Tuesday, November 24, 2009

SELEPAS PUSAKA DIPUSARAKAN

SELEPAS PUSAKA DIPUSARAKAN
(Jendela Selatan DBPWS, Ogos 2009)


Anak kecil itu bertanya
“Ayah, kubur siapa ini?”

Lihatlah batu nisannya
usahlah kausalahkah ayah
kerana tercatat di situ
suatu tragedi bangsa
anakku, ayah tidak ada kuasa
ayah lemah, tidak ada upaya
memelihara atau mengangkatnya
malah untuk mempertahankannya
ayah sudah terlalu lelah
dan terluka, lukanya parah.

“Ayah, kubur siapa ini?”
Anakku, bacalah catatan di nisan
itulah pusaka leluhur kita
yang pernah hidup dalam jiwa
kini tertanam dan telah dipusarakan
oleh tangan yang mengkhianati
bangsanya sendiri.

Anak kecil itu membaca catatan nisan
di sisinya seorang lelaki yang tewas
dia bangun lalu berlalu pergi
sambil merenung wajahku
telah hilang kata-kata dan suara
kerana suara dan bicaranya
telah direntap oleh bangsanya.

“Ayah, kini barulah saya mengerti
mengapa kita tidak lagi dihormati
mungkinkah roh dan jiwa bangsa kita
telah pun mati!”

Benar, anakku
di sinilah roh dan jiwa kita bersemadi!

Azhar Salleh
PPJ Johor Bahru.

8 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
Sebelum 'SELEPAS PUSAKA DIPUSARAKAN'... perlu ada dahulu 'MELECURLAH BAHASA'! Selepas melecur barulah boleh dipusarakan...

Namun hamba tetap menyangkal kenyataan bahawa 'mungkinkah tuan menahan menguap'; tidak sama sekali bagi tuan berperi laku sebegitu kerana hamba amat-amat tahu akan komitmen tinggi tuan selama ini!
Hehehe...

Md Nizar Parman said...

Salam Munsyi,
Puisi ini saya baca dalam Jendela Selatan dan entah berapa kali saya ulang membacanya. Puisi ini amat menyentap perasaan. Apakah perasaan kita jika suatu hari nanti dialog itu benar-benar dilontarkan oleh anak-anak kita?

Tim-admin said...

sip jg

Unknown said...

Assalamulaikum Cikgu. Sungguh menyentap tangkai jantung apabila membaca sajak ini. Insya-Allah suatu saya akan memohon daripada yang empunya sajak untuk dideklamasikan di depan khalayak Bank. Boleh tak saya pinjam sajak ini untuk entri di blog saya yang akan datang? SALAM AIDILADHA untuk cikgu dan keluarga.

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Harap-harap pusaka itu tidak melecur dan tidak dipusarakan oleh sitolol, sibengap, dan sibacul yang dipilih oleh jelata itu. Jika melecur juga, pusarakan sahaja di PWTC ketika mereka sedang bersidang! Tentang menahan menguap, usahlah bimbang, kerana kita minta kopi janda satuuu...Salam Aidiladha jua untuk tuan hamba sekeluarga.

Salam SAHABAT,
Terima kasih kerana membaca puisi kecil hamba. Tidak mustahil anak atau cucu cicit kita akan melontarkan dialog itu, selagi sitolol dan sibacul masih tegar memegang cangkul untuk mengorek kubur bahasanya sendiri!Salam Aidiladha untuk tuan hamba sekeluarga.

Salam PASABREMO PAKPAK,
Terima kasih atas kunjungan saudara ke blog kerdil ini. Salam silaturahim.

Salam TUAN SAMSUDIN@MUNSYI BANK,
Terima kasih kerana memahami isi hati hamba tentang nasib bahasa. Hamba amat mengizinkan permintaan tuan hamba. Bukan setakat keizinan, malahan sokongan moral yang padu dihulurkan. Salam Aidiladha jua untuk tuan hamba sekeluarga.

Unknown said...

Assalamualaikum Cikgu Azhar. Saya telah paparkan puisi cikgu di blog saya (dan pautkan ke blog cikgu kembali). Hanya nak bertanya sedikit. "usahlah kausalahkah ayah" atau "usahlah kausalahkan ayah". Saya rasa yang kedua. Terima kasih atas keizinan cikgu meminjamkan puisi kepada saya.

Azhar Salleh said...

Salam TUAN SAMSUDIN,
Terima kasih atas paparan dan . pautan itu. Ya, memang benar, sepatutnya "usahlah kausalahkan ayah". Terima kasih atas makluman ini. Perlu dibuat pembetulan.

ilustrasimegabuana said...

bagaimana kita mahu menyingkirkan si bahlol dan si tolol?? malangnya anak-anak kita kerana mewarisi dasar yang disemaikan oleh si bahlol dan si tolol...namun yang lebih bahlol dan tolol @ bangang adalah yang menyokong dan memilih si bahlol dan tolol sebagai pemimpin...