Saturday, October 10, 2009

MI UDANG SUNGAI DUA



Lazimnya, jika sesekali dapat pulang ke kampung di Pulau Pinang, saya pasti tidak akan melepaskan peluang ke Sungai Dua. Tarikan di situ ialah mi udang. Rasa-rasanya mi udang di Sungai Dua menjadi sebutan ramai dan pernah masuk dalam TV3. Ketika pulang ke kampung berhari raya baru-baru ini, saya pergi lagi ke situ sebelum bertolak pulang ke JB.

Jikalau saudara hendak ke sana, dari tol Juru, saudara teruskan perjalanan hingga susur keluar Sungai Dua, selepas Seberang Jaya. Kemudian, belok ke kanan dan teruskan pemanduan hingga lampu isyarat yang pertama, saudara teruskan juga. Saudara akan memasuki kawasan perumahan Taman Desa Murni. Saudara akan naik jambatan dan warung/restoran mi udang ini terletak sebelah kiri selepas jambatan.

Mi udang di sini memang sedap sebab udang yang digunakan masih segar. Selalunya, masih hidup lagi udang galahnya. Kita boleh memilih sama ada udang kertas atau udang galah. Udang-udang ini diletakkan di dalam kotak polisterin dan pengunjung perlu memilih dan menentukan kuantiti udang yang hendak dimasak bersama-sama mi atau nasi goreng. Mi boleh dibuat berkuah ataupun digoreng. Yang paling popular tentunya mi berkuah. Selalunya, udang galah hanya mampu “bertahan” di dalam kotak itu hingga petang. Lewat petang dan malam, sukar untuk ditemukan lagi udang galah. Yang tinggal hanyalah udang kertas.

Harganya bergantung pada kuantiti udang yang dipilih. Harga sekilo udang kertas ialah RM80.00, manakala harga sekilo udang galah ialah RM70.00. Mi berharga RM3.00 seorang. Selepas ditimbang dan ditentukan jenis masakan, apa lagi, duduklah kat kerusi, dan bagi yang merokok, misalnya rokok Mild Seven, jangan ditangguhkan lagi kerana menunggu mi dimasak bukannya sekejap, tetapi tidaklah lama sangat. Bergantung pada jumlah pelanggan pada masa itu.

Warung mi udang ini ada dua tempat di kawasan yang sama. Sebelum jambatan dan selepas jambatan. Yang paling sedap selepas jambatan. Sedap sangatkah mi udang di sini? Tepuk dada tanya selera masing-masing. Mi udangnya ringkas sahaja, tidak ada sayur-sayuran atau sampah sarap seperti tomyam. Yang ada hanyalah udang galah/udang kertas, mi, dan telur rebus. Tetapi, saya, isteri dan anak-anak pasti akan singgah di sini sekiranya balik ke kampung, menikmati mi udang Sungai Dua!

9 comments:

fasa1-pemikir agung said...

Mungkin sama sedangnya dengan mi udang Kuala Sepetang ?

munsyibm said...

Memang betul..sangat menyelerakan sebab saya pun pernah singgah di warung tersebut semasa sesi jerayawara bahasa di utara Ogos lalu. Tapi bagi mereka yang mengidap gout...lu fikiq le dulu..hehe

fasa1-pemikir agung said...

sedap bukan sedang..

sahrunizam abdul talib said...

Tapi...saya tak makan udang. Salam singgah, salam ziarah dan salam ukuhuwah

Md Nizar Parman said...

Salam Munsyi,
Kalau melihat entri ini, ada tokoh untuk menggantikan Maria Tunku Sabri (Jalan-Jalan Cari Makan tuh...). Apa kata selepas ini saudara menulis entri sup kaki lembu Pak Ali cicah roti... Layan makan sup sambil dengar lagu underground. Tentu terangkat!

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu,
Sudah beberapa kali cikgu beritahu tentang istimewanya ini, saya ke P. Pinang sudah 3-4 kali dalam 5 tahun belakangan ini), tapi diri ini masih belum sempat ke situ, cukup mengecewakan diri ini. Maknanya jika ke P. Pinang lagi akan datang pasti kena bersama Sifuku ini...!

Azhar Salleh said...

Salam PEMIKIR AGUNG,
Mi udang Sg. Dua memang sedap, tapi saya tak pernah pulak makan mi udang K. Sepetang, walaupun sering saya terbaca ttg keistimewaannya. Nanti kalau ada kesempatan, akan kucari mi udang K. Sepetang pulak!

Salam MUNSYIBM,
Cikgu, terima kasih atas kunjungan. Nampaknya betullah seperti yang saya ungkapkan. Mi udang di sini sebenarnya tidaklah istimewa mana kalau tidak ada udang galah atau udang kertas. Tapi, kemanisan kuahnya tidak tergambar kerana dimasak dgn udang segar. Yang gout, tak payah pikiaq lagi kalau dah terhidang depan mata, balun je!

Salam SAUDARA SAHRUNIZAM,
Terima kasih atas kunjungan. Awat yang tak makan udang? Rugi la hangpa! Rugi besaq tuuu....tapi, nak buat camana. Kalau tak makan udang, apa kata makan kulit udang? Ok jugak tuu...he..he..he...

Salam SAHABATKU MD. NIZAR,
Perghh...komen yg paling menyengat di muka bumi lewat hari ini! Pak Ali, lu punya sup kaki lembu memang kaw kalau cecah dgn roti bantai...Bukan ganti Tunku Maria je, malah gua buleh ganti drebar Black Maria, bro! Memang power kalau layan underground macam band Nemesis atau Infectios Maggots! Line clear...!

Salam RAR,
Ingat bro, kalau ke PP, bukan takat char kuetiau atau nasi kandaq saja, kat sini pun top dgn mi udang. Gua nak bagitau lu, dulu, masa gua sekolah, gua selalu pi Komtar. Sebelah panggung Dalit, ada kedai mi udang PP yang paling sedap. Tapi, la ni dah tak dak dah. Gua pun tak tau dia pi mana. Apa-apapun , kalau bro pi PP lagi, kalau gua tak sekali pun, lu singgah la kat Sungai Dua. pasai tulah gua makin boroi kalau balik kpg! Bro, harap-harap lepas ni lu singgah kat sini! Kalau lu tak singgah, gua cakap sama Guan Eng, jangan bagi lu masuk gua punya negeri lagi! he...he..

Citra Wangsa said...

Salm Cikgu,
Rindunya dengan Sungai Dua. Saya sudah kembali, tidak lagi di hujung jari...heheheh...

Azhar Salleh said...

Salam AZURA,
Syukur, Maria sudah kembali! Rindu pd Sg. Dua, bermakna sudah sampailah kat situ! Ini sudah baguih! Bila nak pi lagi kat sana? Buleh cari nasi Arab, nasi kawah, nasi dalca, mi rebus Pak Ngah, bihun sup utara, dan char kuetiau. Semuanya ada kat Sungai Dua!