Friday, January 29, 2010

BICARA KARYA SASTERA NEGERI MELAKA 2010

Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Unit Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru, Kampus Perempuan Melayu Melaka telah menganjurkan Bicara Karya Sastera Negeri Melaka 2010, bersempena dengan Anugerah Sastera Melaka 2010 pada 22 Januari 2010 yang lalu. Program yang dihadiri oleh pensyarah, guru pelatih dan peminat sastera negeri Melaka ini membicarakan tiga naskhah, iaitu "Haruskah Aku Berlari, "Simbiosis" dan "Meranduk Ranjau".

Saya telah diamanahkan untuk membicarakan karya Mohd Kasim Mahmud, penulis prolifik Johor yang berasal dari Merlimau, Melaka, iaitu "Meranduk Ranjau". Judul makalah atau kertas kerja yang saya bentangkan ialah "Unsur Feminisme dan Falsafah Nasionalisme dalam Meranduk Ranjau: Suatu Penerapan Teori Konseptual Kata Kunci".

Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada DBP KL (khasnya Encik Jusoh Majid), DBPWS (khasnya Tuan RAR), dan rakan-rakan pembentang, iaitu Tuan Haji Samsudin Othman (penyair romantis) dan Munsyi Mohamad Mursid (Munsyi Dewan yang tenang).

Saya beranggapan bahawa program pada kali ini telah mencapai tujuannya kerana dilaksanakan dengan begitu lancar. Tahniah kepada DBP dan DBPWS! Mudah-mudahan, karya yang dibicarakan akan dibaca dan dihayati oleh peminat-peminat sastera, khususnya di negeri Melaka.
Encik Ramly Abu, selaku pengerusi program berjaya mengendalikan program dengan baik sekali. Ketiga-tiga orang panel kelihatan bersedia untuk bertempur di gelanggang bicara.
"Cikgu Kasim, segan juga hendak membicarakan karya salah seorang sifu yang mengajar saya menulis cerpen!"
Ini bukan perbarisan lintas hormat Hari Kebangsaan! Saya sedang berbicara tentang kehebatan srikandi Melayu, iaitu Dang Bunga! Nasib baik saya tidak menjelma menjadi "mat bunga" di situ. Rambang mata jugak!

Memandang khalayak di sudut kanan agar penghayatan yang terjelma lebih mendalam!
Sesekali 'mengusik' Tuan Haji Samsudin, best jugak! Bukan mudah hendak 'mengusik' seorang pejuang bahasa yang kental dan cekal...
(p/s: Terima kasih RAR atas kiriman foto-foto di atas)

4 comments:

Md Nizar Parman said...

Salam SAHABATKU, Munsyi,
Tahniah kerana melangkaui sempadan Johor dalam membicarakan karya sastera, terutama penulis-penulis prolifik dari Johor. Saya percaya, program Bicara Karya Sastera merupakan satu wadah yang paling tepat untuk meletakkan sastera pada tempat yang sewajarnya. Teruskan usaha murni SAHABAT yang saya fikir antara yang terbaik dalam bidang ini. Terima kasih atas "bingkisan" azimat tempoh hari. Tiba-tiba diri ini terasa muda, belia lagi remaja!

Azhar Salleh said...

Salam SAHABAT,
Terima kasih atas sokongan tuan. Saya hanya menjalankan amanah yang diberikan oleh DBP untuk bersama-sama dalam mengupas karya sastera. Saya amat berterima kasih kepada DBP (khususnya Tuan RAR) kerana membawa saya ke dunia kritikan sastera yang benar-benar menguji keterampilan dalam menaakul karya sastera berpandukan teori kritikan. Bingkisan azimat sedang dipergiat. Tunggu semasa gubal UPPM 2 nanti, akan lebih hebat dan pasti, SAHABAT akan terasa seperti memakai seluar getah, baju Loudness, dan kasut Aliph semula! Hidup SYJ!

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
Kini sedang merangka pula untuk edisi Bicara Karya Sastera Johor, rasanya hendak bikin di Segamat... tapi yang pasti sudah ada nama pembentang yang diri ini akan terus kekal serta perluaskan namanya (atas penuh tinginya wibawa ilmu dan komitmen besarnya), siapa lagi kalau bukan WITRA!

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Habis satu, satu lagi program dirangka! Memang prolifik tahap Gaban! Apa-apapun, terima kasih sebesar raksasa musuh Ultraman atas kepercayaan yang diberikan. Insya-Allah, saya akan cuba untuk terus memberikan komitmen jitu demi kelangsungan wibawa sastera anjuran DBP. Yang pasti, WITRA terus di sisi untuk menggegarkan Gunung Gemora Sastera! Fuhh...dahsyat bro!