Monday, August 16, 2010

SUATU CATATAN KECIL UNTUK BANGSA

Aku melihat bangsaku Melayu
bagai sebuah perahu di tengah lautan bergelombang
dihanyutkan dan menunggu masa untuk karam
ditenggelamkan oleh wajah kepuraan dan tidak sedar diri
oleh dua tiga bangsa yang berwajah 1Malaysia
menuntut tanah ini seperti merekalah peribumi
kononnya yang memugar tanah ini.

Aku melihat bangsaku Melayu
diserang dan diterjah dari segenap segi
'kecerdikan' mereka menumbangkan 'kedunguan' bangsa
yang lelah dan makin parah dengan segala gejala
ketika mereka sedang mengatur strategi dan rencana
kita masih dialun oleh muzik daripada program realiti
kita masih dibuai dengan gosip artis dan retorik tentang 'ketuanan'
mereka menguasai pengetahuan dan ekonomi tanpa kasihan lagi.

Sebenarnya
siapakah tuan?

Mereka tidak akan dan tidak mahu berfikir
sejarah silam bungkuskan sahaja kerana tidak ada makna
perjuangan sebelum dan semasa merdeka bukan Melayu semata-mata
jadi, mengapakah masih ada kuota dan istilah 'bumiputera'?

Kita masih jauh tertinggal
ketika mereka bertepuk tangan memperoleh hajat
mungkinkah kesilapan dahulu akan berulang kembali
dan bangsa ini akan merempat di tanah sendiri.

Nampaknya
kita sudah tidak ada lagi pergantungan
kerana dahannya telah reput dimakan anai-anai
yang berkeliaran di segenap suara dan media
kita masih mencari-cari
ketika mereka sedang gembira menari
menyanyikan lagu Anak Kecil Main Api.

Haruskah
kita masih ingin berdiam diri
jikalau suara berani dipenjarakan oleh pemimpin sendiri!

Perjiranan 10
Bandar Dato' Onn.

6 comments:

lya said...

saya rasa sajak Usman Awang yang ini selari dengan sajak tuan..

Melayukah?

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu Azhar,
Inilah sajak sulung Cikgu (daripada puluhan @ hampir ratus sajak yang tersiar dalam pelbagai media) yang tercatat Perjiranan 10 BDO JB.
Ini menandakan bahawa catatan 'Perjiranan 10' akan mula mengganas terpapar dalam pelbagai media ke seluruh kawasan dalam negara.

Melihat Kesunyataan said...

Azhar,
Suara berani dipenjarakan oleh pemimpin sendiri punya makna yang mendalam untuk difikirkan bersama. Selama ini itulah yang berlaku. Kita (pemimpin) takut kepada suara-suara yang boleh mengancam kedudukan mereka. lalu mereka dengan mudah melabelkan suara-suara berani itu sebagai suara fitnah dan sebagainya. Sebenarnya kita tidak perlu musuh untuk mengalahkan kita, kita sendiri yang lemah kerana banyak sangat keboborokan sendiri.

Md Nizar Parman said...

Salam SAHABAT,
Penuh pengertian. Teruskan usaha SAHABAT di tempat baharu, suasana baharu, angin baharu; namun saya percaya semangat, iltizam dan keinginan SAHABAT akan terus utuh...

ajahare said...

Bro,
Nelson Mandela pernah bersuara,
Manusia dilahirkan bebas, tetapi di mana-mana sahaja manusia dalam keadaan dibelenggu..jeritan dari Afrika itu selalu terngiang-niang di telinga hamba.

Azhar Salleh said...

Salam IYA,
Sajak SN Usman Awang jauh lebih menyentuh rasa...Apa-apapun, terima kasih atas kunjungan dan titipan.

Salam RAR,
Perjiranan 10 hanya tercatat dalam blog. Jika di media, gua akan catat seperti biasa. Tapi, bilakah gamaknya akan tersiar di media kalau urat malas berlingkar tak habis-habis!

Salam TUAN HAJI SHAPIAI,
Ya, saya sangat bersetuju dgn pandangan tuan. Melayu kecundang di tangan Melayu!

Salam SAHABAT,
Memang lokasi dan angin baru, tapi semangat tetap begitu, makin melenyap...! Harap-harap akan ada kebangkitan...

Salam AJAHARE,
Ya, Melayu dibelenggu oleh rasa takut yang makin menebal...