Monday, March 23, 2009

TATABAHASA: PEMAJMUKAN

PEMAJMUKAN
Proses pemajmukan ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna tertentu. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain.

Contohnya:
jalan raya tengah hari lebuh raya warga kota
bandar raya atur cara kereta api sari kata
ambil alih urus setia susun atur reka bentuk
maklum balas kemas kini kertas kerja gambar rajah

Kata yang telah mantap dieja sebagai satu perkataan.
antarabangsa
beritahu
bumiputera
jawatankuasa
kakitangan
kerjasama
olahraga
matahari
setiausaha
sukarela
suruhanjaya
tandatangan
tanggungjawab
warganegara
pesuruhjaya

Perkataan yang tergolong dalam golongan kata tertentu dieja bercantum juga
peribadi (kn)
peribahasa (kn)
dinihari (kn)
hulubalang (kn)
perikemanusiaan (kn)
sukacita (ka)
dukacita (ka)
kepada (ksn)
daripada (ksn)
apabila (kh)
manakala (kh)
padahal (kh)
darihal (kh)
barangkali (kh)
kadangkala (kh)
apakala (kh)
walhal (kh)
bagaimana (kt)

Pengimbuhan kata majmuk
Kata yang menerima awalan atau akhiran sahaja ditulis sebagai dua perkataan.
Contohnya:
diambil alih menerima pakai kenal pastikan
diguna semula bercampur aduk berurus niaga

Kata yang menerima apitan ditulis sebagai satu perkataan.
Contohnya:
pengambilalihan pengenalpastian mencampuradukkan
pengemaskinian diurusniagakan kedayaserapan
menggarispusatkan menyatupadukan persuratkhabaran
penguatkuasaan penambahbaikan menguatkuasakan

Penggandaan kata majmuk
Kata yang dieja bercantum hendaklah digandakan keseluruhan kata atau unsur.
Contohnya:
tandatangan-tandatangan setiausaha-setiausaha
pesuruhjaya-pesuruhjaya warganegara-warganegara
jawatankuasa-jawatankuasa kakitangan-kakitangan

Kata yang ditulis terpisah digandakan pada unsur atau kata pertama sahaja.
Contohnya:
alat-alat tulis gambar-gambar rajah
balai-balai raya suku-suku kata
garis-garis pusat kapal-kapal terbang
Menteri-Menteri Besar Naib-Naib Canselor
Penolong-Penolong Pendaftar Ketua-Ketua Menteri

1 comment:

♥♥ eija ♥♥ said...

salam cikgu,
saya pun cikgu jugak :)
saya baru dalam dunia pendidikan ni.
n saya diberi tugas untuk ajar BM walaupun bukan bidang ni dulu masa study.
jadi nak minta tunjuk ajar cikgu yea..
saya nak minta izin dulu, mungkin nota2 cikgu saya guna untuk bahan saya dan diisi dalam bolg saya :)