Saturday, March 13, 2010

PUISI: BERPENCAK BAHASA

Telah ranum hujah bersuara dalam debar
di atas sekajang tikar bersulam kejujuran
bahasa tegar berpencak tanpa tagak
di pusar lidahnya terangkum gugus sejarah
yang acap diradak dengan tusukan maruah
namun bahasa masih kukuh masih gagah
lestarikan sebuah arca kemanusiaan
dengan serapah zaman-berzaman.

Bahasa telah berpencak di persada
tangkas berwibawa menangkis senjata
keris yang dilangir tanpa gentar menduga
tersisip di pinggang pendekar bangsa
sedia terhunus menembus petualang
yang retak berhati resah dan walang
yang berani melancungkan kata
yang keras mencurangkan salasilah.

Usahlah lagi berbelit sanggah
nafas bahasa telah meruap bahang
membara di segenap pelosok dan ruang
untuk berjasa dan mempertahankan wangsa
dengan satu bahasa, satu bangsa.

Azhar Salleh
PPJ Johor Bahru.

Berita Harian, 13 Mac 2010.

4 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu Azhar,
1. Selamat kembali BERPENCAK BAHASA dalam penulisan puisi... maksudnya menguasai dan tersiar dalam akhbar arus perdana.
2. Bila lagi ingin berpencak bahasa dalan penulisan cerpen; sudah lama tidak membaca tulisan Cikgu..., asyik baca Tongkat, Aku Mahu Pulang, dan Embrio sahaja sejak 2-3 tahun lalu ini...
Hehehe....

Melihat Kesunyataan said...

Azhar,
Tahniah. Sajak berpencak bahasa ini menandakan Azhar memang seorang pejuang bahasa.

Md Nizar Parman said...

Salam SAHABATKU, Munsyi,
Panglima Bahasa semestinya begitu; berpencak bersilat di arena (kalau hendak bersilambam, berkung fu, bertaekwando dan berkarate lagi bagus). Teruskan membuka gelanggangmu, wahai, SAHABATKU!

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Terima kasih atas sokongan RAR. Insya-Allah, saya akan memastikan sekurang-kurangnya sebuah cerpen dikarang untuk tahun 2010 ini!

Salam AYAHANDA SHAPIAI,
Terima kasih. Bahasa Melayu telah mendarah daging dalam diri saya. Saya akan terus berpencak di gelanggang selagi dikurniai upaya oleh Allah SWT.

Salam SAHABAT,
Dulu, semasa saya bersekolah menengah, saya telah mempelajari silat kuntau elat. Dah berumur ni, berpencak bahasa pun dah hampir longlai, namun perjuangan tetap satu! Terima kasih SAHABAT!