Monday, February 01, 2010

HUTANG BAIK, HUTANG BURUK

1. Hutang; rasa-rasanya bagi orang kebanyakan seperti kita, merupakan satu perkataan yang langsung tidak menggembirakan. Kalau boleh, kita ingin berlari atau menyorok daripada terdengar atau menyebut perkataan hutang. Hutang bolehlah didefinisikan sebagai salah satu elemen yang mengaibkan, pada tafsiran mudahnya.
2. Namun, terlalu amat banyak orang yang menjadi kaya dengannya. Bangunan bank yang tersergam bertingkat-tingkat membuktikan bahawa hutang telah menyebabkan ketika sesetengah orang tidak dapat tidur lena, sesetengah yang lain tidur ternganga-nganga. Ketika banyak kes rumah tangga porak-peranda atau kehidupan seseorang menjadi haru-biru kerana hutang, banyak yang lain pula bergembira dengan hutang yang menjadikan mereka kaya-raya. Aneh, bukan?
3. Jadi, tidaklah benar seratus peratus bahawa hutang sesuatu yang menjelikkan. Saya terdengar ada pembaca yang yang bermonolog; bergantung pada seseorang untuk menentukan status hutang itu; buruk atau baik. Saya memang bersetuju dengan pandangan klise sebegitu. Bergantung pada seseorang, rasa-rasanya tidak akan mengubah apa-apa.
4. Jadi, bagaimanakah caranya wahai tuan munsyi? Saya sudah tidak sabar-sabar untuk membacanya kerana saya salah seorang penghutang yang mapan! Tak percaya? Cuba tanya Maybank, CIMB, Public Bank, EON Bank, dan rakan-rakan mereka! Itu belum lagi tanya pusat perabot bergajah, beli TV dua ribu, bayar empat ribu! Memang budiman pusat tersebut! Saya sayang kepada mereka.
5. Berdasarkan bacaan dan pengalaman saya, untuk menguruskan kewangan dengan baik, pertama sekali, kita wajarlah menganalisis kedudukan hutang kita. Hutang ada dua jenis. Yang pertama, hutang baik. Jikalau ada siang, tentulah ada malam. Jika ada Adam, tentulah ada Hawa (dan Misya Omar!). Jika ada kenyang, tentu ada lapar. Begitu juga dengan hutang. Jika ada hutang baik, yang paling serasi dengan kebanyakan kita tentulah hutang buruk. Betul, tak? Ya, saya melihat tuan-tuan mengangguk-angguk, bererti betullah tu.
6. Hutang baik, secara asasnya ialah hutang yang diambil untuk membeli aset dan harta yang nilainya bertambah, misalnya hutang rumah dan hutang tanah. Hutang baik termasuk juga hutang yang diambil untuk membiayai pendidikan. Memang mudah untuk bercakap tentang hutang baik ini, namun memang sukar juga untuk melakukannya. Perlu ada sedikit sebanyak ilmu. Kalau lebih banyak ilmu, lebih baik. Jikalau tuan-tuan membeli rumah di lokasi yang strategik dan bernilai tinggi seperti di Georgetown, KL, JB (misalnya di Bandar Dato’ Onn) atau di petempatan yang padat penduduk, dan kita berhutang untuk membelinya (terlalu amat sukar untuk membeli rumah dengan tunai!), maka itu dinamakan hutang baik. Hutang ini boleh menjadi buruk jikalau tersalah langkah. Ada orang yang menanggung kerugian kerana membeli rumah. Saya cadangkan buku “Menjadi Jutawan Hartanah” – Azizi Ali dijadikan rujukan sebelum sesiapa bercadang untuk membeli rumah. Biarlah habis RM39.90 daripada rugi RM39,000.90!
7. Baiklah, tuan munsyi! Saya sudah faham maksud hutang baik. Hutang buruk pula, bagaimana? Mudah sekali untuk memahami hutang buruk. Selain hutang baik, hutang yang lain ialah hutang buruk. Mudah untuk memahaminya, dan lebih mudah untuk melakukannya. Pergi ke kedai perabot, beli katil dua tingkat untuk anak-anak secara sewa beli, dan anda salah seorang penghutang yang amat dikasihi oleh mereka! Atau anda beli TV 42 inci, bayar cengkeram RM200.00, dan kemudiannya bersedialah untuk mengayakan tauke kedai itu! Hutang buruk ialah pinjaman yang dibuat untuk membeli barang yang tidak akan bertambah nilainya. Dan yang lebih buruk, nilainya akan turun! Misalnya, pembelian kereta secara hutang ialah hutang buruk, atau dikenal juga sebagai hutang lapuk. Namun begitu, agak-agak siapa yang membeli kereta secara tunai? Memang sukar untuk dicari, tetapi mungkin ada strategi yang berkesan tentang hal ini, untuk memastikan kita tidak terus dihambat hutang lapuk yang tidak selesai-selesai.
8. Sebelum saya terlupa, sementara masih teringat, lawatilah blog mybabah (Tuan Samsudin Jirin) kerana saya telah membaca pautan entri di situ tentang kaedah menguruskan hutang. Menarik kaedah tersebut kerana praktikal.
9. Saya pernah terdengar ada rakan yang mengatakan bahawa hutang ialah lumrah kehidupan. Siapa yang tidak berhutang, wahai munsyi yang tampan!(ehm..ehm..). Tuan mungkin berhutang, betul tak? Ya, saya juga berhutang, wahai rakan yang ganteng juga (he..he..Tuan RAR tersenyum nampak!). Saya sedang berusaha untuk menguruskan hutang saya. Saya membaca banyak artikel dan buku tentang subjek ini, hanya untuk memastikan saya tidak berada dalam perkampungan warga hutang lapuk, selama-lamanya. Tidak mungkin seseorang itu dapat hidup dengan selesa tanpa hutang, katanya lagi. Ya, sekali lagi saya bersetuju dengan penyataan tersebut, secara dasarnya. Tetapi, saya hidup dan bekerja bukan hanya untuk melangsaikan hutang!
10. Hidup dengan berhutang (hutang buruk) bukan penyelesaiannya. Malahan, keadaan ini bukanlah suatu kehidupan yang menggembirakan. Lebih buruk lagi jika sudah sampai melilit pinggang yang banyak lemak itu. Dan hutang yang baik pun, bukanlah bermakna kita boleh memilikinya dengan bebas. Agak sulit untuk kita menguruskan hutang rumah jikalau kita ada rumah berbelas-belas buah! Makin cepatlah kepala kita botak!
11. Jikalau hutang baik pun perlu terkawal, apatah lagi hutang buruk!
12. Kehidupan tanpa hutang merupakan sesuatu yang amat sempurna jikalau dapat dilakukan. Tetapi saya yakin berapa ramai sangat yang boleh melakukannya. Jadi, penyelesaian mudahnya ialah berhutanglah. Pastikan hutang tersebut ialah hutang baik. Elakkan diri daripada terus menambah hutang lapuk. Hutang lapuk yang sedia ada perlu dilangsaikan, dan dalam waktu yang sama, usahlah menambah lagi hutang buruk itu. Andainya kita berhutang untuk membeli rumah atau tanah, maka kita telah memilih landasan yang betul. Andainya kita memilih untuk membeli set sofa di rumah dengan cara berhutang, saya percaya anda patut berjumpa dengan tauke pusat perabot bergajah, mudah-mudahan anda boleh menjadi wakil jualannya!
13. Menguruskan hutang, membawa maksud:
a. berhutang hanya untuk membiayai aset yang akan bertambah nilainya
b. berhutang hanya setakat yang mampu
c. menjelaskan semua hutang yang ada
d. mengelakkan semua hutang lapuk.
(Petikan daripada buku Jutawan dari Planet Jupiter – Azizi Ali)
14. Sekali lagi, ingin saya nyatakan bahawa ada orang menjadi kaya-raya kerana berhutang. Harap-haraplah, antara mereka ialah saya dan tuan-tuan. Uruskanlah hutang kita dengan baik. Jangan terlewat membuat bayaran ansuran kereta dan rumah. Lebih-lebih lagi kad kredit. Salah satu cara untuk menguruskan hutang adalah dengan membuat bayaran lebihan bagi hutang yang kadar faedahnya tinggi.
Contoh ringkas:
Kad kredit – bayaran minimum RM200.00 sebulan
Ansuran kereta – ansuran bulanan RM500.00 sebulan.
Dicadangkan agar bayaran kad kredit dinaikkan menjadi RM250.00 sebulan kerana kadar feadah kad kredit memang menyakitkan hati. Carilah sumber tambahan untuk mendapatkan RM50.00 itu atau kurangkan perbelanjaan sebanyak RM50.00. Ansuran kereta tetap dibayar RM500.00 sebulan. Dengan cara ini, kita dapat melangsaikan hutang kad kredit dengan lebih cepat tanpa dikenakan faedah yang banyak. Selepas selesai bayaran hutang kad kredit, sudah tentu dan sepatutnya kita ada lebihan RM250.00 sebulan untuk melunaskan hutang kereta pula. Ansuran kereta sepatutnya boleh dibayar sebanyak RM750.00 sebulan selepas hutang kad kredit langsai. Dan dengan cara ini, kita dapat menjimatkan banyak wang dan tempoh pembayaran balik pun dapat dikurangkan. Proses ini akan berterusan untuk menyelesaikan hutang-hutang yang lain pula. Kitaran ini boleh membantu kita menguruskan hutang.
15. Contoh di atas merupakan contoh yang mudah. Saya akan mengupasnya nanti. Tanpa dibebani hutang setiap saat, saya percaya kehidupan kita akan lebih bahagia dan dalam masa yang sama, gunakanlah segala sumber yang ada pada diri kita untuk menikmati hidup ini.
Allah Maha Besar. Allah Maha Kaya. Allah Maha Pengasih.

7 comments:

Unknown said...

Salam Munsyi. Wah sungguh hebat tuan Munsyi berbicara soal pengurusan hutang! Kini, diri saya bak Mawi yang tak keruan apabila Faizal Tahir muncul. Apa-apapun tahniah. Kupasan yang padat. Tuan Munsyi boleh menyelitkan perkara sebegini dalam ceramah bahasa kerana orang kita lebih memerlukan pengetahuan ini melebihi pengetahuan bahasa. Kalau tuan mahu slaid yang menarik, saya boleh berikan. Tetapi kena hantar thumbdrive kerana ruang e-mel terlalu kecil dan berat. Saya bangga dengan Tuan...(samsudin jidin bukan jirin)

Anonymous said...

Salam. Tuan Munsyi...
Saya pernah mendengar satu ungkapan sinis satu pihak pasal pemberi hutang ni (Bank dan institusi kewangan ). Menurut mereka.. bank ialah pihak yang memberi kita payung tatkala matahari bersinar dan mula memintanya semula apabila hujan mula turun rintik-rintik. Jadi berhati-hati dengan mereka kerana sekali kita terperangkap, kita akan rimas dikerjakannya.

Rusdi Abd Rahman said...

Wahai Tuan Munsyi dan Ganteng,
Sejak akhir-akhir ini entri-entri tentang kewangan tuan ada diselitkan kesedaran tentang agama, suatu pendekatan yang berkesan dan baik; selain mengejar dunia tuan menyelitkan unsur kesedaran tentang agama kepada pembaca.
Teruskan Wahai Munsyi Dewan DBP, Azhar Salleh (cikgu faham maksud ini ya... hehehe....) dengan entri penuh wibawa sebegini.

azura said...

Cikgu yang hensem....
Hutang memang memeritkan. Beli rumah 189K...sign aggerement 220K! Bank tu kata Islamik...tanpa interest (tapi ada BLR)...kononnya jauh lebih baik berbanding bank konvesional. Tapi hakikatnya...2x5!

Md Nizar Parman said...

Salam SAHABATKU, Munsyi,
Nampaknya pakar bahasa kita ini bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang pengurus kewangan yang berjaya (rasanya sudah 90% berjaya). Saya mendokan semoga suatu hari nanti akan terbit sebuah buku kewangan yang ditulis oleh seorang Munsyi Dewan. Sebelum berhutang, saya percaya bakal penghutang pasti membuat kira-kira terlebih dahulu sebelum menurunkan tandatangan pada borang perjanjian yang dihulurkan oleh pemiutang. Saya bersetuju dengan padangan SAHABAT, berhutang untuk sesuatu yang boleh mendatangkan keuntungan untuk suatu jangka masa yang panjang adalah sesuatu yang bijak kerana harta yang dibeli boleh dijadikan aset (rumah/tanah) yang mana harganya akan terus meningkat dari masa ke masa... Teruskan menulis entri sebegini.

Azhar Salleh said...

Salam TUAN SAMSUDIN,
Faizal Tahir muncul bukan untuk menggugat Mawi. Jadi, Mawi tak perlu bimbang kerana Faizal Tahir tahu bahawa Mawi jauh lebih hebat! Terima kasih atas pandangan, sokongan, dan cadangan tuan. Ya, saya memang sering menyelitkan unsur kesedaran kewangan ini semasa berceramah kerana saya percaya, banyak orang yang memerlukan info dan suntikan kesedaran sebegini. Tentang slaid, wah, saya memang berminat! Nanti saya akan hubungi tuan! Maaf, kesilapan saya menulis nama tuan.

Salam Anomymous,
Jangan kita menyalahkan bank seratus peratus. Tanpa bank, kita tak akan mampu memiliki kereta dan rumah. Tanpa bank, sudah pasti kehidupan kita tidak selancar yang diharapkan. Namun begitu, yang paling penting, kita mestilah berwaspada apabila berurusan dgn mereka. Saya pernah terdengar ungkapan itu. Terima kasih atas perkongsian ini.

Salam RAR,
Ya, saya memang ganteng (ehem..ehem - perasan la pulak!)Saya masih 'terhutang' dgn Ayahanda Shapiai ttg kesedaran kewangan berlandaskan unsur agama. Insya-Allah, "Munsyi Dewan DBP" ini akan mengkaji skop ini apabila sampai masanya.

Salam MARIA@AZURA,
Terima kasih kerana menyedari kehenseman saya (he..he..)! Saya masih meneliti perbezaan antara pinjaman berlandaskan Islamik/Syariah dengan konvensional. Sekali imbas, memang 2X5, tapi mungkin ada perbezaannya. Yang pasti, buat masa ini, saya lebih melihat konsep Islamik lebih baik, sekurang-kurangnya dari segi lunasnya.

Salam SAHABAT,
Saya belum berjaya 90% lagi, malah belum pun 20%! Tetapi saya sedang dan akan terus berusaha untuk mencapai kebebasan kewangan. Tentang buku kewangan, insya-Allah, dalam perhatian (cuma belum dalam tindakan!). Benar SAHABAT, kita mestilah berwaspada sebelum menurunkan tandatangan pinjaman. Bukan sekadar meneliti, malah membandingkannya juga menjadi keperluan. Hutang perlu ditafsirkan dengan adil. Dan dengan sokongan rakan-rakan, saya akan terus menulis entri sebegini. Sekurang-kurangnya, saya berharap agar sedikit manfaat akan diperoleh bersama-sama.

Anonymous said...

Hutang nak bli keter... heheh