Sumber: Utusan Malaysia - 10 Februari 2010.
AKHLAK menurut istilah ialah sifat yang tertanam di dalam diri yang dapat mengeluarkan sesuatu perbuatan dengan senang dan mudah tanpa pemikiran, penelitian dan paksaan.
Ibnu Miskawaih, ahli falsafah Islam yang terkenal mentakrifkan akhlak itu sebagai keadaan jiwa yang mendorong ke arah melahirkan perbuatan tanpa pemikiran dan penelitian. Menurut Imam Ghazali akhlak itu ialah suatu keadaan yang tertanam didalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syarak dan akal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk.
Akhlak adalah antara intipati utama dakwah para nabi dan Rasul. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "Hendaklah kamu memiliki akhlak yang mulia sesungguhnya Allah membangkitkan aku dengannya" dan sabda Baginda SAW juga "Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak." Kesempurnaan seseorang itu dapat dicapai menerusi akhlak yang mulia.
Akhlak yang mulia mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam dan amat besar pengaruhnya dalam kehidupan. Akhlak adalah asas untuk membina ummah ke tahap yang lebih tinggi dan berkualiti selari dengan Islam kerana "Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya." Islam meletakkan akhlak sebagai matlamat perutusan Rasulullah SAW dan mengiktiraf bahawa orang yang paling mulia ialah mereka yang memiliki akhlak yang mulia. Rasulullah SAW menjelaskan menerusi banyak hadis baginda bahawa mukmin yang paling afdal imannya, ialah yang paling baik akhlaknya. Malah di akhirat nanti akhlak yang mulia merupakan amalan yang utama dapat memberatkan neraca amal sebagaimana sabda Rasulullah: "Perkara yang lebih berat diletakkan dalam neraca hari akhirat ialah takwa kepada Allah dan akhlak yang baik."
Rasulullah walaupun seorang yang ma'sum (terpelihara daripada melakukan dosa) sentiasa berdoa kepada Allah supaya memperbaiki akhlak Baginda sebagaimana doa yang sering dibacakan oleh baginda: "Tuhanku, tunjukilah aku akhlak yang paling baik". Etika pula merujuk kepada prinsip-prinsip yang dibina atas dasar kebenaran yang menjadi pegangan seseorang individu atau kumpulan. Dari perspektif Islam, ia merupakan puncak dalam kehidupan Islam dan perhiasannya. Etika juga dirujuk sebagai satu peraturan atau persetujuan atau kod yang menjadi panduan tata kelakuan seorang sebagai anggota organisasi atau masyarakat. Malah, ia juga dianggap sebagai satu sistem moral yang universal yang mengikat ahli-ahlinya dan menggariskan perlakuan-perlakuan yang dibenarkan (the Do's) dan perlakuan-perlakuan yang dilarang (the Don't's).
Etika perlakuan-perlakuan yang baik adalah berasaskan nilai-nilai murni. Dalam Islam, etika diasaskan kepada merasa sifat kehambaan selaras tujuan kejadian manusia, mentaati Allah dan Rasul-Nya, menjaga hubungan sesama makhluk dan sebagai panduan dalam bekerja dan kehidupan seharian.
Ekonomi Islam bersumberkan wahyu yang menjamin kesejahteraan kepada manusia duniawi dan ukhrawi. Berbeza dengan sistem ekonomi ciptaan, ekonomi Islam bersumberkan kepada Islam itu sendiri yang meliputi tiga asas pokok iaitu asas akidah, akhlak, dan asas hukum (muamalah) yang mengatur keseluruhan teori dan praktis ekonomi dalam Islam.
Ekonomi Islam matlamat utamanya ialah untuk memberikan kebahagiaan dan kesejahteraan kepada manusia sama ada Islam atau bukan Islam. Maka pelaksanaan ekonomi Islam mesti mengambil kira maslahah semua pihak, dan bukannya individu tertentu. Ini jelas dipaparkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu). (Saba': 28)
Secara umumnya, terdapat empat nilai utama sistem ekonomi Islam iaitu Rabbaniyyah (ketuhanan), Akhlaqiah (Akhlak), Insaniyah (Kemanusiaan), dan Wasatiyah (Pertengahan). Nilai-nilai ini menggambarkan keunikan yang utama bagi ekonomi Islam dan ia sangat nyata perbezaannya dengan sistem ekonomi yang lain.
Rabbaniyyah bermakna ekonomi Islam tidak berlandaskan kepentingan material semata-mata. Namun, sebenarnya ia berkait rapat dengan ketuhanan atau ilahiah. Justeru, dalam menggerakkan ekonomi Islam, individu-individu yang terlibat mesti mengambil kira batasan-batasan Syariah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Ini adalah kerana, sebagaimana sembahyang dan puasa, sistem ekonomi Islam juga ada kaitannya dengan dosa pahala, syurga dan neraka.
Harta
Islam mempunyai cara, pemahaman dan nilai-nilai ekonomi yang berbeza dengan ekonomi ciptaan manusia. Ekonomi ciptaan manusia menganggap bahawa harta adalah merupakan hak milik peribadi. Justeru, pemilik harta boleh menggunakan harta tersebut mengikut kehendak hatinya. Sebaliknya, Islam mengajar umatnya bahawa harta adalah merupakan hak milik Allah SWT yang dipinjamkan untuk manusia menggunakannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. (al-Hadid: 7). Seorang Muslim tunduk serta patuh kepada peraturan Allah, tidak akan melakukan sesuatu yang haram seperti riba, judi, pelacuran, ihtikar (sembunyi barang), monopoli dan sebagainya.
Akhlaqiyah bermaksud tidak adanya pemisahan antara kegiatan ekonomi dengan akhlak. Seorang Muslim terikat oleh iman dan akhlak pada setiap aktiviti ekonomi yang dilakukannya. Islam melarang unsur-unsur penipuan, penyelewengan, salah laku dan pecah amanah dalam aktiviti ekonomi kerana ia bercanggah dengan akhlak Islam.
Manakala Insaniyyah bermakna kegiatan ekonomi yang bertujuan untuk merealisasikan kehidupan yang baik bagi umat manusia. Ekonomi Islam sejajar dengan fitrah manusia dengan mengiktiraf naluri pemilikan, kecenderungan mengejar kekayaan dan cintakan perhiasan bagi tujuan memperkasakan ummah. Nilai kemanusiaan terhimpun dalam ekonomi Islam seperti nilai kemerdekaan dan kemuliaan, keadilan, persaudaraan, saling tolong-menolong di antara sesama manusia.
Wasatiyyah bermaksud nilai pertengahan atau nilai keseimbangan. Berbanding dengan sistem ekonomi kapitalis, ia jelas menunjukkan bahawa sistem ekonomi tersebut mementingkan peribadi dan hak individu. Kebebasannya kelihatan mutlak dan tiada batasan-batasan agama melainkan batasan moral sahaja yang selalu bertukar.
Sistem ekonomi Islam datang dalam keadaan adil dan saksama. Meraikan kepentingan individu dan masyarakat. Dalam perbelanjaan, seorang Muslim tidak dibenarkan terlalu kedekut dan terlalu boros. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (hamba-hamba itu) apabila berbelanja tidak boros dan tidak kedekut, dan adalah perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian. (al-Furqan: 67)
Wednesday, February 10, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Cikgu Azhar,
Sebuah kutipan entri yang baik dan penting untuk para pembaca blog Witra ini, teruskan Cikgu untuk manfaat bersama.
Mengutip entri ini... "Secara umumnya, terdapat empat nilai utama sistem ekonomi Islam iaitu Rabbaniyyah (ketuhanan), Akhlaqiah (Akhlak), Insaniyah (Kemanusiaan), dan Wasatiyah (Pertengahan)." Teringat kata-kata Tuan Shamsudin Othman tentang INSANIAH.
Salam SAHABATKU, Munsyi,
Sistem kewangan Islam diakui terbaik dan sangat adil. Orang Islam mesti mengamalkan sistem kewangan yang lebih adil dan telus. Apatah lagi sesetengah institusi kewangan Islam yang ada di negara kita pada hari ini telah menawarkan perkhidmatan potongan zakat kepada pendeposit sekiranya wang yang disimpan sudah wajib dikenakan zakat. Hari ini, orang Islam sudah tidak ada alasan untuk menyimpan wang melalui sistem perbankan konvesional yang masih mengamalkan konsep riba kerana sudah ada pilihan lain yang lebih bersih. (Cuma masih kedapatan segelintir orang Islam yang kedekut nak keluar duit untuk kebajikan, tapi cepat-cepat hulur tangan untuk perkara yang berunsur maksiat semata-mata untuk keuntungan!)
Post a Comment