Wednesday, November 04, 2009

SUMBER PENDAPATAN TAMBAHAN

1. Saya menyedari bahawa kakitangan awam, khususnya yang bergred rendah dan sederhana, agak sulit untuk mencapai taraf kebebasan kewangan yang sepenuhnya. Namun demikian, saya melihat ramai antara mereka yang memiliki aset dan harta yang banyak. Mereka mungkin dilahirkan dengan tuah yang dikurniakan Allah SWT. Dan ada antara mereka, berusaha pada tahap Ultraman Taro untuk berjaya ke tahap tersebut.
2. Kita tidak perlu memaksa diri untuk berada pada tahap tersebut, sekiranya untuk mencapainya, kita memerlukan terlalu banyak masa dan sukar pula. Jadi, kita seharusnya mengenal pasti kekuatan yang kita ada untuk menjana sumber pendapatan yang lebih. Tanpa kekuatan atau kepakaran yang dapat dijadikan modal untuk kita, sekali lagi saya percaya kita akan berada dalam situasi yang lebih sulit untuk mencapai tahap kebebasan kewangan.
3. Walaupun kita bekerja makan gaji, namun di sekeliling kita, ada yang mampu menjana pendapatan yang besar dan ada yang sentiasa “hanya cukup makan”. Golongan kedua lebih selesa berada di dalam zon tersebut. Mereka percaya bahawa dengan gaji yang diterima, ansuran bulanan kereta, rumah, dan segala keperluan lain dapat diuruskan, apa lagi yang perlu difikirkan. Bukankah dalam dunia ini, bukan hanya wang atau harta sahaja yang perlu difikirkan? Masa bersama anak-anak dan keluarga, masa untuk bercuti dan melancong (saya tidak dapat membayangkan percutian yang menyeronokkan tanpa wang!). Saya bersetuju dengan pendapat mereka. Ya, mereka telah memberikan alasan yang cukup wajar untuk memastikan pendapat mereka itu kelihatan benar. Dalam hal ini, kita perlu berlapang dada untuk menerima pendapat orang lain. Dan pendapat ini memang tidak sukar untuk dicari, sama halnya apabila kita melihat Mat Bangla di Malaysia. Di mana-mana ada mereka.
4. Tetapi, dalam banyak buku dan artikel yang saya baca, yang ditulis oleh individu yang berjaya dan kaya-raya, untuk memastikan kita bebas daripada belenggu kewangan, dan kita mampu mendepani kehidupan dengan lebih selesa, kita tidak seharusnya bergantung pada satu sumber, khasnya kepada penjawat awam atau yang makan gaji. Bukannya bermaksud dengan hanya makan gaji, kehidupan kita akan merana ataupun hutang keliling pinggang, tetapi pendapatan tambahan, tidakkah kita akan menjadi lebih bebas dari segi kewangan? Tidakkah keadaan ini akan membantu kita untuk tidak bergantung daripada satu sumber pendapatan? Secara analoginya, begini: Saya ada dua buah telaga, dan anda ada sebuah telaga. Tibanya musim kemarau, siapa yang lebih beruntung? Saya atau anda? Jikalau anda dapat jawab, sila angkat tangan. Jikalau jawapan anda salah, sila berjumpa dengan Guru Pemulihan.
5. Sebenarnya, anda (dan saya juga – makhluk kerdil yang tidak punya wang bertimbun) boleh melakukan pelbagai pekerjaan sampingan, untuk menambahkan pendapatan. Jikalau anda guru, anda boleh mengajar tuisyen (ehm…ehm…), dan jikalau anda pakar dalam bidang komputer, membina, menjual membaiki, dan mengajar merupakan antara perkataan yang sinonim dengannya. Saya jelas sekali tidak termasuk dalam golongan ini. Tuan-tuan tengoklah blog ini!
6. Saya ada seorang rakan di Kedah, seorang guru. Dia suka memancing. Tahap suka itu dah sampai tahap Gaban! Balik sekolah, hujung minggu, malam hari, dia berkawan dengan cacing, katak, dan sebagainya (wah, skema nih!). Saya beritahu kawan saya itu supaya dia gunakan kepakarannya untuk menjana pendapatan tambahan. Dia boleh menjual ikan atau udang yang dipancing, menganjurkan trip untuk kaki pemancing, ataupun membuka kedai menjual umpan, joran, dan perkhidmatan untuk pemancing. Saya masih menunggu tindakan kawan saya itu. Harap-harap nasihat saya ini dia dengar. Tetapi, kalau dia tidak mahu dengar pun, tak apa. Ya, saya tidak rugi apa-apa, malahan, bukankah saling menasihati itu akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.
7. Saya masih ingat, ada seorang kawan di sekolah. Biarlah saya sebut namanya. Namanya Azman. Cikgu Azman. Dia sangat pandai melukis dan mewarna. Mungkin semasa dia belajar darjah dua dulu, dia pernah menang pertandingan melukis dan mewarna yang dianjurkan oleh Kelab Seni Lukis. Oleh sebab dia sangat pandai dalam bidang itu, pada masa lapang dan hari minggu, dia mengambil upah melukis mural di sekolah-sekolah. Dia mengambil upah melukis potret. Lukisan dia memang cantik. Kalau bahasa budak sekarang, cun giler! (aihh…Munsyi Dewan pun bahasa macam nih!) Mural di dewan sekolah saya memang cantik dan nampak hidup. Dia yang lukis. Dan pendapatan tambahan yang dia terima daripada hasil kerjanya itu hampir sama banyak dengan gaji tetapnya. Itu sudah lumayan!
8. Pada masa sekarang, antara bidang yang boleh menghasilkan pulangan wang yang berbaloi adalah dengan menulis. Banyak media cetak yang memerlukan tulisan kita. Tulislah puisi, cerpen, rencana, berita, dan esei yang sesuai, dan hantarlah kepada penerbit. Mereka pasti suka, dan jikalau anda mendapat cek, anda pasti gembira. Cuma, janganlah menciplak atau mengambil harta intelek orang lain! (tersenyum Tuan RAR…!) Mungkin anda tahu rahsia kejayaan Bill Gates dan Michael Dell. Anda tahu, mereka mendapat wang tambahan daripada pekerjaan sampingan terlalu banyak hingga memaksa mereka berhenti daripada Universiti Harvard!
9. Kalau suara anda macam Awie, anda boleh menyertai pertandingan nyanyian. Kalau macam Awang, anda boleh menjadi penyusun pasu bunga di atas pentas. Saya tidak boleh menyertai pertandingan karaoke, menangis Herman Tino nanti! Kalau saya hendak senaraikan apa tugas sampingan yang anda boleh lakukan, rasa-rasanya malam ini, anda tidur lena, saya tak habis-habis menaip!
10. Akhir sekali, untuk melakukan tugas sampingan bagi menjana pendapatan tambahan, ada beberapa kriteria, syarat, atau kehendak tertentu yang saya petik daripada buku “Lahirnya Seorang Jutawan”. Antaranya ialah:
a. boleh dilakukan secara sambilan
b. tidak memerlukan banyak masa
c. tidak memerlukan pengurusan yang terlalu rapi
d. tidak memerlukan terlalu banyak wang
e. jana pendapatan yang tinggi
11. Saya percaya bahawa sesiapa sahaja boleh melakukannya, asalkan ada kemahuan. Dan percayalah jika ada orang lain boleh melakukannya, masih banyak orang yang masih lagi mencari peluang untuk memberikan pelbagai alasan! Pinjam sekejap ungkapan Ustazah Nor Bahyah dalam tv semasa bulan puasa lepas; anda buat anda dapat!
12. Dan Ustaz Azhar pun tambah; anda tak buat, apa nak buat!

4 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Ustaz Azhar @ Cikgu,
1. Tertarik ayat " Cuma, janganlah menciplak atau mengambil harta intelek orang lain! (tersenyum Tuan RAR…!)", apa maksud itu...? Hehehe...
2. Ustaz, cuma hendak tambah sikit dalam catatan bil. 12. itu... "anda ambil anda senyap tanpa izin".

Md Nizar Parman said...

Salam Tuan Munsyi,
Saya bersetuju dengan pendapat tuan. Kita semestinya memanipulasi kelebihan yang ada pada diri kita dengan cara yang bijaksana (kalau boleh semaksimum yang mungkin) untuk menambahkan pendapatan. Percayalah, rezeki tidak akan jatuh dari langit kalau kita hanya menadahnya (kecuali hujan - rahmat Allah). Untuk mendapat sesuatu, kita harus memikirkan sesuatu dan melakukan sesuatu. Paling penting HALAL!

Wahyu Budiwa Rendra said...

kanda azhar. disebut juga sebagai pendapatan pasif. kadangkala saya tidak sedar, memperolehi pendapatan pasif ini. syukur ke hadrat Allah. benar ia sangat membantu. terlalu banyak petua dan rahsia untuk berada pada tahap kebebasan kewangan. dalam proses mencari/menuju ini, kita melalui progres yang menarik. insya-Allah.

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Maksudnya, kita hendaklah membeli kamera...he..he..he..

Salam SAHABAT MD. NIZAR,
Antara sebab seseorang itu lebih mudah mencapai kejayaan dan kekayaan ialah memanipulasi sepenuhnya kekuatan, kelebihan, dan kepakaran untuk menjanakan pendapatan tambahan. Ya, yang penting HALAL!

Salam DINDA WAHYU,
Pendapatan pasif seperti yang Dinda Wahyu lalui sekarang, iaitu menerima royalti novel secara berterusan sedangkan kerjanya hanya sekali. Pendapatan pasif lebih merujuk kepada sesuatu pendapatan yang kita terima tanpa melakukan kerja secara berterusan. Jadi, tulislah novel seterusnya, peminatmu sentiasa menunggu! Saya percaya Dinda Wahyu berada dalam kedudukan terbaik dan selesa untuk terus dan terus menjana pendapatan pasif dan pendapatan tambahan yang lumayan...teruskan pencarian dan jejak!