Sunday, February 21, 2010

MELAYU PULAU PINANG (SIRI 1)

1. Saya dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Pinang (PP).
2. PP cukup terkenal dengan beberapa hal; antaranya nasi kandar, pasembur, destinasi pelancongan, feri, dan jambatan. Satu hal lagi ialah pulau itu dikuasai oleh orang-orang Cina. Orang-orang Cina menguasai ekonomi dan politik PP. Selepas PRU ke-12, PP dikuasai oleh pembangkang, yang diketuai oleh DAP, satu lagi yang menjadi kelainan yang wujud di PP. Tidak ada negeri lain di negara ini dikuasai oleh DAP kecuali Pulau Pinang.
3. Oleh sebab PP dikuasai oleh pembangkang, maka sudah pasti negeri ini menjadi sasaran untuk dicungkil segala kelemahan yang wujud. Sejak mula memerintah, PP tidak sunyi daripada bahan berita sensasi oleh media agar kepincangan yang wujud didedahkan, dicungkil, dan disebarluaskan kepada umum. Lim Guan Eng masih kelihatan tenang walaupun diasak dengan begitu hebat. Isu demi isu berbangkit sehingga Lim pernah berdebat secara terbuka dengan Dr. Koh Tsu Koon. Terbaharu, isu sambutan dan perarakan Maulidur Rasul yang telah dibatalkan acaranya yang dikuatkuasakan melalui pekeliling dan kemudiannya tidak dibatalkan pula, melalui kata-kata Lim. Saling menuduh berlagu kembali. Muncullah beberapa orang politik Melayu PP menghentam Lim dan kerajaan negeri PP. Sehingga hari ini, isu itu masih dimainkan. Rakyat menjadi semakin arif untuk membuat pengadilan dan pertimbangan. Siapa yang betul, dan siapa yang salah. Jika ditanya kepada orang BN, yang salah ialah Lim, DAP, dan kerajaan negeri PP. Jika ditanya kepada penyokong pembangkang, BN dan media arus perdana yang salah. Kesimpulannya, kedua-duanya tidak pernah mengaku salah. Rakyat terus menjadi hakim. PRU ke-13, hakim akan menterjemahkan keputusannya. Tunggulah nanti. Jika DAP masih memerintah, ada kemungkinan BN yang salah, dan begitulah sebaliknya. Ini rumus mudah.
4. Tinggalkan isu ini sebentar kerana isu lain akan muncul pula selepas ini.
5. Melayu PP terlalu mundur jika dibandingkan dengan bukan Melayu di pulau itu. Saya tidak melihat Melayu PP mundur dan miskin kerana Melayu di negeri-negeri lain, banyak yang jauh lebih miskin dan mundur. Tetapi Melayu PP jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan bangsa asing, khususnya orang Cina yang tinggal di PP. Melayu PP, kebanyakannya hidup di atas paras kemiskinan. Melayu PP biarpun tinggal di kawasan terpencil di Balik Pulau, namun kebanyakan daripada mereka mampu mendepani kehidupan jika dikaitkan dengan soal sosioekonomi, kalau tidak pun menjadi kaya-raya. Mereka hidup sederhana, dan ada yang kaya. Bukan tidak ada yang miskin, tetapi saya rasa, banyak lagi Melayu yang fakir di luar PP.
6. Yang seharusnya diperjuangkan oleh Melayu PP ialah keazaman politik yang kuat untuk memastikan tanah di pulau itu tidak semuanya dibolot oleh hanya bangsa itu. Oleh sebab orang Cina menguasai ekonomi PP, maka kuasa beli dan kekayaan mereka hasil perniagaan yang dijalankan mampu menyebabkan tanah di PP menjadi milik mereka dengan mudah.
7. Banyak strategi yang diamalkan melalui pendekatan politik untuk ‘mengusir’ Melayu PP keluar dari pulau yang bernilai tinggi itu. Rumah dan premis perniagaan dijual dengan harga yang cukup tinggi di kawasan pulau, khasnya di kawasan bandar. Sudah pasti, Melayu PP tidak ada kemampuan untuk membelinya. Bukan kerana Melayu PP terlalu mundur tetapi cubalah bertanya, harga rumah di Georgetown, Gelugor, Air Itam, dan Bayan Baru, berapakah harganya. Di luar kemampuan Melayu PP untuk membelinya. Terlalu amat mahal. Dan dalam waktu yang sama, harga rumah dan premis perniagaan di Seberang Perai, Kulim dan Sungai Petani tidak banyak berubah ataupun tidak terlalu mahal. Ini suatu usaha terancang dan licik untuk memastikan Melayu PP berhijrah keluar. Mujurlah di kawasan Teluk Kumbar atau Balik Pulau, masih banyak terdapat perkampungan Melayu. Tetapi, kawasan tersebut tidak memiliki nilai hartanah yang tinggi.
8. Kalau dilihat daripada kaca mata sejarah, perkara ini sudah lama berlaku. Sejak Gerakan memerintah PP, keadaan ini telah berlaku. Gerakan/BN memerintah PP sejak sekian lama, dan Melayu PP tetap begitu. Salah siapa?
9. Walaupun Gerakan memerintah PP, Melayu PP masih tidak mampu bersaing dengan bangsa asing dalam soal pemilikan ekuiti, hartanah, dan juga soal politik. Sekarang PP diperintah oleh DAP. Gerakan dan DAP, kedua-duanya mewakili orang Cina dan Melayu PP tetap menerima keadaan yang sama. Adakah sewaktu Gerakan memegang tampuk kuasa di PP, Melayu PP maju, mampu bersaing, dan kaya-raya? Adakah sewaktu PP diambil alih oleh DAP, Melayu PP menjadi semakin mundur? Saya rasa jawapannya ialah tidak. Orang Cina, dalam konteks ini tidak salah, pada pertimbangan saya. Mengapakah mereka harus disalahkan jikalau mereka menjadi kaya-raya dan kini menguasai politik PP? Mereka menjadi kaya sebab mereka golongan peniaga yang gigih. Mereka menguasai politik PP kerana kemungkinan besar, Melayu PP tidak bijak berpolitik. Kerana Melayu PP tidak kaya, adakah puncanya orang Cina? Kerana PP dikuasai oleh DAP, adakah mereka yang salah? Akhirnya, kita lebih suka menyatakan malah menegaskan bahawa Melayu PP tidak pernah bersalah! Tidak pandai menari, lantainya dikatakan terjungkit!
10. Seharusnya, perjuangan politik orang Melayu PP bukan sekadar berdemonstrasi dan mengibarkan kain rentang mengutuk mereka yang kaya dan bijak berpolitik. Tindakan ini tidaklah salah jika dilakukan. Ironinya, yang mesti dilakukan tidak pula bersemangat seperti itu. Kesedaran untuk menguatkan Melayu PP dalam semua segi lebih banyak menjadi retorik dan bahan kempen pilihan raya. Melayu PP perlu bangkit! Melayu PP perlu mengubah sikap! Melayu PP perlu itu dan perlu ini. Semuanya menjadi ungkapan. Mungkin suatu hari nanti akan dijadikan peribahasa pula!
11. Perjuangan yang sebenar belum pun bermula. Memang semuanya berakar daripada sikap dan mentaliti, namun akhirnya, pertimbangan politik juga memainkan peranan dan penentu nasibnya. Seperti juga soal bahasa Melayu, memang kita boleh mendirikan seratus lagi badan seperti DBP, namun pertimbangan apakah yang mengubah dasar pendidikan sebelum ini? Undang-undang dan akta di tangan orang politik.
12. Melayu PP tidak boleh merampas kekayaan dan kekuasaan bangsa asing. Mereka pun tidak pernah merampas kekayaan dan kekuasaan Melayu PP. Mereka menjadi maju dan kuat kerana semangat kesatuan yang kental. Mereka menjadi berkuasa kerana kebijaksanaan mereka. Kekuatan mereka daripada semua aspek mewajarkan perkara ini berlaku. Dan dalam waktu yang sama, orang-orang kita sentiasa melihat soal kecil seolah-olah tersangat penting. “Hero” sentiasa menunggu masa dan peluang untuk diangkat menjadi wira bangsa! Sentiasa menangguk di air keruh untuk mempamerkan kehandalan dan kepetahan berbicara dan berpidato.
13. Akhirnya, feri meninggalkan pulau menuju ke Tanah Besar!

10 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu Azhar,
1. Satu penulisan yang seimbang tentang situasi P. Pinang dan punyai maklumat berguna sama ada sebelum atau selepas PRU 12, sama ada semasa Gerakan atau DAP yang mentadbir P. Pinang.
2. Apa-apapun selama ini pergi ke P. Pnang sama ada ditadbir Gerakan atau DAP cukup membahagiakan... bahagia kerana makanan yang berpaksikan karinya cukup lazat dan istimewa... itu yang pasti!

ajahare said...

Hamba setuju dengan pandangan Tuan Munsyi.Orang PP sahaja yang tahu apa yang sebenarnya berlaku..

azura said...

Penang memang best! Ikan bakaq best, nasi kandaq best, pulaunya best, USM...lagi best! Yang x best masalah dalaman dan luaran politiknya....

Wahyu Budiwa Rendra said...

kanda azhar.
dah lama tak dengar doria, eh salah...boria.

Melihat Kesunyataan said...

Azhar,
Pulau Pinang adalah mutira Melayu yang malap. Yang perlu digilap ialah fikiran dan sikap orang Melayu sendiri.

cikgucabuk said...

Salam Tuan Munsyi....hanya Jauhari mengenal Manikam...

JHaZKiTaRo said...

salam maulidur Rasul dari bumi Dublin, Ireland.. blog walking kejap.. rajin2, jemput laa singgah ke my blog.. :)

Mybabah said...

Salam Munsyi. Saya penyokong pembangkang tegar (PAS). Namun tidak pula mudah terpengaruh dengan retorik. Munsyi mengembirakan saya dengan hujah yang seimbang dan adil. Sebagai anak watan PP, perspektif Munsyi perlu diberi perhatian yang wajar. Orang luar jangan cuba nak mengarut...Wow, sekarang Munsyi sudah menjalar ke politik pula. Saya masih belum asah parang...

Md Nizar Parman said...

Salam SAHABATKU, Munsyi,
Saya suka ayat yang ke - 13, "Akhirnya feri meninggalkan pulau menuju Tanah Besar." Lantas saya teringat cerita "Mami Jarum". Apa kaitannya? Saya berdoa mudah-mudahan Pulau Pinang kekal dengan gelaran "Pulau Mutiara" dan bukannya "Island of Pearl".

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Kari PP memang menjilat jari! Silap-silap dengan jari pun dibuat kari!

Salam TUAN AJAHARE,
Orang luar PP pun banyak yang dah tahu! Malah ada yang terlebih tahu!

Salam MARIA,
Lim Guan Eng tak best ke?

Salam DINDA WAHYU,
Saya boleh jugak berboria ni, tapi dalam rentak metal!

Salam TUAN HAJI,
Melayu luar PP tak terlibat sama ke?

Salam CIKGUCABUK,
Walaupun tuan cikgu cabuk, Melayu PP (termasuk saya) lagi cabuk!

Salam JHAZKITARO,
Salam silaturahim . Blog tuan akan dilawati. Alhamdulillah, bertambah seorang lagi kenalan, moga ganjaran daripada Allah SWT bertambah!

Salam TUAN SAMSUDIN,
Orang luar boleh mengarut kerana Melayu PP lagi mengarut! Bila tuan nak asah parang? Jangan sampai berkarat...

Salam SAHABAT,
Pulau Mutiara atau Island of Pearl sedang tunggu kawannya yang berbahasa Cina! Di dalam feri ke tanah besar itu bersesak-sesak penumpang berkulit sawo matang!