1. Pertama sekali, saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana buat kali ketiga, terpilih sebagai salah seorang penerima Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) Ketujuh. Majlis diadakan di Persada pada 17 Julai 2009 yang lalu.
2. Puisi saya berjudul "Drama Seorang Pencinta" telah diangkat sebagai salah sebuah puisi untuk menerima penghargaan tersebut. Puisi tersebut tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 20 Januari 2008.
3. Selain "Drama Seorang Pencinta", lima buah puisi lain yang turut terpilih ialah:
- Tongkat (Mohd Kasim Mahmud)
- Kasih yang Kutelan (Irwan Abu Bakar)
- Merawat Cinta di Kaki Kaabah (Shamsudin Othman)
- Seorang Pemikir (Amiruddin Md. Ali Hanafiah)
- Warkah Kemerdekaan (Mohd Rosli Bakir)
4. Yang paling membanggakan saya, tentulah pemilihan puisi Cikgu Amiruddin dan puisi Cikgu Kasim, selain puisi Cikgu Rosli kerana merekalah sifu dan merekalah pendorong utama saya. Kepada saudara RAR, terima kasih tidak terhingga atas sokongan dan fotostat puisi yang dihantar untuk diadili.
5. Sebagai suatu catatan, puisi-puisi saya yang pernah terpilih dalam HSDT ialah:
- Gapura Merdeka (HSDT V)
- Pendeta Bangsa (HSDT VI)
- Drama Seorang Pencinta (HSDT VII)
6. Puisi "Gapura Merdeka" turut diangkat menjadi judul antologi pemenang HSDT V.
7. Yang ingin saya kongsi ialah judul puisi "Drama Seorang Pencinta". Sewaktu saya mengarang puisi itu, saya menamainya sebagai "Darma Seorang Pencinta". Judul itulah yang saya hantar kepada editor sastera Mingguan Malaysia. Namun demikian, yang disiarkan pada 20 Januari 2008 itu ialah "Drama Seorang Pencinta". Sebagai catatan, "darma" bermaksud "kewajipan".
8. Apabila tersiar, saya berasa sedikit ralat kerana judul telah ditukar ataupun tertukar, ataupun mungkinkah tersilap dari segi teknikal. Itu di luar upaya saya kerana perkara ini telah menjadi hak editor.
9. Saya berasa sedikit ralat kerana seperti kurang "menangkap" judulnya menggunakan kata "drama".
10. Peristiwa itu, saya biarkan kerana yang paling penting, puisi itu tersiar.
11. Dan, tatkala menjelangnya HSDT VII, saya sedikit terkejut kerana surat daripada YWJ yang memaklumkan bahawa puisi saya terpilih, turut berubah judulnya. Judulnya yang "baharu" ialah "Drama Seorang Perindu".
12. Semasa saya menghantar e-mel kepada urus setia HSDT VII, saya melampirkan sekali lagi puisi tersebut, dan puisi yang die-melkan itu berjudul "Drama Seorang Pencinta".
13. Pada malam penganugerahan, tercatatlah dalam buku atur cara/buku program, dan diumumkan oleh juruacara, dan dipancarkan melalui skrin besar, puisi saya berjudul, "Drama Seorang Perindu".
14. Nampaknya, judul puisi ini meninggalkan kesan yang mendalam dan nostalgia yang tidak akan terpadam betapa puisi ini seperti sukar untuk didekati oleh penciptanya sendiri!
15. Sekalung terima kasih dan setulus penghargaan kepada Yayasan Warisan Johor (YWJ), panel hakim, urus setia, dan rakan-rakan seperjuangan.
16. Kepada pemenang-pemenang HSDT VII yang lain, setinggi-tinggi ucapan tahniah, khususnya, WB Rendra, Tn. Hj. Shapiai, Zulfazlan Jumrah, Shamsudin Othman, Zaid Akhtar, Nazim Subari, dan mantan peserta Perkampungan Penulis Muda Negeri Johor.
17. Akhir bicara, syukur alhamdulillah. Saya sertakan di bawah puisi yang saya pun sudah "keliru" untuk menggunakan judul yang mana...
DARMA SEORANG PENCINTA (terhantar)
DRAMA SEORANG PENCINTA (tersiar)
DRAMA SEORANG PERINDU (terpilih)
Dalam nafas syahdu dan bicara rindu
sepertiga malam bersujud dan bermunajat
berbisik dengan ikhlas mencari ruang
untuk melahirkan sebuah penyataan
betapa kasih ini sangat kerdil dan halus
tidak terbanding tulus cinta-Mu.
Bulan meranum sembah bertafakur
bibir ini sering mengucap syukur
menatap angkasa luas tunduk dan akur
dalam jiwa disapa rahsia terpendam
ingin meresapi dan semakin terendam
suara kalbu dari titis gerimis malam.
Ingin sekali menyatakan rasa
kerana kerdilnya kita di horizon
yang penuh berteka-teki dan rahsia
terpandang kalam-Mu di rehal berdebu
ampunilah segala mungkar dan khilaf
yang pernah tercatat di lembar-Mu
ingin sekali segera kembali
dalam wajah sedar yang hakiki.
Azhar Salleh
Mingguan Malaysia, 20 Januari 2008.
Monday, July 20, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
9 comments:
Cikgu,
Apa lagi yang hendak dikata... sudah sah lagi tertera rasa bangga diri ini terhadap kejayaan 'hatrik' cikgu ini.
Jangan lupa bawa buku 'Jaring Harapan' dan 'Pengorbanan' ke Labuan nanti ya... satu lagi kejayaan berharga milik cikgu itu!
salam kanda azhar yang dihormati. terkesan kepada nota no.14; seakan 'aneh'kan, namun kadangkala memang begitu juga dirasai saya - hubungan penulis dan karya. tahniah, kanda azhar!
14. Nampaknya, judul puisi ini meninggalkan kesan yang mendalam dan nostalgia yang tidak akan terpadam betapa puisi ini seperti sukar untuk didekati oleh penciptanya sendiri.
Salam RAR,
Terima kasih sekali lagi. Insya-Allah, Jaring Harapan dan Pengorbanan akan menjadi intepretasi betapa DBPWS dan JPNJ terus melangkah ke hadapan...
Salam DINDA WAHYU,
Ya, mengarang puisi dan mencipta bahasa puisi sama keadaannya dengan ke'aneh'an manusia itu sendiri... Tahniah kerana mengungguli kategori kumpulan cerpen dan mudah-mudahan, akan terus gemerlap dan cerlang!
chantekk puisi tewww.. salamm
Tahniah Cikgu Azhar dan kejayaan yang berterusan!
Cikgu,
puisi itu agak tidak sesuai dengan judul Drama Seorang Pencinta atau Drama Seorang Perindu. Terpesong isi dengan judulnya. Yang tepat judul yang asal...DARMA SEORANG PENCINTA.
*Maafkanlah editor itu...
Salam EN_ME,
Salam kembali. Terima kasih, tanda penghargaan. Harap-harap puisi yang akan datang lebih chantekk tewww...!
Salam TUAN HAJI ZUL,
Mudah-mudahan ungkapan tuan menjadi doa untuk saya...Sokongan tuan nadi perjalanan...
Salam AZURA,
Ya, Azura. Memang saya sedari sejak tersiarnya dalam MM. Judul, walaupun mungkin kelihatan mudah, namun peranannya amat penting. Tak apalah, saya memang tidak pernah sebesar biji sawi pun utk berasa "tergores" kpd editor itu, malahan saya mensyukurinya. Insya-Allah, puisi seterusnya akan saya letakkan judul "Drama Seorang Editor"!
Azhar,
Memang elok kekalkan tajuknya yang asal, 'Darma Seorang Pencinta'.
Salam TUAN HAJI,
Terima kasih atas saranan dan pandangan. Saya pun berharap demikian juga.
Post a Comment