Thursday, August 13, 2009

BAHASA: PETIKAN HIKAYAT ABDULLAH TENTANG BANGSA DAN BAHASA MELAYU

Bermula adalah sebesar-besar hairan dalam hatiku sebab melihatkan adat orang-orang kita Melayu itu, yang tiada diperbuat oleh bangsa yang lain-lain dalam dunia ini diperbuatnya!

Adakah segala manusia dalam dunia ini membuangkan bahasanya sendiri, tiada bertempat belajar bahasanya itu, melainkan yang kulihat orang Melayulah yang tiada mengendahkan…

Bermula adalah yang kudengar beberapa bangsa di dalam dunia ini menjadi besar dan pandai sebab mereka itu pandai membaca surat dan menyurat dan mengerti bahasanya serta memeliharakan bahasanya, iaitu daripada bangsa Arab atau bangsa orang putih, baik daripada Cina atau Hindu, maka sekelian mereka sentiasa memeliharakan dan memuliakan bahasanya.

Maka makin sehari makinlah diluaskannya dan ditambahinya dan dibaikinya dan dihaluskannya sampailah zaman ini, kerana sesungguhnya bahasa itulah menjadikan manusia itu berakal dan menambah kepandaian dan ilmunya dan boleh menjalankan segala pekerjaannya dan boleh membaiki akan dirinya sendiri dan boleh pula mengajar akan orang lain.

Maka dengan dia itulah sahaja dijadikan Allah yang dapat mengeluarkan barang suatu rahsia dalam hati manusia.Syahadan dapat tiada kalau ada suatu bangsa yang besar itu maka bahasanya pun besarlah, kerana sekelian perkara yang ada dalam dunia dan akhirat itu semuanya terbit daripadanyalah, menjalankan pekerjaan dan memberi nama tiap-tiap suatu itu dengan bahasa dan mencari kehidupan itu pun dengan bahasa dan mendatangkan beberapa kekayaan dan kemuliaan.Kebesaran bagi manusia itu pun daripada bahasa datangnya.

Maka bahasa itulah yang besar gunanya bagi manusia ini dunia akhirat. Maka patutkah iaitu tiada engkau endahkan...

6 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
Bacalah akhbar mingguan Suara Keadilan (edisi 11 - 18 Ogos 2009) pendapat Pak Samad (muka hadapan) berjudul 'Pak samad dedah pengkhianat Melayu sebenar' yang ada kaitan tentang PPSMI.
Dapatkan segera...! sebelum pemimpin besar Sembrong hilang dan 'habiskannya'...

Md Nizar Parman said...

Salam Munsyi,

Ciri-ciri sesuatu bangsa itu ialah bahasa dan kebudayaannya. Bahasa menerangkan bangsa; bangsa pula menjulang budaya.

mendewa said...
This comment has been removed by the author.
mendewa said...

Peringatan tentang bahasa dan budaya cerminan bangsa sudah banyak terserlah...

malangnya dalam satu Malaysia ini, bahasa Melayu yang terancam akibat kerakusan merebut kuasa. Bahasa Melayu sering menjadi korban dalam banyak hal demi perpaduan dan kesamarataan kononnya. Akibatnya bangsa Melayu juga hilang identitinya.

Untunglag kerana ada ramai lagi yang sedar dan mahu mengembalikan upaya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.

Jangan mengharap kepada pihak yang memperjuangkan Melayu dalam laungan 'Hidup Melayu'...merekalah yang meruntuhkan upaya bahasa Melayu!

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Nampaknya agak sukar utk saya mencari dan memiliki "suara keadilan" sebegini...nampaknya ada ketikanya saya perlu dikongsikan dengan bacaan tuan...

Salam SAHABAT MD NIZAR,
Kadangkala kita perlu berfikir, apakah bentuk tindakan lagi yang dapat kita lakukan...untuk mempertahankan bahasa Melayu selain bersuara dan beretorik dengan pelbagai ungkapan lunak dan segar. Ya, saya percaya kita perlu menentang secara terbuka!

Salam MENDEWA,
Telah terbukti sekarang (sebenarnya sejak dahulu lagi) siapakah petualang dalam membinasakan bahasa Melayu. Bangsa asing tidak akan menggangu gugat bahasa Melayu selagi bahasa mereka dapat terus digunakan. Yang mengganggu gugat, malahan dalam usaha untuk membunuhnya tidak lain tidak bukan, ialah bangsanya sendiri. Ya, bangsanya sendiri, dan yang lebih tragiknya, mereka berada di atas!

arishaeqinur said...

salam cikgu.....boleh tak cikgu kongsikan..apakah ciri2 bahasa dalam penulisan munsyi abdullah dalam novel hikayat abdullah.....