Tuesday, March 31, 2009

TATABAHASA: IALAH DAN ADALAH

1. Teringat komen daripada Encik Rusdi (RAR), DBPWS. Katanya, jika saya ada apa-apa rumus tentang tatabahasa, bolehlah dikongsi dengan rakan-rakan blog.
2. Jika contoh sebelum ini tentang rumus ATM untuk membezakan penggunaan "dari" dan "daripada", pada kali ini, baik juga jika diutarakan rumus tentang kata pemeri "ialah" dan "adalah". Ramai juga pengguna bahasa keliru untuk menggunakan, sama ada "ialah" atau "adalah".
3. Kata "ialah" digunakan di hadapan frasa nama. Contohnya: Bapa saya ialah pegawai di bank itu.
4. Kata "adalah" digunakan di hadapan frasa sendi nama dan frasa adjektif. Contohnya: Keterangan tentang hal itu adalah seperti yang tertera pada borang. Contohnya: Kenyataannya adalah benar.
5. Untuk mengingati atau menguasai rumus ini, agak sukar jikalau kita tidak menguasai golongan kata. Oleh itu, disarankan agar kita menguasai hal ini dengan sebaik-baiknya.
6. Namun begitu, cuba lihat penjelasan di bawah.

ialah - sebelum frasa nama
ialah - nama
= kata "ialah" ada dua huruf "a"
= nama pun ada dua huruf "a"

adalah - sebelum frasa sendi nama
adalah - sendi
= kata "adalah" ada huruf "d"
= sendi pun ada huruf "d" dan ada bunyi "di"

adalah - sebelum frasa adjektif
adalah - adjektif
= dua huruf pertama "adalah" ialah "ad"
= dua huruf pertama "adjektif" pun "ad"

7. Jadi, rumus ini memudahkan kita. Harap-harap saudara memahami penjelasan ini.

8 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,

1. Teringat pasal rumus... INGAT / ISTERI / SUAMI / KAWAN (memper...i). Rasanya cikgu ada rumus baharu atau rumus tambahan tentang 'memper...i' ini kan? Sila cikgu jelaskan?

2. Terima kasih rumus yang diberikan itu, cikgu 'TIDAK TERCEMAR ATAS BERKONGSI ILMU' ini kan... hehehe...

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Terima kasih kerana melontarkan cetusan tentang imbuhan memper...i ini. Ringkasnya, imbuhan memper...i dan diper...i merupakan imbuhan yang sangat tidak produktif. Kata dasar yang boleh dipadankan dengan imbuhan ini tidak banyak, malah mudah untuk dihafal. Setakat ini hanya kata dasar ini yang boleh dipadankan dengan imbuhan apitan ini, iaitu:
1) ingat - memperingati
2) kawan - memperkawani
3) kebun - memperkebuni
4) senjata - mempersenjatai
Ada dua lagi, tetapi imbuhan "i" telah digugurkan kerana kata dasarnya sudah ada huruf "i", iaitu:
5) suami - mempersuami
6) isteri - memperisteri

Jadi, ingat empat kata di atas sahaja yang boleh dipadankan dengan memper...i dan diper...i. Bagaimanakah pula dengan bentuk yang lain, misalnya memperkuasai dan memperdalami?
Jawapannya mudah, SALAH!
Pendek kata, rujukilah Tatabahasa Dewan untuk mengesahkan hal ini.
Harap-harap dengan penjelasan ini, Encik RAR dan pembaca blog ini akan memperoleh (bukan memperolehi!) manfaatnya. Saya tidak jadikan entri untuk persoalan ini, hanya tulis pada komen kerana ada masalah pada sistem muatnaik bahan, masih tidak selesai lagi.

Rusdi Abd Rahman said...

CIKGU,
TAHNIAH ATAS TERSIARNYA PUISI 'MENENTANG SETERU' DALAM AKHBAR BERITA HARIAN HARI INI. SUDAH LAMA NAMA 'AZHAR SALLEH - PUISINYA' TIDAK TERCATAT DALAM AKHBAR PERDANA.

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Terima kasih. Rasa-rasanya, tangan ini ingin kembali mengetuk papan kekunci untuk berkarya semula, selepas agak lama tidak berbuat demikian. Bagaimana pula dengan saudara? Kembalilah bersuara di medan perdana!

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
Sudah ada beberapa puisi yang dibuat (lalu tersimpan), namun dengan semangat sifu... diri ini akan bersama sifu untuk kembali menghantarnya secara aktif selepas ini. Diri ini bangga dengan sifu yang kembali ini...! Sifu kembali... maka anak didik akan menyusul nanti.

Rene Yap said...

Thank you so much for these great stuff. PMR is in a couple days and this memper-i thing and 'ialah' dan 'adalah' was confusing me.

But that's okay now, thanks again! It's a great help to me. :D

Terima kasih Cikgu!

Melody of Lexy said...

Assalamualaikum,
Terima kasih Cikgu kerana menulis entri ini. Sangat bermanfaat!

I followed.

Anonymous said...

"yang berikut ADALAH MAKLUMAT yang booed saya berikut tent ang bilangan peserta yang Akan menyertai ekspedisi ini."
Walaupun ialah kata Nama, tapi guru saya said ini adalah betul
Sangat Keliru..