Monday, August 31, 2009

KEWANGAN: USAH BERTANGGUH LAGI; SIMPANLAH WANG!

1. Saya mendapati bahawa entri Kewangan yang saya kongsi bersama-sama dengan pengunjung WITRA dapat memberikan input sedikit sebanyak tentang subjek ini. Ramai yang memberikan respons positif, sama ada melalui komen ataupun Sistem Mesej Singkat (SMS). Saya ucapkan terima kasih.
2. Pada kali ini, saya akan menyentuh soal simpanan wang. Ya, lazimnya kita akan menyimpan wang apabila mendapat gaji ataupun memperoleh sesuatu pendapatan. Saya melihat ramai orang yang akan menyimpan wang secara tetap setiap bulan. Mereka mengambil tindakan dan keputusan yang tepat.
3. Sebab itulah falsafah orang Cina yang dapat dijadikan pegangan ini perlu dipegang dengan sebaik-baiknya. Falsafahnya mudah, iaitu "Jangan melihat berapa banyak pendapatan kita, tetapi lihatlah berapa banyak simpanan kita".
4. Tetapi, janganlah kita berasa pelik sekiranya kita mendapati masih terlalu banyak orang yang tidak menyimpan wang. Mereka beranggapan bahawa simpanan wang pada setiap bulan akan menyebabkan mereka tidak dapat menguruskan kehidupan dengan baik. Memang benar pandangan ini, tetapi lebih banyak yang tidak benar.
5. Mungkin mereka melihat "masa ini", bukannya "masa hadapan". Kita tidak tahu apa yang akan berlaku kepada kita pada masa hadapan. Sediakan payung sebelum hujan, demikian peribahasa Melayu yang sudah sebati dalam hidup kita.
6. Bagi sesetengah golongan, mereka menyimpan wang melalui kaedah potongan gaji, sama ada untuk ASB ataupun Tabung Haji. Tindakan ini merupakan tindakan yang sangat bijak kerana kita tidak perlu memikirkan soal simpanan selepas menerima gaji. Namun begitu, bagi sesiapa yang memiliki disiplin yang tinggi, mereka tidak perlu berbuat demikian. Berapa ramaikah yang memiliki disiplin sebegini?
7. Apa-apapun, entri pada kali ini tidak akan membahaskan soal ini kerana sesiapa pun sudah sedia maklum akan kepentingan menyimpan wang. Di mana perlu disimpan dan berapa banyak simpanan yang perlu disimpan, akan saya huraikan dan bahaskan pada entri yang lain.
8. Entri pada kali ini tampil hanya ingin memberikan peringatan dan nasihat kepada saya sendiri, dan kepada rakan-rakan agar menjadikan budaya menyimpan wang sebagai suatu tabiat yang menyeronokkan. Ya, tuan-tuan, jadikanlah tabiat ini menyeronokkan!
9. Saya berharap agar kita semua tidak bertangguh lagi dalam hal ini kerana data di bawah dapat memberikan penjelasannya. Saya berharap agar kita berfikir sama-sama akan data-data di bawah.

INFO 1 (Umur anda 20 Tahun)
Sekiranya anda berhasrat untuk menjadi JUTAWAN pada ketika anda berusia 55 tahun (tahun persaraan), anda perlu menyimpan sebanyak RM155.00 sebulan dengan kiraan atau pulangan dividen atau faedahnya sebanyak 12 % setahun.

INFO 2 (Umur anda 30 Tahun)
Sekiranya anda berhasrat untuk menjadi JUTAWAN pada ketika anda berusia 55 tahun (tahun persaraan), anda perlu menyimpan sebanyak RM532.00 sebulan dengan kiraan atau pulangan dividen atau faedahnya sebanyak 12 % setahun.


INFO 2 (Umur anda 40 Tahun)
Sekiranya anda berhasrat untuk menjadi JUTAWAN pada ketika anda berusia 55 tahun (tahun persaraan), anda perlu menyimpan sebanyak RM2001.00 sebulan dengan kiraan atau pulangan dividen atau faedahnya sebanyak 12 % setahun.

INFO 2 (Umur anda 50 Tahun)
Sekiranya anda berhasrat untuk menjadi JUTAWAN pada ketika anda berusia 55 tahun (tahun persaraan), anda perlu menyimpan sebanyak RM12, 244.00 sebulan dengan kiraan atau pulangan dividen atau faedahnya sebanyak 12 % setahun.

CATATAN TAMBAHAN
JUTAWAN dalam konteks ini ialah memiliki wang sebanyak RM1 Juta.
Kadar dividen 12 % setahun diandaikan tetap dan tidak berubah.

Jadi, tuan-tuan, saya percaya bahawa judul entri perlu dihalusi sekali lagi, iaitu:
USAH BERTANGGUH LAGI; SIMPANLAH WANG!

6 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
Saya amat bersetuju dengan kata-kata atau lebih tepat nasihat cikgu dalam entri kali ini terutama... "Jangan melihat berapa banyak pendapatan kita, tetapi lihatlah berapa banyak simpanan kita".
Satu lagi kutipan kata-kata @ nasihat menarik yang boleh dijadikan pedoman penting... "agar menjadikan budaya menyimpan wang sebagai suatu tabiat yang menyeronokkan. Ya, tuan-tuan, jadikanlah tabiat ini menyeronokkan!".

Yang pastinya WAJIB menyimpan walau RM10 atau RM100 sekalipun (maksudnya mengikut upaya diri seadanya).

Terima kasih Cikgu kerana sering meningatkan tentang pentingnya menyimpan wang!

ajahare said...

Tuan Munsyi,
Ziarah sebentar ke blog tuan, teruskan usaha menulis artikel yang membicarakan aspek kewangan..
Sebelum terlupa..terima kasih sekali lagi kerana memberi cendera durja sebuah buku tata bahasa semasa kursus kepada saya..
permisi..

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Terima kasih atas sokongan dan penerimaan pandangan melalui entri ini. Ya, jadikan tabiat menyimpan wang sesuatu yang menyeronokkan. Kita perlu berfikir dan bertindak begitu sekiranya untuk melihat simpanan kita bertambah dari masa ke masa. Memang saya sedar bahawa amalan menyimpan wang berdikit-dikit agak sukar untuk mencapai tahap kaya-raya, tetapi daripada tidak melakukannya langsung, boleh kita bayangkan situasinya...Jadi, saya percaya bahawa inilah salah satu cara yang praktikal, mudah, dan mampu dilakukan untuk mencapai tahap kebebasan kewangan.

Salam AJAHARE,
terima kasih atas kunjungan ini. Insya-Allah saya akan terus menulis soal ini selagi ada daya upaya. Oh, ya! Cikgu manfaatkan buku tatabahasa sebagai cenderadurja itu dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan kita dapat bertemu lagi.

Azhar Salleh said...

Salam AJAHARE,
Blog saudara tidak boleh dititipkan komen?

ajahare said...

Salam Ramadhan Al-Mubarak,
Maaf Tuan Munshyi, saya sengaja tidak menyediakan ruangan komentar di blog saya itu..tuan boleh menitipkan komen secara terbuka di ruangan 'shout chat '. InsyaAllah.

Cikgu Solleh said...

Saudara Azahar Salleh, selamat maju jaya dalam karier anda. Salam hormat dari saya, semoga bertemu di puncak kejayaan dunia dan akhirat.