Thursday, July 16, 2009

TATABAHASA: SEMOGA ANDA...

1. Sering juga saya melihat orang membaca atau menulis ayat begini:
Semoga anda berjaya dalam UPSR.
Semoga Allah merahmati kalian.
Semoga program ini mencapai kejayaan.
Semoga usaha ini diberkati oleh Allah.
Semoga rohnya dicucuri rahmat.
2. Persoalannya, adakah ayat di atas betul? Untuk menentukannya, kita perlulah sedar bahawa ayat mestilah terbina daripada dua unsur utama, iaitu subjek dan predikat. Tanpa salah satu, sama ada subjek atau predikat, ayat yang terhasil tidak gramatis, atau ringkasnya tidak tepat. Sebagai contoh, perhatikan ayat di bawah:
a. Dia
b. Berlari.
Adakah ayat (a) dan ayat (b) betul? Jikalau betul, yang manakah subjek dan yang manakah predikat?
3. Namun begitu, jikalau digabungkan kedua-duanya, ayat yang terbina tidak ada kesalahan kerana ada subjek (dia) dan ada predikat (berlari).
Dia berlari.
4. Ayat yang diberikan dalam contoh di atas sebenarnya tidak tepat kerana tidak mengandungi subjek dan tidak mengandungi predikat. Yang tercatat hanyalah keterangan predikat. Keterangan predikat tidak boleh berdiri sendiri sebagai binaan yang utuh dalam ayat. Cuba perhatikan ayat di bawah.
Kami berdoa semoga anda cepat sembuh.
5. Subjeknya ialah "kami" dan predikatnya "berdoa". Bentuk "semoga anda cepat sembuh" ialah keterangan bagi predikat. Jadi, lima ayat di atas hanya terdiri daripada bentuk keterangan predikat. Oleh sebab itu, ayat tersebut salah. Perhatikan susunan di bawah:
Subjek - Kami
Predikat - berdoa
Keterangan - semoga anda cepat sembuh

Bentuk "semoga anda cepat sembuh" sama keadaannya dengan lima bentuk di atas.
6. Oleh itu, berhati-hatilah apabila menulis atau mengungkapkan sesuatu agar ayat yang terhasil betul dari segi struktur dan bentuknya. Untuk membetulkannya, kita perlu meletakkan unsur subjek dan predikatnya.

6 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
"SAYA BERDOA SEMOGA ANDA TERUS 'TERBILANG' (ini kata Kepala Batas) DALAM PENULISAN KREATIF UNTUK 'SATU MALAYSIA' (ini kata Pekan)"
Ya... selepas berjaya mencipta 'hatrik' yang jarang-jarang berlaku untuk sesuatu penganugerahan, tahniah!

(Catatan kecil: Sedang menunggu kata-kata Pagoh pula ni...)

Syaidul Azam Bin Kamarudin said...

ya, saya juga berdoa agar tuan terus terbilang. Tahniah.

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Falsafah menyatakan bahawa kejayaan seseorang mesti ada "tangan" lain yang mendorongnya. Salah seorang yang kuat dan teguh di belakang saya dalam mengharungi pengalaman ini tentulah saudara RAR. Insya-Allah, pemilihan puisi saya dalam HSDT VI dapat dijadikan mangkin untuk terus menulis dan berkarya...doakan untuk saya.

Salam AZAM,
Terima kasih. Mungkin HSDT tidak "terbilang" berbanding dengan HSKU, namun sokongan saudara amat-amat ditagih!

Faridah said...

Salam Cikgu Azhar Salleh;

Mohon penjelasan dalam bentuk ayat yang menggunakan perkataan "menasihati" dan "menasihatkan". Kerjsama cikgu diucapkan ribuan terima kasih.

Azhar Salleh said...

Salam Cikgu Faridah,
Terima kasih atas kunjungan silaturahim ini. Saya berharap agara cikgu dalam rahmat Allah.
Tentang kemusykilan tersebut, pertama sekali kita perlulah merujuk kepada kamus.
menasihati bermaksud 1. memberi nasihat (ajaran, tunjuk ajar, dll) kpd: ia sentiasa ~ anak-anaknya supaya tidak meninggalkan sembahyang; 2. mengesyorkan kpd, menganjurkan kpd, mengusulkan kpd: doktor ~nya supaya berhenti menghisap rokok dan meminum minuman keras;

menasihatkan bermaksud memberikan sesuatu sbg nasihat atau sbg tunjuk ajar;

Jadi, selepas "menasihati" perlulah diikuti oleh orang/siapa, manakala selepas "menasihatkan" perlulah diikuti oleh perkara/apa. Lihat ayat contoh di atas yang dipetik daripada Kamus Dewan DBP.

agy7500 said...

Binaan `Semoga anda cepat sembuh' ialah klausa tak bebas atau klausa bawawan yang berfungsi sebagai keterangan. Dalam bahagian ini, subjeknya ialah `anda', manakala predikatnya ialah `cepat sembuh'. Binaan ini tidak dapat dikategorikan sebagai ayat yang gramatis kerana ayat yang gramatis mestilah mempunyai ayat induk atau klausa utama. Klausa yang sepatutnya wujud ialah `saya berdoa'. Binaan tersebut salah bukanlah disebabkan tidak mempunyai subjek dan predikat, tetapi disebabkan tidak mempunyai ayat induk.