Api yang marak dari satu zaman yang menyalakan
sumbu perjuangan menongkah segala arus dengan bara
dan lara bangsa yang tidak pernah memadamkan resah
bangsa yang menuntut suara pusaka dikembalikan haknya
sering terluka menatap layarnya rabak dan gelap jelaga
mengiringi peta perjalanan yang makin rentung terbakar
di taman pustaka yang masih bernadi dan bersuara tegar.
Api yang membakar bicara tanpa sepicing walang
merentungi bersama maruah dan harga diri warganya
bagai dalam irama warisan yang menggelegak sukma
namun yang terjelma hanyalah retorik yang amat perit
dimamah dan diteguk dengan penawar bisa luka bangsa
mencari hentian bagi suatu teka-teki yang ragu dan debar
bahasa bonda ingin dijulang tanpa segaris luka dan calar.
Jelata ini masih memegang sumbu
api dari suatu zaman tidak akan terpadam lagi
kerana pustaka yang kita bina dengan tekad iltizam
makin marak baranya dihembus prahara sumpah setia
usahlah sesiapa ingin cuba berdusta tentang liku laranya
tentang agung cintanya, prakasanya mengangkat martabat
hingga menjulang ke bumantara mencipta segedung hikayat.
Janganlah dibiarkan bahasa ini terluka dan tergores lagi
pusaka bangsa ini suara marhaen yang sulit untuk dimengerti
semakin tajam dipersendakan semakin bangkit untuk menikam
menghunus keris bahasa yang dilangir dengan titisan maruah
tidak akan berundur mempertahankan wasilah dan watikah
kerana bahasa ini akan terus hidup selagi warganya masih setia
memancangkan sumpah dan ikrar teguh bahasa yang melata
di bawah lembayung bumantara yang meneduhi nusa sejahtera.
Azhar Salleh
Antologi Puisi Hari Pejuang Bahasa "Sumpah 152"
Gapena 2010
Thursday, April 01, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
Cikgu Azhar,
Selagi ada kemampuan dan ruang yang terbentang pasti diri ini akan bantu sepenuh daya termampu salurkan nukilan 'kata-kata terbaik' Cikgu dalam pelbagai cara dan kaedah...
Huh....tersentuh lepas baca puisi Cikgu!
Salam sejahtera cikgu,
Nak tanya sedikit tentang bahagian Membina Ayat Kertas SPM dengan menggunakan kata banyak makna.
Misalnya perkataan 'mata'.
Selain tidak boleh menjadikannya sebagai peribahasa, kata nama khas, menambah imbuhan dan sebagainya, adakah menjadikannya sebagai kata majmuk dibenarkan?
Ayat contoh:
1. Mata pelajaran Matematik bukan subjek
kegemaran saya.
2. Saya memancing ikan dengan
menggunakan mata kail.
Sekian, terima kasih.
Salam SAHABATKU, MUNSYI,
Teruskanlah menghunus keris bahasamu... Keris bahasamu jangan sampai jadi Taming Sari, lenyap entah ke mana....
Salam RAR,
Ya, saya perlu mengakui bahawa setiap langkah saya, banyak dibantu oleh RAR. Terima kasih atas segala kepercayaan dan ruang.
Salam KEKWA66,
Terima kasih. Puisi ini tidaklah sehebat mana.
Ya, dalam SPM, kata majmuk dibenarkan. (sila rujuk guru penanda SPM untuk mengesahkannya).
Kedua-dua ayat di atas betul.
Salam SAHABAT,
Keris bahasa ini ialah keris Inspirasi kerana Taming Sari telah lenyap! Terima kasih SAHABAT atas sokongan!
Post a Comment