1. Satu pertandingan lumba lari antara sekumpulan anjing telah diadakan di tengah padang pasir Gurun Sahara. Oleh sebab jarak yang amat jauh, ditambah pula dengan cuaca yang teramat panas, maka kesemua anjing yang menyertai pertandingan itu tidak mampu sampai ke garisan penamat.
2. Namun demikian, terdapat seekor anjing yang kemudiannya ditemui mati, tidak jauh dari tempat penamat, hanya kira-kira 20 meter sahaja. Yang terlintas dalam fikiran kita tentulah anjing itu mati kerana kehausan ataupun keletihan yang melampau. Tetapi, di sebelah bangkai anjing itu, terdapat tompokan air yang bersih dan boleh diminum. Jadi, mengapakah anjing itu mati?
3. Jawapannya, anjing itu minum air itu terlalu banyak kerana kehausan. Persoalannya, adakah dengan minum air yang terlalu banyak akan menyebabkan anjing itu mati? Bukankah air yang banyak diminum boleh dikumuhkan atau dikeluarkan melalui kencing? Jadi, sekali lagi soalan ini gagal dijawab; mengapakah anjing itu mati?
4. Setelah dipost-mortem, didapati bahawa anjing itu mati kerana menghadapi komplikasi pundi kencing yang serius. Selepas minum air tersebut dengan banyaknya, anjing tersebut sepatutnya membuang air kencingnya. Namun begitu, anjing itu menahan kencingnya dan berusaha untuk tidak kencing.
5. Tahukah saudara mengapa anjing tersebut bertindak demikian?
6. Sifat tabie anjing ialah ketika hendak kencing, anjing itu akan mendekati objek seperti pangkal pokok atau batu besar untuk kencing di tempat itu. Sedangkan di padang pasir itu, tiada objek yang sedemikian, melainkan padang pasir yang luas terbentang. Oleh sebab itu, anjing itu sanggup menahan kencing hingga berasa sakit, dan akhirnya menemui ajalnya di situ.
7. Yang terlintas dalam fikiran saudara, mengapakah anjing itu tidak mahu kencing di tanah yang rata seperti di padang pasir itu? Adakah anjing itu tidak terfikir, begitu mudah untuknya membuang air kencingnya. Hanya melepaskan kencingnya di tanah rata itu, dan anjing itu akan terus hidup, dan pastilah anjing itu akan menang dalam lumba lari itu.
8. Sayangnya, itu jawapan kita. Jikalau seperti itulah yang difikirkan oleh anjing itu, nasibnya akan menjadi lebih baik, dan kemungkinan anjing itu tidak akan menemui ajalnya di situ. Tidak akan wujud masalah di situ. Apakah yang berlegar dalam fikiran anjing itu, sebenarnya?
9. Saudara, telah menjadi amalan “nenek moyang” anjing itu, sejak turun-temurun, zaman-berzaman, daripada generasi kepada generasi yang lain, anjing hanya akan kencing pada atau di atas objek atau benda lain seperti kayu, batu, atau pangkal pokok. Kerana tidak mahu mengubah cara lama, anjing itu akhirnya mati. Kerana tidak mahu melanggar amalan warisannya, biarpun kritikal situasinya dan sangat perlu, anjing itu menemui ajal.
10. Saudara, rasanya tidak perlu dijelaskan moral daripada cerita ini.
11. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya.” (ar-Raad, Ayat 11)
Monday, October 26, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
6 comments:
Isshh..isshh..isshhh...kesiiaaannn...nasib baik kita bukan daripada golongan anjing, kan? Namun ramai antara kita yang berperangai seperti anjing...(minta dijauh Tuhan!).
Salam Munsyi,
Kita telah lama juga disogokkan dengan peribahasa "anjing menyalak bukit; bukit tak akan runtuh". Dalam aspek ini saya melihat orang KITA masih terkongkong dengan adat lama yang sebenarnya boleh disangsikan fungsinya dalam era globaslisasi ini. Jika kita memegang adat, itu tidak salah; yang salahnya adalah apabila adat itu dijadikan seperti suatu tembok untuk kita terus maju dan memecahkan cengkerang yang sekian lama membelenggu fikiran orang KITA. Saya suka kisah ini dan saya fikir kisah ini merupakan analogi yang sangat tepat. Benarkan kita sanggup MATI semata-mata untuk mempertahankan adat? Agama Islam pun tak suruh kita mati kerana adat dan firman Allah yang saudara maksudkan sangat jelas bertepatan.
Renungkanlah.....
tuan munsyi,
maafkan saya terkeluar tajuk..
minta tolong perjelaskan ayat di bawah:
Jam tangan itu cantik____harganya mahal.
Ramai rakan sejawat kata, jawapannya "tetapi".Saya menyatakan bahawa ayat tersebut merupakan ayat majmuk yang digabung melalui 2 ayat tunggal iaitu :
-jam itu cantik
-jam itu harganya mahal
Jadi, jawapan yang saya berikan ialah " dan ". kata hubung "tetapi" boleh digunakan jika ayatnya begini, Jam tangan itu cantik tetapi harganya murah. Betul ke alasan yang saya berikan kepada rakan-rakan tu..
Salam Saudara AZ,
Ada ketikanya kita dapat melihat ada anjing yang berperangai seperti manusia, tetapi yang paling banyak wujud dan hidup ialah manusia yang berperangai anjing. Saya setuju dengan pandangan saudara.
Salam Sahabat MD. NIZAR,
Ya, saya amat-amat setuju dengan saudara. Adat dan agama perlu dipisahkan jikalau adat itu menghalang kemajuan, tetapi sekiranya adat yang mendatangkan manfaat, hendaklah diteruskan, malah diperkasakan.
Salam AJAHARE,
Sekali baca, memang seolah-olah jawabannya ialah "tetapi". Namun jika dihalusi, "tetapi" akan menjurus kepada pertentangan maklumat atau fakta. Contoh lain yang dipetik daripada Tatabahasa Dewan; Ahamd lulus ujian itu tetapi adiknya gagal. Ahmad lulus, adiknya gagal, jelas memperlihatkan pertentangan maklumat. Cantik dan mahal tidak menunjukkan pertentangan maklumat kerana yang cantik sudah semestinya mahal. Jadi, jawapan saudara kepada rakan sejawat adalah betul.
Salam Cik Gu,
Seronok juga cerita yang saya baca ini. Pandangan saya, jika anjing-anjing boleh berfikir dia bukan anjing lagi, sebaliknya manusia yang tidak guna fikir boleh digelar sebagai anjing, maksud saya tabiaatnya aja. Sebab itu manusia perlu berfikir pada setiap masa dan ketika. Allah kurniakan akal pada manusia adalah menunjukkan perbezaan kita dengan binatang. Sekian.
Salam TUAN HAJI@CITRA DELIMA,
Ya, seharusnya anjing zaman moden sudah ada yang berfikir utk menongkah arus, biarpun dia melanggar adat nenek moyangnya. Jika dilihat, "anjing" zaman moden yang melanggarnya, akan dikenakan pelbagai sekatan, tindakan, dan hukuman. Jadi, utk selamat, ikutlah kata Pak Pandir (penyanyi Yang Remeh-Temeh) ada telinga, dengar; ada mulut, diam! Ada tangan, garu; ada kaki, goyang.
Post a Comment