Monday, August 24, 2009

BICARA KARYA NEGERI JOHOR 2009

Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, DBP dengan kerjasama DBP Wilayah Selatan, Persatuan Penulis Johor (PPJ), dan Panitia Bahasa Melayu Daerah Muar telah menganjurkan Bicara Karya Sastera Negeri Johor pada 20 Ogos 2009 yang lalu. Program diadakan di SMK Raja Muda, Parit Jawa, Muar dan disertai oleh kalangan peminat bahasa dan sastera, guru-guru dan para pelajar di sekitar daerah Muar.


Tiga naskhah yang dibicarakan ialah:
1) Keris Sebilah Itu (Kumpulan Puisi) - Shapiai Haji Ramly
Pembentang/Pemakalah - Azhar Salleh (PPJ)


2) Meniti Batas (Novel) - Zulkifli Khair
Pembentang/Pemakalah - Ruzaini Yahya (PPJ)

3) Mazhab Cinta (Kumpulan Cerpen) - W.B. Rendra
Pembentang/Pemakalah - Prof. Arbak Othman (UPM)


Saya telah diamanahkan untuk membicarakan karya Shapiai Mohd Ramly. Judul makalah saya ialah "Kritikan Sosial dalam Keris Sebilah Itu: Suatu Penerapan Teori Konseptual kata Kunci". Secara keseluruhannya, saya mendapati bahawa perjalanan program lancar dan tepat pada masanya. Saya mendapati pihak penganjur melakukan persediaan yang rapi dan sistematik. Mungkin masa program ini diadakan pada waktu bekerja, maka khalayak sastera atau penulis Johor yang lain tidak dapat bersama-sama. Namun begitu, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan khususnya, kepada Encik Jusuh (DBP) dan Encik Rusdi (DBPWS). Kepada rakan pembentang, penulis buku yang dibicarakan, Cikgu Taufek (terima kasih kerana belanja asam pedas Parit Jawa dan pengerusi yang cemerlang), kepada Tuan Haji A. Aziz, dan rakan-rakan yang lain, terima kasih atas sokongan dan dorongan.


Khas kepada Tuan Haji Shapiai, saya masih ingat kata-kata yang saya lafazkan dalam majlis tersebut:

"Jikalau tuan haji ikhlas ketika berkarya, demikian juga saya ketika menelaah dan memberikan pandangan tentang Keris Sebilah Itu".

5 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
Tertarik dengan ungkapan "Mungkin masa program ini diadakan pada waktu bekerja, maka khalayak sastera atau penulis Johor yang lain tidak dapat bersama-sama."

Itulah daya upaya seadanya yang mampu oleh saya untuk adakan program ini, maaf jika tersilap pemilihan tarikh program pada hari bekerja... namun inilah pilihan tarikh yang paling sesuai setelah 2 - 3 tarikh lain difikirkan, tarikh inilah yang bersesuaian dengan pelbagai faktor... (yang hanya saya, Jusoh dan Cikgu Taufek ketahuinya).

Apa-apapun penyampaian dan pembentangan cikgu menepati kehendak umum program dan peribadi saya. Tahniah besar Cikgu!

Md Nizar Parman said...

Salam Munsyi,
Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan. Saya memang tertarik dengan program Bicara Karya Sastera ini. Namun demikian, disebabkan program ini diadakan pada hari persekolahan, nampaknya saya tidak dapat turut serta. Kepingin rasanya untuk melihat saudara membentangkan kertas kerja tersebut. Tapi saya yakin dan percaya, saudara tidak akan mengecewakan audiens. Mudah-mudahan selepas ini saya akan berpeluang untuk mengikuti program ini pada masa yang akan datang.

Wahyu Budiwa Rendra said...

salam ramadan kanda azhar yang dihormati. dinda juga merasakan pembentangan kanda tempohari mantap. tahniah!

Melihat Kesunyataan said...

Azhar,
Akan saya sematkan kata-kata khas yang ditujukan kepada saya itu di hati saya supaya dapat terus berkarya dengan penuh keikhlasan.
Terima kasih yang tidak terhingga.

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Ya, saya faham dan amat-amat mengerti bahawa pelbagai kekangan akan wujud, lantas saya percaya bahawa pihak penganjur telah melakukan yang terbaik! Pemilihan tiga naskhah tersebut, pada hemat saya merupakan pemilihan yang terbaik. Naskhah yang dibicarakan sememangnya mantap dan usaha dan perencanaan DBP/DBPWS sungguh memuaskan. Tentang pembentangan saya itu, saya sedaya upaya akan memberikan yang baik, walaupun mungkin bukan yang terbaik. Terima kasih atas penghargaan daripada RAR itu dan akan saya jadikan azimat dan pendorong untuk masa akan datang. Terima kasih kerana sentiasa memberikan kepercayaan kepada saya.

Salam SAUDARAKU MD. NIZAR,
Salam Ramadan kembali. Memang masa program itu diadakan pada hari bekerja dan mungkin keadaan ini menyebabkan saudara dan rakan-rakan yang lain tidak dapat menyertainya. Insya-Allah, pada masa akan datang, saya teramat yakin bahawa DBP/DBPWS akan terus menyemarakkan kegiatan kritikan sastera ini dan jangan lupa untuk hadir. Terima kasih atas kepercayaan dan keyakinan tersebut. Mungkin saudara juga dapat menjadi pembentang pada masa akan datang, sekiranya ada peluang dan ruang.

Salam DINDA WAHYU,
Terima kasih kembali. Yang mantap sebenarnya, pada pertimbangan saya ialah naskhah yang dibicarakan. Sememangnya salah sebuah daripadanya ialah Mazhab Cinta, kumpulan cerpen yang menyentap naluri dan pemikiran. Mungkin 2010 akan lahir kumpulan cerpen atau puisi terbaharu daripada Wahyu?

Salam TUAN HAJI,
Saya sering percaya dan yakin bahawa tuan haji yang saya kenali merupakan individu yang ikhlas dalam berkarya. Setelah saya mengamati Melihat Kesunyataan dan menekuni Keris Sebilah Itu, kepercayaan itu semakin menebal. Saya juga berterima kasih kepada tuan haji kerana sudi naskhah tersebut dibicarakan oleh seorang penulis yang masih hijau warna daunnya. Izinkan saya memetik dua baris akhir puisi Melihat Kesunyataan.
"Bukalah genggaman tanganmu yang dulu, akan kaulihat kesunyataan".