1. Sewajarnya soal atau perkara tentang pendidikan, misalnya pendidikan anak-anak perlulah menjadi keutamaan dan diletakkan pada tempat yang teratas.
2. Walaupun saranan dan pegangan ini terlalu amat banyak diperkatakan dan dipertegas dalam al-Quran dan hadis-hadis sahih, namun orang kita (Melayu Islam Malaysia) masih tidak menterjemahkan hal ini dengan sebaik-baiknya. Memang premis ini tidak melibatkan semua, namun sekurang-kurangnya melibatkan banyak orang. Agak berbeza dengan bangsa asing, khususnya orang-orang Cina yang begitu mementingkan pendidikan anak-anak. Buktinya, di sebuah pusat tuisyen yang paling terkemuka di JB, 80% pelajarnya bukan Melayu.
3. Saya ingin memberikan contoh yang lebih khusus; Sejak beberapa tahun yang lepas, saya telah berusaha untuk menggunakan majalah Dewan Pelajar untuk dimanfaatkan oleh guru dan murid semasa sesi pengajaran dan pemelajaran melalui program Majalah Dalam Kelas (MDK).
4. Penggunaan majalah Dewan Pelajar dirasakan telah banyak membantu guru dan murid sehingga keputusan Bahasa Melayu dalam UPSR di sekolah saya meningkat dan pernah mencapai keputusan 100%. (Insya-Allah, saya akan lebih tekun untuk mencapainya lagi tahun 2010).
5. Tetapi, selepas majalah dan surat makluman diedarkan, agak banyak murid yang datang berjumpa dengan saya dan memaklumkan bahawa ibu bapa mereka tidak bersetuju dengan penggunaan majalah tersebut. Saya tidak bertanyakan alasannya, tetapi saya amat yakin bahawa alasannya ialah setiap murid perlu membayar harga majalah sebanyak RM2.70 sebulan/senaskhah. Harga asalnya ialah RM3.00. Kalau diberi percuma, tidak ada masalah yang akan timbul. Ada yang terus terang memberitahu saya bahawa ibu bapa mereka tidak mahu membazirkan wang membelinya kerana banyak perkara lagi yang perlu difikirkan dan dibayar. Saya tidak menyalahkan murid-murid itu, malah majalah yang telah saya berikan itu tidak pun saya minta dikembalikan.
6. Ada ibu bapa yang menelefon saya dan mempersoalkan penggunaan majalah itu. Kononnya guru tidak memanfaatkannya dan katanya, ada guru yang langsung tidak menggunakannya. Saya menyatakan bahawa sekiranya tidak digunakan oleh guru sekali pun, setidak-tidaknya majalah itu dapat dibaca oleh anak-anak mereka. Oleh sebab saya tidak mahu mendengar seribu satu alasan ataupun komen yang berpanjangan, saya terus mengatakan bahawa pembelian atau langganan majalah itu tidak diwajibkan. Terpulang kepada ibu bapa untuk membuat pertimbangan.
7. Nampaknya, RM2.70 sebulan menjadi masalah kepada mereka. Ya, masalah yang agak besar. Yang lebih pelik, ada yang datangnya daripada golongan berkemampuan.
8. Dengan wang sebanyak itu, kita tidak mampu pun membeli sebiji burger di McDonalds atau seketul ayam goreng di KFC. Mungkinkah nilai ilmu yang terkandung dalam majalah itu lebih murah daripada nilai sebiji burger? Saya berulang-ulang kali memikirkannya. Dan hati saya dijentik untuk berasa sayu, apatah lagi terbayang sepasang mata anak-anak didik saya di sekolah. Kasihan mereka. Mereka hanya menurut perintah. Mereka anak-anak yang baik.
9. Memang masih banyak ibu bapa yang menyokong langganan majalah ini, tetapi sayangnya keadaan ini tidak menyeluruh. Guru di kelas akan berhadapan dengan masalah untuk menggunakan majalah ini kerana ada murid yang tidak memilikinya. Pengajaran tidak akan berjalan lancar. Ibu bapa yang menyokong langganan majalah ini perlulah dihargai dan mudah-mudahan, mereka akan terus memberikan kepercayaan kepada saya dan guru-guru untuk mengangkat majalah terbitan DBP sebagai sumber bahan pengajaran di kelas.
10. Apabila Guru Besar bertanya kepada saya tentang hal ini, saya menyatakan bahawa program MDK ini akan tetap dijalankan walaupun saya berhadapan dengan situasi ini. Bayaran kepada pembekal akan saya uruskan dan Guru Besar tidak perlu berasa bimbang kerana selama ini, dengan izin Allah SWT, bayaran kepada pembekal berjalan dengan baik.
11. Saya boleh membatalkan langganan majalah ini dan program MDK, tetapi dengan izin Allah SWT, saya masih diberi kekuatan untuk memberikan galakan kepada murid saya untuk membaca, biarpun saya terpaksa membayar harga selebihnya yang berjumlah ratusan ringgit sebulan. Saya percaya bahawa untuk mencapai matlamat yang baik, lazimnya tidaklah semudah yang diharapkan.
12. RM2.70 sangat besar kepada orang kita.
13. Mudah-mudahan, Allah SWT melapangkan rezeki gurunya untuk membayar harga langganan majalah, asalkan anak-anak di sekolah memperoleh manfaat dengan penggunaan majalah itu tanpa mengira bangsa dan agama.
14. Akhir kalam, saya sentiasa memegang suatu kepercayaan bahawa pendidikan merupakan suatu bentuk pelaburan yang paling menguntungkan.
Monday, March 15, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
6 comments:
Cikgu Azhar,
1. Diri ini setiap bulan membeli Majalah Dewan Pelajar serta majalah-majalah lain terbitan DBP(bukan dapat percuma walaupun staf organisasi yang terbitkan majalah itu), walaupun sekolah anak tidak menggunakan majalah itu tetapi diri ini suruh anak membacanya dan memanfaatkannya untuk tambahan ilmu.
2. Diri ini paksa anak membaca Dewan Pelajar walaupun anak lebih menggemari majalah yang sama dalam kategori seperti ini kerana majalah seumpama itu warna dan susun letaknya menarik berbanding Dewan Pelajar, namun ilmu dalam Dewan Pelajar lebih bermanfaat.
3. Benar kata Cikgu bahawa pendidikan merupakan suatu bentuk pelaburan yang paling menguntungkan.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun mengorek-ngorek tabung harimau jenama maybank.tabung itu dikongsi bersama abang sulungnya.setiap bulan, itulah yg dilakukannya.kanak-kanak itu anak seorang askar yang pendapatannya tidak semewah mana.setiap bulan dia akan membeli Dewan Pelajar kegemarannya di kedai surat khabar di sebelah pejabat pos besar johor bahru.itulah satu-satunya kedai yg menjual Dewan Pelajar yang terdekat dengan rumahnya. Hal tersebut berlanjutan sehingga dia menjejakkan kakinya ke MRSM. Kini, tabung maybank itu masih setia di rumah ibunya. Dewan Pelajar juga masih setia penerbitannya. Kanak-kanak itu kini seorang doktor di sebuah hospital terkenal di johor bahru. Dia tetap membeli majalah itu sehingga kini--untuk anak2 buahnya (anak2 buahnya itu ialah anak2 saya). Sekian.
Salam SAHABATKU, Munsyi,
Orang Melayu tidak berkira kalau hendak menyambut hari raya, berbelanja sakan, beribu-ribu RM melayang - maklumlah, hari raya mesti serba baharu. Dewan Pelajar(DP) RM36 setahun sangat mahal (bagi sesetengah puak ini). Saya mengakui, kandungan DP sangat baik untuk pelajar2 yang akan menduduki peperiksaan UPSR. Sejak beberapa tahun yang lalu, saya melanggani Dewan Sastera, Dewan Budaya, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa dan Dewan Pelajar.
Azhar Sifu,
Saya bersetuju dengan peranan bahan bacaan seperti Dewan Pelajar dalam membantu penguasaan bahasa anak-anak dalam pembelajaran. Sebab itulah sejak dulu saya berhabis-habisan membeli Majalah DP, dan Dewan siswa untuk anak-anak saya. Alhamdulilah mereka kini sudah berjaya menamatkan pelajaran di Universiti. Kini saya masih terus membeli majalah-majalah Dewan seperti Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa dan Pelita Bahasa.
Sebagai guru saya kagum dengan keazaman tuan sifu untuk terus berlanggan DP buat bacaan pelajar di sekolah.
Teruskanlah usaha murni ini.
Salam RAR,
Memang tidak dapat dinafikan bahawa walaupun DP kurang menyerlah berbanding dgn Kuntum, namun apa lagi yang dapat kita lakukan? Sesuatu perlu dilakukan dan tindakan proaktif perlu dibuat sebelum DP tenggelam. Kita perlu menggerakkan usaha ini tanpa perlu mengalah...
Salam MARIA SHARAPOVA,
Terima kasih atas kunjungan. Anekdot saudara amat mengesankan. Ya, majalah DBP telah sekian lama diperakukan sebagai majalah yang unggul dari generasi kepada generasi yang lain. Terima kasih kerana sudi berkongsi cerita.
Salam SAHABAT,
Bangsa Melayu banyak berbeza dgn bangsa asing dalam hal pendidikan. Tetapi, bangsa Melayu paling jaguh soal hiburan dan keseronokan. Apa kata kalau SAHABAT menjadikan DP dan MDK sebagai program utama di sekolah?
Salam AYAHANDA SHAPIAI,
Saya berasa kagum dgn tuan yang saya percaya, dilahirkan oleh Tuhan sebagai pendidik sejati, bukan kepada anak-anak tuan semata-mata, namun kepada seluruh anak bangsa. Usaha saya sekelumit dan sepicing cuma. Moga Tuhan memberikan kelapangan dan kemudahan kepada saya.
Salam ziarah perdana,
Salam perkenalan.
Pencarian maklumat tentang MDK menemukan saya dengan blog ini. Saya amat berminat untuk menjalankan tajuk berkaitan MDK ini sebagai projek tahun akhir saya kelak. Suka saya untuk berbincang dengan tuan. Boleh berikan emel atau maklumat yang boleh dihubungi.
Hazlina, PBMP UPM.
ina_nailofar@yahoo.com
Post a Comment