Sunday, November 08, 2009

PRINSIP “5S” KE ARAH KEKAYAAN DAN KEJAYAAN

1. Rata-rata individu memiliki prinsip. Prinsip yang dapat dijadikan pegangan dan falsafah diri ke arah pencapaian yang lebih baik dan lebih menggalakkan. Ada orang yang berjaya mencapai kejayaan melalui prinsip tersebut, dan berlambak-lambak juga yang gagal, sama ada gagal sebahagian ataupun gagal keseluruhannya.
2. Hampir kesemua prinsip yang digariskan memiliki tujuan atau matlamat yang sama; iaitu mencapai kejayaan sama ada kejayaan duniawi atau kejayaan di alam selepas mati.
3. Prinsip yang ingin hamba kongsi dengan tuan hamba merupakan lima prinsip yang telah hamba tulis, tampalkan pada dinding bilik kerja hamba, dan sedaya upaya hamba cuba ikuti dan penuhi, walaupun tidak semuanya berjaya dengan tahap cemerlang.
4. Namun begitu, daripada tidak ada, lebih baik ada; dan daripada tidak berjaya semuanya, lebih baik terlaksana sebahagian daripadanya, dan kemudian berazam untuk membaiki pencapaian diri.
5. Hamba tetap yakin dan berpegang pada lima prinsip ini untuk merobah nasib dan pencapaian diri. Hamba percaya kepada prinsip ini. Mungkin prinsip ini tidak mampu merobah semua orang, setidak-tidaknya hamba telah mengalami transformasi yang lebih baik berbanding dengan hari-hari yang lalu, dengan menghalusi dan melaksanakannya dengan sedaya upaya prinsip-prinsip ini.
6. Prinsip tersebut tidaklah sebaik mana pun, namun sekadar berkongsi, kiranya tidaklah bersalahan dengan tradisi keilmuwan.

PRINSIP 5S

SOLAT
Kita perlu memahami bahawa segala-galanya diberikan oleh Allah SWT. Berusahalah untuk menjadi hamba-Nya yang sentiasa solat lima waktu, dan ditambahkan dengan solat sunat, setakat yang terdaya, selagi kita ikhlas melaksanakannya. Memang perkara ini sering dipertegas dan dibicarakan selalu, namun keazaman untuk mendirikan solat tidak sewajarnya dipandang mudah. Solat membezakan kejayaan Muslim dengan bukan Muslim.

STRATEGI
“Kebanyakan manusia tidak merancang untuk gagal, tetapi gagal untuk merancang”. Demikianlah falsafah yang sering sangat kita temukan. Oleh itu, hamba percaya untuk mencapai kejayaan dan kekayaan, kita perlulah bersedia untuk membina strategi yang berkesan bagi mencapai tujuan hidup. Keadaan ini samalah seperti kita hendak menebang pokok, tetapi gergajinya tumpul. Pasti pokok tidak akan tumbang. Dan wajarlah kita mengasah gergaji itu dahulu. Bukankah boleh digunakan gergaji elektrik? Ya, itulah yang dinamai sebagai strategi. Strategi bermaksud “rancangan yang teratur (yang memperhitungkan pelbagai faktor) untuk mencapai matlamat atau kejayaan”. Kita perlu ada strategi. Tanpanya, kita bagaikan merancang untuk gagal.

SINERGI
Sinergi lebih menjurus ke arah pemanfaatan sumber-sumber lain ataupun melalui peranan pihak lain untuk menjayakan strategi ataupun matlamat kita. Di dunia ini, tidak mungkin kita akan berjaya tanpa peranan orang lain. Misal yang paling mudah, tuan hamba melabur dalam ASB, siapakah yang menguruskan dana tuan hamba? Tuan hamba bekerja, siapa yang membantu tuan hamba? Untuk mencapai tahap yang terbaik dalam hidup, manusia memerlukan orang lain untuk membantunya. Kita boleh bergerak dan berdiri sendiri, namun usaha ini akan melambatkan pencapaian kita, berbanding dengan memanfaatkan peranan pihak-pihak lain.

SIDE INCOME
Hamba telah menjelaskan hal ini dalam entri yang terdahulu. Ya, pendapatan tetap yang kita terima, jika diuruskan dengan baik, tidak memerlukan kita mencari side income. Tetapi, dengan adanya side income, setidak-tidaknya dapat membantu kita dalam banyak hal.

SIMPANAN (SAVING)
Setelah bekerja dan memperoleh pendapatan, kita perlulah menguruskan pendapatan tersebut melalui cara yang bijaksana. Antaranya adalah dengan membuat simpanan. Simpanan dalam konteks ini boleh merangkumi pelaburan untuk pelbagai tujuan, antaranya pelaburan/simpanan untuk persaraan, penjanaan pendapatan pasif, dan yang paling penting, untuk menunaikan kewajiban seperti bersedekah, berzakat, dan membantu sesama keluarga, sesama bangsa dan agama. Hamba melihat banyak orang yang tidak memikirkan hal ini dengan lebih serius. Kebanyakannya menyimpan wang apabila ada lebihan. Banyak cara yang dapat dilakukan untuk menyimpan wang. Ada dua cara yang praktikal untuk memastikan wang dapat disimpan; iaitu menambahkan pendapatan ataupun mengurangkan perbelanjaan, dan yang lebih baik; kedua-duanya.

5 comments:

Melihat Kesunyataan said...

Azhar Sifu,
Jangan lupa ada satu 'S' lagi iaitu 'syukur'.
Acah aje..

ajahare said...

Betullah tu "Melihat Kesunyataan".Tambah satu lagi prinsip tu baru mantap. Teruskan perjuangan, wahai Tuan Munsyi.

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
'Side Income' itu boleh tidak dipadankan dengan makna dalam bahasa Melayu yang huruf pangkalnya juga 'S'? Apa pendapat cikgu?

Md Nizar Parman said...

Salam Munsyi,
Ya, jika kita menjadikan "5S" ini sebagai prinsip dan ditambah dengan "S-sabar", pasti akan mendatangkan hasil. Ramai dalam kalangan orang KITA tidak sabar. Mahu kaya cepat, akhirnya merempat + melarat.

Azhar Salleh said...

Salam TUAN HAJI,
Sememangnya hamba tidak terlupa untuk mencatat "S" - Syukur itu, cuma hamba tidak teringat...Terima kasih tuan haji. Ya, tuan-tuan, hendaklah kita bersyukur atas nikmat yang dikurniakan oleh-Nya.

Salam AJAHARE,
Hamba tetap dan terus tegar dengan perjuangan yang satu ini walaupun kerdil; memperjuangkan bangsa dan bahasa kerana Allah Taala.

Salam RAR,
"S" -Side Income boleh diterjemahkan sebagai "Sumber Pendapatan Tambahan" (rujuk entri terdahulu). Namun, komen tuan hamba menyedarkan hamba daripada kelekaan bahawa BM sememangnya kaya dan meruah dengan istilah.

Salam SAHABAT MD. NIZAR,
Sama seperti komen tuan haji, yang mencadangkan "syukur", dan tuan hamba mencadangkan "sabar". Wah, nampaknya catatan dan prinsip hamba tidak memiliki satu lagi "s", iaitu "Sempurna". Terima kasih banyak-banyak atas penambahan ini. Ya, kita telah memiliki 7S sekarang! Tapi, secara peribadi, saya memiliki satu lagi "s" yang memberikan banyak inspirasi tapi mungkin tidak untuk sekalian rakan, iaitu "Suria". Ya, "Suria" isteri saya! he..he..he..