Sunday, March 07, 2010

BUMANTARA ILMU: SIFAT IRI HATI

1. Minggu ini, saya menelaah buku “365 Tip Sihat Gaya Rasulullah” tulisan Dr. Mohammad Ali Toha. Buku ini berharga RM10.90 dan diterbitkan oleh PTS Millenia, yang saya beli di Plaza Angsana minggu lalu.
2. Antara kandungan menarik yang terkandung dalam buku itu, yang ingin saya kongsi bersama-sama dengan saudara ialah:
“Sifat iri hati itu memakan kebaikan seperti api memakan sekam”. (Riwayat Bukhari)
Kebaikan di sini bermaksud kebaikan yang dikehendaki oleh manusia termasuklah kesihatan. Orang yang memiliki sifat iri hati mudah diserang penyakit kencing manis, penyakit jantung, hyperthyroid, penyakit hati, sakit buah pinggang, dan ulser kronik. Keadaan ini berlaku kerana sifat iri hati menyebabkan penghasilan hormon kortisol dan adrenalin. Kedua-dua hormon ini menyebabkan glukoneogenesis atau pembentukan gula di dalam darah meningkat dan mengganggu degupan jantung.
3. Perenggan di atas (yang diitalikkan) merupakan kutipan langsung yang saya petik pada muka surat 17 buku tersebut. Saya tertarik pada dua perkara.
4. Perkara pertama ialah penggunaan bahasa dalam hadis tersebut. Hadis tersebut memanfaatkan unsur bahasa yang cukup indah. Terdapat penggunaan unsur personifikasi dan peribahasa yang terkandung kiasan yang amat mengesankan. Walaupun maksudnya tidak terlalu sukar untuk difahami, namun memerlukan penelitian serta penghayatan yang mendalam untuk menterjemahkan maknanya. Dua unsur bahasa kiasan tersebut ialah iri hati dan seperti api memakan sekam. Iri hati ditafsirkan sebagai “berasa (perasaan) tidak senang dengan kelebihan orang lain, cemburu, dan dengki”, seperti yang dirakamkan dalam Kamus Dewan DBP. Perumpamaan seperti api memakan sekam pula membawa maksud “sesuatu yang berlaku dengan diam-diam”, dan sering dikaitkan dengan sesuatu yang berkecenderungan negatif atau tidak baik.
5. Unsur gaya bahasa personifikasi ialah “sifat iri hati itu memakan…” yang merujuki sifat manusia diberikan kepada bukan manusia. Penggunaan perkataan memakan, sering dikatakan tidak menepati bentuk kata kerja transitif kerana imbuhan me- tidak diperlukan bagi perkataan makan. Jika dirujuki Kamus Dewan, memakan membawa maksud 1. makan (dengan lebih aktif); 2. memerlukan atau menghabiskan; 3. merosakkan, membinasakan, memusnahkan; 4. mematikan dalam permainan catur dll). Jelaslah bahawa bentuk memakan tidak salah, walaupun banyak pihak yang menyatakan sebaliknya.
6. Demikianlah betapa hebatnya ungkapan yang tertulis dan teratur dalam hadis Junjungan Besar kita, jika ditaakul dari segi bahasa secara harfiah.
7. Perkara yang kedua, semestinya maksud yang terkandung dalam hadis tersebut. Sifat iri hati merupakan sifat yang ada pada semua bangsa di dunia ini. Dalam konteks yang lebih kecil, sifat ini sering dikaitkan dengan bangsa Melayu (yang beragama Islam!). Iri hati, dengki, dan hasad berlaku apabila seseorang itu berasa tidak selesa, tidak senang, dan tidak gembira dengan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Saya rasa tidak setakat itu sahaja. Kalaulah hanya setakat itu, rasa-rasanya tidaklah mendatangkan musibah atau kecelakaan yang besar kepada orang yang didengkinya. Yang lebih parah, pendengki itu terlalu ingin untuk melihat kelebihan orang yang didengkinya itu ghaib, lesap, dan ditarik balik oleh Tuhan! Dan yang terlalu amat parah, pendengki ingin melihat orang yang didengkinya itu dilanda musibah, kecelakaan, dan malapetaka, dan bencana.
8. Saya percaya bahawa kita semua pernah berhadapan dengan situasi tersebut. Pendengki ada di mana-mana. Bermanis muka di hadapan kita dan menikam kita dari segala arah. Ini yang banyak sekali wujud. Mereka sering beranggapan bahawa kita (orang yang menjadi sasarannya) tidak akan mengetahui sifat mereka itu. Allah Maha Kaya. Lazimnya, dengan izin Allah SWT, kita mengetahui sifat mereka itu. Kita dapat mengesannya walaupun muka mereka begitu manis di hadapan kita. Kalau muka mereka masam di hadapan kita, lagilah kita tahu! Tapi, awas, janganlah sampai tersalah sangka dan membuat tuduhan tanpa usul periksa. Kita yang menanggung dosa.
9. Jika diteliti semula kesan buruk akibat sifat iri hati, maka banyak penyakit yang akan menimpa seorang pendengki. Mungkin ada yang beranggapan bahawa penyakit-penyakit ini boleh disembuhkan melalui kaedah rawatan moden, tetapi yang perlu diingat ialah mencegah lebih baik daripada mengubatinya.
10. Lantaran itu, untuk mengelakkan diri kita daripada ditimpa penyakit-penyakit itu, kita seharusnya ingat untuk tidak memiliki sifat iri hati.
11. Saya terdengar ada orang yang sambil merokok berkata, bukankah ada sifat iri hati yang baik? Ya, saya bersetuju. Kita diizinkan untuk beriri hati untuk mendapatkan ilmu daripada orang yang cendekia, dan kita diizinkan untuk beriri hati untuk mendapatkan kelebihan seperti kekayaan daripada orang yang berharta.
12. Jikalau itulah sifat iri hati yang kita miliki, syukurlah. Itupun, jikalau…

6 comments:

kekwa66 said...

Salam hormat Cikgu Azhar,

Sudah lama tak tulis komen di blog cikgu. Harap maaf!

Saya ada sedikit kemusykilan tentang pembentukan Ayat Songsang. Mengikut hukumnya, terdapat dua cara untuk menukarkan ayat biasa kepada ayat songsang, yakni pendepanan seluruh predikat dan pendepanan sebahagian daripada predikat. (pendepanan frasa kerja, frasa sendi nama dan frasa adjektif).

Bagi ayat di bawah, bagaimanakah caranya cikgu menukarkannya? Tolong berikan seberapa banyak ayat songsang yang boleh. Terima kasih!

Contoh Ayat:

Hukuman yang berat itu akan dikuatkuasakan bagi mencegah amalan rasuah.

Tambahan:

a.bergantung pada atau bergantung
kepada?
b.terdedah pada atau terdedah kepada?

Sekian, terima kasih.

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu Azhar,
1. Membaca tajuk buku ini teringat tajuk sebuah lagu (agak bernada pantas) iaitu 'Junaidah 365'...
2. Sebuah entri bermakna untuk sama-sama berkongsi ilmu serta satu promosi yang baik untuk para pembaca memilikinya.
3. Bila boleh serahkan 2 buku antologi puisi iaitu 'Sumpah 152' dan terbaharu buku 'Bicara Hujung Benua'?

Melihat Kesunyataan said...

Azhar,
Menariknya sikap iri hati ini bila dikaitkan dengan sikap orang kita. Memang itulah hakikatnya. Sejarah pun telah membuktikannya. Cara mengubati sikap iri hati ini, ialah dengan berfikir positif dan sentiasa berprasangka baik pada orang lain.

Azhar Salleh said...

Salam SAUDARA KEKWA66,
Ya, sudah lama tidak mendengar khabar saudara. Harap-harap sihat. Maaf kerana lambat respons. Banyak tugas sekarang ini.
Tentang persoalan ayat songsang, begini:
Hukuman yang berat itu akan dikuatkuasakan bagi mencegah amalan rasuah.
Subjek - Hukuman yang berat itu
Predikat - akan dikuatkuasakan
Keterangan predikat - bagi mencegah amalan rasuah

Sekiranya pada bahagian hadapan ayat bukan subjek di atas, maka ayat yang terbina ialah ayat songsang. Contohnya:
1. Akan dikuatkuasakan bagi mencegah amalan rasuah hukuman yang berat itu.
2. Bagi mencegah amalan rasuah, akan dikuatkuasakan hukuman yang berat itu.
3. Bagi mencegah amalan rasuah, hukuman yang berat itu akan dikuatkuasakan.
4. Akan dikuatkuasakan hukuman yang berat itu bagi mencegah amalan rasuah.
Ada 4 pilihan ayat songsang.

bergantung pada
terdedah pada

Salam RAR,
lagu Junaidah 365 tu saya tahu, tapi bukan saya punya line la...Terima kasih atas simpanan dan pemberian buku tu.

Salam AYAHANDA SHAPIAI,
Memang sikap ini sinonim dengan bangsa Melayu. Tapi, saya rasa bangsa lain pun begitu juga, cuma tak diwara-warakan. Insya-Allah, nasihat tuan dalam ingatan saya.

Azhar Salleh said...

Salam RAR sekali lagi,
Nampaknya, tuan hamba telah menjentik hamba untuk menjadi pelantun suara di DIVA! Amacam, minggu depan?

Rusdi Abd Rahman said...

Cikgu Azhar,
Hamba tahu lagu itu bukan 'line' Cikgu tetapi hendak kaitkan dengan tajuknya 365 sama tajuk buku itu sahaja... hehehe...
Apa-apapun hamba bersiap sedia untuk ke DIVA jika diundang ya... lagu 60-an versi lain pun hamba sudah bersedia... Hehehe...