tersalah perkiraan. Belajar tentang pengurusan kewangan tidak pernah atau tidak akan membuat kita mengabaikan hal-hal yang penting dalam hidup kita. Kita tidak perlu meminggirkan hal-hal lain yang sama penting atau yang lebih penting sekiranya kita belajar tentang pengurusan kewangan. Kita masih mampu untuk menjadi pekerja yang baik, suami atau isteri yang baik, anak yang baik kepada ibu bapa kita, ayah atau ibu yang baik kepada anak-anak kita, dan sahabat yang baik kepada rakan-rakan kita. Belajar tentang pengurusan kewangan tidak akan menyebakan kita akan dipandang serong oleh masyarakat. Belajar tentang hal ini tidak akan menyebabkan kita perlu mengurangkan amal ibadat kepada Tuhan. Malahan, dalam agama sekali pun, kita disaran agar sentiasa belajar untuk membaiki diri dan keluarga. Kita diwajibkan untuk belajar tentang ilmu yang dapat memberikan manfaat kepada diri dan orang lain. Bukankah belajar tentang kewangan menjadi salah satu daripada keperluan ini?
13. Belajar tentang kewangan akan menjadikan diri kita lebih bertanggungjawab. Kita akan dilihat dan akan menjadi lebih matang. Kehidupan akan menjadi terurus dengan memiliki pengetahuan tentang suatu hal yang sangat penting dalam hidup ini. Janganlah kita terus beranggapan bahawa orang yang dilihat sentiasa berbicara tentang kewangan ini bermata duitan. Mereka sebenarnya bijak, selagi tidak bersikap bakhil dan tamak. Mereka sebenarnya matang selagi menunaikan tanggungjawab kepada negara dengan membayar cukai pendapatan, dan selagi mereka mengeluarkan zakat. Bukankah zakat itu merupakan suatu kewajipan dan kita perlu mengetahui dan belajar tentangnya?
14. Lantaran itu, untuk memastikan kehidupan lebih terurus, salah satu strateginya ialah belajar tentang pengurusan kewangan. Kita tidak akan mengalami apa-apa kerugian, malahan kita akan mendapat banyak keuntungan.
15. Kepada kaki pancing khususnya, maafkan saya kerana saya tidak berniat untuk melukakan atau menyinggung hati anda. Teruskanlah aktiviti itu kerana ada orang boleh membuat wang dengan aktiviti memancing! Harap-harap anda dapat membuka sebuah pusat memancing yang akan menjanakan pendapatan besar kepada anda!
Wednesday, August 26, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
5 comments:
Cikgu,
Tahniah dan terima kasih kerana mendengar serta mengambil perhatian atas 'teguran' saya tempoh hari di Muar... ya tentang entri kewangan yang agak lama tiada dalam blog popular Witra ini.
Cikgu kembali dengan nasihat dan perkongsian ilmu tentang kewangan, bagus dan menarik... Terima kasih sekali lagi.
Bila boleh berbuka puasa bersama ya? Hehehe...
Assalamualaikum.
Terima kasih kerana 'menegur' pemancing dalam entri kali ini. Benar memancing tidak menjana pendapatan, namun ketenangan menikmati aktiviti ini hanya kaki pancing yang mengetahui. Bagi saya, bukanlah hasil yang sangat diingini sebaliknya berinteraksi dengan alam dan mengagungi ciptaan Ilahi. Dalam perjalanan memancing juga kita akan mendapat pengajaran dan nasihat dari kawan-kawan dan saling berkongsi pengalaman (saya tidak tahu org lain). Ya. sebagai hobi, aktiviti ini tidak percuma dan saya rasa sama dengan hobi yang lain juga. Bagi saya, saya inginkan kedua-duanya iaitu memancing dan belajar tentang pengurusan kewangan. Terima kasih
Salam Munysi,
Nampaknya entri tentang kewangan kali ini sangat menarik. Siap menegur "kaki pancing" lagi. Kebetulan pula saya memang spesis ini. Betullah, kalau memancing sekadar suka-suka, memang tak dapat apa-apa. Tapi memancing ikan juga boleh buat duit kalau kena gayanya. Tambahan pula ikan haruan dan ketutu sangat tinggi harganya di pasaran. Teruskan menulis entri tentang kewangan. Banyak manfaat yang saya peroleh.
Salam RAR,
Terima kasih atas teguran itu. Saya sekadar ingin berkongsi pandangan dan pengamatan, hasil daripada bacaan dan pengalaman sendiri. Tentang berbuka puasa, mungkin agak sukar, tetapi tidak ada masalah jikalau ingin mengeteh selepas terawih.
Salam SAUDARAKU AZAM,
Wah, nampaknya membela kaki pancing! Ya, saya bukan tidak bersetuju dengan pandangan Azam, malahan sangat bersetuju! Benar, aktiviti ini bukan tidak mendatangkan apa-apa pulangan, malahan mendatangkan kenikmatan yang saya faham bahawa hanya kaki pancing sahaja yang memahaminya. Namun begitu, pandangan bagi entri ini lebih menjurus ke arah poin yang satu; iaitu kewangan. Aktiviti memancing dalam entri itu hanya satu contoh picisan dan tidaklah harus dianggap sebagai suatu bentuk penghujahan. Namun, yang saya perhatikan daripada rakan-rakan yang terlibat dalam aktiviti ini, mereka lebih cenderung untuk pergi memancing, bukannya untuk mendapat iktibarnya. Saya percaya bahawa apa-apa hobi pun, yang penting kita berminat berada di situ dan bukankah lebih baik, jika kita turut mendapat sesuatu daripada hobi itu. Ya, ketenangan dan mengagumi ciptaan Ilahi. Tetapi, berapa ramaikah yang sedar akan hal itu, melainkan saudaraku Azam? Saya percaya bahawa lebih ramai pemancing yang mendapat sesuatu yang negatif berbanding dengan yang positif. Tetapi, ingin saya jelaskan bahawa entri ini berfokus kepada pengurusan kewangan, dan bukannya disasarkan pada aktiviti memancing. Saya berharap agar saudaraku Azam akan terus memancing dan berkongsi pengalaman tersebut bersama-sama rakan yang lain. Dan saya akan terus menulis, dan terus mengharapkan pandangan daripada rakan-rakan.
Salam SAUDARAKU MD. NIZAR,
Ya, saya sangat bersetuju bahawa jikalau dilakukan dengan kena gayanya, aktiviti memancing akan mendatangkan pulangan. Ya, ketutu dan haruan memang bernilai dan komersial. Harganya mencecah ratusan ringgit sekilo, kalau saya tak tersilap bagi ketutu atau ikan hantu. Teruskan usaha saudara dalam hobi ini. Sesiapa pun tidak berhak untuk menghalangnya. Tentang sokongan saudara, terima kasih saya ucapkan. Saya akan terus menulis tentang hal ini kerana saya hanya ingin berkongsi pendapat dan pengalaman. Terima kasih sekali lagi.
Cikgu,
Tidak mengapa jika tiada kesempatan untuk berbuka bersama... tapi boleh 'mengeteh' bersama tidak mengapa kerana atas dasar suka bertukar pendapat serta punyai aliran yang hampir sama dengan cikgu, hehehe....
Jika dapat cikgu sumbangkan 2-3 puisi tema GL juga ya... tanpa puisi cikgu rasa-rasanya kurang serinya... hehehe...
Post a Comment