Saturday, November 28, 2009

WARKAH KEPADA DEWAN

Dari jerih kemahuan jelata
ingin mengangkat nilai dan darjat
memancarkan unggun pada malam pekat
jatuh dan bangun mengusung martabat.

Pintu dewan ingin sekali dikuak
mengkhabarkan cerita tentang jelata
yang masih menggenggam pena
semangat dari cebis lembar sejarah
yang percaya akan kepercayaan
semakin menduga menyahut cabaran.

Kami tetamu dari hentian nostalgia
merakamkan wangian paling setia
bendera bahasa yang engkau julang
kami kibarkan dengan wajah gemirang
setegap daun lontar yang merah berani
dan tangkai resam yang hijau di sisi.

Dalam doa yang paling ikhlas
nyalakan semula api dari suatu zaman
sentiasa bersakti lidah rakyat
murnikan dewan dengan suara keramat.

Azhar Salleh
PPJ Johor Bahru

9 comments:

... said...

Salam Cikgu Azhar. Mohon maaf kerana tersalah panggil tuan dengan Salleh dalam komen di blog saya. Macam stail mat saleh catat/panggil nama orang pulak. Saya sedang berhempas pulas (sebab tak pandai) menggubah puisi tentang bahasa Melayu pada perspektif saya. Harap Cikgu akan hadir komen.

Md Nizar Parman said...

Salam Tuan Munsyi,
Ah, sekali lagi ini hati ini dijentik untuk memahami puisi ini. Suara marhaen yang "mesti" didengar.

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
Sebelum ini cadangan (angan-angan kosong hamba) agar 3-4 buah cerpen cikgu boleh dilanjutkan untuk dijadikan skrip monodrama; kali ini pula setelah membaca dan meneliti beberapa puisi ini timbul pula idea (angan-angan kosong lagi...) agar puisi ini dijadikan lirik lalu dilagukan... ya semacam lirik lagu Dewan Bahasa karya SN Usman Awang...
Hehehe... maaf hamba sekadar lontaran idea kosong yang terlintas cuma...

Melihat Kesunyataan said...

Azhar,
Memang DBPWS serasa dekat di hati. Banyak jasanya buat para penulis Wilayah Selatan.
Salam Aidiladha dan selamat berkorban.

ilustrasimegabuana said...

perjuangan ini memang sukar tanpa dokongan 'mereka' yang ada kuasa, malangnya..'mereka' yang ada kuasa telah 'buta' dan 'tuli'. Tapi..hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih...Justeru, kesedaran perlu disemai pada bakal generasi dan kepimpinan masa depan.

ajahare said...

Teruskan berkarya tuan munsyi..

Azhar Salleh said...

Salam TUAN SAMSUDIN,
Tidak mengapa jika hamba disapa dengan insan yang terlalu amat berjasa kepada hamba selama ini. Puisi tuan hamba telah hamba titipkan komen yang ikhlas. Teruskan berkarya, wahai tuan hamba!

Salam SAHABAT MD. NIZAR,
Terima kasih atas kesudian tuan hamba menaakul puisi kecil daripada warga bahasa kerdil.

Salam RAR,
Puisi hamba belum cukup sifatnya untuk diterjemahkan dalam bentuk lagu, namun jika tuan hamba berasa demikian, insya-Allah, hamba tidak berhalangan untuk terus menambat sokongan. Angan-angan kosong, di tangan tuan hamba, seringkali menjadi bernas.

Salam TUAN HAJI SHAPIAI,
Hamba berasa DBPWS, bukan hanya sebuah institusi, malahan tegaknya DBPWS seperti nyawa bahasa di hujung daksina. Terima kasih atas ucapan tuan haji.

Salam ILUSTRASI MEGABUANA,
"Mereka" bukan sahaja telah ditulikan dan dibutakan, malahan "mereka" telah 'dikasi'! Menjadi bacul, dayus, dan bapok kerana takut kepada bangsa asing! Terima kasih atas kunjungan.

Salam SAUDARA AJAHARE,
Insya-Allah, selagi hamba diberi kekuatan dan kelapangan, hamba akan terus menarikan pena di atas layar bahasa yang makin karam di tengah samudera politik yang dimualkan oleh pemainnya. Terima kasih atas kunjungan.

Nisah Haji Haron said...

Salam Cikgu Azhar,
Saya tertarik dengan kedua-dua entri tentang "Istilah dalam Bahasa Melayu". Saya sudah panjangkan di blog saya dan saya juga sudah buat pautan balas ke blog Witra.

Saya percaya istilah-istilah ini harus dipanjangkan kepada orang ramai.

Terima kasih.

Azhar Salleh said...

Salam PUAN NISAH,
Terima kasih atas kunjungan puan. Terima kasih juga kerana memanjangkan entri tersebut. Wajarlah kita berharap agar istilah dalam BM ini diperluas dan diguna pakai oleh masyarakat. Mudah-mudahan BM akan kembali ke mercu, seperti suatu masa dahulu. Kunjungan puan melonjakkan saraf dan urat nadi bahasa saya.
Salam silaturahim.