Tuesday, March 31, 2009

KEWANGAN: BELI BARANGAN YANG BERKUALITI

BELI BARANGAN YANG BERKUALITI

1. Pertama sekali, saya perlu memohon maaf daripada pengunjung blog atau rakan-rakan kerana sudah agak lama tidak menulis tentang soal pengurusan kewangan.
2. Keadaan ini berlaku, selain kekangan masa, turut disebabkan oleh masalah ketika saya memuatnaikkan (upload) bahan. Blog saya ada masalah tentang hal itu. Samdol sungguh! Entahlah, mungkin disebabkan saya tidak mahir dalam hal teknologi ini. Namun demikian, saya akan cuba mengatasi masalah yang timbul dengan sedaya upaya.
3. Selepas saya menulis tentang pengurusan kewangan yang berkaitan dengan ASB, kad kredit, kad debit, dan insurans, saya mendapat respons yang baik daripada rakan-rakan. Ternyata, soal kewangan memang menarik untuk diperkatakan. Dan saya sedikit hairan jika, soal ini akan berterusan menjadi tabu, walhal setiap ketika dan detik, kita memerlukan wang untuk terus hidup dengan selesa.
4. Ya, saya terdengar ada yang berkata, wang bukanlah segala-galanya. Percayalah, saya bersetuju dengan pendapat itu. Tetapi, bolehkan wang gaji saudara bulan ini diberikan kepada saya, dan kemudiannya kita akan melihat apa yang akan berlaku. Betul, wang bukan segala-galanya, namun hampir segala-galanya memerlukan wang…setuju?
5. Salah satu strategi untuk menguruskan wang atau memastikan wang yang kita peroleh itu dimanfaatkan dengan sewajarnya adalah dengan membeli barangan yang bermutu.
6. Membeli barangan yang berkualiti ini akan dapat memastikan kita boleh berjimat.
7. Tok guru, bagaimana tu? Pelik juga, ya! Membeli barangan yang berkualiti boleh memastikan kita dapat berjimat! Yang saya tahu, barangan bermutu memerlukan kos atau belanja yang besar. Jadi, bagaimana kita dapat berjimat? Oh, Tok Guru ni memang suka temberang!
8. Amboi, saudara mengatakan bahawa saya temberang!
9. Kalau dilihat kembali penyataan saya di atas, saya mengatakan bahawa “membeli barangan yang bermutu”, dan bukannya membeli barangan yang berjenama!
10. Memang betul, membeli barangan berkualiti bermaksud membeli barangan berjenama dan mahal. Tetapi adakah premis ini benar dalam semua keadaan? Saya percaya tidak, kerana mungkin saudara ada pengalaman sendiri bahawa ada ketikanya barangan berjenama dan mahal ini tidak semestinya berkualiti. Ada ketikanya kita perlu membayar dengan jumlah yang tidak berbaloi dengan kualitinya.
11. Malahan, yang perlu kita sedar ialah kebanyakan barangan berjenama ini hanya gah atau kelihatan hebat pada namanya. Jelaslah bahawa kita terpaksa membayar dengan harga yang lebih untuk memastikan kos iklan produk itu ditanggung oleh pembeli, dan mungkin pembeli itu kita!
12. Apabila soal mutu atau kualiti yang diperkatakan, dalam hal ini, sepatutnya barangan itu boleh tahan lama. Kita boleh memanfaatkan barangan itu sehingga tempoh masa yang panjang.
13. Tetapi, saya tidak boleh menyatakan bahawa barangan bermutu akan bersinonim dengan harganya yang murah. Tidak adil penyataan demikian. Malah, agak jarang-jarang berlaku sebegitu. Saudara bernasib baik jika membeli barangan yang berkualiti dengan harga yang murah. Oleh sebab itu, mungkin kita seharusnya membeli sesuatu barangan yang berkualiti itu dengan melihat soal harga. Untuk mendapatkan barangan yang baik, tentu ada sesuatu yang perlu dikorbankan. Lihatlah, bagaimana agak sukar untuk mendapatkan isteri kita dahulu! Janganlah berkira sangat apabila hendak membeli barangan, khususnya yang memakan belanja yang besar sekiranya barangan itu dapat kita yakini akan mutunya.
14. Bolehkah diberi contoh, wahai Tok Guru yang budiman? Kalau soal kewangan, pening jugak nak faham! Boleh, tak ada masalah, anak muridku. Biarlah saya bercerita tentang sesuatu yang benar-benar berlaku. Nanti saya dituduh temberang lagi! Saya masih menggunakan sebuah peti sejuk yang saya beli ketika masih bujang lagi. Dan sehingga kini, peti sejuk ini masih berfungsi dengan baik. Belum sekalipun, saya menghantarnya ke kedai untuk dibaiki. Kini, saya telah berkahwin dan memiliki 3 orang anak. Yang bagusnya, peti sejuk itu terus berkhidmat untuk saya dan keluarga saya. Isteri saya tidak pernah merungut untuk membeli peti sejuk yang baru. Saya pun gembira. Selamat duit aku! He..he..
15. Harganya? Saya sudah terlupa (sebab sudah lama membelinya!). Tetapi, yang saya pasti harganya tidaklah terlalu mahal. Jelas di sini bahawa bukan jenama yang saya ingin pertahankan, tetapi kualitinya. Dan saudara mungkin dapat mengagak bahawa pembelian peti sejuk itu suatu pembelian yang menguntungkan. Jenamanya National. Saya pun tak pasti jenama itu masih ada atau sudah digantikan dengan Panasonic (?).
16. Oleh sebab saya membeli peti sejuk National itu dengan pertimbangan akan mutunya, saya boleh menggunakan barangan itu sehingga kini. Saya dapat menjimatkan wang yang besar kerana tak perlu menukarnya atau membaikinya. Peti sejuk itu sudah menjalankan tugas dengan cemerlang lebih sepuluh tahun yang lalu. Belum pernah sayur kailan yang saya simpan di dalamnya menjadi layu kerana menggunakan peti sejuk itu. Kalau pun layu, sebab isteri saya tak masak!
17. Dalam jangka masa yang panjang, saya dapat berjimat. Mungkin ketika membelinya, saya perlu mengeluarkan belanja yang tinggi sedikit, tetapi saya tidak mengalami kerugian apa-apa. Dan saya mendapat keuntungan dalam masa yang panjang.
18. Di pasaran sekarang, terdapat banyak jenama peti sejuk yang entah dari mana atau siapa pengeluarnya. Kadangkala, nak mengeja namanya pun susah. Jikalau saudara membelinya, dan harganya mungkin lebih murah, namun saya percaya (tetapi tidak mendoakannya!) saudara akan mengalami kerugian dalam masa yang panjang, meskipun saudara dapat menjimatkan sedikit wang kerana harganya murah. Gembira sekarang, tetapi merana kemudian.
19. Jangka hayat barangan itu seharusnya difikirkan. Jika sebuah seterika berharga RM30.00 dibeli dan dapat bertahan selama setahun, lebih baik saudara memikirkan untuk membeli seterika yang berharga RM60.00 dan dapat digunakan selama 3 tahun. Secara ringkas, begitulah analoginya. Keadaan yang sama juga mungkin bersesuaian dengan pembelian pakaian. Biarlah mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk mendapatkan pakaian yang ada mutunya, daripada pakaian yang murah dan akhirnya boleh digunakan untuk pergi tiga kali kursus.
20. Dah sampai nombor 20, dan lazimnya ini nombor yang terakhir.

7 comments:

Wahyu Budiwa Rendra said...

terima kasih kanda azhar; sifu bahasa + sifu kewangan. saya teringat jam Seiko ayah belikan masa darjah 1 sebab periksa dapat nombor 3.he.he. jam tu memang tahan, sebab tak guna bateri, kunci jek.

Azhar Salleh said...

Salam DINDA WAHYU,
Terima kasih kembali. Amboi, darjah 1 dah pakai jam tangan Seiko! Lumayan tu! Itupun dapat nombor 3, kalau dapat nombor 1, ayah dah beli jam dinding Seiko! Bila Dinda Wahyu sebut jam tangan, relevan betul dengan entri kali ini. Sekarang, saya menggunakan jam tangan Adidas original (ehm..ehm..), dan jam itu telah berkhidmat dengan cukup cemerlang hingga kini; sudah lebih daripada empat tahun. Kalau dulu, pernah beli jam pasar malam! Empat kali pasar malam pulak, pakai kena beli lagi la jawabnya...

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,

1. Amboi...! cerita dan berbahas panjang pasal jam dengan Sdra. Wahyu, bagus...

2. Saya pun ada memakai jam asli cap Casio tapi jenis dan harga biasa sahaja... (ikut kemampuan), boleh tahan mutunya. Hehehe...

Anonymous said...

1. wah, saya setuju dengan pendapat semua tu.

2. saya juga membeli jam digital jenama casio rm35 dibeli di batu pahat summit pada 2005. hingga kini masih belum tukar bateri. Saya memakai Jam ini tanpa buka walau waktu mandi, tidur, mandi laut dan sebagainya. Saya beli lagi satu jam analog casio, bukan pada harga yang mahal kerana sya yakin dengan kualiti terbaiknya.

Terima kasih.
- Emi Sufian

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Demikianlah adanya...jika kita memilih sesuatu barangan yang bermutu, pasti kita akan lebih berjimat.

Salam ERNI SUFIAN,
Terima kasih kerana mengunjungi blog ini. Ya, memang kualiti yang perlu dijadikan pertimbangan. Secara logiknya, barangan bermutu lebih mahal. Dan pastinya, lebih menguntungkan dalam masa yang panjang.

zura halid said...

Yaaa...saya setuju sangat dengan entri pengurusan kewangan kali ini. Oleh sebab itu...saya geram kalau suami 'menyinga' apabila saya membeli sebatang lipstik yang berharga RM219.00. Apa salahnya? Saya peduli apa..bukan duit saya...(hehehee...)

Azhar Salleh said...

Salam AZURA,
Yaaa...saya setuju sangat dengan suami Azura yang menyinga! Kalau sebatang lipstik lebih mahal daripada lima belas kampit beras Cap Rambutan 5 kg, bukan kata suami Azura, Azizi Ali pun boleh terkencing dalam seluar! Tapi, betul kata Azura, apa salahnya, bukan duit siapa-siapa, duit dia jugak! Jadi, teruskan pembelian barang yang berkualiti itu, bukan setakat lipstik, tapi dengan bedak, maskara, minyak wangi, deodoran, dan seumpamanya, jangan lupa gunakan duit dia! Memang pembelian lipstik itu dengan harga begitu, tepat dan kena pada masanya...
p/s: Harap-harap bini aku beli lipstik Cap Rambutan jugak!