Sunday, February 28, 2010

IBU BAPA SEKARANG

1. Pada hari ini, sekolah saya mengadakan Mesyuarat Agung PIBG kali ke-10. Di samping mesyuarat agung tersebut, turut diadakan ialah majlis penyampaian anugerah murid terbaik UPSR 2009 dan motivasi keibubapaan. Tetamu kehormat ialah YB Encik Tan Cher Puk, ADUN Johor Jaya.
2. Keseluruhan murid di sekolah saya ialah lebih kurang 450 orang. Kehadiran ibu bapa lebih kurang 50 orang. Ada yang datang sendiri (sama ada suami atau isteri) dan ada yang datang berdua (suami isteri). Hal ini bermakna tidak sampai 50 keluarga yang hadir berbanding dengan 400 keluarga yang berdaftar di sekolah saya.
3. Keadaan ini ditegur oleh YB dalam ucapannya. Beliau berasa hairan kerana sekolah saya telah terkelompok sebagai antara sekolah kebangsaan yang mencapai prestasi yang memberangsangkan di daerah Pasir Gudang, baik dari segi pengurusan ataupun akademik, namun keadaan yang berlaku memperlihatkan suatu yang bertentangan.
4. Saya diamanahkan untuk menjadi pengerusi majlis (tugas yang sentiasa menjadi tradisi!) bersama-sama dengan kaunselor sekolah. Sepatutnya majlis bermula pada pukul 7.45 pagi, namun kerana dewan sekolah masih kosong di sana sini, majlis hanya bermula pukul 8.45 pagi. Demikianlah kesilapan yang sering berlaku. Tetamu yang datang awal terpaksa menerima hukuman, sedangkan yang sepatutnya dihukum ialah mereka yang datang lewat ataupun yang tidak datang langsung! (Naib YDP PIBG mencadangkan denda sebanyak RM10.00 kepada ibu bapa yang tidak hadir sebagai ganti diri). Cadangan yang akan dipertimbangkan.
5. Nampaknya, ibu bapa sekarang terlalu sibuk.
6. Ya, sibuk mencari kelemahan pihak sekolah. Sibuk menghentam guru-guru sekiranya berlaku apa-apa kepada anak mereka. Sibuk mencari kesalahan guru tanpa pernah mengakui kesalahan mereka. Guru-guru menjadi mangsa dan sasaran sekiranya ada yang tidak kena. Pantang guru tersilap sedikit, dengan segera, SMS, surat layang, dan aduan sampai ke PPD.
7. Ataupun, mereka terlalu sibuk mencari wang sehingga terlupa untuk hadir.
8. Ataupun, mereka terlalu sibuk menonton televisyen atau DVD hingga kepentingan pelajaran anak-anak terpaksa diabaikan. Yang pasti, mereka terlalu sibuk. Mungkin juga sedang sibuk mencari alasan sebab tidak hadir.
9. Guru-guru akan terus melaksanakan tanggungjawab ini; mendidik anak bangsa tanpa perlu memikirkan kesibukan ibu bapa anak-anak didik mereka. Jiwa guru tidak rapuh.
10. Walaupun golongan sebegini tidak ramai (hanya 400 keluarga berbanding 450 kesemuanya!), dan mungkin hanya berlaku di sesetengah sekolah ataupun pada waktu-waktu tertentu sahaja, namun kesannya cukup ketara.
11. PIBG dan sekolah membelanjakan wang yang besar untuk menganjurkan majlis ini. Masa dan tenaga guru-guru seakan-akan terbazir dan tidak berbaloi-baloi (macam iklan Celcom pulak!), dan yang paling meninggalkan dampaknya ialah, mungkinkah semangat guru-guru sedikit sebanyak akan terhakis dek kerana ‘tinggi’nya kesedaran ibu bapa sekarang.
12. Pihak sekolah akan mengadakan post-mortem selepas ini.
13. Ibu bapa, tak tahulah pula, adakah post-mortem perlu untuk mereka. Mereka golongan bijak dan terpelajar. Tak perlulah post-mortem ataupun tak perlulah berasa sesal kerana tidak hadir. Ramai lagi yang tidak hadir. Nampaknya, ramai yang akan mengikut rakan-rakan mereka terjun ke lombong tinggal!
14. Anak-anak mereka, tinggalkan sahaja kepada guru-guru. Bukankah guru-guru di sekolah itu seperti pengasuh? Orang gaji? Tukang cuci? Tukang kebun? Tukang kayu? Pembantu perubatan? Kerani cabuk? Jangan jadi hamba abdi, sudahlah!
15. Mesyuarat agung tahun hadapan, mungkin boleh diadakan pada Hari Raya Aidilfitri pula! Bukan apa, ada alasan yang kuat untuk ibu bapa yang ‘prihatin, penyayang, dan bertanggungjawab’ ini untuk tidak hadir!
16. Mudah-mudahan anak mereka cemerlang! Ya, cemerlang dan mengikut jejak warisnya!
17. Azhar, sudahlah tu!

10 comments:

Md Nizar Parman said...

Salam SAHABATKU, Munsyi,
Guru juga tukang cuci tahi anak-anak yang ter.... dalam seluar! Itulah realiti mentaliti ibu bapa masa kini. Di mana-mana pun senarionya hampir serupa. Namun di sekolah saya, alhamdulillah. Jika 300 kerusi disediakan, pasti akan ditambah lagi bilangannya. Yang peliknya satu, ada juga ibu bapa yang "menyalak" di luar pintu pagar sekolah menghentam pengurusan sekolah. Walhal, depa mesyuarat tak pernah datang pun. Peliknya.

Mybabah said...

Salam Munsyi. Fenomena ini bukan hanya berlaku sekarang. Babah rasa sejak dulu lagi. Nampaknya kena tambah satu lagi tugas sekretariat untuk mengenal pastikan apakah puncanya ibu bapa tidak berminat hadir ke perjumpaan seperti ini...

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu Azhar,
Situasi yang sama berlaku di sekolah-sekolah lain sama ada sekolah itu sekolah harian biasa dan sekolah itu dilabelkan sekolah khas atas jenama tertentu.
Mungkin kena ada 'cabutan bertuah' ketika mesyuarat agung PIBG sekolah, ya... ditawarkan sebuah hadiah utama berupa sebuah kereta termasuk hadiah-hadiah lain seperti pemain DVD dan lain-lain... Hehehe... gurau-gurau sahaja cikgu.

Melihat Kesunyataan said...

Azhar,
Pendapat Rusdi tu boleh gunapakai, kerana ada sekolah yang telah melaksanakan cabutan bertuah ketika mesyuarat Agung PIBG. Hasilnya memang memberangsangkan. Kalau hadiah sebuah kereta lagi bagus hehe.

Citra Delima said...

Salam Azhar,
Saya berpengalaman menerju PIBG sekolah rendah dan sekolah menengah hampir 15 tahun, perkara seumpama ini memang berlaku. Satu ketika untuk mengalakkan kehadiran, pihak PIBG bagi elaun kehadiran kepada ibubapa. Macam mengundi pilihan raya. Namun kehadiran adalah sama juga, tetapi kalau nak mendenda sepertimana cadangan tuan, takut tak cukup korum pula. Tak tahu.....lu fikir lah sendiri ibu bapa sekelian.

cikgucabuk said...

Salam ya munshi...begitulah karenahnya mak bapak zaman nie..saling tuding apa yg tak kena hingga terlupa kealpaan sendiri..yg jadi mangsa cikgu-cikgi yang kononnya tak pandai mengajar...lebih malang lagi cikgu dilabel dgn pelbagai jenama lantaran tiada rasa hormat dikalangan murid, berkat didikan mak bapak yang terlebih pandai.

azura said...

Cikgu, walaupun tinggal di perumahan bandar, namun anak2 saya bersekolah di kawasan kampung (kempas). Setiap kali meting PIBG, dewan penuh sesak! Ada yg terpaksa duduk di luar dewan. Ibu bapa di situ kebanyakannya 'org kampung', bkn golongan profesional, hantar anak pakai motor pergi kebun. Namun kami saling mengenali. Cikgu2nya pun bagus2 belaka. Mak budak tukang jual Cosway, cikgu tolong beli. Mak budak jual kain, cikgu tolong beli...hubungan ibu bapa dgn guru kira keep in touch lah! saya rasa, ada yg tak kena dgn sekolah cikgu ATAU sst yg tak kena dgn ibu bapa murid di sana.

ajahare said...

Perlu panggil 'live band ' buat persembahan mungkin diorang datang ramai-ramai kot?

Azhar Salleh said...

Salam SAHABAT,
Yang menyalak kat luar tu Si Tompok ke Si Puteh?

Salam BABAH,
Nampaknya tambah satu lagi kerja untuk guru!

Salam RAR,
Nampaknya YDP PIBG mestilah Robert Kuok!

Salam TUAN HAJI,
Kalau semua sekolah beri hadiah kereta, Proton dan Perodua (atau Honda, Toyota) akan menjadi sangat kaya!

Salam TUAN HAJI CITRA,
Kalau beri elaun, syarikat rokok pula kaya sebab mak bapak (khususnya bapak!) akan guna elaun itu dgn berhati girang!

Salam CIKGUCABUK,
Mak bapak sekarang terlalu cerdik! Depa semuanya belajar kat oversea tuh! Sebab tulah jadi macam ni.

Salam AZURA,
Sebab tu isteri saya kata dia ada nampak seorang pegawai DBP jual Kamus Dewan kat pintu pagar sekolah! Azura ke?

Salam AJAHARE,
Live band akan dibuat selepas saya habis belajar kord gitar dulu! Sekarang kord C, D, dan E sahaja yang saya tahu!

Anonymous said...

Comment faire tourner mon blog à plusieurs reprises avec un intervalle de temps prédéfini avec du code PHP?