Saturday, April 24, 2010

SATU LAGI PERTARUNGAN

1. Parlimen Hulu Selangor akan dipertaruhkan untuk melihat dua perkembangan.
2. Adakah orang Melayu akan kembali memberikan kepercayaan kepada BN/UMNO walaupun calonnya daripada MIC?
3. Adakah bukan Melayu akan kembali semula menyokong BN atau terus memberikan undi kepada pembangkang?
4. Berdasarkan perkembangan semasa, saya secara peribadi melihat BN akan merampas kerusi itu semula. BN, jika menang bukan kerana BN semakin kuat tetapi kerana pembangkang (khususnya PKR) semakin lemah. PKR lemah kerana terlalu hebat diasak dan diperangi habis-habisan di semua arah dan di segenap sudut.
5. Ya, kredibiliti Anwar setakat ini tidak terserlah untuk membangkitkan sentimen kepada rakyat untuk terus menyokong kepimpinan dan partinya. Anwar dilihat sentiasa mengkritik BN dalam usahanya untuk mempertahankan kedudukannya. Anwar tidak lagi dilihat sebagai pemimpin golongan marhaen yang mampu mempertahankan bangsanya sendiri. Label sebegini telah kerap diwara-warakan oleh BN dan semakin dipercayai rakyat bahawa Anwar tidak lagi perlu diangkat sebagai wira. Kes mahkamah yang dihadapinya, walaupun mampu mengumpil simpati, namun sehingga kini, rakyat melihat Anwar seperti bersalah. Sama ada bersalah ataupun tidak, tidak ada sesiapa yang perlu mengeyakan ataupun tidak kerana kejadian sebenar masih samar. Sehingga kini, tidak ada bukti yang benar-benar sahih dan dapat diperakukan bahawa Anwar bersalah ataupun tidak. Sesiapa pun boleh mengatakan itu dan ini, namun semuanya masih kabur dan terlalu banyak persepsi, konspirasi, dan rakyat dihidangi dengan cerita yang sama sejak dahulu.
6. Zaid Ibrahim tidak sesuai bertanding di Hulu Selangor. Orang Melayu dilihat lebih menyokong calon tempatan. Orang luar boleh menang jika ada kekuatan dan kepercayaan. Jika diletakkan Dato’ Haron Din, misalnya, mungkin mampu memberikan tentangan sengit kepada BN. Zaid Ibrahim telah ‘ditelanjangi’ dengan pelbagai kisah negatif seperti arak dan judi oleh media, dan rakyat rasa-rasanya tidaklah terlalu ‘bodoh’ untuk mempercayai semua cerita jajan sebegitu. Tetapi, Zaid Ibrahim bukanlah pilihan yang tepat, setidak-tidaknya untuk pilihan raya ini. Jika Zaid menang, bermakna pembangkang/PKR masih diterima rakyat. Bukan faktor calon. Bukan juga faktor partinya kuat, tetapi kerana strategi BN yang tidak pernah berubah-ubah sejak dahulu dalam pilihan raya kecil.
7. BN masih mengekalkan corak kempen yang sama. Menabur pelbagai janji dan sumbangan. Peruntukan di sana sini. Bantuan dan pembangunan material dilimpahruahkan. Rasa-rasanya strategi sebeginilah yang menyebabkan banyak pilihan raya kecil, BN tumbang. Rakyat tidak menolak pembangunan, tetapi pembangunan bukanlah keutamaan lagi kepada rakyat. Rakyat di negara ini semakin senang dan hal ini tidak sama seperti era 70-an atau 80-an, pada ketika rakyat masih mengharapkan kerajaan untuk menyalurkan pembangunan.
8. Zaman ini pembangunan dan peruntukan bukanlah keutamaan bagi sebahagian besar pengundi yang akan menentukan siapa pemenangnya. Rakyat ingin mengundi pemimpin dan parti yang bersih. Bersih daripada gejala rasuah, kroni, dan bebas daripada pelbagai skandal. Orang Melayu telah membuktikan hal ini dalam PRU yang lalu, yang menyaksikan tumbangnya beberapa kerajaan negeri BN. Mungkin negeri Kelantan menjadi rujukan betapa pembangunan bukanlah lagi menjadi keutamaan.
9. Orang Melayu akan menyokong parti dan kerajaan yang dapat mempertahankan bangsa, bahasa, kedudukan, dan agama mereka. Bukan parti yang sentiasa membuka ruang untuk segala jenis perdebatan tentang hak dan kedudukan mereka. Siapa pemerintah, sama ada kerajaan BN atau pembangkang bukanlah soal pokok, tetapi siapa yang dapat mempertahankan nasib bangsa Melayu, parti itulah yang akan diundi dan disokong. Adakah BN/UMNO memenuhi syarat ini?
10. Banyak isu yang belum ditangani secara bijak oleh BN. Orang Melayu terasa seperti ‘anak yang kelaparan sedangkan kera disusui dengan pelbagai jenis susu’. Banyak kepentingan orang Melayu seperti makin tergugat, misalnya isu agama, ekonomi, pendidikan, dan bahasa Melayu yang tampak makin goyah akhir-akhir ini. Namun begitu, jika dibandingkan dengan pembangkang, BN masih dilihat lebih baik. Tetapi, yang dilihat lebih baik itu tidak mampu untuk menjamin kepercayaan akan terus berkekalan kerana yang diperlukan, bukan ‘lebih baik daripada pembangkang’ tetapi ‘lebih baik dari dahulu’. Namun begitu, ‘yang lebih baik dari dahulu’ tidak menjelma. Oleh sebab kecewa, marah, dan kesal, tidak mustahil undi akan terus memihak kepada pembangkang.
11. Hal ini yang perlu dihalusi.
12. Janganlah kerana hendak mendapatkan sokongan minoriti, yang majoriti terabai. Orang Melayu melihat hal ini dengan serius. Jika sudah berlaku demikian, yang dikendong berciciran, dan yang dikejar sudah pasti tidak akan diperoleh. Sejarah PRU yang lalu membuktikan hakikat ini, bahawa orang Melayu sudah berani melakukan ‘reformasi’ dan bukan Melayu tidak gentar untuk memberikan sokongan kepada pihak yang dapat menjaga kepentingan mereka. Jika kita taburkan intan berlian di hadapan mereka, belum tentu kita akan disokongnya. Dari satu segi, keberanian mereka menyebabkan mereka terus ‘terpelihara’ dan tidak tergugat. Ini kekuatan mereka, dan sayangnya, keberanian sebegini masih belum menyerlah dalam kalangan orang Melayu, walaupun telah berlaku belakangan ini.
13. Diharapkan agar BN/UMNO mengubah strategi dan dasar yang menyebabkan rakyat semakin jauh untuk memberikan sokongan. Tidak perlulah diuar-uarkan tentang sumbangan dan peruntukan kerana rakyat tidak teruja lagi dengan pendekatan begitu. Rakyat memerlukan pemimpin yang bersih, berani, dan benar-benar menegakkan yang hak. Wakil rakyat memilih artis sebagai isteri kedua pun dilihat sebagai ‘kurang bermoral’, apatah lagi hal yang lebih besar.
14. Kelemahan sedemikian akan menyebabkan pihak lain akan merebut ruang dan kesempatan itu. Menangguk di air keruh telah menjadi budaya politik sekarang. Dan pihak yang berjaya menangguk, akan menang.
15. Akhir sekali, tunggulah keputusan pilihan raya Hulu Selangor nanti. Walaupun saya secara peribadi berharap dan menjangkakan BN akan menang, namun atas prinsip demokrasi, sesiapa pun yang menang, perlu disokong kerana rakyat di Hulu Selangor telah membuat pertimbangan yang sebaik-baiknya sebelum memangkah kertas undi. Kuasa rakyat.

6 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Sifuku,
Ohh... begitu adanya, di mana letak Hulu Selangor itu Cikgu...? Hehehe... (usik-usik aja...)

kekwa66 said...

Ya, sama-sama kita tunggu keputusannya esok!

Salam Bahagia Cikgu Azhar,

Saya ada pertanyaan lagi, tolong jelaskan ya!

1. Penjodoh bilangan untuk bangsa:
'sebuah bangsa, sesuatu bangsa atau
satu bangsa"?

2. Sekiranya ayat pasif ditulis sebegini,
bolehkah ditukarkan kepada ayat aktif
tanpa mengikut hukumnya?

Ayat Contoh:
a. Ibu dihadiahi sejambak bunga oleh ayah.
b. Bilik pengantin itu dihias dengan
cantik oleh ayah.
(Ini adalah kerana sejambak bunga dan
dengan cantik tidak mungkin menjadi
subjeknya)

Sekian, ribuan terima kasih cikgu!

Melihat Kesunyataan said...

Azhar,
Nampaknya BN menang. Adakah ini bermakna rakyat kembali mempercayai BN?

Azhar Salleh said...

Salam RAR,
Ya, demikianlah.

Salam KEKWA66,
1. Satu bangsa dan suatu bangsa diterima. Sebuah bangsa tidak tepat.
2. Ayah menghadiahi sejambak bunga kepada ibu.
b. Ayah menghias bilik pengantin itu dengan cantiknya.

Salam AYAHANDA SHAPIAI,
Maaf kerana ambil masa untuk menjawab komen. BN memang telah menang, tetapi undi orang Cina terus merosot. Undi Melayu meningkat tidak bermakna sokongan kembali kepada BN. Banyak faktornya, walaupun kita sentiasa berharap agar BN berubah dan berubah.

Anonymous said...

pookey

Abdul said...

Salam Cikgu Azhar,

Apakah perbezaan "diwara-warakan" dengan "diuar-uarkan"? Maaf, saya belum mendapatkan Kamus Dewan edisi terkini.